Friday, October 12, 2012

Syria dakwa Turki bohong pesawat bawa senjata haram

Syria dakwa Turki bohong pesawat bawa senjata haram - Global - Sinar Harian:

Pesawat Syria yang ditahan Turki.
Pesawat Syria yang ditahan Turki.
DAMSYIK - Syria menuduh Turki berbohong berhubung tindakannya memintas dan memaksa pesawat komersialnya mendarat di Ankara atas alasan membawa peralatan ketenteraan Rusia secara haram.
Sehubungan itu, Menteri Luar  Syria mencabar Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang membuat dakwaan itu agar menunjukkan kepada umum peralatan ketenteraan dimaksudkan.
Recep Tayyip berkata kapal terbang itu dipaksa mendarat di Ankara kerana mengesyaki Rusia telah melanggar undang-undang sekatan senjata antarabangsa, yang dikenakan ke atas Syria.
Rusia juga telah menafikan bahawa kapal terbang itu membawa kargo haram dan mendakwa pemintasan itu telah membahayakan nyawa penumpang termasuk 17 warga Rusia.
Turki menahan pesawat itu lewat malam kelmarin. Ia dalam perjalanan dari Rusia ke Syria menggunakan ruang udara Syria.
Ia kini ditahan di Lapangan Terbang Esenboga.
Sebelum ini Turki mendakwa pihaknya ada menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo haram.
Syria berhadapan dengan konflik yang masuk bulan ke-20.
Damsyik dan Ankara berhadapan dengan ketegangan hubungan di sebalik konflik di Syria.
Damsyik berkata bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.
Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.

'via Blog this'

Lebih banyak kedai dibuka di selatan Thai

Lebih banyak kedai dibuka di selatan Thai - Global - Sinar Harian:
BANGKOK - Lebih 60 peratus kedai di selatan Thailand meneruskan perniagaan pada Jumaat selepas ditutup setiap Jumaat sejak tiga minggu lepas berikutan khabar angin mengenai kemungkinan menerima ancaman jika mereka tidak mamatuhi 'arahan penutupan'.

Tinjuan Bernama mendapati kebanyakan kedai seperti kedai barang, kedai emas, kedai perkakas am, pasar basah, kedai makanan dan restoran beroperasi seperti biasa hari ini.

Keadaan ini berbeza Jumaat lalu apabila kedai hampir lengang dengan lebih 90 peratus di Pattani, Yala dan Narathiwat ditutup.

Perkhidmatan van di tiga wilayah berkenaan termasuk antara wilayah dan daerah kembali beroperasi seperti biasa hari ini berbanding Jumaat lalu yang hanya beroperasi selepas solat Jumaat kira-kira 1.15 tengah hari waktu tempatan.

Khabar angin yang disebar dari mulut ke mulut itu mengancam ekonomi di tiga wilayah berkenaan.
   
Ketika itu ramai pekedai bimbang mereka akan menjadi sasaran sekiranya mereka menidakkan 'arahan' tersebut yang didakwa dikeluarkan bagi menghormati hari Jumaat.

Tidak jelas pihak yang bertanggungjawab menyebar khabar angin tersebut, namun para penduduk di wilayah-wilayah itu mengambilnya secara serius. 

Ketakutan berpunca daripada kejadian tembak di kedai-kedai emas dan pengeboman di bandar Saiburi pada 21 Sept lalu dan khabar angin yang tersebar mereka menjadi sasaran kerana mereka mengabaikan 'arahan berkenaan'.

Berdasarkan keadaan itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah termasuk meminta ketua agama Islam mengumumkan bahawa bekerja di hari Jumaat tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Lebih 5,000 orang terkorban sejak puak pemisah yang disyaki terus mengangkat senjata dalam usaha menuntut kemerdekaan di tiga wilayah tersebut sejak lapan tahun lalu. - Bernama
'via Blog this'

3 suspek kes pelajar kecam Taliban ditembak ditahan

3 suspek kes pelajar kecam Taliban ditembak ditahan - Global - Sinar Harian:

Malala Yousafzai
Pasukan tentera membantu Malala Yousafzai yang cedera ditembak di Lembah Swat, Pakistan, semalam. - Foto EPA
PESHAWAR - Tiga suspek ditahan berhubung kejadian, Malala Yousafzai, kanak-kanak yang mengkritik pendirian Taliban dalam soal persekolahan kaum wanita ditembak Selasa lalu.
Ketiga-tiga mereka ditahan hari ini, kata polis Lembah Swat.
Menurut polis, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 17 dan 22 tahun mendakwa orang yang mengarahkan Malala dan rakannya ditembak bernama Attaullah.
Kedua-dua mangsa ditembak Selasa lalu.
"Ketika serbuan di Swat malam tadi, kami menahan tiga suspek yang terlibat dalam serangan ke atas Malala," kata Ketua Polis Swat, Gul Afzal kepada NBC News.
Ketika siasatan, katanya, mereka mendedahkan dalang kejadian itu ialah Attaullah.
Ketiga-tiga suspek itu berasal dari kawasan Sangota, Swat.
Malala dilaporkan masih kritikal meskipun peluru di bahagian kepala sudah dikeluarkan Rabu lalu.
Kumpulam Taliban bertekad akan mencari Malala selepas ini.

2 beradik perlukan mesin jahit

2 beradik perlukan mesin jahit - Kelantan - Sinar Harian:

2 beradik perlukan mesin jahit
Ku Mariam (kiri) bersama Tuah Hawa di hadapan rumah mereka menunjukkan sijil kursus jahitan yang diikuti mereka, di sini semalam.
PASIR PUTEH - Dua beradik yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang jahitan selepas mengikuti kursus di Giat Mara berhasrat untuk membantu keluarga mereka yang agak daif.

