Showing posts with label jodoh. Show all posts
Showing posts with label jodoh. Show all posts

Sunday, November 4, 2012

Jodoh paling panjang



         
KETIKA kebanyakan rumah tangga pada masa ini gagal bertahan, Karam, 107, dan isterinya, Katari Chand, 100, menjadi bukti bahawa rumah tangga yang dapat berkekalan begitu lama tetap wujud.

Pasangan yang mempunyai lapan anak dan 28 cucu itu hidup berumah tangga selama 87 tahun, menjadikan mereka pasangan paling lama berkahwin di dunia.


Menurut mereka, kunci kepada kejayaan itu ialah menjaga satu sama lain dengan apa cara sekali pun.

“Apa yang saya lakukan ialah membuat Katari ketawa. Saya suka berjenaka dan membuatnya tersenyum. Itu cara untuk menjadi romantik.


“Saya diberitahu, ketawa akan membuat anda hidup lebih lama. Ia terbukti berjaya kerana isteri saya masih hidup. Saya sangat sayangkan dia dan saya mahu menghabiskan masa 80 tahun lagi bersama-samanya,” kata Karam.


Daripada sajian romantik hingga berkongsi cerita jenaka, pasangan itu yang berasal dari Punjab, India dan kini menetap di Bradford akan memastikan mereka melakukan sesuatu, walaupun kecil, untuk memastikan percintaan mereka sentiasa mekar.

Bercakap kepada laman romantik, Zoosk.co.uk, Katari berkata: “Ketika muda, saya sentiasa menyediakan makanan segar untuknya. Memandangkan kami hanya memakan sayur, saya membelikannya banyak sayur segar dan memastikan dia makan makanan yang sihat.


“Kesihatan sangat penting dan saya mahu menjaganya supaya kami dapat tua bersama-sama. Ada yang kata kami sudah berjaya.

“Satu lagi, saya sentiasa menyimpan sebahagian capati saya untuknya. Satu usaha untuk memastikan dia menghargai saya dan secara tidak langsung, ia membolehkan saya kekal langsing,” katanya.


Karam yang gemar mencari perkataan baru setiap hari bagi memastikan mindanya terus bekerja percaya, menghabiskan banyak masa bersama turut membantu mengekalkan rumah tangganya.


“Selama 50 tahun kami tidak pernah berjauhan untuk masa lama. Kami keluar bersama-sama. Kami ke India dengan seluruh keluarga setiap tahun. Dan untuk menghadiri perkahwinan saudara mara, saya memastikan kami pergi bersama,” katanya.


Rumah tangga mereka bertahan hampir lima tahun lebih lama daripada pemegang Rekod Dunia Guiness yang ada sekarang dan mereka kini dalam proses mendapatkan pengesahan daripada syarikat itu untuk dinobatkan sebagai pemegang rekod baru.


Kebanyakan rumah tangga pada zaman moden gagal bertahan lama dan pengalaman menjadikan Karam lelaki terbaik untuk mendapatkan nasihat.


“Pada masa lalu, orang ramai akan mendengar, tetapi orang sekarang tidak mendengar satu sama lain secara betul. Mereka terlalu sibuk bekerja, menonton televisyen dan memberi tumpuan terhadap keadaan sekitar mereka.


“Hubungan adalah mengenai persefahaman antara satu sama lain dan mendengar masalah serta pandangan. Nasihat saya kepada orang muda, baik lelaki mahupun wanita, dengar apa yang hendak disampaikan teman anda. Tunjukkan minat kepada apa yang hendak mereka katakan dan bantu mengatasi kebimbangan atau masalah yang mereka hadapi,” katanya.


Anak mereka, Satpaul, sangat bangga dengan hubungan ibu bapanya.


“Kami tinggal bersama-sama mereka di Bradford dan menjaga mereka kerana kami mahu mereka berkekalan sepanjang hayat.


“Saya tidak mahu melihat kisah percintaan mereka berakhir. Saya percaya dengan membantu mereka sejak beberapa tahun lalu membolehkan mereka menghabiskan masa dengan bahagia tanpa tekanan.


“Pada masa sama, anda perlu menghargai mereka ketika mereka masih hidup kerana anda tidak tahu sampai bila mereka akan berada di sisi anda,” katanya.


