Saturday, August 21, 2010

Diskaun tol raya ditentukan 2 September

 

PETALING JAYA - Penetapan diskaun kadar tol sempena Hari Raya Adilfitri bulan depan akan ditentukan pada satu mesyuarat dengan syarikat konsesi pada 2 September ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor. 

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya itu akan digunakan untuk mendapatkan maklumat balas daripada semua syarikat konsesi tol berhubung bayaran tol. 

“Tengoklah syarikat mana yang bermurah hati beri (diskaun) lebih sikit. Saya rasa Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pun tak mahu ketinggalan memberi diskaun. Jangan takutlah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri MUFORS (Malaysians Unite For Road Safety) di Restoran Jejantas USJ, Kawasan Rehat dan Rawat USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), di sini, semalam.  

Kes akan disiasat



PUTRAJAYA - Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat kenyataan berbaur perkauman dan mengh:ina yang didakwa diucapkan oleh seorang pengetua di Johor, minggu lalu. 

:Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pelajaran itu akan melakukan siasatan bagi mendapatkan fakta sebenar berhubung perkara itu. 

:Menurutnya, setakat ini, reaksi berhubung kenyataan itu mungkin begitu emosional, namun apa juga langkah susulan yang hendak diambil oleh pihak kementerian perlu dibuat dengan adil. 

“Kita mesti dapatkan fakta yang betul kerana ada juga maklumat diterima agak berbeza mengenai apa yang disebut, apa yang dinyatakan dan ada juga pihak yang membuat laporan polis,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengetua sebuah di Kulai Jaya, Johor yang didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan. 

Muhyiddin berkata, walaupun pengetua terbabit telah memohon maaf dan diberi cuti tetapi tindakan yang dikenakan itu adalah langkah sementara. 

Menurutnya, tindakan susulan sama ada dari segi disiplin atau perjawatan hanya akan diambil selepas laporan terperinci jawatankuasa itu dikemukakan kepada kementerian. 

Beliau berkata, jika ia melibatkan soal disiplin dan pegawai itu dianggap sebagai pegawai yang agak kekananan iaitu DG48, maka dia perlu dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam kerana prosedurnya melibatkan perjawatan. - Bernama

Gejala sosial membimbangkan


Isu gejala sosial semakin hari semakin meningkat, pembuangan bayi, rogol, sumbang muhrim dan sebagainya seakan satu wabak yang akan sentiasa menular seperti tiada penawar, siapakah yang patut dipersalahkan, remaja, ibu bapa atau masyarakat? Persoalan dibiarkan tidak berjawab, keluhan, rungutan dan bermacam lagi menjadi halwa telinga. Lawatan daripada Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) ke Kumpulan Media Karangkraf, semalam seakan ruang untuk merungkai persoalan ini. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Ahli Majlis Perunding MPWIM, Datin Aminah Pit Abdul Rahman. 


Kurangnya didikan agama dikatakan faktor utama meningkatnya gejala sosial, walaupun, minoriti pelaku adalah terdiri daripada golongan yang mendapat didikan agama secukupnya, adakah Datin bersetuju dengan pandangan ini? 

AMINAH: Apabila kita melakukan sesuatu kerana Allah Taala, pasti hikmat yang diperoleh bertepatan dengan apa yang diamalkan tetapi jika kita melakukannya kerana ia perlu maka pelbagai masalah akan wujud. 

Ayah saya selalu berpesan, jagalah solat, kerana solat itu adalah tiang, dan daripada pemerhatian saya mendapati ramai golongan yang terjerumus ke lembah ini adalah golongan yang tidak tahu sembahyang. 

Saya bersetuju dengan kenyataan ini kerana hanya amalan sahaja yang mampu menangkis diri kita daripada ke lembah itu. 


Isu gejala sosial berada di tahap menakutkan, namun mengapa masyarakat sekarang masih berada di zon selesa sedangkan isu itu adalah pembunuh generasi akan datang? 

AMINAH: Masyarakat tidak mengetahui angka sebenar gejala sosial, kerana itulah mereka bersikap berpeluk tubuh, ‘jangan menjaga tepi kain orang’ masih kuat membelenggu pemikiran masyarakat kita. 

Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati peratusan gejala sosial di negara ini berada di tahap yang membimbangkan, terlalu sedih untuk diperkatakan jumlahnya dan kebanyakan remaja yang terlibat adalah bangsa Melayu. 


Kenapa pengkaji tidak mendedahkan angka sebenar jumlah remaja terlibat dengan gejala sosial kepada orang ramai sedangkan ianya penting? 

AMINAH: Kajian berkenaan adalah sulit untuk didedahkan kerana itu adalah kajian universiti, pihak berkenaan enggan kerana tindak balas daripada pihak luar akan mendatang kesan yang sukar untuk dijangkakan. 

Cara untuk menyekat penularan gejala sosial ini dengan menjadikan pendidikan seks sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah, adakah wajar mata pelajaran ini diajar kepada pelajar sekolah terutama murid sekolah rendah? 

AMINAH: Saya dilahirkan di zaman 60 an, zaman yang ‘bersih’ daripada anasir-anasir luar jika dibandingkan dengan keadaan dihadapi remaja sekarang, ibu bapa amat menekankan adab dan terlalu sukar untuk membincangkan hal ini, kami hanya dididik supaya jangan berdekatan ataupun bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim. 


Ibu bapa adalah insan yang paling hampir dengan anak-anak, tumpuan daripada mereka akan menentukan cemerlangnya anak itu, tetapi akibat tuntutan kerja dan tanggungjawab menyebabkan layanan terhadap anak bergelar remaja ini hambar, adakah kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa mendorong anak-anak untuk melakukan sesuatu bagi memastikan mereka mendapat ‘cinta’ daripada lelaki sehingga terjadinya ‘virus ‘ini? 

AMINAH: Sebagai anak, mereka hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan sentiasa beringat sebelum kena, nasihat daripada ibu bapa harus dijadikan panduan, pertalian tidak akan putus dan kedua-dua pihak saling memerlukan, walaupun terlampau sibuk, ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak-anak. 

Cara didikan ibu bapa amat berbeza dengan keadaan sekarang, anak-anak amat menghormati dan tidak akan melawan apa yang dilarang oleh orang tua tetapi sekarang hanya tinggal kenangan. 

Anak-anak melakukan sesuatu tanpa menghiraukan perasaan orang tua, didikan murni yang diamalkan telah lupus. 

Keputusan kerajaan Negeri Melaka untuk menubuhkan sekolah khas bagi remaja hamil bertempat di Jasin menimbulkan jawapan dan spekulasi daripada ramai pihak, ada yang bersetuju dan ramai juga kurang bersetuju dengan cadangan itu, bagaimanakah pula dengan Datin? Adakah cadangan berkenaan dapat mengurangkan kadar pembuangan bayi daripada terus berleluasa? 

AMINAH: Bagi saya, idea mewujudkan sekolah bagi remaja hamil adalah salah satu tindakan yang memalukan kepada individu berkenaan, kerana masyarakat pasti akan memandang serong dengan keadaannya, sekolah hamil seperti suatu tanda kepada remaja yang mengandung anak tidak sah taraf, selalu kedengaran kata-kata ini “masuk ke sekolah itu, pasti dia mengandung?, remaja pasti berada dalam situasi tertekan , penubuhan sekolah khas itu tidak akan 

Isu ini tidak akan berkurangan selagi tidak timbul kesedaran dalam diri mereka, segalanya bermula dari diri remaja itu sendiri. 


Baru-baru ini, negara digemparkan dengan cadangan untuk memberikan hukuman bunuh kepada individu yang terlibat dengan pembuangan bayi, namun tidak sampai 24 jam hukuman itu diwartakan semakin berleluasa aktiviti berkenaan, adakah ianya seakan menguji kredibiliti undang-undang di Malaysia? 

AMINAH: Hukuman mati akan menakutkan orang ramai, tetapi cadangan itu diharap diteliti lagi. 


Apakah yang Datin harapkan untuk mengubah situasi yang berlaku? 

AMINAH: Keinsafan datang daripada diri individu itu sendiri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti MPWIM hanyalah badan penggerak yang boleh melindungi remaja-remaja atau individu yang tidak mempunyai tempat untuk berlindung dan membantu menyelesaikan masalah yang melanda, harapan saya agar, adanya pihak yang ingin memberi sumbangan kepada kami untuk meneruskan aktiviti kebajikan ini. 

