Thursday, July 16, 2015

Tubuh parti baharu adalah golongan kecewa - PAS Terengganu

KHAMIS, 16 JULAI 2015 @ 12:46 PM

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyifatkan bekas pemimpin kanan parti yang terbabit dengan penubuhan Parti Gerakan Harapan Baru, sebagai orang yang kecewa dan tidak berjiwa besar kerana tidak dipilih dalam Muktamar PAS Jun lalu.

 Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berkata berdasarkan pemerhatiannya tiada muka baharu dalam barisan pimpinan Parti Gerakan Harapan Baru cuma terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan muka-muka lama saja.

"Alasan yang diberikan untuk penubuhan parti itu tiada hujah yang konkrit melainkan sekadar hanya ingin menjadi pemimpin, jika mahu tumbangkan Barisan Nasional (BN), lebih baik mereka menyertai DAP atau PKR saja.

 "Kewujudan mereka itu nanti hanya akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru iaitu antara PAS, BN dan parti baharu itu bahkan mereka akan menjadi penyebab kepada kemenangan BN dan mengecewakan hasrat (PAS) untuk melihat BN tewas pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat beberapa pemimpin PAS yang mahu menubuhkan parti baharu itu yang dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

Satiful Bahri menyifatkan tindakan untuk menubuhkan parti baharu dan berusaha menarik keluar anggota PAS, memfitnah dan memberi pelbagai alasan, hanya menzahirkan tindakan khianat kepada PAS. "Semasa menjadi calon mereka ini sudah melafazkan sumpah baiah dan sepanjang sejarah PAS, mereka yang khianat tidak akan ke mana-mana dalam hidup mereka. "PAS tidak akan berundur. Kita akan tetap bertanding tanpa mempedulikan parti baharu itu bahkan di kerusi dimenangi DAP sebelum ini kerana tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS dan DAP sendiri sudah terbatal," katanya.

 Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku pengerusi jawatankuasa penaja parti baharu itu mengumumkan pelancaran parti baharu itu pada Isnin lalu. Antara anggota jawatankuasa interim parti itu ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68383

Ali Tinju mengaku tidak bersalah sebut perkataan menghasut

KHAMIS, 16 JULAI 2015 @ 2:04 PM




 KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menyebut perkataan menghasut ketika insiden pergaduhan di Plaza Low Yat, Ahad lalu. Mohd Ali, 44, atau lebih dikenali Ali Tinju didakwa menyebut lima ayat yang berbentuk provokasi perkauman di hadapan bangunan plaza berkenaan, Jalan Bulan 1, Off Jalan Bukit Bintang, di sini pada 8.30 malam, pada 12 Julai. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ketika rayuan, Mohd Ali yang diwakili peguam K Ragunath memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM5,000 saja memandangkan isterinya tidak bekerja, tertuduh sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap selain mempunyai lima anak masih bersekolah. "Dia hanya berniaga kecil-kecilan dan tiada pekerjaan tetap. Dia juga telah direman tiga hari sejurus menyerah diri di balai polis Dang Wangi selepas mendapat tahu di akhbar bahawa polis ingin mendapatkan maklumat daripada beliau," kata Ragunath. Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran bagaimanapun menawarkan RM10,000 sebagai jaminan. Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu Mohd Ali tidak dibenar kacau ganggu atau menghubungi saksi pihak pendakwaan dalam kes itu. Wang jaminan terhadap Mohd Ali juga akan dibatalkan sekiranya dia dituduh lagi atas kesalahan hasutan. Jagjit Singh menetapkan 30 Julai untuk sebutan. Mohd Ali membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68400

Sesak 7 kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu LPT2

RABU, 15 JULAI 2015 @ 3:08 PM

 Oleh Fitri Nizam

KEADAAN kereta mula sesak di Plaza Tol Kuala Terengganu, Kampung Gemuruh, Kuala Nerus ketika orang ramai mula pulang beraya ke kampung masing-masing. - Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Suasana Aidilfitri semakin terasa dengan perantau berpusu-pusu pulang walaupun terpaksa terima hakikat sebelum dapat bertemu mereka di kampung, ramai yang mungkin mengeluh kerana perlu bersesak di lebuh raya terlebih dulu. Bagi warga bandar raya ini umpamanya, mereka terpaksa bersesak teruk di setiap susur keluar malah kesesakan mencecah hingga tujuh kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2). Tinjauan wartawan BH di LPT2 mendapati aliran trafik bergerak perlahan dan berlaku kesesakan hampir di setiap susur keluar di sepanjang lebuh raya ini apabila orang ramai berpusu-pula pulang ke kampung halaman sejak awal pagi tadi. Di Plaza Tol Kuala Terengganu, kesesakan teruk terjadi dipercayai kerana hanya empat lorong bayaran tol disediakan. Selain itu, kenderaan yang rosak di bahu jalan menjejaskan lagi aliran lalu lintas di lebuh raya itu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68228

Bekas Editor Sarawak Report mengaku palsukan dokumen untuk jatuhkan PM

KHAMIS, 16 JULAI 2015 @ 1:47 PM

 BLOG Lester Melanyi.

KUCHING: Bekas Editor Sarawak Report, Lester Melanyi, mendakwa beliau menerima bayaran RM2,975 (STG500) seminggu bagi memalsukan pelbagai dokumen sebelum disiarkan di laman portal itu bertujuan menjejaskan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia termasuk mengaitkannya dengan isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Lester yang juga bekas Pengarang Berita Sarawak Tribune mendakwa bayaran itu diterimanya daripada pengasas dan pengendali Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, yang berpangkalan di London, United Kingdom. Malah, beliau menyifatkan bayaran itu sebagai 'ganjaran' untuknya dalam membantu komplot menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri, begitu juga kerajaan Barisan Nasional (BN), yang dipercayai turut membabitkan beberapa pemimpin pembangkang. Lester membuat pengakuan terbuka itu melalui laman blog beliau, lestermelanyi.blogspot.com. Pengakuan itu turut diselitkan dengan rakaman video berdurasi tiga minit dan 48 saat, menceritakan secara terperinci pengalaman penugasan beliau di Sarawak Report, termasuk pemalsuan pelbagai dokumen berkaitan 1MDB. Beliau dipetik sebagai berkata: "Sejumlah STG500 dibayar kepada saya setiap minggu oleh (Clare Rewcastle Brown) ketika di London. "Tugas saya ialah untuk menyunting bahan-bahan Sarawak Report sebelum diterbitkan. "Saya tidak boleh bersengkongkol dengan mana-mana cubaan menjatuhkan Perdana Menteri secara jahat biarpun saya sayangkan Datuk Seri (Anwar Ibrahim)," katanya. Lester dipercayai individu dalam rakaman video yang didedahkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, semalam berhubung tindakan laman portal itu memalsukan pelbagai dokumen berkaitan 1MDB bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri. Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, berkata laporan polis juga sudah dibuat terhadap Rewcastle dan Sarawak Report kerana menerbit dan menyiarkan dokumen palsu bertujuan menjejaskan reputasi Najib dan kerajaan. Ia adalah bukti terbaharu mengenai niat jahat Sarawak Report dalam melaksanakan misi mereka menjatuhkan Perdana Menteri, BN dan Kerajaan Malaysia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68395

Bekas Presiden AS, George H W Bush dimasukkan ke hospital

KHAMIS, 16 JULAI 2015 @ 11:51 AM



 WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George H W Bush dilaporkan jatuh dan patah tulang lehernya semalam, berikutan laporan bahawa bekas pemimpin itu dimasukkan ke hospital sekali lagi. "Keadaannya stabil, ia adalah baik, tetapi dia masih memakai pendakap leher," menurut jurucakap Bush, Jim Mc Grath yang menulis di laman twitternya. Bekas presiden berusia 91 tahun itu, dilaporkan jatuh di Kennebunkport, Maine, semalam, dirawat di sebuah hospital di bandar Portland kira-kira 30 batu (50 kilometer), menurut CNN. Bush, antara empat presiden AS yang masih hidup dan kini menggunakan kerusi roda, kelihatan lemah ketika membuat penampilan awamnya baru-baru ini. Pada Disember lalu, presiden ke-41 ini telah dimasukkan ke hospital Texas kerana masalah pernafasan -AFP

BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), George H W Bush. - Foto EPA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68376

Operasi Kabul, RM15 juta sejam

Operasi Kabul, RM15 juta sejam
Kos untuk seorang anggota tentera AS yang dikerah ke Afghanistan dianggarkan RM4 juta setahun

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Laporan terbaharu mendedahkan pembayar cukai Amerika Syarikat (AS) terpaksa menanggung kos AS$4 juta (RM15 juta) sejam ketika operasi ketenteraan diketuai tentera negara itu dilancarkan di Afghanistan.

Hasil kajian dilakukan Pertubuhan bukan kerajaan, National Priorities Project (NPP) ke atas bajet persekutuan dan perbelanjaan tentera AS mendapati hampir AS$715 bilion (RM2.7 trilion) telah dibelanjakan untuk pencerobohan di Kabul sejak 2001.

"Kos perang tersebut agak mengelirukan kerana ia tidak merangkumi perakaunan penuh melibatkan kesemua kos perang itu termasuk perbelanjaan penjagaan perubatan untuk anggota dan veteran yang cedera.

"Tambahan pula, bajet itu tidak termasuk bayaran faedah ke atas hutang negara," jelas laporan itu.

Menurut laporan tersebut lagi, kos untuk seorang anggota yang dikerah ke Afghanistan pula dianggarkan AS$1 juta (RM4 juta) setahun, satu angka jauh lebih tinggi daripada anggaran AS$390,000 (RM1.5 juta) yang dibuat penyelidik Kongres pada 2006. - Press TV 

Sementara itu, pakar ekonomi di Harvard, Linda Bilmes berpendapat misi ketenteraan di Iraq dan Afghanistan telah menjadi operasi termahal dalam sejarah AS.

Polis: Peguam tertuduh ada niat tak baik


 17  0

Polis menyifatkan peguam kepada lelaki yang dituduh mencuri di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur mempunyai “niat tidak baik” dengan mendakwa ketua pasukan keselamatan itu berbohong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak dalam keadaan itu memang akan melakukan apa sahaja untuk memberi gambaran mereka tidak bersalah.

"Orang kena tangkap boleh cakap apa sahaja untuk lepaskan diri. Kalau kita nak percaya orang yang  positif dadah dalam air kencing.

“Peguam ada niat lain, niat tak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Gombak hari ini, merujuk kepada kenyataan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, peguam kepada Shahrul Anwar Abdul Aziz, yang dituduh mencuri semalam.

Azam semalam mempertikaikan kenyataan Khalid berkaitan anak guamnya yang didakwa prejudis kepada kes itu. 

An Nadzir raya semalam

Makassar: Pengikut Jemaah An Nadzir yang menetap di Danau Mawang, daerah Gowa di Sulawesi Selatan mengakhiri Ramadan dan menyambut 1 Syawal petang semalam.
Laporan Liputan6.com menyatakan, kumpulan itu menamatkan puasa mereka jam 3 petang waktu Malaysia dengan alasan ia sesuai dengan hasil perhitungan bulan yang mereka lakukan.
Menurut pengiraan mereka, Ramadan sudah berganti dengan Syawal petang semalam.
“Haram jika kita lanjutkan ibadah puasa apabila sudah 1 Syawal,” kata pemimpin spiritual An Nadzir Gowa Ustaz Lokman.
“Hasil perhitungan kami, bulan yang baru sudah muncul. Ramadan sudah berakhir pada Rabu dan Syawal bermula petang itu. Bagi kami, esok (hari ini) sudah diharamkan berpuasa. Tetapi kerana waktunya petang, kami tidak melakukan solat Aidilfitri,” kata Lokman.
Kerana itu, katanya, jemaah An Nadzir yang Jemaah lelakinya mempunyai ciri khas - rambut panjang dan perang - menamatkan Ramadan semalam.
Mereka bagaimanapun akan solat Aidilfirtri pada 7 pagi hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:03 AM


PENGIKUT Jemaah An Nadzir
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64497#sthash.7wz2AeXj.dpuf

Serah kepada pihak polis siasat isu pergaduhan di Low Yat


BALING 15 Julai – Orang ramai khususnya golongan muda diminta menyerahkan siasatan kes pergaduhan di Plaza Low Yat Sabtu lalu kepada pihak polis agar mereka yang bersalah dapat didakwa di mahkamah.
Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, semua pihak diminta bertenang dan tidak mengganggu siasatan polis berhubung kejadian tersebut.
“Jangan kita meletakkan undang-undang di tangan sendiri, biar pihak polis yang menjalankan siasatan dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
“Saya merayu kepada mereka terutamanya golongan muda supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru demi menjaga keamanan dan ketenteraman negara,” katanya selepas mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Polis di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Wari Kiew.
Menurut Abdul Azeez, pergaduhan itu bukan berlaku atas dasar perkauman dan orang ramai perlu berhenti daripada menghantar maklumat yang tidak betul mengenai insiden itu ke media sosial.
“Zaman sekarang terlalu banyak fitnah dan cerita-cerita rekaan yang sengaja dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/serah-kepada-pihak-polis-siasat-isu-pergaduhan-di-low-yat-1.114542#sthash.hPMeoE0z.dpuf