Monday, February 28, 2011

Chan Kong Choy Didakwa Menipu Dalam Kes PKFZ



28/02/2011 15:53:16 

Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas tiga pertuduhan menipu berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda. Difahamkan, Tan Sri Chan baru kembali ke ibu negara selepas diminta pihak berkuasa bersabit kes ini.

Hakim Azhaniz Teh Azman membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 31 Mac.
Tan Sri Chan adalah bekas Menteri Pengangkutan kedua didakwa bersabit skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik. Perbicaraan terhadap Tun Dr Ling juga masih berjalan sejak bermula 29 Julai tahun lalu

RM4.85 juta saman dijelaskan



28/02/2011 3:44pm

ALOR SETAR – Sejumlah RM4.85 juta saman telah dijelaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejak November 2010 sehingga semalam, kata Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan.
Beliau berkata selepas kerajaan mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran pelbagai jenis saman, IPD itu menerima bayaran kira-kira RM363,000 pada bulan November, dan menjelang Disember, jumlah saman yang dijelaskan adalah RM2.004 juta.
"Jumlah saman yang dikumpul pada bulan Januari tahun ini kira-kira RM831,000 dan bulan ini sehingga semalam, kita telah menerima bayaran saman sebanyak RM1.653 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Adzaman berkata sejak dua minggu lepas, kaunter bayaran dilanjutkan sehingga 6 petang berbanding pukul 5 petang sebelum ini, selain dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan orang ramai menjelaskan saman.
"Kita juga turut memasang khemah di luar kaunter bayaran saman, dan semalam kita memberi air minuman kepada pesalah trafik yang datang membayar saman kerana keadaan cuaca di sini sangat terik,” katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas





2011/02/28

TEMERLOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah melabelkan gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap kumpulan ekstrem.
"Saya tak kata Muslim Brotherhood (Ikhwan Muslimin) ini kumpulan pengganas. Saya kata Ikhwan Muslimin boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ekstremis, sebab ini (kumpulan pengganas adalah) pandangan umum terhadap Ikhwan Muslimin, bukan pandangan saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk FELDA Jengka 25, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Nasharudin dan Anwar berkata demikian sebagai merujuk satu laporan berita disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan Najib di Istanbul, Turki baru-baru ini yang mendakwa parti politik Ikhwan Muslimin terbabit dengan keganasan dan sifat ekstremis.

"Kalau mereka (gerakan itu) kata, bahawa mereka tak ada ideologi sedemikian rupa (ekstrem), mereka nak ambil bahagian ikut proses undang-undang, menghormati proses demokrasi, cintakan keamanan. Kita (Malaysia) tak ada masalah menerima mereka untuk bertanding pada pilihan raya.

"Lagipun ini bukan keputusan saya, ini keputusan yang perlu dibuat negara lain, negara masing-masing. Saya tak kata mereka ini golongan ekstremis,” katanya.
Berita Harian Online | Najib nafi label Ikhwan Muslimin, Yusuf Al-Qardhawi pengganas

Sewa tak masuk akal


Oleh Adli Shahar

2011/02/28


SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
Pemilik rumah DUN Kerdau ambil kesempatan naikkan harga

TEMERLOH: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau turut membawa rezeki terpijak kepada penduduk sekitar bandar ini kerana ada antara mereka yang menyewakan rumah atau premis perniagaan dengan harga tinggi hingga mencecah lebih RM20,000 bagi tempoh hanya dua minggu.

Keperluan mendesak khususnya di kalangan penyokong parti bertanding, selain kekurangan bilik hotel yang boleh ditempah, menjadikan permintaan terhadap rumah penduduk bagaikan pisang goreng panas.
Seorang penduduk bertindak sebagai orang tengah bagi mencari penyewa rumah ini, Ramli Yusuf, berkata kebanyakan penyewa premis itu membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, pemerhati dan pihak berkuasa, selain petugas media.
Ramli, 32, berkata, kebanyakan rumah teres biasa berdekatan kawasan Kerdau disewa dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 seunit, manakala di Temerloh pula, kadar sewanya rendah sedikit iaitu antara RM1,000 hingga RM5,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga penduduk berjaya menyewakan rumah banglo mereka kepada petugas parti hingga mencecah kira-kira RM21,000.

"Kadar sewa ini bagaikan durian runtuh kepada pemilik rumah sewa kerana kadar biasa rumah sewa di kawasan Kerdau hanya RM150 hingga RM250 sebulan, manakala di Temerloh pula hanya antara RM200 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jenis rumah.