Mereka perlu dibantu, bukannya dikelewehkan, pihak MPWIM berharap segala perancangan yang dirangka akan berjalan dengan lancar dan bantulah kami membantu mereka yang memerlukan.

Israel-Palestin teruskan rundingan damai




WASHINGTON - Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton melaporkan, keputusan antara pemimpin Israel dan Palestin semakin hampir dicapai untuk meneruskan rundingan damai terus antara dua negara itu. 

Jurucakap Jabatan Negeri, PJ Crowley berkata, dua negara itu semakin hampir dalam mencapai keputusan untuk meneruskan rundingan itu dan masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan. 

Utusan Khas AS, George Mitchell sudah berbulan-bulan menggesa pemimpin Israel dan Palestin supaya menyambung semula rundingan damai terus itu. 

Sebelum ini, pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas berkeras supaya penempatan Israel di dibekukan sebelum memulakan rundingan manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, beliau tidak akan menerima sebarang syarat. 

Menurut Crowley, Kesatuan Eropah, Rusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan AS menyokong rundingan damai terus itu disambung semula. -Bernama

Pinda Akta 355 jika mahu laksana hudud: PGSM

 


SHAH ALAM- Kerajaan Kelantan perlu meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu jika mahu melaksanakan hukum hudud di negeri itu. 

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, akta itu perlu dipinda terlebih dahulu dengan mendapatkan kelulusan daripada suara majoriti di Parlimen. 

“Selagi ia tidak dipinda, tindakan untuk melaksanakan hukum hudud itu tidak ubah seperti omongan kosong dan percakapan politik sahaja. 

“Setakat ini, bidang kuasa Enakmen Jenayah Syariah Negeri ialah mengenakan denda tidak lebih RM5000, penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali terhadap kesalahan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, hukuman itu tidak boleh dilaksanakan kerana menurut tuntutan Perlembagaan Persekutuan, negeri tidak mempunyai kuasa terhadap undang-undang jenayah. 

“Ada undang-undang tersendiri yang termaktub di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. 

“Undang-undang jenayah adalah di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan, bukan di bawah kerajaan negeri dan keputusan terhadapnya terletak di bawah kuasa Parlimen,” katanya.

“Memang ada doa”




JELUTONG – Bukan baru-baru ini tetapi kira-kira dua hingga tiga bulan lalu nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng disebut dalam bacaan khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Jelutong. 

Ketua UMNO Cawangan Jelutong, Abu Kassim Ismail berkata, beliau yang ketika itu berada dalam masjid agak terkejut kerana nama Guan Eng disebut bagi mengantikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas. 

Menurutnya, khatib yang membaca khutbah mungkin khatib jemputan kerana bukan yang biasa bertugas di masjid berkenaan. 

“Masa itu saya agak hairan kerana selepas mengucapkan semoga Guan Eng sejahtera, saya cuba mendapatkan nama khatib di papan kenyataan masjid tetapi tidak tercatat apa-apa. 

“Biasanya ada ahli jawatankuasa masjid akan tulis nama khatib bertugas tetapi kali ini tiada, jadi sukar untuk saya mengenalpasti dari mana khatib itu dibawa, tetapi kemudiannya saya terus membawa perkara ini kepada ketua saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Semalam, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa nama Guan Eng digunakan dalam doa bacaan khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang Dipertuan Agong. 

Antara masjid yang terlibat termasuk Jelutong, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor. 

Tinjauan di Masjid Jamek Jelutong semalam mendapati bacaan khutbah hanya memfokuskan mengenai bayaran zakat. 

Menurutnya, beliau tidak kisah sekiranya nama Guan Eng disebut namun tidak patut pula nama Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri dilupakan. 

“Saya pun tidak tahu hukum hakam fatwa mengenai nama orang bukan Islam disebut dalam khutbah ini, tetapi bagi saya membelakangkan ketua agama negeri adalah salah dan dianggap tidak patut,” katanya.

Bukan orang kafir suruh buktikan orang islam sendiri suruh buktikan

Buktikan sistem dinar, dirham boleh berjaya 


KOTA BHARU – Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin meminta Kerajaan Negeri menunjukkan sejauh mana kejayaan urus niaga sistem dinar dan dirham. 

