Showing posts with label tenggelam. Show all posts
Showing posts with label tenggelam. Show all posts

Sunday, August 28, 2011

Tujuh maut feri tenggelam

MAKASSAR: Tujuh orang maut dan beberapa lagi dipercayai hilang selepas sebuah feri tenggelam di perairan Indonesia, semalam, kata pihak berkuasa tempatan.
Feri itu tengggelam 24 kilometer dari Kolaka di tenggara wilayah Sulawesi, kata Ketua Pelabuhan, Zainuddin sambil menambah 93 orang berjaya diselamatkan. “Kami berjaya menyelamatkan 61 orang dewasa, 13 kanak-kanak dan 19 pekerja feri,” katanya. - AFP

Friday, May 27, 2011

Empat rumah tenggelam


SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.
SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.

Kampung Sungai Burung dilanda hakisan melampau

BAGAN SERAI: Hakisan pantai yang teruk di pesisir Selat Melaka, menenggelamkan empat rumah di Kampung Sungai Burung dan kawasan 400 hektar hektar di Tanjung Piandang, dekat sini, menyebabkan empat pemilik rumah berpindah ke lokasi baru tidak jauh dari situ.
Keadaan itu bukan saja menyedihkan penduduk kerana tapak asal rumah mereka `hilang’, malah penempatan sedia ada berdepan masalah sama jika tiada tindakan susulan bagi mencegah hakisan.
Bekas nelayan, Samsudin Ali, 75, berkata tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung kini menjadi lautan.

“Jika nak tahu tapak rumah pertama saya, lihat ke sana," katanya sambil menuding jari ke arah laut di kampung itu.

Beliau berkata, rumah pertamanya itu yang dibina 50 tahun lalu berada 200 meter dari pantai yang ada ketika ini.

"Kawasan yang kini sudah menjadi laut itu pernah dipenuhi pokok api-api. Ada empat rumah nelayan di situ. Kawasan hutan itu dan rumah kami dihakis dan ditenggelami air laut sekitar 1990-an," katanya.
Samsudin dan penduduk kampung terpaksa membina semula rumah masing-masing. Rumah dihuni Samsudin kini hanya kira-kira 20 meter dari pantai berkenaan yang sudah ditambak dengan batu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah mencegah hakisan.

Tinjauan di kampung itu yang turut dipanggil penduduk sebagai Ban Pecah, mendapati struktur batu membentuk seperti pulau kecil jelas kelihatan kira-kira 500 meter dari pantai. Struktur itu dulunya benteng menghalang hakisan dan mencegah air laut memasuki kawasan penempatan.

Nelayan, Sharudin Ahmad Salim, 28, berkata jika air surut, pintu air lama dapat dilihat, iaitu 1.6 kilometer dari pantai.

"Masih ada akar pokok kelapa terlekat pada pukat dan ini juga bukti kawasan ditenggelami air laut itu dulunya kawasan penempatan," katanya.

Sementara itu, Kampung Baru Nelayan Tanjung Piandang turut menerima kesan hakisan. Air laut ‘menelan’ tiga kilometer kawasan daratan yang dipenuhi pokok api-api yang sebelumnya zon penampan.

Bekas struktur kayu penyokong paip air yang dulunya dibina di daratan bagi kegunaan kolam ternakan udang sudah rosak akibat hakisan.

Nelayan, Abdul Latiff Hakim, 43, berkata suatu ketika dulu, kawasan pantai dipenuhi pokok api-api, tetapi kini sebahagian besarnya lenyap.

"Dulu kita perlu berjalan kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tepi laut, tetapi sekarang, buka saja pintu rumah sudah nampak laut.

"Kawasan daratan ditelan laut akibat ombak kuat terutama ketika musim 'alun panjang' antara Julai hingga September setiap tahun.

"Sebenarnya, panjang pesisir pantai terjejas boleh mencecah kira-kira 10 kilometer iaitu hingga ke Kuala Kurau," katanya.

Ketua UMNO cawangan kampung itu, Harun Sidi, 52, berkata penduduk risau banyak kawasan daratan ditenggelami laut, tetapi lega apabila JPS meletakkan batu di pesisir pantai bagi mengelak atau mengurangkan hakisan.

"Jika batu ini tidak diletakkan di sepanjang pantai, saya rasa kampung ini juga sudah tiada lagi," katanya. Berita Harian Online | Empat rumah tenggelam

Thursday, April 14, 2011

Lebih 700 dipindahkan pelantar minyak tenggelam



PELANTAR yang menempatkan kawasan tempat tinggal pekerja senget sebelah sebelum tenggelam sepenuhnya di Teluk Mexico di perairan Ciudad del Carmen, Mexico, kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY 13 April - Seramai 713 pekerja pelantar minyak dipindahkan apabila pelantar yang menjadi tempat tinggal pekerja di Teluk Mexico runtuh, semalam, kata syarikat minyak milik kerajaan, Petroleos Mexicanos (Pemex).
Tiada kebocoran minyak berlaku dan tiada laporan kecederaan di pelantar Flotel Jupiter, kira-kira 80 kilometer dari Campeche, Teluk Mexico.
Pada mulanya, seramai 638 pekerja dipindahkan selepas air memasuki sebahagian daripada kemudahan itu dan menyebabkan ia menjadi condong tetapi Pemex menyatakan kesemua pekerja di platform itu dipindahkan menjelang waktu petang.
Pemex berkata, selepas beberapa cubaan untuk membaiki kemudahan itu, platform tersebut karam dan tenggelam malam tadi. - AFP

Tuesday, October 5, 2010

Padi tenggelam



Oleh Sabaruddin Abd Ghani 

2010/10/05

Sawah tiga kampung musnah akibat banjir kilat perlu bantuan

KUALA KETIL: Kira-kira 20 petani yang mengusahakan sawah padi di Kampung Guar Chempedak, Kuala Badak dan Kuala Tembak, di sini mengalami kerugian beribu-ribu ringgit apabila sawah mereka yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh seminggu lagi, musnah ditenggelami banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad minggu lalu. 

Berikutan itu, pesawah terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada hasil padi kehilangan sumber pendapatan musim ini dan berharap mendapat bantuan kerajaan bagi mengusahakan semula tanaman pada musim akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Guar Chempedak, Ramli Abdullah, berkata akibat bencana alam itu, seluas kira-kira 40 hektar sawah di tiga kampung terbabit terendam air keruh dan berlumpur yang merosakkan tanaman padi.
Katanya, berikutan kejadian itu, pendapatan pesawah kebanyakannya adalah daripada golongan miskin terjejas apabila tanaman yang sudah mengeluarkan hasil itu musnah tanpa memperoleh pulangan seperti diharapkan. 

Beliau berkata, antara punca berlakunya banjir kilat yang menenggelamkan sawah ialah limpahan air terlalu banyak di Sungai Tembak yang laluannya mengalir merentasi kawasan sawah padi. 

“Banjir kilat yang melanda sawah padi kali ini paling teruk apabila padi yang menunggu masa untuk dituai terendam dalam air sedalam paras dada menyebabkan tanaman berkenaan reput,” katanya ketika ditemui di sini. 

Secara purata, setiap pesawah mengalami kerugian antara RM6,000 dan RM20,000, bergantung kepada keluasan sawah yang diusahakan. 
Ia termasuk kos mengusahakannya, upah penggunaan jentera pembajak, membuat sistem pengairan, penyediaan benih dan semburan racun serangga perosak tanaman. 

Sehubungan itu, JKKKP kampung menghantar laporan berhubung masalah itu kepada Pejabat Pertanian Daerah Baling dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil supaya bantuan dapat disediakan untuk pesawah. 

Untuk jangka panjang, JKKKP kampung berkenaan berharap kerajaan mengambil langkah tertentu bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda sawah padi apabila hujan berterusan. 

Pesawah, Jahaya Khamis berkata, sawahnya seluas kira-kira 3.5 hektar yang sudah sedia untuk dituai musnah dinaiki air mengakibatkan kerugian dianggarkan RM20,000. 

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihatkan keadaan sawah terendam air, cuma yang terfikir bagaimana hendak mencari modal untuk mengusahakan semula sawah pada musim akan datang,” katanya. 

Abdul Kadir Mat Isa pula berkata, sawahnya seluas kira-kira 2.5 hektar yang juga menunggu masa untuk hasilnya dituai musnah dalam kejadian banjir kilat kali kedua melanda sawah penduduk kampung terbabit. 

“Berikutan berlaku bencana alam itu, saya mengalami kerugian kira-kira RM8,000 dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan tanaman musim kedua iaitu bermula bulan ini dapat diusahakan,” katanya.