Tuesday, November 6, 2012

Pertumbuhan anak terbantut kerana gagal diberi susu ibu




         
JAKARTA: Kebantutan pertumbuhan kanak-kanak bukan saja kesan daripada keadaan ekonomi yang buruk ibu bapa mereka, tetapi juga disebabkan kegagalan menyusukan susu ibu ketika perkembangan awal, dakwa pakar Motivasi Pemberian Makan Bayi dan Anak (PMBA).

Endang Sri Budiyani dari Klaten, Jawa Tengah yang telah mendidik orang ramai di daerahnya selama 10 tahun mengenai kepentingan penyusuan ibu untuk bayi hingga usia enam bulan berkata, ketidakmampuan memberi penyusuan ibu disebabkan oleh ibu itu bekerja. “Kebanyakan ibu yang bekerja memilih untuk memberikan susu buatan kilang kerana bebanan kerja,” katanya. Dia adalah seorang daripada 30 pakar motivasi yang dipilih UNICEF dan Kesatuan Eropah (EU) dalam projek pilot untuk misi Inisiatif Keselamatan Nutrisi Kanak-Kanak dan Ibu (MYCNSIA).


Menurutnya, dalam kes ini, faktor ekonomi bukan lagi menjadi alasan atas kebantutan pembesaran kanak-kanak. Nutrisi yang tidak seimbang ketika tahap perkembangan juga menjadi faktor. - kompas.com

60 geng ganas dikenal pasti




         
MANILA: Polis Filipina mengenal pasti kira-kira 60 “kumpulan tentera persendirian” yang mungkin menggunakan keganasan untuk mempengaruhi pilihan raya umum yang akan diadakan tahun depan, kata pegawai, semalam.

Pengikut ahli politik yang bersenjata telah lama menjadi masalah utama ketika pilihan raya, di mana mereka melakukan jenayah seperti pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada 2009 di mana 58 orang terbunuh untuk mempertahankan kepentingan keluarga yang berkuasa.
Jurucakap Polis Nasional, Ketua Superintendan Generoso Cerbo berkata, polis perisik mengenal pasti 60 “kumpulan bersenjata persendirian” di beberapa tempat di negara ini.

“Sebaik saja kami dapat mengesahkannya, semua unit akan dikerah untuk menghapuskan mereka,” katanya.


Generoso berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha polis untuk memastikan keselamatan pilihan raya tempatan dan legislatif pada Mei 2013.


Kajian yang dilakukan oleh Polis Nasional pada 2010 mendapati, 112 kumpulan bersenjata persendirian daripada yang kecil hingga yang mempunyai beratus-ratus anggota, terdapat di sekitar Filipina.

Generoso berkata, polis melakukan kiraan terbaru kerana sebahagian daripada kumpulan itu berpecah sementara yang lain bubar secara sukarela.

Anggota kumpulan itu ada di kalangan anggota militan yang menyokong kerajaan, pemberontak, anggota polis, tentera atau penyangak yang membantu ahli politik dapat mengekalkan kekuasaan mereka.

Antara yang dilakukan adalah menakutkan calon pesaing, pengundi atau merosakkan pengiraan undi.

Dalam satu kejadian keganasan yang melibatkan tentera persendirian, 58 orang dibunuh oleh pengikut keluarga berpengaruh pada di selatan Filipina untuk mengelakkan calon pesaing daripada bertanding. - AFP

Menteri wanita ada 8 kekasih


PARIS: Menteri kehakiman wanita pertama Perancis berpacaran dengan lapan teman lelaki ketika dia melahirkan anak luar nikah, dakwa satu laporan semalam.
Pendedahan mengenai kisah cinta Rachida Dati yang luar biasa itu timbul ekoran pertelingkahan mengenai siapakah bapa kepada anak perempuan wanita berusia 47 tahun itu. Ahli perniagaan dan jutawan, Dominique Desseigne, 68, enggan menjalani ujian DNA selepas dituduh sebagai bapa kepada kanak-kanak perempuan itu. Rachida sudah ke mahkamah untuk cuba membuatkan Desseigne mengakui bahawa dia bapa kepada Zohra, kini berusia tiga tahun hasil hubungan asmara mereka pada 2008. Namun, Desseigne memberitahu majalah Le Mode, hujung minggu lalu bahawa dia adalah seorang daripada ramai lelaki yang menjalin hubungan dengan Rachida. Dia juga tidak tahu jika dia bapa kepada Zohra. Tambahan pula, peguamnya menyarankan dalam bukti bertulis bahawa Rachida terbabit dengan lapan hubungan pada ketika itu. Mereka termasuk hos televisyen, menteri, ketua eksekutif pejabat, Perdana Menteri Sepanyol, adik lelaki kepada Nicolas Sarkozy, Peguam Negara Qatar dan pewaris empayar barangan mewah, lapor majalah itu.

Desseigne kini menolak permohonan Rachida yang dibuat di mahkamah Versailles dekat Paris agar menjalani ujian itu.

Menurut undang-undang Perancis, sesiapa yang diminta menjalani ujian itu boleh menolaknya walaupun Rachida dikatakan mempunyai bukti, termasuk kenyataan bersumpah daripada kakitangannya bahawa Desseigne melawat ‘anak mereka’ secara tetap sejurus selepas dia dilahirkan.

Mereka yang disyaki bapa kepada Zohra pada masa lalu, termasuk sebilangan tokoh masyarakat daripada Perdana Menteri Sepanyol, Jose Maria Anzar hingga kepada bekas Perdana Menteri Perancis, Nicolas Sarkozy. Rachida yang terkenal sebagai individu yang suka menonjolkan diri menggalakkan spekulasi dalam sebilangan wawancara di majalah seperti Paris Match di mana dia turut muncul dalam sesi fotografi yang glamor.

Pendedahan terbaru itu akan meningkatkan reputasi ahli politik Perancis dan tokoh masyarakat lain sebagai kaki perempuan yang tidak pernah berhenti menjalin hubungan seks secara haram. Bulan lalu, wanita pertama Perancis sekarang, Valerie Trierweiler didakwa pernah menjadi perempuan simpanan kepada bakal Presiden Parti Sosialis, Francois Hollande dan Menteri Parti Konservatif, Patrick Devedjiana.


Ketiga-tiganya termasuk Valerie telah berkahwin atau mempunyai hubungan jangka panjang dengan orang lain pada waktu itu.

Rachida yang berasal daripada keluarga pendatang dari Afrika Utara dan pernah gagal dalam perkahwinannya menjalani kehidupan sebagai wanita solo sejak berusia awal 20-an. Dia menjadi bintang dalam ‘kabinet pelangi’ Sarkozy yang terdiri daripada pelbagai etnik pada 2007 dalam usaha membabitkan golongan minoriti dalam kerajaan, tetapi dipecat pada 2009 kerana didakwa tidak layak memikul tugas diberikan. - DM

Lelaki paling bahagia pada usia 37 tahun



 
London: Satu kajian di Britain mendedahkan bahawa lelaki merasa saat paling menggembirakan pada usia 37 tahun.

Jenama pakaian lelaki, ‘Jacamo’ berkata faktor kestabilan, rutin dan komitmen jangka panjang memberi kepuasan kepada spesies yang digelar lelaki.
Satu kajian baru mendedahkan, masa paling menggembirakan bagi kehidupan seorang lelaki adalah pada usia 37 tahun, apabila mereka sudah mencapai kemuncak kerjaya dan memulakan kehidupan berkeluarga.

Gembira ketika muda, sihat


Phillip Hodson, Felow Persatuan Kaunseling dan Psikoterapi Britain berkata, adalah logik untuk memikirkan bahawa lelaki menjadi gembira ketika mereka masih muda, apabila cergas dan sihat.

“Ketika lelaki semakin berusia mereka semakin terdedah kepada penyakit dan lebih lemah. Pada usia 37 tahun, anda cukup muda untuk tidak kecewa dengan kehidupan, yang muncul dengan krisis pertengahan umur,” katanya. - Agensi

Ramai wanita Teluk tak subur


Dubai: Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) dikatakan menjadi punca ketidaksuburan di kalangan wanita dan lebih 50 peratus wanita di rantau ini memilikinya.

Berdasarkan satu kajian oleh Pusat Kesuburan & Ginekologi Dubai, terhadap wanita yang mendapat rundingan di pusat berkenaan kerana masalah hamil, lebih 60 peratus didapati menghidap PCOS.
“Ia adalah punca kepada masalah tidak subur di kalangan wanita,” kata perunding Obstetrik dan Ginekologi di pusat berkenaan, Dr Mohamed ElKalyoubi.

Walaupun tidak membimbangkan, ia amat menarik untuk membandingkan bilangan mereka di negara lain.

Telur matang terkumpul


Dalam PCOS, telur matang pada seseorang wanita tidak dikeluarkan dari ovari sebaliknya ia terkumpul di dalam ovari dan menyebabkan cysts. Selepas beberapa lama rantaian cysts terbentuk dan menyebabkan ‘polisistik’.

Kemungkinan untuk membentuk PCOS adalah satu bagi seseorang wanita yang mewarisinya. Tetapi peluang untuk membentuknya adalah bergantung kepada persekitaran. Rantau Teluk adalah contoh persekitaran, kata Mohamed.
“Jika anda melihat di Eropah, kadar kelazimannya adalah lima peratus. Di rantau Teluk ia adalah membabitkan 50 peratus,” kata doktor terbabit.

Ia tidak mengatakan bahawa semua wanita didapati menghadapi PCOS tidak subur. Ia adalah dalam bentuk ringan dan agresif yang akan membawa kepada pelbagai simptom berbeza.

Bagaimanapun, ketidaksuburan bukan satu daripada kesan kemungkinan, diabetes, tekanan darah tinggi dan lebihan berat badan adalah kesan utama kepada penyakit itu. Dalam kes yang lebih serius ia boleh membawa kepada kanser ovari.

Amalan diet tak sihat


“Menjadi terlalu gemuk adalah satu daripada penyumbang dan masalah biasa di Teluk. Kebanyakan penduduk tidak mempunyai diet yang sihat, mereka makan banyak makanan ringan dan mengambil minuman manis. Selain itu, kurang bersenam juga adalah satu daripada ciri-ciri penduduk di rantau ini.

“Biasanya wanita akan menyedari perubahan dalam pusingan haid mereka di mana kiraan biasa adalah 11 hingga 12 kali dalam setahun, tetapi wanita yang memiliki PCOS hanya memiliki dua atau tiga,” kata Keya Shivadey, Pakar
di Pusat Perubatan Aster. - Agensi

Israel sedia serang Iran 'jika perlu', kata Netanyahu



 
JERUSALEM: Presiden Israel Benjamin Netanyahu hari ini berkata beliau sedia mengarahkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran 'sekiranya perlu'.

Dalam satu wawansara disiarkan stesen televisyen Channel Two, beliau berkata: "Ya semestinya saya bersedia untuk menekan butang jika perlu.
"Saya harap ini tidak berlaku. Dalam soal muktamad, tanggungjawab dipikul oleh Perdana Menteri dan selagi saya Perdana Menteri, Iran tidak akan mempunyai bom atom," katanya.

“Jika tiada jalan lain, Israel bersedia untuk bertindak," kata Netanyahu.

Reaksi beliau itu susulan menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat selepas tekanan diberi pentadbiran Barack Obama mengenai "dasar yang jelas' mengenai tindakan ketenteraan Israel ke atas Iran. - AFP

5 letupan bom gegar Bahrain, dua maut



MANAMA: Satu siri serangan bom di ibu negara Bahrain mengorbankan dua orang, awal hari ini dengan wujud tanda-tanda keganasan membabitkan kebangkitan semula pembangkang bagi menjatuhkan pemerintahan beraja.

Lima siri letupan bom meledak di Manama yang disifatkan pegawai kerajaan sebagai serangan pengganas, iaitu kurang seminggu selepas kerajaan mengharamkan semua bentuk perhimpunan atau tunjuk perasaan.
Pertempuran masih belum berkurangan termasuk satu kumpulan menyerang tiga balai polis dengan bom api, Ahad lalu.

Lebih 55 orang dilaporkan terbunuh sejak keganasan tercetus di Bahrain pada Februari 2011 apabila penduduk majoriti fahaman Syiah menuntut agar mereka diberi lebih banyak suara politik dalam kerajaan.

Dalam keganasan terbaru hari ini, dua lelaki Asia dilaporkan maut manakala lelaki ketiga cedera apabila sekurang-kurangnya lima bom buatan sendiri meletup di tengah bandar raya berkenaan.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang lelaki maut selepas menyepak bom berkenaan sebelum meletup manakala seorang lagi terbunuh akibat cedera parah dalam letupan berasingan.

Pegawai berkenaan bagaimanapun berkata, setakat ini nama dan warga negara lelaki terbabit belum dapat didedahkan lagi.
Seperti kebanyakan negara Teluk, Bahrain mempunyai populasi warga Asia Tenggara yang besar bekerja di negara berkenaan. - AFP

Badrulamin, 15 individu didakwa




MARZUKI menunjukkan kad jemputan bagi mempromosi aktiviti yang didakwa bertujuan menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 16 orang termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron yang ditahan semasa konsert khas yang dipercayai cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang pada malam 1 November lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Gombak Barat di Kuang dekat sini pada 20 Disember hadapan.
Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu melanggar fatwa mufti.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 12 (c) itu, kesemua mereka yang menghadiri dan meraikan majlis sambutan ulang tahun pengasas kumpulan ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya disifatkan sebagai individu yang menyokong dan membantu kumpulan tersebut.

Rumah sewa Michael Jackson dijual




GAMBAR fail menunjukkan rumah yang pernah disewa Jackson di Los Angeles.


LOS ANGELES - Sebuah rumah agam yang pernah disewa dan menjadi tempat penyanyi terkenal, mendiang Michael Jackson meninggal dunia di sini akhirnya dijual pada harga AS$18.1 juta (RM54.7 juta), lapor akhbar LA Times kelmarin.
Pembeli rumah tersebut ialah seorang pengarah urusan kanan di syarikat Cerberus Capital Management, Steven Mayer.
Pemilik asal rumah itu ialah ketua eksekutif syarikat pereka pakaian jenama Ed Hardy, Hubert Guez.
Kediaman yang direka oleh Richard Landry itu mempunyai keluasan 1,580 meter persegi yang dibina pada 2002.
Ia mempunyai tujuh buah bilik tidur dan dilengkapi sebuah pawagam, lif, gimnasium, kolam renang, bilik wain bawah tanah dan sebuah rumah tetamu.
Pada Mac lalu, penyanyi Britain, Robbie Williams dilaporkan turut berminat untuk membeli rumah berkenaan.
Jackson, 50, meninggal dunia akibat pengambilan berlebihan ubat bius propofol di rumah tersebut pada 25 Jun 2009. - Agensi

Kubur Arafat digali 26 November




GAMBAR fail menunjukkan kubur Arafat di Ramallah, Palestin pada 10 November 2008.


RAMALLAH, Tebing Barat - Seorang diplomat Barat semalam berkata, kubur bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat akan digali pada 26 November depan.
Kubur itu akan digali bagi menyiasat punca sebenar kematian Arafat.
Menurut sumber-sumber Palestin, kumpulan penyiasat dari Institut Fizik Radiasi, Universiti Lausanne, Switzerland telah tiba di sini bagi melakukan persediaan untuk menggali kubur itu.
Anggota-anggota kumpulan itu menemui Menteri Kesihatan Palestin, Hani Abdeen dan Menteri Kehakiman, Ali Mhanna.
Pasukan tersebut juga telah mengadakan perbincangan dengan ketua suruhanjaya Palestin yang menyiasat kematian Arafat, Tawfiq Tirawi.
Bekas pemimpin Palestin itu meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada 11 November 2004.
Pakar-pakar Perancis tidak dapat mengesahkan punca kematiannya.
Ramai penduduk Palestin yakin beliau diracun Israel.
Pihak pendakwa raya Perancis membuka kertas siasatan terhadap kematian Arafat pada Ogos lalu selepas stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan hasil siasatan pakar-pakar Switzerland yang mendakwa bahan radioaktif polonium ditemui pada barang-barang peribadi milik bekas pemimpin Palestin itu.
Polonium merupakan bahan beracun yang pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko.
Litvinenko meninggal dunia di London pada 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun itu. - Agensi