Beliau menyarankan kepada pihak yang memperkenalkan sistem itu boleh membuktikan jumlah sebenar perniagaan menggunakan sistem terbabit pada penghujung tahun. 

Menurutnya, jika dalam tempoh dua atau tiga tahun ia menunjukkan jumlah penggunaan RM2 bilion perkara berkenaan cukup bagus dan boleh dipelajari. 

“Saya nak tahu, nanti kita nak tanya berapa jumlah sebenar urus niaga di Kelantan yang guna dinar dan dirham. Sehari berapa. Banyak mana perniagaan yang guna dinar dan dirham. 

“Kalau orang beli untuk simpan buat apa. Jika ada beberapa orang sahaja yang guna pun buat apa. Nanti kita mahu melihat buktinya,” katanya semalam kepada pemberita sempena Mesyuarat Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Bangunan UMNO Kelantan. 

Awang Adek juga mahu ia dibuktikan dengan statistik penggunaan dan ia bukan dicakapkan sahaja tanpa bukti kerana sekiranya ia berjaya perkara ini boleh dipelajari dan apa yang dianggap sebelum ini tidak benar. 

“Saya juga sangat yakin sebenar perkara ini (penggunaan dinar dan dirham) tidak akan ke mana-mana dan ia tidak akan berlaku secara berterusan. 

“Banyak risikonya, ia tidak praktikal bagaimana dengan cara bakinya, ia juga tidak memudahkan kepada pengguna kerana perlu mengetahui nilai sebenar semasa,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan tindakan pemimpin Barisan Nasional yang mempertikaikan sistem dibuat berdasarkan fakta dan ilmu. 

“Saya mempelajarinya, apa guna ilmu. Kami bukan mahu tunjuk pandai. 

“Rakyat sudah keliru dengan apa yang diperkatakan oleh pihak yang memperkenalkannya. Saya serah kepada Bank Negara untuk menilainya sendiri,” katanya.

Isu derhaka: Nurul Izzah sedia disiasat polis




SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersedia disiasat polis berhubung laporan dibuat terhadapnya yang dikatakan mendedahkan maklumat ketenteraan negara kepada Akhbar Kompas di Indonesia baru-baru ini. 

Katanya, kenyataan beliau adalah berdasarkan jawapan rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Mac lalu mengatakan KD Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami masalah teknikal. 

"Say:a menyelar tuduhan yang mengatakan imej dan keselamatan negara terjejas berikutan kenyataan saya sedangkan pada hari sama, Menteri Pertahanan sendiri membangkitkan di Parlimen mengatakan masalah teknikal sebegini juga dihadapi oleh banyak negara lain di seluruh dunia. 

"Kalau maklumat tentang status mana-mana kapal selam di seluruh dunia dapat diperoleh secara terbuka, di manakah rasionalnya bahawa kenyataan saya menggugat keselamatan negara?," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam. 

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang mengumumkan Latihan Kemahiran Laut yang lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun telah dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan. 

Kelmarin, Dr Ahmad Zahid Kelmarin menyelar perbuatan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selepas memberikan kenyataan kepada akhbar asing yang dikatakan boleh menggugat keselamatan negara. .

Bazar Ramadan lubuk rezeki pengemis




KUALA TERENGGANU - Bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini dianggap lubuk rezeki bagi pengemis dan peminta sedekah, menyebabkan ramai di antara mereka menjadikan lokasi itu sebagai kawasan tumpuan untuk kegiatan mengemis. 

Malah, ada di antara mereka sanggup datang dari jauh hanya semata-mata untuk mengaut pendapatan yang dikatakan berlipat kali ganda berbanding hari biasa. 

Bagi yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan, segelintir daripada mereka mampu menyewa teksi untuk ke bazar-bazar Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang bulan mulia ini. 

Senario ini terbongkar melalui hasil siasatan Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau yang dijalankan Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu. 

Penyelaras operasi, Monira Sulaiman berkata, pengemis dan peminta sedekah terbabit tidak pernah serik walaupun kerap kali diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam operasi yang dijalankan sebelum ini. 

