Friday, May 27, 2011

Novel James Bond terbaru dilancar




PENULIS Jeffery Deaver bersama seorang gadis Bond semasa majlis pelancaran novel terbaru James Bond berjudul Carte Blanche di London, semalam. - AP


LONDON 26 Mei - Novel terbaru James Bond dilancarkan di sini semalam dengan kereta berkelajuan tinggi, wanita berpakaian kulit dan tentera laut turun dari bumbung menggunakan tali.
Carte Blanche, karya penulis buku aksi Amerika Syarikat (AS), Jeffery Deaver telah dilancarkan di stesen antarabangsa St. Pancras, tempat berlepas untuk perkhidmatan seluruh rangkaian kereta api.
Deaver muncul di bar di stesen dari kereta mewah Bentley Continental GT berwarna merah, diiringi gadisBond memakai pakaian kulit hitam.
Buku tersebut, bagaimanapun, dibawa oleh anggota tentera Pasukan Pertunjukan Marin Diraja yang menuruni bumbung stesen menggunakan tali.
Plot novel itu masih kekal dirahsiakan sehingga tengah malam (7 pagi waktu Malaysia), tetapi ia telah didedahkan bahawa watak 007 kali ini berkhidmat untuk Tentera Laut Simpanan Diraja, termasuk bertugas di Afghanistan, sebelum menyertai perkhidmatan perisikan.
Deaver berkata, ia merupakan keputusan yang mudah untuknya menulis pengembaraan terbaru Bond kerana dia merupakan peminat mendiang Ian Fleming, pencipta watak perisik yang terkenal di seluruh dunia itu.
"Kira-kira 18 bulan lalu, waris Ian Fleming bertanya kepada saya jika berminat untuk menulis sambungan novel, dan saya mempertimbangkan semuanya dalam masa tujuh saat dan berkata 'ya'. Saya sangat berminat untuk melakukannya.
"Ian Fleming merupakan pengaruh yang besar kepada saya. Saya membaca novel pertama James Bond ketika berusia lapan tahun," katanya.
Anak saudara perempuan Fleming, Lucy Fleming, yang turut berada semasa majlis pelancaran, berkata, jika dia (Ian Fleming) berada di sini hari ini, pasti dia akan menyukai saat ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gempar remaja OKU panjat menara tangki air




Remaja sindrom down diselamatkan oleh anggota bomba selepas memanjat menara tangki air Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 26 Mei - Seorang remaja yang mengalami sindrom down menggemparkan orang ramai apabila memanjat menara tangki air Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini setinggi 15 meter tetapi gagal untuk turun kerana gayat.
Remaja berkenaan yang hanya dikenali sebagai Rabiah, 5, memasuki kawasan tangki air itu melalui pagar yang sudah rosak kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini dan memanjat menara itu meskipun dihalang beberapa orang awam.
Beberapa pekerja binaan yang melihat tindakan remaja itu segera menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan dan Rabiah berjaya dibawa turun kira-kira 20 minit kemudian.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Hassan berkata, sewaktu anggotanya sampai, remaja itu yang tinggal di Jalan Katip Ali di sini sedang duduk di sebuah platform di menara itu pada ketinggian 15 meter dalam keadaan keletihan.
"Dia belum sampai ke puncak menara tangki air itu dan duduk di situ dalam keadaan keletihan serta ketakutan kerana tidak berani untuk turun.
"Saya bersama seorang anggota segera naik dan membawanya turun dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan cuma mangsa masih agak trauma," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bekas isteri Indra Putra tuntut nafkah




NORLIATON Murni Zainal Abidin memfailkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan mutaah terhadap bekas suaminya, Indra Putra Mahayudin (gambar kecil) di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, semalam.