Bagaimanapun, hasrat murni Tuah Hawa Mustapha, 23 dan kakaknya, Ku Mariam, 25, itu belum dicapai kerana mereka tidak mampu membeli mesin jahit.

Tuah Hawa berkata, dia terkilan kerana tidak dapat membantu keluarga walaupun mempunyai kemahiran dan berharap ada pihak tampil membantu.

“Saya tinggal di rumah usang tanpa bilik bersama lapan beradik, ibu dan bapa, saya berharap dapat mengubah nasib keluarga dengan mengambil upah menjahit pakaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Gaal di sini, semalam.

Katanya, ilmu yang diperoleh ketika mengikuti kursus jahitan di Giat Mara Machang dari Januari hingga Jun tahun 2010 dimanfaatkan untuk bekerja dengan kedai jahit di ibu kota.

Namun katanya, kerja itu tidak kekal lama kerana dia terpaksa balik ke kampung untuk membantu ibu bapa dan adik beradik lain.

Sementara itu, Ku Mariam berkata, dia berkemampuan menjahit pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung, baju Melayu, kain tudung dan baju kemeja.

“Saya percaya, masalah kemiskinan keluarga saya dapat diatasi sekiranya saya mampu memiliki mesin jahit dan peralatan berkaitan.

“Saya buntu memikirkan masalah keluarga kerana saya masih mempunyai adik-adik yang masih bersekolah, mereka memerlukan wang untuk belajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Dua beradik itu yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal tidak tahu kaedah untuk memohon bantuan seumpama itu kerana kemiskinan membatas pergerakan mereka

'via Blog this'

Jutaan tidak suka Obama

Jutaan tidak suka Obama - Global - Sinar Harian:
WASHINGTON - Lebih sejuta rakan laman sosial Facebook, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama membuang tanda 'suka' secara drastik sejak berdebat dengan pemimpin Republikan, Mitt Romney minggu lalu.

Laman web The Inside Facebook, mengesan jumlah  tanda 'suka' kepada Obama  mencatatkan 189,000 sahaja.

Namun, laman Obama menunjukkan perubahan apabila memperoleh 1.1 juta 'suka' pada Selasa lalu dan jumlah itu paling banyak bagi seorang calon pilihan raya.

Para penganalisis berkata, tiada sebarang petunjuk menyatakan Obama menjadikan laman Facebook sebagai salah satu strategi berkempen tetapi berkemungkinan beliau mendapat penajaan melibatkan mesej berbayar.

"Terdapat pelbagai cara untuk pengikutnya membuang tanda suka di Facebook termasuk perdebatan yang berlaku sepanjang minggu lalu," kata perunding media, Alan Rosenblatt.

Rosenblatt berkata, kedua-dua calon pilihan raya itu dilihat menggunakan laman Facebook secara aktif. - Reuters
'via Blog this'

Syria dakwa Turki bohong pesawat bawa senjata haram

Syria dakwa Turki bohong pesawat bawa senjata haram - Global - Sinar Harian:

Pesawat Syria yang ditahan Turki.
Pesawat Syria yang ditahan Turki.
DAMSYIK - Syria menuduh Turki berbohong berhubung tindakannya memintas dan memaksa pesawat komersialnya mendarat di Ankara atas alasan membawa peralatan ketenteraan Rusia secara haram.
Sehubungan itu, Menteri Luar  Syria mencabar Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang membuat dakwaan itu agar menunjukkan kepada umum peralatan ketenteraan dimaksudkan.
Recep Tayyip berkata kapal terbang itu dipaksa mendarat di Ankara kerana mengesyaki Rusia telah melanggar undang-undang sekatan senjata antarabangsa, yang dikenakan ke atas Syria.
Rusia juga telah menafikan bahawa kapal terbang itu membawa kargo haram dan mendakwa pemintasan itu telah membahayakan nyawa penumpang termasuk 17 warga Rusia.
Turki menahan pesawat itu lewat malam kelmarin. Ia dalam perjalanan dari Rusia ke Syria menggunakan ruang udara Syria.
Ia kini ditahan di Lapangan Terbang Esenboga.
Sebelum ini Turki mendakwa pihaknya ada menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo haram.
Syria berhadapan dengan konflik yang masuk bulan ke-20.
Damsyik dan Ankara berhadapan dengan ketegangan hubungan di sebalik konflik di Syria.
Damsyik berkata bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.
Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.

'via Blog this'

Bumi Palestin terus diancam

Bumi Palestin terus diancam - Rencana - Sinar Harian:
Ini ialah bahagian ketiga daripada rencana empat siri mengenai isu Palestin sempena seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa Daripada Ancaman Zionis" baru-baru ini.
  
KUALA LUMPUR - Sejak dahulu lagi, bumi Palestin tidak pernah sunyi daripada pergolakan melainkan semasa di bawah pemerintahan kerajaan Islam selama 1,300 tahun.
   
"Ketika Islam memerintah, penganut Kristian dan Yahudi boleh menetap dan beribadah dengan aman di rumah ibadah masing-masing tanpa gangguan. Namun, perkara sebaliknya berlaku ke atas umat Islam ketika Kristian dan Yahudi memerintah di mana umat Islam ditindas dan dibunuh dengan begitu kejam," kata perunding 'Aman Palestin', Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin.
   
Menurut beliau lagi, jika dilihat pada sejarah, ketika tentera Salib atau "The Crusaders", iaitu gabungan tentera dari 22 negara Eropah, memerintah pada tahun 1099, mereka telah membunuh kira-kira 70,000 umat Islam.
   
