Monday, September 28, 2015

Gaji Pembantu Rumah Warga Filipina AS$400 Sebulan - Malaya


Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 9:38 AM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minima sebanyak AS$400 untuk pembantu rumah warga Filipina perlu dipatuhi, tanpa mengira nilai pertukaran mata wang.
Duta Filipina ke Malaysia, J. Eduardo Malaya berkata majikan pembantu rumah warga Filipina dikehendaki membayar jumlah yang sama dalam mata wang tempatan, negara mereka bertugas.
"Adalah tidak adil sekiranya rakyat kami mendapat gaji rendah di sini (Malaysia). Gaji minima untuk pembantu rumah warga Filipina ditetapkan sebanyak AS$400 sebulan di mana sahaja," katanya selepas menyaksikan perjanjian perkongsian antara PLTD Malaysia dan iFlix Sdn Bhd semasa perasmian perkhidmatan TV dalam talian mereka.
Malaya berkata majikan di sini terpaksa membelanjakan wang berlebihan berikutan nilai mata wang ringgit susut lebih 20 peratus berbanding dolar sejak akhir-akhir ini.
"Sebelum ini, majikan Malaysia hanya membayar RM1,200. Kini mereka terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,700," katanya.
Malaya berkata kedutaan itu telah memaklumkan kepada agensi buruh di Malaysia supaya mematuhi had gaji minima tersebut.
Sementara itu, mengenai perjanjian perkongsian itu, beliau berkata perkhidmatan iFlix disertai dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna untuk mengakses rancangan TV kegemaran mereka menerusi telefon pintar.
"Ia disambut baik rakyat Filipina yang bekerja di sini. Dengan menonton iFlix, mereka berpeluang menonton rancangan kegemaran mereka di kampung halaman secara langsung menerusi telefon pintar mereka," katanya.
Malaya menyambut baik perkhidmatan baharu itu dengan menyifatkan ia sebagai satu lagi peristiwa bersejarah dalam perkongsian perniagaan antara Malaysia-Filipina.

Khairuddin fail cabar penahanan di bawah SOSMA


BEKAS Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto Muhammad Mikail Ong
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, memfailkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) bagi mencabar penahanan beliau mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas cubaan mensabotaj dan menjejaskan negara.
Notis Permohonan habeas corpus itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi sebentar tadi melalui peguamnya, Fahmi Abdul Moin.

Sempat selfie dengan PM Turki


New York: Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu menemui remaja Amerika yang ditahan baru-baru ini selepas jam buatannya disangka bom oleh guru sekolahnya.

Ahmet menemui Ahmed Mohamed, 14, di New York pada acara dianjurkan Yayasan Turken yang membantu pelajar Turki di Amerika Syarikat (AS), Jumaat lalu, ketika pemimpin itu menghadiri mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kota berkenaan.


Ayah Ahmed, Mohamed Elhassan Mohamed berkata, dia sekeluarga berterima kasih atas sokongan pemimpin Turki itu.

“Apa yang berlaku kepada anak saya memang tidak masuk akal. Dia dituduh semata-mata kerana beragama Islam,” katanya.

Pelajar itu sempat mengambil selfie bersama Ahmet dan isterinya Sare.

Ahmed yang keluarganya berasal dari Sudan digari, ditahan dan diambil cap jari oleh polis pada 16 September lalu selepas jam buatannya dibawa ke sekolah disangka bom.

Ahmed mendapat sokongan beberapa pemimpin termasuk Presiden Barack Obama yang menjemputnya ke Rumah Putih. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:39 AM

AHMET dan isterinya bergambar dengan Ahmed (tengah).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80699#sthash.bLkAff23.dpuf

Biar kami hidup merempat’


WARTAWAN SINAR HARIAN
‘Biar kami hidup merempat’

28 SEPTEMBER 2015
‘Biar kami hidup merempat’ Kelihatan pasangan suami isteri berkenaan melepaskan penat menumpang tidur di sebuah surau di pekan Tampin.


TAMPIN - Tidur atas lantai beranda surau tanpa sebarang alas, itulah yang dilalui setiap hari oleh sepasang suami-isteri di pekan Tampin, di sini.

Seawal jam 5 pagi pula, mereka akan berlegar-legar di Taman Rekreasi Tampin sehingga lewat malam.

