Tuesday, April 19, 2011

Benjy mohon gugur tuduhan kali kedua





AZEAN Irdawaty bersama Benjy ketika tiba di  Mahkamah Majistret, semalam.
AZEAN Irdawaty bersama Benjy ketika tiba di Mahkamah Majistret, semalam.


BENJY atau Khaeryll Benjamin Ibrahim (kiri) menghadiri perbicaraan kes dadah bersama adiknya, Elza Irdalyna di Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin



Mahkamah tetap teruskan bicara kes dadah

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Benjy mengemukakan representasi kedua semalam, untuk menggugurkan dua tuduhan yang dihadapinya kerana memiliki dadah, selepas permohonan sama dibuat Oktober lalu ditolak Jabatan Peguam Negara.
Benjy, 32, yang diwakili peguam bela, Amer Hamzah Arshad memberitahu Mahkamah Majistret semalam, sebelum perbicaraan bermula semalam dan memohon prosiding ditangguhkan kepada hari ini sementara menunggu keputusan representasi yang juga bakal diketahui hari sama.
Berikutan itu, Majistret Hafizza Sauni membenarkan permohonan berkenaan, tetapi mengingatkan kepada semua pihak mahkamah akan tetap meneruskan perbicaraan walaupun tiada sebarang keputusan diperoleh.

Perbicaraan sepatutnya bermula semalam selama empat hari.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Noormawarni Abdul Halim, membantah penangguhan kerana pihaknya sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan dengan mengemukakan empat saksi termasuk pegawai penyiasat bagi memberi keterangan.

Anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty itu mengaku tidak bersalah memiliki 0.24 gram syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut, jam 4 petang, 11 Mac lalu.
Dia turut dituduh memiliki 0.14 gram syabu di alamat C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, jam 3 petang hari sama.

Bagi dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 17 Mac lalu, Benjy dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor mengikut Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.- utusan

Guan Eng dakwa akhbar bersifat perkauman


ENCIK LIM GUAN ENG: Kecam Umno dan mempersoal tindakan Mingguan Malaysia sama ada ia konsisten dengan slogan Ć¢€˜1MalaysiaĆ¢€™ Datuk Seri Najib Tun Razak. -- Foto THE MALAYSIAN INSIDER




HUKUM PENGUNDI CINA DI SARAWAK
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, semalam mendakwa gesaan sebuah akhbar Kumpulan Utusan agar Barisan Nasional (BN) menghukum pengundi Cina yang tidak menyokong perikatan itu pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu lalu sebagai rasis dan tidak demokratik.
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu juga mengecam Umno, pemilik akhbar berkenaan, kerana membolehkan pendirian sedemikian dikeluarkan, serta mempersoalkan sama ada ia konsisten dengan slogan '1Malaysia' Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.'Gesaan terbuka Mingguan Malaysia bukan sahaja rasis, malah bertentangan dengan amalan demokrasi,' kata Encik Lim.Beliau, yang juga Ahli Parlimen (AP) Bagan, berkata jika BN mengambil tindakan tegas yang disarankan akhbar Mingguan Malaysia terhadap pengundi bandar dan sesiapa yang menggunakan hak demokrasi, maka apa gunanya diadakan pilihan raya.Sebuah lagi akhbar milik Umno, Berita Harian, dalam ruangan editorialnya semalam berkata 'sudah tiba masanya BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu'.'Persoalannya, adakah kerana BN tidak cukup membantu kaum Cina atau ia sekadar keyakinan mereka bahawa pembangkang mampu membentuk kerajaan negeri seperti dilakukan DAP di Pulau Pinang dan Selangor dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS (Parti Islam SeMalaysia),' kata Encik Lim.Kelmarin, Mingguan Malaysia menggesa perikatan itu supaya tidak terlalu bersikap 'pemurah' dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam kabinet negeri yang bakal dibentuk, berikutan keputusan pilihan raya Sarawak Sabtu lalu.Mingguan Malaysia berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat (PR) sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.BN Sarawak, yang dipimpin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, memperolehi 55 kerusi dewan negeri, manakala PR memenangi 15 kerusi dan satu lagi kerusi dimenangi calon bebas.Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga, ia mengalami penurunan kerusi kali ini. Undian popular yang diraih BN juga jatuh daripada 63 peratus kepada 55 peratus.Dalam kenyataannya, Encik Lim berkata Mingguan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bersifat 'rasis dan ekstremis' dan 'apa yang mengejutkan ialah Umno terus membenarkan pendekatan rasis' itu di Semenanjung dan Timur Malaysia.Sementara itu, para pengamat perniagaan menjangkakan pilihan raya umum Malaysia ke-13 diadakan menjelang akhir tahun ini berikutan kemenangan BN di Sarawak dengan firma OSK Research berpendapat BN mampu memenangi semula beberapa kerusi yang ia kalah di Semenanjung Malaysia. -- Agensi.

Pramugari wajib belajar kung fu


HONG KONG: Syarikat penerbangan Hong Kong Airlines mewajibkan semua kru pesawatnya mempelajari seni bela diri kung fu bagi menghadapi kerenah penumpang mabuk atau sukar dikawal.
Akhbar Sunday Morning Post melaporkan, mereka dikehendaki menjalani latihan seni bela diri wing chun yang sesuai menumpaskan seseorang dalam jarak dekat.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Hong Kong Airlines, Eva Chan, syarikat berkenaan berdepan tiga insiden kekecohan membabitkan penumpang liar setiap minggu.

Katanya, dua minggu lalu seorang anak kapal terpaksa menggunakan kemahiran seni bela dirinya ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Hong Kong.

“Pramugari itu memanfaatkan kemahirannya untuk membantu seorang penumpang berbadan besar yang mabuk,” katanya.

Biasanya, kata Chan, pramugari tidak mampu menguruskan penumpang gemuk, terutama apabila dia mabuk.

Bagaimanapun, katanya, hasil latihan dijalani dalam seni bela diri, pramugari terbabit dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

Sementara itu, pramugari terbabit, Lumpy Tang, berkata dia tidak pernah menyangka perlu menggunakan ilmu kemahiran kung fu ketika bekerja.
Kata Tang, 22, latihan itu mungkin sukar pada peringkat awal tetapi menjadi semakin menyeronokkan kemudian.

“Anda tak boleh menjangkakan apa berlaku dalam pesawat,” katanya. - AFP

Mahkamah India larang kanak-kanak jadi pekerja sarkas


NEW DELHI: Mahkamah Agung India mengharamkan mana-mana kumpulan sarkas menggaji kanak-kanak serta mengarahkan kerajaan menjalankan pemeriksaan mengejut bagi menangani isu berkenaan.
Keputusan mahkamah itu dibuat hasil petisyen dikemukakan sebuah pertubuhan hak asasi yang mendesak pelaksanaan menyeluruh undang-undang buruh kanak-kanak yang sering dilanggar kumpulan sarkas.

Biasanya kanak-kanak dilatih untuk mengadakan persembahan akrobatik di atas wayar tinggi serta pelbagai aksi berbahaya untuk menarik perhatian orang ramai.

Mereka biasanya dibawa mengikut kumpulan berkenaan yang bergerak dari satu bandar ke bandar lain sepanjang tahun.

Peguam Pergerakan Selamatkan Kanak-kanak, Colin Gonsalves, berkata mahkamah mengarahkan kerajaan menyelamatkan semua kanak-kanak di bawah usia 14 tahun yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Mahkamah turut memerintahkan kerajaan merangka satu dasar pemulihan untuk mereka,” katanya. - AFP

Hujan batu 17maut 150cedera


PASUKAN penyelamat cuba menyelamatkan penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan rumah yang musnah, di Foshan, daerah Guangdong, China, hari ini. Pihak berkuasa China melaporkan, sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan ramai yang tercedera akibat akibat bencana hujan dan ribut petir melanda di pusat industri negara, selatan wilayah Guangdong, China. - Foto AP, bharian



BEIJING: Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan lebih 150 cedera apabila hujan batu melanda wilayah Guangdong di selatan China, semalam.
Stesen televisyen tempatan melaporkan, ribut itu berlaku di beberapa bandar, termasuk Guangzhou, Foshan, Dongguan dan Zhongshan, menyebabkan kerugian kira-kira RM25.4 juta.