IPOH 26 Mei - ''Saya mahu selesaikan masalah ini secara baik. Saya minta dia jangan abaikan anak-anak dan hormati kami yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.''
Demikian luahan Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, bekas isteri Indra Putra Mahayudin yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Dia hadir ditemani bapanya bagi memfailkan tuntutan mutaah dan idah selain permohonan hak penjagaan serta nafkah anak-anak.
Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan tuntutan wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam syarie.
Wanita itu mendakwa diceraikan oleh Indra Putra, 30, pada 27 April lalu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika dia sedang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga mereka.
Bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) itu kemudian memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di mahkamah sama dan penceraian mereka disahkan pada 18 Mei lalu.
Pada prosiding penceraian tersebut, Indra Putra diwakili oleh peguam syarie, Saiful Adli Mohd. Arshad.
Norliaton Murni berkahwin dengan pemain bola sepak yang kini mewakili pasukan T-Team pada 13 Mac 2003.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan tiga orang anak iaitu Airil Putra, 8, Ady Ilhan Putra, 5, dan Alya Nur Zahra yang berusia dua bulan.
Sebelum bercerai, Norliaton Murni pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap Indra Putra selepas hampir lapan bulan ditinggalkan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Anjing jadi mainan

IPOH: “Saya sanggup mati demi Islam daripada membiarkan dua anak kecil saya terus dipaksa memeluk dan dijilat anjing peliharaan suami,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Iza, 35.
Iza yang kini dalam proses menuntut cerai mendakwa suaminya, seorang saudara baru yang memeluk Islam enam tahun lalu, sengaja memelihara anjing.

Katanya, sejak berkahwin enam tahun lalu, suaminya tidak mengamalkan ajaran Islam menyebabkan dia dan anak turut bersubahat hidup bergelumang dosa.

Berikutan itu, Iza nekad melarikan dua anaknya dari rumah didiami bagi menyelamatkan akidah anak perempuannya itu.

“Dia hanya menukar nama dan memeluk Islam di pejabat agama semata-mata mahu mengahwini saya. Saya sangkakan dia benar-benar ikhlas mahu menjadi Muslim sejati, tapi tembelangnya muncul satu persatu.
myMetro | Anjing jadi mainan

Tomok pilih pramugari


JODOH ...Tomok dan Siti Rahayu berkenalan secara kebetulan.
JODOH ...Tomok dan Siti Rahayu berkenalan secara kebetulan.


KUALA LUMPUR: Juara rancangan realiti TV, One In A Million musim ke-3, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27, akan menamatkan zaman bujangnya pada 1 Julai depan dengan pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), Siti Rahayu Abas, 32 .
Tomok berkata, dia mengenali Siti Rahayu sejak lapan tahun lalu dan memilih 1 Julai ini sebagai tarikh akad nikah yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Datuk Keramat di sini.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Merentas Masa itu berkata, dia mengenali bakal isterinya itu secara tidak sengaja pada 2003 sebelum bertukar-tukar nombor telefon.

“Ketika itu Tomok terbabit dalam satu set penggambaran telemovie bersama New Boyz di Cheras. Kebetulan, Siti Rahayu melalui kawasan penggambaran itu dan kami bertegur sapa selain bertukar-tukar nombor telefon sebagai peminat dan artis,” katanya.

Menurut Tomok, dia tidak menyangka hubungan persahabatan dijalin bertukar menjadi cinta sehingga membawa ke jenjang pelamin.


“Kami sebenarnya merancang mendirikan rumah tangga sejak tahun lalu lagi namun kerana sibuk dengan kerjaya, urusan perkahwinan terpaksa diuruskan sedikit demi sedikit sehingga tarikh sebenar dipersetujui Julai depan,” katanya.

Tomok berkata, kad jemputan perkahwinannya sudah siap ditempah dan akan diedarkan dalam masa terdekat.

Menurut Tomok, selepas majlis akad nikah, kenduri sebelah pengantin perempuan akan diadakan di dewan yang sama keesokan harinya.

“Pada 6 Julai pula, kami akan mengadakan majlis persandingan tertutup di Saloma Bistro khas untuk rakan artis dan media manakala kenduri pihak keluarga saya akan dilangsungkan pada 9 Julai di rumah ibu bapa saya di Alam Damai, Cheras,” katanya.myMetro | Tomok pilih pramugari

Siti masuk askar

KUALA LUMPUR: “Saya memang berminat menyertai Rejimen Askar Wataniah (RAW) kerana suka aktiviti lasak. Ini juga satu tanggungjawab saya kepada negara.
Saya juga memang sudah bersedia dan tiada masalah mengikuti latihan kelak,” kata penyanyi wanita tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32.

Menurut Siti, selain mendapat dorongan suami tersayang, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang memahami minatnya, dia turut berharap lebih ramai golongan belia dan wanita menjadi sukarelawan.
“Belia dan wanita di negara ini perlu menyertai RAW untuk berlatih mempertahankan diri. Malah, ia juga satu aktiviti yang sihat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Pembabitan Siti dalam RAW diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Pemakaian Pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Kementerian Pertahanan di sini, semalam, Mengulas lanjut hal itu, Siti turut mengesahkan ada bertemu dengan Ahmad Zahid untuk berbincang mengenai hasratnya menyertai RAW.

“Saya pernah bercita-cita menjadi anggota polis suatu ketika dulu. Jadi, dapat RAW pun sudah kira bagus kerana latihannya agak lasak dan sama seperti polis,” kata Siti.
myMetro | Siti masuk askar

Indra Putra cerai guna SMS

IPOH: “Saya sedih kerana kelibatnya langsung tidak kelihatan ketika anak bongsu kami dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini baru-baru ini kerana paru-parunya dijangkiti kuman,” kata Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, janda kepada bekas penyerang skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
Norliaton berkata demikian selepas memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Selain tuntutan nafkah mutaah dan edah, Norliaton turut memfailkan hak penjagaan tiga anak berusia antara lapan tahun dan dua bulan kerana mendakwa Indra Putra, 30, yang kini menjadi penyerang utama pasukan T Team, gagal memberikan nafkah serta mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Norliaton memfailkan sendiri permohonan itu tanpa diwakili peguam dan hadir ke mahkamah, semalam ditemani bapanya. Sebelum ini, mahkamah sama turut mengesahkan pasangan berkenaan yang berkahwin pada 2003, sudah bercerai talak satu pada 18 Mei lalu.

Indra Putra didakwa melafazkan cerai menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) ketika Norliaton dalam tempoh berpantang anak ketiga, Alya Nur Zalia yang baru berusia dua bulan pada 27 April lalu.

Norliaton yang juga seorang suri rumah berkata, kali terakhir Indra Putra pulang menjenguk mereka Aidilfitri.
“Sejak itu dia sukar dihubungi sehinggalah saya menerima SMS dia ‘melepaskan’ saya pada penghujung bulan lalu.

“Saya berharap kami dapat menyelesaikan perkara ini secara baik. Jadi saya minta dia jangan abaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan hormatilah kami yang menjadi sebahagian daripada hidupnya,” katanya.
Bagaimanapun Indra Putra yang muncul wira T Team dengan menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Kelantan 2-1 sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di tempat sendiri dalam saingan Liga Super malam kelmarin, tidak kelihatan sepanjang prosiding terbabit.

Norliaton berkata biarpun sedih terutama dengan tindakan Indra Putra tidak menjenguk anak-anaknya, dia reda menerima perpisahan itu.

Selain Alya Nur Zalia, Indra Putra turut mempunyai dua anak lelaki, Airul Putra, 8, dan Ady Ilhan Putra, 5, hasil perkongsian hidup mereka selama lapan tahun.
myMetro | Indra Putra cerai guna SMS

'Terharu dengar jeritan mangsa'


Pasukan penyelamat cerita detik misi selamatkan anak yatim tertimbus


SHAH ALAM: "Saya berasa sungguh sayu dan sedih mendengar jeritan anak yatim meminta tolong ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, baru-baru ini," kata Penolong Penguasa Bomba, Sharizal Sahari.
Beliau yang mewakili Pasukan Operasi Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (STORM), antara terawal tiba di tempat kejadian berkata, beliau melihat sendiri keadaan setiap mangsa yang tersepit di sebalik runtuhan tanah di kawasan itu.
“Apabila berdepan situasi seperti ini, perkara pertama yang perlu diberi fokus ialah cara mengawal keadaan di tempat kejadian dengan menstabilkan kawasan runtuhan terlebih dulu.

“Kami perlu bertindak cepat memberi bantuan perubatan kepada mangsa yang masih hidup kerana keadaan mereka sangat lemah ketika itu.

“Perasaan bercampur-baur ketika menjalankan tugas di sebalik kesungguhan menyelamatkan mangsa tanah runtuh dan saya sempat berkomunikasi dengan seorang mangsa, Izzuddin Abdullah.

“Dia (Izzuddin) kemudian berjaya diselamatkan selepas runtuhan yang menimpa dirinya dapat dialihkan,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Bomba dan Penyelamat Selangor, di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat, Mohd Fadhil Md Ruday pula berkata, pengalamannya yang tidak mungkin dapat dilupakannya ialah ketika mengusung jenazah mangsa untuk dibawa keluar.

“Saya sedih melihat keadaan anak yatim yang terkorban dalam kejadian itu, tetapi saya seperti anggota penyelamat lain sudah dilatih bekerja secara profesional dan mahu atau tidak kami harus meneruskan kerja menyelamat.

“Ketika kejadian, saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan lapan jenazah mangsa runtuhan,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas, Klang.

Sebanyak 50 agensi yang terbabit dalam operasi menyelamat kejadian tanah runtuh itu menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) disampaikan Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Bercakap pada majlis itu, Wan Mohd Nor berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pasukan penyelamat dan petugas media yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Walaupun jumlah kematian seramai 16 orang, kita berjaya menyelamatkan sembilan yang lain dan masa 14 jam yang diambil itu juga adalah satu rekod.

“Ada juga pihak mencadangkan supaya operasi menyelamat dihentikan sementara pada jam 3 pagi dan disambung semula keesokan harinya, tetapi pasukan penyelamat tetap meneruskan operasi sehingga mangsa terakhir ditemui pada jam 5.04 pagi,” katanya.

Antara agensi yang menerima penghargaan ialah Jabatan Pertahanan Awam Selangor, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Hospital Ampang.
Berita Harian Online | 'Terharu dengar jeritan mangsa'

Empat rumah tenggelam


SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.
SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.

Kampung Sungai Burung dilanda hakisan melampau

BAGAN SERAI: Hakisan pantai yang teruk di pesisir Selat Melaka, menenggelamkan empat rumah di Kampung Sungai Burung dan kawasan 400 hektar hektar di Tanjung Piandang, dekat sini, menyebabkan empat pemilik rumah berpindah ke lokasi baru tidak jauh dari situ.
Keadaan itu bukan saja menyedihkan penduduk kerana tapak asal rumah mereka `hilang’, malah penempatan sedia ada berdepan masalah sama jika tiada tindakan susulan bagi mencegah hakisan.
Bekas nelayan, Samsudin Ali, 75, berkata tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung kini menjadi lautan.

“Jika nak tahu tapak rumah pertama saya, lihat ke sana," katanya sambil menuding jari ke arah laut di kampung itu.

Beliau berkata, rumah pertamanya itu yang dibina 50 tahun lalu berada 200 meter dari pantai yang ada ketika ini.

"Kawasan yang kini sudah menjadi laut itu pernah dipenuhi pokok api-api. Ada empat rumah nelayan di situ. Kawasan hutan itu dan rumah kami dihakis dan ditenggelami air laut sekitar 1990-an," katanya.
Samsudin dan penduduk kampung terpaksa membina semula rumah masing-masing. Rumah dihuni Samsudin kini hanya kira-kira 20 meter dari pantai berkenaan yang sudah ditambak dengan batu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah mencegah hakisan.

Tinjauan di kampung itu yang turut dipanggil penduduk sebagai Ban Pecah, mendapati struktur batu membentuk seperti pulau kecil jelas kelihatan kira-kira 500 meter dari pantai. Struktur itu dulunya benteng menghalang hakisan dan mencegah air laut memasuki kawasan penempatan.

Nelayan, Sharudin Ahmad Salim, 28, berkata jika air surut, pintu air lama dapat dilihat, iaitu 1.6 kilometer dari pantai.

"Masih ada akar pokok kelapa terlekat pada pukat dan ini juga bukti kawasan ditenggelami air laut itu dulunya kawasan penempatan," katanya.

Sementara itu, Kampung Baru Nelayan Tanjung Piandang turut menerima kesan hakisan. Air laut ‘menelan’ tiga kilometer kawasan daratan yang dipenuhi pokok api-api yang sebelumnya zon penampan.

Bekas struktur kayu penyokong paip air yang dulunya dibina di daratan bagi kegunaan kolam ternakan udang sudah rosak akibat hakisan.

Nelayan, Abdul Latiff Hakim, 43, berkata suatu ketika dulu, kawasan pantai dipenuhi pokok api-api, tetapi kini sebahagian besarnya lenyap.

"Dulu kita perlu berjalan kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tepi laut, tetapi sekarang, buka saja pintu rumah sudah nampak laut.

"Kawasan daratan ditelan laut akibat ombak kuat terutama ketika musim 'alun panjang' antara Julai hingga September setiap tahun.

"Sebenarnya, panjang pesisir pantai terjejas boleh mencecah kira-kira 10 kilometer iaitu hingga ke Kuala Kurau," katanya.

Ketua UMNO cawangan kampung itu, Harun Sidi, 52, berkata penduduk risau banyak kawasan daratan ditenggelami laut, tetapi lega apabila JPS meletakkan batu di pesisir pantai bagi mengelak atau mengurangkan hakisan.

"Jika batu ini tidak diletakkan di sepanjang pantai, saya rasa kampung ini juga sudah tiada lagi," katanya. Berita Harian Online | Empat rumah tenggelam

Hilang telinga ganggu isteri orang



NIBONG TEBAL - Gara-gara mengganggu isteri orang, seorang peniaga mendapat padah apabila kehilangan kedua-dua belah telinga selepas diserang suami wanita itu di Taman Kasawari, Simpang Ampat di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.05 pagi itu, mangsa yang berusia 47 tahun ditemui dalam keadaan cedera parah dan terbaring di dalam longkang berhampiran rumahnya di Taman Kasawari.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila suspek pergi ke rumah mangsa di kawasan tersebut sebelum bertindak menyerang dan memotong telinga lelaki itu dengan menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut bermotifkan cemburu.
Kosmo! Online - Negara

Pelajar cedera dibelasah dalam kelas sendiri





TELINGA Abdul Rahman yang terkoyak akibat dibelasah di sebuah sekolah di Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa menerima tujuh jahitan di telinga selepas dia mendakwa dibelasah seorang pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 1 petang itu berlaku ketika mangsa, Abdul Rahman Abdul Ghani, 14, berada di dalam kelasnya bagi memulakan pembelajaran sesi petang.
Difahamkan, mangsa kemudian didatangi 20 pelajar lain dari kelas lain dengan seorang daripadanya bertindak menyepak pipi mangsa sambil disaksikan oleh rakan-rakan pelajar yang bertindak ganas itu.
Semasa kejadian, guru belum masuk ke kelas dan selain mangsa dipercayai terdapat beberapa rakan sekelas mangsa yang menyaksikan kejadian itu.
Akibat tindakan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Kandis dekat Bukit Tunggal di sini rebah ke tepi tingkap dengan telinga kirinya terkena cermin kaca tingkap menyebabkan ia luka dan berdarah.
Kosmo! Online - Negara

Tuntut nafkah terhadap Indra

IPOH - Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, bekas isteri pemain bola sepak T-Team, Indra Putra Mahayudin memfailkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak, nafkah idah dan mutaah di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Norliaton, seorang suri rumah memfailkan tuntutan itu apabila rumah tangga mereka yang dibina pada Mac 2003 runtuh berikutan bekas pemain kebangsaan tersebut melafazkan cerai menerusi khidmat kiriman ringkas (SMS) terhadap Norliaton pada 27 April lalu.
Norliaton memberitahu, pengesahan lafaz cerai talak satu itu telah dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 18 Mei lalu.
"Sebelum jatuh talak, saya pernah memfailkan tuntutan nafkah tanpa penceraian di mahkamah sama pada 31 Mac lalu selepas dia (Indra Putra) jarang pulang ke rumah di Taman Meru 2B di sini, manakala pemberian nafkah juga tidak konsisten.
Kosmo! Online - Negara