"Disebabkan berlaku pilihan raya kecil dan permintaan untuk menyewa rumah adalah tinggi, pemilik rumah mampu memperoleh pendapatan luar biasa dan sewa diperoleh ini boleh menampung bayaran bulanan rumah mereka untuk jangka panjang.
"Paling mengejutkan, unit rumah kos rendah yang selama ini terbiar kosong di Kerdau tanpa sebarang kemudahan, turut dijadikan penginapan mereka yang terbabit dalam pilihan raya DUN Kerdau ini dengan sewa dikenakan RM5,000," katanya.

Ramli berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan panas bagi sewaan rumah ini adalah di kawasan Desa Murni, Ketumbit dan Rumpun Makmur di Kerdau kerana kedudukannya berdekatan dengan tempat berkempen.

"Kadar sewa ini seolah-olah satu bonus kepada masyarakat kawasan ini kerana kebanyakannya bekerja sebagai petani atau melakukan kerja kampung.

"Biasanya rumah yang disewa ini dijadikan rumah kedua oleh pemiliknya atau dibiarkan kosong begitu saja, malah ada pemilik rumah yang tinggal di situ sanggup mengosongkan kediaman dan tinggal bersama keluarga bagi membolehkan rumah mereka disewa.

"Saya mengakui harga ini tidak masuk akal tetapi disebabkan permintaan bagi premis tempat tinggal agak tinggi kali ini, pemilik rumah sewa masih berjaya mendapatkan penyewa," katanya.

Sementara itu, Sariman Jaafar,32, dari Desa Murni, Sanggang, berkata dia menyewakan rumahnya RM4,000 kepada sekumpulan belia bagi tempoh 10 hari.

Katanya, wang diperoleh itu akan digunakan bagi menampung kehidupan sekeluarga selepas ini.

"Kami mendapat rezeki tidak diduga dan disebabkan tawaran yang menarik, saya dan isteri sanggup berpindah sementara tinggal di rumah abang berdekatan kawasan ini selama tempoh rumah itu disewa," katanya.

Rakannya, Zamri Mohamad Saaid, 31, pula menyewakan rumahnya dengan kadar RM5,500 bagi tempoh sama kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Saya akan menggunakan wang sewa diperoleh itu untuk memperbaiki rumah terutama bahagian pagar.

"Sekarang kami menumpang tinggal di rumah keluarga mentua dan bersyukur kerana kempen pilihan raya ini memberi rezeki tambahan kepada penduduk di sini," katanya.
Berita Harian Online

‘Air mata’ pokok petai


PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.
PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.


KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.
Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.

Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.

Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.

“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.


“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.

“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.

“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.

Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.

“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.
myMetro | ‘Air mata’ pokok petai

Lampu hijau 45,000 pekerja asing

Kosmo! Online - Negara: "
Kemakmuran ekonomi Malaysia menjadi daya tarikan kemasukan pekerja asing. - Gambar hiasan
Kemakmuran ekonomi Malaysia menjadi daya tarikan kemasukan pekerja asing. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju meluluskan kemasukan 45,000 pekerja asing, kebanyakannya dari India bagi memenuhi permintaan 13 sektor perniagaan kecil di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kelulusan itu dibuat selepas kerajaan melihat masalah yang dihadapi oleh sektor berkenaan seperti restoran, kedai runcit dan industri tekstil yang kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

'Mereka telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pihak saya melalui Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia di mana mereka minta kerajaan meluluskan 90,000 pekerja asing.

'Tapi selepas berbincang, buat sementara waktu ini kerajaan bersetuju untuk meluluskan kemasukan 45,000 pekerja,' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) oleh bekas presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu di sini semalam.

Subramaniam berkata, pekerja berkenaan akan diagihkan mengikut 13 sektor perniagaan terlibat yang dijangka dibuat dalam tempoh sebulan."

Lagi pasaraya yahudi dibuka di Malaysia


Tesco baru Nilai dibuka


ORANG ramai menyerbu Tesco Bandar Baru Nilai yang mula dibuka kepada orang ramai semalam.


NILAI - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) di Bandar Baru Nilai di sini diserbu orang ramai sempena pembukaan pasar raya besar itu semalam.
Orang ramai mula mengunjungi pasar raya itu seawal pukul 9 pagi bagi mendapatkan pelbagai produk yang menawarkan harga menarik.
Seorang pelanggan, Suhaimi Yusuf berkata, dia datang bersama keluarganya kerana mahu membeli pelbagai barangan yang dijual pada harga istimewa.
Katanya, dengan pembukaan Tesco ini, dia tidak perlu pergi ke cawangan Tesco Extra Seremban 2 untuk membeli barangan keperluan harian.
"Saya sebelum ini pergi ke Tesco Extra Seremban 2 untuk membeli barangan keperluan tetapi sekarang, saya tidak perlu pergi jauh untuk tujuan itu.
Kosmo! Online - Negara

Restoran jual aiskrim susu wanita




SEORANG pelayan menuang susu badan ke dalam aiskrim di sebuah restoran di Covent Garden, London baru-baru ini.


LONDON - Sebuah restoran di sini menjual aiskrim yang diperbuat daripada susu badan wanita, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Restoran tersebut yang terletak di Covent Garden menjual ais krim pelbagai perasa itu pada harga £14 (RM68.86) dan diberi nama Baby Gaga.
Pihak pengurusan aiskrim itu kini mencari lebih ramai wanita untuk membekalkan susu badan dan diberikan upah untuk tujuan tersebut.
Wanita yang mengeluarkan susu badan sebanyak 283.49 gram akan diberikan wang sebanyak £15 (RM73.77).
Salah seorang pembekal susu itu, Victoria Hiley, 35, dari Leeds menyatakan dia pada mulanya melihat iklan yang menyatakan bayaran akan diberi kepada wanita yang boleh membekalkan susu badan.
"Saya ketawa (apabila melihat iklan itu)," katanya.
Menurutnya, jika golongan dewasa mengetahui betapa sedapnya rasa susu badan, ibu-ibu yang baru melahirkan anak akan lebih bersedia untuk menyusukan anak.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bintang bola jutawan rayu jangan disaman




SAMUEL ETO merayu di depan seorang kakitangan trafik wanita supaya dia tidak disaman di Milan baru-baru ini.


MILAN - Seorang bintang bola sepak dari Cameroon yang bermain untuk kelab bola sepak Inter Milan dan memperoleh bayaran RM297,998 (RM909,939) seminggu merayu tidak disaman sebanyak AS$51.54 (RM157.37) kerana kesilapan meletakkan kereta, lapor sebuah akhbar semalam.
Samuel Eto merayu supaya dia tidak disaman tetapi permintaannya tidak dipedulikan oleh seorang kakitangan trafik wanita di sini baru-baru ini.
Eto amat kecewa dengan saman itu walaupun nilainya dalam dunia bola sepak dianggarkan jutaan dolar.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Berlian yang tidak diketahui nilai dipamerkan




BERLIAN Cora Sun Drop kini dipamerkan di Muzium Semula Jadi di London.


LONDON - Sebutir berlian sebesar ibu jari orang dewasa yang harganya tidak dapat ditentukan kerana ia amat jarang ditemui kini dipamerkan di Muzium Semula Jadi London, lapor sebuah akhbar semalam.
Berlian itu yang diberi nama Cora Sun Drop dipamerkan setelah ia dipinjamkan daripada syarikat Cora International.
Kurator muzium itu, Alan Hart berkata, dia tidak pernah melihat berlian berwarna kuning seperti itu yang amat bercahaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cora International, Suzette Gomes, berlian yang berwarna itu amat sukar dihasilkan kerana ia melibatkan kerja-kerja pemotongan yang rumit. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pelacur iklankan perkhidmatan di Facebook




LAMAN seorang pelacur yang dikenali sebagai Molly Ravish di laman sosial Facebook.


NEW YORK - Pelacur-pelacur di sini mengiklan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook, lapor akhbar New York Daily News semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang ahli sosialogi Universiti Colombia, Sudhir Venkatesh yang melakukan satu kajian terhadap 290 pekerja seks.
Menurutnya, 83 peratus daripada pekerja itu didapati bergantung kepada Facebook untuk menggoda lelaki bagi menjadi pelanggan mereka.
Salah seorang pelacur yang mengiklankan perkhidmatan mereka di laman tersebut dikenali sebagai Molly Ravish.
Ravish menyatakan dalam laman itu bahawa dia merupakan seorang teman wanita yang berpengalaman.
Dalam laman itu, dia meminta pengguna Facebook untuk mengunjungi laman webnya untuk mengetahui perkhidmatan yang ditawarkannya.
Dalam laman webnya, dia menawarkan perkhidmatan selama satu jam dengan kadar bayaran AS$200 (RM610) dan AS$150 (RM458) untuk seks oral. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia