Wednesday, April 15, 2015

Nur Jazlan: Mengapa Jho Low Bela Diri Sendiri?


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 10:04 PM
Nur Jazlan Mohamed

PETALING JAYA: Low Taek Jho akan dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika ahli perniagaan itu mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan kerajaan iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pada tahap ini beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low mempunyai kaitan dengan 1MDB.

"Saya tidak tahu pada masa ini sehingga kita memulakan prosiding siasatan. Jika terdapat apa-apa hubung kait (1MDB), kami akan memanggil beliau untuk datang ke PAC," kata Nur Jazlan, sambil menambah bahawa tidak guna membuat spekulasi sehingga siasatan bermula.

"Saya sebenarnya tidak tahu mengapa dia (Jho Low) tampil kepada media dan membuat semua dakwaan ini kerana dari segi struktur organisasi, pengurusan atau lembaga pengarah 1MDB...dia tiada kaitan. Dia tidak bekerja atau pengarah 1MDB jadi mengapa dia mempertahankan dirinya dalam perkara ini?" kata Nur Jazlan.

"Laporan Ketua Audit Negara dilakukan secara profesional untuk melihat penyata kewangan 1MDB. Kami (PAC) melihat ia dari sudut politik dan juga dan kami ingin tahu apa yang sedang berlaku. Jawatankuasa kami adalah antara yang paling bebas di negara ini kerana ia terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dan sebenarnya mencerminkan suara rakyat," katanya.

Pada Isnin, Nur Jazlan berkata PAC boleh memulakan audit sendiri ke atas 1MDB tanpa menunggu penemuan Ketua Audit Negara.

Beliau menjelaskan bahawa langkah itu perlu kerana isu tersebut telah pun dipolitikkan oleh banyak pihak.

242 Mati Dalam Tahanan Polis Sejak 2000-2014 - Suhakam


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 7:11 PM
Datuk Dr Khaw Lake Tee

KUALA LUMPUR: Seramai 242 orang meninggal dunia dalam tahanan polis sejak 2000 hingga Februari 2014 dan hanya dua kematian berpunca daripada pihak berkuasa itu.

Menurut Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Dr Khaw Lake Tee, statistik polis menunjukkan jumlah kematian semasa dalam tahanan polis meningkat dari sembila hingga 20 kematian pada 2013.

"Jumlah kematian dalam tahanan polis di Malaysia adalah tinggi dan perkara ini menjadi kebimbangan dan perhatian orang awam.

"Pihak polis mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan serta ketenteraman awam malah sudah menjadi tugas mereka untuk menangkap sesiapa yang melanggar undang-undang.

"Selain itu, polis bertanggungjawab melindungi tahanan mereka dari sebarang bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan sama ada berpunca dari diri sendiri atau orang lain," jelasnya.

Suhakam memberitahu bahawa statistik polis menunjukkan mungkin terdapat masalah dari segi sistem pengurusan dan cara pengendalian tahanan dalam lokap polis.

Menurut suruhanjaya itu lagi, satu kajian yang dinamakan 'Kematian Dalam Tahanan' dan 'Hak Kesihatan Di Penjara' telah dijalankan selepas Suhakam menerima banyak aduan sebelum ini.

Kajian ini bukan sahaja menumpukan kepada hak dan penjagaan kesihatan tahanan malah menjaga kebajikan serta hak anggota polis yang terlibat secara langsung atau semasa mengendalikan tahanan.

"Banduan atau tahanan akan menanggung beban penderitaan masalah kesihatan apabila keperluan kesihatan mereka sering diabaikan," kata laporan tersebut.

Menurut Prinsip Asas Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Rawatan Banduan (1990), ia menyatakan bahawa 'banduan seharusnya mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan di negara ini tanpa diskriminasi di atas kesalahan undang-undang mereka'.

"Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan oleh suruhanjaya, terdapat penyakit kritikal seperti penyakit mental, penyakit berjangkit dan kronik serta yang menyebabkan kecacatan di kalangan tahanan," jelas laporan tersebut.

Oleh itu, Suhakam berpendapat dan percaya bahawa pembaharuan sistem penjara di negara ini perlu memberi perhatian terhadap banyak aspek termasuk rawatan perubatan atau kesihatan di penjara, penjagaan kesihatan mental di penjara dan keadaan persekitaran penjara.

"Pemenjaraan bukan hanya berhubung isu jenayah dan hukuman, malah membabitkan kesihatan awam.

"Pihak suruhanjaya berpendapat bahawa kerajaan menerusi Jabatan Penjara, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap banduan mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan sama seperti yang disediakan kepada orang awam dalam setiap komuniti," kata laporan tersebut.

