Saturday, June 7, 2014

8 Penyakit Yang Boleh Sembuh Dengan Berjalan Kaki


Jika selama ini anda malas untuk berjalan, fikirkan kembali. Satu kajian telah membuktikan berjalan boleh mengurangkan lapan jenis penyakit dan yang paling penting adalah proses rawatan tanpa mengeluarkan wang.
Berikut 8 jenis penyakit yang boleh disembuhkan dengan berjalan :-

1. Serangan Jantung: Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.

Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Tidak banyak cara di luar dapat mengubati seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.

2. Stroke: Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak: Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar, kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.

4. Melangsingkan Badan: jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama diperut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser: Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).

Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis: Sering berjalan bukan hanya menyebabkan otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.

Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis: Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).

Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi: Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.SUMBER

Segi Astana: Caj parking RM46 sehari berpatutan

KLIA2
KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Segi Astana Sdn Bhd, tidak berhasrat untuk menurunkan kadar bayaran meletak kereta dalam masa terdekat memandangkan tempoh operasinya masih baru.

Pengurusnya, Vincent Chong berkata kadar bayaran tersebut sememangnya berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya berbanding caj yang dikenakan di tempat meletak kereta Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini.

"Kadar bayaran meletak kereta di klia2 dan LCCT masing-masing adalah RM46 dan RM40.50 sehari. Jika hendak dibandingkan dengan kadar bayaran di kedua-dua tempat, perbezaan kosnya sangat minimal.

"Ini disebabkan pihak kami juga telah meningkatkan pelbagai kemudahan seperti kawalan sekuriti 24 jam, tempat meletak kereta berbumbung dan berpagar, 'servis buggy', dan ruangan kapasiti sebanyak 5,690 petak tempat meletak kereta disediakan untuk keselesaan para pengunjung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kata Chong, tempat meletak kereta lapan tingkat itu sentiasa penuh pada setiap hujung minggu serta cuti umum dan ini membuktikan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

"Bagaimanapun, pihak kami akan terus mendapatkan maklum balas daripada pengunjung untuk melakukan penambahbaikan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad berkata tempat meletak kereta alternatif disediakan bagi mereka yang mahukan kadar bayaran lebih rendah iaitu di Long-term Car Park (LTCP) yang terletak di Jalan KLIA1.

"Terdapat 6,000 petak dengan kadar bayaran sebanyak RM2.50 bagi setiap jam atau RM32 untuk satu hari.

"Namun, pengunjung perlu menaiki bas ulang-alik yang disediakan secara percuma pada setiap 15 minit untuk ke terminal kerana jarak perjalanannya agakjauh iaitu kira-kira 7 kilometer dari LTCP," katanya kepada Bernama. - Bernama

Jimmy Shanley, Mariam Jamilah selamat bernikah


07/06/2014 6:24pm

SHAH ALAM - Dengan sekali lafaz, pengacara popular Jimmy Shanley dan pasangannya Mariam Jamilah Abdul Jalil selamat diijab kabul pada pukul 6.23 petang tadi di Hotel Concorde di sini.
Jimmy, 34, dan Mariam, 27, dinikahkan oleh bapa Mariam, Abdul Jalil Othman dengan wang hantaran RM15,000 dan mas kahwin RM1,000.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh menerima tujuh dulang hantaran berupa sepasang kasut, sireh junjung, jubah, jam tangan, kemeja, set kelengkapan lelaki dan buah-buahan.
Sementara itu, Mariam menerima lima hantaran iaitu sebentuk cincin dan mas kahwin, sireh junjung, tas tangan, telefon dan kaca mata serta wangian.
Majlis resepsi pasangan mempelai itu berlangsung di hotel yang sama pada sebelah malam bertemakan warna hijau dan ungu.
Jimmy pernah mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan bercerai pada 10 Oktober 2012.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Zahrah Rania Shanley, 3 tahun. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz33xfuNCsW 
Hakcipta terpelihara 

MH370: Keluarga tawar ganjaran US$3 juta

MH370
SHAH ALAM – Keluarga dan waris penumpang MH370 dari beberapa negara menawarkan ganjaran sebanyak US$3 juta (RM9.6 juta) kepada mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat penting yang membawa kepada penemuan MH370.

Sejak Isnin lalu, beberapa negara yang terlibat melancarkan kempen "Reward MH370: The Search for the Truth" bagi mengutip dana untuk dijadikan ganjaran kepada pemberi maklumat tentang kehilangan pesawat MH370.

Seperti yang dilaporkan melalui Astro Awani, antara beberapa negara yang terlibat dalam kutipan dana tersebut ialah dari Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Perancis dan India.

Kempen tersebut dilancarkan berikutan dengan ketidakpuasan hati para keluarga penumpang MH370 yang tidak diberikan maklumat lengkap dan bukti yang kukuh tentang kehilangan pesawat MAS terbabit.

Daripada jumlah itu, US$3 juta (RM9.6 juta) akan menjadi ganjaran kepada pemberi maklumat tentang kehilangan pesawat itu.

Baki US$2 juta (RM6.4 juta) adalah untuk membiayai penyiasat persendirian yang dapat memberikan maklumat baharu.

Menurut salah seorang waris penumpang, Sarah Bajc, dia yakin bahawa ada pihak atau indidvidu sedang menyembunyikan maklumat penting mengenai kehilangan pesawat terbabit.

"Kami mengambil inisiatif sendiri. Jika terdapat bukti bahawa pesawat itu terhempas di dalam air, atau kusyen tempat duduk, saya akan mengambil pendekatan yang  berbeza. Tetapi  tiada apa-apa ditemui.

"Tiada kepastian di sini, tetapi kami percaya bahawa kami perlu mencuba sesuatu, jika kita hanya duduk dan membiarkan misi pencarian ini diteruskan, saya fikir ianya tidak akan selesai," katanya menerusi akhbar USA Today.

Setakat ini, jumlah yang disasarkan untuk dikutip ialah US$5 juta (RM16 juta) melalui laman web Indiegogo.

Pemimpin antirampasan kuasa ditahan junta tentera


  • Tentera cuba untuk memenangi hati rakyat menerusi acara hiburan yang dianjurkan oleh mereka. Gambar kecil: Sombat.Tentera cuba untuk memenangi hati rakyat menerusi acara hiburan yang dianjurkan oleh mereka. Gambar kecil: Sombat.

BANGKOK - THAILAND. Junta tentera, semalam mengesahkan mereka telah menahan pemimpin antirampasan kuasa paling dikehendaki di Thailand.

Sombat Boonngamanong yang menjadi pencetus kempen dalam talian untuk mengadakan perhimpunan membantah rampasan kuasa oleh tentera diberkas, lewat kelmarin di timur wilayah Chonburi.

Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, mereka berjaya mengesan jejak Sombat menerusi internet.

"Aktivis terkenal tersebut boleh didakwa kerana gagal menghadirkan diri ketika dipanggil junta tentera kira-kira dua minggu lalu," katanya kepada AFP.

Difahamkan, Sombat telah memuat naik status mesej berbaur provokasi di Facebook selepas dia enggan menyerah diri pada bulan lalu.

Selain itu, pemimpin pakatan kumpulan Baju Merah itu turut menggesa penyokongnya untuk mengadakan perhimpunan secara aman sebagai membantah  pemerintahan tentera.

Dalam perkembangan lain, tentera dilihat cuba memenangi hati rakyat dengan pemberian makanan percuma dan mengadakan acara hiburan di ibu negara.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang kononnya mahu mengembalikan kegembiraan penduduk di Bangkok telah dikecam beberapa pihak yang menyifatkan ia sebagai propaganda semata-mata.

