Showing posts with label ponteng. Show all posts
Showing posts with label ponteng. Show all posts

Tuesday, August 16, 2011

JAWI : Sah tiada operasi bersepadu sehingga kini



Tinjauan umat Islam ponteng puasa dan makan di khalayak ramai
di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ketiadaan operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak berkuasa dilihat antara penyebab golongan ‘kaki ponteng puasa’ semakin berani mendedahkan identiti mereka di khalayak umum.
Bagi golongan ini, pandangan orang ramai terhadap mereka bukanlah satu masalah selagi tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi mengesahkan buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk melakukan operasi besar-besaran membanteras kegiatan ponteng puasa.
“Kita hanya menggerakkan tugas-tugas dan aktiviti pemantauan biasa di beberapa kawasan. Tiada operasi dilakukan buat masa ini kerana belum ada arahan dikeluarkan,” katanya yang enggan disebutkan namanya.
Berdasarkan undang-undang syariah negara, mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
Undang-undang tersebut menetapkan, mana-mana individu yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Menurut seorang pegawai kanan Jawi dalam satu temuramah di radio, pihak Jawi tidak mengadakan operasi besar-besaran kerana ingin menjaga maruah mereka yang tidak berpuasa itu dari ditangkap dan dimalukan apabila gambar mereka tersiar di media massa.
“Anda tentu malu jika yang tertangkap itu ialah bapa atau saudara anda sendiri yang wajahnya disiarkan di media kerana tidak berpuasa,” kata pegawai tersebut.-utusan

GERAI PERTAMA: BELAKANG ISTANA BUDAYA



Masih terdapat beberapa golongan kaki ponteng yang tidak malu makan secara terbuka
 di salah sebuah gerai di Istana Budaya, baru-baru ini.

SUDAHLAH tidak menunaikan solat Jumaat, berani pula makan di khalayak ramai.
Tambah mengejutkan, bukan seorang dua yang dilihat asyik menikmati makanan dan minuman masing-masing, malah hampir 15 orang Islam kelihatan berada di gerai milik pengusaha Melayu itu pada satu-satu masa.
Ibarat sarang tempat mereka yang tidak berpuasa, gerai terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Tun Razak itu juga tidak henti-henti dikunjungi pelanggan yang majoritinya keturunan Melayu termasuk pekerja pejabat.
Bahkan, siasatan selama setengah jam itu turut mendapati, konsep ‘makan sini’ begitu popular serta menjadi pilihan kebanyakan kaki ponteng puasa terbabit dan hanya segelintir yang dilihat membeli secara bungkus.
GERAI DUA: BERHAMPIRAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
MEMILIH gerai mamak yang sentiasa penuh dengan pelanggan daripada pelbagai kaum, merupakan helah terbaru golongan kaki ponteng puasa dalam mengelirukan serta mengalihkan pandangan orang ramai.
Buktinya, tinjauan pada pukul 1 petang di salah sebuah gerai di Jalan Choo Cheng Kay mendapati, seorang pemuda Melayu bukan sahaja berani makan secara terbuka bahkan memilih untuk duduk di meja menghadap ke arah jalan raya.
Walaupun sedar gelagatnya diperhatikan wartawan, namun tanpa segan-silu pemuda itu terus menyuap makanan dan dalam tempoh kurang lima minit ia sudah dihabiskan.
GERAI TIGA: KAMPUNG PANDAN
LAGAK dua orang pemuda ini langsung tidak menunjukkan mereka sebenarnya Islam apabila tergamak minum di depan khalayak ramai.
Bukan sahaja minum, sambil duduk melepak mereka turut menghisap rokok tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
Apa yang menghairankan, selain dua pemuda terbabit, turut kelihatan seorang pelanggan wanita bertudung berada di kedai terbabit.
Melihat gelagat golongan kaki ponteng yang seperti sudah biasa itu, tidak keterlaluan dikatakan mungkin gerai tersebut merupakan lubuk ponteng puasa yang sering menjadi kunjungan mereka.
RESTORAN PERTAMA: DESA PANDAN
KETIKA gerai-gerai dan restoran lain menutup operasi pada waktu pagi, sebuah restoran mamak di Desa Pandan tegar meneruskan kegiatan bersubahat dengan golongan ponteng puasa.
Lokasinya yang berhampiran dengan jalan besar, memudahkan golongan ponteng puasa untuk berhenti dan singgah membeli juadah berbuka.
Menurut salah seorang penduduk di kawasan berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 20, kegiatan membeli makanan oleh golongan kaki ponteng puasa sememangnya sering dilihat di restoran 24 jam itu.
“Kebanyakan pelanggan yang dilihat membeli makanan di restoran itu terdiri daripada lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan ke atas.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi, lokasi restoran terletak berhampiran kawasan perumahan. Ia memberikan contoh yang tidak baik buat golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.
RESTORAN DUA: CHERAS
DAHULU gaya memakai topi keledar mahupun cermin mata hitam sinonim sebagai ‘fesyen rasmi’ golongan kaki ponteng puasa bagi membeli makanan bungkus di gerai mahupun restoran.
Tujuannya, adalah untuk melindungi muka mereka daripada dikenali orang ramai termasuklah pengusaha gerai dan restoran terbabit.
Namun, seiring dengan perubahan zaman, lain pula fesyen yang dilihat wartawan menerusi siasatan dijalankan di salah sebuah restoran di Cheras baru-baru ini.
Apa tidaknya, mereka semakin berani mempamerkan wajah masing-masing. Ibaratnya, mereka sudah tidak kisah jika seluruh masyarakat tahu tentang perangai ponteng puasa itu.-utusan

Kaki ponteng puasa semakin berani


Makan secara terbuka di sebuah gerai yang menjadi lubuk ponteng puasa
 di sekitar kawasan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.



KETIKA umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, lain pula halnya dengan golongan kaki ponteng puasa yang tidak segan-silu melakukan dosa.
Keberanian si kaki ponteng puasa semakin terserlah, seolah-olah tidak gentar langsung dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara berdasarkan Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan jika disabitkan bersalah.
Malah, semakin ramai di kalangan mereka tergamak ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari yang lazat di khalayak umum.
Hinggakan ada di antara mereka memilih untuk berbuka secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai mahupun restoran-restoran.
Yang menimbulkan tanda tanya ialah operasi penguatkuasaan seolah-olah gagal berperanan untuk membendung gejala yang memalukan umat Islam tersebut.
Ikuti pendedahan oleh wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ROSALINDA MD. SAID dan NORAZRIN MARZUKI serta jurugambar, ZAINI HUSIN, RIDUAN RIZAL dan SAFIYANA SALIM mengenai trend terbaru kaki ponteng puasa melepaskan lapar dan dahaga di gerai-gerai dan restoran sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tanpa sekelumit rasa berdosa atau malu, golongan kaki ponteng puasa kini semakin berani ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari di depan khalayak umum.
Mereka tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk itu secara ‘sorok-sorok’, sebaliknya, memilih untuk ‘berbuka’ secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai-gerai atau restoran.
Hal ini jauh berbeza dengan siasatan yang pernah dijalankan Unit Khas Utusan Malaysia pada tahun lepas apabila taktik penyediaan ‘tempat makan khas’ di bahagian belakang atau dapur, telah tidak lagi menjadi kegemaran si kaki ponteng puasa.
Demi nafsu, golongan kaki ponteng puasa seolah-olah tidak lagi kisah dan merelakan wajah serta aksi ‘makan’ mereka ditonton orang ramai.
Malah, ada yang sanggup duduk dan makan secara terbuka walaupun hakikatnya ruang disediakan tersebut dipenuhi oleh orang bukan Islam yang sedang makan tengah hari.
Strategi mereka yang makan, sama ada secara berseorangan ataupun berdua bagi mempercepatkan urusan ‘berbuka’, mungkin sukar dikesan oleh pihak penguat kuasa.
Trend terbaru ini adalah hasil tinjauan oleh Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa gerai dan restoran makanan di sekitar ibu kota sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.
Apa yang menarik, golongan ini gemar memilih lokasi gerai atau restoran yang terletak betul-betul di tepi atau bahu jalan.
Pilihan itu mungkin untuk memudahkan mereka memerhati atau melihat sesiapa sahaja yang lalu-lalang, khususnya anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, sikap makan secara terbuka tersebut dilihat sering dilakukan oleh golongan lelaki muda manakala mereka yang telah berusia pula memilih membeli makanan secara bungkus.
Bagi yang membeli secara bungkus, tiada lagi istilah malu untuk menutup muka dengan topi keledar ataupun berkaca mata hitam.
Apa dikesalkan ialah sepanjang siasatan dilakukan, tiada sebarang operasi penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Malah sumber dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi turut mengesahkan mereka hanya melakukan pemantauan biasa dalam tempoh tersebut.
Gambar-gambar yang disiarkan ini adalah hasil tinjauan di gerai-gerai serta restoran mamak yang beroperasi seperti biasa di sekitar ibu negara.-utusan