Laporan penuh mengenai 'Kematian Dalam Jagaan Polis' dan 'Hak Kesihatan Di Penjara' akan dikeluarkan pada tahun ini.

Kanak-kanak ketagih hisap rokok


Kanak-kanak ketagih hisap rokok
Dihan Awalidan dilihat merokok dengan pakaian seragam sekolahnya. - Foto Sijori Images / Barcroft India
JAWA BARAT - INDONESIA. Dihan Awalidan, dari Jawa Barat, Indonesia mula merokok sejak usia 3 tahun adalah salah seorang daripada kanak-kanak di kampung Cicapar di sini yang lebih mengutamakan rokok berbanding bermain bersama rakan sebayanya.

Kanak-kanak 7 tahun ini kebiasaannya merokok tiga paket sehari kini telah mengurangkan tabiat merokoknya itu dengan 16 batang rokok sehari.

Bersama dengan tiga orang kawannya, Nawan, 11, Jujun, 7 dan Dede, 8, Dihan merokok kira-kira 16 kali sehari dan tindakan mereka tidak mampu untuk dihalang oleh ibu-bapa mereka.

Kanak-kanak tersebut membeli rokok Kretek dengan wang saku atau mencuri syiling dari beg tangan ibunya untuk membeli rokok.

Menurut bapanya, Iyan, 36, berkata Dihan mula merokok sejak usianya 3 tahun dan pada ketika itu, dia menghisap 3 paket rokok sehari.

"Jika dilarang untuk merokok, anaknya itu akan marah dan akan mencuri rokok,” katanya.

Kini dia mula mengurangkan aktiviti tidak berfaedahnya itu, namun tidak berniat untuk berhenti sepenuhnya.

Malah kanak-kanak tersebut menganggap paparan imej pada kotak rokok mengenai bahaya merokok adalah palsu.

Sementara itu, ibunya, Tati, 32, berharap agar anak lelakinya untuk berhenti merokok sebelum menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada kesihatannya.

"Jika Dihan tidak merokok dia akan menangis dan sekarang dia akan merokok secara rahsia", katanya dipetik Mirror.uk

Apa yang mengejutkan tabiat Dihan dan rakan-rakannya kini menjadi satu trend yang semakin meningkat di negara Asia tenggara.

Menurut Presiden Kempen Kanak-kanak Bebas Tembakau, Matt Myers berkata, negara Indonesia adalah salah satu pemain utama dalam industri tembakau.

Indonesia adalah sebuah negara  yang mempunyai pasaran tembakau kelima terbesar di dunia dan satu pertiga daripada anak-anak muda telah mencuba untuk merokok sebelum berumur 10 tahun.

"Indonesia mempunyai lebih ramai orang muda merokok di bawah umur 10 tahun berbanding negara-negara lain yang telah dikenal pasti.

Keganasan seksual jadi taktik perang


Ban Ki-moon
Ban Ki-moon
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Laporan terbaharu PBB mendedahkan 2014 mencatatkan kes keganasan seksual seperti rogol, perhambaan dan kahwin paksa yang paling tinggi.

Menurut laporan AFP, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mendakwa eksploitasi terhadap golongan wanita itu telah digunakan sebagai taktik perang dan taktik keganasan oleh kebanyakan kumpulan ekstremis termasuk militan IS serta Boko Haram.

"Langkah untuk memerangi kumpulan ekstremis tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk menentang keganasan seksual dan konflik berkaitan," katanya lagi.

Difahamkan, laporan tersebut memberi tumpuan kepada 19 negara yang mencatatkan kes keganasan seksual pada tahap membimbangkan.

Ditembak polis, wanita menang kes RM300K


  
Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan RM300,000 dibayar kepada seorang ibu yang menjadi mangsa kes tembakan pada 2010.

Panel tiga anggota diketuai oleh Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan bahawa Mahkamah Rayuan tidak patut mengganggu keputusan di mahkamah lebih rendah.

“Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam undang-undang dan fakta-faktanya,” kata Abang Iskandar.

Mahkamah sekali gus menolak rayuan polis dan kerajaan dalam kes wanita bernama Norizan Salleh itu.

Hakim lain termasuk, P Nalini dan Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mereka juga mengarahkan polis dan kerajaan membayar kos RM10,000 kepada Norizan.
Polis sebelum ini mengeluarkan 16 das tembakan terhadap Norizan yang berada dalam sebuah kereta. Lima daripadanya mengenai dan mencerakannya.

Rahsia Dibalik Pembuatan Angka 0 - 9


15/4/15
Penemuan angka 0 - 9 sungguh sangat brilian, betapa tidak ternyata dibalik angka-angka yang sudah sangat familiar diseluruh dunia ini terdapat makna matematik yang mungkin tidak pernah kita ketahui selama ini.

Salah satu rahsia yang boleh diungkapkan adalah jumlah sudut dari angka tersebut yang menunjukkan simbol dari angka itu sendiri.

Perhatikan gambar-gambar dibawah ini, sudut yang terdapat diangka 1 berjumlah 1, begitu juga sudut yang terdapat diangka 9 berjumlah 9 sudut. Bagaimana dengan angka kosong, kita pasti mengetahuinya bahawa kosong tidak mempunyai sudut sama sekali.









PAS Permatang Pauh Beri Amaran Jangan Calonkan Wan Azizah


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 11:58 AM
Dr Wan Azizah.

PULAU PINANG: PAS Permatang Pauh memberi amaran kepada PKR supaya tidak mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau ahli keluarganya yang lain pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.
PKR turut diingatkan supaya memastikan penceramah mereka pada kempen ceramah parti itu tidak menyentuh isu hudud.
Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh, Jamsari Samad berkata, dua perkara itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan berdasarkan perlembagaan.
"Ini adalah kesimpulan kami berdasarkan sentimen akar umbi. Kita tahu bahawa memilih calon adalah pregogatif PKR, tetapi secara umumnya rakyat di sini tidak mahu Dr Wan Azizah atau mana-mana ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
"Jika PKR tidak mahu membuat kecoh di sini, ia juga perlu memberitahu kepada penceramah supaya tidak membincangkan isu hudud kerana ia sesuatu yang suci bagi orang di sini," katanya pada Selasa.
Anwar ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan kes liwat. 
Kekosongan kerusi parlimen itu berikutan petisyen Anwar untuk pengampunan diraja ditolak baru-baru ini. 
Anwar pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1983 sehingga 1999 di bawah Barisan Nasional dan dari 2008 sehingga Anwar hilang kelayakan di bawah PKR.
Wan Azizah bertanding dan menang kerusi Permatang Pauh pada 199 selepas kekosongan kerusi parlimen itu yang disebabkan Anwar dipenjara kerana salah guna kuasa.
Wan Azizah melepaskan kerusi itu pada 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar.
Pada 2008, sewaktu perletakan jawatan Azizah beberapa bulan selepas memenangi kerusi itu untuk penggal ketiga, beliau menyatakan pengunduran itu bagi menjaga cucu-cucunya.
"Adalah sukar untuk menentukan sama ada Wan Azizh akan kembali sekiranya PKR mahu mencalonkannya sekali lagi," kata Jamsari.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, keputusan PRK akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat.
"Ini merupakan kerusi yang penting buat Pakatan dan kita akan mempertahankannya sehabis baik. Naik jatuh Pakatan akan ditentukan berdasarkan keputusan pilihan raya," katanya.

KWSP Jangan Ada Agenda Tersembunyi Terhadap Tabungan Rakyat


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 2:35 PM
Khairul Anwar Rahmat

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran supaya membuat kajian telus terhadap had umur yang ditetapkan bagi membolehkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka.
Pengerusi SukaGuam Khairul Anwar Rahmat berkata, satu kaji selidik telus perlu dijalankan bagi mengelakkan wujudnya persepsi buruk di kalangan rakyat bahawa institusi itu mempunyai agenda tersembunyi terhadap wang tabungan persaraan rakyat.
"Saya sarankan KWSP mengutamakan kepentingan rakyat terutama pencarum dengan membuat tinjauan atau kaji selidik telus untuk mengetahui apa yang sebenarnya diinginkan pencarum.
"Usia 60 tahun adalah terlampau lewat bagi seseorang menikmati hasil penat lelah dan tabungan. Ia akan mewujudkan persepsi yang salah di kalangan rakyat bahawa KWSP mempunyai agenda tersembunyi untuk 'menyimpan' wang tabungan persaraan itu bagi tujuan tertentu," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Menurut beliau, wang tabungan KWSP mestilah menjamin keselesaan hidup para pencarum, bukannya menjadi modal pusingan bagi pelaburan di pihak KWSP semata-mata.
"Jangan sampai masyarakat menilai KWSP dengan pelbagai andaian bak kata pepatah 'pepat di luar, runcing di dalam' yang bermaksud baik dari segi lahirnya tetapi mengandungi niat tidak baik," katanya.
Menurut beliau, adalah lebih baik pencarum diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan mereka pada kadar tertentu pada setiap takat umur.
"Contohnya 20 peratus pada usia 45 tahun, 20 peratus lagi pada usia 50 tahun dan pengeluaran sepenuhnya pada usia 55 tahun," katanya.
Jelasnya, banyak keperluan diperlukan bagi setiap takat umur berkenaan iaitu untuk tujuan sara hidup, pendidikan tinggi anak-anak, perubatan, melangsaikan hutang rumah dan kenderaan serta pelbagai perbelanjaan luar jangka lain.

Pas Terengganu: PKR akan ditolak rakyat

Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menjangka sekiranya PKR mengambil tindakan bertentangan dengan parti itu, PKR mungkin ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertembungan kerusi sebagaimana di beberapa kerusi pada pilihan raya umum lepas.

Menurutnya, keadaan mungkin akan menjadi sukar kepada PKR apatah lagi beliau mendakwa adanya petugas Pas yang bekerja untuk memenangkan calon PKR.

“Kalau ambil sikap konfrontasi dengan Pas, dia akan ditolak dan tidak mustahil boleh jadi pertembungan kerusi (pada PRU14),” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak bahawa hubungan parti itu dengan PKR di peringkat negeri agak longgar ketika ini.

Dengan perkembangan yang berlaku sebelum ini termasuk isu saman bekas calon PKR terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditambah pula dengan perkembangan politik di peringkat Pusat, beliau berkata, ia turut mempengaruhi hubungan tersebut dan tidak menolak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PKR di peringkat negeri.

Beliau berkata, isu terbaharu melibatkan hudud juga dilihat memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PKR apatah lagi pimpinan PKR peringkat Pusat sebelum ini turut memberi kenyataan tidak menyokong hudud.

Beliau memberitahu, keadaan politik di Terengganu agak berbeza kerana ia lebih didominasi oleh Umno dan Pas.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi DAP Terengganu Ng Chai Hing yang akur terhadap kepimpinan DAP Pusat untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau memberitahu, Chai Hing sebelum ini boleh bertindak membelakangi parti apabila keluar daripada DAP apabila menjadi pegawai kepada Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu ketika Pas mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Menurutnya, pada waktu itu DAP memutuskan untuk keluar daripada Barisan Alternatif selepas Dun Terengganu meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Terengganu.

“Masa itu pemimpin Pusat suruh dia berhenti (jadi pegawai menteri besar) tetapi dia letak jawatan dalam DAP dan selalu bercakap pasal hudud, itu bermakna dia faham.

“Kalau dulu dia pernah tidak ikut (DAP), sekarang pula ikut Pusat. Adakah dia lupa sejarah,” katanya.

Beliau turut memberitahu adalah lebih baik Chai Hing tidak memberi kenyataan mengenai arahan DAP Pusat untuk putuskan hubungan dengan Abdul Hadi sebelum ini bagi mengelak kekeruhan memandangkan Pas dan Abdul Hadi lebih sinonim di Terengganu.

“Beliau umpama ayah. Adakah kita sebagai anak mahu membiarkan orang lain menyakiti ayah kita.. dengan ayah mahu bermusuh tetapi dengan anak mahu berkawan pula,” katanya.

Wanita 65 tahun catat rekod mengandung kembar empat


KANDUNGAN Raunigk kini berusia empat bulan dan dia mengakui masih sihat untuk melahirkan bayi kembar empatnya itu.


BERLIN – Seorang guru berusia 65 tahun di sini bakal mencipta sejarah dalam dunia perubatan apabila menjadi wanita paling tua di dunia yang melahirkan bayi kembar empat.
Annegret Raunigk yang telah pun mempunyai 13 orang anak, kini disahkan mengandung bayi kembar empat hasil daripada kaedah permanian berhadas menggunakan telur dan sperma yang didermakan kepadanya.
Pada usia kandungannya mencecah empat bulan, Raunigk terkejut apabila ujian imbasan ultrabunyi menunjukkan terdapat empat janin di dalam rahimnya.
Meskipun doktor menasihatkannya agar menjalani pengguguran terpilih iaitu membuang satu atau dua janin disebabkan risiko hamil pada usia tua, wanita ini tetap mahu meneruskan kandungan kesemua kembar tersebut.
“Saya tidak rasa akan berdepan sebarang masalah atau komplikasi kehamilan kerana masih kuat dan sihat serta mampu untuk menjaga mereka apabila dilahirkan kelak,” kata Raunigk yang merupakan guru bahasa Inggeris dan Rusia.
Sebelum ini, Raunigk pernah menjadi tajuk hadapan akhbar di Jerman apabila melahirkan anaknya, Leila pada usia 55 tahun. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3XM0ECPnK 
Hakcipta terpelihara 

Krisis kemanusiaan di Yemen makin serius



TENTERA Arab Saudi melancarkan serangan meriam ke arah sasaran dari sempadan Arab Saudi-Yemen kelmarin.


ADEN – Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran krisis kemanusiaan di Yemen menjadi bertambah buruk berikutan serangan udara tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak Syiah Houthi yang kini memasuki minggu ketiga.
Di Riyadh, Perdana Menteri Yemen, Khaled Bahah telah mengangkat sumpah sebagai naib presiden di kedutaan negara tersebut di hadapan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.
Abd-Rabbu menerusi akhbar New York Time menuduh Iran yang tamakkan kuasa sebagai dalang di sebalik konflik di Ye­men. Beliau turut mendakwa Teheran menjadi batu api kepada pemberontak Houthi.
Di bandar Aden yang terletak di selatan Yemen pula, pertempuran sengit berlaku sepanjang malam yang meragut 30 nyawa, menurut sumber ketenteraan.
Sejumlah 40 pemberontak Houthi lain dan tiga pejuang pro-Abd-Rabbu maut di Daleh, utara Yemen dalam pertempuran yang tercetus sejak Ahad lalu.
“Tiga kanak-kanak terbunuh apabila rumah mereka dibom,” kata seorang aktivis di Daleh.
Serangan udara yang diketuai Arab Saudi menyasarkan kompleks presiden di Aden yang dikuasai pemberontak Houthi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3XLgDSEpy 
Hakcipta terpelihara 

IS semakin lemah di Iraq


GAMBAR yang dirakam pada 8 April lalu menunjukkan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi (kiri) mengagihkan senjata api kepada sukarelawan Sunnah bagi menentang militan IS di kem Habaniyah yang terletak 80 kilometer di barat Baghdad.


WASHINGTON – Kumpulan Islamic State (IS) didakwa semakin hilang kawalan antara 25 hingga 30 peratus terhadap wilayah yang sebelum ini dikuasai di Iraq selepas diserang oleh tentera pakatan, menurut Pentagon kelmarin.
Kumpulan militan itu mengambil alih kawalan sebahagian besar bahagian utara dan selatan negara itu pada bulan lalu selepas melakukan serangan ke atas unit-unit tentera Iraq.
Pentagon mendakwa, selepas sebulan kempen serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dan serangan oleh tentera Iraq sendiri, cengkaman IS didapati semakin lemah di negara itu.
“IS sekarang perlahan-lahan mula berundur. Pasukan keselamatan Iraq dan pakatan tentera udara telah menyebabkan banyak kemusnahan terhadap IS,” ujar jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren.
IS kehilangan penguasaan di kawasan yang merangkumi 13,000 hingga 17,000 kilometer persegi, kata Warren lagi.
Tentera Iraq kini mula menyasarkan sasaran di bandar Mosul yang merupakan kubu kuat kepada IS.
Sejak Ogos, pesawat jet pejuang diketuai AS telah membuat sebanyak 3,244 serangan udara terhadap IS iaitu 1,879 serangan di Iraq dan 1,365 lagi di Syria.
AS terlibat hampir 80 peratus daripada serangan tersebut, menurut data Pentagon.
Bagaimanapun di Syria, IS masih mengekalkan pengaruhnya meskipun kehilangan kawasan sekitar Kobane baru-baru ini kerana berjaya meluaskan penguasaan di Homs dan Damsyik termasuk di kem pelarian Yarmuk, kata Warren.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XLg0rRZa 
Hakcipta terpelihara 

Rusia bekal peluru berpandu S-300 kepada Iran



BEBERAPA buah trak Rusia membawa peluru berpandu S-300 dalam satu raptai perarakan di Moscow pada Mei 2009.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin membatalkan larangan membekalkan sistem pertahanan peluru berpandu canggih S-300 kepada Iran kelmarin selepas Teheran mencapai satu persetujuan berhubung rundingan program nuklearnya dengan Barat.
Perkembangan itu mencetuskan kecaman Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Satu dekri yang ditandatangani Putin memberi lampu hijau untuk penghantaran peluru berpandu itu ke Iran sekali gus menamatkan larangan pembekalan peluru berpandu darat ke udara yang dikuatkuasakan sendiri oleh Moscow.
Langkah itu dilakukan sebelum sekatan Barat ke atas Iran ditarik balik susulan perjanjian antara Teheran dan enam kuasa dunia pada 2 April lalu yang bertujuan mengekang cita-cita nuklear republik Islam itu. Run­dingan berbentuk teknikal berhubung perjanjian sama akan disambung minggu hadapan.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bertegas bahawa penghantaran peluru berpandu itu tidak termasuk dalam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sistem peluru berpandu itu untuk pertahanan dan tidak mengancam musuh Iran,” katanya.
Walaupun bukan sistem peluru berpandu paling canggih, S-300 dapat mengukuhkan pertahanan Iran dalam menentang sebarang serangan ke atas lokasi nuklearnya.
Perkembangan itu mendorong Setiausaha Negara AS, John Kerry menyuarakan kebimbangannya dalam satu panggilan telefon kepada Lavrov.
“Kami berpendapat Iran mengucar-ngacirkan rantau Arab seperti di Yemen, Syria atau Lebanon. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk menjual sistem peluru berpandu ini kepada mereka,” kata pemangku jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf.
Israel yang menentang perjanjian nuklear Iran mengecam keputusan Rusia yang disifatkan sebagai bukti bahawa Teheran menggunakan perjanjian itu untuk mempersenjatai negara itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3XLfh2XMj 
Hakcipta terpelihara 

‘Saya rela dipecat’

Shah Alam: “Saya rela dipecat dengan tindakan ini demi memperjuangkan nasib guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini,” kata Ekhsan Bukharee Badrul Hisham, guru KAFA yang menuntut kerajaan Selangor menaikkan pemberian elaun tambahan RM200 untuk kumpulan itu seperti dijanjikan.
Menurutnya, jika itu harga perlu dibayar untuk pengorbanan terhadap nasib guru KAFA di negeri itu, dia sanggup dipecat.
Katanya, tindakan dilakukan selama ini untuk menuntut manifesto ketika pilihan raya umum lalu ditunaikan.
Ekhsan Bukharee, 24, berkata, tindakan itu diambil selepas melihat Menteri Besar Mohamed Azmin Ali seolah-olah mendiamkan diri sedangkan ia membabitkan nasib lebih 7,000 guru KAFA di negeri itu.
“Dengan elaun RM1,212 sebulan, bagaimana kami mahu meneruskan kehidupan seharian.
“Ada guru KAFA tidak mempunyai pilihan lain sehingga mencari kerja sambilan sebagai pekerja pembersihan, menjual kuih dan mengajar mengaji.
“Itu belum ditolak kos barang dapur, bil utiliti, pinjaman kereta, peribadi selain perbelanjaan untuk keluarga termasuk mereka yang menjaga emak dan ayah,” katanya ditemui di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:31 AM


EKHSAN menunjukkan mesej seolah-olah ugutan selepas menyerahkan memorandum mengenai elaun guru KAFA minggu lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43850#sthash.Gqunz6an.dpuf

Konservatif di depan



CAMERON berselfie dengan seorang penduduk ketika berkempen di Alnwick, timur laut England, semalam.



London: Parti Konservatif melonjak enam mata mendahului Parti Buruh dalam kempen pilihan raya Britain, seterusnya meletakkan David Cameron dalam kedudukan selesa untuk meraih kemenangan majoriti.

Dengan hanya tinggal tiga minggu lagi sebelum hari pengundian, kaji selidik dilakukan menunjukkan 39 peratus pengundi mengaku memilih Konservatif berbanding 33 peratus untuk Buruh, menurut laporan yang dikeluarkan ICM yang bertanggungjawab menjalankan kaji selidik itu.

Hasil tinjauan mengejut itu diterbitkan semalam selepas Parti Konservatif mengumumkan manifesto pilihan raya termasuk untuk membatalkan cukai warisan bagi rumah keluarga yang bernilai sehingga £1 juta (RM5.4 juta).

Laporan itu pasti mengecewakan ketua Buruh, Ed Miliband yang mengumumkan manifesto partinya semalam, berikutan beberapa tinjauan sebelum ini membayangkan partinya mendahului Konservatif.

Menurut tinjauan ICM untuk akhbar The Guardian, pihak Konservatif melonjak tiga peratus dalam tempoh sebulan lalu manakala Buruh jatuh dua mata.

Parti Liberal Demokrat masih tidak berubah kedudukan lapan peratus manakala Ukip dan Greens masing-masing tujuh.

Tinjauan berasingan oleh bangsawan Dewan Pertuanan dari Parti Konservatif, Lord Ashcroft, menunjukkan parti itu dan Buruh dalam kedudukan seri iaitu 33 peratus, manakala Ukip dan Liberal Demokrat masing-masing 13 serta sembilan mata.

Kempen Konservatif pasti lebih bersemangat dengan hasil tinjauan ICM Guardian itu kerana ia menggambarkan sokongan paling kuat terhadapnya sejak 2012, selain tiga mata lebih tinggi daripada sokongan diterima pada 2010.

Cameron berulang kali menyatakan keyakinan Konservatif mampu mendapat kemenangan majoriti pada pilihan raya 7 Mei ini.

Dia memerlukan 23 kerusi lagi untuk menjadikan jumlah kerusi yang dikuasai partinya kepada 326, jumlah majoriti di Parlimen.

Cameron menganggap pilihan raya itu sekadar pilihan antara dirinya dengan Miliband dan hasil tinjauan diumumkan semalam jelas menunjukkan rakyat berpuas hati dengan prestasinya sebagai Perdana Menteri.


16 batang sehari



DIWAN cuba menyalakan rokoknya.



Cicapar: Seorang budak berusia tujuh tahun yang ketagih rokok sejak berumur empat tahun menghisap 16 batang rokok sehari, selepas mengurangkannya daripada tiga bungkus sehari.

Diwan Awalidan dan tiga rakannya, Nawan, 11, Jujun, tujuh, dan Dede, lapan, dari Jawa Barat antara beberapa kanak-kanak di kampung Cicapar yang lebih gemar menghabiskan masa menghisap rokok daripada bermain.

Ibu bapanya berkata, mereka tidak berupaya memaksa Diwan berhenti.

Dia akan membeli rokok keretek dengan mengguna wang saku. Kadang-kadang dia mencuri duit ibunya untuk melepaskan ketagihnya.

Dia sudahpun menunjukkan masalah kesihatan akibat tabiatnya.

Kedua-dua ibu bapanya merokok, tetapi mereka cuba memujuk Diwan berhenti kerana bimbang masalah kesihatannya bertambah teruk.

Diwan dan rakannya kini bersembunyi untuk merokok di kawasan sawah berhampiran.

Bapanya, Iyan, 36, berkata: “Diwan merokok sejak usia tiga tahun. Ketika itu dia boleh menghisap tiga bungkus rokok sehari.

“Jika tidak dibe rikan wang rokok, dia akan marah atau mencuri rokok atau mencuri wang untuk membelinya.”

Diwan berkata, dia tidak merancang berhenti dan percaya imej grafik pada bungkusan rokok yang mempamerkan kesan buruk akibat merokok sebagai palsu.

Tabiat merokok semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia, negara kelima terbesar dalam pasaran rokok dunia.

“Indonesia mempunyai lebih ramai perokok kanak-kanak bawah usia 10 tahun berbanding negara lain. Tidak menghairankan kerana jika anda memandu di negara itu, anda dapat menyaksikan begitu banyak iklan rokok.” kata Presiden Kempen Bebaskan Kanak-Kanak Dari Tembakau, Matt Myers.

Tabiat merokok bukan sukar untuk dicontohi kerana ia sudah menjadi satu budaya di Indonesia, dikukuhkan lagi dengan iklan yang sudah sekian lama tidak dilihat di negara lain.

Robot memasuki reaktor nuklear Fukushima


Gambar menunjukkan kemusnahan yang berlaku di dalam reaktor nuklear
Gambar menunjukkan kemusnahan yang berlaku di dalam reaktor nuklear Fukushima yang berjaya dirakam oleh sebuah robot, baru-baru ini. AGENSI
TOKYO 14 April – Jepun mencipta sejarah apabila berjaya menghantar sebuah robot memasuki reaktor nuklear Fukushima yang meletup dalam tragedi tsunami pada 2011, serta merakamkan beberapa keping gambar menarik di dalam reaktor nuklear itu, dalam satu misi pemeriksaan, baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, robot itu merakamkan gambar-gambar kemusnahan tersebut ketika melakukan pemeriksaan ke atas cecair minyak di dalam salah satu daripada enam reaktor nuklear terbabit.
Robot tersebut berjaya berada di dalam reaktor yang terjejas akibat tsunami itu yang meragut lebih 16,000 nyawa, selama tiga jam.
Robot yang dibina oleh Hitachi-GE Nuclear Energy dan Institut Penyelidikan Antarabangsa untuk Penyahtauliahan Nuklear, sepatutnya mampu melaksanakan misi selama 10 jam di dalam reaktor yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia.
Namun, jangka masa misi itu terpaksa dipendekkan selepas salah satu daripada komponen robot itu gagal berfungsi dengan baik.
Misi kedua yang di jadual berlangsung, semalam turut dibatalkan bagi membolehkan jurutera meneliti masalah yang dihadapi.
Syarikat Tokyo Electric Power yang bertanggungjawab mengendalikan reaktor nuklear Fukushima berkata, robot berkenaan hanya berjaya melaksanakan dua pertiga daripada misi yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, kami mendapat maklumat yang cukup bagi membolehkan robot dihantar lebih jauh ke dalam reaktor pada masa akan datang,” jelas Syarikat Tokyo Electric Power dalam satu kenyataan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/robot-memasuki-reaktor-nuklear-fukushima-1.81026#sthash.zy0DhB18.dpuf

Parti politik Indonesia cadang haram pengambilan alkohol


Seorang lelaki Islam mengoyakkan sebuah kain rentang jenama minuman
Seorang lelaki Islam mengoyakkan sebuah kain rentang jenama minuman keras di Jakarta,baru-baru ini. AGENSI
JAKARTA 14 April - Dua buah parti politik Islam di negara ini mengemukakan cadangan undang-undang baharu bagi mengharamkan pengambilan alkohol dan mengenakan hukuman penjara selama dua tahun ke atas pesalah terbabit, lapor Jakarta Post, hari ini.
Namun, sehingga kini tiada maklumat tentang sokongan yang diterima bagi membolehkan undang-undang itu dibentangkan di Parlimen, walaupun undang-undang tersebut pernah ditolak sebelum ini.
“Di bawah undang-undang berkenaan, individu yang mengambil minuman keras akan dikenakan hukuman penjara sama seperti mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah,” kata Muhammad Arwani Thomafi, salah seorang anggota Parti Keadilan Sejahtera.
Undang-undang itu yang dicadangkan oleh parti itu dan Parti Pembangunan Bersatu turut mengharamkan penjualan, pembuatan, penghantaran dan penggunaan kesemua minuman yang mengandungi satu peratus alkohol.
Indonesia yang mempunyai penduduk kira-kira 250 juta orang, mencatat kadar penjualan minuman keras meningkat mendadak sejak kebelakangan ini dan turut tersenarai sebagai negara ke-10 paling banyak peminum minuman keras.
“Sudah tentu saya tidak bersetuju dengan cadangan itu, jadi selepas ini apa lagi yang mereka mahu haramkan,” kata seorang pekerja swasta, Diponagara yang menentang cadangan itu.
Menurut Jakarta Post, pelaksanaan undang-undang itu akan dikecualikan di beberapa tempat bagi keperluan pelancong seperti di hotel lima bintang dan resort di Bali. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/parti-politik-indonesia-cadang-haram-pengambilan-alkohol-1.81028#sthash.Ueg9MD7l.dpuf

7 maut serangan di selatan Thai


Anggota forensik Thailand memeriksa rumah salah seorang mangsa
ANGGOTA forensik Thailand memeriksa rumah salah seorang mangsa terbunuh dalam serangan di Narathiwat pada malam Ahad lalu. AGENSI
BANGKOK 14 April – Sebanyak tujuh orang maut termasuk seorang pegawai kesihatan tempatan dalam dua kejadian serangan berasingan di wilayah Narathiwat dan Yala di selatan negara ini.
Dalam kejadian di Mukim Moo 12 di daerah Sukhirin, Narathiwat, enam penduduk kampung maut dalam dua insiden tembakan berasingan di dua buah rumah yang terletak hanya beberapa meter antara satu sama lain, malam kelmarin.
Portal Bangkok Post melaporkan, dalam kejadian itu sebanyak empat orang terbunuh selepas diserang kumpulan yang bersenjatakan raifal M16 yang kemudiannya bertindak membakar mayat mangsa.
Kejadian itu disedari pembantu ketua kampung, Ahama Arwae yang kemudiannya meminta penduduk membantu memadamkan kebakaran sebelum menghubungi Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin dan Gabenor wilayah, Nattapong Sirichana yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Polis kemudiannya menemukan dua lagi mayat di sebuah rumah yang jaraknya 20 meter dari rumah pertama serta menemui lapan kelongsong peluru M16.
Polis masih menyiasat motif serangan tersebut.
Menurut saksi, penyerang terdiri daripada 12 orang yang kemudiannya berpecah kepada dua kumpulan sebelum melakukan serangan itu.
Sementara itu, dalam kejadian lain di daerah Rueso, Narathiwat, seorang pegawai kesihatan maut sejurus dia tiba di sebuah sekolah untuk melakukan pemeriksaan, pagi semalam selepas diserang dua lelaki bersenjata yang menaiki sebuah motosikal.
Mangsa meninggal dunia di hospital dan polis menemui lapan kelongsong peluru dari sepucuk pistol 9mm di tempat kejadian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/7-maut-serangan-di-selatan-thai-1.81030#sthash.7oqEKcIk.dpuf