Wednesday, March 18, 2015

Sultan Johor: Elaun RM27,000 tak memadai


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail berkata, baginda tidak boleh bergantung dengan elaun sebanyak RM27,000 semata-mata dan perlu menyertai bidang perniagaan.

"Biar saya berterus terang, kita (amalkan) raja berperlembagaan. Saya perlu menyara hidup, sama seperti orang lain.

"Saya tidak boleh bergantung kepada elaun RM27,000 sebulan sahaja. Saya mesti menyara hidup, seperti rakyat Malaysia biasa,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar The Star.

Sultan Ibrahim berkata, penglibatan keluarga diraja Johor bukan perkara baru kerana ini menjadi amalan sejak zaman moyangnya.

"Saya tidak pernah cuba menyembunyikan urusan perniagaan saya dengan menggunakan proksi, seperti dilakukan sesetengah orang. Saya terbuka dan telus,” katanya.

Katanya, penglibatan kerabat diraja dalam perniagaan yang halal merupakan perkembangan yang sihat.

Tambahnya, penglibatan dalam urusan yang diragui akan mencemarkan nama institusi beraja.

"Saya pasti rakyat Johor tidak mahu melihat saya sebagai seseorang yang menjual darjah kebesaran untuk menyara hidup,” katanya.

Mengulas mengenai projek hartanah besar di Johor yang melibatkan pelabur China, beliau menafikan bahawa ia akan menyebabkan berlaku kebanjiran dalam pasaran hartanah.

Katanya, selain warga tempatan, hartanah berkenaan juga akan dibeli oleh warga Singapura.

"Apabila rangkaiannya siap, ia akan menjadi satu kebiasaaan bagi orang Singapura untuk tinggal di Johor dan bekerja di Singapura,” katanya.

Sultan Ibrahim berkata, perkara ini dapat dilihat di Shenzen yang menjadi kediaman bagi golongan yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Hong Kong.

Beliau turut mempertahankan projek tambakan mega Forest City. Menurutnya, pelabur China akan memberi keuntungan kepada negeri.

Usaha penambakan tanah laut itu juga merupakan keputusan strategik, katanya.

"Sekiranya Johor tidak menjalankan penambakan, Singapura akan buat dan perkara ini sudahpun berjalan,” katanya.

Hudud bukan untuk menghukum


DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
18 Mac 2015


HARI ini merupakan hari bersejarah buat seluruh negara dan negeri Kelantan secara khususnya. Ini kerana hari ini Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) atau lebih mudah difahami iaitu  Rang Undang-Undang berkaitan Hukuman Hudud akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Saya percaya Rang Undang-Undang berkaitan Hudud ini (selepas ini akan disebut RUU Hudud dalam artikel ini) tentu sekali akan disokong penuh oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri tidak kira daripada Pas mahupun Umno.

Ini kerana sebagai orang Islam kita wajib beriktikad dari segi akidah bahawa hukum hudud merupakan hukum ALLAH yang disyariatkan. Namun ini tidak bererti RUU Hudud ini sunyi daripada kelemahan.

Malah semenjak pertama kali dibentang dan diluluskan pada tahun 1993, banyak sekali kelemahan RUU Hudud tersebut yang dikritik oleh para cendekiawan, ulama, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun, kritikan-kritikan yang dilontarkan tidaklah bermakna mereka ini menolak hukum hudud sebagai hukum ALLAH. Ini kerana terlalu banyak kelemahan dalam RUU Hudud 1993 yang jika dilaksanakan tentu sekali akan menyerlahkan kelemahan dan ketidakadilan Islam.

Sedangkan hukum hudud jika difahami falsafah dan matlamatnya tidaklah bertujuan menghukum semata-mata. Ia merupakan satu bentuk undang-undang pencegahan hingga mencetuskan kegerunan dalam diri setiap penjenayah yang ingin melakukan kesalahan-kesalahan khusus yang terkandung dalam hudud terutamanya zina, menuduh zina (qazaf), mencuri, merompak, minum arak, murtad dan bughah.

Malah jika diperhalusi dan dihayati mengenai hukuman hudud ini seolah-olah ALLAH tidak menginginkan hukuman itu dilaksanakan lantaran prosedur dan kaedah penjatuhan hukum yang teramat ketat.

Sebagai contoh, jenayah zina hanya boleh dihukum jika empat orang saksi yang adil dan tidak fasik (orang melakukan maksiat dan dosa) benar-benar menyaksikan perbuatan zina sehinggakan disebut dalam kitab-kitab fekah perumpamaannya seperti perbuatan pedang dimasukkan ke dalam sarungnya.

Jika difikirkan secara logik akal, adalah amat mustahil untuk kita mendapatkan empat saksi yang tidak berkecenderungan buat dosa dan maksiat dapat menyaksikan perbuatan zina sebagaimana syarat ketat yang digariskan.

Sebab itulah terlalu banyak kelemahan yang dibangkitkan terhadap RUU Hudud 1993 hingga mengundang pelbagai fitnah dan persepsi hingga mencalarkan imej hudud sebagai hukuman yang indah lagi adil.

Mujurlah akhirnya kerajaan Pas akur jua dengan kelemahan-kelemahan ini hingga melakukan banyak pindaan dan penambahbaikan terhadap RUU Hudud yang akan dibentangkan hari ini.

Antara yang akan dibentangkan hari ini, turut memasukkan 20 syarat tambahan yang perlu dipatuhi sebelum hukuman mencuri boleh dijatuhkan. Begitu juga dalam konteks tempoh masa proses memujuk dan memberi masa lama untuk mereka yang murtad bertaubat dan kembali semula kepada Islam berbanding 3 hari yang digariskan dalam RUU sebelum ini. Dalam RUU ini juga dimasukkan dengan lebih jelas peruntukan mengenai liwat dan kes-kes yang bersangkutan dengan rogol.

Banyak lagi jika hendak disebutkan secara satu persatu dalam kolum penulis yang terbatas ini. Cuma beberapa persoalan turut bermain di pemikiran penulis. Mengapakah kerajaan Pas Kelantan tampak begitu tergesa-gesa untuk membentangkan RUU Hudud dalam sidang Dewan pada kali ini.

Sedangkan secara tertibnya penulis pasti kerajaan Pas amat arif bahawa lebih molek jika dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk dipinda beberapa perkara termasuk Perkara 76A yang memperuntukkan kuasa Parlimen bagi memperluas kuasa perundangan negeri.

Kuasa perundangan negeri khususnya kuasa mahkamah syariah negeri-negeri ketika ini hanya terhad kepada hukuman jenayah syariah seperti zina, qazaf, minum arak dan murtad yang tidak boleh melebihi denda RM5,000 atau penjara 3 tahun atau 6 kali sebatan.

Justeru jika hudud ingin dilaksanakan secara sempurna sudah tentulah pindaan perlu dibuat bagi meluaskan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman kepada satu tahap yang ditetapkan oleh syarak seperti 80 atau 100 kali sebatan.

Begitu juga lebih manis dan tertib jika dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Harapan penulis agar hudud ini tidak lagi menjadi bahan komoditi perpolitikan yang hanya akan merosakkan imej Islam. Moga-moga rakan-rakan Pas dalam Pakatan terutamanya DAP dan PKR akan turut merestui niat baik Pas untuk melaksanakan amanah agama.


* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Polis Buka Semula Siasatan Kes Kematian Teoh Beng Hock


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 8:07 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Polis akan membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia akan dibuka semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara dan siasatan menyeluruh juga masih dijalankan.
"Justeru, tidak timbul isu pihak berkuasa, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam kes ini tidak mengambil sebarang tindakan atau ingkar arahan Mahkamah Rayuan.
"Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mendiang Beng Hock, PDRM memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 
Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya dari semasa ke semasa akan turut memaklumkan kepada pendakwaraya berhubung status hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan baik dan tidak mempolitikkan isu ini.
"Diingatkan juga supaya (semua pihak) tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasa," katanya.

Tiada Pusingan 'U' Dalam Pelaksanaan GST - Wee


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 2:29 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menarik balik keputusan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) mulai 1 April depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong.
"Kami berada dalam mod menunggu peringkat pelaksanaannya. Saya tidak berpendapat kita akan melihat pusingan-U," katanya kepada pemberita selepas melancarkan forum CBP di sini, Rabu.
Wee mengulas laporan akhbar tempatan pada Selasayang CBP mungkin ditangguh berikutan beberapa isu yang belum selesai berkenaan pelaksanaannya.
Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan akan menyelesaikan semua isu yang tertangguh sebelum tarikh pelaksanaan CBP dan mengakui pada peringkat awalnya tidak semua pihak akan mematuhi sepenuhnya.
"Mungkin terdapat kekeliruan di kalangan peniaga pada peringkat awal. Tetapi saya percaya pihak berkuasa akan bertolak-ansur ke arah pematuhan sepenuhnya.
"Dalam kes (peniaga) secara tidak sengaja terlepas pandang beberapa isu, pihak berkuasa akan menggunakan pendekatan pendidikan," tambah Wee.
Beliau juga memberi amaran yang tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencatutan.
"Denda terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga adalah di antara RM1 juta hingga RM2 juta," katanya ketika mengulas mekanisme antipencatutan dan penguatkuasaan.
Sementara itu, forum sehari prapelaksanaan CBP bertajuk 'Cabaran dan Peluang' itu menyaksikan penyertaan hampir 2,000 ahli perniagaan, jumlah yang disifatkan Wee sebagai dahagakan penjelasan.
Forum itu dianjurkan Persatuan Belia Xiang Lian, Malaysia.
Ia dianjurkan bersama Biro Perusahaan Kecil dan Sederhana Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Jawatankuasa Perundingan Ekonomi MCA dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Putera Harry Bersara Sebagai Tentera British


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 10:56 AM

LONDON: Putera Harry pada Selasa mengumumkan untuk bersara sebagai tentera British selepas 10 tahun berkhidmat termasuk menjadi barisan hadapan sebanyak dua kali dalam peperangan di Afghanistan.
Harry, 30 berkata, keputusan sukar untuk mengakhiri perkhidmatan sebagai tentera pada Jun ini terpaksa dibuat kerana bakal menempuh fasa baharu dalam kehidupannya.
Keputusan Putera British itu turut mengundang kejutan kepada banyak pihak termasuk kerajaan kerana dia bakal keluar daripada impian zaman remajanya sebagai tentera.
Harry dijangka akan menamatkan kariernya dalam pasukan tentera British selepas dipinjamkan selama empat minggu kepada Pasukan Pertahanan Australia (ADF) pada April hingga Mei ini.
Selepas itu, Putera terbabit akan melakukan lawatan rasmi ke New Zealand selain meluangkan masa yang panjang dalam program sukarelawan di Afrika.

Anwar Fail Semakan Kehakiman Untuk Hadir Sidang Parlimen


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 12:53 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kommisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang akan berakhir 9 April ini.

Anwar, 67, memfailkan permohonan itu pada Rabu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Daim  and  Gamany.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kommisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang Di-pertuan Agong masih belum diputuskan.

Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu telah mengesahkan status saya sebagai Ahli Dewan Rakyat. Susulan itu, pada 25 Februari, peguam cara saya telah membuat permohonan bagi pihak saya kepada responden pertama dan memohon agar saya dibenarkan menghadiri Dewan Rakyat yang bermula pada 9 Mac hingga 9 April.

"Responden kedua menjawab surat saya dan telah menolak permohonan saya itu pada 4 Mac tanpa memberi apa-apa sebab dan responden pertama telah mengeluarkan beberapa kenyataan media bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membenarkan saya hadir ke Parlimen. Walhal responden kedua adalah bertanggungjawap kepada responden pertama menurut Seksyen 13 Akta Penjara 1995," katanya menerusi afidavit tersebut.

Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat tersebut adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Beliau turut mendakwa bahawa masih mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan Permatang Pauh dan memohon mahkamah membatalkan keputusan responden.

Sementara itu, peguam N. Surendran yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan 'certificate of urgency' atau sijil perakuan segera supaya mahkamah mendengar kes itu secepat mungkin kerana Dewan Rakyat sedang bersidang.

Menurut peguam Latheefa Koya, yang juga mewakili Anwar, anak guamnya turut memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman secara ex-parte terhadap dua responden yang sama pada hari ini.

Anwar memohon satu perintah bahawa keputusan Kommisioner Jeneral Penjara bertarikh 4 Mac lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan melalui satu perintah certiorari.

Turut dipohon ialah perintah berbentuk mandamus yang mewajibkan Kommisioner Jeneral Penjara membenarkan Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac hingga 9 April dan satu deklarasi bahawa Anwar berhak menghadiri sidang tersebut.


Dua anak Anwar, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha hadir di mahkamah semasa kedua-dua permohonan itu difailkan.

Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) Hanya Terpakai Pada Orang Islam


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 2:30 PM
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, Rabu.- fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai hudud, dibentangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Rabu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan kelak.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu iaitu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

"Berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.

Ahmad berkata rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah (II) dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Beliau berkata pindaan turut membabitkan Seksyen 46 iaitumembuang peruntukan 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.

Ahmad berkata pindaan keempat adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada, katanya.

Ahmad berkata kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).

Speaker DUN Datuk Abdullah Ya'kub memperuntukkan dua hari termasuk Rabu  bagi rang undang-undang berkenaan dibahaskan.

PAS mempunyai 31 kerusi dalam DUN Kelantan, Barisan Nasional 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1 kerusi.

Sementara kerusi DUN Chempaka yang dimiliki PAS menjadi kosong selepas penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari lepas, dan pilihan raya kecil untuk kerusi itu akan diadakan Ahad ini.

Kanun Jenayah Syariah II, yang juga dikenali sebagai hudud yang diluluskan pada 1993 tertangguh lebih 20 tahun dari segi pelaksanaan akibat kekangan perundangan.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan.

Juruterbang Wanita PLA Jadi Tumpuan, Janji Persembahan Tidak Dapat Dilupakan


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 1:28 PM
Dari kiri, Xiali, Yu Xu, Yifei dan Jiali sedang berehat selepas mengadakan persembahan di LIMA 2015.

LANGKAWI: Semua mata tertumpu kepada pasukan aerobatik Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dari China apabila kesemua juruterbang angkatan tentera udara republik itu yang melakukan aksi dengan jet pejuang Chengdu J-10 di sini adalah wanita.

Empat wanita itu teruja dapat mengambil bahagian dalam pameran maritim dan aeroangkasa yang terkenal di dunia, yang sedang berlangsung di Langkawi.

Yu Xu, Tao Jiali, He Xiaoli dan Sheng YiFei, semuanya berusia 28 tahun, berjanji memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan kepada penonton.

Xiaoli berkata LIMA adalah platform yang baik untuk mereka belajar daripada juruterbang negara-negara lain.

"Ia merupakan satu pengalaman yang mampu membuka mata kami," katanya dalam satu wawancara, Selasa.

Empat juruterbang ini adalah sebahagian daripada pasukan aerobatik August First tentera udara PLA.

Langkawi adalah lokasi kedua mereka membuat persembahan di luar negara selepas Pameran Aeroangkasa dan Penerbangan Antarabangsa Moscow pada tahun 2013. Ia juga adalah penerbangan sulung empat juruterbang di luar negara.

China menggunakan tujuh jet pejuang J-10 untuk LIMA 2015.

Setelah menyertai angkatan udara pada tahun 2005, keempat-empat mereka telah mengumpul lebih dari 800 jam pengalaman penerbangan.

"Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi dan menerbangkan jet pejuang memerlukan kami supaya sentiasa sihat dan bersedia," kata Yu.

"Sebagai wanita, kami perlu berusaha lebih dan meningkatkan latihan fizikal untuk menahan tekanan pada badan."

"Aksi dalam pertunjukan aerobatik adalah sangat mencabar dan berisiko. Kami perlu tepat dan tenang apabila melaksanakan pergerakan. "

Rafizi: Penyokong Umno dikelirukan pemimpin


rafizi ramli
Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas dakwaan mengatakan pendedahan beliau mengenai penyelewengan syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengelirukan rakyat.

Sebaliknya beliau menegaskan penyokong Umno sendiri yang dikelirukan oleh pemimpin mereka menerusi cybertroopers pro-kerajaan.

"Datuk Khairul yang keliru, bukan orang kampung, bukan tajuk apa di sebalik Rafizi, itu pengikut-pengikut Umno yang buat setiap hari," katanya pada Wacana Sinar Harian yang bertajuk ‘Apa di Sebalik 1MDB’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

1MDB bermula sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang ditubuhkan pada 2008, dan dinamakan sebagai 1MDB pada Januari 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2010 mengumumkan 1MDB akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.

Rafizi yang juga setiausaha agung PKR turut mempertahankan dirinya apabila diserang secara peribadi yang mempertikaikan pendedahan beliau berbanding keupayaan menguruskan syarikat berbilion ringgit.

"Kalau sebut orang yang mengkritik itu tiada pengalaman menguruskan syarikat berbilion, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh boleh dikritik kerana tidak pernah menguruskan syarikat berbilion ringgit.

"Kritikan mereka adalah untuk melahirkan kebimbangan terhadap kewangan 1MDB dan kesan kepada kerajaan.

"Kita tidak pernah persoalkan lembaga pengurusan 1MDB tetapi pertikaikan seorang yang tiada dalam syarikat itu tetapi boleh menetapkan kepentingan syarikat," katanya lagi.

Sanggup membujang demi ibu


Sanggup membujang demi ibu
Najmiah (kiri) bergurau mesra dengan ibunya ketika ditemui rumahnya di Parit 7A, Sungai Manik, semalam.
SUNGAI MANIK - Kerana ingin menjaga ibunya yang semakin uzur, seorang wanita di sini sanggup menolak pinangan dan bertekad tidak mahu berkahwin sehingga kini.

Najmiah Zarkasi, 57, berkata,  walaupun banyak pinangan diterimanya namun dia  terpaksa menolak kerana berniat mahu melunaskan tanggungjawab menjaga ibunya, Minah Ijom, 76, selepas kematian ayah pada 2009.

Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang di Ipoh namun berhenti kerja selepas arwah ayahnya, Zarkasi Mansor lumpuh pada  2005 dengan niat untuk menjaga mereka berdua.

“Bukan satu atau dua tetapi hampir lima orang datang merisik, saya tolak secara baik demi kasih kepada arwah ayah dan ibu, saya nekad tidak berkahwin sehingga kini kerana mahu menjaga mereka,” katanya yang tinggal di Parit 7A, Sungai Manik, di sini,

Najmiah berkata,  walaupun mempunyai adik-beradik lain, tetapi mereka ada tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

Bagaimanapun katanya, adik beradiknya sering pulang melawat dia dan ibunya.

Katanya, sebelum ini, adik-beradiknya ada menyuruh dia berkahwin namun belum terdetik di dalam hati untuk berumah tangga kerana mahu menjaga ibunya sehingga akhir hayat.

"Saya tidak berasa menyesal kerana tidak berkahwin malahan berbangga dapat melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan menjaga ibu dengan sebaik mungkin.

“Saya pernah dicop anak dara tua tetapi saya tidak pernah ambil peduli kerana memang niat saya mahu menjaga arwah ayah dan ibu sehingga nafas mereka terakhir,” katanya.

Dun Kelantan hari ini bentang hudud


Dun Kelantan hari ini bentang hudud
Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang Dun Kelantan. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Kelantan
SHAH ALAM – Kerajaan Kelantan pimpinan Pas hari ini membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang Dun Kelantan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

Usul pindaan enakmen itu yang dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob selama hampir 45 minit itu kini mula dibahaskan dengan penyertaan seramai 45 Adun Kelantan.

Selepas draf pindaan enakmen itu dibahaskan, ia seterusnya akan menjalani proses undian sama ditolak atau disokong bagi membolehkan Kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan bakal berdepan laluan mudah apabila majoriti Adun Kelantan adalah dari Pas iaitu seramai 32 orang manakala 12 lagi Umno dan seorang PKR.

Terdahulu, Kerajaan Kelantan menangguhkan hasratnya untuk membentang pindaan enakmen itu pada sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember lepas susulan negeri itu terjejas teruk akibat banjir besar.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pindaan Enakmen Jenayah Syariah tetap dilakukan ]

Pas Kelantan juga pernah melupakan hasratnya membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) mengenai Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 ke Dewan Rakyat pada Jun tahun lalu bagi membolehkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan.

April tahun lalu, Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan mengumumkan ahli Parlimen Pas Kelantan akan membawa RUU Persendirian ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun pengumuman itu mendapat tentangan hebat dari DAP manakala, Umno pula menyokong cadangan tersebut biarpun rakan mereka, MCA tidak bersetuju.

Anwar cabar keputusan tidak benar hadir ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Parlimen.
Anwar selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Tinggi di sini pada jam 10.30 pagi tadi melalui peguam N Surendran dan Latheefa Koya.
Ia difailkan melalui permohonan kebenaran bagi mendapatkan semakan kehakiman.
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tapak pelupusan sampah jadi tumpuan pelancong


KELIHATAN beberapa pekerja sudah sedia menunggu sampah yang dipunggah keluar dari lori. – AGENSI


SIEM REAP, Kemboja – Sebuah tapak pelupusan sampah di sini menjadi tarikan pelancongan terbaharu setanding dengan kuil Angkor Wat apabila ramai pelancong datang semata-mata untuk mengambil gambar kanak-kanak yang mengumpul barangan kitar semula.
Terdapat kira-kira 200 pekerja di tapak tersebut dengan 50 daripadanya merupakan kanak-kanak yang tinggal bersama keluarga mereka di kawasan sekitarnya.

BEBERAPA orang kanak-kanak bekerja untuk mencari barangan kitar semula di sebuah tapak pelupusan sampah di Siem Reap.– AGENSI


Seorang jurugambar, David Rengel memberitahu, kawasan itu telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong yang datang setiap hari sehinggakan hotel dan pemandu pelancong turut menawarkan pakej lawatan ke tapak pelupusan sampah tersebut.
"Pakej lawatan ini seolah-olah seperti mengeksploitasi kanak-kanak dan keluarga mereka untuk mengaut keuntungan sekali gus merendahkan darjat anak-anak kecil ini sebagai objek riadah," katanya.

SEORANG pelancong menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau busuk ketika melawat tapak pelupusan sampah tersebut.– AGENSI


Rengel turut menggelar aktiviti sedemikian sebagai ‘pelancongan kotor’ dan mendakwa semakin ramai pelancong menghabiskan masa melawat kawasan miskin seperti rumah anak yatim, setinggan dan tapak pelupusan sampah di seluruh dunia.
Kanak-kanak di kawasan ini menghabiskan masa sekitar 10 jam sehari untuk mengutip kaca, kertas, besi dan bahan kitar semula untuk dijual kepada pemilik tapak pelupusan sampah tersebut. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3UgTzqbxL 
Hakcipta terpelihara 

Status istimewa timur Ukraine ditentukan


Seorang tentera Ukraine, berkawal di sebuah kawasan lombong yang
SEORANG tentera Ukraine, berkawal di sebuah kawasan lombong yang terletak di pekan Kurakhove, Donetsk, pada 11 Mac lalu. AFP
KIEV 17 Mac - Parlimen Ukraine minggu ini akan mengundi rang undang-undang baharu bagi memberi status istimewa kepada kawasan pemberontak di timur negara ini, sejajar dengan perjanjian yang telah termeterai antara kedua-dua belah pihak bulan lalu.
Rang undang-undang yang dibentangkan ke Parlimen oleh Presiden, Petro Poroshenko dan mula dibahas, hari ini me­rupakan sebahagian daripada komitmen Kiev dalam mewujudkan keamanan dengan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia mengancam akan meneruskan pertempuran sekiranya Kiev tidak menjadikan kawasan di timur negara ini sebagai kerajaan autonomi, sama seperti perjanjian yang dipersetujui di Minsk, Belarus pada 12 Februari lalu.
Bagaimanapun, rang undang-undang berkenaan jika diluluskan hanya akan berkuat kuasa selepas dua kawasan terbabit iaitu Donetsk dan Luhansk menjalankan proses pilihan raya mengikut undang-undang Ukraine serta dikawal sepenuhnya oleh pemerhati antarabangsa.
Undang-undang baharu itu turut memperuntukkan, kesemua kumpulan bersenjata perlu melucutkan senjata atau tidak dibenarkan kembali ke Ukraine, selain perlu membenarkan wartawan untuk memasuki rantau berkenaan.
Berdasarkan perjanjian genjatan senjata yang berkuatkuasa pada 15 Februari lalu, Ukraine mempunyai masa selama sebulan untuk membuat persempadanan kawasan dan perlu memulakan perbincang­an bagi melaksanakan pilihan raya tempatan.
Dalam perkembangan lain, jurucakap pasukan kesela­matan, Andriy Lysenko berkata, dalam tempoh masa 24 jam lalu, seorang tentera terbunuh selepas bertempur dengan kumpulan pemberontak.
“Pemantau dari Pertubuh­an Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) mendapati, serangan mortar dan kejadian tembak-menembak terus berlaku di sekitar Lapangan Terbang Donetsk.
Serangan itu memberi kesan kepada kawasan pe­nempatan berhampiran iaitu Kampung Pisky,” jelas Lysenko. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/status-istimewa-timur-ukraine-ditentukan-1.70706#sthash.qs9LZZay.dpuf

Putera Harry tamat perkhidmatan tentera


PUTERA HARRY mengumumkan mahu menamatkan perkhidmatan dalam pasukan
PUTERA HARRY mengumumkan mahu menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tentera selepas 10 tahun berkhidmat sebagai tentera Britain. AGENSI
LONDON 17 Mac. – Adik kepada pewaris takhta diraja Britain, Putera Harry, semalam mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan sebagai tentera Britain selepas 10 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.
Putera Harry yang kini berusia 30 tahun berkata, keputusannya meninggalkan kerjaya itu pada Jun ini adalah satu ‘keputusan yang sangat sukar’ tetapi beliau melihat lebih jauh untuk menempuh kehidupan baharunya.
Keputusan untuk menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera juga menimbulkan kejutan kepada semua pihak, selepas Harry sebelum ini meninggalkan impian zaman kanak-kanaknya untuk menjalani kehidupan sebagai anggota tentera.
Harry akan menamatkan khidmatnya selepas dipinjamkan oleh Angkatan Pertahanan Australia selama empat minggu mulai bulan depan dan Mei ini.
“Saya telah menimbangkan pilihan untuk masa depan saya, dan saya sangat teruja dengan keputusan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kensington.
Selepas menamatkan perkhidmatan, Harry akan mengadakan lawatan rasmi ke New Zealand dan menghabiskan masa melakukan kerja-kerja sukarela di Afrika.
Sebelum akhir tahun ini, Harry akan mula menjadi sukarelawan dengan Kementerian Pertahanan Britain dan menyokong kerja-kerja pemulihan serta menyertai aktiviti sosial.
Harry, sebelum ini menamatkan latihan di Akademi Tentera Sandhurst dan berkhidmat sebanyak dua kali di Afghanistan.
“Saya menganggap diri saya seorang yang bertuah kerana berpeluang melakukan beberapa pekerjaan yang mencabar dan telah bertemu dengan ramai orang yang hebat,” ujarnya. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/putera-harry-tamat-perkhidmatan-tentera-1.70704#sthash.Makm2Z65.dpuf