Wednesday, June 1, 2011

Penduduk Turki peringati serangan ke atas flotila




BERIBU-RIBU aktivis pro Palestin dan penunjuk perasaan berhimpun sambil mengibarkan bendera Palestin dan Turki bagi memperingati ulang tahun pertama serangan Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza tahun lalu di Dataran Taksim, Istanbul, semalam. - AP


ISTANBUL 31 Mei - Beribu-ribu penduduk Turki berhimpun di Dataran Taksim, di sini malam tadi bagi memperingati ulang tahun pertama serangan Israel ke atas flotila bantuan kemanusiaan menuju Genting Gaza pada tahun lalu yang mengakibatkan sembilan aktivis pro-Palestin maut.
Dalam insiden yang dikecam hebat dunia itu, lapan aktivis Turki dan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) terbunuh ketika komando rejim Zionis Israel menyerbu kapal Mavi Marmara yang mengetuai flotila bantuan ke Gaza pada awal pagi 31 Mei 2010.
Penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Palestin dan Turki melaungkan 'Si pembunuh Israel akan dihadapkan ke muka pengadilan' dan pelbagai slogan anti-Israel, antaranya 'Tuhan Maha Besar'.
"Aktivis-aktivis itu dibunuh hanya kerana mereka menyokong perdamaian Palestin. Kami tidak akan lupakan insiden itu," kata aktivis Belgium, Fatima El Mourabiti yang turut berada di atas kapal Mavi Marmara semasa kejadian itu berlaku kepada agensi berita Jerman, dpa.
Perhimpunan dan acara memperingati kejadian berdarah itu dianjurkan badan kebajikan Turki, Yayasan Hak Asasi, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (IHH), yang bertanggungjawab dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza pada tahun lalu.
Majlis yang turut disertai ucapan, lagu-lagu serta doa yang ditujukan khas kepada sembilan aktivis yang maut itu diadakan bagi meraih sokongan orang ramai berhubung misi penghantaran flotila bantuan kedua ke Gaza yang sedang dirancang.
Pada satu sidang media semalam di atas Mavi Marmara, penganjur berkata, kira-kira 1,500 aktivis dan 15 kapal akan mengambil bahagian dalam misi 'Flotila Kebebasan II- Stay Human II' yang akan belayar akhir bulan depan.
Menurut penganjur, flotila itu akan membawa bekalan perubatan, bahan pembinaan dan barangan lain dalam cubaan kedua mencabar sekatan Israel ke atas Gaza. - dpa
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Thaksin kata Yingluck bukan boneka, tapi klonnya



SYDNEY 31 Mei – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menafikan beliau mahu kembali memimpin negara itu dan mendakwa adik perempuannya, Yingluck bukanlah boneka tetapi adalah ‘klon’ beliau.
Thaksin memberitahu stesen televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dalam rancangan Latelinemalam tadi, beliau yakin Parti Puea Thai yang dipimpin sekutu-sekutunya akan memenangi pilihan raya umum Thailand pada 3 Julai ini.
Bagaimanapun beliau menafikan spekulasi matlamat utama beliau adalah untuk kembali memimpin Thailand.
“Adik perempuan saya sudah pun dicalonkan, kerana itu saya tidak perlu lagi kembali untuk menjadi Perdana Menteri,” kata Thaksin yang diwawancara di kediaman mewahnya di Dubai.
Pilihan raya itu dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara Yingluck dengan musuh ketat Thaksin, yang juga Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva yang mengetuai Parti Demokrat.
Yingluck tidak mempunyai pengalaman politik dan banyak pihak berpendapat pencalonannya sebagai calon pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri mengesahkan Thaksin terus memainkan peranan utama dalam arena politik Thailand, meskipun beliau tinggal di luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Thaksin mengaku beliau masih mampu mempengaruhi idea dan pemikiran kerana beliau lebih berpengalaman daripada orang lain dan berkesempatan untuk berkongsi pengalamannya sebagai bekas Perdana Menteri dan pengalaman meninjau pelbagai negara di seluruh dunia.
Namun beliau menafikan Yingluck adalah bonekanya, sebaliknya menyifatkan adik perempuannya itu sebagai ‘klon’ beliau.
“Dia adik perempuan bongsu saya dan bekerja untuk saya sejak awal lagi, kerana itu saya mengajar dan melatihnya dan cara kami bekerja hampir sama,” jelas Thaksin.
Katanya, klon bermakna ‘budaya, latar belakang, idea, sikap dan pemikiran yang sama’. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Salih belanja RM50,000 bulan madu


PENYANYI, pelakon, pengacara dan penyampai radio, Salih Yaakob mengucup dahi isteri keempatnya Samihaah Sheikh Ali, 25,  selepas selesai majlis akad nikah di Masjid Jamed Bandar Kulaijaya, Johor. Foto: Mohd Nur Hafidz Nordi (30/05/2011)
PENYANYI, pelakon, pengacara dan penyampai radio, Salih Yaakob mengucup dahi isteri keempatnya Samihaah Sheikh Ali, 25, selepas selesai majlis akad nikah di Masjid Jamed Bandar Kulaijaya, Johor. Foto: Mohd Nur Hafidz Nordi (30/05/2011)mymetro

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pengantin baru, Salih Yaccob (gambar) memperuntukkan RM50,000 untuk berbulan madu dan membawa keempat-empat isteri serta 11 anaknya bercuti ke China selama lima hari, bermula Ahad ini.

Bagi Salih, 49, percutian itu adalah rezeki anak-anak di samping merapatkan hubungan dengan isteri keempat, Samihah Sheikh Amy yang baru dinikahinya semalam.
Jelas Salih, bukan mudah untuknya merancang percutian bersama semua ahli keluarga berikutan kekangan masa dan ini merupakan suatu yang baik untuk seluruh ahli keluarga.
"Alhamdulillah, ada rezeki lebih untuk anak-anak dan isteri-isteri saya. Tambahan pula sekarang ini musim cuti sekolah, jadi saya fikir ini adalah masa terbaik untuk bersama keluarga.
"Lagi pun dengan cara ini adalah lebih mudah untuk kami berkumpul bersama-sama memandangkan saya sendiri sering sibuk dengan kerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pada awalnya, percutian itu dirancang oleh sebuah agensi pelancongan yang ingin menganjurkan percutian 'Salih Yaccob bersama para peminat'.
Namun, percutian itu ditukar menjadi 'percutian peminat bersama keluarga Salih Yaccob' ke negara tembok besar itu.
Mengenai tiga isterinya yang tidak hadir ke majlis pernikahannya di Kulaijaya, Johor semalam, Salih berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana isteri pertamanya perlu menghantar anak lelaki mereka ke Kuantan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara.
"Oleh kerana isteri pertama saya tak dapat hadir, isteri kedua dan ketiga pun enggan hadir kerana mereka tidak mahu orang salah anggap.
"Jadi, dengan penjelasan itu, saya berharap orang sekeliling tidak membuat andaian negatif kenapa isteri lain tidak hadir ke majlis pernikahan saya.
"Apa pun, mereka tetap mengiringi langkah saya ke Johor dengan doa agar semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan," kata Salih yang menghantar khidmat pesanan ringkas kepada ketiga-tiga isterinya semalam sebaik majlis akad nikahnya selesai.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Sukarelawan Kanada sertai flotilla Gaza


OTTAWA: Satu kumpulan mewakili 200 pertubuhan kemanusiaan Kanada berjanji menghantar kapal bantuan ke Gaza untuk menyertai konvoi Flotilla Kebebasan Kedua walaupun kerajaan memberi amaran tindakan itu bersifat provokatif.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, kumpulan Bot Kanada Ke Gaza (CBG) itu berkata, Menteri Luar Kanada, John Baird, diberi maklumat salah mengenai misi berkenaan.

“CBG berjanji untuk berlayar bersama Flotilla Kebebasan Kedua bulan depan,” katanya.

CBG berkata, kenyataan Baird itu adalah cubaan kerajaan melepaskan tanggungjawab mereka memastikan keselamatan warga Kanada yang berada dalam kapal Tahrir berkenaan.

Ia juga, kata CBG, adalah langkah Ottawa menghalalkan sebarang jenayah Israel ke atas orang awam Kanada serta di seluruh dunia, seperti dilakukan setahun lalu.


Ahad lalu, Baird memberi amaran, mana-mana warga Kanada yang menyertai misi kemanusiaan itu mesti mengikut saluran betul.

“Sebarang usaha haram adalah provokatif dan tidak membantu penduduk Gaza,” katanya. - AFPmyMetro | Sukarelawan Kanada sertai flotilla Gaza

Persaingan ulama, profesional



KEADAAN di Dewan Putik dipenuhi perwakilan dan pemerhati serta pemimpin PAS di Muktamar tahunan PAS ke-56 di Pengkalan Chepa, Kelantan, tahun lalu.
KEADAAN di Dewan Putik dipenuhi perwakilan dan pemerhati serta pemimpin PAS di Muktamar tahunan PAS ke-56 di Pengkalan Chepa, Kelantan, tahun lalu.

Pertembungan tiga penjuru rebut Timbalan Presiden PAS Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan tertinggi PAS Jumaat ini, tumpuan kini tertumpu kepada persaingan sengit tiga penjuru bagi jawatan nombor dua parti membabitkan golongan ulama dan profesional.

Selepas jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang selama empat penggal tidak dicabar, umum mahu mengetahui sama ada Nasharudin Mat Isa mampu mempertahankan jawatan itu atau diambil alih Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili kumpulan ulama.
Mungkinkah Nasharudin terpaksa akur dengan gandingan ulama-profesional dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pusat, Mohamad Sabu yang turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini selepas tewas penggal lalu.
Semuanya akan terjawab selepas 1,100 perwakilan PAS dari seluruh negara memilih kepemimpinan parti itu dalam tempoh dua hari lagi, serentak dengan Muktamar Tahunan PAS ke-57 yang akan berlangsung di Markas PAS Taman Melewar selama tiga hari.

Selain itu, persaingan bagi jawatan Naib Presiden turut hangat yang menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang mempertahankan jawatan itu dan terpaksa berhadapan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad; AJK Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Husam Musa serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah. Seramai 53 orang pula akan bertanding merebut tempat dalam AJK Pusat.

Persaingan merebut jawatan di peringkat Dewan Pemuda Khamis ini pula menyaksikan persaingan empat penjuru bagi Timbalan Ketua Pemuda dan satu lawan satu bagi Naib Ketua selepas Nasrudin Hassan kekal menyandang jawatan Ketua Pemuda tanpa bertanding.

Penyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Azman Shafawi akan ditentang Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Firdaus Jaafar; Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat dan Exco Pemuda, Nik Abduh Nik Aziz, manakala bagi jawatan Naib Ketua, AJK Dewan Pemuda, Nasir Zakaria akan berhadapan Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob.
Jawatan Ketua Muslimat turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Nuridah Salleh yang akan ditentang timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusof.

Bagi jawatan Timbalan Ketua AJK Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud akan menentang Wan Hasrina Wan Hassan, manakala jawatan Naib Ketua menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang, Mumtaz Md Nawi; AJK Muslimat, Mastura Mohamad, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Normala Sudirman.

Pemilihan kali ini juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila tiada pertandingan pada pemilihan Dewan Ulama PAS selepas dua tokoh utama sayap itu, Datuk Harun Taib dan timbalannya, Datuk Dr Mahfudz Mohamed menang tanpa bertanding. Berita Harian Online | Persaingan ulama, profesional

151 calon Thai dijaga 24 jam


Kempen di Thailand dikhuatiri ganas


BANGKOK: Seramai 151 calon pilihan raya umum Thailand mendapatkan perlindungan polis 24 jam berikutan kebimbangan kempen pilihan raya yang sengit mungkin menyebabkan keganasan baru berlaku di negara itu.

Ketua Polis Thailand, Pongsapat Pongcharoean berkata pihaknya sudah mengarahkan dua pegawai polis mengawal setiap calon parti memerintah dan pembangkang sepanjang masa hingga pilihan raya 3 Julai.
Pilihan raya kali ini adalah yang pertama sejak Thailand digegarkan dengan keganasan politik paling buruk tahun lalu, apabila lebih 90 orang terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota polis bersenjata.
Minggu lalu polis berkata, pihaknya sedang memburu 75 pembunuh profesional ‘paling dikehendaki’ di Thailand dan menawarkan wang tunai 100,000 baht (RM10,000) dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pilihan raya.

Seorang anggota politik pembangkang ditembak mati awal April dipercayai serangan bermotif politik.

Pilihan raya Julai ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dengan sekutu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.

Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra adalah calon utama pembangkang dari parti Puea Thai untuk jawatan perdana menteri.
Di SYDNEY, Thaksin menafikan mahu memimpin Thailand sekali lagi dan bertegas bahawa Yingluck bukan bonekanya.

Dalam satu temuramah televisyen dari rumah mewahnya di Dubai, Thaksin memberitahu rancangan Lateline Perbadanan Penyiaran Australia, beliau yakin parti Puea Thai akan memenangi pilihan raya Julai depan. – Agensi
Berita Harian Online | 151 calon Thai dijaga 24 jam

Raja Sweden nafi terlibat dalam skandal




SETIAUSAHA akhbar diraja Sweden, Bertil Ternert (kiri) dan Gustaf memberikan temuramah secara eksklusif kepada wartawan agensi berita TT, Tomas Bengtsson di Istana Diraja di Stockholm, Sweden.


STOCKHOLM - Raja Sweden, Carl XVI Gustaf semalam memberikan satu temuramah eksklusif dalam usaha menafikan skandal yang tersebar luas, melibatkan laporan media bahawa beliau ada mengunjungi kelab-kelab bogel dan mempunyai hubungan tidak langsung dengan jenayah terancang.
Dalam temuramah panjang lebar bersama agensi berita TT, ketua negara Sweden itu menafikan dakwaan bekas kumpulan mafia, Mille Markovic bahawa beliau mempunyai gambar yang menunjukkan Gustaf berada di dalam sebuah kelab seks bersama dua orang wanita berbogel.
"Mustahil gambar itu wujud dan sukar untuk memberi komen terhadap sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun," tegas Gustaf.
Gustaf turut mencabar stesen televisyen TV4 yang melaporkan dua minggu lalu bahawa seorang wartawannya ada melihat gambar tersebut supaya menunjukkannya sebagai bukti.
Skandal terbaharu itu muncul hanya selepas enam bulan biografi Gustaf diterbitkan. Biografi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia ada menyebut penglibatan Gustaf dalam parti-parti liar, selain mempunyai hubungan sulit dengan perempuan-perempuan muda.
Berikutan dakwaan-dakwaan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Sweden mahu Gustaf menyerahkan takhta kepada anaknya, Puteri Mahkota Victoria, 33, yang nyata lebih popular daripadanya. - AFP
Kosmo! Online - Dunia