Wednesday, June 5, 2013

Tiga anggota polis dituduh bunuh Dhamendran



Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh N Dhamanderan pada 21 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka iaitu Jaffri bin Jaafar, 44; Mohd Nahar Abdul Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32; bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh "dalam mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Dhamanderan Narayanasamy". Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi mengesahkan mereka memahami tuduhan tersebut, walaupun tiada pengakuan direkodkan. Majistret Nur A'minatul Mardiah Md Nor menetapkan 9 Julai untuk sebutan dan serahan dokumen, termasuk laporan ahli kimia dan laporan bedah siasat. Menurut kertas tuduhan, ia dipercayai berlaku pada 21 Mei 2013 di antara jam 12.20 sehingga 2.50 petang di Pejabat Siasatan Khas (D9) tingkat 7, Ibu Pejabat Kontingen Kuala Lumpur. Semua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, ketuga-tiganya berdepan dengan hukuman mati.

Tertuduh pertama Jafri Jaafar diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad; tertuduh kedua Mohd Nahar diwakili Datuk Baljit Singh Sidhu dan tertuduh ketiga, Mohd Hazwadi diwakili Geethan Ram Vincent.

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya, G Sivamalar, dan M Manogaran pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Dhamendran.

Pagi tadi, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Dhamendran akan didakwa.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei ke atas mayat Dhamendran mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat hentakan objek tumpul.

Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.

Beliau sepatutnya menjalani tahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei.

MOHON SAHIHKAN



Sejauh mana kebenaran dan kesahihan surat ini? Jika benar, ia akan memberi kesan yang bahaya kepada Malaysia.

Mohon pihak bertanggungjawab menyatakan kesahihannya.

Nama Nik Abduh disalahguna dalam facebook


Nama Nik Abduh disalahguna dalam facebook
Laman sosial Nik Abduh Fan Club yang tercatat kenyataan berkenaan, namun identiti pihak bertanggungjawab tidak dikenal pasti.
KOTA BHARU - Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menafikan terlibat dalam mengeluarkan kenyataan di laman facebook ‘Nik Abduh Fan Club’.

Sambil tidak tahu menahu siapa dalang di sebalik kenyataan itu, menurut Nik Abduh yang juga Timbalan Pemuda Pas Pusat, beliau tidak pernah menulis kenyataan tersebut dan turut tertanya-tanya tentang pihak yang bertanggungjawab menggunakan namanya untuk tujuan itu.

“Saya menafikan apa yang tercatat itu dan tidak pernah menulis kenyataan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nik Abduh berharap rakyat negara ini lebih bijak menilai selain mengkaji maklumat diperolehi sebelum mempercayainya agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang kenyataan disebarkan media sosial.

Dalam laman sosial Nik Abduh Fan Club semalam tertera kenyataan ‘Pas tidak memerlukan undi daripada golongan sekularis, humanis dan sosialis daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menang. Sebaliknya DAP dan PKR memerlukan undi Pas untuk menang, dan pemimpin PR diharap sedar dengan kekuatan Pas'.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menyaksikan Nik Abduh yang juga anak bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menewaskan calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dengan majoriti 8,047 undi.

Anggota polis terbabit kematian Dhamenderen didakwa hari ini


KUALA LUMPUR: Anggota polis yang disyaki terbabit dengan kes kematian tahanan di dalam lokap, N Dhamenderen, akan dihadapkan ke mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, laporan kertas siasatan sudah diserahkan kepada jabatannya semalam selepas pasukan khas ditubuhkan polis sebelum ini selesai menjalankan siasatan terhadap kematian Dhamenderen, 31.
"Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun kejadian itu dikesali, tindakan segera diambil polis dalam kes kematian Dhamenderen adalah membanggakan dan menggambarkan komitmen pasukan itu untuk menegakkan kewibawaan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh membabitkan senjata api.

Dia ditahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei lalu.

Abdul Ghani berkata, berdasarkan bedah siasat dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei, punca kematian didapati sebagai kecederaan akibat hentakan objek tumpul.
"Jabatan Peguam Negara memandang serius kejadian terbaru kematian tahanan semasa dalam agensi penguatkuasaan ini dan komited untuk menangani mengikut undang-undang sebarang salah laku yang telah menyebabkan kematian Dhamenderen," katanya. - BERNAMA

Kematian tahanan: Adakah hasrat EAIC terhalang?


Harakahdaily,05 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes tahanan mati di dalam lokap polis mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkanEAIC menyempurnakan siasatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan menambah, Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Kematian P Karuna di dalam tahanan polis adalah kes serupa yang ketiga berlaku dalam tempoh 2 minggu dan merupakan kes kelapan yang direkodkan sehingga Mei/Jun 2013. Ianya telah menimbulkan wasangka awam yang melihat pihak polis mengamalkan street justice dan menekankan aspek profil perkauman di dalam mengurus suspek yang ditahan.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes-kes seperti ini mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkan EAIC menyempurnakan siasatan. Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

3 SIAP juga seharusnya mengambil inisiatif memulakan penyiasatan tanpa menunggu aduan dan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Aduan/Penyiasatan serta merta apatah lagi ketika mana masyarakat awam rata-ratanya menuntut satu penyiasatan bebas dan berkecuali ke atas PDRM. Namun demikian, sikap diam, tunggu dan lihat EAIC di dalam insiden-insiden ini sesungguhnya menimbulkan banyak persoalan.