“Kami mendapati, majoriti yang diselamatkan adalah dalam kalangan orang sama dan mereka dilihat tidak takut pada risiko yang bakal dihadapi demi mendapatkan pendapatan lebih, terutama pada Ramadan.

“Mereka mengambil kesempatan sepenuhnya kerana mengetahui pada bulan ini, sudah pasti ramai yang bermurah hati untuk memberi sedekah dan disebabkan itu juga, mereka sanggup mengharungi perjalanan jauh setiap hari semata-mata kerana wang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau sepanjang bulan Ramadan 2010 di Bazar Ramadan Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Monira berkata, operasi di bawah akta Orang-Orang Papa 1977 yang menyatakan bahawa kegiatan ini boleh menyebabkan gangguan kepada orang ramai bertujuan memastikan bandar raya Kuala Terengganu bersih daripada kegiatan mengemis dan meminta sedekah.

Menurutnya, lokasi yang diberi tumpuan sepanjang operasi Ramadan melibatkan keseluruhan bazar Ramadan di sekitar Kuala Terengganu serta hasil maklumat orang awam.

Sementara itu katanya, hasil operasi yang dijalankan di bazar Ramadan Kuala Ibai, pihaknya berjaya menyelamatkan dua peminta sedekah orang kurang upaya (OKU) kategori penglihatan dari Taman Rahmat, Marang.

Hanya salah faham - Imam

TASEK GELUGOR 20 Ogos - Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.
Beliau menjelaskan, khatib berkenaan bukannya mendoakan kesejahteraan Guan Eng dunia dan akhirat kerana perkara itu adalah salah.
Ibrahim juga mengakui nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.
''Isu penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat berpunca daripada salah faham di kalangan jemaah sendiri.
''Ramai di kalangan mereka tidak faham mengenai doa yang dibacakan oleh khatib jemputan pada hari berkenaan.
"Ada jemaah yang tak faham bahasa Arab, salah faham tentang maksud doa yang dibacakan itu,' katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini hari ini.
Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang semalam membantah penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid, baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, pada setiap bulan pihak masjid akan menjemput khatib luar untuk membacakan khutbah di situ.
Katanya, adalah perlu bagi khatib dan jemaah mendoakan pemimpin negara dalam setiap doa yang dibaca mereka.
"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan kami akan buat siasatan siapa yang menyebarkan berita tak betul ini," ujarnya.

MAIPP nafi keluar arahan guna nama Guan Eng dalam khutbah


PULAU PINANG 20 Ogos - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan atau menyediakan sebarang teks baru supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria berkata, doa yang dibaca khatib di negeri ini adalah sama seperti yang digunakan oleh seluruh masjid sejak dahulu lagi yang antara lain mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam negeri.
Namun jelas beliau, pihaknya tidak mampu memantau semua masjid bagi memastikan setiap doa yang dibaca, diikuti seperti yang telah ditetapkan mengikut peraturan sedia ada.
''MAIPP kena siasat dahulu kesahihan dakwaan berkenaan dan masjid yang terlibat kerana sehingga kini tiada aduan yang kita terima memaklumkan perkara tersebut.
''Justeru saya minta mereka yang tahu dan mendengar tentang perkara ini datang dan membuat laporan kepada MAIPP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri apabila nama Guan Eng digunakan dalam bacaan khutbah solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Mengulas lanjut, Ellias berkata, pihaknya dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan termasuk menyoal siasat pihak masjid yang dikatakan terlibat dalam isu tersebut.
''Sebagai sebuah majlis agama dan jawatan yang dipertuanya sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami tidak akan sesekali bertindak sedemikian dan menafikan hak kemuliaan Seri Paduka kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dibenarkan.
''Bagaimanapun jika terjadi, ia adalah berdasarkan pada kehendak individu itu sendiri dan tidak ada kaitan dengan MAIPP,'' katanya.
Menurutnya, jika terbukti perkara itu berlaku, pihaknya akan merujuk kepada Jawatankuasa Penulisan Khutbah yang dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya.

