Thursday, April 28, 2011

Mufti Perlis pertahan kehadiran Imam Besar Masjidil Haram



SHEIKH DR ABDUL RAHMAN IBN ABDUL AZIZ AS-SUDAIS: Iman Besar Masjidil Haram. -- Foto THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, mempertahankan kehadiran Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, sambil menafikan dakwaan bahawa imam itu cuba menyuntik fahaman Wahabi dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Sehubungan itu, menurutnya, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman menggunakan platform undangan kerajaan Malaysia untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah 'satu fitnah', lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.Malah, beliau berkata pandangan yang diutarakan oleh seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang bersifat mengesyaki itu, menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.Ini memandangkan Sheikh Abdul Rahman mengimamkan solat di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat lalu dan di Masjidil Haram di Arab Saudi - yang dihadiri jemaah haji.'Ia satu kenyataan keterlaluan,' ujar Dr Juanda.'Bagaimana penerimaan jemaah yang bersolat di Masjid Wilayah Persekutuan dan jemaah Malaysia yang bersolat di Masjidil Haram... kenyataan ini mendatangkan kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan orang Islam, ratusan ribu umat Islam Malaysia yang mengerjakan haji setiap tahun,' katanya sambil menegaskan tidak wajar mengkafirkan seorang 'saudara Islam'.'Ia satu fitnah amat besar kepada kerajaan Malaysia... kenyataan itu boleh mendatangkan kegelisahan awam dalam kalangan orang Islam kerana dia telah memfitnah orang Islam,' jelasnya lagi.Dr Juanda berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik pegawai Jakim, Encik Zamihan Mat Zain, yang mendakwa bahawa Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi dalam kalangan umat Islam Malaysia.Tahun lalu, Encik Zamihan menjadi perhatian awam selepas beliau mendakwa bahawa bekas mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Dr Juanda; dan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ada kaitan dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

Maizawati Dapat Anak Lelaki


PETALING JAYA: Bekas isteri penyanyi Akhil Hayy iaitu Maizawati Zainal, 36, (gambar) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Qhabel Izz Qhushairy.

Dia bersalin dalam keadaan normal di Hospital Kuala Lumpur, dekat sini pukul 4.15 pagi, Rabu.

Bayi tersebut merupakan bayi pertama hasil perkahwinan ketiga Maizawati dengan Mohd. Yassin Ben @ Abd. Rahim, 23. Mereka bernikah pada 9 Ogos tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.86 kilogram secara normal. Saya dan bayi berada dalam keadaan baik.

Suami Maizawati, Yassin mendukung Qhabel di Hospital Kuala Lumpur.

“Antara orang yang paling gembira mendengar berita ini adalah suami saya, Yassin kerana bayi ini merupakan anak pertamanya dan lebih menggembirakan apabila mengetahui bayi ini adalah bayi lelaki,” ujar Maizawati ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Maizawati pada mulanya tidak merancang untuk bersalin di Kuala Lumpur sebaliknya dia datang dari Ipoh untuk menziarahi saudara-maranya.

“Saya datang ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan dimasukkan ke hospital pada petang semalam (Selasa). Jika tiada apa-apa masalah, mungkin saya dibenarkan keluar hospital pada tengah hari esok,” katanya lagi.

Qhabel merupakan anak ketujuh Maizawati. Dia mempunyai empat orang anak dengan bekas suaminya iaitu penceramah bebas, penyanyi dan pengacara Akhil Hayy. Pasangan itu bercerai pada 15 Julai tahun lalu.

Sementara dua anak lagi merupakan hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya yang berasal dari Kelantan.

mStar Online : Maizawati Dapat Anak Lelaki

Dunia Hiburan Hipokrit, Bob Lokman Nekad Bersara


Bob Lokman menyerahkan borang keahlian Pas kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Abd Razak sempena Himpunan Pemuda Pas di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah pada 19 Februari lalu. - Gambar petikan tvpas.com

PETALING JAYA: Pelawak Bob Lokman, 47, akhirnya membuat keputusan muktamad untuk bersara sebagai seorang pelakon selepas membuat keputusan untuk terlibat dengan aktiviti dakwah selain menjadi ahli PAS.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia sudah tidak mempercayai dunia hiburan yang dianggapnya sebagai hipokrit selain terdapat unsur-unsur yang tidak baik di dalamnya.

"Saya membuat keputusan untuk bersara kerana mendapati selama berkecimpung dalam dunia seni, banyak perkara yang tidak elok berlaku dalam bidang itu.

"Lagipun saya merasakan sekarang tibalah masanya untuk saya beralih menjadi seorang pendakwah," katanya kepada mStar Online, di sini, Rabu.

Gambar kenangan Bob bersama Allahyarham Din Beramboi dan Afdlin Shauki ketika menjadi juri Gelanggang Raja Lawak musim keempat.

Bob yang pernah popular dengan lirik ciptaannya, Issabella nyanyian kumpulan Search memberitahu, dia tidak menyesal dengan keputusan tersebut walaupun rezekinya sebagai pendakwah tidak semewah berbanding ketika dia menjadi artis dahulu.

Bagaimanapun Bob yang mempunyai masalah penyakit Pankreas itu reda dengan hal itu demi mendapatkan hidayah dan berkat di dunia dan akhirat nanti.

Tambahnya, sejak 19 Februari lalu, dia kini lebih selesa berdakwah dan sekurang-kurangnya memberi ceramah sebanyak tiga kali sehari.

"Sebelum meninggal dunia, lebih baik saya melakukan amal jariah sebanyak yang mungkin. Sekurang-kurangnya, saya tidak mati dalam keadaan yang leka dan melakukan perkara yang sia-sia.

"Sebenarnya industri hiburan kita boleh menjadi lebih elok jika kita ubah sistemnya kerana Islam membenarkan umatnya melakukan apa sahaja tetapi dengan syarat-syarat tertentu," tuturnya.

Kata Bob, sejak bergelar seorang pendakwah, dia jarang bertemu dengan rakan-rakan artisnya melainkan mereka yang mendengar ceramahnya atau bertemu dia di masjid antaranya ialah Cico, Abu Bakar Omar, Wahid Senario, Adam AF dan Ahmad Fedtri Yahya.

mStar Online : Dunia Hiburan Hipokrit, Bob Lokman Nekad Bersara

Dalai Lama berundur memimpin Tibet

DHARAMSHALA, India 27 April - Pakar undang-undang lulusan Universiti Harvard, Lobsang Sangay akan mengetuai kerajaan Tibet dalam buangan hari ini, menggantikan pemimpin keagamaan terkenal, Dalai Lama.
Pemilihan itu, sekali gus membawa maksud beliau akan menyambung tugas politik sukar yang sebelum ini disandang oleh Dalai Lama.
Menurut Pesuruhjaya Pilihan Raya, Jamphel Choesang, Sangay, 43, menewaskan dua calon lain bagi jawatan Perdana Menteri dengan memperolehi 55 peratus undi yang diumumkan di ibu pejabat kerajaan dalam buangan di Dharamshala, utara India.
Dilahirkan di sebuah ladang teh di timur laut India, cendekiawan itu tidak pernah tinggal, menjejakkan kaki atau mewakili Tibet yang menyaksikan pemimpin keagamaan lebih tua mendominasi pergerakan politik dalam buangan Tibet.
Pelantikannya juga menandakan satu titik perubahan selepas Dalai Lama pada bulan lalu secara rasmi mengundur diri sebagai pemimpin politik kerajaan Tibet dalam buangan.
Walaupun Dalai Lama akan meneruskan peranannya sebagai pemimpin keagamaan Tibet, peralihan kuasa tersebut menjadikan Sangay jauh lebih terkenal berbanding pemimpin sebelumnya.
Sangay sebelum ini berkata, beliau akan berpindah dari Boston ke Dharmsala sekiranya memenangi pilihan raya tersebut.
Masih belum jelas bilakah beliau akan mengangkat sumpah jawatan.
"Daripada satu segi lain, kita mempunyai Dalai Lama yang terbukti memiliki kelayakan serta popular di seluruh dunia.
"Kita juga mempunyai satu kerajaan demokratik yang berfungsi di dalam buangan. Kita menunjukkan kepada China bahawa jika kita dibenarkan memilih, kita mampu membentuk sebuah kerajaan demokratik," kata Sangay dalam satu wawancara bersama Associated Presspada bulan lalu. - AFP/AP, utusan

Impian temui bayi hidup berkecai



Foto
SESHAGIRY ditemui mati dalam beg pakaian berhampiran jalan susur masuk ke Hentian Tol Bandar Baharu, Kedah Sabtu lalu.
Foto

IPOH: Air mata M Kavitha, 36, tidak putus mengalir ketika menceritakan kehilangan bayi lelakinya berusia sembilan bulan yang dipercayai dilarikan abang kenalannya pada Jumaat lalu, ketika mengadakan sidang media di sini, tengah hari semalam.

Dalam kesedihan itu, naluri keibuannya kuat membisikkan V Seshagiry yang sudah mula berjalan, masih hidup dan beliau pasti dapat kembali mendengar rengekan dan ketawa manja anak bongsunya itu.
Namun, tidak sampai empat jam selepas selesai mengadakan sidang media, impian dan harapan Kavitha berkecai apabila diberitahu bayi tidak bernyawa yang ditemui berhampiran jalan susur masuk Tol Bandar Baharu, Kedah, Sabtu lalu, sebenarnya adalah Seshagiry.
Lebih menghibakan kerana bayi berkenaan yang lengkap berpakaian dan stokin kaki itu, ditemui disumbat di dalam bag kanvas dalam keadaan lebam di kepala manakala hidung pula berair.

Kavitha mengesahkan mayat itu adalah Seshagiry selepas diminta membuat pengecaman berdasarkan foto yang diambil polis di Balai Polis Simpang, Taiping, kira-kira jam 5 petang semalam.

Tangisannya terus meledak sebaik melihat wajah mayat bayi dalam foto dilampirkan adalah seiras Seshagiry yang kini masih berada di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar, Kedah.

Kavitha yang dihubungi semalam berkata, dia tidak percaya anaknya akan mati dengan cara begini dan tidak menyangka perkara berkenaan boleh menimpanya.
“Ketika diminta datang ke Balai Polis Simpang, saya berharap mayat berkenaan bukan anak saya. Namun, sebaik mengamati beberapa foto yang ditunjukkan oleh anggota polis, saya hampir pitam dan terus menangis.

“Saya tidak percaya, anak saya mati dengan cara begitu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi semalam mengesahkan Kavitha datang ke Balai Polis Simpang untuk membuat pengecaman mayat bayi berkenaan.

“Buat masa ini, kami masih belum membuat sebarang tangkapan mengenai kes berkenaan dan sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, pada sidang medianya, Kavitha mendakwa anak lelakinya dilarikan seorang lelaki yang juga abang kenalan rapatnya.

Katanya, sebelum itu, dia menyerahkan Seshagiry kepada seorang wanita kenalan rapatnya yang berada di Taiping untuk jagaan sementara pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, wanita itu memaklumkan akan pergi ke Kuala Lumpur sebelum menyerahkan Seshagiry kepada abangnya untuk diserahkan kepada saya semula,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu bersikap berdolak dalih ketika diminta menyerahkan anaknya sehinggalah dia tidak dapat dikesan. -bharian

Liz Taylor ada anak luar nikah


LONDON: Mendiang Elizabeth Taylor dilapor melahirkan bayi perempuan yang dikenali sebagai Norah, hasil hubungan sulit dengan kekasih yang namanya dirahsiakan dan menyerahkan anak itu kepada seseorang, dakwa seorang doktor mendedahkan rahsia aktres berkenaan.

John Cohan mendakwa bahawa legenda filem Hollywood itu adalah salah seorang pesakit beliau sejak 1960-an lagi.
“Dia memberitahu bahawa rahsia berkenaan perlu disimpan sehingga selepas kematiannya.
“Beliau mendedahkan satu rahsia yang menghantuinya selama beberapa tahun,” katanya kepada The Daily Mail yang memetik doktor terbabit dan dipetik akhbar New York Post.

“Liz mempunyai seorang anak hasil hubungan luar nikah. Pihak studio dan ibunya memberikan Norah kepada orang lain. Wang bertukar tangan. Bayi itu tinggal di Ireland dan marah dengan tindakan ibunya itu. Dia juga tidak mahu lagi dikaitkan dengan Elizabeth,” katanya.

Beliau berkata Elizabeth atau lebih dikenali sebagai Liz mengaku pernah tidur dengan tiga orang lelaki, tidak pasti siapa bapa kepada anak berkenaan.

“Liz menyesali perbuatannya dan sentiasa menceritakan perkara ini kepada saya.
“Dia meminta saya menyimpan rahsia ini sehingga dia meninggal dunia,” katanya.

Taylor yang meninggal dunia Mac lalu ketika berusia 79 tahun terkenal kerana perkahwinan beliau sebanyak tujuh kali dan mempunyai empat orang anak. – Agensi , bharian

Pengguna Playstation terkejut, kecewa


GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki bermain permainan Sony PlayStation 3 di Tokyo, Jepun pada 9 November 2006.


TOKYO – Syarikat Sony Corp memberi amaran bahawa penggodam mencuri nama, alamat dan kemungkinan kad kredit daripada 77 juta pengguna akaun rangkaian permainan video dalam talian Playstation.
Pendedahan itu merupakan salah satu daripada pencerobohan maklumat keselamatan di internet yang paling besar pernah berlaku.
Syarikat gergasi elektronik dari Jepun itu tidak memberitahu mengenai kecurian maklumat tersebut sehingga kelmarin, beberapa jam selepas ia mempamerkan komputer tablet pertama keluarannya.
Tindakan Sony menangguhkan pengumuman mengenai penggodaman itu mencetuskan kemarahan pengguna-pengguna gajet tersebut, hampir 90 peratus daripadanya di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Perasaan marah dalam kalangan pengguna permainan itu diluahkan di laman forum PS3news.com.
“Jangan membeli apa-apa pun yang berkaitan dengan Sony.
“Saya perlu menukar semua akaun manakala kad kredit dikeluarkan semula untuk melindungi diri saya daripada kegagalan Sony,” kata seorang anggota forum tersebut, Jarvis.
Para pembeli-belah di London menyatakan mereka akan keluar dari rangkaian Playstation yang membolehkan mereka bermain permainan bersama 77 juta pengguna.
Salah seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Albert berkata, dia terpaksa menimbang semula sama ada untuk menggunakan permainan tersebut. – Agensi, kosmo

Kuan Yew menang tanpa bertanding


LEE Kuan Yew (tiga dari kanan) disambut oleh sekumpulan penyokongnya sebelum beliau diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi parlimen Tanjung Pagar, Singapura semalam.


