Wednesday, December 1, 2010

Kes kematian Aminulrasyid: 'Seperti pemandu berpengalaman'



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/12/01

Saksi beritahu Aminulrasyid teringat ibu ketika kereta dipandu dikejar polis peronda 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, semalam diberitahu cara pemanduan Aminulrasyid Amzah, 15, pada malam beliau terkena tembakan polis pada 26 April lalu seperti seorang yang berpengalaman memandu.
Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau berpendapat sedemikian berikutan pemandu kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor pendaftaran BET5023 itu, cekap mengelak kereta lain di jalan raya ketika dikejar saksi dan dua rakannya.
R Lokman Hakim juga bersetuju dengan cadangan peguam M Athimulan ketika pemeriksaan balas, kereta itu juga dipandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam, berikutan ia dipandu laju dan pemandunya pula cuba menghimpit motosikal yang ditunggang olehnya dan dua rakan. 

“Sekiranya saya tidak mengelak daripada dihimpit kereta itu ketika melalui Persiaran Datuk Menteri, saya percaya kemalangan boleh berlaku. 

“Bagaimanapun, saya akui kejadian kereta rakan saya, Nor Syafiq Ariff Shapril, digesel oleh kereta dipandu Aminulrasyid adalah kejadian tidak disengajakan dan saya juga tidak mengenali siapa pemandu kereta itu,” katanya. 

R Lokman Hakim memberi keterangan terhadap Koperal Jenain Subi, 48, di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar pada perbicaraan kes kematian Aminulrasyid, semalam. 
Jenain yang didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 pada 26 April lalu. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda. 

Sementara itu, saksi ke-35 pendakwaan, Mohd Zubir Salleh, 15, memberitahu mahkamah, Aminulrasyid teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis. 

Mohd Zubir berkata, perkara itu diceritakan rakannya, Muhammad Azamuddin Omar yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, ketika mereka berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di sini, beberapa jam selepas kejadian. 

“Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid dikejar polis dan polis mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak,” katanya. 

Terdahulu, Mohd Zubir berkata beliau terserempak Azamuddin di luar pagar sekolah kira-kira jam 7.20 pagi dan rakannya itu kelihatan takut seperti bermasalah. 

Beliau berkata, Azamuddin kemudian meminta beliau mengumpulkan rakan mereka di tandas sekolah sebelum memaklumkan bahawa Aminulrasyid meninggal dunia. 

“Azamuddin menceritakan mengenai kejadian itu kepada kami tidak sampai 10 minit, dan selebihnya hanya tangisan yang lama,” katanya. 

Beliau berkata, Azamuddin turut meminta beliau menyimpan sebuah beg plastik berisi kemeja T serta seluar pendek yang dipakainya pada hari kejadian dan beliau kemudian menyorokkan barang itu di lorong berdekatan rumahnya. 

Katanya, beg plastik itu diambil oleh anggota polis forensik yang datang ke rumahnya pada awal pagi 27 April lepas. 

Mohd Zubir berkata, beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik abangnya di kawasan perumahan tempat tinggalnya. 

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Nik Aziz puji petik al-Quran





2010/12/01

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berharap kecenderungan pemimpin dan masyarakat bukan Islam negara ini membaca atau memetik ayat al-Quran, akan mendorong hati mereka menerima Islam sebagai pegangan hidup. 

Nik Aziz berkata, tanpa membaca al-Quran, sukar untuk golongan bukan Islam mempunyai kefahaman mengenai agama Islam dan ajarannya.
“Ketika ini, al-Quran sudah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa untuk diberi kepada bukan Islam. Saya berterima kasih kepada bukan Islam yang membaca (ayat) al-Quran di depan (khalayak) ramai.
“Semoga terbuka pintu hati mereka menerima Islam. Sudah ramai orang Eropah termasuk saintis menerima Islam kerana membaca (dan memahami) ayat al-Quran dengan betul,” katanya selepas menemui jemaah Masjid Mahligai dekat Melor di sini, petang semalam.