"Tetapi sewaktu Solahuddin Al-Ayubi membuka semula Palestin, beliau tidak melaksanakan pembunuhan beramai-ramai. Bahkan orang tua dan sakit diberikan kemudahan kenderaan untuk dibawa pulang ke Eropah," katanya.
   
Solahuddin adalah berketurunan Kurdi yang telah mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.
   
Dr Zainur, yang juga pakar perunding di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, turut berkata bahawa tindakan Solahuddin dan pemerintah Islam yang lain telah memberikan contoh terbaik dan bukti bahawa kerajaan Islam apabila diberi peluang memerintah, mereka akan berlaku adil.
 
MENGAPA PALESTIN PENTING?
 
Dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama, Sheikh Raed Solah, pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48", telah menjawab persoalan ini dengan menggariskan lima fakta utama yang perlu diketahui dan difahami oleh seluruh umat Islam akan signifikasi isu Palestin ini kepada umat Islam.
 
Pertama, ia adalah tempat yang disinggahi Rasulullah S.A.W. ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Sebagaimana yang kita ketahui, perjalanan Baginda dalam peristiwa tersebut bermula dari Masjidil Haram dan berakhir di Masjidil Aqsa sebelum Baginda diangkat ke langit.
   
Kedua, bumi Palestin adalah bumi yang penuh dengan berkat daripada Allah S.W.T, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat yang pertama, yang bermaksud: "Nabi berangkat dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingya.
   
"Ia adalah bumi ‘Muqaddasah’ yang bermaksud bumi yang disucikan dan firman Allah dalam Al-Quran yang membawa maksud; Masuklah kamu ke bumi yang suci atau disucikan yang Allah telah tetapkan bagi kamu," jelas Sheikh Raed lagi.
   
Daripada ayat-ayat ini, jelas menunjukkan dua sifat yang telah Allah sebutkan berkaitan Palestin; ia adalah bumi yang diberkati dan bumi suci yang telah disucikan oleh Allah S.W.T.
   
Ketiga, bumi Palestin menempatkan ratusan kubur para syuhada’, bermula dari zaman sahabat, para tabi’in, sehinggalah ke zaman kerajaan Uthmaniyyah.
   
Sheikh Raed menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memelihara dan memulihara makam-makam tersebut yang menjadi lambang perjuangan pemimpin-pemimpin Islam merentasi tamadun yang berbeza mempertahankan Palestin.
   
Keempat, kepentingan isu Palestin ini diperkuatkan lagi dengan puluhan hadis yang telah memberi perkhabaran gembira kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang menyentuh tentang Baitulmaqdis dan kawasan sekelilingnya.
   
"Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa bumi Palestin adalah mutlak umat Islam sehinggalah hari Kiamat kelak," tegas beliau yang adalah individu pertama menemui terowong binaan Israel di bawah Masjidil Aqsa.
   
Kelima, sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam telah bersatu sejak dahulu lagi untuk memerdekakan, menjaga, dan membela Palestin. Antaranya melalui perjuangan tentera Islam menentang tentera salib (Crusaders) dan tentera Tatar (Mongol).
 
YAHUDI DAN ZIONIS: SIAPA YANG DITENTANG?
 
Yahudi adalah ahli kitab yang mana telah disebut di dalam Al-Quran, firman Allah bermaksud; "Jangan kamu bertikai dan berdebat dengan orang Yahudi kecuali dengan cara yang terbaik".
   
Ketua Gerakan Islam "Palestin 48" itu berkata, bahawa sesungguhnya umat Islam tidak mempunyai masalah dengan orang Yahudi. Ini kerana menurut beliau, orang Yahudi diperangi bukan kerana Yahudinya.
   
Dalam firman Allah yang lain juga ada menyebut bahawa wanita-wanita dari kalangan ahli kitab itu halal untuk dinikahi oleh lelaki Muslim dan Allah juga berfirman yang bermaksud; "Makanan ahli Kitab itu (Yahudi dan Nasrani) adalah dihalalkan bagi umat Islam".
   
Namun yang diperangi umat Islam adalah Zionis di atas kezaliman yang dilakukan dan penjajahan ke atas bumi Palestin, sekaligus memberi kesimpulan bahawa Projek Zionis adalah "Projek Zalim" yang begitu bahaya terhadap umat Islam dan Palestin.
   
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Dr Zainur atas kekeliruan yang timbul dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia, mengenai siapa sebenarnya yang kita tentang. Adakah Yahudi secara keseluruhan atau pun Zionis secara khususnya?
   
Beliau menyatakan : "Kita umat Islam tidak bergaduh dengan bangsa Yahudi, kita juga tidak bergaduh dengan agama Yahudi.
   
"Untuk tinggal bersama di dalam sebuah negara bukanlah satu masalah tetapi penentangan yang berlaku sekarang adalah disebabkan rampasan, kekejaman, kezaliman dan penodaan yang dilakukan oleh rejim Yahudi Zionis," katanya.
   
Dr Zainur turut berkata bahawa isu ini tidak hanya ditentang oleh umat Islam, malah masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga bersama-sama dengan orang Islam menentang kekejaman Zionis.
   
"Harus diingatkan juga bahawa, penganut agama Yahudi Ortodoks, 'Neturei Karta', yang merupakan ajaran Yahudi paling hampir dengan ajaran Yahudi yang asal, turut sama menentang dan menolak," menurut Dr Zainur.
 
ANTARA ‘JEW’, ‘JUDAISM’, DAN ‘ZIONIS’
 
Dr Zainur berkata satu fakta asas yang perlu diketahui oleh seluruh umat Islam, khasnya di Malaysia, ialah perbezaan antara 'Jew', 'Judaism' dan  Zionism'.
   