4 Persoalan pertama; sejauh mana persediaan EAIC dari segi struktur dan kompetensi penyiasatan setelah lebih 2 tahun ditubuhkan? Apakah EAICmempunyai kesiapsiagaan yang diperlukan bagi memulakan penyiasatan serta-merta ketika suasana mendesak keadilan diperolehi seberapa segera yang mungkin?

5. Persoalan kedua; adakah pengumuman PDRM bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas Bukit Aman serta pengumuman Jawatankuasa Khas Mencegah Kematian Dalam Tahanan yang diketuai oleh Ketua Polis Negara telah menghalang hasrat EAIC untuk campurtangan? Sekiranya ini senarionya, maka risiko "turf war" antara birokrasi telah menjadi jelas dan keadaan ini boleh membantutkan proses keadilan.

6. Persoalan ketiga; dengan jumlah aduan paling besar (120 aduan sehingga Jun 2012) adalah terhadap PDRM, apakah isu penubuhan IPCMC yang dianggap tiada keperluan oleh pemerintah, kekal relevan khusus untuk menangani insiden-insiden membabitkan pasukan polis, yang merupakan antara agensi awam terpenting negara?

7. Pengakuan Ketua Polis Kuala Lumpur di dalam siaran media 22 Mei 2013 mengenai kehadiran unsur jenayah di dalam kes kematian N. Dharmendran ketika di dalam tahanan sebagaimana dapatan post-mortem HKL seharusnya memberikan SIAP justifikasi untuk memulakan siasatan di bawah Kanun Jenayah. Ini akan membolehkan EAIC memuktamadkan proses penyiasatan terus ke Jabatan Peguam Negara.

8. Pada masa yang sama, selaku suruhanjaya bebas, EAIC digesa mengkaji semula perjawatan dan peranan Datuk Paul Low Seng Kuan yang merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya. Tindakan beliau menghubungi keluarga mangsa tahanan di atas kapasiti Menteri JPM telah menimbulkan persepsi negatif dan memerlukan respons segera kerana ianya boleh menjejaskan wibawa EAIC.

9. Saya akan segera mengusahakan satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bagi membawa persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sekembalinya dari mengerjakan ibadah umrah kelak.

10. Di hadapan Baitullah ini saya memanjatkan munajat kepada Allah agar kita semua diberikan kekuatan untuk menemukan keadilan bagi rakyat yang mendambakan kebenaran. 
-harakahdaily

BN bukan parti terbuka, siapa sebenarnya Mahathir


Harakahdaily,05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional belum sampai masanya untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia menunjukkan siapa sebenar beliau dan partinya di depan rakyat.

“Tun Dr Mahathir telah membuktikan bahawa Barisan Nasional adalah parti berasaskan kaum dan sukar baginya menerima keahlian dari bangsa lain,” ujar Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar).

Katanya, Umno adalah hanya untuk orang Melayu, MCA dan Gerakan untuk kaum Cina manakala MIC untuk kaum India dan perjuangan mereka juga berasaskan kepada kepentingan bangsa mereka masing-masing.

Tambahnya, tatkala rakyat bercakap soal politik merentasi kaum, perpaduan antara sesama bangsa tanpa mengenal warna kulit dan bangsa, BN masih lagi berpegang pada ideologi lapuk ciptaan mereka.

Menurutnya, mereka menghad dan mengecilkan keahlian hanya pada sesuatu kaum sahaja.

“Di mana konsepnya 1Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya itu?”

“Apa salahnya BN menjadi parti tunggal yang menerima kehadiran semua bangsa sekiranya benar mereka memupuk perpaduan dan kesejahteraan kaum?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, PKR yang dianggap dikuasai oleh orang Melayu tetapi mempunyai pemimpinnya dari kalangan pelbagai bangsa serta memiliki ramai wakil rakyat bukan Melayu.

Beliau berkata, DAP yang dianggap parti untuk kaum Cina tetapi masih mempunyai wakil rakyat mereka dari kalangan bangsa Melayu dan India.

PAS pula, jelasnya memiliki calon-calon dari kalangan bukan Islam terdiri dari kaum Cina dan India serta ada Dewan Himpunan Penyokong PAS dari kalangan kaum India dan Cina.

“Bagaimana dengan Umno, berbilang bangsakah mereka?” tanya beliau.

Beliau menambah, budaya politik baharu yang gagal difahami oleh insan seperti Tun Dr Mahathir adalah politik merentasi budaya dan kaum dengan menolak perkauman sempit.

Menurutnya lagi, rakyat yang susah dan tertindas, meskipun dari jalur bangsa mana mereka, wajib dibantu dan dan ditolong.

“Agak mengharukan apabila kaum Cina bangkit membela nasib orang Melayu  di Kampung Bharu yang tergadai, orang Melayu yang membela tahanan India yang mati di lokap polis, serta kaum India dan Melayu sama-sama membela nasib orang Cina yang terabai dan tersisih,” katanya.

Beliau berkata, anak-anak muda pada hari ini berdiri bersama antara silang bangsa dan budaya menuntut hak mereka yang terabai, iaitu keadilan dalam kehidupan serta keprihatinan pemimpin terhadap nasib mereka.

Mereka, ujarnya sanggup berhimpun di mana sahaja bersama-sama tanpa membezakan bangsa dan budaya semata-mata mahu mendambakan sebuah demokrasi yang diidamkan semua bangsa.

“Malangnya, ketika rakyat melaungkan slogan keadilan dan perpaduan untuk rakyat, pemimpin BN pula masih enggan menerima politik baharu ini dan masih mengamalkan politik zaman kuno yang telah ditolak oleh rakyat,” katanya.
-harakahdaily

Jangan tutup muka pembunuh N Dhamendran


Harakahdaily,05 Jun 2013

KUALA LUMPUR:Orang ramai meminta polis yang akan didakwa kerana membunuh tahanannya petang ini dibiarkan mukanya terbuka untuk mempastikan ketelusan.

(Surendran dan keluarga N Dhamendran menunjukkan gambar kecederaan kepadanya dalam sidang medianya sebelum ini)

Ini adalah pengajaran dari kes pembunuhan Altantuya Shariibuu yang sehingga hari ini masih kontroversi kerana kedua-dua polis yang didakwa tidak dikenali umum sehingga kini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan, anggota polis yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang tahanan N Dhamendran akan didakwa di mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh.

“Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara untuk menyiasat perkara ini telah menyelesaikan siasatannya dan telah mengemukakan kertas siasatan yang berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara pada 4 Jun 2013.

“Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Anggota polis yang berkenaan akan dituduh di mahkamah petang hari ini, 5 Jun 2013,” katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran itu, orang ramai mula tertanya-tanya, "Jangan2, tutup muka nanti," tulis seorang pembaca kepada berita tersebut selepas disiarkan laman Malaysiakini.

Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan terdapat 52 kesan kecederaan di hampir seluruh tubuh badan mendiang N.Dhamendran.

Mendiang berusia 31 tahun didakwa dipukul dan didera dengan teruk sehingga meninggal dunia ketika dalam tahanan polis bulan lalu.

Dr Siew Sheue Feng dalam laporan bedah siasatnya mempercayai kematian Dhamendran adalah berpunca daripada kesan pukulan ke atas badan dan kepalanya menggunakan objek tumpul dan keras seperti rotan atau kayu serta mendiang berkemungkinan digari ketika dicederakan.

Laporan itu turut mengesahkan mendiang tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh membawa kepada kematiannya semasa berada dalam tahanan.

“Jelas bahawa mendiang dipukul menggunakan objek tumpul dalam keadaan tangannya digari kerana terdapat kesan kecederaan serius pada pergelangan tangan semasa bedah siasat dilakukan.

“Mendiang juga didapati tidak mampu mempertahankan diri dan dipercayai dipukul secara bertalu-talu dari atas (bahagian kepala) selain forensik turut menemui kecederaan akibat dawai kokot di kedua-dua belah telinganya,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran ketika membaca laporan bedah siasat itu di ibu pejabat PKR baru-baru ini. 
-harakahdaily

Tujuh beranak tumpang masjid dihantar pulang


Tujuh beranak tumpang masjid dihantar pulang
Mohd Nasrul Hakim (kiri) melawat Siti Khadijah di Taman Sri Inderapura, di sini.
KUANTAN- Tujuh beranak yang tinggal di Masjid Sultan Ahmad 1, di sini sejak seminggu lalu dihantar pulang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah ibu bapa Siti Khadijah Saudi, 30, di Taman Sri Inderapura petang kelmarin.
Mereka dihantar JKM kira-kira jam 4 petang untuk perlindungan sementara selepas terpaksa menjadikan beberapa masjid di sini sebagai tempat tinggal.
Siti Khadijah berkata, dia sekeluarga kini menumpang di rumah ibu bapanya sebelum mendapat rumah sewa.
“Saya tak tahu nak pergi mana, suami keluar pergi cari rumah sewa kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya.

“Lagipun, sebahagian adik-beradik saya juga tinggal di sini,” ketika ditemui di Taman Sri Inderapura, pada lawatan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Siti Khadijah yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan bulanan RM150.

Sementara itu, Penolong Pegawai Zakat Fakir Miskin Muip, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, pihaknya mendapat maklumat terkini bahawa keluarga tersebut akan ke
Kemaman dan tinggal di rumah pusaka milik ibu bapa suami Siti Khadijah.

Sinar Harian semalam melaporkan tujuh beranak itu menjadikan masjid sebagai tempat berteduh selepas tiada tempat tinggal ekoran masalah kewangan.
Kamal Norisma Ismail, 36, bersama isteri, Siti Khadijah Saudi, 30, dan lima anak berusia lapan tahun hingga 10 bulan sebelum tinggal menyewa di Kampung Belukar namun gagal membayar sewa.
Mereka pulang ke Kemaman, bagaimana pun, kerana perselisihan faham berlaku menyebabkan keluarga itu keluar rumah dan tinggal di masjid.

Nawaz Sharif angkat sumpah PM Pakistan baru

Nawaz Sharif
Nawaz Sharif

ISLAMABAD - Nawaz Sharif bakal mengangkat sumpah hari ini sebagai Perdana Menteri Pakistan yang baru selepas meraih kemenangan mengejut dalam pilihan raya negara itu bulan lalu.

Beliau bakal mengangkat sumpah petang ini waktu tempatan.

Pelantikan beliau turut disahkan oleh ahli-ahli yang baru dipilih parlimen.

Sharif kini berhadapan cabaran besar untuk memulihkan ekonomi negara Pakistan disamping tekanan untuk menamatkan serangan militan dan Amerika Syarikat (AS).

Sharif juga bertekad untuk menamatkan konflik dengan AS walaupun belum jelas lagi cara untuk menamatkan konflik itu.

Perkahwinan sejenis jejaskan institusi keluarga


London: Ketua Paderi Canterbury, Justin Welby mengkritik rang undang-undang perkahwinan sejenis kerajaan dan memberi amaran keras ia akan menghasilkan bentuk perkahwinan ‘berbeza’ tidak seimbang yang akan menjejaskan kehidupan berkeluarga.

Ketika satu perbahasan selama dua hari membabitkan 91 orang, Welby mendakwa rang undang-undang berkenaan adalah janggal, akan menggugat perkahwinan yang menjadi asas pembentukan sebuah keluarga dan zuriat.
Welby bagaimanapun mengkritik bekas ketua konstabel polis West Midland, Lord Dear, yang cuba menggagalkan rang undang-undang itu dengan membentangkan satu pindaan yang tidak akan membolehkan ia dibacakan untuk kali kedua.


Konsep perkahwinan normal hilang

Ketua biskop itu menjelaskan beliau berkongsi kebimbangan dengan Dear mengenai rang undang-undang terbabit. Welby memberitahu rakannya bahawa rang undang-undang itu mencetuskan kekeliruan:

“Di bawah rang undang-undang ini perkahwinan sebenar seakan-akan dihapuskan dan didefinisikan semula. Rang undang-undang perkahwinan baru ini adalah satu bentuk yang janggal apabila ia dilakukan dengan jantina yang sama.
“Konsep perkahwinan sebagai tempat normal bagi hubungan seksual sudah hilang. Idea perkahwinan sebagai satu perjanjian bersama akan berkurangan. Keluarga dalam erti kata normal sebagai asas dalam masyarakat semakin lemah,” katanya. - AGENSI

Sabotaj diketahui ramai

Sabotaj diketahui ramai
MOHAMED Morsi ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan anjuran kumpulan pertubuhan sivil di Kaherah pada 29 Mei lalu. - Foto AFP
Morsi, ahli politik Mesir tak sedar televisyen sedang rakam perbualan

Kaherah: Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan ahli politik kanan negara itu mendapat malu selepas tidak sedar bahawa perbualan mereka disiarkan secara langsung oleh televisyen.

Penonton televisyen Mesir menyaksikan bagaimana pemimpin politik mereka membincangkan usaha mengenakan tekanan ke atas Habsyah termasuk mensabotaj rancangan membina sebuah empangan negara itu.
Rundingan itu dipengerusikan oleh Morsi dan pemimpin lain yang hadir termasuk Ayman Nour yang memimpin Parti Ghad dan Yunis Makhyun dari Parti Nur Islam.


Mereka membincangkan kerjasama suruhanjaya Mesir-Sudan-Habsyah, khususnya keputusan Habsyah mengalihkan projek pembinaan empangan di Sungai Nil Biru yang dianggap memberi kesan buruk kepada negara di hilir iaitu Mesir dan Sudan.

Mesir percaya ia memiliki hak kepada sungai Nil menerusi perjanjian pada 1929 dan 1959 memberikannya 87 peratus aliran sungai itu dan kuasa veto ke atas projek di hulunya.

Tetapi, perjanjian baru 2010 yang turut membabitkan Habsyah membenarkan negara di hulu sungai menggerakkan projek tanpa kebenaran Kaherah.

Sebar khabar angin
Nour mencadangkan supaya khabar angin disebarkan bahawa Mesir membeli jet tempur untuk mengenakan tekanan ke atas Habsyah.

Beliau juga menyarankan Kaherah menghantar pasukan tentera, perisikan dan politik ke Addis Ababa untuk campur tangan dalam hal ehwal tempatan.

Makhyun pula menyifatkan empangan itu sebagai ancaman strategik terhadap Mesir dan perlu mendapatkan bantuan gerila Habsyah untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan berkenaan.

Berikutan itu, penasihat Morsi meminta maaf selepas gagal memaklumkan ahli politik terbabit bahawa perbualan mereka disiarkan secara langsung.

“Keputusan dibuat pada saat akhir untuk membenarkan perbualan mereka dirakam secara langsung kerana topik perbincangan adalah penting. Saya terlupa memberitahu mereka mengenainya,” kata penasihat hal ehwal politik presiden, Pakinam El-Sharkawi.

“Saya minta maaf kepada semua pemimpin politik yang mendapat malu,” katanya di Twitter. - AFP

Chegubard dituduh anjur perhimpunan haram


PETALING JAYA: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, pada 25 Mei lalu.

Chegubard, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Yasmin Abdul Razak.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa sebagai penganjur Program Penghargaan kepada pengundi Negeri Selangor telah gagal memaklumkan Ketua Polis Petaling Jaya 10 hari sebelum perhimpunan.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan dan melantik peguam.

Supermum lahir kembar 5



Prague: Seorang wanita Czech berusia 23 tahun melahirkan empat bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang dikatakan pihak berkuasa hospital sebagai kes pertama kembar lima yang direkodkan di negara itu.

Digelar sebagai “supermum” oleh media tempatan, Alexandra Kinova dibantu sepasukan terdiri daripada 40 pakar di hospital bersalin Podoli-Prague ketika dia melahirkan lima bayi terbabit melalui pembedahan cesarian pada minggu 31 usia kehamilannya. “Nama bayi perempuan ialah Tereza, kembar seiras Michael serta Deniel, dan kami juga meletakkan nama Alex dan Martin,” kata bapa bayi berkenaan, Antonin Kroscen, 26, kepada wartawan. “Saya berasa sangat gembira dan teruja untuk menjaga anak kami ini,” katanya. Pasangan itu sudah pun mempunyai seorang anak lelaki.


