Showing posts with label skandal. Show all posts
Showing posts with label skandal. Show all posts

Sunday, September 30, 2012

Skandal gambar Kate berterusan

ANTARA gambar Kate yang disiarkan Se og Hør.
ANTARA gambar Kate yang disiarkan Se og Hør.
LONDON: Hanya dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan penyebaran gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Middleton oleh majalah Perancis.
Semalam, majalah gosip Denmark, Se og Hør menyiarkan lebih banyak gambar yang memalukan bakal Permaisuri Britain berkenaan yang dirakam oleh paparazi ketika pasangan terbabit bercuti di Provence, Perancis.
Tetapi kali ini, ia lebih teruk, gambar yang disiarkan termasuk menunjukkan Kate tanpa seluar dalam.

Gambar itu disiarkan majalah terbabit selepas ia mengiklankan janji untuk menunjukkan isteri William berbogel sepenuhnya minggu lalu.


Pengarang Se og Hør, Kim Henningsen memberitahu Belfast Telegraph sebelum ini: “Ia gambar unik seorang selebriti Kelas-A. Kami adalah majalah gossip paling unggul di Denmark dan sudah menjadi tugas saya untuk menyiarkannya.

“Jika keluarga diraja Britain ingin menyaman, kami terima dan kami akan menanganinya.”

Majalah Perancis, Closer yang mula menyiarkan gambar separuh bogel Kate sudah menerima arahan mahkamah supaya tidak menyiarkannya lagi.

Malah, tiga hakim Perancis mengarahkan majalah itu menyerahkan setiap salinan digital gambar itu serta diarah membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan tidak bermakna untuk William dan Kate kerana ketika itu, lebih 500,000 naskhah majalah itu sudahpun terjual.

Tambahan pula, keputusan itu hanya membabitkan Closer.

Dalam pada itu, majalah gosip Amerika Syarikat, Gawker, semalam turut menyiarkan gambar seperti yang terkandung dalam Se og Hør. - DM

Wednesday, July 11, 2012

Skandal Libor: Bekas CEO Barclays tolak bonus RM98j

Bekas Ketua Eksekutif Barclays, Bob Diamond
LONDON - Bekas Ketua Eksekutif Barclays, Bob Diamond yang meletakkan jawatan minggu lalu ekoran skandal manipulasi kadar faedah pinjaman antara bank, akan menerima gaji £1 juta hingga £2 juta (RM4.9 hingga RM9.8 juta), tetapi tidak mahu menerima bonus yang mencecah £20 juta (RM98 juta).
Beliau meletakkan jawatan ekoran terdedahnya skandal Libor dua minggu lalu.Dipetik BBC, Pengerusi Eksekutif Barclays, Marcus Agius yang disoal oleh inkuiri Parlimen hari ini mengenai skandal itu berkata, Diamond telah menolak untuk mengambil bonus secara sukarela.
Agius juga bersetuju untuk meletakkan jawatan tetapi bersetuju untuk kekal sementara mencari pengganti Diamond.
Agius berkata. Diamond kesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf.
Pengerusi Eksekutif itu memberitahu jawatankuasa Parlimen bahawa Diamond meletakkan jawatan kerana mahu memikul tanggungjawab "demi reputasi bank.sh

Saturday, July 23, 2011

James Murdoch didakwa berbohong



James Murdoch


LONDON 22 Julai - Tekanan ke atas empayar media Rupert Murdoch bertambah hebat hari ini ekoran anak lelakinya, James Murdoch dituduh memberi maklumat yang mengelirukan kepada anggota Parlimen Britain.
Perdana Menteri David Cameron turut berdepan krisis terburuk sejak beliau menjawat jawatan itu pada tahun lalu ekoran perbualannya dengan Murdoch berhubung percubaan mendapatkan gergasi televisyen BSkyB yang gagal dan melantik bekas editor Murdoch sebagai ketua medianya.
James Murdoch dituduh menipu ahli Parlimen Britain pada minggu ini ketika beliau memberitahu tidak pernah melihat e-mel dalaman yang menyatakan penggodaman di akhbar tabloid itu telah berleluasa sebelum membuat sebarang keputusan.
James yang merupakan pengerusi News International memberitahu jawatankuasa Parlimen bahawa beliau tidak mengetahui mengenai bukti itu ketika membenarkan mangsa penggodaman, Gordon Taylor dibayar pampasan.
Bekas editor News of the World, Colin Myler dan Tom Crone yang meletak jawatan sebagai pengurus undang-undang News International pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menunjukkan mesej kepada James sebelum beliau membenarkan mangsa penggodaman dibayar.
"James telah dimaklumkan mengenai aktiviti penggodaman yang telah berleluasa ketika beliau membuat keputusan untuk membayar mangsa," kata Myler dan Crone.
Bimbang dengan tuduhan beliau membayar mangsa untuk menutup mulut, James dalam kenyataannya memberitahu beliau kekal berpegang dengan keterangannya kepada jawatankuasa Parlimen itu. - AFP

Tuesday, July 5, 2011

Suami Hayek pernah skandal


Linda Evangelista (kiri) dan  Salma Hayek.
Linda Evangelista (kiri) dan Salma Hayek.


LOS ANGELES: Dokumen mahkamah yang difailkan supermodel Linda Evangelista menunjukkan anak lelakinya, Augustin James, 4, adalah anak suami kepada aktres, Salma Hayek, François-Henri Pinault.

Hayek dan Pinault berkahwin pada 2009 serta berkasih sejak 2006, tahun sama Evangelista hamil.
Pinault mempunyai dua lagi anak, seorang anak lelaki dan perempuan, hasil perkahwinan terdahulu yang berakhir dengan perceraian pada 2004.
Kini Evangelista memfailkan satu petisyen menuntut wang saraan daripada ahli perniagaan Perancis berusia 49 tahun itu.

“Dalam dokumen itu, ia mengatakan anaknya ‘dilahirkan secara luar nikah kepada Linda Evangelista, 46, dan (Pinault) mengakui dakwaannya itu,” kata sumber yang mengetahuinya dengan dokumen itu kepada majalah People.

“Dokumen mengatakan ‘sudah diputuskan’ bahawa Pinault adalah bapa kepada anak lelaki Evangelista, Augustin James,” katanya.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak wang saraan yang akan dibayar Pinault untuk anaknya bersama Evangelista.
“Ia terpulang kepada seorang majistret untuk menentukan bayaran sokongan, yang akan berterusan sehingga anaknya berusia 21 tahun,” kata sumber. “Pinault meminta untuk memberi keterangan menerusi telefon.”

Sementara itu, satu lagi sumber memberitahu People: “Ini bukan umpama kes Schwarzenegger. Tiada siapa berkahwin. Tiada kecurangan.”

Empayar barangan mewah keluarga Pinault dilaporkan bernilai AS$16 hingga AS$18 bilion (RM48 hingga RM54 bilion). – Agensi Berita Harian Online | Suami Hayek pernah skandal

Wednesday, June 1, 2011

Raja Sweden nafi terlibat dalam skandal




SETIAUSAHA akhbar diraja Sweden, Bertil Ternert (kiri) dan Gustaf memberikan temuramah secara eksklusif kepada wartawan agensi berita TT, Tomas Bengtsson di Istana Diraja di Stockholm, Sweden.


