Tuesday, November 29, 2011

Ummi Hafilda lancar portal ‘panas’

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Adik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ummi Hafilda Ali akan melancarkan sebuah laman portal yang disifatkannya paling panas pernah diwujudkan di negara ini.
Ahli perniagaan itu berkata,
laman web di alamat www.hafildafamous.com itu diwujudkan sempena memeriahkan Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang akan berlangsung esok hingga 3 Disember ini.
“Idea ini timbul apabila blog saya, Srikandi 7 berjaya mencatatkan jumlah pengunjung seramai 600,000 orang dalam masa tiga minggu selepas dilancarkan Februari lalu.
“Tambahan pula, setiap kali saya mengadakan ceramah politik di seluruh negara, sekurang-kurangnya lebih 2,000 orang menghadirinya,” ujarnya ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ummi Hafilda mengakui beliau menggunakan populariti itu untuk mewujudkan laman portal tersebut yang didakwa akan membongkar lebih banyak rahsia pemimpin pembangkang terutama perihal 3A iaitu Anwar, Azmin dan Azizah (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).
“Menerusi portal itu nanti, lebih banyak ‘bom nuklear’ yang bakal meletus mengoyakkan topeng drama lakonan tiga serangkai itu. Masyarakat perlu kenal watak sebenar di sebalik topeng 3A itu,” ujarnya yang mendakwa bakal mencipta gelombang baru dalam dunia politik tanah air menerusi ceramahnya.
Tambah beliau, selain hal ehwal politik semasa, laman portalnya itu juga akan dimuatkan dengan pelbagai maklumat terutama mengenai rangkaian perniagaan global seperti yang ditawarkan oleh portal popular, www.alibaba.com.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengumumkan akan menerbitkan tiga majalah iaitu Hafilda Prestige (isu politik), Hafilda Deco (hiasan dalaman) dan Resipi Glam Hafilda (masakan) dalam masa terdekat.
Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Anak sokong JKPP Felda saman Isa Samad



Nazri Abdullah
 AMPANG, 28 Nov: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) menyokong penuh tindakan Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKKP) Felda untuk memfailkan saman ke atas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Mazlan berkata, tindakan tersebut wajar memandangkan Isa telah menghina para peneroka yang selama ini memerah keringat kepada Felda.

"Kita sangat dukacita dengan penghinaan Isa Samad terhadap peneroka Felda.

"Bagi anak ucapannya itu menghina seluruh warga Felda dan kita mintak dia tarik balik," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau mengulas pendirian JKPP dalam satu sidang media hari ini yang mahu menyaman Isa Samad jika pengerusi Felda itu tidak mahu memohon maaf secara terbuka dalam masa 14 hari.

Ianya ekoran kata-kata penghinaannya terhadap Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman.

Penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

Dalam ucapan itu Isa didakwa mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk kepala) dia".

Kenyataan itu didakwa dutujukan kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

"Kehadiran Isa Samad bermasalah seperti mahu berperang dengan warga Felda," kata Mazlan lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan, satu laporan polis akan dibuat terhadap Isa Samad pada Selasa ini di balai polis Central Johor Bahru berhubung perkara sama. Anak sokong JKPP Felda saman Isa Samad:

'via Blog this'