Kerajaan sementara Thai dilantik tiga bulan lagi


BANGKOK 6 Jun - Ketua kerajaan junta Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha memberi jaminan akan melantik perdana menteri dan Kabinet sementara dalam tempoh tiga bulan akan datang, semasa mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan dari China.
Prayuth bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut dan bagaimana proses pemilihan keanggotaan Kabinet sementara itu,
Portal berita, The Nation melaporkan, Prayuth berkata, usahawan China diminta bekerjasama dengan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO) supaya mengetepikan konflik kepentingan dan rasuah bagi menurunkan harga barang dan kos projek-projek pembinaan.
Beliau berkata, NCPO turut menyokong perdagangan bebas dan persaingan adil dalam kalangan ahli perniagaan dengan ahli perniagaan China diminta memindahkan teknologi mereka kepada rakan mereka di Thailand.
Pada masa sama, Prayuth menggesa ahli perniagaan China memberitahu pelancong dari negara itu bahawa perintah berkurung tidak memberi kesan kepada penduduk atau pelancong.
Dalam perkembangan berasing­an, kerajaan junta Thailand menahan seorang pemimpin antirampasan kuasa yang hidup dalam pelarian apabila dia menghadapi hukuman penjara ketika pentadbiran tentera itu berusaha menghapuskan kritikan terhadap tindakan tentera merampas kuasa.
Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, Sombat Boonngama­nong yang mengetuai kempen dalam talian supaya rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan menentang tindakan tentera itu ditahan di malam tadi di wilayah timur Chonburi.
"Kami mempunyai sebuah pasukan yang berjaya menjejaki Sombat menerusi Internet.
"Dia berdepan tuduhan awal melibatkan mengingkari arahan untuk melaporkan diri kepada kerajaan junta," katanya.
Sombat merupakan satu daripada ratusan orang termasuk ahli politik, aktivis, ahli akademik, wartawan yang perlu melapor diri kepada junta ekoran rampasan kuasa pada 22 Mei lalu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_04/Kerajaan-sementara-Thai-dilantik-tiga-bulan-lagi#ixzz33vgOff2y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis pakai ala tentera pujuk hati rakyat Thailand


BANGKOK 7 Jun - Beberapa wanita cantik telah diarahkan junta tentera Thailand untuk memakai pakaian ala tentera yang menarik dan meminta mereka menyanyi, menari dan tabik kepada orang ramai bagi memenangi hati dan minda rakyat ekoran rampasan kuasa yang mencetus kontroversi sebelum ini.
Beberapa anggota tentera wanita Thailand turut dilihat menyanyi bersama di belakang trak tentera di jalan-jalan utama Bangkok.
Inisiatif yang dilakukan ini termasuk menganjurkan beberapa parti jalanan dengan menyediakan makanan dan muzik percuma, yang mana merupakan sebahagian daripada kempen perhubungan awam oleh pemerintah baharu negara Asia Tenggara itu berikutan penggulingan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bulan lepas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_01/Gadis-pakai-ala-tentera-pujuk-hati-rakyat-Thailand#ixzz33vefNf00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rancangan realiti lahir anak di hutan dikritik


LOS ANGELES 6 Jun - Rancangan realiti baharu saluran televisyen Lifetime memaparkan sebuah keluarga melahirkan bayi mereka di dalam hutan tanpa sebarang peralatan moden dan bantuan doktor, mendapat kritikan ramai pihak.
Laman web Mail Online melaporkan, orang ramai mengkritik idea tersebut yang disifatkan membahayakan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.
Rancangan bertajuk Born in the Wild itu akan memaparkan lelaki dan wanita yang membuat keputusan untuk melahirkan anak mereka di dalam hutan.
Lifetime berhasrat untuk menghasilkan rancangan itu selepas melihat video seorang wanita melahirkan bayinya di dalam hutan tanpa sebarang bantuan di laman perkongsian video, YouTube.
"Apa yang akan berlaku apabila seorang wanita atau ibu bapa membuat keputusan melahirkan anaknya di dalam hutan," kata Lifetime dalam satu kenyataan memperke­nalkan rancangan tersebut.
Pihak pengurusan Lifetime berharap, rancangan itu akan dapat mewujudkan trend melahirkan bayi di rumah di kalangan penduduk negara ini dan bukannya seperti kebiasaan di hospital.
"Mereka yang akan terlibat dalam rancangan ini merupakan individu yang berpengalaman dan pernah melahirkan bayi sebelum ini. Selain itu, mereka turut akan pantau oleh krew penerbitan," jelas Lifetime lagi.
Februari lalu, seorang pengguna YouTube memuat naik satu rakaman video seorang wanita melahirkan bayi di dalam hutan dengan hanya dibantu oleh ahli keluarganya sahaja.
Sejak dimuat naik, video tersebut telah ditonton oleh lebih 20 juta orang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_08/Rancangan-realiti-lahir-anak-di-hutan-dikritik#ixzz33vdMqgWW
© Utusan Melayu (M) Bhd