Wednesday, April 1, 2015

Pembangkang menang Pilihanraya Presiden Nigeria


Pembangkang menang Pilihanraya Presiden Nigeria
Penyokong Muhammadu Buhari meraikan kemenangan - Foto Reuters
ABUJA - NIGERIA. Bekas penguasa tentera, Muhammadu Buhari menjadi calon pembangkang pertama yang memenangi Pilihanraya Presiden Nigeria mengalahkan penyandang yang juga bekas Presiden, Goodluck Jonathan.

Menurut laporan Al Jazeera, Buhari diisytiharkan menang selepas mendapat 2.7 juta undi.

Untuk memenangi pilihan raya, Buhari memerlukan lebih daripada 50 peratus daripada jumlah undi di peringkat kebangsaan dan sekurang-kurangnya 25 peratus undi dua pertiga daripada negeri.

Lawanya, Jonathan secara terbuka mengakui kekalahannya dan mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Muhammadu Buhari.

Dalam pada itu, Jonathan menggesa penyokongnya untuk mengikut prosedur yang betul dalam menyalurkan kekecewaan dan mengelakkan keganasan.

"Tiada apa yang bernilai daripada nyawa warga Nigeria dan perpaduan, kestabilan serta kemajuan negara kita adalah lebih penting daripada apa-apa lagi," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kekalahan dalam pilihan raya tersebut.

Kemenangan untuk Muhammadu Buhari merupakan kali pertama dalam sejarah Nigeria iaitu pihak pembangkang telah secara demokratik mengambil alih tampuk pemerintah negara itu.

Tiga pengeluar kereta turun harga selepas GST

RABU, 1 APRIL 2015 @ 12:03 AM
Oleh Shahrizan Salian

 
shahrizan@bh.com.my

Tiga pengeluar kenderaan mengumumkan pengurangan harga antara RM500 hingga RM4,000 bagi model kereta masing-masing susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa hari ini.

PROTON Holdings Bhd (PROTON) mengurangkan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus seunit bagi semua modelnya terdiri daripada Saga, Persona, Inspira, Staria Neo, Exora, Prevé, Suprima S dan Iriz.

Honda Malaysia Sdn Bhd Honda Malaysia pula mengurangkan antara RM500 hingga RM2,500 kenderaan Honda yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini iaitu Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan model terbaru HR-V.


Sementara itu, UMW Toyota Motors Sdn Bhd mengumumkan pengurangan sehingga RM4,000 atau dua peratus bagi model kereta Toyota dan Lexus.

Mengulas pengurangan harga itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata pengguna bukan saja mahukan kereta yang bernilai bagi wang dibelanjakan malah kereta yang dilengkapi dengan kualiti serta ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.

Sebagai contoh, katanya pengguna kini boleh membeli Proton Saga dari harga serendah RM33,242.40 atau Prevé 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46.

"Semua harga ini sudah mengambil kira enam peratus GST dan juga harga di atas jalan. Sebagai satu-satunya pengeluar kereta sepenuhnya di rantau ini, PROTON sentiasa memberikan dedikasi tertinggi dalam memenuhi peranannya kepada negara, khususnya dalam menggambarkan matlamat GST," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Abdul Harith berkata, satu fakta yang tidak patut dilupakan adalah walaupun adanya pengurangan harga sedemikian, PROTON telah meningkatkan nilai barisan produknya menerusi pelbagai ciri-ciri keselamatan.

"Ini terus menunjukkan komitmen PROTON untuk terus menambah baik produk serta perkhidmatan di semua peringkat di samping menawarkan kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan bernilai bagi kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno pula berkata, harga alat ganti kereta keluarannya juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7 peratus untuk semua model namun GST akan ditambah ke dalam kos buruh.

"Memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak dua hingga empat peratus bergantung kepada model.

"Pengurangan harga model CKD ini berdasarkan kepada ciri-ciri dan aksesori yang menyebabkan harga untuk setiap model dan varian adalah berbeza. Secara keseluruhannya, penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada pelanggan Honda yang menyebabkan penurunan harga model CKD keluaran syarikat," katanya.

Mengenai implikasi pelaksanaan GST sebanyak 6 peratus yang menggantikan 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Ueno berkata, dalam industri automotif, perbezaan harga kereta tidak semudah seperti 10 peratus tolak enam peratus kerana ia membabitkan banyak faktor.

Katanya, SST berasaskan kepada nilai pengedaran sesebuah kenderaan dan ia kemudian dikenakan cukai sebanyak 10 peratus tidak termasuk margin pengedar, kos pengangkutan, yuran pengendalian, aksesori serta kos-kos pengedaran lain manakala pengenaan cukai GST pula berdasarkan kepada harga jualan akhir kereta di atas jalan.

Presiden UMW Toyota Motors, Datuk Ismet Suki berkata, syarikat akan memindahkan keseluruhan penjimatan kos kepada pelanggan yang membeli mana-mana model Toyota dan Lexus semasa pelaksanaan struktur cukai baharu itu.

"Kami akan telus dalam transaksi perniagaan dan akan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2014," katanya.

Sungai Golok hampir kering



Beberapa orang penduduk menyeberangi Sungai Golok di Rantau Panjang semalam yang semakin cetek selepas berlaku kemarau sejak Februari lalu.


RANTAU PANJANG – Cuaca panas yang melanda negara sejak bulan lalu menyebabkan Sungai Golok di sini yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand hampir kering apabila paras air sungai itu surut sehingga paras paha.
Keadaan air Sungai Golok yang mempunyai kedalaman maksimum sehingga sembilan meter dan kelebaran kira-kira 30 meter itu dikatakan beransur surut sejak Februari lalu.
Tinjauan Kosmo! di sungai tersebut tengah hari semalam mendapati air Sungai Golok di Pengkalan Che Kasem dan Lorong Klinik mengalami penyu­sutan dengan pasir sungai kelihatan di bahagian tepi sungai.
Dalam cuaca panas yang mencatatkan suhu 32 darjah Celsius pada pukul 1 tengah hari semalam, gigi air semakin ke tengah sungai dan bahagian tengah sungai pula dianggarkan berada pada kedalaman paras paha orang dewasa sahaja.
Seorang penduduk tepi Sungai Golok di kawasan Lorong Klinik, Yusof Hasam, 65, berkata, air sungai dilihat semakin cetek sejak Februari lalu kerana cuaca panas.
“Lepas banjir besar, sekarang jadi kemarau besar pula. Semasa banjir pada Disember tahun lalu, air Sungai Golok melimpah sehinggakan air naik sampai paras pinggang di dalam rumah kami.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3W0cXXQmY 
Hakcipta terpelihara 

Mahasiswa Korea Utara tidak tahu kewujudan Facebook


  0  0 Google +0
Suki Kim mengajar sekumpulan mahasiswa ketika menyamar sebagai
Suki Kim mengajar sekumpulan mahasiswa ketika menyamar sebagai pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang di Korea Utara pada 2011. Agensi
NEW YORK 31 Mac – Seorang penulis Amerika Syarikat (AS) yang men­yamar sebagai pensyarah bahasa Inggeris di Korea Utara mendedahkan, pelajar paling pandai di negara tersebut tidak tahu tentang kewujudan Facebook atau mengenali monumen terkenal seperti Taj Mahal, piramid atau Menara Eiffel.
Wanita kelahiran Korea, Suki Kim yang menyamar sebagai pengajar bahasa Inggeris di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang sebanyak dua penggal pada 2011 itu, mendedahkan perkara berkenaan dalam bukunya bertajuk Without You, There Is No Us; My secret life teaching the sons of North Korea’s elite.
Kim yang ketika itu berumur 40 tahun berkata, dia perlu mendapat kebenaran daripada sebuah kumpulan pemantau berhubung bahan-bahan pengajarannya sebelum mengajar 270 pelajar lelaki berumur antara 19 dan 20 tahun.
“Pelajar-pelajar paling pandai di Korea Utara pun, tidak dapat mengecam gambar Taj Mahal dan piramid di Giza.
“Bagaimanapun, mereka kenal pengasas Microsoft, Bill Gates, tetapi tidak tahu tentang kewujudan Facebook,” katanya.
Beliau berkata, pelajar-pelajar berkenaan tidak pernah diajar mengenai dunia luar.
“Mereka tidak tahu mengenai kewujudan Internet. Hanya terdapat satu saluran televisyen dan sebuah akhbar mengenai pengasas dan pemimpin pertama negara ini, Kim Il-sung.
“Tetapi pada peringkat lain mereka merupakan golongan elit. Jika mereka (pelajar-pelajar) mendapat pendedahan mengenai perkara itu, mereka tidak akan mendedahkannya kerana takut dan bimbang tentang kesannya,’’ kata penulis tersebut.
Kim berasa gentar melihat anak-anak muridnya ‘ditipu’ tentang kejayaan pemimpin-pemimpin Korea Utara.
“Segalanya penuh dengan penipuan. Mereka tinggal dalam dunia yang penuh penipuan.
“Sistem sedia ada telah ditanam dalam diri mereka. Mereka ditipu untuk melindungi sistem itu dari pengaruh luar dan kerana ketakutan,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mahasiswa-korea-utara-tidak-tahu-kewujudan-facebook-1.75744#sthash.LWzl14MH.dpuf