Showing posts with label Dr. Hasan Ali. Show all posts
Showing posts with label Dr. Hasan Ali. Show all posts

Sunday, December 25, 2011

Mustafa terperangkap api fitnah - Hasan


HASAN Ali (kiri) menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di rumahnya di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Dis. - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali terperangkap di dalam prasangka buruk dan api fitnah apabila mengaitkan beliau terlibat dalam agenda politik UMNO.
Hasan berkata, sebagai seorang yang berjawatan tinggi dalam sebuah parti berteraskan Islam, Mustafa tidak sepatutnya dan tidak layak melakukan tuduhan serkap jarang terhadap diri beliau.
Sehubungan itu, Hasan menafikan wujud pertemuan antara beliau dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dengan mana-mana wakil UMNO di sebuah hotel pada Ramadan lalu seperti didakwa oleh Mustafa.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya pertemuan saya dengan mereka (UMNO) sama ada pimpinan di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan.
"Sekali lagi Mustafa terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim dan ahli jemaah," katanya pada sidang media di rumahnya di sini hari ini.
Sebaliknya Hasan mendakwa pertemuan bersama pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO pernah dilakukan oleh Mustafa beberapa kali sebelum ini.
"Bahkan ada permohonan daripada Setiausaha Agung itu sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi UMNO yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan," jelas beliau.
Bagi membuktikan siapa sebenarnya yang bersalah dalam tuduhan itu, Hasan mahu satu siasatan secara terperinci dilakukan oleh parti itu bagi mencari kebenaran sebenar.
Sementara itu, Hasan bertindak menarik balik kenyataan yang dibuat beliau pada 20 Disember lalu berhubung Negara Berkebajikan dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai satu keterlanjuran.
"Saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran sewaktu saya membuat ulasan terhadap perkara itu," jelas beliau.
Hasan berkata, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan oleh pucuk pimpinan.
Bagaimanapun Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetul perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu 'akomodatif' demi kepentingan parti-parti komponen.
"Demi perjuangan kita dan sayang kita pada Islam, saya dan teman-teman berpendapat eloklah negara Islam berbanding Negara Berkebajikan.
"Cuma kita perlu melihat dan pastikan betul-betul ia mempunyai kandungan, hujahan dan persembahan yang sama dengan konsep negara Islam," katanya.
Mengenai tawaran Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kepada beliau untuk menyertai pertubuhan itu, Hasan berkata, beliau menolaknya kerana ingin memberikan perhatian untuk perjuangan Pas.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali atas tawaran itu tetapi kita mesti fokus. Saya tidak boleh letakkan kaki satu di sebelah sana dan satu lagi di sebelah sini," katanya.
Mustafa dalam dakwaan yang mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO baru-baru ini mahu Hasan menjelaskan apa yang dibincangkan bersama tiga orang lain pada pertemuan di sebuah hotel sama ada ia berkait dengan politik atau ekonomi.
Sementara itu, Hasan membidas akhbar Harakah kerana laporan berita yang disifatkan pilih kasih dan menyebelahi pihak-pihak tertentu.
Menurutnya, aduan yang diterima beliau daripada pemimpin-pemimpin Pas dan orang ramai yang melanggan akhbar itu mengatakan Harakah kini seperti memperjuangkan golongan pemimpin dan parti-parti tertentu.
"Mereka kata persembahan akhbar itu kini mirip kepada satu golongan dan tidak mirip kepada golongan yang lain.
"Saya juga lihat ruang laporan banyak diberi keutamaan kepada parti-parti komponen dan bukannya kepada Pas sendiri," katanya.
Beliau berkata, laporan pilih kasih akhbar itu dipercayai berlaku atas arahan yang diberikan oleh pihak atasan parti bagi menjaga kepentingan dalam isu dan perkara tertentu.
Hasan berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku kepada beliau tetapi kepada pemimpin tertinggi Pas seperti Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din yang pernah membuat temu bual berhubung isu gereja DUMC.
"Bayangkan kalau satu temu bual yang komprehensif bersama Haron Din pun tak dikeluarkan, Hasan Ali ini hanya udang kecil sahaja.
"Bagi saya siapa yang dapat menyebar luas dan menetapkan berita ke pangkuan masyarakat itu yang menjadi pilihan kita.
"Keterbukaan media-media ini untuk memberi ruang berita kepada orang seperti saya lebih besar daripada media yang dimiliki oleh parti sendiri,'' tambah beliau.
Sebaliknya katanya, beliau tidak mahu bergantung kepada media Pas semata-mata kerana berita tidak akan disampaikan secara menyeluruh.
"Saya rasa itu tindakan terbaik saya setakat ini dan laporan yang media arus perdana beri kepada saya amat mengagumkan.
"Bahkan dalam kontroversi negara berkebajikan, saya tak nampak pun media-media kerajaan memainkan peranan yang negatif kepada saya dan parti,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan supaya akhbar Harakah kembali kepada matlamat asal dalam memperjuangkan parti dan mencontohi keterbukaan media arus perdana.
Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Saturday, December 24, 2011

Hasan Tarik Balik Komen ‘Negara Berkebajikan’

KUALA LUMPUR: Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menarik balik komen beliau mengenai ‘Negara Berkebajikan’ yang dianjurkan oleh parti itu dalam satu sidang akhbar pada 20 Disember lalu.
Beliau mengakui terdapat unsur ketelanjuran saya sewaktu membuat ulasan terhadap perkara itu. Saya menarik balik komen mengenai ‘Negara Berkebajikan’.
“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu.
“Adapun yang lain daripada itu adalah sama seperti yang terkandung dalam kenyataan akhbar dan ulasan yang telah saya buat,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Sabtu.
Dr Hasan yang juga merupakan Exco Kerajaan Selangor merujuk kepada komen beliau mengenai ‘Negara Berkebajikan’ di mana ia telah diterima dalam Muktamar PAS dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama.
“Saya menyetujui tentang perkara yang dikemukakan. Namun pada masa yang sama juga mahu menyuarakan pandangan dan pendapat sebahagian besar ahli dan penyokong PAS serta masyarakat umum.
“Ada beberapa perkara yang diperlukan namun bukan perkara dasar (tetapi) perkara teknikal mengenai negara berkebajikan itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun hanya mahu memastikan kandungan dan persembahannya menyamai dengan negara Islam namun yakin mengenainya.
“Ia sudah pun diumum dan dilancarkan pada minggu lepas, kemungkinan sama dalam konteks negara Islam itu dan negara berkebajikan,” katanya.
Dr Hasan secara peribadi berpendapat bahawa lebih baik sekiranya mewujudkan negara Islam daripada negara berkebajikan.
“Apapun, saya akur dengan apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
mStar Online : Hasan Tarik Balik Komen ‘Negara Berkebajikan’:

'via Blog this'

Tuesday, December 13, 2011

Saya tak kisah’


Dr. Hasan Ali



SELEPAS 48 jam berita Datuk Dr. Hasan Ali, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor digugurkan daripada senarai calon pilihan raya Pas tersebar, semalam beliau tampil memberikan penjelasan.
Hasan yang pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan dan kemudian menjadi pakar motivasi, menyifatkan pengguguran daripada senarai calon pilihan raya negeri adalah perkara kecil sahaja.
“Soal pencalonan ini bagi saya kecil,” tegas Hasan pada sidang media di kediamannya di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam yang mengulas kontroversi pencalonan itu yang didedahkan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib.
Hasan yang menjadi tokoh kontroversi sejak isu perpaduan antara Pas dan UMNO dibangkitkan sehingga beliau tidak dilantik semula sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor, tetap tidak berganjak meneruskan misi perpaduan umat Islam melangkaui ideologi politik dan bangsa.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia ini, beliau tidak memerlukan pengiktirafan daripada mana-mana pihak termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
ADAKAH Datuk bersedia tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
HASAN: Saya tiada halangan untuk tidak calonkan semula. Malah ia menjadikan saya lebih kental untuk terus berjuang. Saya berjuang atas nama Islam dan Melayu. Ia tidak tertakluk kepada pemberian apa jua bentuk ganjaran sama ada berbentuk wang, pangkat dan jawatan. Jika ganjaran itu diberikan, ia hanyalah secara kebetulan. Sebab itu saya tegaskan pencalonan ini bagi saya soal kecil. Agenda kita adalah memartabatkan Islam. Oleh itu, tiada sebab saya berasa kecewa kerana cita-cita saya adalah untuk menegakkan Islam.
Apa pandangan Datuk tindakan Saari Sungib yang mendedahkan nama Datuk tidak disenarai?
Saya ingin jelaskan beberapa perkara untuk mengelakkan kekeliruan berterusan. Pencalonan daripada cawangan diambil kira dalam menentukan pencalonan tetapi ada ketikanya faktor ini tidak menjadi penentu kerana wujudnya pertimbangan lain. Contohnya, saya sendiri diminta untuk bertanding di DUN Gombak Setia bukan atas dasar pencalonan cawangan.
Setakat saya ingat, Ketua Penerangan Pas Selangor sekarang ini yang bertanding di DUN Hulu Kelang juga tidak ikut proses penerimaan pencalonan cawangan. Hal-hal ini diputuskan Pas Pusat setelah melalui proses penilaian oleh Majlis Syura Ulama. Adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak mendahului pimpinan tertinggi dalam hal ini.
Saya juga musykil kenyataan itu disebarkan bertepatan dengan suasana seorang pemimpin Pas menerima pengiktirafan daripada Sultan Selangor. Saya khuatir pelbagai kesimpulan dan andaian boleh dibuat berikutan wujudnya satu kebetulan ini.
Datuk dimaklumkan mengenai pengguguran sebagai calon?
Tidak. Berapa pencalonan diterima saya tidak tahu. Bila pencalonan dibuka dan ditutup saya tidak tahu. Berapa cawangan yang sokong saya tidak tahu. Tiba-tiba isu ini `meletup’ dua hari lalu dan semalam dilaporkan di dalam akhbar iaitu ketika saya hendak menerima anugerah daripada Sultan. Cuba bayangkan hati sebagai insan. Saya menerima ratusan ucapan tahniah daripada para sahabat dari serata tempat termasuk England dan Jeddah. Tiba-tiba keluar berita Dr. Hasan tidak menerima pencalonan yang cukup. Bagaimana kita rasa. Kita manusia. Kita ada hati. Namun Insya-Allah saya tidak akan hilang pertimbangan.
Presiden parti telah buat kenyataan semalam bahawa apa yang disebutkan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor dari segi pimpinan tertinggi parti ia tidak dirujuk dan setakat ini tidak dipertimbangkan lagi mengenai calon ini. Saya rasakan ada sedikit gangguan di peringkat negeri ini. Gangguan mungkin untuk menganggu kemaraan Dr. Hasan. Saya pun tak tahu tetapi ini spekulasi dari saya. Tetapi saya amat berharap itu tidak berlaku, konspirasi ke saya harap itu tidak berlaku.
Setakat ini sejauh mana kesediaan Datuk untuk tidak dicalonkan?
Saya bersedia, Saya tidak boleh paksa mana-mana pihak. Saya dahulu pernah menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor selama empat penggal (lapan tahun). Saya pun tahu di mana had sebagai Pesuruhjaya, di mana kebolehan dan kemampuan.