UMNO terima lima aduan


TASEK GELUGOR 20 Ogos - Badan Perhubungan UMNO negeri telah menerima sebanyak lima aduan berhubung bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat yang menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya berkata, aduan itu dibuat oleh jemaah di lima buah masjid di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Georgetown.
Menurutnya, aduan itu menyatakan khatib bertugas hanya menyebut nama Guan Eng dan bukannya nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa pada khutbah kedua.
"Khatib sepatutnya menggunakan teks khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk solat Jumaat dan tidak mengubah sesuka hati isi kandungannya.
"Bagaimanapun, banyak masjid yang dikuasai penyokong dan ahli Pas enggan menggunakan teks yang disediakan tetapi menggunakan teks mereka sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Badan Perhubungan UMNO negeri membantah penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid baru-baru ini.
Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini.
Shabudin turut menggesa MAIPP dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menyiasat perkara berkenaan bagi mengelak daripada berulang.

Nurul Izzah tetap pertahan


KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.
Nurul Izzah berkata, beliau sedia disiasat oleh pihak polis ekoran kenyataan yang dibuatnya ketika ditemu bual oleh akhbar Indonesia, Kompas pada 4 Ogos lalu itu.
Katanya, kenyataan dalam temu bual itu adalah berdasarkan jawapan rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada 17 Mac lalu bahawa kapal KD Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami masalah teknikal.
“Justeru, saya sedia disiasat oleh pihak polis dan saya berharap permulaan siasatan ini akan membawa kepada isu-isu berkaitan lain.
“Ia termasuk mengenai soal pembelian yang diberi kepada syarikat pilihan serta penyelenggaraan kapal selam tersebut dan siasatan yang sedang dilangsungkan oleh pihak perundangan Perancis terhadap kapal selam yang sama,” katanya.

Doa khutbah kedua: Pemuda UMNO Bagan lapor polis


21/08/2010 1:32pm

BUTTERWORTH 21 Ogos - Pemuda UMNO Bahagian Bagan hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth ekoran doa yang dibacakan khatib, Zakaria Ahmad pada solat Jumaat di Masjid Jamek Kubang Buaya di sini semalam.
Dalam doa khutbah keduanya, Zakaria membacakan doa yang berbunyi "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri".
Zakaria juga didakwa tidak mendoakan kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Laporan itu dibuat Ketua UMNO bahagian itu, Sheikh Hussein Mydin yang turut dihadiri beberapa Ketua Pemuda UMNO bahagian negeri Pulau Pinang. - Utusan

Dua ahli kariah masjid akui doa sebut KM


TASEK GELUGOR 20 Ogos - Dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang mengesahkan berlaku penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat seperti yang didedahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri semalam.
Mereka ialah Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di sini, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.
Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.
Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.
''Rakan-rakan kariah masjid ada menjemput dia (Zakaria) untuk memberi khutbah dan kita tiada halangan.
"Kalau ditanya mengenai isu ini, kita memang akui nama ketua menteri memang ada disebut dalam doa khutbah.
''Nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut langsung tetapi ingin saya tegaskan bahawa pihak kariah sendiri tidak membuat apa-apa arahan atau permintaan supaya nama ketua menteri disebut dalam doa khutbah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Hamir menambah, jawatakuasa kariah mempertahankan penggunaan nama Guan Eng dalam doa khutbah kerana mendakwa ia bertujuan memohon kepada Allah supaya Setiausaha Agung DAP itu diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.
Ditanya kenapa nama Guan Eng disebut dalam doa berkenaan tetapi tidak nama Yang di-Pertuan Agong, Hamir menjelaskan, beliau sendiri tidak pasti kerana dalam teks doa tertera nama Tuanku Mizan.
"Mungkin dia (Zakaria) terlupa sebab dia pun dari Perak bukan dari sini," ujarnya..
Hamir juga mengakui kejadian itu menyebabkan pihaknya dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Seberang Perai Utara (SPU) untuk memberi penjelasan.
Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.
Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Menceritakan keadaan ketika itu, beliau menjelaskan, para jemaah agak tergamam apabila mendengar khatib membacakan bacaan doa berkenaan.
"Ada dalam kalangan jemaah berpandangan di antara satu sama lain dan tertanya-tanya mengenai kejadian itu.
"Kenapa khatib tidak menyebut nama kedua-dua pemimpin utama ini sedangkan nama Guan Eng disebut, itu yang kita tidak pasti," katanya.