Peter Chin: Kerajaan serius bina loji nuklear

KUALA LUMPUR: Kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), katanya di persidangan Dewan Rakyat semalam.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui
berkata langkah itu juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri
elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak
menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata, loji nuklear menjadi pilihan di beberapa negara luar bagi menjana kuasa elektrik berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta
arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga
membebankan pengguna.

"Ketika ini, kementerian bersama beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Jabatan Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi masih merangka cara terbaik untuk melaksanakan loji nuklear bagi mengelakkan masalah di masa akan datang.

"Kita tahu, loji nuklear membabitkan pelbagai sudut dan kementerian, jadi
kita kena cari kaedah yang lebih licin untuk meneruskan kerja pembinaan,
terutama dari segi keselamatan loji yang akan dibina nanti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan belum pasti bila akan memulakan projek
itu tetapi pelan berkaitan loji nuklear yang dijangka siap pada 2021, akan
diumumkan.

Golongan profesional tidak beretika cuba pengaruhi Felda: Muhyiddin



KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan peneroka Felda supaya tidak terpengaruh hasutan pihak tertentu termasuk golongan profesional tidak beretika yang cuba mengambil kesempatan untuk tujuan politik dan meraih keuntungan.

"Mereka ini menghasut peneroka dengan alasan tertentu dan akhirnya menggunakan peneroka untuk mengheret Felda ke mahkamah...contohnya tindakan saman yang diambil oleh segelintir masyarakat peneroka tidak menguntungkan sesiapa.

"Malah nama baik peneroka sendiri turut terjejas," kata Timbalan Perdana Menteri pada majlis Semai Bakti Felda 2010 di Dewan Perdana Felda di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

Muhyiddin berkata, bahawa sejak kebelakangan ini, banyak isu ditimbulkan oleh pihak-pihak berkepentingan dengan tujuan mengelirukan dan memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mempunyai agenda politik yang sempit dan bertujuan untuk menjatuhkan imej kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata, Felda adalah sebuah organisasi besar yang telah menabur bakti kepada rakyat dan pembangunan negara di mana kejayaan yang dicapai telah memberi kesejahteraan hidup kepada semua dua juta peneroka di seluruh negara.

"Ukuran kejayaan Felda dapat dilihat dengan peningkatan paras pendapatan peneroka, taraf penghidupan yang lebih baik, rumah kediaman yang selesa dan kemudahan infrastruktur yang disediakan," katanya.

Menurutnya secara purata, peneroka yang mengusahakan tanaman kelapa sawit ketika ini memperoleh RM3,814 sebulan dan penoreh getah pula RM3,856 sebulan selain diberi hak milik lot kediaman dan lot pertanian.

"Bagaimanapun, Felda tidak harus leka dengan kejayaan yang dicapai lebih-lebih lagi dalam keadaan persekitaran yang begitu dinamik dan serba canggih yang memerlukan pendekatan baru. Inovasi dan teknologi moden adalah ukuran yang boleh meningkatkan pendapatan peneroka ke paras lebih baik," kata Muhyiddin.

pilihan raya Sarawak RM45 juta



PUTRAJAYA 30 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk mengendalikan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan sebelum Julai 2011.
Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun peruntukan itu tidak termasuk kos penyediaan kawalan keselamatan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain terlibat.
"Belum ada petunjuk lagi bila tarikh pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini akan diadakan tetapi SPR sudah bersedia, tunggu wisel (pembubaran DUN) sahaja.
"Peruntukan RM45 juta itu nanti melibatkan semua kos berkaitan SPR termasuk keperluan logistik seperti pengangkutan perahu, helikopter, kereta dan Land Rover," kata beliau ketika dihubungi di Sandakan hari ini.
Abd. Aziz berada di Sandakan pagi ini setelah menerima taklimat mengenai post mortem pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang dirumuskan sebagai berjalan dengan lancar.
Bahang pilihan raya Sarawak kian terasa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika pulang dari Mekah 24 November lalu memberitahu dirinya sudah mendapat 'inspirasi' mengenai tarikh pilihan raya berkenaan.
Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan sama ada pada Mac atau April.
Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.
Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.