Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan tersebut hanya serkap jarang untuk menutup masalah dalaman UMNO yang serius.
“Kita tidak pernah berbincang mengenainya (pengganti Ketua Pembangkang), sama ada dalam Pakatan Rakyat (PR) atau Pas.
“Malah, saya telah menyiasat tiada pertemuan berlangsung antara mereka berdua baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan Ku Li dipelawa untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang sekiranya didapati bersalah dalam kes liwat.
“Perkara ini tidak menjejaskan kami, malah dalam mesyuarat PR juga tidak dibangkitkan mengenai isu ini.
“Isu ini tidak berbangkit kerana Anwar masih Ketua Pembangkang dan mahkamah belum memutuskan (mengenai kes liwat itu),” katanya.
Beliau turut menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 akan dilaksanakan sebelum keputusan kes liwat Anwar.
Ditanya sama ada PR mengambil langkah persediaan sekiranya Anwar benar-benar didapati bersalah dalam kes berkenaan, Mustafa berkata, perkara terbabit tidak relevan buat masa ini.
”Malah kita juga tidak mencari pengganti semasa Anwar digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan baru-baru ini,” katanya.SH