MESIR: Dr. Muhammad Morsi yang ditahan oleh tentera di Bangunan Pengawal Republik semalam turut mengirim nota pesanan kepada seluruh penyokong beliau di Mesir.
Dalam kiriman itu, Morsi menulis "Jarak antara kekalahan dan kemenangan adalah kesabaran satu saat. Aku yakin akan kembali kepada rakyat yang telah memberikan mandat melaksanakan amanah ini.”
Pesanan itu dibawa dan disampaikan oleh pemimpin Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Dr. Solah Sultan, di hadapan jutaan penyokong Morsi yang berkampung di hadapan Bangunan Pengawal Republik sejak beliau dijatuhkan secara rampasan kuasa oleh tentera beberapa hari lalu.
Menurut Dr Solah, nota itu diberikan Morsi kepada seorang pengawal dari dalam tahanan dan telah menyerahkannya kepada beliau.
Semalam, di hadapan bangunan ini jugalah dilaporkan lebih 50 penyokong Morsi terbunuh ditembak ketika sedang solat Subuh manakala lebih 300 lagi cedera.
Minta sejadah dan al-Quran
Sementara itu, seorang ulama Khalid Gharib seperti dilapor Islam Post dilaporkan berkata, sepanjang dalam tahanan, Morsi tidak meminta apa-apa selain al-Quran dan sejadah.
Menurutnya, seorang jeneral tentera yang mengawal Morsi bernama Shubhi enam kali datang memujuk Morsi agar menerima rampasan kuasa ini.
“Tapi setiap kali dia memujuk, Presiden Mursi menolak dan mengatakan: ‘Bunuhlah aku, karena itu sangatlah ringan bagiku berbanding terpaksa bersaksi dusta',".