'Jew' ialah bangsa daripada suatu kaum manakala Judaism ialah agama asal Yahudi tetapi tidak semua bangsa Yahudi ini beragama Judaism kerana ramai yang tidak mempunyai agama.
   
Malah Theodore Herzl, pengasas negara Israel ialah seorang ‘atheist’, kata Dr Zainur.
   
Perunding Aman Palestin itu turut berkata bahawa isu di sebalik konflik Palestin sebenarnya ialah politik.
   
"Zionis sebenarnya adalah satu fahaman politik bertujuan untuk mewujudkan negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi yang bersempadankan Sungai Nil di Mesir dan Sungai Furat di Iraq.
   
"Mereka bercita-cita ingin menjadikan Baitulmaqdis atau ‘Jerusalem’ sebagai ibu negaranya dan mereka ingin membina ‘The Solomon Temple’ (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa," jelas beliau lagi.  
   
Maka, apa yang ditentang oleh umat Islam, masyarakat antarabangsa yang lain dan Yahudi Ortodoks bukanlah bangsa Yahudi ataupun agama Yahudi itu sendiri, tetapi yang ditentang adalah fahaman dan gerakan politik Zionis. - Bernama
'via Blog this'

50,000 penduduk Palestin dapat kerakyatan Mesir

50,000 penduduk Palestin dapat kerakyatan Mesir - Global - Sinar Harian:

KAHERAH - Kira-kira 50,000 penduduk Palestin kebanyakannya dari Genting Gaza dilaporkan telah memperoleh hak kewarganegaraan Mesir sejak beberapa bulan lalu, menurut pegawai keselamatan kerajaan, semalam.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan mereka menerima arahan daripada Mahkamah Tinggi Pentadbiran untuk memberi taraf kerakyatan itu kepada penduduk Palestin yang dilahirkan oleh ibu warga Mesir.
Keputusan mahkamah tersebut telah membuka jalan kepada ribuan penduduk Palestin yang tinggal di Genting Gaza untuk memohon dan mendapatkan kewarganegaraan negara itu.
Akhbar El-Watan melaporkan jumlah penduduk Palestin yang diterima menjadi warga Mesir juga dikatakan meningkat secara mendadak selepas bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan pada tahun lalu.
Sehingga keputusan tersebut dibuat, Mesir juga enggan memberi kerakyatan seperti negara lain di Timur Tengah mengikut ketetapan Liga Arab.
Difahamkan, keengganan negara anggota Liga Arab untuk memberi hak kewarganegaraan kepada penduduk Palestin kerana mahu melindungi identiti golongan yang ditindas oleh Israel itu.
Sehingga kini, pihak berkuasa Mesir telah menerima 35,000 permohonan daripada penduduk Palestin.
Kerajaan turut meramalkan jumlah penduduk yang akan mendapat kerakyatan Mesir meningkat kepada 100,000 pada tahun hadapan.

'via Blog this'

10 tahun tiada penyelesaian

myMetro | 10 tahun tiada penyelesaian:

KUALA LUMPUR: Lambakan ulat teksi Arab yang beroperasi secara haram di Bukit Bintang, di sini, disifatkan sebagai sesuatu merugikan kerajaan kerana hasil yang sepatutnya diraih penduduk tempatan dikaut warga asing.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah yang kecewa dengan masalah itu yang berlarutan sejak 10 tahun lalu di Bukit Bintang belum menemui jalan penyelesaian.

Beliau ketika dihubungi mencadangkan supaya penggubalan akta baru dibuat kerajaan bagi menghalang kegiatan ulat teksi Arab selain pelaksanaan penguatkuasaan ketat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Masalah ulat teksi bukan perkara baru untuk diperkatakan kerana masalah ini wujud sekian lama. Dikesalkan kerana kehadiran teksi sapu atau ulat Arab seperti mencantas pendapatan pemandu tempatan,” katanya.

Menurut Aslah, perkara itu pernah disuarakan persatuan teksi, namun masalah itu bagaikan tiada noktah.

“SPAD perlu lebih tegas menghalang kegiatan ulat teksi asing bukan hanya mengenakan hukuman ke atas pemandu tempatan,” katanya.
Aslah berkata, dengan hasil diperoleh ulat teksi terbabit, ia menjejaskan ekonomi Malaysia dan mengakibatkan aliran wang negara keluar.

“Lebih tepat pelancong pastinya menuding jari kepada kerajaan sekiranya berlaku kemalangan sedangkan mereka menggunakan prebet sapu. Tambahan pula pemandu asing tidak memiliki lesen memandu, insurans dan cukai jalan,” katanya.
Menurut Aslah, selain pakej perjalanan, ulat tiket asing turut menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelancong selain kumpulan itu memilik persatuan, syarikat dan pejabat yang berpusat di ibu kota.

“Ini masalah rakyat dan perlu diselesaikan. Kehadiran ulat teksi diibaratkan mencuri hasil Malaysia,” katanya.

'via Blog this'

Jari berhias jadi identiti unik

myMetro | Jari berhias jadi identiti unik:

ANTARA wajah yang pernah digunakan Von Tease ialah (dari kiri) Gaddafi, Hilter serta satu daripada watak filem fiksyen sains popular, Avatar.
ANTARA wajah yang pernah digunakan Von Tease ialah (dari kiri) Gaddafi, Hilter serta satu daripada watak filem fiksyen sains popular, Avatar.
ROME: Seorang artis menggunakan kreativitinya mencipta nama menggunakan jari yang dihias bagi membentuk pelbagai wajah orang terkenal.
Berasal dari Bologna, artis yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran Dito Von Tease itu menggunakan jarinya bagi memaparkan wajah seperti Dalai Lama, Jesus, Muammar Gaddafi dan Hitler.

Dia memilih nama samaran Dito sempena nama seorang penari, Dita, serta perkataan bahasa Itali il dito (bermaksud jari).
Kata Von Tease, projek “Ditology” itu dilakukan bagi melihat kepada kepekaan terhadap identiti serta bagaimana seseorang menggunakan samaran - terutama apabila mereka meninggalkan “cap jari digital” dalam talian. “Ia bermula tiga tahun lalu ketika saya mencari imej asli sebagai gambar profil di Facebook,” katanya.

Menurut Von Tease, 33, dia memilih jari sebagai pengenalan kerana tidak mahu identitinya terdedah. Katanya di Itali, ada ungkapan agak popular, nascondermi dietro un dito, yang bermaksud “bersembunyi di balik jari.” “Ia adalah kiasan kepada tindakan bersembunyi yang tidak berkesan,” katanya. Von Tease berkata, dia menggunakan kiasan itu untuk menyatakan bahawa, semua manusia cuba menyembunyikan diri di balik imej yang direka sendiri.

Mengenai jarinya, Von Tease berkata, dia menghiasinya untuk memaparkan wajah sesiapa saja, terutama individu terkenal. Dia menukar watak jarinya setiap harian berdasarkan kepada berita dan perkembangan semasa, membabitkan isu sejarah, seni, muzik, televisyen dan politik. Untuk melengkapkan imej itu, Von Tease menukar warna kulit pada jarinya dan menambah gaya rambut, mekap dan ciri khusus yang dikaitkan dengan tokoh yang dipilih. - DM

'via Blog this'

Russia berang Turki bahayakan nyawa orang awam

myMetro | Russia berang Turki bahayakan nyawa orang awam: "ISTANBUL: Moscow menuduh Ankara membahayakan nyawa warganya ekoran insiden jet tentera Turki memaksa pesawat penumpang Syria mendarat sebelum mereka merampas sebahagian daripada kargo di dalamnya.

Selain menuntut Ankara memberikan penjelasan, Kementerian Luar Russia berkata, nyawa dan keselamatan penumpang pesawat berkenaan diancam akibat tindakan Turki itu.
“Seramai 17 daripada penumpang pesawat itu adalah warga Russia dan mereka dihalang daripada menghubungi kakitangan diplomatik,” kata kenyataan itu.

Sumber agensi pengeksportan senjata Russia memberitahu agensi berita Interfax, pesawat berkenaan tidak membawa sebarang senjata atau peralatan tentera negara berkenaan.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan Syria, Mahmoud Said, berkata perbuatan Ankara adalah “perbuatan lanun udara yang bercanggah dengan perjanjian penerbangan awam.” - Reuters"

'via Blog this'

Ikhwanul Muslimin ajak rakyat ke jalan raya

myMetro | Ikhwanul Muslimin ajak rakyat ke jalan raya: "KAHERAH: Ikhwanul Muslimin semalam menyeru diadakan demonstrasi menuntut perbicaraan semula terhadap individu bertanggungjawab menyebabkan kematian penunjuk perasaan ketika rakyat bangkit menolak Hosni Mubarak tahun lalu.

Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin, Mahmud Hussein, berkata seperti rakyat Mesir lain, mereka terkejut apabila mahkamah membebaskan 24 tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian penunjuk perasaan pada 2 Februari 2011. - AFP"

'via Blog this'

Honda gesa pulau pengangkutan awam pamer iklan hina Islam

myMetro | Honda gesa pulau pengangkutan awam pamer iklan hina Islam: "WASHINGTON: Seorang ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa orang ramai memulaukan sistem transit awam di Washington dan bandar raya lain yang menyiarkan iklan ditaja kumpulan pro-Israel.

Melalui iklan itu, orang Islam radikal digelar “tidak bertamadun.” Selain Washington, iklan sama turut dinaikkan di stesen kereta api New York dan bas di San Francisco.


Ia dipasang di ibu negara AS selepas seorang hakim persekutuan memutuskan, sesebuah kumpulan berhak menyatakan pandangan masing-masing. Iklan itu menyatakan: “Dalam sebarang perang di antara orang bertamadun dengan tidak bertamadun, sokong orang bertamadun. Sokong Israel. Tewaskan Jihad.” Wakil parti Demokrat dari California, Mike Honda, berkata dia menyokong Perlembagaan AS yang menjamin hak bersuara rakyatnya.

“Tetapi hak untuk tidak menyokong pandangan kebencian juga satu hak yang menjadi sebab mengapa saya menggalakkan orang awam memboikot, pengangkutan awam lain yang menyiarkan iklan sama,” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Pesawat dipintas

myMetro | Pesawat dipintas:

ISTANBUL: Turki menggunakan jet pejuangnya untuk memaksa sebuah pesawat penumpang Syria mendarat dan merampas barangan disyaki peralatan tentera yang diterbangkan dari Russia untuk tentera Presiden Bashar al-Assad, semalam.
Pintasan ke atas pesawat Syrian Air itu dibuat beberapa jam selepas Panglima Tentera Turki memberi amaran pihaknya akan bertindak lebih tegas jika bom dari Syria terus memasuki wilayah Turki.

Jet tentera mengiringi pesawat Airbus A-320 menuju Damsyik serta membawa kira-kira 30 penumpang dari Moscow.
Ia kemudian mendarat di Ankara petang semalam selepas Turki menerima maklumat risikan memberi tahu, pesawat berkenaan membawa bekalan tentera. Pesawat dan penumpang kemudian dibenarkan menyambung perjalanan selepas sebahagian daripada kargo dirampas, tetapi pihak berkuasa tidak menyatakan apa barang berkenaan.

Namun, media melaporkan, antara yang dirampas, bekalan tidak berisiko seperti peralatan radio. Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata Ankara bertegas untuk mengawal penghantaran senjata kepada rejim yang menjalankan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam.

“Turki tidak boleh menerima penghantara seperti itu dilakukan menggunakan ruang udara kami,” katanya. Menurut Ahmet, Turki berhak menyiasat pesawat yang disyaki membawa kelengkapan tentera, tetapi enggan menyatakan apa terkandung dalam kargo berkenaan. “Turki akan terus menyiasat pesawat awam yang menggunakan ruang udara kami,” katanya. - Reuters

'via Blog this'

Keadaan Malala masih kritikal

myMetro | Keadaan Malala masih kritikal: "PESHAWAR: Seorang aktivis kanak-kanak Pakistan yang ditembak di kepala oleh Taliban masih berada dalam keadaan kritikal selepas diterbangkan ke hospital tentera terbaik di negara itu untuk rawatan pakar, kata pihak berkuasa semalam.

Insiden tembakan Malala Yousafzai, 14, di atas bas sekolah di lembah Swat dikutuk di seluruh dunia dan oleh kerajaan Pakistan yang menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM306,714) bagi menangkap penyerangnya. Dua daripada rakan sekolahnya turut cedera dalam serangan itu, dilakukan sebagai balasan terhadap kempen Malala untuk mendapatkan hak pendidikan ketika pemerintahan dua tahun Taliban di Swat yang didakwa tentera berjaya dipatahkan pada 2009.


Namun, ketika dia melalui hari kedua di unit rawatan rapi, bertubu-tubi soalan dikemukakan, pertamanya, bagaimana serangan itu boleh terjadi dan bagaimana penjenayah boleh melarikan diri di kawasan yang ada polis dan tentera. “Kini Malala memerlukan rawatan selepas pembedahan. Doktor menyarankan Institut Kardiologi Tentera (AFIC) kerana ia mempunyai rawatan selepas pembedahan yang lebih baik,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa kepada media. - AFP"

'via Blog this'

3 pengawal sempadan Iran ditembak mati

myMetro | 3 pengawal sempadan Iran ditembak mati: "TEHERAN: Tiga pengawal sempadan Iran terbunuh dalam pertempuran dengan penyeludup dadah bersenjata berhampiran sempadan dengan Pakistan, semalam.

Media Iran melaporkan, dua penyeludup juga mati dalam kejadian di wilayah Koshtegan di tenggara wilayah Sistan-Baluchestan.
Jurucakap pihak berkuasa sempadan Iran, Kolonel Mehdi Mansourzadeh berkata, pihaknya merampas 50 tan pelbagai jenis dadah di sempadan negara itu dengan Afghanistan dan Pakistan sejak enam bulan lalu.

Iran menjadi transit utama bagi dadah yang diseludup oleh pengeluar narkotik utama Afghanistan.


Republik Islam itu berkata, ia berdepan dengan perang bahaya dengan penyeludup dadah.


Hampir separuh daripada banduan di penjara negara itu terdiri daripada penyeludup berkenaan.

Setakat ini, lebih 4,000 polis dan tentera terbunuh sepanjang tiga dekad lalu kerana bertempur dengan penyeludup yang sering bergerak dengan konvoi bersenjata berat.

Negara itu membelanjakan lebih RM2.1 bilion membina ‘tembok’ di sepanjang 1,700 kilometer di sepanjang sempadannya dengan Pakistan dan Afghanistan dalam usaha menge menghentikan kegiatan penyeludupan dadah.

Usaha Iran memerangi dadah sering mendapat pujian Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - AFP"

'via Blog this'

Ohio terbaik untuk ibu bekerja

myMetro | Ohio terbaik untuk ibu bekerja: "NEW YORK: Wanita yang mencari tempat terbaik untuk bekerja dan membesarkan anak di Amerika Syarikat mungkin memilih Ohio.

Majalah Forbes semalam menyenaraikan tiga daripada bandar di negeri itu - Columbus, Cincinnati dan Cleveland, sebagai antara 10 yang terbaik untuk ibu yang bekerja.


Columbus menduduki tempat teratas, mengatasi New Orleans dan Hartford di Connecticut serta kawasan sekitarnya.

Cincinnati pula menduduki tempat keempat sementara Cleveland tempat ketujuh. Columbus yang mempunyai 1.8 juta penduduk mencatatkan markah tertinggi kerana pendapatan pekerja yang lebih tinggi daripada gaji purata untuk wanita. - AFP"

'via Blog this'

Pakar fengshui, kekasih berebut hartanah

myMetro | Pakar fengshui, kekasih berebut hartanah: "SINGAPURA: Seorang daripada pakar fengshui paling terkenal di republik ini terbabit dalam pertikaian dengan perempuan simpanannya selama 23 tahun di mahkamah ekoran dua hartanah bernilai lebih SG$2.5 juta (RM 6.2 juta).

Lebih dikenali sebagai Master Hui Jie, Goh Chuen Meng, 47, daripada Pertubuhan Fengshui Antarabangsa Hui cuba menghalang Lim Sor Bee, 41, daripada menjual unit kondominium yang didakwa dimilikinya. Akhbar harian Shin Min melaporkan, guru fengshui terbabit mendakwa Sor Bee yang juga pengarah syarikat fengshui itu cuba menjual unit kondominium di Telok Kurau yang dimiliki lelaki berkenaan. Kedua-dua hartanah itu didaftarkan atas nama Sor Bee.


Goh juga mendakwa, dia membayar hartanah itu tetapi didaftarkan atas nama Sor Bee. Wanita terbabit didakwa mencadangkan agar dia melakukan demikian bagi mengelak memasukkan hartanah itu dalam aset perkahwinan yang perlu dibahagikan jika dia bercerai dengan isterinya. Bagaimanapun, Sor Bee mendakwa dia sudah membayar RM1.8 juta untuk unit kondominium pada 2007 dan RM4.9 juta untuk rumah teres pada 2010.

Dia turut mendakwa Goh sanggup membantu membayar sebahagian hartanah itu sebagai “tanda cinta” kepadanya demi masa depan wanita itu. - Shin Min"

'via Blog this'

Singapura negara pilihan ekspatriat

myMetro | Singapura negara pilihan ekspatriat:

SINGAPURA: Singapura muncul di tangga teratas untuk golongan ekspatriat menetap dan bekerja, demikian menurut kaji selidik yang dijalankan Bank HSBC.
Ekspatriat dalam kaji selidik itu meletakkan Singapura di tempat pertama daripada 30 negara berdasarkan faktor ekonomi seperti pendapatan, pendapatan boleh guna dan kemampuan meraih kemewahan.

Thailand berada di tangga kedua, disusuli oleh Kepulauan Cayman di tempat ketiga. Menurut laporan itu, kira-kira 40 peratus responden berkata, mereka melihat peningkatan 50 peratus atau lebih dalam pendapatan boleh guna mereka selepas berpindah ke Singapura.
Laporan yang menyelidik lebih 5,000 ekspatriat di 100 negara turut berkata, 54 peratus ekspatriat memperoleh pendapatan melebihi AS$200,000 (RM613,419) setahun.

Mereka juga menyenaraikan Singapura di kedudukan tertinggi untuk kualiti kehidupan, meletakkan republik itu di tempat keempat secara keseluruhan, khususnya kerana persekitaran yang selamat untuk membesarkan anak. - ST

'via Blog this'

Sekolah rendah ketepi bahasa Inggeris

myMetro | Sekolah rendah ketepi bahasa Inggeris:

JAKARTA: Sebagai sebahagian pindaan kurikulum yang akan berkuat kuasa tahun depan, bahasa Inggeris tidak lagi menjadi subjek yang akan diajar di sekolah rendah di Indonesia, kata Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Musliar Kaslim.
Menurutnya pindaan itu bertujuan memberikan lebih banyak masa untuk murid menguasai bahasa Indonesia terlebih dulu sebelum mempelajari bahasa asing.

“Sekolah rendah tidak akan mempunyai pelajaran bahasa Inggeris kerana murid belum lagi belajar untuk memahami bahasa Indonesia,” kata Musliar semalam.
“Malah, sekarang sesetengah murid tadika mengambil kursus bahasa Inggeris. Itu dilarang oleh undang-undang Islam (haram). Saya kasihankan kanak-kanak berkenaan,” katanya. Dia menegaskan semua sekolah perlu melaksanakan perubahan dalam kurikulum mereka. Bagaimanapun, kementerian masih memikirkan sama ada sekolah persendirian akan dibenarkan untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar mereka sebagai subjek sampingan. “Namun, untuk sekolah awam ia dilarang sama sekali,” katanya sebagaimana dipetik oleh kompas.com. Bagi sekolah antarabangsa yang biasanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, kementerian belum memutuskan apa yang patut dilakukan.

Selain mengetepikan bahasa Inggeris sebagai subjek, kementerian juga merancang untuk mengurangkan subjek sedia ada di sekolah rendah kepada enam iaitu agama, bahasa Indonesia, pendidikan sivik, seni dan kemahiran, pendidikan fizikal dan pengetahuan am. Rancangan pengurangan subjek itu, termasuk matemati, sains, pengajian sosial, kandungan tempatan dan pembangunan insan. Musliar berkata, sains dan pengajian sosial tidak akan diketepikan langsung daripada kurikulum baru, tetapi akan digabungkan dalam subjek lain seperti bahasa Indonesia. - kompas.com

'via Blog this'

Budak sambut hari lahir dengan wiski

myMetro | Budak sambut hari lahir dengan wiski: "CARDIFF: Seorang budak dibiarkan menyedut separuh gelas wiski menggunakan straw selepas sebuah restoran tersilap menghidangkan arak itu walaupun sepatutnya dia diberi jus buah.

Media semalam melaporkan, Sonny Rees menghabiskan kira-kira 40 peratus alkohol itu tanpa disedari kakitangan restoran Frankie and Benny’s di Swansea. Insiden itu berlaku ketika Rees dibawa meraikan hari lahirnya yang kedua. Menurut sumber, kesilapan itu disedari apabila Rees menunjukkan riak wajah serta kelakuan aneh setiap kali menyedut minuman.


Ekoran itu, katanya, ibu Rees, Nina, 34, menghidu serta mencuba minuman berkenaan dan terkejut mendapati ia adalah arak. Rees kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Sementara itu, Nina berkata, dia memesan jus limau dan air kosong untuk anaknya. “Rees sempat menyedut kira-kira 10 kali dan saya dapat lihat dia mabuk,” katanya. - TS"

'via Blog this'

Scotland Yard ‘tersilap’ sita kereta anak Raja Ajman

myMetro | Scotland Yard ‘tersilap’ sita kereta anak Raja Ajman:

LONDON: Scotland Yard didakwa memulangkan sebuah kereta Ferrari FF yang dipamerkan di depan pejabat pihak berkuasa itu sebagai peringatan untuk pemandu degil sebaik saja mengetahui pemiliknya.
Kenderaan mewah bernilai �200,000 (RM984,024) itu dipamerkan bagi membuktikan pihak berkuasa tetap menyita kereta yang didapati melakukan kesalahan walau apa pun jenisnya. Namun, ia dikembalikan selepas polis menyedari ia dimiliki anak lelaki Sheikh Rashid Humaid al-Nuaimi, anak kepada pemerintah Ajman di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Insiden itu diketahui ramai selepas Sheikh Rashid bermegah-megah memaklumkannya di Facebook. “Duit Arab memang berkuasa,” katanya. Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, kereta disita hanya dipulangkan selepas pemiliknya membayar denda dan menyediakan dokumen sebenar. “Berhubung kes Ferrari itu, ia telah dituntut pemiliknya” katanya. Sheikh Rashid memuat naik gambar Ferrari itu di Facebook bersama catatan: “Ferrari saya disita di London, kemudian mereka mengetahui siapa saya dan kereta itu dikembalikan.” Dalam komen pada pos itu, Sheikh Rashid berkata, dia tidak membayar insurans untuk keretanya. - DM

'via Blog this'

Jutawan China tawar ganti kereta buatan Jepun milik mangsa rusuhan

Kosmo! Online - Dunia:



GUANGBIAO memegang basikal di atas bumbung sebuah kereta buatan China di Nanjing kelmarin.


NANJING - Seorang jutawan China, Chen Guangbiao berjanji untuk menggantikan kereta buatan Jepun milik 43 orang rakyat China.
Sebelum ini kereta milik 43 orang itu dirosakkan oleh sejumlah penunjuk perasaan di negara ini dalam isu tuntutan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur.
Kerajaan Jepun memutuskan untuk membeli tiga daripada lima pulau kecil yang membentuk kepulauan itu daripada pemilik persendirian menyebabkan penduduk China berasa marah dan melancarkan tunjuk perasaan pada bulan lalu.
Menurut media negara ini semalam, Guangbiao menunjukkan 43 buah kereta buatan China yang dibelinya pada harga lebih AS$794,000 (RM2.4 juta) di sini pada Rabu lalu.
Jutawan berusia 44 tahun itu menawarkan kereta Geely buatan tempatan bagi menunjukkan perasaan patriotik terhadap negara.
"Saya melancarkan majlis ini (menawarkan kereta buatan China) untuk mengingatkan orang ramai bahawa semangat patriotik sepatutnya dikendalikan dengan rasional, kebijaksanaan dan disiplin," katanya.
Dia mempamerkan kereta yang telah dibelinya itu kepada orang ramai dan pemberita di sini kelmarin.
Menurut perangkaan industri, jualan kereta Jepun merudum ketika terdapat desakan supaya barang buatan negara tersebut diboikot ekoran isu tuntutan kepulauan yang tidak berpenghuni itu.
Guangbiao merupakan salah seorang daripada 400 individu yang kaya di negara ini.
Jumlah kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$740 juta (RM2.27 bilion).
Dia memperoleh kekayaan menerusi sebuah syarikat kitar semula di Nanjing. - Agensi

'via Blog this'

Ratusan peminat ucap selamat buat Bachchan

Kosmo! Online - Dunia:



BACHCHAN melambaikan tangan ke arah para peminat di luar rumahnya di Mumbai semalam.


MUMBAI - Ratusan peminat aktor legenda Bollywood, Amitabh Bachchan berhimpun di luar rumahnya di sini bagi memberikan ucapan selamat ulang tahun kelahirannya yang ke-70 semalam.
"Hari lahir adalah hari yang istimewa buat semua... tidak terkecuali diri saya," kata Bachchan di akaun Twitternya.
Dia mempunyai 3.5 juta pengikut di Twitter.
Para peminat itu turut membawa kalungan bunga untuk dihadiahkan kepada pelakon tersebut. Pelakon itu turut menemui dan melambaikan tangan ke arah para peminat yang berada di luar rumahnya.
Parti sambutan ulang tahun kelahirannya juga diadakan di rumahnya yang dihadiri aktor terkenal, Shah Rukh Khan.
Berdasarkan senarai tetamu, 800 orang diundang untuk menghadiri parti tersebut.
Bachchan telah berlakon lebih 150 filem termasuk Sholay, Deewaar dan Don.
Ketika membintangi filem Coolie pada 1982, dia nyaris maut apabila limpanya pecah semasa melakukan adegan pergaduhan.
Bachchan bakal membuat kemunculan dalam filem Hollywood bersama pelakon terkenal Leonardo DiCaprio dalam filem The Great Gatsby.
Filem itu akan ditayangkan pada tahun depan. - Agensi

'via Blog this'

Lelaki bakar diri untuk tuntut pampasan di Albania

Kosmo! Online - Dunia:



BAJU dan seluar Beko terbakar semasa dia berlari di Tirana pada Isnin lalu.


TIRANA, Albania - Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan ketika era pemerintahan komunis, Lirjak Beko membakar tubuhnya di sini pada Isnin lalu.
Beko, 47, mencurahkan minyak petrol ke arah seluar, baju dan tubuhnya sebelum dia menyalakan api.
Beberapa anggota polis dan rakannya kemudian berusaha memadamkan api pada tubuhnya dengan menggunakan sehelai selimut.
Menurut doktor, muka, kaki dan tangannya melecur dan dia berada dalam keadaan kritikal.
Beko melakukan perbuatan itu bagi menuntut pampasan daripada pemerintah selepas dia dipenjarakan pada era pemerintahan komunis.
Albania diperintah komunis dari 1940 hingga 1990.
Sebelum ini seorang lagi tahanan politik, Gjergj Ndreca turut membakar dirinya bagi menuntut pampasan itu. - Agensi

'via Blog this'