Perkahwinan Karam dan Katari diatur keluarga mereka. Pasangan itu akan mengadakan jamuan besar bulan ini untuk menyambut ulang tahun kelahiran ke-107 Karam dan yang ke-100 Katari. Datuk Bandar Bradford dan sebahagian penduduk akan menyertai keraian itu.

Wednesday, March 30, 2011

Ustaz bertemu jodoh saudara baru ketika berdakwah


KUCHING: “Saya tidak sangka bertemu jodoh dengan saudara baru ketika bertugas, malah perkenalan dengan isteri ketika mengajar di Lundu menjadi titik mula ‘percintaan’ kami hingga ke alam rumah tangga,” kata Abd Hadi Abd Halim, 25.
Dia yang bekerja sebagai Penyelia Kawasan Saudara Baru berkata, keadaan yang berlaku di luar perancangan kerana isterinya memeluk Islam hanya selepas tiga hari menyertai sesi penerangan mengenai agama baru.

Menurutnya, semuanya bermula sejak dua bulan lalu selepas ditugaskan ke Kampung Pasir Ulu, untuk berdakwah mengenai Islam di kawasan itu dan bertemu saudara baru di sana.

“Ketika itu, saya bersama beberapa pegawai beramah mesra dengan penduduk di kampung itu dan seorang daripada mereka adalah isteri saya yang tertarik memeluk Islam selepas mendengar taklimat guru agama.

“Kami kemudian mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama dan dia kini bukan saja isteri, malah ‘pelajar’ saya di kelas agama,” katanya ketika ditemui pada majlis Seminar Pengukuhan Jati Diri Saudara Baru, di sini.

Bagi isterinya, Qistina Jaboh, 21, tiada yang lebih menggembirakannya dalam hidup selepas memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang yang digelarnya ustaz sebelum ini.

“Sejak bergelar isteri, saya mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pembantu sebuah kafe dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan belajar mengenai Islam dengan lebih mendalam,” katanya.

Sunday, March 13, 2011

Pasangan cacat penglihatan bertemu jodoh

Kosmo!

MUHAMMAD ADAM (tiga dari kanan) dan Nurul Khairani (empat dari kanan) bergambar bersama ahli keluarga dan rakan-rakan selepas diijab kabul di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Biarpun tidak dapat melihat, ia tidak menghalang bagi pasangan mualaf untuk mendirikan rumah tangga seperti insan normal lain.
Muhammad Adam Lee Abdullah, 39, selamat diijab kabul bersama Nurul Khairani Choi Abdullah, 37, dengan mas kahwin RM80 di surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.
Adam yang telah memeluk agama Islam 17 tahun lalu menceritakan detik pertama perkenalannya bersama Nurul.
"Saya mula mengenali Nurul selepas salah seorang rakan saya memberikan nombor telefon Nurul kepada saya. Pada mulanya kami hanya berkenalan atas dasar saudara sesama Islam.
"Hari ini (semalam) genap dua tahun tempoh perkenalan kami serta Nurul memeluk agama Islam," katanya selepas majlis akad nikah semalam.
Ceritanya lagi, sepanjang perkenalannya, mereka selalu bertukar-tukar pendapat serta bercerita mengenai agama Islam.
Adam juga mempunyai kelebihan dalam menterjemah buku atau apa-apa penulisan ke dalam bentukbraille dengan menggunakan komputer.
Nurul yang berwalikan hakim semalam memberitahu, keluarga tidak pernah menghalang dirinya untuk memeluk agama Islam dan berkahwin sekali lagi.
"Saya pernah berkahwin lapan tahun lalu tetapi sudah bercerai. Adam sanggup menerima diri saya seadanya dan juga anak-anak saya yang berumur 10 dan 12 tahun.
"Adam telah menganggap anak-anak saya seperti anak kandungnya sendiri. Dia banyak mengajar saya dalam mendalami agama Islam," jelasnya.
Mereka yang baru membina tiang masjid itu mempunyai perancangan tersendiri dalam merangka perjalanan hidup selepas bergelar suami isteri.
Tambahnya, ramai pihak yang telah terlibat dalam membantu perkahwinan mereka dengan menaja pakaian pengantin, alat solek serta hiasan.

Wednesday, January 5, 2011

'Lupakanlah hasrat jadi isteri ayah kami'


Ahmad Md. Isa dijaga dua anaknya, Hamiah (kanan) dan Fatimah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 4 Jan. - Hasrat dua wanita, Sanah Ahmad, 82, dan Zainab Salleh, 70, untuk menjadi teman hidup kepada warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa mungkin tidak akan tercapai.
Ini kerana anak-anak Ahmad dengan rasa berat hati terpaksa meluahkan rasa tidak bersetuju terhadap hasrat bapa mereka itu untuk berkahwin semula dalam usia tersebut memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin hari semakin teruk.
Sambil menghormati hasrat dua wanita tersebut, seorang anak Ahmad, Fatimah, 64, berkata, tahap kesihatan bapanya semakin menyusut apabila sudah empat hari tidak menjamah nasi dan terpaksa kencing dengan menggunakan botol kerana tidak larat untuk berjalan.
"Saya minta maaf. Saya terpaksa menolak hasrat mereka yang ingin menjadi isteri kepada ayah saya.
"Saya minta keluarga Sanah tidak datang ke rumah saya Sabtu ini kerana kesihatan ayah semakin teruk," katanya ketika ditemui di Alor Mengkudu di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian dan ekoran itu Sanah dari Kuala Lumpur dan Zainab dari Kerteh sudi untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut.
Fatimah berkata, sejak seminggu lalu tahap kesihatan ayahnya semakin menurun dan memerlukan penjagaan yang rapi.
"Kini setiap hari dia minta urut dadanya kerana sakit-sakit, batuk dan lelah semakin teruk.
"Makan pun dia tiada selera dan hanya makan kuih buah Melaka yang saya buat dan jamah sedikit buah-buahan," ujarnya.
Tambah Fatimah, dia meminta dua wanita yang berhasrat untuk berkahwin dengan ayahnya agar melupakan hasrat tersebut dan meneruskan kehidupan masing-masing seperti biasa.
"Saya memang terkejut kerana tak sangka ada lagi wanita yang masih berminat dengan ayah saya.
"Tetapi tengoklah keadaan ayah saya, dia nak uruskan diri sendiri pun tidak boleh, bagaimana nak jaga seorang isteri," katanya yang tidak mahu wanita itu terbeban menjaga ayahnya.
Jelasnya, kos untuk membeli ubat-ubatan ayahnya juga tidak mampu dibelinya dan jika ada pihak ingin membantu, dia sangat mengalu-alukan mereka yang ingin membantu meringankan bebannya.

Tuesday, January 4, 2011

Lagi wanita warga emas sudi jadi teman Ahmad


Zainab Salleh


KEMAMAN 3 Jan. - Warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa (gambar) mempunyai lebih pilihan dalam mencari teman hidup untuk mengubat kesepian apabila seorang lagi wanita menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
Wanita berkenaan, Zainab Salleh, 70, lebih muda 12 tahun daripada Sanah Ahmad, 82, dari Kuala Lumpur yang mula-mula menawarkan diri untuk menjadi isteri Ahmad selepas membaca kisahnya mencari teman hidup di akhbar baru-baru ini.
Zainab dari Kampung Telaga Papan, Kerteh dekat sini yang tersentuh dengan kisah Ahmad menyatakan kesediaan untuk menjadi isterinya agar usia tua tidak lagi dilalui secara bersendirian.
"Sunyi itu sakit. Jika dia terima, saya sedia tinggal bersamanya di Kedah," ujar Zainab yang kematian suami 15 tahun lalu.
Ibu kepada lapan orang anak berusia 30 hingga 53 tahun itu berkata, dia memahami mengapa dalam usia yang begitu lanjut Ahmad masih memerlukan teman.
Zainab kini tinggal berseorangan selepas anak perempuan yang menemaninya selama ini berkahwin beberapa bulan lalu dan berpindah mengikut suaminya.
Sebelum ini kata Zainab, dia pernah berkenalan dengan seorang lelaki dari Pasir Puteh, Kelantan dan merancang untuk berkahwin, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak serius.
"Anak-anak belum tahu mengenai hasrat ini dan saya harap mereka dapat menerimanya. Kalau boleh saya mahu seorang peneman hidup, sekurang-kurangnya dapat berbual dan berkongsi rasa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia menyiarkan tentang keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian.
Tahap kesihatan Ahmad yang menetap di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah bagaimanapun dilaporkan agak menurun kebelakangan ini.
Ditanya mengenai hajat Sanah yang turut menyuarakan hasrat menjadi isteri Ahmad, Zainab menyerahkan perkara itu kepada takdir.
''Saya maklum ada seorang lagi wanita yang ingin menjadi isteri Ahmad dan saya tidak kisah kerana percaya kepada ketentuan jodoh," katanya.
Zainab yang kelihatan masih bertenaga berkata, tahap kesihatan Ahmad tidak menjadi soal kerana dalam usia emas tiada seorang pun yang sihat berpanjangan.

Sunday, January 2, 2011

Anak bimbang ayah sering sakit



AHMAD menatap akhbar Kosmo! yang memaparkan kisah dirinya menggunakan kanta pembesar di rumahnya di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Keluarga seorang warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa bimbang masalah kesihatan yang dihadapinya boleh menimbulkan kesukaran kepada bakal wanita yang mahu mengahwininya.
Anak perempuannya, Fatimah, 64, memberitahu, sejak kebelakangan ini bapanya sering diserang lelah dan batuk.
Katanya, keadaan kesihatan bapa yang tidak menentu dikhuatiri boleh menimbulkan masalah kepada bakal isteri barunya.
“Sejak tiga hari lalu ayah kerap batuk dan lelah. Anak-anak bimbang boleh jadi masalah kepada bakal keluarga baru pula nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Ahmad gembira 'lamaran' Sanah Ahmad


ALOR SETAR 1 Jan. - "Suka... mahu (kahwin) jika ada yang berkenan."
Demikian kata warga emas Ahmad Md. Isa yang berusia lebih 100 tahun ekoran kesudian seorang wanita dari Kuala Lumpur untuk menjadi calon isterinya.
Malah Ahmad turut melahirkan rasa gembira dan terkejut apabila mengetahui masih ada wanita yang bersedia untuk menjadi teman hidupnya.
"Tak kisahlah siapa dia, asal boleh tanak nasi, masak gulai untuk saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Mengkudu di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini melaporkan Sanah Ahmad , 82, dari Kuala Lumpur melahirkan hasratnya untuk menjadi isteri kepada Ahmad setelah terbaca kisahnya yang ingin mencari teman hidup baru-baru ini.
Sanah yang hidup sendirian sejak kematian suami 30 tahun lalu itu juga menyatakan keinginannya untuk bertemu Ahmad di sini.
Dalam pada itu Ahmad memberitahu, selepas mendirikan rumah tangga beliau berhajat untuk terus menetap di rumahnya di sini.
"Sekali-sekala mungkin boleh pergi ke rumah perempuan," katanya.
Sementara itu menurut anak perempuan Ahmad, Fatimah, 64, keluarganya sangat terkejut dan berbesar hati dengan hasrat Sanah.
"Namun kami bimbang masalah kesihatan yang dihadapi bapa boleh menimbulkan kesukaran kepada bakal wanita yang mahu mengahwininya itu nanti.
"Sejak kebelakangan ini bapa sering diserang lelah dan batuk," katanya.
Bagaimanapun kata Fatimah, sekiranya keluarga wanita itu benar-benar serius, perbincangan lanjut mengenai perkara itu boleh dilakukan dengan cara baik.
"Apa pun kedua-dua belah keluarga perlu berbincang supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya.
Menurut Fatimah, keluarga menyerahkan kepada takdir dan ketentuan Tuhan jika masih ada jodoh bapanya untuk berkahwin lagi.
"Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya menyerahkannya kepada ketentuan takdir," katanya.

Saturday, January 1, 2011

Duda, janda abadi cinta di depot tahanan imigresen





PASANGAN pengantin, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan Siti Jawahari diiringi pegawai imigresen berarak selepas diijabkabul di surau Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah, Melaka, semalam. - utusan/Nas Norziela Nasbah


ALOR GAJAH 31 Dis. - Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Mungkin itu kata bidalan yang tepat untuk menggambarkan kisah percintaan Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan pasangannya yang berasal dari Surabaya, Siti Jawahari.
Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok sempena tahun baru 2011 namun ia menjadi tanda tanya apabila Siti, 39, ditahan Jabatan Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu.
Berikutan itu, Siti ditahan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini setelah permitnya didapati tamat pada November lalu.
Namun Nurhisham yang berasal dari Jalan Bendahara di sini nekad untuk meneruskan perkahwinan seperti dirancang walaupun terpaksa dilakukan di depot tahanan itu dengan seadanya tanpa dihadiri saudara-mara dan sahabat handai.
Justeru, tanpa sebarang hantaran, Nurhisham dan Siti memilih hari ini untuk diijabkabulkan dengan mas kahwin sebanyak RM40.
Dengan sekali lafaz, kedua-dua mereka menjadi pasangan suami isteri pada pukul 11.56 pagi setelah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Melaka, Abdul Halim Tawil di surau depot berkenaan.
Walaupun demikian, apa yang mengharukan pasangan berkenaan ialah kerjasama 150 kakitangan depot tersebut yang turut bersama meraikan majlis perkahwinan mereka dengan bergotong-royong menyediakan makanan.
Turut sama, 19 tahanan wanita yang menjadi 'tetamu' majlis tersebut.
Menurut Nurhisham, dia dan isteri sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok setelah membuat pelbagai persiapan termasuk mendaftar di pejabat agama Islam negeri.
"Namun, isteri saya telah ditahan pihak Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu apabila mendapati permitnya tamat pada November lalu.
"Alhamdulillah walaupun menghadapi rintangan, Allah telah mempermudahkan apabila pihak Imigresen juga bersetuju membenarkan kami melangsungkan pernikahan di surau depot ini," kata pengusaha kedai makan itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nurhisham yang memeluk Islam 14 tahun lalu berkata, ini merupakan perkahwinan keduanya dan isterinya itu juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 24 tahun.
"Tidak pernah terlintas di fikiran, perkahwinan saya ini akan mendapat liputan seluruh negara," katanya yang terkejut apabila melihat beberapa wakil media cetak dan elektronik merakamkan detik manis hidupnya itu.
Menurut Siti, perasaannya gembira bercampur sedih apabila terpaksa melangsungkan perkahwinan keduanya itu sebagai seorang tahanan di depot tersebut.
Namun begitu, katanya, dia terharu dengan usaha kakitangan pihak depot terbabit yang bergotong-royong menyediakan makanan bagi meraikan majlis pernikahannya itu.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Imigresen yang sentiasa menjaga kebajikan tahanan di sini dan merealisasikan permintaan saya ini," katanya disertai linangan air mata.
Sementara itu, Komandan depot tersebut, Abu Bakar Sideq Hasan berkata, ini adalah kali pertama pihaknya meraikan pernikahan tahanan di depot tersebut sejak ia beroperasi 20 tahun lalu.
"Memang menjadi keutamaan kami untuk menjaga kebajikan setiap tahanan di sini apatah lagi pasangan ini mempunyai dokumen yang lengkap untuk melangsungkan pernikahan mereka," katanya.

Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad




SANAH (kanan) bersama anaknya, Sabaha membaca kisah 
mengenai Ahmad yang disiarkan akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa untuk mendirikan rumah tangga mungkin tercapai selepas seorang wanita di sini terpaut hati padanya.
Wanita itu, Sanah Ahmad, 82, yang hidup sendirian sejak kematian suami 28 tahun lalu, menyatakan kesediaan untuk bersuamikan warga emas itu selepas membaca kisahnya dalam akhbar Kosmo! pada Rabu lalu.
Menurut Sanah, hatinya berdebar apabila menatap gambar Ahmad yang disifatkannya saling tak tumpah seperti arwah suami keduanya yang merupakan bekas tentera.
“Saya faham kesunyian yang dialami oleh Ahmad kerana saya sendiri pun sunyi tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di Flat Desa Rejang, Setapak di sini semalam