Tenaga akademik teguh pertahan Aziz Bari



Harakahdaily
 KUALA LUMPUR, 28 Nov: Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) sekali lagi menegaskan keprihatinan terhadap penindasan berterusan dan kemungkinan pendakwaan ke atas Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, oleh pihak berkuasa.
“Kami mendesak pihak yang berkepentingan supaya memberhentikan dan menarik balik segala penyiasatan dan prosiding tatatertib yang bertujuan untuk mengugut para pensyarah dan mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa yang mendesak,” kata pengerusinya, Prof Wan Abdul Manan Wan Muda.
Menurutnya, Prof Aziz adalah seorang sarjana yang disanjung tinggi oleh rakan akademik dan masyarakat awam kerana kepakaran beliau dalam bidang perlembagaan Malaysia yang menyentuh undang-undang dan masyarakat.
Katanya, walaupun Aziz Bari telah menerbitkan beberapa buku mengenai perlembagaan Malaysia, namun beliau terus dianiaya oleh pelbagai pihak termasuk pasukan polis, ahli politik dan juga universiti beliau sendiri akibat menyuarakan pandangan dan tafsiran berdasarkan kepakaran bidang beliau.
Beliau berkata, para advokat perdebatan umum dan tindakan tanpa kekerasan (non-violence) kelihatan cuba dihapus oleh kuasa pemerintah dan aparat mereka.
Ujarnya, Prof Aziz kini menjadi simbol penentangan terhadap sejarah panjang penindasan akademik dan pembrangusan keras di Malaysia.
Amat mendukacitakan, katanya masalah kebebasan intelektual dan kebebasan bersuara di Malaysia mempunyai rekod yang buruk dan terus merosot.
Menurutnya, pada 2011, pihak World Press Freedom Index meletakkan Malaysia pada tahap ke 143 dari senarai sebanyak 196 buah negara, manakala Malaysia berada pada tangga ke 124 semasa pimpinan sekarang mengambil alih kuasa pada tahun 2008.
Tambahan lagi, katanya jaminan perlembagaan tentang kebebasam bersuara, kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun disekat menerusi pelbagai peruntukan dan secara amalan sangatlah terhad.
“Sebarang pendakwaan terhadap Prof Aziz Bari atas sebab beliau mengamalkan kebebasan bersuara beliau bertentangan dengan kewajipan Malaysia untuk mengiktiraf kebebasan berfikir, suara hati dan beragama; kebebasan bersuara, dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, katanya sebarang usaha untuk mengugut dan menakutkan para mahasiswa dan profesor atas sebab mereka menggunakan kebebasan bersuara dan berhimpun mereka sekaligus mencabul undang-undang Malaysia dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, menghukum mereka yang menyuarakan komentar dan pandangan yang mengkritik status quo adalah pengkhianatan kepada kebebasan akademik yang merupakan sebahagian dari kebebasan bersuara dan memberi pendapat.
Juster, tegasnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia perlu menarik balik serta menghentikan sebarang siasatan dan pendakwaan tatatertib terhadap Aziz Bari.
“Kami berpendapat institusi pendidikan tinggi perlu menjunjung tinggi dan mempertahankan kebebasan akademik, dan juga universiti perlu menjadi taman ilmu untuk kebebasan melahirkan idea dan pandangan,” katanya.
Ini, tambah beliau bermakna universiti juga perlu menjadi sebuah tempat perlindungan untuk menyuarakan pandangan yang kontroversi.
“Kami menyambut baik usaha rakan-rakan akademik tempatan dan antarabangsa yang telah memberi sokongan yang padu dan jelas serta sama-sama mempertahankan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dengan berani dalam isu yang kami bangkitkan ini, dan kami tetap berdiri teguh mempertahankan Profesor Aziz Bari,” katanya lagi.
Tenaga akademik teguh pertahan Aziz Bari:

'via Blog this'

Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting



Khairil Abdul Rahim
 TEMERLOH, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) menganggap Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengalami kecelaruan pemikiran apabila akhir-akhir ini sering mengecam hudud sehingga apa yang diucapkan beliau jauh tersasar daripada yang diperjuangkan oleh PAS.

Ketuanya, Shahril Azman Al-Hafiz (gambar) menolak dakwaan Soi Lek bahawa pusat pelancongan Genting Highlands akan ditutup apabila PAS mengambil alih pemerintahan sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut Soi Lek berkata, Malaysia mungkin kehilangan Genting Highlands jika Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan dan melaksanakan undang-undang hudud.

Menurut Shahril Azman, PAS tidak berhasrat menutup kawasan yang menjadi tarikan popular pelancong yang sudah maju dan mendatangkan keuntungan ekonomi sebaliknya parti itu hanya mahu menghapuskan judi kerana ia dilarang oleh semua agama.

“Barangkali Soi Lek tidak faham bahawa judi boleh merosakkan institusi keluarga dan kemasyarakatan dan apabila rosak dua institusi ini ia ancaman kepada negara. Keluarga boleh berpecah belah akibat bahana judi sehingga berlaku perceraian. Dalam masyarakat pula judi boleh membawa pergaduhan, pembunuhan dan suburnya industri Ah Long.

“Apa yang untungnya rakyat dengan judi ini sebab yang untung hanya tauke judi, jadi itu bukanlah kemajuan namanya. Sebab itu negara yang maju seperti Singapura dan Indonesia tidak membenarkan kasino berlesen,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Mengenai kenyataan Soi Lek bahawa Genting memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana menerima 20 juta pelawat dan membayar cukai RM1bilion setahun, Shahril berkata jika PR memerintah semua pusat pelancongan akan diberi penambahbaikan lagi supaya dapat menambah kantung negara.

“Jadi cuba mengaitkan hukum hudud dengan tutup Genting Highlands itu tidak ada kena mengena. Kami tegaskan bahawa tidak ada agama yang membenarkan judi. Persoalannya adakah Soi Lek tidak mempunyai agama?

“Bahkan ekonomi rakyat termasuk orang Cina juga akan lebih terpelihara dan meningkat tanpa judi kerana judi adalah penipuan dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Soi Lek sempena menyampaikan hadiah kepada pemenang Malaysia National Lion Dance Championship 2011 di Genting itu turut mendakwa, di Kelantan kerajaan PAS tidak membenarkan kedai loteri dan jika PR berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat, mereka mahu untuk melaksanakan undang-undang hudud dan Genting menjadi mangsa pertama.

“Sebenarnya Soi Lek yang pernah dikaitkan dengan video porno itu menghadapi kecelaruan pemikirannya sendiri ketika cuba meraih kepentingan politik kerana tidak ada negara yang maju hanya kerana judi,” tambah Shahril. Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting:

'via Blog this'