STOCKHOLM - Raja Sweden, Carl XVI Gustaf semalam memberikan satu temuramah eksklusif dalam usaha menafikan skandal yang tersebar luas, melibatkan laporan media bahawa beliau ada mengunjungi kelab-kelab bogel dan mempunyai hubungan tidak langsung dengan jenayah terancang.
Dalam temuramah panjang lebar bersama agensi berita TT, ketua negara Sweden itu menafikan dakwaan bekas kumpulan mafia, Mille Markovic bahawa beliau mempunyai gambar yang menunjukkan Gustaf berada di dalam sebuah kelab seks bersama dua orang wanita berbogel.
"Mustahil gambar itu wujud dan sukar untuk memberi komen terhadap sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun," tegas Gustaf.
Gustaf turut mencabar stesen televisyen TV4 yang melaporkan dua minggu lalu bahawa seorang wartawannya ada melihat gambar tersebut supaya menunjukkannya sebagai bukti.
Skandal terbaharu itu muncul hanya selepas enam bulan biografi Gustaf diterbitkan. Biografi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia ada menyebut penglibatan Gustaf dalam parti-parti liar, selain mempunyai hubungan sulit dengan perempuan-perempuan muda.
Berikutan dakwaan-dakwaan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Sweden mahu Gustaf menyerahkan takhta kepada anaknya, Puteri Mahkota Victoria, 33, yang nyata lebih popular daripadanya. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

Tuesday, May 24, 2011

Erdogan nafi dalangi skandal

BURSA 23 Mei – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menafikan dakwaan parti beliau mendalangi skandal video seks yang memaksa enam anggota kanan sebuah parti pembangkang nasionalis meletakkan jawatan beberapa minggu sebelum pilihan raya umum negara ini.
“Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) tidak mempunyai kaitan dengan skandal video seks itu,” katanya ketika berkempen di bandar Bursa menjelang pilihan raya 12 Jun ini.
Enam ahli Parlimen Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) pimpinan Devlet Bahçeli meletakkan jawatan kelmarin, selepas satu laman web memberi amaran akan menyiarkan rakaman video yang menunjukkan mereka melakukan hubungan seks.
Empat lagi anggota kanan MHP sudah pun meletakkan jawatan selepas laman web itu menyiarkan video seks mereka
Sementara itu, Pendakwa Raya Pihak Berkuasa Khas Istanbul, Adnan Cimen meluaskan siasatan melibatkan skandal video seks yang menyebabkan peletakan jawatan 10 ahli politik kanan MHP itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Wanita Turki (TKDF) yang beribu pejabat di Ankara, Canan Gullu pula berkata, skandal video seks ini telah menyakiti kaum wanita di negara ini.
“Walaupun wanita tidak terlibat dalam politik Turki sepenuhnya, skandal video seks telah menjadi ‘faktor penentu’ kepada politik.
“Kaum wanita lebih tersinggung apabila video seks itu dibincangkan ketika berkempen dan ramai kaum hawa akan menjadi teragak-agak sama ada mahu mengundi MHP atau tidak pada 12 Jun ini,” katanya kepada akhbar Todays Zaman.
Menurutnya, wanita sering digunakan sebagai ‘alat politik’ di Turki berbanding dianggap sebagai orang penting dalam politik. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Monday, May 23, 2011

Skandal video seks di Turki




Tayyip Erdogan


ISTANBUL 22 Mei - Enam pemimpin kanan parti pembangkang Turki, Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), semalam meletakkan jawatan ekoran skandal video peras ugut dan seks, sekali gus dijangka mempengaruhi keputusan pilihan raya umum negara ini pada 12 Jun ini.
Media Turki melaporkan, pemimpin kanan pembangkang itu dipaparkan dalam keadaan memalukan dalam rakaman video lucah itu, yang disiarkan melalui Internet.
Awal bulan ini empat yang lain yang juga merupakan pemimpin kanan parti itu telah meletakkan jawatan ekoran rakaman video hampir sama iaitu beberapa orang daripada mereka dipaparkan sedang mengadakan hubungan seks, dipercayai di sebuah rumah yang digunakan oleh anggota parti untuk mengadakan hubungan sulit.
Gelombong kedua peletakan jawatan pemimpin-pemimpin MHP itu mungkin memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Tayyip Erdogan yang memimpin Parti AK yang dijangka mengekalkan kuasa buat penggal ketiga dalam pilihan raya umum pada Jun ini.
Ketika ini, tinjauan pendapat meletakkan sokongan terhadap parti Tayyip berada sekitar 45 peratus.
Ekoran skandal itu, sokongan terhadap MHP juga dijangka merosot.
MHP dijangka tidak dapat meraih sokongan melebihi 10 peratus yang diperlukan bagi mengekalkan mereka dalam Parlimen, ekoran skandal tersebut.
Sokongan terhadap MHP ketika ini berada pada sekitar 10 hingga 15 peratus, kata tinjauan pendapat.
MHP ketika ini menguasai 70 daripada 550 kerusi di Parlimen Turki.
Antara mereka yang meletkkan jawatan ialah Timbalan Pengerusi MHP, Osman Cakir, Umit Safak dan Mehmet Ekici, serta Setiausaha Agung, Cihan Pacaci dan timbalannya Mehmet Taytak.
Mereka meletakkan jawatan sebagai anggota parti dan juga menarik diri daripada dicalonkan bertanding sebagai calon Parlimen mewakili parti itu.
Seorang lagi timbalan pengerusi MHP, Deniz Bolukbasi kemudian turut meletakkan jawatan.
"Saya telah meletakkan jawatan bagi mengelakkan konspirasi ini dan tuduhan palsu ini mengugat MHP pada pilihan raya akan datang,'' kata Bolukbasi dalam satu kenyataan.
Stesen televisyen CNN Turki melaporkan, pihak berkuasa telekomunikasi telah melancarkan siasatan berhubung video tersebut. - AP/Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Friday, May 20, 2011

Skandal hantui Schwarzenegger



pix_gal0
Media buru kekasih sulit bekas gabenor

BAKERSFIELD: Media terus memberi tumpuan kepada wanita misteri bersama Arnold Schwarzenegger yang menjadi bapa kepada anak luar nikah mereka, rahsia bintang filem yang beralih ke dunia politik itu sejak lebih sedekad dikenali sebagai Mildred Patricia Baena 

Pendedahan mengenai hubungan sulit Schwarzenegger dengan Baena disusuli dengan laporan bahawa pelakon ‘Terminator’ itu juga menjalin asmara dengan Gigi Goyette sejak mereka bertemu pada 1975.

Goyette adalah bekas aktres kanak-kanak yang mendakwa melakukan sesi asmara setiap tahun dengan Schwarzenegger yang menaja pertandingan bina badan di Ohio.
Wanita itu, bagaimanapun, menamatkan hubungan mereka pada 1996 apabila jatuh cinta dengan seorang lelaki lain.

Bekas gabenor California itu mengakui Selasa lalu bahawa beliau adalah bapa kepada seorang anak bersama seorang kakitangan beliau sejak lebih sedekad lalu, tetapi hanya memberitahu Shriver selepas beliau menamatkan penggal Januari lalu, mencetuskan perpisahan pasangan itu yang diumumkan minggu lalu.

Baena adalah pembantu rumah bagi Schwarzenegger dan isterinya, Maria Shriver sejak dua dekad lalu sebelum bersara sejak beberapa bulan.

Media termasuk laman web selebriti TMZ mengenal pasti beliau sebagai Baena, menyiarkan pelbagai foto dan mencetuskan buruan wartawan untuk mengetahui lebih dekat dengan wanita terbabit.
Beliau dikesan hingga ke rumahnya di Bakersfield, sebuah bandar kira-kira 100 batu ke utara Los Angeles tetapi tiada tanda kehidupan beliau di rumah setingkat di mana dengan cepat menjadi kem media.

Schwarzenegger dan Shriver mengumumkan perpisahan mereka minggu lalu, empat bulan selepas bekas pelakon terkenal itu meninggalkan bidang politik.

Mereka tidak memberi alasan berhubung perpisahan itu ketika pengumuman berkenaan tetapi Selasa lalu, Arnie mendedahkan bahawa dia memberitahu isterinya mengenai anaknya bersama wanita lain, seorang pembantu rumah pasangan itu sejak sekian lama.

Shriver yang juga anak perempuan kepada dinasti politik keluarga Kennedy mengeluarkan satu kenyataan Selasa lalu meminta hak peribadi tidak dilanggar ketika menghadapi saat sukar ini.

Ia bukan kali pertama perkahwinan mereka terjejas berikutan hubungan Szhwarzenegger dengan wanita lain. Ia pernah menjadi isu ketika pilihan raya 2003 yang dimenangi Schwarzenegger berikutan sejarah beliau meraba wanita.

Pasangan itu bertemu pada 1977 dan berkahwin pada 1986 serta mempunyai empat anak berusia 14 hingga 21 tahun. – Agensi 

Wednesday, April 13, 2011

Niat ‘suci’ Berlusconi


ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, mengaku dia membayar RM261,727 kepada seorang gadis bawah umur yang terbabit dalam skandal seks dengannya. Kata Berlusconi, 74, bayaran itu dibuat bagi mengelak gadis terbabit - yang bekerja sebagai penari gelek - menjadi pelacur.
Katanya, Karima el-Mahroug, 18, menjadi tetamunya dalam parti tertutup Bunga Bunga yang diadakan di kediaman mewahnya pada tahun lalu.

“Karima mahu membuka salun kecantikan,” katanya.

Pemimpin Itali yang terkenal dengan sifat kaki perempuan itu bercakap kepada media di luar mahkamah selepas satu daripada syarikatnya dibicarakan atas tuduhan menipu.

Perbicaraan kes skandal seks dengan Karima dan salah guna kuasanya dijadual bermula Mei ini.

Berlusconi berkata, dia menawarkan RM197,540 kepada Karima - juga dikenali sebagai Ruby Si Pencuri Hati tetapi ia tidak mencukupi.

Justeru, katanya, dia menyerahkan wang seperti diminta Karima - �53,000 (RM261,727) bagi mengelakkan perempuan itu melacurkan dirinya.

Sebelum ini, perempuan Maghribi itu pernah mengaku mempersembahkan tarian gelek untuk Berlusconi sebelum mereka berbual mengenai politik. - DM

Thursday, April 7, 2011

Woods rugi RM405j kerana skandal seks


FOTO dua tahun lalu menunjukkan kemesraan Elin Nordegren kepada Tiger Woods sebelum skandal seks suaminya terbongkar.
FOTO dua tahun lalu menunjukkan kemesraan Elin Nordegren kepada Tiger Woods sebelum skandal seks suaminya terbongkar.


LOS ANGELES: Skandal seks yang meruntuhkan perkahwinan bintang golf terkemuka dunia, Tiger Woods dilaporkan menyebabkan jutawan sukan itu rugi £82 juta (RM405 juta).


Profesional golf yang berusia 35 tahun itu dilaporkan kerugian £22 juta (RM109 juta) selepas beliau digugurkan daripada beberapa tajaan besar berikutan pendedahan skandal seks beliau dengan ramai wanita termasuk bintang filem lucah.
Woods juga dilaporkan terpaksa membayar £60 juta (RM297 juta) kepada bekas isterinya, Elin Nordegren dalam bentuk penyelesaian tuntutan perceraian.
Bagaimanapun, ketika pendapatan Woods dilaporkan semakin berkurangan kira-kira £600,000 (RM2.9 juta) seminggu disebabkan kecurangan itu, jaguh golf berkenaan tetap muncul sebagai bintang sukan yang menerima pendapatan paling tinggi.


Beliau adalah satu-satunya ahli sukan yang tersenarai dalam kedudukan 10 teratas selebriti terkaya pilihan Forbes tahun ini.


Syarikat minuman Gatorade, perkhidmatan korporat perniagaan Accenture dan firma telekomunikasi AT&T adalah yang penaja terawal yang menamatkan tajaan dengan pemain golf terbabit yang suatu ketika dulu pernah disifatkan sebagai model contoh paling bersih.


Berikutan pengakuan beliau kepada umum bahawa beliau curang kepada isterinya, jenama penjagaan lelaki Gillete dan pengeluar jam mewah, Tag Heuer dilaporkan turut menjauhkan diri daripada bapa kepada dua anak itu.
Malah, gergasi kereta, General Motors juga dilaporkan menamatkan kontrak dengan Woods yang membenarkan beliau menggunakan kenderaan syarikat itu secara percuma.


Woods beberapa hari lalu dilaporkan mengakui bahawa tempoh 16 bulan lalu adalah disifatkan sebagai masalah kewangan yang sukar buat dirinya. Tetapi, beliau juga menegaskan bahawa hubungan dengan penaja lain tetap ‘kuat’.


Antaranya, pengeluar permainan video Electronic Arts yang menghasilkan permainan Tiger Woods selama 13 tahun.


Mereka tetap bersama Woods kerana percayakan bahawa pelanggan muda tidak kisah mengenai kisah kecurangan bintang yang menjuarai 14 kejohanan golf utama itu. – Agensi Berita Harian Online | Woods rugi RM405j kerana skandal seks

Friday, March 18, 2011

Berlusconi nafi tiduri 33 wanita





2011/03/18

Silvio Berlusconi dan Karima El Mahroug (kiri).
Silvio Berlusconi dan Karima El Mahroug (kiri).
PM Itali anggap orang lebih muda juga tidak mampu lakukannya 

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dibayangi skandal seks kelmarin mengisytiharkan beliau tidak berupaya meniduri 33 wanita dalam masa 60 hari seperti didakwa pihak tertentu.
Jutawan Itali berusia 74 tahun itu dipetik akhbar The Sun sebagai berkata: “Walaupun saya agak nakal, 33 gadis dalam tempoh dua bulan terlalu ramai, walaupun untuk seseorang berusia 30 tahun.”
Beliau membuat ulasan itu beberapa minggu sebelum berdepan perbicaraan di Milan berhubung parti Bunga Bunga yang dikatakan di bawah anjurannya dan membabitkan seks. 

Pendakwa raya menuduh pemimpin itu melakukan seks bawah umur apabila memberi bayaran kepada seorang penari gelek digelar ‘Ruby the Heart-stealer’. 

Penari itu atau nama sebenarnya Karima El Mahroug dari Maghribi berusia 16 tahun ketika kejadian, di bawah usia dibenarkan untuk menjadi pelacur. 

Dalam temuramah akhbar itu, Berluconi yang sudah diceraikan isterinya, mengakui memberi wang dan hadiah kepada jelitawan yang dijemputnya atas alasan beliau pemurah sambil mengatakan: “Saya seperti badan kebajikan.” 
Satu daripada pemindahan wang menerusi akaun bank didapati untuk ibu bapa gadis itu yang disifatkan Berlusconi sebagai amat memerlukannya. 

Tetapi, pendakwa raya pula mendakwa bahawa ‘tarian separuh bogel dan lucah’ dalam partinya adalah permulaan untuk menjalin hubungan seks selepas itu. 
Namun, pemimpin Itali sekali menjelaskan: “Ia adalah majlis makan malam bebas dan elegan.” 

Berlusconi tidak seperti sebelumnya mengakui mempunyai teman wanita yang sentiasa di sisinya. – Agensi
bharian

Friday, March 11, 2011

Skandal asmara di Shanghai

Utusan Malaysia



SEORANG lelaki membaca laporan akhbar dengan gambar tiga diplomat Korea Selatan bersama wanita China yang sama, Deng Xinming, di Seoul, Korea Selatan, semalam. - AP


SEOUL 10 Mac - Pentadbiran Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak menghadapi kritikan hebat ekoran pendedahan skandal hubungan cinta melibatkan seorang wanita China dan tiga bekas kakitangan konsulat negara ini di Shanghai.
Pengkritik menyatakan kecenderungan Myung-bak untuk menawarkan jawatan konsul kepada pembantu-pembantunya telah menghasilkan diplomat tidak profesional, yang dibimbangi akan membocorkan maklumat rahsia negara.
Akhbar Korea Selatan melaporkan tiga diplomatnya yang bertugas di Shanghai disyaki menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang sama.
Wanita itu disyaki menggunakan pengaruhnya ke atas mereka bertiga untuk mendapatkan visa bagi pekerja-pekerja China, malah menerima maklumat sulit seperti nombor telefon bimbit pemimpin kanan parti pemerintah Korea Selatan.
Dua daripada kakitangan Konsulat berkenaan berada di bawah pengurusan bekas Konsul Jeneral, Kim Jung-ki yang merupakan pembantu politik Myung-bak dan bukan dihantar oleh Kementerian Luar dan Perdagangan Antarabangsa.
Jung-ki merupakan ketua polisi global untuk Myung-bak ketika bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2007.
Beliau juga bertugas sebagai utusan khas Myung-bak ke China kerana beliau merupakan bekas profesor penyelidik di Universiti Peking.
Jung-ki dilantik sebagai Konsul Jeneral ke Shanghai pada 2008 dan bertugas selama dua tahun dan sembilan bulan sebelum pulang ke Korea bulan lepas.
Pengkritik berkata, mereka yang merupakan ahli politik dan kemudian menjadi diplomat tidak mempunyai kepakaran dalam diplomasi dan cenderung membuat keputusan buruk yang memberikan kesan negatif kepada negara.
''Kebanyakan Konsul Jeneral tidak mempunyai pengetahuan mengenai diplomasi jadi mereka menggunakan orang luar untuk mencari penyelesaian. Keadaan ini menimbulkan masalah.
''Sebagai contoh, Kim Jae-soo, bekas Konsul Jeneral ke Los Angeles dan Lee Ha-ryong, bekas Konsul Jeneral ke Seattle. Kedua-duanya merupakan ahli politik Parti Agung Kebangsaan (GNP) sebelum dilantik ke jawatan berkenaan,'' kata ahli Parlimen dari Parti Haluan Kebebasan, Park Sun-young.
Seorang ahli Parlimen GNP, Gu Sang-chan berkata, konsul jeneral di Hong Kong dan Guangzhou, China merupakan bekas ahli politik yang mempunyai sedikit pengalaman diplomatik.
''Keadaan ini berlaku kerana mereka yang berjawatan sebagai diplomat tidak memegang jawatan diplomatik utama di luar negara,'' katanya. - Agensi

Sunday, May 2, 2010

Skandal Pembelian Kapal Selam

Merdeka Review
Pakatan Rakyat memuji Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kerana memulakan aduan rasuah di Mahkamah Perancis berhubung urus niaga bernilai RM 4.7 bilion di antara Kerajaan Malaysisa dan DCN, konglomerat senjata terbesar Perancis. Urus niaga ini melibatkan Razak Baginda, yang dikenali sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Najib Razak sehinggalah berlakunya pembunuhan penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu di Malaysia.
Sistem keadilan Malaysia, secara khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) gagal mengenal pasti isu-isu rasuah yang kini sedang dibawa SUARAM ke dalam sistem perundangan Perancis. Amat mengaibkan, rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Perancis untuk mendapatkan penjelasan dan ketelusan terhadap rasuah yang membazirkan berbilion ringgit duit orang ramai.
Namun demikian, ia bukan hanya tentang kegagalan SPRM.
Pembunuhan Altantuya juga masih belum diselesaikan. Seluruh negara tahu bahawa dua orang anggota polis yang disabitkan kesalahan, Azilah Hadri dan Sirul Azhar hanyalah perkakas yang digunakan untuk membunuh Altantuya. Ibarat telah ada alat sepucuk pistol tetapi siapa yang menarik picu melepaskan peluru? Kesemua lembaga-lembaga negara kita – polis, Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman telah gagal, secara sengaja atau akibat kecuaian untuk memberikan jawapan kepada soalan mustahak ini.
Beberapa soalan penting yang masib belum berjawab berkaitan dengan urus niaga kapal selam dan pembunuhan sensasi:
Apakah peranan Perdana Menteri Najib Razak dalam urus niaga kapal selam tersebut, hubungan dengan penasihatnya Razak Baginda yang membuat keuntungan luar biasa daripada urusniaga itu dan penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu?
Apakah yang dimaksudkan dengan meminta bantuan yang dibuat Razak Baginda kepada Musa Safri, Ketua Pengawal Najib pada malam 19 Oktober 2006 melalui telefon selepas Sirul dan Azilah sampai dengan seorang anggota polis wanita, Lans Koperal Rohainaza serta membawa pergi Altantuya dari hadapan rumah Razak di Bukit Damansara dan tidak ditemukan lagi selepas itu? Siapa yang mengarahkan anggota polis terbabit ke sana?
Apakah yang dibuat pegawai khas Najib Tun Razak selama 20 tahun, Nasir Safar memandu kereta Proton merah yang muncul di hadapan rumah Razak, beberapa ketika sebelum anggota polis tersebut muncul dan membawa Altantuya pergi?
Apakah Nazim Razak menawarkan sejumlah wang yang besar kepada penyiasat persendirian Balasubramaniam (gambar kiri) dan juga mengancam keluarganya apabila dia bertemu Bala pada malam 3 Julai 2008 selepas Bala mengeluarkan pengakuan bersumpahnya yang pertama?
Apa pula penglibatan Deepak Jaikishan yang dikenal rapat dengan Rosmah Mansor dalam pembuatan akuan bersumpahnya yang kedua, serta peranannya dalam mengaturkan pertemuan di antara Nazim Razak dan Bala?
Bagaimana dengan kewujudan gambar yang diperkatakan Burmaa OyunChinmeg, sepupu Altantuya, yang menunjukkan Najib, Razak dan Altantuya makan malam bersama di sebuah restoran di Paris? Kenapa Arnaud Dubus, wartawan Perancis, berkata bahawa bapa Altantuya memberikan gambar tersebut kepada bekas Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman Alhabshi dari Wisma Putra Malaysia. Abdul Rahman kemudiannya memberikan gambar tersebut kepada pihak polis yang akhirnya hilang selepas itu.
Kenapa syarikat yang baru ditubuhkan Razak Baginda, Perimekar terlibat dalam urus niaga kapal selam ini memandangkan ianya tidak memiliki keupayaan, kemampuan kewangan atau kepakaran untuk mendokong pemberian kontrak tersebut?
Mengapa kerajaan tidak berurusniaga secara langsung dengan konglomerat senjata Perancis tersebut?
Siapa yang memberi arahan untuk membunuh kerana dua orang pengawal tersebut tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya?
Kenapa penyiasat persendirian Balasubramaniam yang membuat perakuan bersumpah dan dakwaan lainnya terhadap penglibatan Najib dan para pegawainya (Musa Safri dan Nasir Safar) lari dari Malaysia? Apakah yang perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan Bala untuk ikut terlibat dalam penyiasatan ini?
Mengapakah pembantu Najib, Musa Safri dan Nasir Safar tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan?
Pakatan Rakyat amat menyokong penyiasatan ini dibuat atas kepentingan keadilan serta ketelusan. Pakatan Rakyat juga mendesak kerajaan dan institusi-institusi negara yang berkenaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta jujur dalam penyiasatan ini.