Bayi berkenaan yang disenyawakan secara semula jadi diletakkan dalam penjagaan intensif, tetapi dikatakan berada dalam keadaan stabil. Berat mereka daripada 1.05 hingga 1.34 kilogram.

“Di negara kami, statistik (kelahiran) direkod sejak 1949 dan tiada kembar lima dicatatkan. Di Republik Czech, kembar lima dilahirkan secara purata setiap 480 tahun sekali,” kata pakar sakit puan, Alena Mechurova. - AFP

Alhamdulillah syukur nikmat

Assalamualaikum ..

Saya mengucapkan dua kalimah syahadah ( masuk Islam ) pada malam Sabtu (18/05/13) di Perth , Australia di hadapan keluarga saya, rakan-rakan dan kenalan saya. Saya sentiasa berminat mengenai Islam dan dan minat saya lebih mendalam terhadap Islam apabila berjumpa dengan seorang lelaki Muslim yang mahu mengahwini saya . Saya telah mendalami mengenai Islam melalui saudara sangat rapat dan rakan-rakan saya . Awal pagi Khamis (yang saya dapati adalah masa Subuh) saya bangun dan saya membuat keputusan saya sudah bersedia untuk memeluk agama Islam. Alhamdulillah, saya tidak pernah begitu gembira dan berasa bangga seperti sekarang kerana telah menjadi seorang Islam .

oleh ,

Carly Saville
Perth , Australia ....

Mantan ketua pasukan khas "pembunuh" Syeikh Usamah bin Ladin kini jadi Maknyah

Dicatat oleh ustazcyber 
FLORIDA (Arrahmah.com) – Menjadi ketua pasukan khusus yang terlibat dalam operasi “pembunuhan” Syeikh Usamah bin Ladin ternyata membuat Chris Beck depresi.
Chris Beck adalah mantan ketua pasukan khusus angkatan laut Amerika Serikat SEAL, salah satu tim yang mendapat pengakuan internasional sebagai orang-orang yang “membunuh” Syeikh Usamah bin Ladin, seperti disiarkan Daily Mail pada Selasa (4/6/2013).
Chris Beck menjabat selama 20 tahun dalam tim SEAL 6 dan penceun hanya beberapa bulan sebelum serangan Mei 2011 terhadap kompleks Syeikh Usamah.
Ternyata, selama itu Chris menyimpan keinginan untuk menjadi seorang perempuan. Dia mengklaim bahwa hal itu lebih sesuai dengan kepribadian mental dan emosionalnya.
Chris yang kemudian mengubah namanya menjadi Kristen itu sampai menulis sebuah buku dalam upaya untuk menjelaskan kebutuhan transisinya.
Selama bertahun-tahun Chris disebut telah memendam hasratnya dan hidup sebagai seorang tentara yang dihadapkan dengan pertempuran.
Medan pertempuran yang membuatnya depresi sudah dia tinggalkan. Hari-harinya kini dihabiskan di taman yang dia rancang sendiri, taman yang dia sebut sebagai “taman kedamaian”, di halaman belakang rumahnya di St Petersburg, Florida.
Dia juga mengajak para veteran lainnya yang kembali dari Irak dan Afghanistan untuk mengunjungi “taman kedamaian” itu dalam upaya untuk membantu menenangkan mereka dari depresi akibat perang saat mereka kembali ke kehidupan sipil.
“Duduk di halaman belakang atau dekat kolam ikanku, aku tidak lagi merasakan kemarahan, kebencian atau depresi, aku merasa damai,” ujar Chris. (banan/arrahmah.com)

subhanallah

 

Siapakah Abu Lahab ?

Azha Suib

Abu Lahab ialah bapa saudara Nabi saw yang sangat sayang dan kasih sebelum kerasulan baginda. Nama sebenarnya ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib. Di gelar Abu Lahab kerana dia seorang yang kacak dan rupawan, tetapi panas baran dan mudah tersinggung. Disebabkan kekacakkannya, maka tidak hairanlah dia dapat berkahwin dengan perempuan yang paling jelita di Mekah, iaitu Hindun bt Harb yang mendapat julukan Ummu Jamil.

Rumahnya bersebelahan dengan rumah Rasulullah saw. Oleh kerana hubungan mereka sangat rapat sebagai kerabat dan jiran terdekat menjadikan Abu Lahab dan isterinya sangat kasih kepada Rasulullah saw sehingga menjodohkan anak-anak lelakinya iaitu Utbah berkahwin dengan Ruqaiyyah manakala Utaibah berkahwin dengan Ummi Kalthum anak perempuan Rasulullah saw.

Di antara perangai keji Abu Lahab ialah dia sangat suka berjudi. Dia termasuk di kalangan lima orang tokoh Quraisy yang paling kuat berjudi selain Abu Jahal, Al-Harith bin Amir, Al-Kahiyar bin Adi dan Al-Azhar bin Auf.

Tetapi sejak Nabi saw dilantik menjadi Rasul, dia merasakan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda bakal menganggu aktiviti hariannya yang suka berjudi, walaupun ketika itu belum turun ayat-ayat Al-Quan yang melarang umatnya daripada berjudi.

Oleh kerana itulah Abu Lahab dan isterinya bertukar menjadi orang yang paling membenci Rasulullah saw. Kebenciannya sehingga ke tahap menyuruh anak-anak lelakinya iaitu Utbah dan Utaibah menceraikan anak-anak gadis Rasulullah saw. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melihat anak-anak Rasulullah berada dalam keluarganya.

Selain itu di antara kejahatan Abu Lahab ke atas Rasulullah saw ialah,

1. Selalu melemparkan najis di depan pintu rumah Rasulullah saw. Setiap pagi, Rasulullah saw, isteri dan anak-anak baginda akan membersihkan kekotoran yang bertampalan di pintu, di dinding dan di halaman rumah baginda sambil menyindir, “ Wahai anak cucu Abdul Manaf, beginikah cara kita hidup berjiran ?”.

2. Abu Lahab juga sering mengekori Nabi saw ketika baginda menyebarkan dakwah, seolah-olah bertindak sebagai pengiring kepada baginda. Jika Nabi saw pergi ke Pasar, dia pun akan ke Pasar, kalau Nabi saw ke Masjidil Haram, maka dia pun turut ke masjid ini sambil berkata, “ Wahai tuan-tuan semua, janganlah tuan-tuan percaya kepada orang yang bernama Muhammad itu. Dia sebenarnya sudah gila., sudah hilang akalnya. Aku sangat kenal dirinya kerana dia merupakan kerabatku yang terdekat”.

3. Abu Lahab juga membakar api kemarahan orang-orang Quraisy dengan kata-kata “ Muhammad mencela agama nenek moyang kita, dan mendakwa nenek moyang kita semuanya akan masuk neraka kerana beragama menyembah berhala”.

Isteri Abu Lahab yang bernama Ummu Jamil turut memainkan peranan membakar hati kaum wanita Mekah. Ketika turun surah Al-Lahab yang mencela suami dan dirinya, Ummu Jamil seperti cacing kepanasan. Dia sangat marah lalu dicarinya Nabi saw di masjid untuk dimaki hamun.

Satu hari Ummu Jamil meluru ke Masjid. Ketika itu Nabi saw sedang duduk bersama dengan Saidina Abu Bakar. Bila melihat kedatangan Ummu Jamil, Saidina Abu Bakar menasihatkan Rasulullah saw supaya meninggalkan masjid tersebut. Jawab Nabi saw,

“ Tidak mengapa wahai Abu Bakar, kerana antara aku dengan dia ada dinding yang menghalang”.

Apabila Ummu Jamil sudah berada di depan Abu Bakar dia pun menjerit,

“Wahai Abu Bakar, adakah sahabatmu mengatakan bahawa aku dan suamiku bakal calon api neraka ?”.

Jawab Abu Bakar,

“Tidak, dia bukan menghina kamu, Cuma dia membacakan firman Tuhan. Itu sahaja ”

Bila mendengar jawapan Abu Bakar, Ummu Jamil pun berkata,

“Engkau memang sentiasa membenarkan dia”, sambil berlalu pergi tanpa menyedari bahawa Rasulullah saw berada di sebelah Saidina Abu Bakar.

Bila dia sudah keluar dari Masjid, maka berkatalah Abu Bakar,

“Ya Rasulullah, memang dia tidak sedar yang tuan berada di sebelahku”.

Jawab Nabi saw,

“Wahai Abu Bakar, para malaikat menutup matanya dari melihatku sehingga dia pergi”.

Mengadu kepada abangnya Abu Sufiyan

Betapa sakitnya hati Ummu Jamil kepada Nabi saw, satu hari dia mengadu kepada abangnya Abu Sufiyan,

“Wahai abang kandungku abu sufiyan, apakah abang tidak merasa marah jika mendengar adik abang dicaci oleh Muhammad dan pengikut-pengikutnya ?”.

Jawab Abu Sufian,

“ Wahai adikku, tentulah abang merasa marah. Kalau Muhammad mencaci adik, samalah dia mencaci abang. Bersabarlah wahai adikku, sekarang juga abang akan habiskan nyawa Muhammad”.

Abu Sufiyan kemudian menghunuskan pedangnya menuju ke Masjid untuk membunuh Rasulullah saw

Bila melihat abangnya bersemangat mahu membunuh Nabi saw, maka sukalah hati Ummu Jamil sambil berkata,

“Padan muka engkau ya Muhammad, sebentar lagi kepalamu akan berpisah dari badan, dipancung oleh abangku yang gagah iaitu Abu Sufiyan”.

Tidak berapa lama selepas itu, Abu Sufiyan berlari-lari menuju kepada adiknya dalam keadaan termengah-mengah. Maka bertanyalah Ummu Jamil dalam kehairanan,

“Wahai abangku, mengapa abang termengah-mengah seperti ini ? Adakah kerana abang dikejar oleh Abu Bakar yang marah disebabkan kematian Muhammad ? Takkanlah abang takut dengan Abu Bakar yang badannya agak kurus daripada abang ? Atau adakah kerana abang takut dikejar oleh Muhammad ? Sungguh mustahil, bukankah Muhammad itu hanya seorang pendakwah, dia bukan seorang pembunuh ? Ceritakanlah kepadaku wahai abangku Abu Sufian apakah yang telah terjadi sebenarnya ? ”, tanya Ummu Jamil.

