Thursday, September 30, 2010

Rumah tidak siap 28 jadi mangsa




ALOR SETAR- Angan-angan 28 pembeli untuk menduduki rumah baru di Taman Seri Derga Fasa Tiga sejak setahun lalu musnah apabila menjadi mangsa rumah terbengkalai akibat ditipu oleh syarikat pemaju yang tidak menyiapkan rumah tersebut. 

Pembeli, Khairul Mohd Salleh, 32, berkata, rumah yang dijual dengan harga lingkungan RM135,000 hingga RM148,000 itu dibelinya pada tahun 2008 dan ia dijangka siap pada September 2009. 

Menurutnya, pemaju yang sering menangguhkan janji mereka terhadap pembeli itu sering memberikan pelbagai alasan termasuk duit tidak mencukupi dan keadaan cuaca tidak menentu faktor rumah tidak dapat disiapkan. 

“Pemaju hanya menyiapkan 45 peratus sahaja pembinaan rumah dan apabila ditanya bilakah rumah ini bakal siap, mereka memberi pelbagai helah. 

“Akibat pembinaan yang tertangguh ini, kawasan perumahan dijadikan sebagai sarang penagih dadah dan paip serta kabel elektrik yang dipasang telah dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Khairul berkata, aduan kepada Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) akan dikemukakan terhadap pemaju yang tidak mematuhi perjanjian yang telah ditetapkan bagi mendapat hak pembeli sebagai pengguna. 

Bagi seorang kakitangan kerajaan, Sauadah Shafie, 49, berkata, akibat sikap tidak menepati janji oleh pemaju dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM25,000 bagi urusan pembelian. 

Menurutnya, dia juga pernah pergi ke pejabat pemaju yang terletak di Komplek Alor Setar namun telah ditutup hampir dua bulan. 

“Pemaju bukan sahaja gagal menyiapkan rumah malahan jalan masuk ke kawasan taman juga tidak dibuat sedangkan mereka janji akan menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa. 

“Aduan kepada Jabatan Perumahan Negara juga telah dibuat sebanyak tiga kali terhadap pemaju yang kini gagal untuk dihubungi,” katanya. 

Lebih menyedihkan apabila ada kalangan rumah pembeli yang langsung tidak dibina dan masih dalam keadaan dipenuhi semak. 

Amran Ayob, 32, berkata, dia terkejut apabila melihat tapak rumah yang dijanjikan oleh pemaju itu masih lagi dikelilingi dengan lalang dan rumput. 

“Pemaju juga ada menawarkan rumah di bahagian hadapan apabila saya bertanyakan mengenai status rumah yang belum dibina namun saya menolak tawaran yang mereka berikan. 

“Jadi, saya akan berbincang mengenai perkara ini lebih lanjut bersama keluarga dan sekiranya perlu saya bercadang untuk membatalkan perjanjian pembelian rumah di sini,” katanya. 

Sementara itu, cubaan Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada syarikat pemaju tidak berjaya apabila mereka gagal dihubungi.

Dua Ahli Parlimen bebas Australia tunjuk taring





2010/09/30

CANBERRA: Dua Ahli Parlimen bebas penyokong kerajaan di Australia semalam membuat kejutan apabila mengundi memihak kepada pembangkang, menyebabkan kerajaan minoriti Perdana Menteri, Julia Gillard tewas dalam satu undian yang diadakan di Parlimen. 

Kerajaan parti Buruh pimpinan Gillard memerlukan sokongan daripada ketiga-tiga Ahli Parlimen bebas dan seorang Ahli Parlimen daripada Parti Green bagi membolehkannya memperoleh majoriti tipis di Dewan Perwakilan, berikutan pilihan raya umum 21 Ogos lalu.
Dalam menunjukkan autonomi politik mereka, kedua-dua wakil bebas itu yang memihak kepada Gillard sebelum ini bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan, memihak pula dengan pihak konservatif semalam ketika undian dalam usul bagi meminda peraturan tatacara yang tidak jelas dibentangkan, menyebabkan parti Buruh tewas.
Ini kali pertama sejak 1941 apabila kerajaan ditewaskan ketika sidang di Dewan Perwakilan, kata pemimpin pembangkang, Tony Abbott. Parlimen kini bukan lagi tempat di mana wakilnya mengikut telunjuk pihak kerajaan. 

Dalam undian itu, parti Buruh memperoleh 72 sokongan berbanding 73, selepas wakil bebas, Rob Oakeshott dan Tony Windsor memihak kepada pembangkang, sekali gus menunjukkan pegangan kuasa Gillard tidak kuat dan beliau dijangka akan menghadapi kesukaran bagi melakukan pindaan lain yang lebih besar termasuk rang undang-undang bagi mengawal pengeluaran karbon dan cadangan mengenakan cukai berdasarkan keuntungan di kalangan pelombong. 

Abbott, yang berjanji akan cuba menumbangkan kerajaan Gillard di Parlimen, berkata undian tatacara itu membuktikan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa penuh. 

Keputusan pilihan raya itu menyebabkan kerajaan tidak lagi menguasai sidang di Parlimen, kata Abbott. Reuters

Ibu bohong: Wanita nafi bersuami dua

SHAH ALAM: “Saya tidak pernah bersuami dua seperti didakwa ibu, malah perkahwinan bersama suami baru dilakukan mengikut proses undang-undang sah dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” kata Shazlinda Che Ali, 35, menafikan dakwaan ibunya, Muliani Mahmud, 54.
Menurutnya, dia yang bernikah dengan suami baru di Masjid Kampung Pandan, Kuala lumpur Februari lalu sehingga kini masih sah suami isteri dan tidak pernah bercerai seperti didakwa ibunya.
Katanya, ibunya membuat pelbagai dakwaan kerana keengganannya menyerahkan semula anak perempuannya berusia lima tahun yang sebelum ini dipelihara Muliani.

“Perkahwinan dengan suami terdahulu dilakukan di Thailand kerana saya adalah isteri kedua, bagaimanapun selepas tiga tahun saya memohon fasakh apabila suami menghilangkan diri dan gagal memberi sebarang nafkah. Malah surat pengesahan fasakh saya juga sehingga kini disimpan ibu.

“Saya hairan mengapa ibu sanggup memalukan saya dengan dakwaan dan fitnah seperti itu, malah ibu sendiri hadir sewaktu pernikahan saya bersama suami baru,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Muliani keliru dengan tindakan Shazlinda yang didakwanya berkahwin lain dengan seorang kakitangan kerajaan di sini, walaupun masih belum bercerai dengan suami pertama dikenali sebagai Hassim, 48.

Muliani berkata, keliru dan bingung dengan tindakan anaknya, menyebabkan dia enggan menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Malah, dia turut mendakwa perkahwinan Shazlinda hanya bertahan selama tiga bulan sebelum diceraikan dengan talak tiga, bagaimanapun anaknya itu masih tinggal bersama bekas suami yang dikatakan sering mendera cucunya.

Shazlinda berkata, itu bukan dakwaan tidak berasas pertama dibuat ke atasnya, malah sebelum ini, ibunya membuat aduan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan dia dan suami terbabit dengan dadah. Malah, gagal dengan taktik itu, ibunya sekali lagi membuat aduan di Talian Nur kononnya anaknya didera.

“Semua itu adalah fitnah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang ke rumah untuk memeriksa dan mendapati anak saya dalam keadaan baik, ujian saringan air kencing juga kami negatif. Ibu melakukan semua ini semata-mata mahu memastikan dia mendapat kembali anak saya.

“Cukuplah dua anak saya hasil perkahwinan sebelum ini dipelihara ibu. Berilah saya peluang memelihara anak bongsu saya ini kerana sebagai ibu saya mempunyai naluri dan keinginan mendidik sendiri anak yang dilahirkan,” katanya.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka ibunya sanggup membuat dakwaan menjatuhkan maruah mereka suami isteri walaupun sebelum ini Muliani pernah mengugut melalui SMS supaya dia mengembalikan semula anaknya, sekiranya gagal ibunya akan memujuk bekas suami menyatakan perceraian mereka tidak sah.

'Kami mahu keadilan'

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang kematian anak berusia sembilan bulan pada 20 September lalu, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Presint 18, di sini, mahu pengusaha pusat yang tidak berdaftar itu dikenakan tindakan tanpa mengira ‘bulu’ walaupun dia anak seorang kenamaan bergelar ‘Datuk’.


SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.
SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.

Pasangan terbabit, Shahrul Nizam Reihan, 36, dan isterinya, Mazliana Nordin, 27, masih trauma apabila ‘kehilangan’ anak kesayangan Noramirah sembilan bulan, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaaan pusat asuhan terbabit.

Bukan itu saja, pasangan terbabit kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan tegas terhadap pengusaha pusat berkenaan walaupun insiden sama membabitkan bayi tersedak susu pernah berlaku pada Julai tahun lalu.

“Saya hairan mengapa tidak ada sebarang tindakan dilakukan walaupun kejadian sama pernah berlaku di pusat itu tahun lalu.

“Saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan dengan pengusaha terbabit sebagai anak kepada seorang kenamaan menyebabkanya ‘kebal’ sehingga tidak ada sesiapa berani tampil bertindak terhadapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, semalam.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah mendapatkan maklumat berkaitan insiden berkenaan daripada Mazliana, pagi semalam.
Shahrul berkata, dia bukan mahu menimbulkan sebarang masalah, tetapi mahu keadilan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang membabitkan ibu bapa yang masih menghantar anak mereka di pusat asuhan berkenaan.

“Saya difahamkan, pusat asuhan itu hanya mempunyai tiga pengasuh bagi melayani kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga empat tahun,” katanya yang membayar RM600 bagi dua anaknya yang dihantar ke pusat itu sebelum ini.
Malah, katanya dia juga mengakui sebelum kejadian itu, pengasuh hanya membenarkan ibu bapa menghantar anak di depan pintu masuk saja dengan alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi ibu bapa.

Shahrul berkata, dia masih berbincang dengan keluarga bagi mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya menghantar anak saya ke pusat asuhan ini kerana diberitahu ia adalah antara pusat asuhan terbaik di Putrajaya tanpa menyedari ia pusat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Tanpa berselindung, Shahrul berkata, dia berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pengusaha pusat berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke pusat tidak berdaftar itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan terhadap pengusaha pusat asuhan yang degil bagi mendaftarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, isu pusat asuhan tidak berdaftar memang pernah menjadi perbincangan ‘hangat’ satu ketika dulu, tetapi ia masih sukar untuk ditangani, walaupun membabitkan kematian bayi atau kanak-kanak yang dihantar di pusat berkenaan.

“Jangan biarkan pusat ini beroperasi tanpa kawalan pihak berkuasa kerana ia boleh membahayakan penghuni yang kebanyakan kanak-kanak yang dijaga di pusat berkenaan.

“Undang-undang sedia ada yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6, Akta Pusat Asuhan Kanak-kanak 1984 perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu,” katanya, semalam.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu memastikan pengusaha dan pengasuh di pusat asuhan memiliki kelayakan sepatutnya sebelum dibenarkan membuka pusat asuhan itu bagi mengelak ada nyawa yang melayang berikutan kecuaian mereka.

Katanya, ibu bapa juga perlu menyiasat pusat asuhan itu sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelak mereka menyerah ‘nyawa’ anak mereka untuk dijaga oleh pengasuh yang sifar asas penjagaan kanak-kanak.

Hakim Syarie menghadap bekas Sultan Kelantan



Oleh Paya Linda Yahya

2010/09/30

KOTA BHARU: Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Kelantan, Abdullah Man, dijangka menghadap bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, 30 Oktober ini bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan baginda melafazkan talak terhadap isteri kedua, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31. 

Sumber memberitahu, pertemuan itu juga adalah untuk mendapatkan pengesahan berhubung surat titah didakwa dikeluarkan baginda supaya perceraian itu didaftarkan seperti dikemukakan Datin Nik Rorhana Abdul Rahman, 60.
Berdasarkan maklumat diperoleh, sudah ditetapkan pada 30 Oktober ini, hakim akan bertemu dengan ayahanda Sultan Kelantan sekarang bagi mendapatkan pengesahan cerai terhadap Cik Puan Elia Suhana.
Saya tidak pasti pada jam berapa pertemuan itu akan diadakan dan difahamkan hanya hakim akan bertemu dengan Tuanku Ismail Petra, katanya ketika dihubungi semalam. 

Dalam prosiding sebelum ini, Abdullah memutuskan beliau sendiri akan bertemu dengan bekas Sultan Kelantan, bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan baginda melafazkan talak terhadap isteri kedua serta surat titah yang didakwa dikeluarkan baginda supaya perceraian itu didaftarkan. 

Abdullah dilaporkan berkata demikian selepas prosiding pengesahan cerai talak tiga didakwa dilafazkan Tuanku Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda awal Ogos lalu. 

Dalam kes berkenaan, Elia Suhana sebagai defendan diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Nik Rorhana oleh peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar. 
Mengulas lanjut, sumber berkata, segala urusan mengenai pertemuan antara hakim dengan bekas Sultan Kelantan akan diuruskan oleh mahkamah sendiri.

Bekas ADUN meninggal dunia





2010/09/30

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu yang pernah menjadi Menteri Muda Pertanian dan Industri Makanan Sarawak, Datuk Ramsay Noel Jitam, 78, meninggal dunia malam semalam, selepas menderita penyakit kanser paru-paru. 

Beliau menyertai politik selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 1983, meninggalkan isteri, Datin Ann Kathleen Jitam, tiga anak, Jeffrey Foster, Malcolm Orlando, Elizabeth Indra, dan empat cucu.
Karier politik Ramsay bermula selepas dipelawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 1983 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lundu yang kemudian dikenali sebagai DUN Tanjung Datu selama empat penggal.
Ramsay yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Komandan Pasukan Polis Hutan (PPH) Sarawak kemudian menarik diri dari mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu pada 2001 sebelum mengumumkan bersara dari politik. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata rakyat negeri ini kehilangan seorang lagi individu yang banyak berjasa dan berjuang bagi memastikan keamanan serta keharmonian Sarawak. 

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari, menyifatkan jasa mendiang paling besar adalah membantu penubuhan PPH kerana beliau berpengalaman luas dalam selok belok hutan kerana pernah berkhidmat sebagai Pasukan Pengawal Sempadan Sarawak.

Sumbangan RM100 bukan wang haram: Boon Poh



GEORGETOWN - Jangan khuatir dengan wang RM100 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada warga emas, khususnya yang beragama Islam. 

Exco Alam Sekitar, Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata RM100 bukan ‘wang haram’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. 

“Ia adalah ‘hadiah’ Kerajaan Negeri kepada sumbangan dan pengorbanan warga emas di Pulau Pinang selama ini. Saya kesal dengan dakwaan UMNO yang memfitnah Kerajaan Negeri dengan taktik ‘politik murahan’,” katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai sebarang masalah kewangan. 

“Peruntukan RM20 juta disediakan untuk program ini. Kita masih mempunyai baki yang mencukupi untuk membuat pembayaran peringkat seterusnya. 

“Oleh itu, saya minta UMNO jangan cuba kelirukan rakyat dengan tuduhan yang tidak benar. Ini hanya menggambarkan sikap mereka yang berkepentingan dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri,” katanya. 

Boon Poh juga berkata Kerajaan Negeri menyasarkan 10,000 lagi warga emas berusia 60 tahun ke atas berdaftar dengan Kerajaan Negeri sebelum Khamis ini (30 September) untuk fasa kedua ‘Program Warga Emas’. 

“Penyaluran wang ehsan RM100 adalah hadiah simbolik Kerajaan Negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan’,” katanya.

Lee Kuan Yew masuk hospital kena jangkitan paru-paru





2010/09/30

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (atas), dimasukkan ke hospital lewat semalam bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan paru-paru, lapor media tempatan. 

Stesen Channel NewsAsia berkata, negarawan berusia 87 tahun itu sepatutnya hadir pada upacara memperingati Balaji Sadasivan, seorang menteri kanan kerajaan, yang meninggal dunia Isnin lalu, tetapi sebaliknya beliau dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Menteri Mentor Lee Kuan Yew bercadang untuk menghadiri upacara bagi memperingati Dr Balaji petang ini, tetapi doktor di SGH mahukan beliau masuk wad untuk menjalani rawatan bagi jangkitan paru-paru, kata satu kenyataan ringkas setiausaha akhbarnya, Yeong Yoon Ying, yang disiarkan dalam laman web stesen penyiar berkenaan.
Lee adalah perdana menteri pertama Singapura dan dikenali kerana berjaya mengubah negeri kota berkenaan daripada sebuah pelabuhan dunia ketiga kepada salah sebuah negara terkaya di Asia dalam tempoh 30 tahun. 

Beliau meletakkan jawatan pada 1990 tetapi terus memainkan peranan sebagai penasihat berpengaruh dalam kerajaan. 

Beliau memegang jawatan Menteri Mentor dalam Kabinet anak lelakinya, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong. 

Lee menyampaikan ucapan pada forum perniagaan Russia-Singapura kelmarin. Akhbar Straits Times Singapura berkata Lee mendapat rawatan fisioterapi awal kelmarin di sebuah hospital selepas terjatuh Isnin lalu. 
Pada September tahun lalu, Lee menjalani rawatan denyutan jantung tidak normal dengan jayanya. 

Dalam temu ramah dengan New York Times awal bulan ini, Lee Kuan Yew berkata beliau mulai merasai kesan peningkatan umur tetapi boleh menerimanya. AFP/AP

40 pulangkan wang didakwa hasil judi


Oleh Amin Ridzuan Ishak

2010/09/30

SEBAHAGIAN  daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan   kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada  satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN  Penaga,  Kepala Batas,  semalam.
SEBAHAGIAN daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN Penaga, Kepala Batas, semalam.
KEPALA BATAS: Akibat marah, kecewa dan rasa tertipu, seramai 40 warga emas dan golongan miskin tegar di negeri ini, mengembalikan wang RM100 yang mereka terima daripada kerajaan negeri baru-baru ini, yang dikatakan diperoleh daripada sumber judi.

Penduduk dari Parlimen Kepala Batas itu memulangkan wang berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, dalam satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN berkenaan di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mereka kesal terhadap tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang menggunakan sebahagian daripada dana diterima daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda untuk diagihkan kepada rakyat.
Seorang penduduk dari Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Rosnani Rashid, terkilan kerana suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia pada 6 April lalu, iaitu seminggu selepas menerima RM100 menerusi program penghargaan warga emas sudah menggunakan wang itu.

Kalau kami tahu duit itu daripada sumber tidak elok seperti perjudian, sudah tentu duit itu tidak akan digunakan, katanya yang menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri ini.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri mengenai penerimaan sumbangan itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M Yaacob bertarikh 9 Julai 2010. 
Kerajaan negeri sebelum ini pernah menafikan pihaknya menggunakan wang daripada sumber judi untuk melaksanakan programnya, tetapi selepas pendedahan oleh Reezal Merican, Guan Eng mengakui bahawa kerajaan negeri ada menggunakan sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda untuk menjalankan program membas-mi miskin tegar.

Seorang lagi penduduk, Harun Ali, 63, berkata dia memulangkan semula wang RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri kerana tidak sanggup menggunakan wang itu selepas timbul isu bahawa wang berkenaan adalah daripada sumber meragukan. 

"Kalau makan duit ini, ia akan menjadi darah daging saya. Saya tidak mahu menjadi seperti itu dan kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak memahami sensitiviti serta hukum orang Islam," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan wang berkenaan bagi diserahkan kepada kerajaan negeri selepas menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk berbuat demikian kerana tidak mahu menggunakan wang daripada hasil judi.

Selepas ini program mengumpul duit sumbangan kerajaan negeri akan diadakan di seluruh negeri sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, katanya yang juga Setiausaha UMNO Pulau Pinang.

Dah lama merdeka tapi masih ada lagi yang minum air paya


'Keluarga penoreh minum air campur berudu'


2010/09/30

JEMPOL: Seramai 50 keluarga yang kebanyakannya penoreh getah di Ladang Sebaling terpaksa menerima hakikat kemungkinan terminum dan termakan telur katak atau berudu. 

Ini disebabkan mereka dibekalkan dengan air dari satu kawasan paya yang terletak di pinggir hutan tidak jauh dari kawasan penempatan ladang itu, yang pemprosesan airnya dilakukan pekerja Indonesia yang bertugas menjaga alat pam dan rumah rawatan air yang sudah usang.
M Kalimmah, 52, berkata mereka dibekalkan air percuma tetapi kualitinya tidak dijamin bersih.
Ia kotor dan kadang kala berwarna coklat dan jika musim hujan, ia berlumpur dan pernah keluar anak berudu dari paip rumah saya, katanya kepada BERNAMA. 

Beliau yang berpendapatan RM600, kurang senang dengan bekalan air di situ walaupun rumah yang disediakan kepada mereka oleh pihak ladang agak selesa. 

Rakannya, K Sivakolunthu, 62, sanggup menunggang motosikal setiap hari ke Ladang Geddes berhampiran bagi mendapatkan bekalan air lebih bersih. 

Setiap hari, saya bawa balik air paip dari Ladang Geddes dalam tiga bekas botol besar kerana saya tidak boleh minum air di rumah ini yang berbau dan ada banyak mendapan, katanya. 
Beliau sudah lapan tahun tidak menggunakan air di rumahnya untuk minum tetapi isterinya terpaksa menggunakan air itu untuk memasak, mandi dan mencuci. 

Tinjauan BERNAMA di kawasan paya yang dijadikan bekalan air untuk penduduk ladang itu mendapati, semua proses rawatan air dibuat menggunakan tenaga manusia dengan setiap hari pekerja akan memasukkan klorin. 

Difahamkan, ladang itu diambil alih pengurusan baru dan mereka berjanji membekalkan air lebih bersih kepada penduduk tetapi projek itu belum dilaksanakan.