AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23657#sthash.UOalnXbb.dpuf
Kaherah: Sebuah mahkamah rayuan di sini semalam membatalkan hukuman penjara tiga tahun ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak dan mengarah perbicaraan semula terhadap satu-satunya kes yang dihadapinya.
Penyokong bekas pemimpin berkenaan bersorak dan melaungkan slogan ‘Hidup Keadilan!’ sejurus selepas hakim mengumumkan keputusannya.
November lalu, sebuah mahkamah lain menggugurkan tuduhan membunuh terhadap Hosni berhubung kematian penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat pada 2011 yang menamatkan pemerintahan kuku besinya selama 30 tahun.
Sebuah mahkamah lebih rendah mengenakan hukuman penjara berkenaan terhadap Hosni Mei lalu selepas mendapati beliau bersalah menggelapkan wang yang diperuntukkan untuk menyelenggara istana presiden itu.
Ia juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas dua anak lelaki Hosni - Alaa dan Gamal.
Empat defendan lain dalam kes itu dibebaskan tahun lalu.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, Hosni dan kedua-dua anaknya akan kekal di penjara sehingga pihak berkuasa kehakiman membenarkan dia dibebaskan.
Bekas presiden Mesir berkenaan kini ditahan di sebuah hospital tentera dan tidak akan dibebaskan tanpa keputusan pihak pendakwa raya atau mahkamah yang akan membicarakannya semula.
Terdahulu, peguamnya Farid al-Deeb memberitahu wartawan, Hosni sepatutnya dibebaskan memandangkan dia sudah ditahan tiga tahun, termasuk ketika menanti perbicaraan.
“Tetapi dia akan kekal di hospital kerana tidak sihat,” kata Farid.
Seorang pakar undang-undang Mesir, Gamal Eid, semalam berkata, tidak ada alasan untuk menahan bekas presiden itu lebih lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 6:43 AM