SINGAPURA - Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang tanpa bertanding bagi kerusi parlimen Tanjong Pagar selepas pembangkang, Perikatan Demokratik Singapura (SDP) tidak menghantar wakil untuk bertanding sehingga masa penamaan calon berakhir semalam.
Kuan Yew yang merupakan bekas Perdana Menteri Singapura menang tanpa bertanding di kawasan itu sejak 1991.
Menurutnya, beliau mahu melihat seseorang bertanding bagi menentangnya tetapi pasukan SDA tidak hadir pada waktu penamaan yang ditetapkan menjelang pukul 12 tengah hari.
"Semua orang tahu bahawa anda perlu mengisi dokumen menjelang pukul 12 tengah hari. Justeru ia adalah percubaan tidak bersungguh-sungguh yang menunjukkan mereka mahu bertanding," kata Kuan Yew selepas beliau menang tanpa bertanding.
Menurut laporan agensi berita Bernama, dalam ucapan terima kasihnya yang dilapor televisyen tempatan, Channel NewsAsia, Kuan Yew memberi jaminan bahawa beliau akan berkhidmat untuk penduduk Tanjong Pagar bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya Singapura menyatakan, parti-parti pembangkang buat pertama kali meletakkan calon paling ramai yang bertanding sejak republik itu memperoleh kemerdekaan pada tahun 1965.
Calon-calon dari enam parti pembangkang akan bertanding di 82 kerusi manakala PAP bertanding di 87 kerusi.
Anak Kuan Yew, Lee Hsien Loong berdepan dengan pilihan raya umum kedua selepas beliau menjadi perdana Menteri pada 2004.
Parti PAP sudah menguasai politik Singapura lebih lima dekad. - Agensi, kosmo

Penjaga gol ditumbuk peminat selepas lepaskan gol


SEORANG remaja menumbuk muka penjaga gol, Cameron Belford kerana didakwa membiarkan bola membolosi golnya di stadium Chesterfield, baru-baru ini.


LONDON - Seorang penjaga gol kelab Bury, Cameron Belford diserang dan ditumbuk di muka oleh seorang remaja yang marah selepas dia membiarkan bola membolosi gawangnya dalam satu perlawanan bola sepak di stadium Chesterfield kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian tersebut turut melibatkan seorang remaja perempuan yang menunjukkan isyarat lucah kepada penjaga gol berusia 22 tahun itu.
Kejadian itu berlaku selepas Belford lepaskan bola masuk ke dalam gol pada minit ke-87 yang ditendang oleh pemain pasukan lawan, Ryan Lowe.
Seorang kanak-kanak perempuan yang mengikat rambut seperti ekor kuda pula meunjukkan isyarat lucah kepada penjaga gol berkenaan.
Jurucakap polis Derbyshire, Inspektor Russell Dakin berkata, tangkapan telah dibuat berhubung insiden tersebut.
Dalam pertandingan itu, Bury menang 3-2 mengatasi Chesterfield sekali gus dapat melangkah ke Liga Pertama. - Agensi, kosmo

Orkid Abdullah terlantar sakit di rumah



KUALA LUMPUR — Datin Orkid Abdullah, biduanita yang terkenal dengan lagu berirama Ghazal ‘Penawar Rindu’ pada era 60’an kini terlantar di rumahnya kerana menghidap penyakit ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) sejak tiga tahun lepas.
Kalau dulu beliau aktif menghiburkan orang ramai menerusi pertunjukan pentas dan persembahan di televisyen, namun kini pergerakannya amat terbatas sehingga kesemua aktiviti harian termasuk makan dan minum diuruskan oleh tiga orang anaknya.
Rombongan dari Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez menziarah Orkid di rumah beliau di No 38, Jalan Anggerik 2, Dataran Ukay di sini hari ini. Rombongan tiba kira-kira pukul 3.15 petang, dan menghabiskan masa kira-kira 45 minit bersama Orkid sambil menyampaikan sumbangan.
Anak bongsu Orkid, Eenaz Datuk Mokhtar, 31, berkata ibunya menjadi semakin lemah sejak awal tahun ini kesan daripada tumor yang kini sudah merebak ke sistem badan. — Bernama