Saturday, September 3, 2011

WikiLeaks: Saya tak pernah sokong Pakatan, kata Salleh Keruak



KOTA BELUD, 3 Sept — Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, laporan WikiLeaks mengenai komen beliau berkaitan kegagalan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 September 2008, adalah tidak benar.
“Saya tidak pernah mengesahkan atau menyokong ahli Parlimen pembangkang atau Pakatan Rakyat. Pada masa itu, setahu saya, pembangkang cuba sedaya upaya untuk menawan hati anggota Parlimen dari Sabah tetapi mereka gagal untuk menarik mereka.
“Apa yang berlaku lebih pada “perang psikologi” yang dilakukan oleh pembangkang untuk tidak menstabilkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Salleh, bekas ketua Menteri Sabah, dipetik Bernama Online.
Laporan media semalam menyebut, kabel Kedutaan Amerika Syarikat mendedahkan yang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sekumpulan ahli politik dari Sabah dan Sarawak merancang untuk keluar BN pada 16 September 2008, berikutan kedua-dua negeri itu dipinggirkan.
Satu entri dalam kabel itu, yang disiarkan oleh WikiLeaks, menyatakan Salleh memberitahu pegawai kedutaan tersebut bahawa lebih separuh daripada jumlah 25 anggota Dewan Rakyat dari Sabah bersedia untuk meninggalkan BN.
Kabel itu mendakwa bahawa pegawai kedutaan tersebut mendapati “tidak ada sokongan” untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di kalangan ahli politik senior yang mengadakan beberapa siri pertemuan di negeri ini dari 18 hingga 20 Jun 2008.
mkini

Taufan Talas Landa Jepun

TOKYO: Taufan Talas yang membawa hujan lebat dan angin kencang melanda barat Jepun pada Sabtu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terkorban dan tiga orang hilang.
Agensi Metereologi negara tersebut melaporkan, angin bertiup kencang selaju 108 kilometer sejam ke arah pantai Pasifik di pulau Shikoku, kira-kira 10 pagi.
Satu mayat wanita dipercayai dalam lingkungan umur 30-an ditemui di sebatang sungai di Tokushima, sebuah bandar besar di Shikoku, menurut pihak berkuasa.
Polis menyatakan 17 orang cedera manakala enam lagi cedera parah ekoran malapetaka itu.
Laporan agensi turut menyebut lebih 300 buah rumah ditenggelami air bah dan beberapa insiden tanah runtuh dilaporkan.
Di pergunungan Nara, kira-kira 400 kilometer ke arah barat Tokyo, lebih 110 cm atau 43 inci air hujan direkodkan sejak Selasa lalu. - AP, MSTAR

Jenazah Noramfaizul Dikebumi Di Tanah Perkuburan Islam UPM, Ahad

SEBAK ... Naemah Abdul Majid menutup wajahnya tidak dapat menahan perasaan tatkala melihat gambar terakhir anaknya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor beberapa jam sebelum maut terkena tembakan curi ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kuala Lumpur, Sabtu. Jurukamera Bernama TV itu maut dalam Misi Kemanusiaan ke Somalia bersama Kelab Putra 1Malaysia semalam. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, Ahad.
Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.
Beliau berkata sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.
Rahman memberitahu pemberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan.
Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.
"Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan," kata Rahman.
Noramfaizul, 39, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Kejadian 5.40 petang waktu tempatan (pukul 10.40 waktu Malaysia), menyaksikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan petugas media Malaysia lain, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
Allahyarham Noramfaizul merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA

Wanita impi temui ibu susuan



KUALA NERANG - Seorang wanita berusia 32 tahun mengesan lima ibu susuan dalam usaha untuk merungkai kisah sebenar dirinya di samping mahu menunaikan pesanan yang ditinggalkan oleh arwah datuknya, Mohd Noh pada tahun 2003.

Dakwanya, timbul beberapa kekeliruan mengenai status dirinya sehingga memaksa dia berusaha keluar daripada kepompong sedia ada untuk mencari kebenaran.

Nor Saniah Abdul Rahim, berkata, hanya berbekalkan sekeping gambarnya semasa berusia setahun dan sekeping gambar arwah datuknya, gambar-gambar berkenaan tidak mampu memberi isyarat yang jelas buat dirinya tentang latar belakangnya sebenar.

Menurutnya, dia berusaha mencari tapi gagal berikutan lima ibu susuannya tinggal di beberapa negeri di Sarawak, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain langsung tidak mengenali mereka.

“Arwah datuk sebelum meninggal dunia berpesan, “engkau carilah lima ibu susuan yang telah menyusukan engkau, mereka tahu kisah sebenar engkau dan datuk takut engkau akan diapa-apakan nanti selepas datuk sudah tidak ada”. Berpegang kepada pesanan itu, saya cuba mencari tetapi gagal.

“Saya juga tahu sedikit-sebanyak latar belakang diri saya, tetapi ia tidak mampu dibuktikan dengan hanya berkata-kata,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bukit Tembaga, dekat sini.



Hidup ihsan jantung orang lain

Dakwanya semasa berusia dua bulan dia menghidap demam panas kronik selain menghadapi masalah di bahagian jantung yang semakin tidak berfungsi dan doktor menjangkakan bahawa hidupnya tidak akan bertahan lama semasa mendapatkan rawatan di Hospital di Brunei.

Namun sepasang suami isteri telah membenarkan untuk menderma jantung anaknya yang baru sahaja meninggal dunia kepada Nor Saniah dan keajaiban berlaku apabila jantung berkenaan sesuai dengan dirinya.

“Saya terhutang budi dengan pasangan suami isteri berkenaan seumur hidup dan jika saya teringin berjumpa dengan mereka sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Bapanya bekerja sebagai seorang tentera semasa berada di Sarawak dan selepas itu dia telah dijaga oleh lima keluarga kawan bapanya.

“Saya difahamkan dijaga oleh lima keluarga tentera yang tidak mempunyai anak yang juga kawan kepada bapa saya, selepas kehadiran saya mereka akhirnya mendapat anak sendiri,” katanya.



‘Sudah besar datanglah cari kami’

Selain hidup selepas ‘meminjam’ jantung orang lain, Nor Saniah yang turut mengalami masalah di bahagian mata kirinya juga sering mendapatkan rawatan di hospital.

Ketika berusia 13 tahun, sepasang suami isteri telah datang kepadanya semasa mendapatkan rawatan mata di Ipoh, Perak pada 1986.

Menurutnya, pasangan berkenaan memeluk erat dirinya selain enggan memperkenalkan diri mereka.

“Saya tanya mereka siapa, dan mereka cakap apabila sudah besar, datanglah cari kami, waktu itu saya tidak mengerti apa-apa.

“Sejak itu, saya pernah bertanya kepada ibu dan bapa saya mengenai perkara ini tetapi mereka hanya mendiamkan diri seolah-olah menyimpan sesuatu daripada pengetahuan saya,” katanya.



Mencari untuk rungkai kebenaran

Dia yang ditemani oleh suaminya, Roslan Md Jamil, 46, berkata, pendedahan ini dibuat adalah untuk mencari kebenaran semata-mata selain mahu menjejaki lima keluarga susuannya.

Menurutnya, selain itu, dia berharap kedatangan Syawal kali ke-32 buat dirinya akan turut membawa sinar cahaya selain mahu memenuhi pesanan arwah datuknya.

“Sekiranya saya gagal mengesan kelima-lima ibu susuan pun, ia sudah memadai apabila dapat menemui walaupun salah seorang sahaja daripada mereka,” katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat ataupun cuba membantu Noor Saniah bolehlah menghubunginya di talian 019-4238154 atau 019-4297665.-SH

Dapat RM5,000 sehari



JERTIH - Kedatangan Ramadan yang baru berlalu bukan sahaja memberi rezeki kepada peniaga juadah berbuka puasa malah menjadi bulan ‘durian runtuh’ kepada peniaga pakaian dan kuih-muih untuk Aidilfitri.

Perniagaan mereka akan mendapat sambutan berlipat kali ganda berbanding hari biasa, manakala yang ingin mencuba juga tidak terlepas menikmati rezeki ini.

Menyedari peluang keemasan itu hanya datang setahun sekali, belia di daerah ini turut bertindak bijak mencari wang hingga mencecah puluhan ribu ringgit di bazar Aidilfitri di sini dalam tempoh sebulan.

Bagi Wan Mohd Faizul Asraf Wan Mamat, 22, masa yang ada adalah lebih baik jika dimanfaatkan dengan berniaga di bazar Aidilfitri.

Menurut Wan Mohd Faizul Asraf, dia memilih untuk berniaga pakaian sejak tiga tahun lalu kerana mendapat sambutan hebat menjelang hari raya.

“Tahun ini saya menyewa empat ruang khemah (lot) untuk menjual pakaian di lokasi berbeza di bandar Jertih iaitu tiga di depan Up Town Pasaraya Econjaya dan satu di Dataran Jertih Souq, saya memperoleh pendapatan kasar bagi keempat-empat lot kedai tersebut RM5,000 sehari,” katanya.

Keuntungan jadi pembakar semangat

Wan Mohd Faizul Asraf berkata, keuntungan diperoleh dalam perniagaan pada Ramadan dua tahun lalu membakar semangatnya untuk menyewa lebih banyak gerai.

Menurutnya, pada peringkat awal Ramadan, sambutan pelanggan agak berkurangan, malah ada kalanya tidak banyak pakaian dijual.

Bagaimanapun dua minggu sebelum hari raya, semakin ramai pelanggan yang membeli dan meningkat dari hari ke hari sehinggalah hari terakhir puasa.

“Hari terakhir Ramadan adalah paling menyeronokkan kepada ribuan orang ramai khususnya perantau yang pulang ke kampung akan ‘menyerbu’ bazar Aidilfitri untuk membeli-belah dan barangan yang dijual akan jadi seperti ‘pisang panas,” katanya.

Dia yang mempunyai lapan pekerja terdiri daripada remaja setempat amat meminati bidang perniagaan walaupun pada hari biasa dia membantu berniaga di kedai makan bapanya di Medan Selera Jertih.

Katanya, bekalan pakaian terutama baju Melayu diperoleh di Kuala Lumpur, manakala seluar lelaki dan pakaian lain dibeli sendiri di China.

Menurutnya, belia patut mengambil peluang menjual pelbagai jenis produk untuk hari raya termasuk kuih-muih, perhiasan rumah dan pelbagai lagi.

Jual 31 jenis biskut raya

Sementara itu Mohd Fairuz Shaari, 24, berkata, tugas sebagai anggota keselamatan tidak menghalang dia menjalankan perniagaan menjual pelbagai biskut di bazar Aidilfitri di sini.

Anak jati Keluang, Johor itu merebut peluang mencuba nasib berniaga lebih 31 jenis biskut raya di lokasi tersebut buat kali pertama tahun ini.

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan sambilan ketika musim perayaan di Johor, tetapi setelah bertugas di negeri ini saya ini mencuba berniaga barangan sama di sini pula.

“Perniagaan ini tidak mengganggu tugas saya kerana saya mempunyai beberapa pekerja yang menjaga dan menguruskan kedai itu,” katanya.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang perniagaan apabila membantu rakannya menyewa separuh daripada satu khemah dengan kadar sewa lebih RM1,000 untuk tempoh tersebut.

Ternyata usahanya mencuba nasib berniaga di bumi Besut Ulul Albab ini tidak sia-sia apabila dia memperoleh pendapatan kasar sebanyak kira-kira RM27,000 sepanjang berniaga di bulan puasa.

“Beberapa hari terakhir menjelang Aidilfitri paling seronok berniaga apabila kedai saya diserbu orang ramai yang ingin membeli biskut dan kuih pada saat akhir,” katanya.SH

MB Kedah tak cadang berhenti


pix_gal0
Azizan nafi laporan Presiden PAS bertemu Sultan bincang pengganti

ALOR SETAR: “Saya tak minta jadi Menteri Besar, mereka yang suruh... nak berhenti pun berhentilah, esok pun tak apa,” kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas laporan diminta berundur atas alasan kesihatan.
Bagaimanapun beliau menafikan didesak meletakkan jawatan berikutan kesihatannya yang dikatakan menjejaskan pentadbiran dan kepemimpinannya ketika ini.
“Orang yang buat cerita ni tak tengok saya sendiri tapi buat cerita kata saya tak sihat. Saya jemput dia datang tengok Ahad ini, saya buat rumah terbuka jemput datang dan tengok sendiri,” katanya ditemui ketika melawat jenazah Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad yang meninggal dunia akibat serangan jantung, petang kelmarin.

Beliau yang memulakan tugasan luar selepas bercuti lebih sebulan bermula 15 Julai hingga 29 Ogos lalu, berkata, soal desakan meletak jawatan ketika ini tidak timbul, namun sentiasa bersedia meninggalkan jawatan sebagai Menteri Besar pada bila-bila masa jika ada keperluan.

“Presiden (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang selalu jumpa saya dan kami juga sering berhubung lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang sakit sebelum ini. Beliau bukan macam orang lain nak jumpa kena ada sambutan... berkompang dan sebagainya, bila dia nak jumpa saya dia jumpa,” katanya.

Azizan mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kepemimpinan PAS bercadang menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah kerana kesihatan semakin buruk selepas dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung, bulan lalu.
Menurut akhbar itu, Abdul Hadi dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepemimpinan kerajaan negeri itu.

Azizan berkata, beliau menghadap Sultan Kedah seminggu sekali, setiap Rabu pagi untuk berbincang perkara berkaitan pentadbiran negeri.

“Saya ada dipanggil menghadap Sultan sebelum raya lalu tetapi perbincangan kami tidak pula berkaitan dengan isu (letak jawatan). Tuanku banyak bertanya pada saya mengenai perkara lazim berkaitan pentadbiran negeri Kedah... yang lain tidak ada.

“Saya sambung cuti hingga Aidilfitri tetapi masih di sini dan hanya buat kerja pejabat. Doktor nasihat saya jangan buat aktiviti luar dulu, sebab itu sepanjang Ramadan orang tak nampak saya di luar,” katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, berkata beliau terkejut dengan laporan akhbar itu kerana perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan atau ditimbulkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat.

“Ini satu lagi helah dan politik murahan. Saya tidak faham bagaimana laporan ini boleh keluar dan dari mana mereka mendapat sumber ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Laporan itu juga memetik sumber, tiga EXCO disebut-sebut bakal mengisi tempat Azizan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai).

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pimpinan PAS tidak pernah berbincang mengenai perkara ini (menggantikan Azizan). Malah, ketika Tok Guru, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat masuk hospital pun tidak pernah dibincang mengenai pertukaran atau jawatan pemangku.

“Azizan sudah sihat dan kembali bertugas. Jadi tiada keperluan atau sebarang asas untuk menukar atau menggantikannya,” katanya. 

Ibu kurung anak telan cacian jiran

ROKIAH menghulurkan makanan   untuk  Tuan Abd Rahman melalui lubang pagar bangsal buruk di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh.
ROKIAH menghulurkan makanan untuk Tuan Abd Rahman
melalui lubang pagar bangsal buruk
di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH: Hati ibu mana yang tidak pilu mengenangkan nasib anak sulungnya yang terpaksa dikurung 24 jam di sebuah bangsal buruk di Kampung Gong Manak, Cherang Ruku dekat sini, sejak lapan bulan lalu.

Rokiah Majid, 57, juga terpaksa menelan cacian dan hinaan penduduk kampung atas tindakannya mengurung Tuan Abd Rahman Tuan Daud, 41, yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
Rokiah mendakwa dia terpaksa berbuat demikian selepas anaknya terkena ‘buatan orang’, pada masa sama demi keselamatan Tuan Abd Rahman yang sering agresif.
“Saya tiada pilihan selepas suami, Tuan Daud Tuan Kechik, yang ketika hayatnya sentiasa mengawasi Tuan Abd Rahman, meninggal dunia, Mac lalu akibat sakit tua.

“Ibu mana sanggup kurungkan anak seperti dalam penjara, namun apakan daya, saya terpaksa lakukan juga kerana bimbangkan keselamatannya dan mak cik seandainya dia terlepas dari kurungan.

“Ketika arwah suami masih hidup, Tuan Abd Rahman bebas bergerak dengan kawalan ketat, namun selepas beliau meninggal, saya tidak mampu berbuat demikian kerana sering menghadapi masalah,” katanya sebak mengenangkan dirinya sering dimarahi dan dihina penduduk kampung.

Saat paling menduga ialah apabila anaknya mengamuk dan bertindak agresif kerana mahu keluar dari kurungan, namun tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa supaya Tuan Abd Rahman kembali normal seperti sebelum ini.
Rokiah berkata, anaknya pernah cuba meloloskan diri dengan merempuh zink dan kayu sehingga mencederakan dirinya sendiri.

“Berikutan itu, mak cik terpaksa memasang pukat buruk dan pagar di sekeliling bangsal bagi mengelak peristiwa sama berulang,” katanya mengakui sedih setiap kali terpaksa menghulurkan makan dan minum melalui lubang khas di bangsal anaknya, selain paip getah dimasukkan ke dalam bangsal bagi memudahkannya mandi.

Tuan Abd Rahman menderita penyakit ganjil ketika bekerja di sebuah kem tentera di Selangor, kira-kira 20 tahun lalu.

Paling membimbangkan Rokiah, siapa yang akan menjaga Tuan Abd Rahman seandainya beliau meninggal dunia dan mengharap ehsan orang ramai membantu mengubat anaknya.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan wartawan BernamaTV


JURUKAMERA TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, (tengah) cedera selepas terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, semalam. Turut bersama Muhamad Solleh Ahmad Kamal (kiri) dan Melissa Ong (NTV7). - Foto BERNAMA


MOGADISHU: "Saya masih tidak percaya kejadian yang menimpa kami, hakikat jurukamera saya, Noramfaizul Mohd Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat pada petang semalam, masih belum dapat saya terima," menurut wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya.

Beliau dan Noramfaizul, 39 adalah antara 54 anggota Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu dan dijadual tiba di tanah air esok.
Kejadian tembakan itu berlaku ketika krew BernamaTV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kebuluran di sekitar Mogadishu.
Saya duduk di bahagian paling depan di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, manakala Noramfaizul duduk di bahagian paling belakang di sebelah kanan bersebelahan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang turut cedera.

Kejadian berlaku dengan sekelip mata ketika kenderaan kami membelok ke kiri untuk masuk ke persimpangan asrama.

Saya mendengar dua das tembakan, diikuti kenderaan perisai pasukan pengaman Kesatuan Afrika melepasi kami.

Beberapa detik kemudian, saya mendengar rakan media menjerit nama jurukamera saya yang tercedera.
Keadaan menjadi begitu kelam-kabut dan saya melihat Noramfaizul yang rebah dibawa keluar dari kenderaan serta diberi rawatan di asrama tempat kami tinggal selama lima hari di Mogadishu.

Noramfaizul cedera di bahagian bahu sebelum diberitahu beliau turut cedera di bahagian paru-paru dan meninggal dunia kira-kira 6 petang waktu tempatan (kira-kira 1 tengah hari waktu Malaysia).

Jenazah dibawa pulang ke Malaysia hari ini menaiki pesawat Charlie C-130 pada jam 8.15 pagi waktu tempatan (kira-kira 3.15 pagi waktu Malaysia) bersama-sama anggota misi lain dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9 pagi esok.

Selain Somalia, Allahyarham sebelum ini pernah mengikuti tiga misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

"Dua misi bersama-sama saya sebagai wartawan membuat liputan mangsa kekejaman Israel di Gaza dan liputan bantuan kemanusiaan membantu mangsa banjir di Pakistan, tahun lalu serta misi kemanusiaan ke New Zealand membantu mangsa bencana gempa bumi awal tahun lalu.

"Al-Fatihah buat saudaraku, Allahyarham Noramfaizul," katanya. - BERNAMA , bharian

Pesawat tentera udara Chile hilang bersama 21 penumpang

SANTIAGO: Sebuah pesawat tentera Chile yang membawa 21 penumpang hilang di Lautan Pasifik ketika dalam perjalanan ke kawasan pedalaman Juan Fernandes, Jumaat (waktu tempatan), kata pihak berkuasa negara itu dalam satu kenyataan.

Datuk Bandar Juan Fernandez, Leopoldo Gonzalez, ketika ditemuramah saluran televisyen TVN, berkata pasukan yang ditugaskan mencari pesawat berkenaan menemui serpihannya di laut.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Andres Allamand, berkata pesawat turboprop model Casa 212 dikesan cuba melakukan pendaratan di pulau berkenaan dua kali tetapi gagal di mana sejurus kemudian gagal dihubungi.
Antara yang berada di dalam pesawat itu termasuk krew televisyen TVN yang sedang menuju ke pulau berkenaan bagi membuat liputan kebangkitannya susulan musnah dilanda tsunami selepas gempa bumi pada 27 Februari 2010. - AFP , bharian

Dunia dirayu 'kekal jalin perpaduan' bantu Somalia


SERBA KEKURANGAN: Seorang wanita dan anaknya, yang tidak seimbang pemakanannya, kelihatan sedang berehat keletihan dalam wad di Hospital Banadir, di Mogadishu, ibu kota Somalia, kelmarin. -- Foto REUTERS



NAIROBI: Ketua unit pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, lewat kelmarin membuat rayuan kepada masyarakat antarabangsa supaya kekal menjalin perpaduan dengan Somalia, sambil berkata gabungan musim kemarau dan konflik di negara 'Tanduk Afrika' itu telah menyebabkannya menghadapi satu krisis kemanusiaan yang paling buruk.
Berucap dalam satu sidang akhbar di Nairobi, Kenya, selepas lawatan tiga harinya ke negara 'Tanduk Afrika' itu untuk menunjukkan perpaduannya dengan rakyat Somalia yang dijejas kebuluran semasa perayaan Aidilfitri, Encik Guterres juga merayu bagi mendapatkan bantuan besar-besaran bagi rakyat Somalia yang turut menghadapi perang saudara.'Inilah masanya untuk merayu ke arah perpaduan antarabangsa dan merayu bagi bantuan besar-besaran kepada rakyat Somalia dalam Somalia,' kata Encik Guterres kepada para wartawan di Nairobi.Ketua unit pelarian PBB itu, yang diiringi oleh Menteri bagi Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa Sweden, Cik Gunilla Carlsson, berkata dunia harus membiayai negara 'Tanduk Afrika' yang sedang dijejas kebuluran bagi mengelak rakyat Somalia daripada kekontangan.'Kami tidak mahu Somalia kekontangan tetapi mahu berusaha menyediakan bantuan dalam negara itu. Kami mahu rakyat Somalia mempunyai hak memilih untuk tinggal dalam negara mereka sendiri dan, oleh itu, satu pengerahan besar-besaran dari segi keupayaan dan bantuan diperlukan,' kata Encik Guterres.Beliau berkata adalah lebih baik bagi masyarakat antarabangsa menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan daripada menyaksikan jumlah orang yang ramai mengambil risiko dalam kehidupan mereka untuk mencari bekalan makanan, air, perlindungan dan perkhidmatan lain yang diperlukan.'Saya fikir UNHCR (Pejabat Pesuruhjaya PBB bagi Pelarian) seperti juga pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan lain perlu berusaha dengan rendah hati untuk menyedari bahawa kita belum berbuat secukupnya di Somalia, bahawa apa yang kita lakukan belum mencukupi dengan keperluan rakyatnya,' kata beliau lagi.Encik Guterres berkata agensi pelarian PBB itu sedang membantu kira-kira 850,000 pelarian Somalia di negara-negara jirannya. -- Agensi.

Ukiran sebesar sel darah



BIRMINGHAM - Bagaimana agaknya rupa ukiran yang mempunyai saiz sama seperti sel darah manusia?

Jawapan itu boleh dijawab melalui hasil seni pengukir Britain, Willard Wigan yang mempunyai kebolehan mengagumkan untuk menghasilkan ukiran sangat kecil dan halus.

Lelaki dari bandar Birmingham itu menghasilkan ukiran perenang Olimpik Britain, Tom Daley yang mempunyai ukuran sama seperti sel darah, hasil seni paling kecil pernah dihasilkannya setakat ini.

Wigan menghabiskan masa berbulan-bulan menghasilkan ukiran itu menggunakan kepingan emas yang sangat halus dan boleh hancur hanya dengan terkena geta-ran nadi di tangannya.

Ukiran Daley diletakkan di atas sehelai bulu mata itu berukuran kurang 20 mikron berbanding sel darah manusia yang berukuran antara 10 mikron dan 20 mikron serta diwarna menggunakan bulu kaki seekor lalat dijadikan sebagai berus.

“Saya mendapat idea untuk membuat ukiran perenang ini selepas melihat bulu mata saya di bawah mikroskop yang kelihatan seperti papan anjal,” kata pengukir berumur 54 tahun itu yang menggunakan teleskop berkuasa tinggi dan peralatan khas bagi menghasilkan ukiran-ukiran kecil itu.-SH

Mat Sabu pertahan kenyataan



KOTA BHARU - Di sebalik kecaman dan kritikan bertali arus, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tetap pertahankan kenyataannya bahawa lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM), Mohamad Indera adalah hero sebenar.

Pada sidang media pertamanya selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi itu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa sejarah telah membuktikan Mohamad Indera adalah individu yang menentang British yang menjajah negara.

Justeru, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf kepada sesiapa, sebaliknya akan bertemu dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh bagi menerangkan pendirian beliau tersebut.

“Muhamad Indera adalah pejuang, pihak polis jangan panik. Sebelum 31 Ogos (semasa serangan dibuat) waktu itu kerajaan adalah British. Selepas 31 Ogos baru kerajaan Malaya merdeka.

“Ini fakta, jangan kita menganggap selepas 31 Ogos kita ada kerajaan yang sama. Tidak, bendera lain, lagu lain. Jadi kita perlu beza,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pas Kelantan di sini, semalam.

Kenyataan media pemimpin nombor dua Pas itu dibuat selepas menerima kritikan keras daripada pelbagai pihak susulan kenyataan kontroversi yang dibuatnya dalam ceramah di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu.

Mohamad Sabu berkata, tujuan beliau mendedahkan perkara tersebut bagi membetulkan sejarah yang dipesongkan Umno dengan menutup tokoh-tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan negara.

Katanya, beliau tidak bermasalah untuk mengakui perjuangan Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dalam mendapatkan kemerdekaan tetapi nama seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi perlu diiktiraf.

“Ya kalau mereka nak senaraikan (Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman) boleh, tetapi tokoh lain tak ada langsung. Tok Janggut jauh sekali. Rakyat semakin celik dan merasai perayaan merdeka seolah-olah tidak ada kena mengena dengan rakyat,” katanya.

Ditanya adakah mereka yang berjuang dan meninggal dunia semasa tragedi Bukit Kepong tidak berjasa kepada negara, Mat Sabu berkata, terserah kepada penilaian individu untuk membuat kesimpulan kerana semasa kejadian Balai Polis itu ditadbir oleh British.

“Sebab di situ ada bendera Union Jack, tafsiran saya mereka bekerja dengan British dan polis bila-bila pun terkorban, di korban dan berkorban kerana mereka mengikut dasar pemerintah pada waktu itu. Saya simpati, mungkin mereka saudara kita, kita simpati.

“Tetapi sejauh mana kita simpati kepada tragedi Memali, kerakusan pemerintah menyebabkan polis terkorban, yang tidak terkorban adalah penguasa itu, yang menguasai pasukan keselamatan,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan Profesor Emiritus Tan Sri Dr Koo Kay Kim yang mempelawa beliau berjumpa dengan beliau bagi mendapatkan bahan sejarah khususnya tragedi Bukit Kepong, Mat Sabu berkata, beliau menghormati tokoh sejarah itu tetapi ada lagi individu yang lebih pakar.

“Kita sedia bertemu sesiapa sahaja. Bukan untuk berdebat, lebih sedap berbincang dalam soal kemerdekaan dan sejarah, sebenarnya banyak khazanah tetapi banyak berada di Eropah bukan di negara kita,” katanya.-SH

‘Mat Indera adalah pejuang’



KOTA BHARU - Kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ke Kelantan adalah sebahagian daripada jadual untuk memberi penerangan khususnya berkaitan kontroversi membabitkan tragedi Bukit Kepong.

Pada masa yang sama beliau turut mengadakan sidang media dan menjawab beberapa soalan wartawan. Pada sidang media tersebut beberapa soalan sensitif turut dibangkitkan tetapi beliau tenang dan menjawab setiap persoalan yang diajukan.

Boleh tuan ulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa tuan menarik balik kenyataan berkaitan tragedi Bukit Kepong?
Mohamad Sabu: Bagi saya itu, kebebasan seseorang memberi pandangan. Saya akan bertemu dengan beliau untuk bertukar fikiran.
Tidakkah itu nanti akan menyebabkan wujudkan perpecahan dalam PR?
Mohamad Sabu: Saya fikir tak ada masalah. Sudah banyak kali ada perbezaan pandangan, boleh diselesaikan.

Bila pertemuan tersebut?
Mohamad Sabu: Bergantung kepada masa, saya tidak akan tetapkan tarikh tetapi cuba dapatkan minggu ini,
Maknanya tuan tidak akan tarik balik kenyataan sebelum ini?
Mohamad Sabu: Kenyataan apa? Itu kenyataan media, saya tidak tahu kenyataan apa.

Bagaimana dengan kenyataan yang mendakwa Muhamad Indera sebagai hero?
Mohamad Sabu: Mat Indera memang pejuang kemerdekaan, ia dicatatkan dalam sebuah akhbar 13 Disember 2010 dengan menyebut beliau adalah pejuang kemerdekaan. Umno amat takut kisah perjuangan sebenar. Itu yang mereka panik dan gusar, kisah perjuangan sejarah yang sebenar.

Apa kisah yang sebenar tuan maksudkan?
Mohamad Sabu: Hari ini kita menyambut kemerdekaan seolah-olah menyambut perayaan Umno. Sebab itu rakyat tidak menyertai. Seratus kereta nak dapat satu bendera pun susah. Kalau ada bendera pun lori yang bawa pasir atau tanah muatan lebih, barangkali nak elak dari pada polis atau JPJ. Kalau nak diletakkan Tuanku Abd Rahman dan Datuk Onn Jaafar sebagai pejuang kemerdekaan, itu okey tetapi bariskan tokoh-tokoh yang lain, (Dr) Burhanudin, Ibrahim Yakob dan lain-lain. Saya pasti rakyat akan terpanggil untuk menyambut kemerdekaan, sekarang kemerdekaan 31, Ogos dijuruskan kemerdekaan untuk Umno.

Apakah tuan mengiktiraf perjuangan Tunku Abd Rahman dan Datuk Onn?
Mohamad Sabu: Ya, kalau mereka nak senaraikan tetapi tokoh lain tak ada langsung. Tok janggut jauh sekali, rakyat semakin celik dan merasai perayaan merdeka seolah-olah tidak ada kena mengena dengan rakyat. Ini sambutan makin dingin tidak seperti sambutan 60-an.
Apakah Pas Pusat akan membincangkan isu ini?

Mohamad Sabu: Kami belum adakan mesyuarat, dan Pas pusat tidak merasakan perkara ini perlu disegerakan. Sebenarnya saya sudah memberi ceramah ini bertahun-tahun, tetapi isu ini cuba dipusingkan kerana masalah besar negara ini adalah masalah keyakinan rakyat, contohnya terbongkarnya daftar pemilih yang akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia bertemu dengan Bersih. Dunia menyaksikan pengakuan bekas tentera membuat pendedahan mereka membuat penipuan ribuan penduduk dalam pilihan raya. Ini semua membuatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan serba salah dan panik, maka ditimbulkan isu komunis supaya orang bincang hal ini sedangkan ia perkara mitos dan fantasi dan bukan berfakta,

Tuan sudah dipanggil polis untuk ambil keterangan?
Mohamad Sabu: Belum ditetapkan tarikh dan saya akan beri kerjasama, Cuma saya diberitahu disiasat di bawah seksyen 505, (Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan).

Tuan tetap bertegas dengan kenyataan sebelum ini?
Mohammad Sabu: Mat Indera adalah pejuang. Polis jangan panik, sebelum 31 Ogos, waktu itu kerajaan adalah British, selepas 31 Ogos baru kerajaan Malaya merdeka. Ini fakta. Jangan kita menganggap selepas 31 Ogos kita ada kerajaan yang sama. Tidak, bendera lain, lagu lain. Jadi kita perlu beza.

Maknanya anggota keselamatan yang mati dalam tragedi Bukit Kepong itu tiada jasa kepada negara?
Mohamad Sabu: Itu terpulang kepada tafsiran masing-masing, sebab di situ ada bendera Union Jack.

Tafsiran tuan?
Mohamad Sabu: Tafsiran saya, mereka bekerja dengan British dan polis bila-bila pun terkorban, dikorban berkorban kerana mereka mengikut dasar pemerintah pada waktu itu. Saya simpati, mungkin mereka saudara kita, kita simpati. Tetapi sejauh mana kita simpati? Tragedi Memali, kerakusan pemerintah menyebabkan polis terkorban yang tidak terkorban adalah penguasa itu, yang menguasai pasukan keselamatan.
Maksudnya, tuan mengesahkan yang meninggal itu tidak berjasa kepada negara?
Mohamad Sabu: Itu serah kepada saudara untuk mentafsirkan, saya tidak mahu membuat tafsiran seumpama itu. Apa yang jelas Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan. Jadi (macam mana) tafsiran sokongan Macam Tok Janggut, Mat Kilau mereka ini menentang pemerintahan British.

Tuan hanya menambahkan kekeliruan?
Mohamad Sabu: Saya tidak menjadikan ia keliru tetapi akhbar yang cuba mengelirukan. Senang saja, lepas merdeka pemerintahan merdeka, sebelum pemerintahan Bristish. Apa yang bermasalah yang menentang British disebut pemberontak, yang menyokong Jepun selalu disebut tali barut. Kenapa? Sepatutnya yang menyokong British juga adalah tali barut, pegawai- pegawai kerajaan yang dilatih di bawah Britsih ada yang integritinya hebat ada yang dikekalkan sehingga mereka perkhidmatan di kerajaan merdeka dan khidmat mereka cukup cemerlang. Antaranya Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Arshad Ayub, Tan Sri Haron Hasyim, Tun Saleh Abbas, ini orang yang dilatih di pentadbiran British tetapi pemimpin yang berwibawa, bila mereka pengkianat kerajaan merdeka, bukan semua yang berkhidmat dengan Bristish itu adalah sampah dan tidak berguna, memang terpelihara integriti dalam kerajaan merdeka.

Kenapa baru sekarang isu ini dibangkitkan?
Mohamad Sabu: Isu ini bukan dibangkitkan sempena kemerdekaan sahaja, ia dibangkitkan setiap tahun iaitu sambut merdeka di Malaysia ini salah. Di Indonesia hampir setiap rumah orang letak bendera, sebab di orang merasakan itu kemerdekaan dia. Di Malaysia seolah-olah Umno yang merayakan kemerdekaan, kerana tidak melibatkan pejuang kemerdekaan sebenar. Ini yang nampak makin hari makin hambar, banyak lagi perkara-perkara yang terdedah dalam teknologi baru. Kerajaan kena jawab, misalnya lagu Negaraku, itu lagu Terang Bulan, dan Terang Bulan diambil dari lagu Perancis, kita dengar muzik itu, kerajaan kena terang… Indonesia menjadikan lagu ini sebagai ejekan kepada Malaysia, kerajaan kena jawab… Sekarang (ada kaum) Tionghua, kata (lagu) 'Negarakuku', akhirnya kerajaan tidak boleh buat apa, lepas tu bagi projek kepada dia sekarang.

Tidakkah tuan merasakan isu ini boleh menyebabkan Pas kehilangan undi?
Mohamad Sabu: Tidak, saya tidak merasakan kita akan kehilangan undi, malah menambah undi. Itu hanya pendedahan media. Mereka boleh menampak penerangan balas, kita buat penerangan balas. (sebelum ini) isu lebih dahsyat lagi, isu Tok Guru kata Tuhan samseng dan sebagainya.. yang dibuat media tanpa disiar ucapan penuh. Cuma isu ini dipanjangkan dan isu ini tidak akan reda kita tidak tahu mungkin sehingga pilihan raya, rakyat semakin cari maklumat, anak muda sekarang ini mula menyebut, hidup Mat Indera, saya terkejut, mereka tak dengar ucapan saya, tetapi tengok blog dan Internet… ini rakyat semakin celik.
Berbalik kepada isu Mat Indera? Adakah Rasyid Maidin turut dianggap sebagai pejuang?
Mohamad Sabu: Ya, sebelum merdeka mereka lawan penjajah, selepas merdeka kalau mereka akan terus akan senjata itu saya tidak setuju.. sebelum merdeka mereka lawan British, kalau selepas merdeka serta menerima dasar demokrasi, maka terus angkat senjata mereka menentang British. Itu saya tidak setuju

Pandangan tuan selepas 54 tahun Malaysia merdeka?
Mohamad Sabu: Saya sifatkan belum merdeka , tiada kebebasan media, saya diserang tujuh hari tujuh malam, apa salahnya beri rancangan setengah jam untuk saya bercakap, media serang termasuk di malam raya, dijangka tidak berlaku peribadi, saya rasa etika kewartawanan tidak ada, saya kesal ini berlaku, tak pa la kecam saya, tetapi beri ruang untuk menjawab, beri saya membuat penjelasan dan kita buat pertimbangan, ini rakyat tidak boleh buat pendengaran.

Tuan setuju berdebat dengan mereka yang mengkritik?
Mohamad Sabu: Kita sedia bertemu, bukan berdebat, lebih sedap berbincang, dalam soal kemerdekaan dan sejarah, sebabnya banyak khazanah tetapi banyak berada di Eropah bukan di negara kita.

300 temui ajal setiap hari

MOGADISHU: Kematian penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang sengsara akibat kebuluran meningkat setiap hari dan jumlah kematian di kem berkenaan dianggarkan mencecah 300 orang sehari.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamed Zen berkata, kekurangan ubat dan vaksin serta pakar perubatan menjadi penyebab utama kematian kebanyakan penghuni kem penempatan dalaman (IDPs).

Katanya, di Somalia ada tidak sampai 300 doktor dan di Mogadishu pula tidak lebih 100 orang, malah keadaan diburukkan dengan kemudahan serta ubatan tidak mencukupi.

“Masalah utama kami membantu rakyat Somalia terutama kanak-kanak dan wanita yang sakit disebabkan kurang zat serta vitamin adalah tidak cukup kepakaran serta kemudahan dalam bidang perubatan.

“Bantuan bekalan ubatan memang diterima daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan mereka sentiasa memantau kami, namun itu tidak mencukupi kerana kami masih kekurangan pakar perubatan untuk merawat jutaan rakyat kami yang menderita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau cukup gembira dengan kehadiran kumpulan misi bagi membantu rakyat Somalia yang turut menderita akibat perang saudara berpanjangan sejak lebih 20 tahun lalu.

TurkiusirdutaIsrael

ANKARA: Turki mengusir duta Israel ke Ankara, semalam dan menggantung semua hubungan ketenteraan dengan sekutunya itu selepas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan keterlaluan tentera Zionis dalam serbuan terhadap flotila bantuan ke Gaza tahun lalu.
Sehari selepas laporan serbuan komando Zionis pada tahun lalu itu didedahkan dalam media, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata kerajaan memutuskan untuk mengambil beberapa tindakan sebagai tanda protes. Walaupun laporan itu belum lagi dikeluarkan, Presiden Turki, Abdullah Gul, berkata Ankara tetap akan menolak dan menganggapnya sebagai tidak sah. Sementara itu, kerajaan Israel menegaskan akan menerima semua laporan itu, tetapi menuntut untuk mengepung wilayah Palestin yang diperintah oleh Hamas. Turki memanggil semula dutanya ke Tel Aviv sejurus selepas insiden serbuan itu. Bercakap dalam sidang akhbar di Ankara, Ahmet berkata, hubungan dengan Israel kini amat terbatas.

“Semua pegawai tinggi melebihi jawatan setiausaha kedua, khususnya duta dikerah pulang selewat-lewatnya Rabu minggu depan,” katanya. “Kedua, semua perjanjian ketenteraan antara Israel dan Turki digantung,” katanya.

Beliau juga berkata, Ankara merancang untuk mencabar hak Israel mengenakan kepungan di Semenanjung Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, mahkamah tertinggi PBB. - AFPhmetro

Jurukamera BernamaTV maut



Allahyarham Noramfaizul


KUALA LUMPUR 2 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, malam ini.
Wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersil untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.
Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.
Khairulanuar seperti dipetik oleh Bernama berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.
Sementara itu, menurut wartawan Utusan Malaysia, Metra Syahril Mohamed yang mengikuti misi kemanusian tersebut ketika dihubungi lewat malam tadi memberitahu, selain jurukamera BernamaTV, jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan (gambar) juga terkena tembakan dan cedera di bahu.
Menurut Metra, mereka ditembak oleh pihak yang tidak diketahui yang dipercayai menyasarkan tentera Kesatuan Afrika (AU).
Tambahnya, kesemua wakil media diarahkan untuk mengemas pakaian dan barang keperluan masing-masing.
Kesemua wakil media yang menyertai misi tersebut pada 28 Ogos lalu dijangka pulang ke tanah air pada 8 September ini dan kemungkinan akan pulang lebih awal malam ini atau esok pagi (waktu tempatan).

Manila mahu MILF bertindak





MANILA 2 Sept. – Kerajaan Filipina hari ini menggesa Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengambil tindakan terhadap kumpulan serpihan yang diketuai oleh bekas komandernya, Ameril Umbra Kato (gambar).
Manila berkata, kumpulan Ameril itu menimbulkan ancaman serius terhadap rundingan damai bagi menamatkan pemberontakan puak pemisah Islam di selatan negara ini.
Rundingan di Malaysia tergendala bulan lepas apabila MILF menolak formula politik Manila bagi membawa keamanan di selatan Filipina, walaupun kedua-dua pihak berkata, rundingan akan diteruskan.
Rundingan itu juga menjadi rumit disebabkan kumpulan serpihan pimpinan Ameril yang telah menolak rundingan damai dan berikrar untuk meneruskan perjuangan bersenjata bagi menegakkan sebuah negara Islam merdeka.
“Kami berharap MILF dapat melihat masalah besar akan timbul bagi proses damai jika mereka tidak menangani masalah Ameril ini secara sensitif,” kata ketua panel rundingan damai kerajaan, Marvic Leonen.
Leonen berkata, kerajaan menganggap Ameril sebagai penjenayah dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya berhubung serangan ke atas kampung petani di wilayah Cotabato Utara pada 2008 apabila penduduk terbunuh dan rumah serta ladang.
Kumpulan Ameril melancarkan dua serangan ke atas tentera kerajaan tahun ini, tetapi askar tidak menyerang kumpulan serpihan itu disebabkan perjanjian gencatan senjata dengan MILF, ujar Leonen.
Manila dan MILF menjalankan rundingan sejak 1997, dan harapan untuk mencapai kemajuan besar meningkat berikutan pertemuan rahsia di Jepun bulan lalu antara Presiden Benigno Aquino dengan Pengerusi MILF, al Haj Murad Ebrahim. . – Reuters

Bush tidak hadiri perkahwinan cucu perempuan



Lauren Bush dan David Lauren


DALLAS 2 Sept. - Bekas Presiden Amerika Syarikat, George H.W. Bush dan isterinya, Barbara Bush tidak akan menghadiri majlis perkahwinan cucu perempuan mereka, Lauren Bush yang bakal berkahwin dengan David Lauren di Colorado, Ahad ini.
Stesen ABC News melaporkan, Bush, 87, dan isteri, 86, tidak akan menghadiri perkahwinan tersebut kerana lokasi majlis yang terletak di kawasan tanah tinggi dikhuatiri menjejaskan kesihatan mereka.
Wakil kepada kepada keluarga Bush bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut.
Dalam pada itu, aktiviti pra-perkahwinan yang terlalu padat turut dilihat tidak sesuai untuk golongan tua.
Pada Isnin, para tetamu akan menyertai permainan bola keranjang di ladang Pergunungan Rocky seluas 6,879 hektar yang turut dilengkapi salun rambut.
Sementara itu, Lauren, 27, yang mengikat tali pertunangan dengan David, anak kepada pereka fesyen Ralph Lauren bagaimanapun tidak akan menggunakan nama 'Lauren Lauren' selepas berkahwin.
"Nama saya mungkin akan menjadi Lauren Bush-Lauren dan mempunyai nama yang sama dengan suami adalah sesuatu yang menarik," katanya kepada majalah Harper's Bazaar April lalu. - AGENSI

Noda tampilkan Kabinet muda



Renho


TOKYO 2 Sept. – Perdana Menteri baru Jepun, Yoshihiko Noda mengumumkan barisan Kabinet pertamanya hari ini, sebelum memulakan usaha untuk menyatukan partinya yang berpecah-belah dan memantapkan program pemulihan berikutan gempa bumi dan tsunami pada awal tahun ini.
Noda, Perdana Menteri keenam Jepun dalam tempoh lima tahun, memberikan jawatan-jawatan Menteri Luar dan Kewangan kepada ahli Parlimen berusia lewat 40-an, dianggap muda dalam politik negara ini bagi portfolio sedemikian.
Paling muda ialah Goshi Hosono, 40, berperanan sebagai Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab menyelesaikan krisis loji nuklear Fukushima.
Kabinet Noda menampilkan dua wanita iaitu Renho, 43, yang menggunakan hanya satu nama sebagai Menteri Pemerkasaan Kerajaan dan bekas tonggak stesen NHK, Yoko Komiyama, 62, sebagai Menteri Kesihatan.
Jun Azumi, 49, dilantik ke jawatan Menteri Kewangan sementara Koichiro Gemba, 47, menjadi Menteri Luar.
Azumi yang berasal dari Miyagi, wilayah timur laut yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, pernah bekerja sebagai wartawan stesen NHK sebelum melancarkan kerjaya politiknya.
Beliau menjadi ketua hal-ehwal Parlimen Parti Demokrat di bawah Perdana Menteri sebelum ini, Naoto Kan.
Sebagai Menteri Kewangan, jawatan pertamanya dalam Kabinet, Azumi menghadapi tugas sukar untuk melindungi ekonomi Jepun daripada kesan mata wang yen yang kukuh dan menangani hutang awam yang makin meningkat apabila penduduk yang semakin tua menyebabkan kos keselamatan sosial bertambah.
Menteri Luar baru, Gemba ialah Menteri yang bertanggungjawab terhadap dasar negara dalam Kabinet sebelum ini.
Yoshio Hachiro, 63, dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Noda dipilih sebagai Perdana Menteri pada Selasa lalu, untuk mewarisi cabaran getir bagi melaksanakan program pemulihan selepas bencana, menamatkan krisis nuklear, mengatasi kesan lonjakan nilai yen dan menyelesaikan masalah hutang awam yang menimbun.
Kan meletakkan jawatan selepas 14 bulan menjadi Perdana Menteri, ekoran kritikan hebat kerana kerajaan beliau gagal mengendalikan proses pemulihan selepas bencana dan mengatasi krisis nuklear yang berlarutan. – AFP

Polis tahan suspek ke-15 skandal penggodam telefon Britain



03/09/2011 2:13am

LONDON 3 Sept - Polis Britain menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana disyaki terlibat dalam skandal penggodam telefon media “News of the World” yang merupakan antara akhbar-akhbar British milik Rupert Murdoch.
Menurut polis, suspek yang tidak dapat dikenal pasti itu disyaki terlibat dalam konspirasi memintas mesej mel suara dan cuba memutarbelitkan keadilan.
“Suspek tersebut tidak pernah ditangkap sebelum ini, dia merupakan orang yang ke-15 ditahan setelah pembukaan semula siasatan tersebut pada awal tahun,” katanya. – Reuters

Militan Taliban culik 40 kanak-kanak Pakistan



03/09/2011 2:13am

KHAR, Pakistan 3 Sept. - Kumpulan militan Taliban menculik seramai 40 kanak-kanak lelaki Pakistan yang menyeberangi sempadan tidak bertanda di barat laut negara itu berhampiran Afghanistan.
Menurut Pegawai Kanan Tempatan, Syed Nasim, kejadian itu berlaku semalam selepas kumpulan kanak-kanak lelaki yang berusia antara 12 hingga 18 tahun melawat kawasan Gharkhi di wilayah puak Bajaur bagi meraikan sambutan hari kedua Aidilfitri.
“Kanak-kanak tersebut secara tidak sengaja menyeberang sempadan ke Afghanistan ketika mereka sedang berkelah,” katanya.
Bagaimanapun, polis sempadan Afghanistan, Ketua Komander Aminullah Amarkhel menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat tentang penculikan itu. - AFP

Jurukamera BernamaTV terbunuh ditembak di Somalia



03/09/2011 2:13am

NORAMFAIZUL MOHD. NOR


KUALA LUMPUR 3 Sept. - Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang semalam waktu tempatan.
Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,” katanya.
Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi paru-parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.
Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata, sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.
"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,” kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.
Dalam pada itu, Tan berkata, mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan esok.
Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok.
Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - Bernama

Kesihatan, persekitaran makin buruk






SEBAHAGIAN mangsa kebuluran yang berlindung di Kem Maalin, Mogadishu, Somalia, semalam.


MOGADISHU 2 Sept. – Situasi di Somalia dijangka bertambah buruk apabila segala sistem termasuk kesihatan dan pengurusan persekitaran di negara itu dilihat gagal berfungsi dengan baik.
Penasihat Teknikal kepada Menteri Kesihatan, Dr. Abdi Awad Ibrahim berkata, selain kekurangan ubat untuk menangani masalah pesakit akibat kebuluran, Somalia kini berhadapan dengan masalah sistem bekalan air bersih.
Memburukkan lagi keadaan, jelasnya, adalah sistem saliran dan pengurusan sampah sarap yang tidak terurus selain kelemahan dalam sistem sanitasi.
‘‘Kami memerlukan kemudahan kesihatan yang baik. Di Mogadishu sahaja, kami hanya memiliki tidak kurang 100 orang doktor. Kami juga memerlukan kaunselor untuk menangani kesan psikologi.
‘‘Bencana kemarau yang melanda menyebabkan 3.5 juta penduduk berhadapan dengan situasi kebuluran dan ia pasti akan bertambah. Kanak-kanak dan wanita, khususnya, menghidap cirit-birit serta makanan tidak seimbang. Bayangkan, 200 orang meninggal dunia setiap hari akibat cirit-birit dan konflik bersenjata.
‘‘Situasi ini dijangka bertambah buruk ekoran ketiadaan sistem bekalan air bersih, sistem saliran dan pengurusan sampah sarap yang teruk,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di pejabat Kementerian Kesihatan, dekat sini hari ini.
Turut sama dalam pertemuan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamad.
Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berada di Somalia bagi menjalankan misi kemanusiaan ekoran kebuluran melanda negara itu yang disebabkan oleh kemarau panjang.
Mengulas lanjut, Dr. Abdi Awad berkata, selain ancaman kesihatan, Somalia masih diancam peperangan terutamanya pertempuran antara kumpulan Al-Shabab dan tentera kerajaan.
‘‘Ini membuatkan ramai penduduk yang menderita,” tegasnya.
Ditanya mengenai kehadiran agensi misi kemanusiaan asing ke Somalia, jelasnya, kerajaan gembira dengan bantuan pihak luar tetapi segala bantuan perlulah diurus dengan baik mengikut saluran kementerian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Hospital Mata Kebangsaan, Dr. Abdisemad Hassan Mohammed ketika ditemui berkata, pihaknya memerlukan sumbangan pelbagai agensi dalam membantu memperbesarkan hospital berkenaan bagi membolehkan ia merawat pesakit terutamanya pesakit katarak dengan lebih meluas.
Katanya, ekoran berlakunya kebanjiran mangsa kebuluran di kem perlindungan sementara berdekatan iaitu Kem Bad-Badoo, hospitalnya terpaksa merawat pesakit katarak antara 80 dan 100 orang pesakit setiap hari.
‘‘Kami hanya ada sebuah bilik pembedahan dengan dibantu 31 staf perubatan. Rawatan di sini adalah percuma menerusi pembiayaan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Agensi Pengurusan Bencana Somalia, Abdulhakim Ahmed Guled memberitahu, pihaknya berhadapan dengan masalah mendapatkan statistik terkini mangsa kebuluran ekoran kegagalan pelbagai pihak mengemaskini bilangan mereka di kem-kem perlindungan sementara.
‘‘Apa pun, kita sedang memikirkan pelan pemulihan terhadap mangsa di kem perlindungan,” katanya.

Ibu rindu air tangan Ashraf

pix_gal0
Puding koktail, kek coklat Aleesha digemari keluarga pada Aidilfitri 

KUALA TERENGGANU: “Arwah (Mohd Ashraf) paling sibuk setiap kali raya. Dia pandai memasak dan selalu menjamu tetamu dengan menu istimewanya, puding koktail dan kek coklat yang juga sering ditempah rakan,” kata ibu Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz.
Mohd Ashraf, 26, yang membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dan status jantinanya dalam MyKad kepada Aleesha Farhana meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, pada 30 Julai lalu, selepas muntah dan tekanan darah rendah, dipercayai akibat tekanan selepas permohonannya ditolak mahkamah.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Yah, 50, berkata, kedatangan Aidilfitri kali ini memang memilukan, apatah lagi setiap kali teringat Mohd Ashraf, mereka juga terkenang air tangannya yang digemari keluarga terutama puding koktail dan kek coklat yang menjadi hidangan wajib di Aidilfitri.

“Kami buat juga puding koktail dan dihidangkan pada tetamu pada rumah terbuka kami kelmarin. Mulanya saya tak mahu buat, sebab rasa tak sanggup apabila mengenangkan arwah. Namun, adiknya beriya-iya mahu saya membuat puding itu, tetapi rasanya tak sesedap seperti yang dibuat arwah. Tahun ini kali pertama rumah kami tidak ada kek coklat kerana lazimnya arwah yang sediakan.

“Ketika arwah ada, saya tidak perlu susah payah kerana semua kerja dia selesaikan. Dari memasak, mengemas, malah menjahit sekali pun, arwah memang berkebolehan. Pendek kata arwah memang boleh diharap,” katanya yang mesra melayan wartawan yang menziarah keluarganya sempena Aidilfitri di rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini.

Yah berkata, biarpun sudah lebih sebulan anaknya meninggalkan mereka, kenangan bersamanya yang sangat rajin di dapur sering membuatkannya sebak, malah kadangkala terasa arwah berada di belakangnya setiap kali dia memasak.
“Arwah memang pandai dan suka memasak, malah kalau dia masak mi segera pun sedap. Arwah sering membantu saya di dapur. Sejak arwah tiada, kadang-kadang ketika sedang memasak, saya terasa dia berada di belakang kerana memang tabiatnya berdiri di belakang memerhatikan saya memasak.

“Arwah memang mahir melakukan kerja dapur, tetapi tidak pandai melakukan kerja berat. Kalau kipas di rumah berhabuk pun, arwah tidak akan panjat tangga untuk membersihkannya, tetapi meminta saya menunggu adik lelakinya pulang.
Arwah juga pandai bersolek dan mengambil upah menyolek orang kahwin,” katanya.

Dalam mengenang kebolehan arwah, Yah sempat memberitahu, Mohd Ashraf berkelakuan pelik sebelum meninggal dunia, antaranya memakai purdah ketika keluar pada malam sebelum jatuh sakit. bharian

Satu daripada 4 anak tak bantu ibu bapa



Oleh S Anand Kumar dan Muhd Amirul Faiz Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/09/03

ISM bimbang lebih ramai warga tua berdepan kesempitan hidup jika keadaan berterusan 

KUALA LUMPUR: Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) merumuskan nisbah satu daripada empat rakyat negara ini gagal memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka, sekali gus bimbang lebih ramai warga tua akan berdepan kesempitan hidup jika keadaan itu berterusan.
Pengarahnya, Prof Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata walaupun sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab anak ke atas ibu bapa jangan diabaikan terutama soal kewangan atau kebajikan.
“Sama ada anak lelaki atau perempuan, tanggungjawab ke atas ibu bapa masing-masing tetap sama. Walaupun kadangkala ada anak menghadapi masalah kewangan, bukan bermakna mereka tidak harus menghulurkan wang kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai lebih 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga tua di negara ini tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan. 

Penemuan itu hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke-4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Wan Mahmood Pawan Teh, berkata pihaknya risau jika isu berkenaan berterusan untuk tempoh berpanjangan, lebih ramai warga tua menderita sekiranya tiada pendapatan tetap seperti pencen. 
“Ketika usia ibu bapa kian meningkat, anak berperanan memberi sokongan kepada ibu bapa... jangan abaikan tanggungjawab sebagai anak. Saya amat berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi perhatian serius kepada isu ini bagi mengelakkan lebih ramai warga tua hidup merempat,” katanya.bharian

10 peguam Kuwait bantu bela Hosni Mubarak

KAHERAH: Seramai 10 peguam dari Kuwait akan menyertai pasukan pembelaan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, yang digulingkan dalam perbicaraannya atas tuduhan rasuah dan membunuh penunjuk perasaan, kata agensi berita kerajaan Mena, semalam.
Peguam dari Kuwait itu akan mewakili Hosni pada sesi ketiga perbicaraannya yang dijadual Isnin ini. Penganalisis politik berkata, hubungan erat antara Kuwait dengan keluarga Hosni dan sokongan Mesir terhadap Kuwait selepas ditawan Iraq pada 1990 mendorong peguam terbabit menghulurkan bantuan. Ketua Pusat Pengajian Strategik Kuwait, Sami al-Faraj berkata kumpulan peguam terbabit menawarkan diri untuk membela Hosni sebagai tanda terima kasih kepada bekas pemimpin itu yang menyokong Kuwait ketika berperang dengan Iraq pada 1990. - Reuters

Azizan bertegas mampu teruskan tugas MB




wajah terbaru Azizan sewaktu menziarahi jenazah Allahyarham Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Pendang semalam.


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam menegaskan bahawa kesihatan beliau berada dalam keadaan baik dan beliau mampu menjalankan tanggungjawabnya mengurus pentadbiran negeri dengan sempurna.
“Nak ada pemangku buat apa? Ni dah keluar (hospital) dan semua sihat dah,” kata beliau mengulas laporan akhbar kelmarin yang menyatakan kepimpinan Pas sedang mengambil tindakan untuk menggantikannya disebabkan keadaan kesihatan Azizan yang kurang baik selepas diserang sakit jantung Julai lalu.
Menurut laporan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu.
Azizan berkata, sekiranya kepimpinan Pas ingin berbuat demikian, ia seharusnya dilakukan sewaktu beliau mula- mula jatuh sakit dahulu dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan bukannya sekarang.