Monday, November 16, 2015

Kesihatan Anwar: Sivarasa Dakwa Kementerian Kesihatan Menipu


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 4:47 PM
R. Sivarasa.

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai tahap kesihatan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mempunyai unsur-unsur penipuan.
Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah mendakwa sejak menjalani hukuman penjara, keadaan kesihatan Anwar bertambah teruk kerana beliau dinafikan hak untuk mendapatkan fisioterapi intensif seperti yang disarankan doktor.
Katanya, Kementerian Kesihatan telah memberi gambaran tidak tepat dengan menyatakan panel doktor tidak pernah menyarankan fisioterapi intensif kepada Anwar sebaliknya menyarankan beberapa senaman diajar oleh pakar fisioterapi yang mana ia boleh diamalkan sendiri oleh Anwar dari dalam penjara.
"Kenyataan ini amat mengejutkan, tidak bertanggungjawab dan adalah sebuah pembohongan apabila menyatakan fsioterapi intensif tidak pernah disarankan oleh doktor.
"Pakar ortopedik sangat mengesyorkan rawatan fisioterapi intensif dari permulaan dan telah memberikan rawatan tersebut sepanjang beliau berada di hospital," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Beliau merujuk laporan oleh Doktor Pakar Sukan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Arshad Puji dan Pakar Bedah Ortopedik HKL Datuk Dr Fazir Mohamad, masing-masing bertarikh 10 dan 13 Julai 2015 yang menunjukkan fisioterapi insentif mendapat hasil memberangsangkan untuk Anwar.
Ahli Parlimen Subang itu berkata tidak timbul isu mengenai pilihan pembedahan yang sesuai untuk Anwar seperti yang dinyatakan kementerian kerana pakar ortopedik bebas telah mengesahkan laporan doktor HKL dengan menyatakan bahawa rawatan fisioterapi dan insentif betul akan mencegah kemerosotan otot pada tendon yang koyak dengan cepat.
"Ini telah menyebabkan beliau mengalami kesakitan yang teruk dan akan memberikan kesan jangka panjang kepada beliau.
"Penafian ini merupakan satu bentuk seksaan, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia," katanya.
Selain menggesa kementerian memperjelas dan memperbetulkan semula kenyataannya berhubung kesihatan Anwar, beliau juga menuntut Anwar dibawa ke hospital tiga hari seminggu untuk menerima rawatan.
Katanya, langkah ini pernah diberikan kepada Anwar semasa ditahan pada kali pertama pada 1998 hingga 2004.
"Tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dilakukan sekarang," katanya.

Taktik IS Ugut Pemimpin Tak Akan Berjaya - Hishammuddin


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 6:18 PM
hishammuddin

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tunduk kepada pengganas walaupun mereka menggunakan taktik mengugut beberapa pemimpin negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia dan negara-negara Asean sudah sepakat untuk membanteras habis-habisan kegiatan keganasan, justeru tindakan mengugut pemimpin tidak akan membuahkan kejayaan.

“Kalau mereka cuba ugut dan menakut-nakutkan kita, ia tidak akan berjaya kerana azam kita untuk menentang kumpulan seperti ini.

“Pengganas ini walaupun fenomena mereka berbeza dan ia baru, ia tidak ada beza dengan penentangan kita terhadap al-Qaeda dan lain-lain kumpulan pengganas sebelum ini kerana mereka merupakan risiko kepada keselamatan dan pertahanan negara…itu merupakan pegangan kita walau dalam apa juga keadaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, menerima ugutan kumpulan pengganas bukan baharu bagi dirinya tetapi beliau merasakan maklumat ini perlu didedahkan atas beberapa faktor terutama susulan insiden serangan di Paris.

Katanya, secara peribadi beliau melihat ancaman yang diterimanya sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan dirinya.

“Tetapi ia sebenarnya lebih memberikan kita semangat untuk menentang IS.

“Saya hanya boleh bercakap tentang saya. Tetapi ini adalah informasi yang bukan baharu. Saya sengaja mendedahkan perkara ini, pertama kali kerana perkembangan di Paris membimbangkan.

“Kedua saya nak suntik tindakan kesegeraan dalam konteks keselamatan negara dan ketiga untuk semua pihak jangan ambil mudah ancaman yang terpaksa kita hadapi khususnya dalam konteks IS ini,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, Malaysia tidak mustahil akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara yang pernah diserang pengganas jika kawasan tertentu khususnya di selatan Thailand dan Filipina tidak dikendalikan dengan baik.

“Perjalanan manusia tanpa sempadan, penyeludupan, bukan sahaja dadah tetapi senjata, ini merupakan sesuatu yang kalau pihak keselamatan tidak ambil kira dalam perkembangan yang kita lihat di Eropah dan Timur Tengah, jangan ingat bahawa nasib yang sama tidak boleh menimpa kita di Malaysia.

Ditanya mengapa Malaysia menjadi sasaran IS, beliau berkata ia mungkin disebabkan pendirian tegas Malaysia untuk menentang keganasan bersama negara-negara Asean lain.

“Asean semua sepakat menentang mereka. Menentang IS ialah pendirian Malaysia. Mereka buat ini mungkin mahu menakut-nakutkan kita untuk menerima perjuangan dan agenda mereka,” katanya.

Pada Ahad, Hishammuddin mendedahkan bahawa militan IS telah menyenaraikan beberapa pemimpin Malaysia dalam senarai sasaran mereka, termasuk dirinya sendiri.

Dakwaan Salah Guna Dana, Jamil Khir Bersedia Saman NOW


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 5:26 PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia memulakan prosiding mahkamah bagi membersihkan dirinya yang didakwa telah menyalahgunakan dana untuk anak-anak yatim dan golongan miskin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) yang mempunyai kaitan dengan PKR.

"Dakwaan itu adalah fitnah dan satu percubaan sengaja untuk merosakkan integriti saya sebagai seorang menteri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Ahad.
Peguamnya, Adnan Seman yang turut hadir, berkata beliau akan mengeluarkan surat tuntutan pada Isnin terhadap Pengarah NOW Akmal Nasir jika beliau tidak menarik balik dan memohon maaf di atas dakwaannya.
Jumaat lepas, Portal berita, The Malaysian Insider melaporkan dakwaan Akmal Nasir mengenai lawatan Jamil Khir dan mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan menteri itu ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pada hari yang sama, Jamil Khir menjelaskan bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika, termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis, Jamil Khir berkata beliau mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah NOW (Akmal) yang melakukan fitnah jahat dan tuduhan keji terhadapnya.

"Saya sentiasa bersedia dan terbuka untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku," katanya.

Ditanya sekiranya Akmal enggan meminta maaf, Jamil Khir berkata: Kita jumpa di mahkamah.

Dalam laporan polis itu, Jamil Khir berkata Akmal secara sengaja memfitnah dan dengan niat jahat mencadangkan kepada umum bahawa beliau seorang menteri yang korup, mencuri dan menyalahgunakan duit anak yatim dan tidak amanah.

"Ini satu serangan terhadap saya di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai menteri," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya (Adnan Sharida  and  Associates) akan mengeluarkan satu lagi surat tuntutan esok (Isnin) bagi mengarahkan Akmal menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara lisan dan bertulis.

"Kita akan beri Akmal dua hari (menarik balik kenyataan, memohon maaf). Jika gagal, kita akan memfailkan saman di mahkamah...paling lewat pada Jumaat," katanya.

Dua janin dalam mulut bayi

Colombo: Doktor di hospital Mahamodera di sini berjaya menjalankan pembedahan membuang janin kembar dari mulut seorang bayi perempuan baru lahir kelmarin.
Menurut portal berita Hiru Gossip, bayi itu dilahirkan seorang wanita pada 26 Oktober lalu.
Sewaktu pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati sesuatu yang pelik pada muka bayi berkenaan dan mengesyaki ia ketumbuhan menyebabkan wanita itu perlu menjalani Caesarean.
Sebaik bayi itu dilahirkan, doktor memberitahu mulutnya terbuka luas dan mengalami sesak nafas serta tidak boleh menyusu.
Ketika pembedahan selama 90 minit dijalankan tiga hari kemudian, ketumbuhan itu dibuang dari mulut bayi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:43 AM


JANIN yang dikeluarkan dari mulut bayi berkenaan. Gambar kanan, kanak-kanak itu sebelum dan selepas pembedahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93343#sthash.5fN59BKS.dpuf