Jawab Abu Sufiyan dalam keadaan termengah-mengah.

“Wahai adikku, apakah adik suka melihat abang ditelan ular besar ?”.

Jawab Ummu Jamil,

“ Demi Lat dan Uzza, tuhan berhala yang kita sembah, tentulah hati ku akan bersedih jika abang di makan ular ”

Kata Abu Sufiyan,

“Wahai adikku, ketika abang menghampiri Muhammad, abang melihat seekor ular yang sangat besar. Kepala ular itu hampir-hampir mahu menelan abang. Abang juga melihat ular itu bersiap sedia untuk mengejar sebab itu abang lari lintang pukang meninggalkan Muhammad”.

Demikianlah kisah Abu Lahab dan isterinya yang sangat benci kepada perjuangan dakwah Rasulullah saw.

Huraian ayat

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa "(1)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahwa kedua-dua tangan Abu Lahab akan binasa. Digunakan perkataan tangan, kerana daripada tangan itulah manusia akan berusaha untuk mencapai sesuatu. Justeru usaha Abu Lahab untuk membinasakan dakwah dan perjuangan Nabi Muhammad saw, akan hancur dan rosak binasa.

Malah Abu Lahablah yang sebenarnya akan binasa disebabkan kedurjanaan yang dilakukan ke atas Rasulullah saw.

Menurut riwayat, Abu Lahab meninggal dunia selepas berlakunya peperangan Badar pada tahun ke 2 hijrah. Dia yang tidak turut serta dalam peperangan ini, mati terkejut apabila tentera musrikin balik membawa berita kekalahan. Sedangkan sudah banyak wang dan harta yang dibelanjakan oleh Abu Lahab bagi membiayai perang ini dengan harapan Muhammad dan pengikut-pengikutnya akan kalah.

Namun sebaliknya pula berlaku. Tentera musyrikin kalah teruk sehingga ramai kawan-kawan karib Abu Lahab turut sama terkorban. Setelah demam beberapa hari, Abu Lahab akhirnya mati. Namun mayat Abu Lahab cepat membengkak dan membusuk menyebabkan isteri dan anak-anaknya tidak sanggup menguruskan jenazah Abu Lahab. Jalan terbaik ialah mereka menendang jenazah Abu Lahab terus masuk ke lubang kubur dengan penuh penghinaan.

Firman Allah SWT seterusnya.

“Tidak ada gunanya harta itu kepadanya dan juga apa yang diusahakannya”.(2)

Semasa melakukan kerja-kerja kejahatan, Abu Lahab menggunakan segala wang dan hartanya bagi memastikan ajaran Muhammad dapat dihapuskan. Malah perbelanjaan perang Badar di pihak musyrikin pun dia tan Namun di akhirat nanti, segala wang dan hartanya tidak dapat digunakan untuk menebus dirinya daripada azab api neraka Allah SWT.

Ayat ini memberi pengajaran kepada kita, sesuatu perjuangan yang benar tidak akan dapat dihapuskan walaupun menggunakan modal yang banyak oleh pihak musuh.

Firman Allah SWT lagi,

“Dia kelak akan masuk ke dalam api neraka yang lidah apinya menjulang-julang”. (3)

Ayat ini menceritakan azab pedih yang bakal menimpa Abu Lahab. Sudahlah mati dalam penuh kehinaan, hartanya habis digunakan untuk membiayai peperangan Badar, malah di akhirat pula akan diseksa dalam api neraka yang menjulang-julang. Inilah yang dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga.

Firman Allah SWT dalam ayat ke 4,

“Dan juga isterinya, pembawa kayu api” (4).

Maksudnya isteri Abu Lahab juga akan turut bersama suaminya diazab dalam neraka kerana peranan yang dimainkan semasa hidup sebagai pembawa api fitnah. Dialah sebagai ketua pergerakan wanita yang bertugas membakar hati-hati kaum perempuan Quraisy supaya membenci ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw.

Dialah yang menyalakan api permusuhan dan kebencian di kalangan penduduk Mekah sehingga keturunan Nabi di pihak Bani Hashim dipulau beberapa tahun, tidak dibenarkan berurusan jual beli dengan mereka. Akibat pemulauan ini Bani Hasyim mengalami penderitaan, kesusahan dan kelaparan.

Ada juga pendapat mengatakan, Ummu Jamil ini sering membawa kayu-kayu api berduri untuk diserakkan di jalan yang sering Nabi Muhammad saw lalui. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk menyakiti Rasulullah saw.

Firman Allah SWT di akhir ayat,

“Pada lehernya ada tali dari tali yang dipintal “(5).

Di akhirat kelak, tali-tali pemintal yang digunakan untuk mengikat kayu api semasa di dunia akan bertukar menjadi rantai besi lalu disangkut dilehernya menjadikan berambah azab seksaan di dalam neraka kelak.

Ada juga pendapat mengatakan, Ummu Jamil ada seutas rantai yang mahal harganya. Dia pernah bersumpah,

“Demi Latt dan Uzza, rantaiku ini akan ku jual untuk dijadikan modal buat menentang ajaran Muhammad”.

Maka Allah SWT menghukumnyadengan mengikat lehernya dari tali pemintal api neraka.

Wallhualam.

Masha Allah

Buang 129 tan makanan sehari




PEGAWAI CAP, N.V. Subbarow menunjukkan sebahagian daripada makanan yang dibuang oleh beberapa restoran di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa sebanyak 129,769 tan makanan dibazirkan setiap hari oleh penduduk di negeri ini pada tahun lalu.
Presidennya S.M. Mohamed Idris (gambar kecil) berkata, ini berdasarkan kira-kira 45 peratus daripada 288.377 tan sisa pepejal yang dikutip Majlis Perbandaran Pulau Pinang dari kawasan isi rumah setiap hari adalah sisa makanan.
Katanya, angka yang cukup besar itu menunjukkan sikap boros penduduk dan ia satu pembaziran yang melampau.
“Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 10 peratus daripada makanan bermasak di beberapa buah restoran dan syarikat katering yang dibuang setiap hari kerana tidak dimakan atau tidak habis.
“Kajian CAP juga mendapati kira-kira 10 peratus lagi makanan yang telah dipesan pelanggan di restoran tetapi tidak dimakan pula berakhir sebagai sisa makanan dan dibuang ke dalam tong sampah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 bertemakan ‘Fikir, Makan dan Jimat’ di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2VHutx3oq 
Hakcipta terpelihara 

Patung yang dipakaikan pakaian dalam mungkin diharamkan di Mumbai



MUMBAI - Patung-patung yang dipakaikan dengan baju dalam wanita dan pakaian menjolok mata mungkin diharamkan di sini sebagai cara untuk memerangi kejadian rogol.
Anggota-anggota Majlis Perbandaran Mumbai telah meluluskan resolusi untuk melarang patung yang dipakaikan dengan pakaian menjolok mata dipamerkan di luar kedai.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Majlis Perbandaran Mumbai, Sitaram Kunte masih belum meluluskan resolusi tersebut.
Seorang anggota majlis itu, Ritu Tawde berkata, dia mencadangkan larangan tersebut kerana patung tersebut merendahkan martabat wanita.
Menurutnya, patung seperti itu juga boleh mendorong kaum lelaki menyerang wanita.
India sebelum ini dikejutkan dengan berita seorang pelajar wanita dirogol oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi pada Disember tahun lalu.
Wanita itu kemudian meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura ekoran kecederaan parah selepas dia dicampak dari bas tersebut.
"Lelaki-lelaki seperti itu (para perogol pelajar itu) melakukan perbuatan tersebut kerana didorong dengan pameran patung-patung itu. Patung merupakan replika tubuh badan wanita. Justeru, ia merupakan alasan kenapa saya menentang penggunaan patung itu," kata Tawde.
Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Kebajikan Peniaga Runcit India, Viren Shah menyatakan resolusi itu sebagai tidak munasabah.
Menurutnya, patung-patung itu bukan punca berlakunya serangan ke atas wanita. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2VHu7iyyF 
Hakcipta terpelihara 

Pentadbiran Erdogan minta maaf


SEJUMLAH penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Dataran Taksim di Istanbul kelmarin.


ISTANBUL - Pentadbiran Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyatakan bahawa pihaknya telah mendapat pengajaran sekali gus merayu agar bantahan jalanan secara besar-besaran yang menggemparkan negara itu sejak beberapa hari lalu ditamatkan.
Protes tersebut menyebabkan Turki terjebak ke dalam krisis politik terburuk sejak sedekad lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai Amerika Syarikat memberikan tekanan kepada pentadbiran Erdogan supaya satu siasatan menyeluruh diadakan berhubung dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak polis terhadap para penunjuk perasaan.
Pada masa yang sama, sebuah kesatuan sekerja utama di Turki melancarkan mogok selama dua hari bagi membantah keganasan pihak berkuasa terhadap para penunjuk perasaan yang membantah pentadbiran Erdogan.
Pentadbiran Erdogan cuba meredakan ketegangan dengan memohon maaf kepada penunjuk-penunjuk perasaan yang cedera selain mengaku tindakan keras pasukan keselamatan ke atas orang ramai yang menyuarakan hak mereka telah menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.
"Pemerintah mendapat pengajaran berhubung kejadian yang berlaku.
"Kami tidak berhak dan tidak boleh meminggirkan rakyat. Demokrasi tidak wujud tanpa pembangkang," kata Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc pada satu sidang akhbar.
"Saya memohon maaf kepada mereka yang cedera," tambahnya.
Menurutnya, pemerintah peka terhadap tuntutan masyarakat bandar yang berfahaman sekular yang tidak mengundi Parti Keadilan dan Pembangunan pimpinan Erdogan.
"Gaya hidup setiap orang penting buat kami dan kami peka terhadap mereka," ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menggesa rakyat negaranya supaya menamatkan bantahan tersebut.
Sekitar 300 orang cedera sepanjang lima hari protes tersebut berlangsung.
Dalam pada itu, keganasan tercetus di bandar raya Istanbul dan di ibu kota Turki di sini selama semalaman dengan polis pencegah rusuhan bertindak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan.
Kumpulan tersebut bertindak ganas dengan membakar beberapa buah kereta dan membaling batu sambil melaungkan slogan meminta Erdogan meletakkan jawatan.
Tunjuk perasaan yang merebak ke seluruh negara itu bermula selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah rancangan untuk membangunkan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di Istanbul.
Rancangan yang diatur oleh Erdogan itu adalah untuk membangunkan semula dataran tersebut yang melibatkan 600 buah pokok ditebang bagi mendirikan berek tentera era empayar Ottoman.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2VHsjzmYO 
Hakcipta terpelihara