Showing posts with label tarik. Show all posts
Showing posts with label tarik. Show all posts

Friday, June 3, 2011

Doktor bantu ibu dapat kembar 8 ditarik lesen


LOS ANGELES: Doktor kesuburan yang membantu ibu kembar lapan California, Nadya Suleman atau dikenali sebagai Octomom, ditarik lesen perkhidmatannya oleh lembaga perubatan negeri.


Lembaga itu dalam satu laporan berkata doktor Beverly Hills, Michael Kamrava melakukan kecuaian besar dengan memindahkan jumlah embrio yang banyak ke dalam rahim Nadya, 35, yang melahirkan kembar lapan pada 2009 dan menjadi selebriti sensasi media.
Wanita Los Angeles itu adalah wanita kedua di Amerika Syarikat yang melahirkan kembar lapan.
Bagaimanapun, apabila didedahkan yang Nadya adalah penganggur ibu tunggal kepada enam lagi anak, media Amerika mengecam beliau dan menggelar wanita itu Octomom.

Lembaga Perubatan California berkata Kamrava, yang menanam 12 embrio ke dalam Nadya dengan lapan daripadanya berjaya lahir, melakukan sesuatu di luar batasan amalan biasa.

Kumpulan Amerika untuk Perubatan Reproduktif menyarankan supaya pesakit berusia bawah 35 tahun, tidak lebih daripada dua embrio dibenarkan ditanam tetapi kumpulan itu berkata garis panduan itu bergantung kepada keadaan tertentu.

Kamrava berkata dalam perbicaraan tahun lalu beliau mematuhi kehendak Nadya dan menimbulkan kebimbangan yang kesuburannya boleh terjejas dan beliau memerlukan jumlah embrio yang banyak untuk meningkatkan peluang mendapatkan bayi.
Beliau juga memberikan rawatan kesuburan terhadap enam anak Nadya sebelum ini. – Reuters
Berita Harian Online | Doktor bantu ibu dapat kembar 8 ditarik lesen

Thursday, December 16, 2010

Selangor mahu tarik lesen Syabas


SHAH ALAM 15 Dis. - Kerajaan negeri akan menarik lesen pembekalan air yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ekoran keengganan syarikat itu mematuhi arahan menghentikan program Tabung Budi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya kini menunggu masa yang sesuai untuk mengambil tindakan tersebut melalui mahkamah.
Beliau berkata, tempoh selama 14 hari yang diberikan kepada Syabas untuk menghentikan program Tabung Budi telah tamat pada 6 Disember lalu dan pihaknya masih belum mendapat jawapan daripada syarikat itu.
"Kini kita ada sebab boleh tarik lesen Syabas. Kita hanya tunggu masa yang sesuai untuk pergi ke mahkamah.
"Kita akan tunjukkan kepada mahkamah yang Syabas tidak ikut arahan kerajaan negeri.
"Kita tak mahu mereka buat kerja kebajikan. Tugas kebajikan biar kerajaan negeri yang buat," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini petang ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan isu program Tabung Budi yang telah diarah dihentikan dalam tempoh 14 hari oleh kerajaan negeri pada 23 November lalu.
Arahan di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997 itu dikeluarkan atas alasan Syabas didapati melanggar syarat perjanjian konsesi air.
Mengikut notis itu, Lesen Pembekalan Air yang diberikan kepada Syabas mengikut Subseksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Syabas, Siti Rozalina Mohd. Noor ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya akan memberikan maklum balas mengenai perkara itu semasa program turun padang Tabung Budi di Gombak dekat sini esok.
Pada 26 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan memberitahu, Syabas tidak akan menghentikan program Tabung Budi seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.
Menurut beliau, sebaik sahaja menerima notis pemberhentian daripada kerajaan negeri bertarikh 23 November lalu, Syabas telah melantik peguam bagi menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang berkemungkinan diambil oleh pentadbiran negeri.
Kata beliau, Syabas bersedia diheret ke mahkamah dan dibicarakan kerana percaya mereka berada di pihak yang benar.