Tuntutan kurangkan ekuiti bumiputera bertentangan perlembagaan


JELEBU 20 Ogos - Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya ekuiti bumiputera dikurangkan adalah bertentangan sama sekali dengan perlembagaan negara, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Katanya, ini kerana Perkara 153 memberi hak yang terasas kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak dan pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang.
"Apabila beliau menuntut ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat-peringkat, sekali gus beliau menentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
"Mungkin beliau tidak sedar perkara ini tetapi saya ingin mengingatkan iaitu Perkara 153 bukan merupakan satu peruntukan yang mudah, malah ia tidak boleh dipinda oleh mana-mana pihak kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan juga sesuai dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Felda Pasoh 1 dekat sini, malam tadi.
Rais berkata, bahawa semasa Soi Lek menyuarakan hal itu, beliau mungkin menyesuaikan dengan sentimen politik partinya tetapi orang Melayu khasnya, sebagai pejuang menegakkan perlembagaan, tidak boleh menerima itu.
"Jika itu dilaksanakan dalam bentuk tindakan maka pertama, kita mencabul Persekutuan Malaysia menerusi Perkara 153 dan kedua, kita mencabul kedudukan Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong yang berhak menentukan kepentingan-kepentingan tersebut.
"Kita maklum hal ini bukanlah perkara yang diamalkan begitu saja, tetapi ini sudah diterima oleh semua yang menjadi pihak kepada kontrak sosial pada tahun 1956, 1957 semasa Suruhanjaya Reid ditubuhkan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan dan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dimaktubkan," katanya.
Rais berharap pada masa depan pemimpin parti politik tidak hanya menyatakan sesuatu mengikut sesuka hati mereka, tetapi memberi pengiktirafan kepada perkara yang sudah menjadi pokok kepada negara ini.
Katanya, hal ini harus diterima dan tidak boleh lagi dipinda mengikut sentimen politik sekarang.
"Misalnya, jika UMNO sendiri pun nak pinda Perkara 153, tidak boleh. Ia mempunyai lapisan kuasa-kuasa tertentu, apatah lagi kalau Soi Lek nak memindanya atau pun nak menidakkan bahagian yang hak kepada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak," katanya.
Rais berkata, bahawa dalam Perkara 153 juga, hak kaum juga disebut, dan dalam soal ini, Soi Lek boleh berjuang dan meminta ehsan kerajaan untuk membantu, tetapi tidak boleh menidakkan hak yang ada pada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak.
"Jika Soi Lek hendak menuntut yang lain, ini terserah kepada tenaga sekutu politik yang ada dan saya percaya orang Melayu mempunyai fahaman dan juga pendirian yang tegas, dan jika dikira kekayaan dan perolehan bukan Melayu seperti rakan-rakan Cina kita, mereka sudah mendapati agihan yang lebih daripada 47 peratus.
"Jadi hal ini harus ditimbang dalam konteks sebenar dan kita berjuang sebagai satu sekutu dan sebagai seorang juara," katanya.
Ditanya kenyataan Soi Lek bahawa MCA sanggup berkongsi pandangan sama dengan DAP untuk kepentingan masyarakat Cina, Rais berkata, perbuatan Soi Lek sekali gus menonjolkan beliau tidak lagi menghormati gagasan Barisan Nasional (BN) di mana pengerusinya adalah Perdana Menteri dan membelakangkan realiti ini.
"Ekoran itu, orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi perkara seperti ini.
Jadi bila kita kuat, orang lain tidak boleh cuit... samalah seperti yang saya katakan apabila tiang condong, kura-kura pun nak naik.
"Orang Melayu harus bersatu dan ketepikan perkara remeh dan menyuarakan apa yang hak. Jika ini tidak dilakukan, orang seperti Soi Lek akan terus menggugat perjuangan asas," katanya.
Pada majlis itu, Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu menerima zakat perniagaan Amanah Raya Bhd. (ARB) berjumlah RM10,000 daripada Ketua Pegawai Pemasaran ARB, Ahmad Saruji Abdul Aziz untuk diagihkan kepada 50 orang kurang bernasib baik.
Rais turut menyampaikan sumbangan peruntukan kawasan Parlimen beliau kepada 46 penerima. - Bernama