Showing posts with label busuk. Show all posts
Showing posts with label busuk. Show all posts

Monday, March 28, 2011

Sungai busuk loyakan penduduk



GEORGETOWN - Sukar dibayangkan apabila seorang nenek yang menetap di sebuah rumah berhampiran anak sungai di Kampung Lembah Ria, Jalan Air Itam, dekat sini, terpaksa menahan bau busuk berikutan sungai yang dicemari dengan sampah-sarap dan berkeladak.

Itulah yang terpaksa dihadapi Siti Zainab Mad Nor, 77, sejak beberapa tahun lalu apabila air sungai yang terletak kurang 20 meter dari rumahnya berbau busuk setiap hari sehingga menyebabkan seluruh isi rumahnya berasa kurang selesa.

Zainab yang tinggal bersama dua orang anak di kediaman miliknya itu berkata, air sungai biasanya akan berbau pada tengah hari dan petang namun akan lebih berbau busuk apabila musim hujan.

Katanya, air dari anak sungai yang mengalir itu datangnya daripada kawasan perumahan yang terdekat iaitu sekitar Paya Terubong, Jalan Air Itam dan Bandar Baru Farlim.

Zainab juga mendakwa kurang pasti nama sebenar anak sungai itu dan hanya dikenali sebagai Sungai Lembah Ria sejak sekian lama.

“Bau busuk air sungai itu boleh dihidu dari jarak 50 meter pada hari biasa dan 100 meter jika pada hari hujan. Bagi keluarga kami, perkara itu memang sudah biasa tetapi malu juga pada tetamu yang bertandang ke rumah apabila air sungai itu tiba-tiba berbau busuk.

“Lihat saja air sungai yang berwarna hitam dan sampah sarap yang terapung di dalamnya. Juga terdapat plastik yang menakung air, tin, bangkai haiwan dan lain-lain lagi. Bukankah barangan berkenaan boleh menyebabkan penyebaran penyakit bawaan air dan pembiakan nyamuk Aedes?” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Zainab juga mendakwa, sikap penduduk yang tidak menjaga kebersihan persekitaran dan membuang sampah ke dalam sungai juga menyebabkan masalah itu berlaku.

“Penduduk tidak sedar bahawa sikap mereka akan menyebabkan kami sekeluarga dan beberapa keluarga lain yang menetap di sepanjang anak sungai ini menjadi mangsa dan terpaksa menghidu bau busuk walaupun ketika sedang menjamu selera.

“Mungkin mereka tidak berada di tempat kami. Dahulu, sebelum perumahan didirikan di kawasan berhampiran, sungai ini sangat bersih dan bebas daripada pencemaran. Namun kini, hanya tinggal kenangan,” katanya.

Zainab juga berharap agar Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkunjung ke anak sungai terbabit bagi melihat sendiri masalah yang sudah lama ditanggung mereka demi mewujudkan negeri Pulau Pinang sebagai negeri hijau.

Tinjauan Sinar Harian mendapati dakwaan Zainab itu benar apabila air anak sungai itu memang berbau busuk pada waktu tertentu dan tidak menyenangkan.

Manakala sampah-sarap juga kelihatan terapung dalam air sungai berkenaan serta airnya berwarna hitam akibat daripada pencemaran sekali gus mendatangkan kesan bau kepada kurang daripada 10 keluarga yang menetap di sepanjang sungai.

Friday, June 18, 2010

10 tahun terpaksa bergelumang dengan bau sisa ayam dan hanyir





kira-kira 100 penghuni Taman Sri Sulong terpaksa menghidu bau busuk akibat sisa ayam yang diproses dibuang dan mengalir ke dalam longkang besar di hadapan rumah mereka di Batu Pahat, Johor, semalam.


BATU PAHAT 17 Jun - Busuk dan meloyakan!
Itulah yang dialami kira-kira 100 penduduk Taman Sri Sulong dekat sini sejak 10 tahun lalu kerana terpaksa menghidu bau busuk dipercayai berpunca dari pusat penyembelihan dan memproses ayam berhampiran.
Penduduk mendakwa pusat berkenaan terlalu hampir iaitu kira-kira 30 meter sahaja dari kediaman mereka.
Utusan Malaysia dimaklumkan, ahli jawatankuasa penduduk taman berkenaan telah membuat aduan dan merayu supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) memindahkan pusat terbabit ke kawasan lain kerana menimbul bau busuk setiap hari.
Seorang penduduk, Norliza Shukor, 32, yang baru dua bulan tinggal di rumah yang baru dibelinya berkata, setiap hari mereka sekeluarga menghidu bau busuk yang datang dari pusat penyembelihan dan memproses ayam yang terletak bertentangan rumahnya.
"Tetapi sejak kilang itu memindahkan tempat menyembelih, bau busuk itu kurang sedikit tetapi orang yang dekat dengan tempat penyembelihan pula menjadi mangsa," katanya
Katanya, bau busuk itu tetap 'datang' kerana air untuk memproses ayam dibuang dan mengalir ke dalam longkang besar di hadapan rumah penduduk di situ.
Seorang peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Heng mengakui masalah itu telah berlarutan terlalu lama dan penduduk sering kali mengadu kepada PBT namun hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
"Kami sudah tidak boleh buat apa-apa, masalah ini tidak selesai hingga kini terpaksalah hidu bau busuk setiap hari," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedudukan pusat itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan sisa buangan disalurkan terus ke longkang besar.

Thursday, May 20, 2010

Lebih 20 tahun penduduk hidu najis babi



TAN Tee Beng meninjau kawasan kandang babi yang didakwa penduduk mengeluarkan bau busuk dan saliran air najis haiwan itu masuk ke longkang rumah di Kampung Kepala Gajah, Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini. - utusan/sazali che din


NIBONG TEBAL 19 Mei - Penduduk sekitar Kampung Kepala Gajah di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa buangan najis babi dari sebuah ladang ternakan haiwan itu yang beroperasi berhampiran kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, operasi di ladang ternakan itu menyebabkan kawasan sekitar perkampungan yang diduduki majoriti masyarakat Melayu itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya selepas waktu petang.
Menurut mereka, tindakan segera wajar diambil kerana masalah bau busuk di kawasan itu sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun penduduk sudah banyak kali mengajukan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan apabila sistem perparitan yang tidak sempurna di kampung itu menyebabkan banjir membawa bersama sisa kumbahan berkenaan melimpah ke rumah penduduk.
Salah seorang penduduk, Osman Darus berkata, masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan penduduk dalam tempoh jangka masa panjang.
"Pada masa ini pun sudah ada penduduk yang mengadu sering sesak nafas kerana bau dari ladang tersebut terlalu busuk, kadang-kadang kita hendak makan pun hilang selera.
"Penduduk kampung sudah lama bersabar ekoran aduan demi aduan yang diajukan kepada pihak berkuasa umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng di sini baru-baru ini.
Osman berkata, penduduk kampung juga terpaksa mengharungi saat meloyakan apabila banjir yang membawa sisa buangan najis babi melimpah masuk ke rumah mereka.
Seorang peniaga di kampung itu, Mohd. Subakir Remun, 52, pula berkata, masalah bau busuk semakin menjejaskan perniagaan kedai makan miliknya apabila sering menerima rungutan daripada para pelanggan.
"Kami minta agar pemilik ladang sensitif dan memahami masalah ini kerana perkara ini bukan perkara baru malah sudah dibangkitkan sejak lebih 20 tahun. Ia sudah jadi beban sehingga hendak berniaga pun susah," katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu.
Pandangan itu disokong seorang lagi penduduk, Ahmad Shaari, 57, yang berpendapat, sistem pengairan sedia ada perlu diubah bagi memastikan sisa-sisa kumbahan najis dari ladang tersebut dialihkan ke tempat lain.
Menurutnya, masalah sistem pengairan dan perparitan yang tidak sempurna di kawasan itu memburukkan lagi keadaan terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan banjir kilat.
Sementara itu, Tee Beng berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang itu, Ong Chin Hee yang bersetuju untuk membersih dan mendalamkan sistem perparitan di kawasan tersebut.
Selain itu, Chin Hee juga bersetuju untuk mengalihkan sistem saliran sedia ada bagi membolehkan air sisa kumbahan najis dari ladangnya boleh dialihkan ke tempat lain.
"Tetapi perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri supaya meluluskan agar sisa kumbahan sedia ada disalurkan ke tempat lain," jelasnya.