KUALA SUNGAI BARU: Kira-kira 300 penduduk di kawasan perumahan Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, di sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan masalah lembu peliharaan sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sejak sekian lama.
Mereka mendakwa sudah semakin hilang sabar, selain bosan mengeluh mengenai isu itu dan kini berharap satu jalan penyelesaian segera diambil, khususnya menerusi campur tangan pihak berkuasa terbabit.
Kalau dulu, kata mereka, bilangan haiwan ini boleh dihitung dengan jari tapi sekarang semakin bertambah sehingga sukar dikenal pasti jumlah sebenar. Peliknya, dakwa mereka lagi, pemilik lembu berkenaan seperti tidak makan saman. ( UMNO = Lembu)
ZAYTUNA - Sekurang-kurangnya 12,000 kanak-kanak dan remaja Palestin di bawah umur 18 tahun ditahan Israel sejak 1967.
Menteri Hal Ehwal Banduan Palestin, Issa Karaka berkata, mereka masih ditahan di beberapa penjara di Israel.
"Kanak-kanak dan remaja itu diberi layanan buruk, didera dan tidak dibicarakan secara adil. Malah, tindakan Israel memenjarakan remaja dan kanak-kanak adalah bertentangan undang-undang antarabangsa," kata menteri dari Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu di Zaytuna, Tebing Barat pada 6 Ogos lalu.
Katanya, rejim Zionis sengaja menahan dan mendera kanak-kanak dan remaja Palestin untuk mematahkan semangat juang generasi muda itu.
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kelonggaran pegangan agama dalam kalangan masyarakat adalah punca utama berlakunya peningkatan gejala maksiat di negara ini.
Beliau berkata, masalah sosial itu tidak hanya melibatkan pembuangan bayi sebaliknya ia mencakupi masalah penagihan dan pengedaran dadah, pengasingan agama daripada politik, pecah rumah serta pelbagai lagi.
“Semua ini dipanggil maksiat. Maksiat ini adalah hasil daripada tidak ada takwa manusia kepada Allah SWT. Kalau manusia sedar malaikat ada di kiri dan kanan... dia tak berzina, mesti tidak buang anak.
“Punca semua ini berlaku adalah disebabkan manusia sekarang longgar (agama) kerana pemimpin kita guna pemerintahan Malaysia ini dengan nasionalis. Buang agama dan politik. Kalau cuba Perdana Menteri sendiri anggap diri dia sebagai pendakwah utama dalam Malaysia tidak akan berlaku benda ini,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan memorandum sokongan tuntutan royalti minyak oleh Persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 dekat sini, semalam.
Sebanyak 450 tandatangan sokongan kepada tindakan kerajaan negeri menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat berjaya dikumpulkan oleh KPKM daripada pelajar Kelantan yang menetap di Kaherah tidak termasuk keseluruhan pelajar yang menetap di wilayah lain.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembuangan bayi di tiga negeri yang berlaku kelmarin.
Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemui dalam keadaan mayatnya ‘dikafankan’ dalam longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Bercham–Tanjung Rambutan, Perak.
Mayat bayi lelaki malang itu ditemui berbalut dengan kain lampin putih, kemudian dibalut pula dengan tudung dan kain batik, dibungkus dengan plastik serta dibuang ke dalam tong sampah sebelum dibawa ke tapak berkenaan.
Mayat bayi itu ditemui oleh pemungut barangan lusuh di sini kira-kira pada jam 1.50 petang.
Dalam kejadian berasingan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 48 jam ditemui di hadapan sebuah rumah wanita warga emas berumur 70 tahun di Jabi, Segamat, Johor.
Warga emas tersebut menyatakan dia hanya menyedari kewujudan bayi itu pada jam 11 malam apabila terdengar suara tangisan.
Bayi yang baru berusia tiga hari itu dilaporkan ditinggalkan dalam keadaan masih lagi mempunyai tali pusat.
Sementara itu dalam kejadian lain, satu janin bayi lelaki cedera teruk di kepala yang dipercayai dihumban ke dalam tong sampah dari tingkat atas sebuah pangsapuri di sini, semalam.
Janin bayi lelaki yang cukup sifat itu dijumpai seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ingin membuang sampah di tong yang terletak berhampiran pasar borong di Lintang Maccalum 1 kira-kira 12.10 tengah hari, semalam.
Ketika ditemui janin itu tidak berbalut dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan dipenuhi sampah sarap selain sudah dihurung lalat.
Mengulas mengenai cara menangani masalah itu, Nik Abdul Aziz berkata, peringatan dosa adalah cara terbaik bagi menangani masalah maksiat dan gejala sosial yang dilihat semakin serius pada masa kini.
“Untuk menangani masalah ini... saya sebut berdosa. Itu (cara) menangani yang paling baik sekali. Beri sedar kepada rakyat campur gaul bebas ini berdosa, tapi berdosa ini tidak ada dalam pengajian sekular hanya dalam pengajian Islam.
“Jadi bila kita sebut Islam tidak ada dalam pengajian sekular... jadi masalah. Sebab tu saya minta semua rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Besar balik semula kepada Islam. Bukan Islam pilih-pilih sebagaimana yang dikehendaki oleh golongan sekular. Ini karut,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam perlu ingat, setiap jenayah yang berlaku itu mampu ditangani dengan Islam.
“Sebutlah jenayah apa sekali pun semua Arab Quraisy buat. Tetapi mereka berhenti kerana Islam. Terlalu banyak ayat Quran yang menerangkan bahawa manusia ini ada malaikat kiri dan kana siang dan malam menjaga. Atas dasar ini jenayah di kalangan orang Arab turun. Bukan kerana senjata nabi tetapi kerana takwa kepada Allah,” katanya.
GAZA CITY 11 Ogos — Selepas memasuki Gaza dua hari lepas, seramai 35 doktor, pakar dan pegawai perubatan yang mengikuti Misi Kemanusiaan ke Gaza Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) mula ditempatkan di dua hospital dan dua klinik di wilayah konflik itu hari ini.
Doktor yang mewakili semua kaum di Malaysia, sejajar dengan gagasan 1Malaysia itu, ditempatkan secara sementara mengikut keperluan di Hospital Al-Quds di sini, Hospital Khan Younis di selatan Gaza berdekatan dengan sempadan Rafah dan dua klinik, masing-masing di Al-Mawasi dan Al-Ma’an.
Empat kumpulan doktor dan pegawai perubatan, termasuk dua pelajar tahun akhir perubatan di Ireland, itu masing-masing akan diketuai Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman di Hospital Al-Quds, Dr Rishya Manikam (Hospital Khan Younis), Datuk Dr Sri Kumar KV Nair (Klinik Al Mawasi) dan Dr A.Ragini (Klinik Al-Ma’an).
Sementara itu, empat orang doktor diletakkan dalam kumpulan bersiap sedia di Hospital Al-Quds untuk dikerahkan pada bila-bila masa jika terdapat keperluan di hospital dan klinik lain di Gaza iaitu Dr. Zikri Zainal Abidin, Dr. N.Mahendran, Dr. Abdul Maheenudden Mohamed dan Dr. Elsonmond Vick.
Pemangku Pengarah Hospital Al-Quds yang juga Ketua Pengurusan Bencana Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), Dr. Khaleel Abou Foul berkata doktor sukarelawan dari Malaysia akan membantu doktor tempatan di bahagian kecemasan, pembedahan dan kes-kes kesihatan utama. - Bernama
PUTRAJAYA 11 Ogos — Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagaimanapun, katanya keputusan itu tidaklah menghalang penuntut untuk mengetahui dan mengikuti sebarang perkembangan politik di negara ini.
"Ini kerana Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah memadai apabila mahasiswa boleh terlibat dalam kegiatan politik selepas mendapat kebenaran Naib Canselor,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tetap melarang penuntut IPTA walaupun ada gesaan agar mereka dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.
Muhyiddin berkata, pindaan AUKU sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada penuntut untuk bersuara di kampus. — Bernama
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Polis hari ini menahan tiga orang lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara dan dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti kumpulan militan di luar negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, dua lagi lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia.
Beliau berkata, warganegara Indonesia itu ialah Mustawan Ahbab, 34, seorang eksekutif pemasaran yang ditangkap di Bukit Indah, Ampang.
Katanya, warganegara tempatan yang ditahan ialah Samsul Hamidi, 34, seorang kontraktor yang ditangkap di Temerloh Pahang, dan Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70, pengarah urusan sebuah syarikat yang ditangkap di Taman Melur, Ampang.
Ketiga-tiga mereka kini ditahan mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, katanya. – Bernama
WASHINGTON: Taliban mendakwa, Amerika Syarikat kini terdesak kerana menggunakan imej wanita cacat sebagai bahan propaganda mereka di muka depan majalah Time, serta menafikan bertanggungjawab menyebabkan kecederaan terbabit.
ANGKARA SIAPA...gambar Aisha yang didakwa didera kerana meninggalkan rumah suaminya menjadi penghias muka depan majalah Time edisi terbaru.
Mengulas paparan itu, Taliban berkata, Time berbohong apabila menuduh kumpulan itu memotong hidung dan telinga wanita terbabit - dikenali sebagai Aisha, 18 - selepas melarikan diri daripada keluarga iparnya yang kejam di selatan wilayah Uruzgan, tahun lalu.
“Propaganda terdesak digunakan Time menunjukkan kepada dunia bagaimana media antarabangsa akan melakukan apa saja bagi memuaskan hati AS, walaupun ia bercanggah dengan integriti kewartawanan,” kata jurucakap Taliban, semalam.
Agensi pemantau bebas AS, SITE, berkata kenyataan berbahasa Inggeris itu dikeluarkan di laman web Taliban pada Sabtu lalu.
Pertubuhan itu juga merujuk diri mereka sendiri sebagai Kerajaan Islam Afghanistan.
Kenyataan sama mendakwa AS sengaja ‘menerbitkan pembohongan itu bagi mengalih perhatian orang ramai’ daripada aib yang mereka alami di Afghanistan ketika ini.
“Gambar diterbitkan Time dan cerita tidak bertamadunnya yang sengaja dikaitkan dengan kerajaan Islam bukan saja palsu, malah menyalahi moral dan etika kewartawanan profesional.
“Ramai wartawan di seluruh dunia mengecam tindakan Time dan menganggap ia adalah jenayah kewartawanan,” kata kenyataan itu.
“Berhubung cerita mengenai Aisha, Kerajaan Islam Afghanistan mengecam tindakan tidak bertamadun, tanpa perikemanusiaan dan bercanggah dengan Islam itu.
“Kes itu tidak pernah dirujuk ke mana-mana mahkamah di Afghanistan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, memotong telinga dan hidung manusia - sama ada hidup atau mati - dilarang dalam Islam.
“Kami menyeru Time dan media Barat lain supaya berhenti menghina prinsip moral mereka semata-mata untuk mengalih perhatian ramai daripada kekalahan tentera AS.
“Kami juga meminta media Afghanistan berhenti menyebarkan penipuan media Barat dengan menjadi penterjemah,” kata kenyataan itu. - AFP
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan program tazkirah kepada masjid dan surau sepanjang Ramadan, namun mengingatkan ia tidak wajar disalah guna sebagai pentas menabur fitnah, membuat tuduhan dan bercerita mengenai politik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata imam dan penceramah yang ditugaskan dalam program tazkirah terbabit sepatutnya menekankan aspek kelebihan beramal ibadat dan kemuliaan Ramadan.
Menurutnya, perbuatan mengata dan menuduh pada kesempatan yang diberikan untuk mengadakan tazkirah dilarang sama sekali kerana ia bukan saja memecah belah perpaduan, malah mencemarkan kesucian masjid dan bulan terbabit.
“Kami mengharuskan program tazkirah yang menumpukan kepada fadilat amal ibadat dan kelebihan Ramadan, tetapi jangan dibuat di antara solat Tarawih kerana tidak mahu mengganggu perjalanan solat terbabit,” katanya.
Katanya, beliau menafikan dakwaan yang mengatakan Jawi mengharamkan program tazkirah sepanjang Ramadan.
“Mereka boleh bertazkirah, tetapi pastikan ianya selepas tarawih dan kami juga mensyaratkan mereka yang memberikan tazkirah itu mestilah individu yang mendapat tauliah daripada Jawi,” katanya.
KUALA LUMPUR: Cadangan membabitkan golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang politik mendapat reaksi negatif daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu mempertimbangkan untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Katanya, kini masyarakat terutama ibu bapa perlu memperuntukkan dan membayar wang bagi membolehkan mahasiswa menimba ilmu.
“Mereka (mahasiswa) sepatutnya menggunakan kesempatan yang ada itu untuk menuntut ilmu, sebaliknya jika terbabit dalam politik, itu boleh dianggap perbuatan tidak bertanggungjawab. “Malah, mereka akan mempunyai banyak masa untuk terbabit dalam politik sebaik menamatkan pengajian. Apabila mereka sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, itulah masa yang sesuai,” katanya selepas Syarahan Umum mengenai Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi anjuran Open University Malaysia (OUM) di sini, semalam.
Terdahulu, Dr Mahathir turut menyempurnakan pelancaran ‘e-Learning Innovations’ dan menyampaikan syarahan kepada kira-kira 500 kakitangan OUM bertajuk Kesan Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi. Semalam, sebuah akhbar melaporkan KPT akan mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPTA terbabit dalam parti politik. Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya akan menyertai perbincangan meja bulat anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin mahasiswa.
Ahad lalu, Saifuddin menerima resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bersetuju membenarkan penuntut terbabit dalam parti politik dengan bersyarat. Sementara itu, Dr Mahathir juga meminta masyarakat negara ini menguasai teknologi yang semakin berkembang jika enggan ketinggalan dalam arus pemodenan.
MUAR: Seorang ibu merayu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mempercepatkan prosedur pembedahan usus anaknya yang berada di luar abdomen kerana tidak sanggup melihat penderitaan kanak-kanak berusia empat tahun itu.
KASIH IBU...Mardiana memakai bengkung kepada Khalid.
Mardiana Abu Bakar, 40, berkata, usus anaknya, Muhammad Khalid Kamarullzaman makin membesar, sedangkan doktor merawatnya pernah menyatakan bahawa pembedahan dilakukan ketika kanak-kanak itu berusia setahun.
“Tetapi pembedahan itu ditangguhkan ketika usianya tiga tahun dan sekali lagi gagal dilakukan ketika dia berusia empat tahun.
“Saya memohon supaya pembedahan Muhammad dipercepatkan kerana saya tidak sampai hati melihat penderitaannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kepong, semalam.
Menurutnya, sejak Muhammad masih bayi sehinggalah bersekolah tahun depan, doktor tidak memberi kepastian bila pembedahan dilakukan.
“Anak saya pasti malu hendak bersekolah tahun depan memandangkan ususnya ketara di luar tubuh dan keadaan itu bakal menjadi perhatian atau bahan ejekan.
Menurut Mardiana, ketika Muhammad bayi, saiz ususnya sebesar telur goreng dan kini membesar sehingga lima kali ganda menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Tarikh akhir pemeriksaan rawatan susulan dilakukan pada Disember lalu di HSA dan kedua-dua pihak, HSA serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih tidak memberi kata putus,” katanya.
JAKARTA: Dua anak lelaki Abu Bakar Bashir, Abdurrochim dan Abdurrosyid yang melawat bapa mereka yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Nasional di sini semalam mendakwa tuduhan keganasan yang dilemparkan ke atas bapa mereka sengaja diada-adakan polis.
Polis sengaja mengada-adakan cerita. Bapa saya tidak pernah terbabit dalam aktiviti seperti itu, beliau menentang pembunuhan. Ini jelas diada-adakan, katanya.
Katanya, ia bagaimanapun tidak menghalang prosiding perundangan, kata Marwoto.
Dia tidak mahu menjawab soalan kami, namun kami memiliki bukti untuk meneruskan pendakwaan, katanya, menambah bahawa beberapa saksi mengakui peranan
Abu Bakar ialah mengumpul wang bagi membiayai aktiviti pengganas.
Abu Bakar menghubungi rakannya, ahli perniagaan, untuk membantunya. Sesetengah mereka sudah ditahan.
Hidayat Nur Wahid, anggota kanan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) berasaskan Islam meminta pihak polis melayan Abu Bakar secara perikemanusiaan.
Hidayat turut mengkritik cara Abu Bakar ditahan, menyatakan polis bersenjata tidak perlu menahan kenderaan ulama itu di tengah jalan sebaliknya hanya mengekorinya sehingga dia berhenti.
Abu Bakar ditahan di Banjar, Jawa Barat oleh skuad polis antikeganasan Densus 88 kelmarin kerana disyaki terbabit aktiviti keganasan.
Polis Nasional berkata, penahanan Abu Bakar dikaitkan dengan kumpulan separa tentera Aceh yang didakwa berkomplot melakukan serbuan pengganas ala Mumbai. Agensi
JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengumumkan akan menyekat capaian kepada empat juta laman lucah di internet selepas menerima desakan masyarakat secara berterusan berhubung perkara itu, khususnya dalam usaha melindungi golongan remaja daripada bahaya pengaruh pornografi.
Sekatan capaian itu meliputi semua laman yang mengandungi bahan pornografi seperti capaian persenggamaan normal mahupun yang di luar tabie, aksi bogel, penampilan visual alat kelamin dan simbol pornografi.
Menteri Komunikasi dan Penerangan Tifatul Sembiring berkata langkah itu yang diambil bersempena Ramadan, adalah selaras dengan kehendak undang-undang antipornografi Indonesia yang diluluskan 30 Oktober 2008.
Pada masa ini sekitar 90 peratus laman porno disekat caopaianya, kami akan
melakukannya bertahap-tahap sehingga semuanya disekat, katanya pada sidang media di Jakarta, Selasa. BERNAMA
BEIRUT: Hizbullah menuduh Israel mungkin terbabit dalam pembunuhan Rafiq Hariri pada 2005 berikutan pesawat pengintip tentera negara Yahudi itu dibuktikan merakam tapak serangan ke atas perdana menteri Lubnan berkenaan, sebelum pembunuhannya.
Hizbullah berjaya memintas rakaman yang dibuat pesawat itu dan ia jelas satu persediaan sebelum pelancaran sesuatu operasi, kata kumpulan Lubnan itu, Hassan
Nasrallah dalam satu sidang media diadakan menerusi siaran video. Beberapa klip, setiap satunya beberapa minit tanpa tarikh, menunjukkan pemandangan udara pantai di luar barat Beirut yang majoritinya penduduk Sunnah beberapa hari sebelum pembunuhan Hariri, katanya.
Nasrallah, yang menuduh Israel bertanggungjawab dalam pengeboman 15 Februari 2005 yang mengorbankan Hariri dan 22 yang lain, berkata rakaman itu dipintas daripada pesawat pengintip Israel MK.
Dakwaan kamera Israel mengawasi seluruh daerah popular Hamra, kediaman Hariri di barat Beirut dan parlimen, perhentian terakhirnya sebelum pembunuhan akibat letupan bom menghadap laut.
Rakaman dipintas itu yang disiarkan stesen televisyen milik Hizbullah, Al-Manar menunjukkan rakaman dibuat dekat lebuh raya utama dan terowong menghubungkan Beirut ke Jounieh, sebuah bandar Kristian di utara ibu kota itu.
Nasrallah, yang mana partinya rapat dengan Iran dan Syria, bulan lalu mendedahkan beliau menyedari tribunal disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat pembunuhan Hariri kemungkinan mendakwa anggota Hizbullah di atas pembunuhan itu dan menyelar mahkamah sebagai berat sebelah dan sebahagian komplot Israel.
Nasrallah berkata semalam beliau kurang yakin dengan siasatan PBB itu tetapi berkata akan memberi kerjasama dengan kerajaan dan Kabinet Lubnan yang mempunyai dua menteri dari Hizbullah.
Pembunuhan Hariri mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menjurus kepada pengunduran tentera Syria dari Lubnan pada April 2005 selepas menduduki Lubnan hampir tiga dekad lamanya.
Pembunuhan Hariri dipersalahkan meluas ke atas Syria walaupun Damsyik secara konsisten menafikan pembabitannya. AFP
KEM DARAPANAN: Pergerakan Pembebasan Islam Moro (MILF) bimbang rundingan damai dengan kerajaan Filipina akan lebur kerana Manila berniat menyingkirkan Malaysia sebagai pengantara, memindahkan lokasi dialog ke Jakarta selain mengkaji semula persetujuan awal.
MILF bersetuju menyambung rundingan dengan pentadbiran Presiden Benigno Aquino, tetapi gusar niat kerajaan baru akan menyebabkan kedua-dua pihak saling tidak mempercayai dan menghancurkan rundingan sebelum ia bermula, kata pemimpinnya, Ebrahim Murad.
Kerajaan semakin banyak memberitahu secara tidak langsung bahawa mereka mahu rundingan baru diadakan dan menggantikan penyelaras rundingan, kata Murad kepada wartawan asing di sini, kelmarin.
Jika benar, cadangan seperti ini akan menangguhkan termasuk menggugat rundingan damai, katanya sambil menambah Manila belum menggerakkan langkah menyambung rundingan.
Katanya, hampir 90 perjanjian ditandatangani sejak 1997 termasuk gencatan senjata, pemulihan kawasan konflik dan membenarkan pemerhati daripada kerajaan asing dan kumpulan lain dalam rundingan.
Pendirian kami jelas. Kami tidak setuju menyambung rundingan jika semuanya dirunding semula, kami mahu rundingan disambung berdasarkan apa yang dicapai, kata Murad.
Beliau juga menegaskan, MILF mahu Malaysia kekal sebagai pengantara rundingan selepas khabar angin tersebar bahawa Manila mahu rundingan diadakan di Jakarta. Reuters
GAZA: Libya akan menanggung kos pembinaan semula 1,250 rumah untuk penduduk Gaza selepas kediaman mereka musnah dalam serangan Israel ke atas wilayah itu, tahun lalu.
Ia berdasarkan perjanjian luar biasa dengan seteru utama, Israel, selepas Libya setuju membebaskan seorang jurugambar Yahudi, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Dalam kenyataan terhadap musuhnya sejak sekian lama, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, yang membantu pembebasan jurugambar Rafael Hadad dengan bantuan pengantara Austria, menyifatkan Libya sebagai rakan kongsi dipercayai.
Israel dan Libya secara teknikalnya masih berperang dan negara utara Afrika itu adalah antara pengkritik paling lantang Tel Aviv pada peringkat antarabangsa.
Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) yang menjaga pelarian Palestin, berkata mengikut perjanjian itu, Israel akan membenarkan Libya membiayai pembinaan semula rumah di sini dengan kos AS$50 juta (RM157.60 juta).
Lieberman dan pembantunya enggan mengulas perincian perjanjian membebaskan Hadad, 34, yang ditahan sebagai pengintip Mac lalu selepas berkunjung ke Libya menggunakan pasport dikeluarkan Tunisia, negara kelahirannya.
Rakan sekerjanya berkata, Hadad mengambil gambar tapak warisan Yahudi di Libya dan Israel menafikan jurugambarnya melakukan intipan.
Selepas membawa pulang Hadad kelmarin, Lieberman berkata: Saya fikir perjanjian dengan kerajaan Libya amat berjaya. Kami tahu mereka adalah rakan yang boleh dipercayai dan kami akan hormati tuntutan mereka dalam beberapa isu Palestin.
Rundingan pembebasan Hadad berlangsung ketika sebuah kapal disewa Libya bulan lalu membawa kargo bantuan untuk Gaza yang dikenakan sekatan Israel serta menjadi subjek perdebatan antarabangsa sejak sembilan aktivis dibunuh apabila tentera Israel menyerbu kapal bantuan Turki, Mavi Marmara, Mei lalu.
Peter Ford, wakil Ketua Pesuruhjaya UNRWA, berkata pada majlis menandatangani perjanjian dengan Yayasan Gaddafi Libya bahawa beratus-ratus keluarga Palestin akan mendapat manfaat daripada perjanjian itu. REUTERS
PULAU PINANG 10 Ogos - Peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang sebelum ini tidak dibenarkan berniaga di tingkat tiga bangunan itu seperti tahun-tahun lalu, akhirnya dibenarkan berbuat demikian.
Kebenaran tersebut dicapai hasil perbincangan pihak peniaga dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Komtar di sini selama hampir dua jam bermula kira-kira pada pukul 2.30 petang hari ini.
Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman yang membuat pengumuman itu memberitahu, semua 25 peniaga yang dihalang berniaga sebelum ini boleh memulakan operasi mereka esok dengan kadar sewa RM50 sehari.
"Hasil perbincangan antara kami (dengan PDC) hari ini bersetuju apa yang berlaku adalah disebabkan kesilapan teknikal dan ia sudah pun diperbetulkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan, pihak pengurusan Komtar, PDC iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut pada setiap kali bulan puasa.
Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan Jumaat lalu tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan kelmarin.
Sebelum itu, kira-kira 200 orang terdiri daripada peniaga terbabit dan orang ramai berhimpun hampir sejam bagi membantah serta menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri.
Tambah Mohamed Ghani, pihak para peniaga juga telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah peniaga daripada 27 kepada 25 gerai sahaja kerana mahu mengelak daripada berlaku kesesakan di bazar itu kelak.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa halangan untuk berniaga dibuat berikutan kegagalan KMA membayar sewa perniagaan di tempat itu, Mohamed Ghani berkata, dakwaan berkenaan tidak tepat.
"Bagaimanapun, perkara yang berlaku itu telah pun dijelas dan diperbetulkan pada mesyuarat sebentar tadi iaitu ia hanya sebahagian kesilapan teknikal dan salah faham yang berlaku sebelum ini," katanya.