Hampir 22 juta orang terjejas dengan bencana alam itu.

Dianggarkan lebih 50 mililiter hujan turun di wilayah berkenaan.

Kerajaan wilayah Guangdong menghantar pasukan bantuan ke bandar terjejas untuk menguruskan semua mangsa. - AFP, mymetro

Kris Dayanti hamil empat bulan


JAKARTA: Penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti mengakui dia kini hamil empat bulan selepas bernikah dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos pada 20 Mac lalu.
Tegasnya, hal itu sudah pun terjadi dan dia serta suaminya terima ketentuan itu dengan hati yang terbuka.

"Kehamilan ini sudah terjadi. Kalau apa yang diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul pula cerita yang tidak betul. Kononnya, saya gugurkan anak," katanya.
-mymetro

Timbalan KSU dituduh berkhalwat


TIMBALAN Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, (kanan) dan pasangannya Nur Diayana Norslan, 29, (tengah) keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut dekat Pulau Pinang, hari ini selepas membayar jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang. Salim dan Nur Diayana mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lalu. - Foto BERNAMA, bharian



GEORGETOWN: Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat bersama seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lalu.
Nur Diayana Norslan, 29 , juga tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang sama. Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut,di sini, hari ini. Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, manakala Seksyen 27 (b) enakmen sama. Hakim, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes berkenaan.
-mymetro

Terminum cuka getah


PASIR MAS: Gara-gara terminum cuka getah yang disangka minuman berkarbonat ketika leka berbual, seorang bomoh meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), akibat kecederaan serius pada organ dalaman, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis lalu, Lijah Mamat, 88, yang mengalami masalah penglihatan leka berbual bersama kakak iparnya, Siti Hawa Ibrahim, 77, di rumahnya di Kampung Kelar, di sini, sebelum mencapai botol yang disangka minuman berkarbonat kegemarannya.

Menurut anak kedua Lijah, Abdullah Che Wook, 63, ibunya sering menggunakan cuka getah untuk berubat dan disimpan dalam botol.

Katanya, ketika leka berbual, ibunya yang sudah lanjut usia dan mengalami masalah penglihatan mencapai botol terbabit yang disangka berisi air berkarbonat kegemarannya.

“Dia sempat minum seteguk ‘air’ itu. Memandangkan rasanya agak lain, dia meminta kakak iparnya mencuba sebelum meludahnya keluar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdullah berkata, selepas beberapa minit minum cuka getah itu, darah keluar dari mulutnya menyebabkan anaknya, Rosmizan, 19, membawanya ke Klinik di Kangkong, di sini.

“Ibu terus dirujuk ke Hospital Lati, Pasir Mas dan berikutan keadaannya yang semakin membimbangkan, pada hari sama dia dirujuk ke HRPZII.

“Ketika dirawat di HRPZ11, ibu muntah darah dan najisnya juga berdarah,” katanya.
Menurut Abdullah, selepas empat hari bertarung nyawa, ibunya meninggal dunia pagi semalam.

“Ibu meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) di hospital sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelar Tok Pukan jam 4 petang tadi (semalam),” katanya. Dalam kejadian itu, Siti Hawa turut cedera pada bahagian bibir selepas Lijah memintanya mencuba ‘air’ berkenaan.

Dia yang turut dirawat di HRPZII bagaimanapun sudah dibenarkan keluar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, ketika dihubungi, sehingga petang semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Pesakit mental hilang 2 tahun diperalat sindiket


ALOR GAJAH: Seorang pesakit mental yang ghaib di Puchong, Selangor sejak lebih dua tahun lalu ditemui semula selepas kisahnya disiarkan akhbar ini Jumaat lalu.
Tambi Hassan Tambi Ali, 70, kini berada di bawah jagaan Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pulau Pinang dalam satu operasi Disember 2009.

Asmah Ali, 66, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ulu Kinta, apabila kisah mengenai abangnya disiarkan akhbar ini.