Tiada pendapatan tetap, sebaliknya bergantung pada bantuan bulanan RM140 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi punca mereka terpaksa menumpang tidur di surau.
Sinar Harian cuba mendekati isi hati pasangan berkenaan untuk mengetahui kisah sebenar sehingga mereka berkeadaan begitu.

Menurut si isteri yang mahu dikenali sebagai Nurul, 47, mereka terpaksa melalui rutin seperti itu kira-kira dua minggu lalu.

Malah, katanya, dia hampir mengalami tekanan perasaan kerana tiada kediaman tetap.

“Kami terpaksa tidur di beranda surau. Itu pun waktu tengah malam, bila orang dah tak ada. Bangun pula jam 5 pagi sebab tak mahu ada orang marah kami.

“Apa lagi yang kami boleh buat, kami tak ada tempat tinggal. Keluarga pun dah tak mahu kami tinggal bersama mereka,” katanya ketika ditemui di pekan Tampin, semalam.

Nurul berkata, mereka membawa bersama beberapa helai pakaian, dokumen penting dan beg yang dijadikan bantal ketika tidur, sementara menumpang tandas awam untuk mandi sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, sebelum suaminya yang berusia 56 tahun diserang strok setengah badan, suaminya pernah berniaga kecil-kecilan menjual capal sebagai sumber pendapatan.

“Kami sudah tiga tahun berkahwin dan saya tak sanggup tinggalkan suami macam ini. Bahagian badan kanan suami saya juga sering kejang.

“Saya bimbang nasib kami terutama suami, sebab kami tak ada rumah. Pernah juga saya tanya JKM sama ada kami boleh dapat tempat tinggal, tapi mereka suruh kami duduk di rumah kebajikan berlainan.

“Tapi saya tak mahu berpisah dengan suami.  Jadi, saya fikir biarlah kami merempat seperti ini daripada berpisah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Restoran Santapan Impian, Mohd Shahri Mohamad, 32, berkata, kira-kira dua minggu lalu, pasangan suami isteri itu ada bertanya kepadanya untuk menyewa tempat tinggal.

Bagaimanapun, katanya, nasib tidak menyebelahi pasangan itu kerana tiada tempat tinggal kosong.

Sejak itu, katanya, dia sering melihat pasangan itu berkeliaran di pekan Tampin dan pernah terlihat mereka tidur di sebuah pondok berhampiran taman rekreasi.

“Tengah hari semalam (kelmarin) saya terkejut bila jumpa mereka menangis di belakang restoran ini. Mereka sudah dua hari tak makan dan saya pelawa mereka makan.

“Saya amat harap mereka ini dibantu lebih-lebih lagi si suami yang sakit dan terpaksa menumpang tidur di tempat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin, Mohd Zamry Abulis ketika dihubungi berkata, JKM akan menyiasat kes berkenaan dan mengambil tindakan mengikut garis panduan ditetapkan.

Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi


Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi

27 SEPTEMBER 2015
Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi

AMERIKA SYARIKAT - Susulan situasi yang terpalit kepada dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Ben Carson baru-baru ini, masyarakat Muslim di negara itu mula melahirkan reaksi kecewa atas suasana tersebut yang mula dilihat sebagai agen gelombang Islamophobia.

Tekanan sudah semakin menggunung di Islamic Institute of Orange County apabila  muncul sekumpulan lelaki berkulit putih menjerit kepada ibu-ibu dan kanak-kanak yang tiba di pusat itu sempena hari peringatan serangan 11 September 2001.

Kata-kata yang dilemparkan antaranya menyebut mereka pengecut dan tidak diterima di AS, lapor Reuters.

Kebanyakan negara Muslim melahirkan pandangan bahawa tekanan seumpama itu akan menjadi bertambah buruk ketika proses pemilihan presiden.

“Ia agak bermasalah apabila calon presiden membuat dakwaan seperti itu,” kata Zuhair Shaath yang merupakan rakyat Palestin-Amerika merujuk kepada kenyataan Carson yang menyatakan bahawa orang Muslim tidak layak bertanding untuk menjadi presiden AS.

Sebelum itu, Trump dikecam gara-gara gagal menepis kenyataan salah seorang penyokongnya yang melabelkan Presiden AS, Barack Obama sebagai orang Islam dan bukan warganegara AS.

Trump dari parti Republik kemudiannya menjelaskan bukan tugasnya untuk membela Obama.

Malah beliau tidak menyesal atas perlakuannya dengan menegaskan melalui Twitternya bahawa jika perkara sama berlaku terhadapnya, tidak mungkin Obama akan membelanya.

Kenyataan kedua-dua calon itu muncul selepas seorang pelajar berusia 14 tahun dari Texas, Ahmed Mohamed ditahan hanya kerana membawa jam buatannya sendiri ke sekolah.

Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islamik Amerika, Nihad Awad menggesa agar Carson menarik diri daripada bertanding kerana sikapnya tidak melayakkannya untuk memimpin susulan pandangannya yang tidak selari dengan Perlembagaan AS.

Abdallah Soueidan dari kejiranan Anaheim yang turut dikenali sebagai ‘Little Arabia’ berkata, kenyataan dari Carson itu jelas boleh menimbulkan masalah.

Sementara anak lelakinya, Radwan, 18 berkata, walaupun sering membawa tentang anti Muslim di internet, namun beliau tidak faham apabila calon presiden mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Ia kedengaran tidak seperti rakyat AS langsung,” katanya.

Sementara pelajar di Lubbock, Texas, Aicha Fokar, 20, berkata, kenyataan Carson melemahkan semangat orang Muslim dari golongan muda daripada menegakkan hak mereka atau merasa bangga dengan kepercayaan mereka.

“Calon-calon ini hanya bercakap untuk meraih undi sebanyak mungkin. Saya tak fikir mereka faham apa yang berlaku kepada kami. Malah mereka juga tidak faham bahawa kami juga pengundi,” katanya.

Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan

27 SEPTEMBER 2015
Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan Ronzuli bersama anaknya dalam dewan Parlimen. Foto Reuters

ROME - ITALI. Seorang Ahli Parlimen Marche, Itali, Licia Ronzuli membawa kelainan ke Parlimen iaitu membawa anaknya hampir ke setiap persidangan.

Pada tahun 2010, ahli parlimen itu mengejutkan ramai pihak apabila tampil di Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dengan membawa bayinya, Vittoria Cerioli yang berusia sebulan ketika itu.

Sejak itu, kelibat beliau dan anaknya sering menjadi perhatian dan jurugambar juga merakam gambar mereka berdua, selain itu mereka juga sering memakai pakaian sedondon.

Penampilannya yang pertama di parlimen menyaksikan beliau memakai pengendong bayi.

Ronzuli ketika ditemubual AFP berkata, sebelum ini pelbagai perkara yang dibahaskan dan diperjuangkannya di Parlimen kurang mendapat perhatian media, namun sejak kemunculan beliau dan anaknya di Parlimen beliau menjadi tumpuan media.

"Sejak saya membawa bayi ke Parlimen secara tiba-tiba semua lensa tertumpu kepada kami," katanya.

Telatah Vittoria yang sering men‎gikut gerak-geri ibunya itu mencuri tumpuan ramai.

Siri gambar yang dirakam kebanyakannya menunjukkan mereka berdua mengangkat tangan tanda sokongan terhadap perkara yang diusulkan.

Lantas aksi mereka berdua sering menjadi tumpuan media tatkala sidang Parlimen berlangsung.

Ronzuli memulakan kerjayanya sebagai jururawat di Hospital Milan dan Bangladesh, kemudian menjadi pengarah hospital sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang politik.

Beliau yang bertanding menerusi parti The People Of Freedom, menang pilihan raya pada tahun 2008.

Ronzuli ketika bercakap kepada media Itali berkata, keputusannya membawa bayi ke Parlimen bukanlah gimik politik sebaliknya ingin menunjukkan kepentingan hubungan ibu dan anak.

"Saya ingin mengingatkan dan menegaskan yang tidak semua ibu berpeluang menjaga anak seperti saya lebih-lebih lagi ketika masih menyusu," katanya.

Dalam pada itu Parlimen menetapkan bahawa Ronzuli bebas membawa anaknya ke parlimen selagi tidak mengganggu ahli Parlimen bersidang.