Saya tinggalkan jawatan ini baru tujuh bulan lalu. Jadi maknanya soalan mengenai sama ada digugurkan atau tidak digugurkan tidak ada masalah. Orang Pas Selangor hendak atau tidak mengiktiraf saya tidak ada masalah.
Saya mohon Allah mengiktiraf saya. Bukan Pesuruhjaya Pas Selangor iktiraf malah bukan Presiden Pas iktiraf saya. Saya hendak Allah SWT iktiraf usaha kecil yang saya jalankan demi Islam, demi membangunkan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan institusi raja.
Jika benar tidak dicalonkan, apakah sedia bertanding atas tiket Bebas?
Itu saya tidak dapat jawab hari ini. Hakikatnya politik ini bertukar setiap hari. setiap minggu dan setiap bulan. Sekiranya saya jawab soalan saudara hari ini, ia mungkin berubah pada minggu dan bulan depan.
Bagi saya sesiapa yang membawa Islam saya sokong. Kumpulan yang membawa Islam saya sokong. Parti yang membawa Islam saya sokong. Pemimpin yang bawa Islam saya sokong. Itu prinsip saya. Jadi sama ada saya bertanding atas calon apa, atas tiket apa itu bersandar kepada kemampuan saya menggarap Islam dalam perjuangan. Mungkin orang akan membuat andaian kalau begitu saya akan memilih parti X atau memilih parti Y. Bukan begitu.
Politik adalah sesuatu yang tidak pasti. Dalam soal ini biar masa dan keadaan yang menentukan tetapi masa dan keadaan mengikut aliran saya. Aliran saya adalah Islam. Aliran saya adalah bangsa Melayu dan aliran saya adalah kedaulatan raja-raja Melayu.
Adakah usaha meningkatkan perpaduan tanpa mengira ideologi ini perlu diteruskan?
Mesti. Pada saya itulah gunanya saya lahir ke dunia. Itulah gunanya saya dilahirkan sebagai muslim. Itulah gunanya saya belajar sehingga peringkat doktor falsafah (PhD). Itulah gunanya saya menguasai ilmu-ilmu dunia ini untuk digabungkan dengan ilmu-ilmu dalam al-Quran bagi kita menjunjung tugas itu. Bahkan tujuan saya ada dunia ini adalah untuk menjalankan tugas menyatukan umat manusia demi mengagungkan Allah SWT.
Adakah Datuk sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar Pas.
Saya sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan ia membawa tiga elemen penting perjuangan saya iaitu Islam, Melayu dan institusi raja. Kalau ini ada tidak ada masalah.
Dengan Pas saya tidak ada masalah, di luar Pas pun saya tidak ada masalah. Dengan NGO saya tidak ada masalah. Hubungan saya dengan NGO cukup baik dan dapat jemputan setiap hari untuk berkongsi pengalaman seperti kes murtad, persoalan orang Melayu dan perpaduan.
Usaha menyatukan UMNO dan Pas atas nama kepentingan Islam sebelum ini gagal antaranya kerana tentangan daripada Pas. Apa yang boleh Datuk jelaskan?
Soal perpaduan dituntut oleh mana-mana agama khasnya agama Islam yang saya anuti sejak lahir ke dunia. Dalam hal perpaduan ia melangkau segala-galanya - bangsa, agama, sempadan dan ideologi. Agenda ini sungguh besar.
Ada pun penyatuan antara Pas dan UMNO ini hanyalah satu penyatuan yang kecil. Namun usaha yang kecil ini telah menerima pelbagai tanggapan dan pandangan yang akhirnya saya rasa kita perlu salahkan diri sendiri. Saya sebenarnya sangat positif jika Islam itu menjadi alat penyatunya. Saya sangat positif jika Islam itu menjadi tonggak kepada perjuangan penyatuan itu.
Apa sumbangan yang boleh Datuk hulurkan untuk meningkatkan usaha perpaduan ini?
Saya harap dipelawa untuk menganggotai jawatankuasa peringkat tertinggi untuk kita sama-sama menyelesaikan masalah ini. Saya ada ramuan yang boleh kita kongsi. Ramuan ini telah digunakan oleh kumpulan kecil dan sederhana sejak belasan tahun lalu dan didapati hasilnya positif dalam usaha kita memupuk kesepaduan sejati.
Lebih cantik lagi di peringkat Persekutuan yang melibatkan kementerian atau Jabatan Perdana Menteri. Saya tidak ada masalah. Jika Perdana Menteri kata kami lantik kamu untuk mendapatkan input atas nama perpaduan yang saya dibenarkan menggunakan Islam sebagai tonggaknya, Insya-Allah saya akan berikan jawapan positif.
Adakah Datuk akan tinggalkan Pas jika parti itu tidak lagi memperjuangkan Islam, Melayu dan institusi raja?
Itu bergantung kerana ini soalan untuk akan datang. Hakikatnya, bukan mudah untuk kita ambil keputusan apabila menyentuh perkara ini. Untuk meninggalkan parti begitu sahaja, bukan mudah. Ia melibatkan satu pertimbangan yang sewajarnya dan dalam hal ini walau apa langkah hendak dibuat saya akan rujuk dengan ulama, rakan-rakan politik dan penasihat hal ehwal agama saya.Utusan Malaysia Online - Berita Utama: