Tuesday, February 8, 2011

Mubarak terus enggan berundur


LENA DALAM MEMBERONTAK: Seorang penunjuk perasaan antipemerintah Mesir terlena di celah roda sebuah kenderaan tentera di Dataran Tahrir kelmarin, pada hari ketiga belas pemberontakan yang menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur. -- Foto AFP

KRISIS MESIR
Pemerintah mula runding dengan pembangkang bagi hurai krisis

KAHIRAH: Presiden Hosni Mubarak tetap berpegang kepada kuasanya semalam, melawan arus pemberontakan besar-besaran yang menentang pemerintahan autokratiknya, selepas pemerintah membuka rundingan dengan pembangkang bagi menyelesaikan krisis terbesar Mesir dalam 30 tahun.
Kumpulan Ikhwanul Muslimin (Persaudaraan Muslim) yang diharamkan antara kumpulan yang berunding dengan para pegawai hujung minggu lalu, menunjukkan perubahan besar yang telah berlaku dalam 13 hari yang telah menggegar Dunia Arab dan membuat kuasa Barat cemas.Namun tokoh-tokoh pembangkang berkata tuntutan utama supaya Encik Mubarak turun dengan segera masih belum dipenuhi.Ada pihak prihatin pemerintah sedang berdalih dengan harapan Encik Mubarak dapat kekal berkuasa hingga penggalnya tamat pada September.Kumpulan perusuh di Dataran Tahrir, tempat tumpuan pertempuran ribuan orang yang telah menyebabkan kira-kira 300 orang terkorban sejauh ini, berkata mereka akan meningkatkan bantahan.Selepas senja kelmarin, tentera melepaskan tembakan ke udara. Tetapi para perusuh itu, yang baring bagi menghalang kemaraan kereta kebal tentera Sabtu lalu, terus bertahan.Warga Mesir kembali ke tempat kerja kelmarin dan bank dibuka kepada barisan orang yang ingin mengakses akaun mereka, setelah krisis selama seminggu itu.Para menteri mengadakan mesyuarat kabinet penuh pertama mereka semalam sejak Encik Mubarak menyusun semula kabinetnya pada 28 Januari dalam usaha menenangkan pemberontak yang telah berang setelah bertahun-tahun menghadapi rasuah, kesempitan ekonomi dan penindasan politik.Namun, di sebalik rayuan daripada sekutu lama Encik Mubarak, Amerika Syarikat, supaya diadakan satu 'peralihan aman' ke arah demokrasi, ketegangan di negara itu nampak belum kendur.Kehadiran Persaudaraan Muslim, yang ahlinya sudah bertahun-tahun ditindas pemerintahan Encik Mubarak, di rundingan itu satu kemajuan penting.Selepas rundingan itu, yang diketuai Timbalan Presiden, Encik Omar Suleiman, pemerintah setuju melakar satu pelan bagi rundingan-rundingan, menunjukkan Encik Mubarak akan kekal berkuasa bagi menyelia perubahan.Pemerintah akan juga mengambil langkah membebaskan aktivis yang dipenjara, menjamin kebebasan akhbar dan memansuhkan undang-undang darurat.Namun pembangkang berkata pemerintah gagal memenuhi tuntutan mereka agar membaik pulih sepenuhnya sistem politik negara itu.Pembangkang telah menolak sebarang kata sepakat yang membolehkan Encik Mubarak memindahkan kuasa kepada Encik Suleiman tetapi tetap menghabiskan penggalnya.Ini pada asasnya bergantung pada sistem lama yang autoritarian bagi bergerak ke arah demokrasi sivil penuh. Pada masa sama, ia menjaga maruah presiden. -- Reuters.
cyberita

Rakyat ragui janji reformasi rejim

KAHERAH: Janji rejim Hosni Mubarak untuk menjalankan siasatan rasmi terhadap amalan rasuah dan penyelewengan pilihan raya semalam gagal meredakan kemarahan rakyat negara itu, sebaliknya mereka terus berkumpul di tengah Kaherah sehingga presiden itu melepaskan kuasanya.
Selepas dua minggu di ambang anarki, belum nampak ada penyelesaian dicapai walaupun keadaan di negara itu masih tenang.

Dataran Tahrir masih kekal menjadi pusat bantahan rakyat Mesir.

Ketika ini, rejim Hosni kelihatan yakin mampu melepasi cabaran semasa dan meneruskan penguasaan ke atas Mesir sejak 30 tahun lalu.

Mereka juga yakin mendapat sokongan dari Barat yang selama ini menjadi sekutu rapat Kaherah.


Menurut jurucakap kerajaan, pihak pendakwa berjanji menyoal siasat tiga bekas menteri dan seorang pegawai kanan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang didakwa melakukan rasuah.
Hosni juga mengeluarkan arahan kepada Parlimen dan mahkamah tertinggi negara itu untuk mengkaji semula keputusan mahkamah rendah yang membatalkan kelayakan ratusan ahli politik menyertai pilihan raya. - APmyMetro | Rakyat ragui janji reformasi rejim

'Kereta dibedil 3 kali'


KETAT...Siti Sarah menunjukkan gambar kereta kebal yang mengawal lalu lintas di Iskandariah.
KETAT...Siti Sarah menunjukkan gambar kereta kebal yang mengawal lalu lintas di Iskandariah.


ASAJAYA: “Nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk ketika kereta dinaiki terkena tiga tembakan,” demikian detik cemas yang terpaksa dilalui seorang pelajar Universiti Al-Azhar, Zuliyarana Fauzi, 23, ketika dia dalam perjalanan pulang ke Kaherah dari Iskandariah, Mesir pada 29 Januari lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika dia bersama dua lagi rakan, Siti Sara Dahari, 23, dan Shahida Rashidi, 25, serta empat kakitangan Petronas termasuk sepasang suami isteri dalam perjalanan pulang ke Kaherah selepas mengunjungi rakan dan perpustakaan Universiti Iskandariah.

“Sebaik kenderaan kami ditembak, pemandu yang juga kakitangan Petronas dan isterinya menjerit kepada kami supaya tunduk sebelum mencari tempat perlindungan. Saya tidak tahu siapa yang melepaskan tembakan itu tetapi kenderaan kami mempunyai tiga kesan peluru.

“Beberapa minit kemudian, seorang askar menghampiri sambil bertanya destinasi kami dan apabila dimaklumkan mahu pulang ke tempat penginapan di Kaherah, dia memberi kata dua kepada kami sama ada nyawa akan melayang jika meneruskan perjalanan atau berpatah semula ke Iskandariah.


“Dalam ketakutan, kami kemudian terpaksa berpatah balik ke Iskandariah dan berlindung sementara di rumah kakitangan Petronas. Ketika itu, kami tidak dapat membayangkan suasana ketika itu dan hanya berdoa sepanjang perjalanan semoga selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya Tengah di sini, semalam.


Katanya, dia dan rakannya terpaksa tinggal di rumah berkenaan beberapa hari sebelum dihantar ke Rumah Sabah yang terletak tidak jauh dari kawasan itu.

“Tiga hari kami berada di Rumah Sabah, baru perasaan kembali tenang sebelum kami diarahkan mengikut penuntut Sabah pulang ke Malaysia.” kata pelajar tahun dua Pengajian Syariah itu.

Menurutnya, dia bersama Siti Sara dan Shahida baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester dan merancang ke Iskandariah melawat isteri rakannya yang bekerja dengan Petronas.

Sebelum itu, katanya, mereka bertolak dari Kaherah ke Iskandariah menaiki van dan tiba tengah hari Khamis, namun pada malam hari sama, mereka menerima khabar rusuhan tercetus sekali gus memaksa perintah berkurung dikeluarkan.

“Kami memang ada mendengar rusuhan berlaku terutama di Suez, namun menyangka tunjuk perasaan membabitkan kenaikan harga barang. Ini kerana semua barang di Iskandariah naik mendadak.

“Keesokan hari iaitu pada 28 Januari, kami dimaklumkan rusuhan semakin teruk menyebabkan kami terperangkap,” katanya yang selamat kembali ke pangkuan keluarga, kelmarin.

Sementara itu, Siti Sara berkata, ketika dia terperangkap bersama rakannya, dia juga terputus hubungan dengan abangnya, Abdul Salam, 25, di Kaherah.myMetro | 'Kereta dibedil 3 kali'

Petronas sumbang RM2 juta kepada TUDM bagi pemindahan rakyat Malaysia di Mesir



KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyumbang RM2 juta kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membantu operasi pasukan itu mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir.

Sumbangan itu diberikan berikutan gesaan kerajaan baru-baru ini supaya sektor awam dan swasta bekerjasama untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia ke tanah air.

"Petronas berbesar hati untuk bersama-sama dengan TUDM dan syarikat Malaysia yang lain termasuk AirAsia Bhd dan Malaysia Airlines Bhd menjayakan usaha murni ini," menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat Petronas hari ini.

Petronas juga berkata syarikat itu juga telah memindahkan semua warga kerja dan keluarga mereka dari Mesir dan sedang memantau perkembangan di negara itu.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyatakan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kelancaran operasi pemindahan rakyat Malaysia di negara bergolak itu.

Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie Mammal berkata, operasi pemindahan itu dijalankan dengan lancar tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik mereka yang berkenaan.

"Hanya seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa patriotik mampu mengambil tindakan yang sesuai untuk semua rakyatnya dan pihak yang berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Ops Piramid merupakan satu lagi kejayaan gagasan 1Malaysia.

Ops Piramid ialah operasi bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir yang menyaksikan demonstrasi antikerajaan diadakan di beberapa bandaraya, ke Jeddah, Arab Saudi.
- BernamaSH

MPSP bersihkan 'mini Hatyai'




SEBUAH jentolak merobohkan binaan tambahan dalam operasi khas di Taman Pelangi, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam memulakan operasi besar-besaran bagi membersihkan imej kawasan perumahan Taman Pelangi di sini yang sebelum ini lebih dikenali sebagai 'mini Hatyai'.
Taman Pelangi menerima gelaran tersebut kerana menjadi kawasan penempatan pekerja warga asing dengan sebahagian blok bangunan diubah suai sebagai asrama sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan taman tersebut menjadi tumpuan warga asing daripada pelbagai negara sehingga menyebabkan ada warga asing yang berani membuka premis perniagaan di situ.
Ahli Majlis MPSP, M. Ramachandran berkata, operasi berkenaan dilaksanakan setelah pihak MPSP menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa mereka tidak selesa dengan keadaan tersebut.
"Kita memang terima banyak aduan mengenai pelbagai masalah yang berlaku di kawasan ini sejak dibanjiri pekerja warga asing.
"Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar rumah tingkat bawah di kawasan ini turut diubah suai menjadi premis perniagaan dan ada yang bertindak berani membuat penyambungan elektrik secara haram di premis berkenaan.
"Begitu juga penduduk tempatan yang ambil kesempatan menyewakan premis tersebut kepada warga asing untuk dijadikan premis perniagaan," katanya ketika ditemui semasa mengikuti operasi berkenaan semalamKosmo! Online - Negara

Hospital didakwa silap beri ubat




NORMAH menunjukkan kulitnya yang mengelupas sambil ditemani suaminya di rumah mereka di Kampung Cempaka, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang wanita mendakwa ubat yang dimakan selepas menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada 16 Januari lalu menjadi punca tubuh badannya mengelupas termasuk sukar membuka mata.
Ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Cempaka dekat sini semalam, wanita malang itu, Normah Husin, 47, tidak henti-henti menggaru kulitnya.
"Saya tak boleh buka mata malah mulut pun sudah membengkak selain gatal satu badan sehingga kelihatan seperti sisik ikan.
"Perubahan ini berlaku selepas saya memakan beberapa jenis ubat yang diberi pihak HRPZ II tempoh hari selepas menjalani rawatan hemodialisis," katanya.
Menurut Normah, ekoran penyakit barunya itu, suaminya, Dzulkifli Rofeen, 52, telah membawanya semula ke hospital berkenaan untuk diperiksa dan dia dimasukkan ke wad kecemasan pada 25 Januari.
"Pakar kulit HPRZ II menyuruh saya berhenti serta-merta mengambil ubat-ubat yang dibekalkan sebelum ini.
"Doktor tersebut kata, salah satu daripada ubat yang dibekalkan itu mungkin bukan untuk saya atau dalam erti kata lain, HPRZ II tersalah beri ubat," katanya.Kosmo! Online - Negara

Dicampak selepas dipukul, rogol



Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI


HAMDAN menunjukkan gambar wanita mangsa pukul dan rogol yang masih belum dikenal pasti identitinya pada sidang akhbar di Seremban semalam.


SEREMBAN – Polis sedang mencari ahli keluarga seorang wanita yang ditemui dalam keadaan menyedihkan apabila dia bukan sahaja dirogol, malah turut dipukul sebelum dicampak di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Port Dickson dekat sini baru-baru ini.
Lebih memburukkan keadaan, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu koma selepas mengalami kecederaan parah di belakang kepala. Dia kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, wanita berketurunan Cina itu ditemui oleh orang awam pada pukul 6.35 pagi Jumaat lalu sebelum menghubungi ambulans.
Katanya, ketika ditemui, wanita yang pengsan itu memakai kemeja berwarna merah dan seluar jean paras lutut.
“Pemeriksaan mendapati tengkorak pada belakang kepala mangsa retak dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan keras. Selain itu, mangsa dipercayai telah dirogol,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara

Tuanku Mizan sertai penerbangan Sukhoi SU-30MKM



Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Abdul Rahman Abbas, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Jen. Azizan Ariffin dan Jen. Rodzali Daud (kiri) sebelum baginda menaiki pesawat Sukhoi SU-30 MKM di pangkalan TUDM, Butterworth, semalam. - BERNAMA


BUTTERWORTH 7 Feb. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini dibawa menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena lawatan Seri Paduka Baginda ke Pangkalan Udara TUDM di sini.
Ia merupakan peristiwa bersejarah kerana Tuanku Mizan merupakan ketua negara pertama yang menaiki pesawat Sukhoi yang dibawakan khas dari Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.
Pesawat yang membawa Seri Paduka itu bertolak kira-kira pukul 10.40 pagi dan mengambil masa 45 minit mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada kelajuan supersonik.
Jet itu dipandu Pegawai Memerintah 11 Skuadron, Kolonel Mohd. Asghar Khan Gauriman Khan dengan diiringi sebuah lagi pesawat pejuang TUDM jenis FA/18D Hornet.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, Seri Paduka begitu teruja dapatmerasai pengalaman bersama menerbangkan pesawat tempur itu selain menyertai Kelab Supersonic TUDM.
''Ketika sesi taklimat sebelum penerbangan juga, Seri Paduka begitu gembira untuk terbang dan menunjukkan kepada rakyat jelata keupayaan pesawat Sukhoi untuk terbang dan beroperasi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Malah, katanya, Tuanku Mizan juga menunjukkan rasa gembira apabila selamat mendarat dan bertitah mahu mencuba penerbangan lain selepas ini.
Sementara itu, Mohd. Asghar Khan berkata, beliau berbangga kerana terpilih untuk menerbangkan Seri Paduka dan bersyukur apabila penerbangan itu berjalan dengan baik.
Menurutnya, beliau membawa Seri Paduka terbang pada ketinggian 15,000 kaki dengan kelajuan maksimum ke Pulau Langkawi sebelum turun ke paras 200 kaki bagi membolehkan Seri Paduka menikmati pemandangan di sekitar pulau legenda itu.
''Saya juga membawa Seri Paduka ke Pulau Pinang dan terbang di sebelah bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jambatan Pulau Pinang'' katanya.
Terdahulu itu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di pangkalan itu disambut Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Rodzali.
Sebaik tiba, Tuanku Mizan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum diberi taklimat mengenai pesawat Sukhoi SU-30MKM oleh Rodzali.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Derita pasangan buta




SHAHANIM Mohd. Yusof (kanan) bertanya khabar Wan Azriah Wan Ahmad (tengah) dan Osman Saad di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini. - utusan/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 7 Feb. - Nasib sepasang suami isteri buta yang terpaksa hidup dalam keadaan daif dan hanya mampu berteduh di sebuah rumah sewa usang di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini sejak beberapa tahun lalu, amat menyedihkan.
Osman Saad, 52, bersama isterinya, Wan Azriah Wan Ahmad, 37, tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana pendapatan mereka tidak menentu.
Menurut Osman, wang yang diperoleh hasil mengambil upah menyanyi dan menjual tisu di pasar malam hanya cukup makan dan keperluan seharian mereka.
Bagaimanapun, dia dan isteri kini tidak lagi berupaya meneruskan 'kerjaya' tersebut ekoran masalah kesihatan yang dihadapi.
"Saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sementara isteri pula menderita penyakit kayap serta penyakit saraf. Oleh kerana pergerakan terbatas, kami tidak mampu lagi keluar rumah mencari nafkah," katanya kepada Utusan Malaysia selepas dikunjungi Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di sini baru-baru ini.
Osman yang berasal dari Tasik Melati, Perlis bertemu jodoh dengan Wan Azriah dari Pengkalan Chepa, Kelantan semasa bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia 10 dan sembilan tahun.
Bagaimanapun Osman memberitahu, akibat kesempitan hidup, dia dan isteri mengambil keputusan menyerahkan anak-anak kepada kakak Wan Azriah untuk dijaga di Kuala Lumpur.
"Selepas berhenti kerja di Pulau Pinang, kami hidup berpindah-randah termasuk menetap di Seberang Perai dan Sungai Petani sebelum menetap di Kampung Padang Buluh," katanya.
Tambah Osman, dia dan isteri kini hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
"Setiap bulan saya kena bayar sewa rumah dengan harga RM150. Sementara bakinya pula adalah untuk keperluan harian dan ubat-ubatan serta kos rawatan ke klinik," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan rumah mereka amat daif dengan bumbung yang berlubang-lubang, sebuah bilik dan tiada tandas yang sempurna serta ruang dapur yang agak sempit.
Namun Wan Azriah berkata, dia dan suami tetap bersyukur kerana turut dibantu oleh jiran-jiran termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Azmi Mohamad.
"Kadang-kadang malu juga, tapi nak buat macam mana, nasib kami sudah ditakdirkan begini," ujarnya.
Tambahnya, bagi mengurangkan bebanan bil perubatan, mereka hanya mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia yang terletak di Bandar Puteri Jaya, kira-kira 20 kilometer dari rumahnya.
"Hendak pergi hospital jauh pula jaraknya, tambahan pula kami tak mampu bayar kos pengangkutan," katanya.
Sementara itu, Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan tambahan daripada pihak lain termasuk pejabat zakat dan orang perseorangan.
"Walaupun mendapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM, pasangan ini masih memerlukan perhatian sewajarnya dengan keadaan mereka yang masing-masing buta dan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Pergerakan Puteri UMNO akan memantau keperluan Osman dan Wan Azriah secara berterusan sambil mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan kehidupan pasangan itu tidak terpinggir.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh mengunjungi pasangan itu di alamat No. 30, Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah atau menelefon Osman di talian 013-4107792.Utusan Malaysia Online - Utara