Friday, December 10, 2010

Nyata hasrat pergi jauh

MASJID TANAH: “Pagi tadi, saya pelik kerana dia beriya-iya mencari surah Yasin dan membacanya, malah, ketika bersarapan, arwah kelihatan termenung dan saya tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata pekerja kilang, Mohd Nizam Ab Gani, 24, yang kehilangan adik lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Bidara, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Md Sarol Ab Gani, 23, seorang penganggur, dipercayai lemas ketika berenang di laut kira-kira 15 minit sebelum disedari lima rakan lain.

Mohd Nizam berkata, dia tidak bertanya apa-apa apabila melihat perubahan sikap arwah yang juga anak kesembilan daripada 13 beradik, sebaliknya terus menuju ke tempat kerja di sebuah kilang berdekatan rumah mereka di Lorong 30, Taman Seri Aman, dekat sini.

“Ketika di tempat kerja, saya tiba-tiba tidak sedap hati memikirkan perubahan sikapnya sebelum menerima panggilan polis menyatakan arwah ditemui lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian itu masih dirahsiakan daripada pengetahuan ibunya yang menghidap sakit jantung.

“Saya terkilan sikap arwah mudah terpengaruh dengan rakan. Saya kesal kerana pernah menasihatinya sebelum ini supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan perbuatan tidak baik.




“Begitupun saya reda dan menerimanya sebagai suratan,” katanya.

Seorang rakan mangsa, Faidhi Abdul Razak, 15, berkata, arwah memberitahu mahu pergi jauh ketika mereka membonceng motosikal dari rumah ke pantai peranginan itu.

Katanya, mereka bersama empat rakan lain ke pantai itu kira-kira jam 1 tengah hari melepak sambil melihat pemandangan.

Menurutnya, sebaik tiba, dia bersama rakan lain duduk atas batu sebelum Md Sarol tiba-tiba pergi ke laut seorang diri.

“Tiba-tiba dia menanggalkan baju dengan seluar pendek terus berenang. Kira-kira 15 minit, kami tidak melihat kelibatnya.

“Kami terkejut dan tidak tahu apa hendak dibuat dan cuba mencari memanggil namanya tetapi tiada jawapan.

“Selepas gagal mencarinya, seorang rakan wanita, Norhafizah (Norhafizah Ahmad Jailani, 16) pergi ke pejabat JPAM di kawasan itu membuat laporan,” katanya yang masih terkejut.

“Petang semalam (kelmarin), arwah beritahu mahu mencari sejadah dan hendak menunaikan solat Subuh setiap hari,” katanya.

'Di sini bukan tempat beli bayi'

KUALA LUMPUR: “Jika rupa paras si ibu cantik, pasti ramai datang ke rumah ini untuk mengambil bayinya sebagai anak angkat,” kata isteri pengasas Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Ruzitah Baharum, 42.
Beliau berkata, melalui pengalamannya, kebanyakan pasangan suami isteri yang datang ke rumah itu untuk mengambil anak angkat akan memilih dan menempah terlebih dulu anak dalam kandungan selepas melihat rupa paras si ibu.
“Bagaimanapun, kami tidak membenarkan cara itu (tempahan) kerana sini bukan tempat untuk membeli bayi, sebaliknya rumah amal untuk menjaga kebajikan ibu serta bayi yang baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui di pusat itu, semalam.

Kewaja memberi perlindungan kepada gadis dan wanita bermasalah, terutama mereka yang menghadapi masalah serius akibat pergaulan terlampau atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sehingga hamil di luar nikah. Penghuninya akan dilindungi, dibimbing dan dipulih sebelum kembali ke pangkuan keluarga.



Mengenai kes Suzie yang dilaporkan Harian Metro semalam, Ruzitah berkata, setakat ini dia menerima lima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan bayi dikandung gadis berkenaan.

Katanya, Suzie sudah mula menyesuaikan diri dengan pusat itu dan menjalani proses mendalami Islam dan sudah mahu bersolat.

Dua wartawan Harian Metro berjaya memujuk Suzie, 22, supaya tidak menjual bayi dikandungnya kepada satu pasangan bukan Islam, sebaliknya dihantar ke Kewaja.

Pelayan pelanggan (GRO) itu nekad mahu menjual bayinya kerana mendakwa tidak mampu menjaganya sebaik lahir kelak.

Dalam pada itu, Ruzitah berkata, hampir 500 pasangan dalam senarai menunggu untuk mengambil anak angkat dari rumah berkenaan dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami memberi keutamaan kepada pasangan yang berkahwin lima hingga enam tahun tapi masih tidak mempunyai zuriat,” katanya yang dipanggil mama di kalangan penghuni.

Pihaknya juga, katanya, tidak menggalakkan individu yang belum berkahwin untuk memohon kerana memikirkan nasib kebanyakan bayi terbabit dilahirkan tanpa bapa, jadi biarlah mereka dijaga keluarga yang dapat memberi didikan agama yang sempurna.

Menurutnya, kini terdapat 50 wanita berusia lingkungan 20-an menunggu masa di rumah itu untuk melahirkan anak masing-masing.

“Sebaik bayi dilahirkan di klinik panel terpilih, anak itu bersama ibunya akan dijaga sehingga habis tempoh berpantang. Jika si ibu mahu menjaga sendiri bayinya, kami akan meminta pihak keluarga mengambil mereka.