“Kami merancang mengadakan solat ghaib dan doa selamat supaya abang ditemui dan ia terpaksa dibatalkan.

“Pelbagai usaha kami lakukan sebelum ini untuk mencari abang, namun tidak sangka dia berada di rumah perlindungan di Perak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana abangnya ditemui selamat walaupun sudah lebih dua tahun dia menghilangkan diri. Katanya, kakak sulungnya, Halimah, 71, sudah menuntut abangnya di pusat jagaan itu kelmarin sebelum dibawa pulang.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Azizi Arifin berkata, Tambi Hassan ditemui merayau-rayau dan mengemis di bandar Pulau Pinang sebelum diselamatkan dalam satu operasi khas pada penghujung 2009.

“Warga emas itu berada di Pulau Pinang dipercayai dalam jagaan satu sindiket yang menjadikan golongan seperti itu sebagai pengemis untuk kepentingan mereka.
“Mengikut rekod kami, Tambi Hassan ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak 3 Disember 2009 lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki yang menghidap penyakit mental hilang ketika keluar merayau-rayau di rumah kakaknya di Puchong sejak kira-kira dua tahun lalu

Dua tahun pendam rasa


PASIR MAS: Dia dihantar suami ke sebuah stesen kereta api di Johor Bahru, Johor, pada Jun 2009 lalu dalam keadaan sarat mengandung untuk pulang ke Kampung Binjai Jejawi, di sini, bagi melahirkan anak ketiga.
Bagaimanapun, sehingga hari ini suaminya menghilangkan diri tanpa khabar berita meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri membesarkan tiga anak dalam keadaan sengsara apabila mendiami sebuah rumah usang yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi.

Begitu nasib malang Che Rohani Che Wail, 26, yang sehingga hari ini buntu mengenai kehilangan suaminya, Ahmad Andy Wahid, 30, kerana mereka tiada masalah, malah menikmati kehidupan bahagia seperti pasangan lain.

Che Rohani berkata, sepanjang hampir dua tahun suaminya menghilangkan diri, dia berusaha mengesan suaminya itu, namun gagal.

“Sepanjang berkahwin, kami menetap di Ulu Tiram, Johor dan saya tidak mengesyaki apa-apa pada suami ketika dia menghantar saya ke stesen kereta api di Johor Bahru untuk saya pulang ke kampung melahirkan anak ketiga pada Jun 2009. “Dia berjanji akan pulang ke kampung selepas saya melahirkan anak ketiga dan saya mempercayainya kerana kami tiada masalah, malah bahagia.

“Bagaimanapun, hampir tiga tahun dia tidak pulang dan menghilangkan diri. Saya cuba menghubunginya, tetapi gagal, malah keluarganya di Kuala Krai, Kelantan juga tidak dapat mengesannya,” katanya.

Menurut Che Rohani, dalam keadaan digantung tidak bertali, dia bersendirian membesarkan tiga anaknya, Ziziey Ezyanie, 7, Zahrul Mukhriz, 5, dan Zahra Balqis Ezyanie, 2, dan mengharapkan simpati keluarga serta saudara-mara untuk meneruskan hidup.

“Tanpa sumber kewangan yang tetap, saya anak-beranak mendiami rumah dipinjamkan seorang sepupu yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi. Bekalan elektrik dan tandas pula dipinjam daripada sepupu saya itu.
“Awal tahun lalu, saya terpaksa meminta bantuan sepupu untuk menyekolahkan anak sulung yang bersekolah di tahun satu. Saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengambil upah menoreh, tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Che Rohani meminta supaya sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suaminya supaya menghubungi sepupunya, Anuar Che Leh di talian 013-4491921.

Denda RM25,000


KUALA LUMPUR: Denda RM25,000 atau penjara tiga tahun akan dikenakan kepada mereka yang gagal mendapatkan sijil pengesahan keselamatan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) sebelum menjual kenderaan kepada pembeli lain, manakala pengusaha syarikat kereta terpakai yang degil berdepan denda RM100,000.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bertujuan melindungi hak pengguna supaya kenderaan terpakai yang dibeli bukan kenderaan potong, curi atau rosak teruk.

Katanya, kementerian menetapkan 1 Jun ini sebagai tarikh kuat kuasa dan pihak yang tidak mematuhinya bakal berdepan tindakan tegas.

“Tiada alasan untuk tidak melakukan pemeriksaan kerana tempohnya hanya sejam.

“Puspakom juga bersetuju memberikan khidmat terbaik bagi memudahkan urusan itu supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak dan sijil dikeluarkan pada hari sama,” katanya.

Menurutnya, bayaran untuk pemeriksaan itu juga tidak ditetapkan kepada penjual sebaliknya melalui perbincangan antara penjual dan pembeli.

“Kami juga akan pastikan bayaran dikenakan tidak membebankan penjual atau pembeli dan langkah itu hanya untuk melindungi pengguna supaya tidak berhadapan dengan masalah pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Tahun 2010 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini, semalam.

Rais Yatim saman penulis blog


KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengemukakan saman terhadap penulis blog, Abdul Mutalib Mohamed Daud yang didakwa menyiarkan empat artikel memfitnahnya, Januari lalu. 


Beliau memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah di sini, pada 10 Februari lalu melalui firma guaman Tetuan Shahabudin & Rozima.
Dalam pernyataan tuntutannya, Rais berkata Abdul Mutalib selaku defendan menerbitkan empat artikel berkenaan dalam blog di laman web ‘Sabahkini-Reveal The Truth Prevail The Faith’ yang disertai gambarnya pada 1, 3, 5 dan 7 Januari lalu.
Rais mendakwa keempat-empat artikel itu yang berunsur fitnah. 

Katanya, perkataan dan petikan dalam artikel yang tidak senonoh itu membuatkan fikiran pembaca diracuni dengan gambaran yang tidak betul dan tidak masuk akal serta jahat mengenai peri lakunya kerana diterima benar tanpa disiasat terlebih dulu. 

Rais menuntut ganti rugi am, khas dan teladan serta injunksi untuk menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyiarkan artikel berkenaan. 

Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Mei depan bagi pengurusan kes. 

Zahi Hawass dihukum penjara ingkar arahan mahkamah


KAHERAH 18 April – Sebuah mahkamah di Mesir semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Menteri Warisan, Zahi Hawass (gambar) dan mengarahkan supaya jawatan beliau dilucutkan.
Perintah itu dibuat selepas Hawass menolak untuk mematuhi arahan mahkamah dalam satu kes melibatkan pertikaian tanah.
Hawass yang dinamakan sebagai Menteri Warisan bulan lalu dan menjadi Ketua Majlis Tertinggi Barangan Antik di bawah pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak dengan segera menyatakan beliau akan mengemukakan rayuan.
Hukuman itu bagaimanapun digantung sehinggalah rayuan dibuat.
Hawass yang dikenali sebagai pakar ahli kaji purba Mesir dijatuhi hukuman itu selepas satu tuntutan mahkamah difailkan ke atas beliau berhubung pertikaian tanah.
Dalam keputusan berhubung pertikaian itu, beliau diarahkan untuk mengembalikan tanah kepada plaintif, tetapi enggan melakukannya.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun, denda 10,000 pound Mesir (RM4,838) dan dilucutkan daripada jawatan Menteri Warisan Mesir.
Beliau sendiri mengesahkan kepada wartawan akan mengemukakan rayuan dan menyatakan keputusan mahkamah itu tidak bertujuan menyerang peribadinya. – AFP, utusan

Calon SPM rayu bantuan RM3,000 bedah jantung



Siti Nor Haleeda Abdul Razak menunjukkan surat dari IJN berhubung pembedahan yang perlu dilaluinya di rumahnya di Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 18 April - Seorang pelajar tingkatan lima dari Kampung Madrasah di Kuala Kedah di sini merayu bantuan orang ramai untuk membiayai pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei ini.
Pelajar terbabit, Siti Nor Haleeda Abdul Razak, 17, yang menderita saluran jantung tersumbat sejak 2001 memerlukan wang sebanyak RM3,000 untuk pembedahan tersebut.
Bapanya, Abdul Razak Awang Kechik, 54, yang bekerja sebagai nelayan memberitahu, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana pendapatannya tidak seberapa.
Apatah lagi, dia terpaksa menanggung tujuh anak termasuk empat daripada mereka masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
"Kos yang dikenakan oleh IJN adalah RM45,000 tetapi setelah diberi subsidi anak saya hanya perlu membuat pembayaran sebanyak RM3,000.
"Tetapi bagi nelayan seperti saya, jumlah ini sangat tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, Siti Nor Haleeda, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah sering pengsan ekoran masalah kesihatan itu dan dia perlu ke IJN semula pada 30 Mei ini bagi pembedahan tersebut.
Siti Nor Haleeda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia berharap untuk menjalani kehidupan seperti remaja biasa yang sihat.
"Saya cuma berharap untuk dapat belajar dan berjaya dalam pelajaran seterusnya berpeluang membantu keluarga," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu pelajar ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Agro Bank 1-00-5071-00004003-3 milik Abdul Razak Awang Kechik atau menelefonnya di talian 013-5374395.

Penduduk halang feri berlabuh



SEBAHAGIAN penduduk yang mengadakan bantahan kenaikan harga tiket feri menghalang sebuah feri daripada berlabuh di jeti Pulau Redang semalam.

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 100 penduduk Pulau Redang dekat sini mengadakan bantahan secara aman dengan menghalang feri daripada berlabuh di jeti pulau itu.
Bantahan selama sejam bermula pukul 11.30 pagi semalam adalah sebagai protes ekoran kenaikan harga tiket yang dikenakan pihak pengurusan feri kepada penduduk pulau.
Ketika mengadakan bantahan itu, penduduk berkumpul di sepanjang jeti untuk menghalang feri daripada berlabuh dan menurunkan penumpang di jeti berkenaan.
Ekoran itu, feri tersebut terpaksa berhenti kira-kira 50 meter dari jeti sebelum semua penumpang dibawa ke darat menggunakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Pulau Redang, Ladin Awang berkata, bantahan yang dibuat itu adalah susulan rasa tidak puas hati penduduk pulau itu terhadap kenaikan harga tiket feri.
Katanya, harga tiket asal bagi perjalanan sehala dari Kuala Terengganu ke Pulau Redang dan sebaliknya adalah RM20 bagi dewasa tetapi telah dinaikkan kepada RM25 baru-baru ini.
"Mengikut memo yang dikeluarkan, kenaikan harga tiket sebanyak RM5 ini berkuat kuasa 8 Mac 2011 dan penduduk menganggap kenaikan ini sebagai tidak berasas," katanya ketika dihubungi di sini semalam.-kosmo

Trio 'Datuk T' mungkin didakwa


ABDUL RAHIM (kanan) bersama Shazryl Eskay ketika mengadakan sidang akhbar mengenai video seks di sebuah hotel di ibu negara pada 23 Mac lalu.


KUALA LUMPUR - Trio 'Datuk T' mungkin dikenakan tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks melibatkan pelaku yang dikatakan mirip pemimpin sebuah parti pembangkang.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia berikutan kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan iaitu mengedar bahan lucah yang menjurus kepada penglibatan mereka.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke pejabat Peguam Negara, Khamis ini.
"Ada kemungkinan mereka akan didakwa kerana ia menjurus kepada pihak yang menayangkan video seks.
"Namun, ia bergantung kepada keputusan pejabat Peguam Negara," katanya ketika dihubungiBernama.
Tambahnya, masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemaskini dan dilengkapkan dalam kertas siasatan itu.
"Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas siasatan) pada Khamis ini...sementara itu kami tunggu maklum balas daripada pihak yang menyediakan dua perkara yang tidak boleh didedahkan dahulu," katanya.
Ditanya sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata:
"Polis tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka. Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang terhadap si pelaku."
Pada 21 Mac lalu, video seks itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan oleh sekumpulan lelaki dikenali sebagai 'Datuk T' di Hotel Carcosa Seri Negara.-kosmo