Thursday, March 22, 2012

Selangor biaya tambang mangsa culik

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membiayai kos penerbangan pulang mangsa culik, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok, Thailand 11 Mac lalu.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, ibu remaja itu, Norazura Roski, 37, menemuinya meminta bantuan untuk membawa anaknya pulang.

“Ini kerana, remaja itu perlu dibawa pulang melalui jalan udara atas sebab keselamatan. Saya difahamkan, peruntukan Kerajaan Pusat hanya untuk perjalanan darat,” kata Yaakob pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menghantar dua pegawai untuk mengiringi Norazura ke Bangkok, Jumaat lalu.

Yaakob berkata, Nazatul sepatutnya pulang pada 17 Mac namun ditangguh sehingga 19 Mac bagi membolehkan urusan dokumentasi diselesaikan.

Remaja itu yang tiba di LCCT Sepang jam 8.50 malam 19 Mac, terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, sehingga kini dia masih ditempatkan di hospital itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Remaja itu dilaporkan hilang 31 Januari lalu selepas dikatakan keluar ke rumah rakannya sehari sebelum itu.

12 Mac lalu, dia dikatakan menghubungi ibunya memberitahu berada di Thailand dan baru melepaskan diri daripada penculik.

Sehari sebelum itu, dia ditemui di stesen kereta api Hua Lampong, Bangkok bersama lima lagi remaja dari Myanmar berusia antara 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Nazatul hingga kini masih trauma dan masih dirawat di hospital.

“Dia hanya beritahu polis diculik dan dibawa dalam sebuah van putih dari Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Pada 30 Januari, penuntut tingkatan tiga itu diturunkan ibunya di hentian bas di sini kira-kira 1 tengah hari. Esoknya, apabila dia tidak pulang ke rumah, ibunya membuat laporan polis di sini.

Siapa serah tanah Singapura kepada asing


Datuk Mohd Amar Abdullah 
 Rizal Tahir,
22 Mac 2012
KOTA BHARU, 22 Mac: Kerajaan Umno dan BN diminta menjawab isu Singapura yang telah terkeluar dari Malaysia sebenarnya angkara siapa.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, sekiranya ingin mempertikaikan soal bangsa  akibat tanah rizab Melayu digadai, beliau meminta kerajaan menjawab siapa yang menyerahkan Singapura kepada pihak luar.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco sebagai mengulas  laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 21 Mac, mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Mustapha mendakwa ramai rakyat teraniaya dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti hingga memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan.

Katanya, kalau ingin menyentuh soal tanah yang diberikan pada syarikat bukan Melayu sebagaimana yang didakwa akhbar berkenaan, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Jika ingin menyentuh tentang bangsa sebagaimana laporan Utusan Malaysia kita boleh menyoal mereka balik, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Singapura bukan lagi dipajak oleh bangsa asing, malah diberikan sampai bila-bilapun, siapa yang memberikannya sehingga terkeluar dari Malaysia,”ujarnya lagi.

Katanya, begitu juga Pulau Redang diberikan kepada Berjaya Group, Genting Hiland, diberikan kepada Lim Goh Tong, separuh Pulau Langkawi pernah menjadi milik Bon Siew Honda.

Tambahnya, malah  Balik Pulau, Pulau Pinang juga turut dijajah oleh bukan Melayu.

Jadi, sekiranya isu rizab tanah Melayu di Kelantan yang didakwa telah dipajak pada syarikat bukan bumiputera hingga menyusahkan rakyat itu, sepatutnya rakyat perlu menilai tentang tanah rizab Melayu di negeri lain yang sebenarnya makin terhakis.

“Itupun kalau Umno ingin mainkan isu bangsa, kita bukan fitnah perkara memang betul berlaku terutama sekali Singapura di mana rakyat Melayu hanya menumpang sahaja di republik itu,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu juga berkata, isu tanah rizab Melayu yang dikatakan terancam, tidak berbangkit.

Sambungnya, ini kerana tanah rezab Melayu tidak ditukar status walaupun ianya diberi pajakan, jadi ianya masih kekal sebagai tanah rizab Melayu yang langsung tidak berkurangan atau terhakis.

“Lagipun di Kelantan  tanah ini dipajak seperti disewa kepada individu atau syarikat tidak bertukar milik atau status sebagai contoh selama 66 tahun atau 99 tahun.

“Bila cukup tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian, ianya akan menjadi hak milik kerajaan negeri semula,”ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, apabila kerajaan memberi pajakan pada syarikat atau individu tentu sekali mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Sambungnya, pertama sekali tanah berkenaan tidak boleh dicagar atau dijadikan jaminan kepada bank, jadi tidak timbul lagi soal tanah rizab kena lelong atau sebagainya.

Nik Amar berkata, laporan berkenaan dibuat kerana tindakan politik untuk menghadapi perang pilihanraya semakin hampir.

Sambungnya, jika diperhatikan ada sifat terdesak di kalangan pemimpin Umno untuk mendapat sokongan rakyat di Kelantan.

“Kerana menyedari isu tanah begitu sansifit termasuk isu air, pihak Umno menjadikannya sebagai modal murah sebagai kempen pilihanraya umum apa lagi tidak mempunyai isu lain untuk menghentam kerajaan negeri,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri itu supaya tidak termakan dengan propaganda murahan yang dimainkan pihak Umno khususnya melalui akhbar pro mereka Utusan Malaysia.

Beliau meminta mereka merujuk kerajaan negeri untuk mendapatkan fakta.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana akhbar berkenaan mengakui rizab tanah Melayu di negeri itu sebanyak 95 peratus daripada lebih sejuta hektar tanah.

Tiada negeri yang mempunyai rizab Melayu yang lebih tinggi berbanding Kelantan sehingga 95 peratus.

Ini bermakna kerajaan BN selama ini telah gagal mempertahankan tanah rizab Melayu di negeri yang diperintah mereka.

Sambungnya, tindakan undang-undang yang bakal diambil tidak bererti kerajaan negeri tidak boleh dikritik, namun apa yang berlaku adalah fitnah.

“Jika niat politik, mengelirukan rakyat apa lagi berniat menghasut rakyat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,”ujarnya lagi.

Lima sertai perhimpunan haram didenda RM2,000


       
KUALA LUMPUR: Lima individu dihukum penjara sehari dan didenda RM2,000 atau penjara seminggu jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah kerana menyertai perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), tiga tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kelima-lima tertuduh di akhir kes pembelaan. Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.


Mereka yang dijatuhi hukuman itu ialah Mohamad Sukri Mohamad Sirat, 27, Syaza Muaz Shaharudin, 22, Norazam Sakib, 47, Zul Sifli Kamma Kutty, 26, dan Hayati Abd Samad, 62.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di beberapa kawasan di pekarangan Masjid Negara dekat sini antara jam 9 dan 11 pagi, pada 1 Ogos 2009.


Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM10,000.


Kelima-lima tertuduh mem- bayar denda berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala barisan pembelaan diketuai peguam Azizul Shariman Mat Yusoff.


Pada 22 Februari lalu, seramai 11 individu dihukum penjara sehari dan denda RM2,000 oleh mahkamah yang sama kerana menyertai perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). - Bernama

Warga tua hilang gembira bertemu semula anak

ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan Haryati di pejabat JKM, semalam.
ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan
Haryati di pejabat JKM, semalam.
 

KUALA LUMPUR: Wanita warga tua yang dilaporkan hilang ketika membeli-belah bersama anak dan cucunya di Jalan Masjid India, Ahad lalu, ditemukan semula dengan keluarganya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Zabedah Masood, 70, jelas gembira ketika ditemukan semula dengan anak perempuannya, Siti Haryati Ariffin, 43, di pejabat JKM, di sini selepas hampir tiga hari diletakkan di bawah jagaan JKM.
Siti Haryati turut melahirkan rasa syukur kerana ibunya ditemui semula dalam keadaan selamat dengan bantuan polis yang kemudian menghantar warga emas itu kepada JKM Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur bila mendapat panggilan polis memberitahu ibu saya sudah ditemui dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam, semalam (kelmarin). 

“Ketika itu, saya, suami dan seorang anak kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencarinya. 

“Kami lega sejurus menerima berita itu. Saya akan jadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk saya dan keluarga,” katanya ketika di temui di pejabat JKM, di sini, semalam. 

Menceritakan semula detik terpisah daripada keluarganya ketika menemankan mereka membeli baju di sebuah gedung pakaian di Jalan Masjid India, Zabedah memberitahu beliau menangis selepas gagal menemui anak serta cucunya. 
“Tidak dapat saya gambarkan perasan masa itu, saya menangis dan jerit panggil nama anak dan cucu tapi gagal berjumpa mereka. 

“Saya menunggu di gedung itu hingga 10 malam tetapi tidak juga berjumpa dengan mereka (keluarga). Mujur ada anggota polis sudi menolong dan hingga jam 1 pagi saya tunggu di sebuah balai polis bergerak sebelum dihantar ke Anjung Singgah (rumah bagi golongan gelandangan),” katanya. 

Zabedah berkata, kegagalannya untuk mengingati nombor telefon anak atau saudara mara menyebabkan polis dan JKM gagal menghubungi keluarganya. 

Siti Haryati yang tinggal di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru datang ke ibu negara untuk menemankan anaknya menghadiri pertandingan hoki di sini, sebelum singgah di Jalan Masjid India untuk membeli pakaian bersama suami, tiga anak serta Zabedah.