“Bagi yang tidak mahu menjaga bayinya pula, kami akan mengurus urusan berkaitan pengambilan anak angkat mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Ruzitah berkata, pihaknya juga akan menyaring setiap pasangan yang mahu mengambil anak angkat dari rumah itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini pada masa depan.

“Sejak Kewaja ditubuhkan 20 tahun lalu, sudah lebih 3,000 bayi dilahirkan di sini diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya.

Penagih hisap dadah depan orang awam

KUALA LUMPUR: Penduduk perumahan Kampung Kerinchi diancam kebimbangan apabila penagih dadah menjadikan kawasan itu tempat menagih selepas separuh daripada 500 penduduk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Kegiatan itu berleluasa termasuk penagih sesuka hati mencuri barangan terpakai seperti besi di rumah kosong sebelum dijual kepada pembeli semata-mata untuk mendapatkan bekalan dadah. Tinjauan di kawasan itu mendapati penagih menghisap dadah di tempat terbuka termasuk tangga pada sebelah pagi dan tengah hari selain malam. Penduduk, Yahya Ismail, 40, berkata sejak separuh rumah kosong, penagih makin berani menagih di depan awam termasuk di tangga hingga menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk terutama wanita. Katanya, pembekal juga datang pada waktu tertentu menjual dadah kepada mereka walaupun dilihat penduduk.

“Pantang nampak rumah terbuka pasti mereka akan memecah masuk mencari barangan berharga termasuk komputer, duit dan barangan kemas.

“Keadaan ini membuatkan penduduk takut dan bimbang sekiranya penagih melakukan perbuatan di luar dugaan termasuk mencederakan dan membunuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Kerinchi, di sini, semalam. Warga Emas, Hussin Ali, 65, berkata separuh rumah yang ditinggalkan disepahkan penagih kerana mereka menjadikan rumah kosong sebagai ‘port’ menagih. Katanya, laporan sudah dibuat kepada pihak berkenaan supaya memantau kawasan ini, tetapi tiada tindakan diambil hingga menjadikan kawasan ini ‘panas’ dan tempat berkumpul.

Klinik 1Malaysia di pedalaman



NAJIB melambai tangan ke arah orang ramai sebaik turun dari bas Klinik Bergerak 1Malaysia di Kampung Orang Asli Pos Raya, Gopeng semalam.


IPOH - Klinik Bergerak 1Malaysia akan memberi kemudahan rawatan percuma kepada penduduk di pedalaman yang belum mendapat kemudahan sepenuhnya di klinik-klinik bergerak yang dikendalikan Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsep itu diperkenalkan bagi memastikan 25 peratus lagi kawasan pedalaman seluruh negara yang berada di luar lingkungan 25 kilometer dari pusat perubatan dan kesihatan terdekat menikmati kemudahan kesihatan.
Katanya, konsep klinik bergerak sudah disediakan Kementerian Kesihatan sebelum ini dengan 171 buah klinik udara, air dan darat iaitu 60 buah di Semenanjung, 13 di Sabah dan 98 di Sarawak yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1,600 buah kampung pedalaman.
"Klinik Bergerak 1Malaysia adalah perkongsian antara Yayasan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) dengan Kementerian Kesihatan. IMDB menyediakan bas manakala kementerian menyediakan doktor dan perubatan," katanya ketika melancarkan Klinik Bergerak 1Malaysia di Kampung Orang Asli Pos Raya, Gopeng dekat sini semalam.

Syarikat menang saman RM1 bilion



ALLY AZWIN menunjukkan kertas penghakiman kes saman terhadap kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Selepas tujuh tahun menanti, sebuah syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu), akhirnya memenangi kes saman berjumlah RM1 bilion terhadap kerajaan negeri Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman itu dibuat berikutan dakwaan kecuaian dan mungkir janji kerajaan negeri yang dipimpin Pas berkaitan konsesi pembalakan di kawasan Empangan Kedua Hulu Terengganu pada tahun 2003.
Dalam penghakiman pada 27 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak defendan mengembalikan wang sebanyak RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif pada tahun 2003 kepada kerajaan negeri.
Ia melibatkan bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,592 hektar.
Selain mengembalikan bayaran premium tersebut, mahkamah juga memerintahkan pembayaran faedah sebanyak RM7.55 juta dengan kadar faedah empat peratus setahun selain bayaran lesen dan cukai balak berjumlah RM166,432.86 kepada plaintif.
Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.

Tidak tahan tanggung rugi



Kewujudan bas RapidKL dikatakan turut menyumbang kepada kerugian operasi 130 syarikat bas henti-henti di seluruh negara sejak 15 tahun lalu. - Gambar hiasan


SEREMBAN – Kerajaan diminta mengambil alih pengurusan kesemua 130 syarikat bas henti-henti di negara ini yang kini mengalami kerugian operasi akibat ketidakadilan dasar sedia ada termasuk saingan daripada syarikat bas yang dikuasai kerajaan.
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, langkah tersebut juga bertujuan untuk membela nasib kira-kira 8,000 pekerja yang mungkin hilang pekerjaan.
Beliau berkata, saingan yang tidak adil dengan syarikat pengangkutan bas kendalian kerajaan terutama bas RapidKL dan RapidPenang semakin memburukkan keadaan.
“Ahli-ahli kami tidak menerima bantuan daripada kerajaan, jadi macam mana mereka hendak memberi perkhidmatan yang baik,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha bas seluruh negara di sini semalam.