Showing posts with label AES. Show all posts
Showing posts with label AES. Show all posts

Tuesday, December 18, 2012

Kase dakwa JPJ tangguh notis saman AES



JAMILAH HAMZAH
18 Disember 2012
AES
Sistem AES
KUALA LUMPUR - Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendakwa kerajaan hari ini telah menarik balik notis saman kesalahan yang dilakukan di bawah penguatkuasaan kamera Sistem Pelaksanaan Automatik (AES) tanpa sebarang penjelasan.

Kase meskipun menyambut baik langkah itu tetapi mendakwa seolah-olah terdapat sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah kerajaan itu disambut baik oleh pihaknya namun kerajaan perlu membuat pengumuman secara rasmi kepada rakyat mengenai perkara itu.

"Di mahkamh hari ini pihak pendakwa tarik balik semua saman, ini mengejutkan semua pihak.

"Kita memang alukan tindakan itu, tapi kerajaan perlu umum secara rasmi.

"Tanpa penjelasan yang diberikan apabila surat saman diserahkan di mahkamah, ini menimbulkan keraguaan seperti ada sesuatu yang disembunyikan," katanya kepada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa 256, 899 saman AES dikeluarkan.

Difahamkan juga saman yang telah dikeluarkan oleh pihak pendakwa raya telah diserahkan kembali di beberapa mahkamah termasuk Mahkamah Tinggi Putrajaya, dan Mahkamah Tinggi Duta pada hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan perlu mengumumkan penarikan balik saman serta membatalkan semua saman AES yang telah dikeluarkan.

"Saman yang telah dijelaskan selepas masuk mahkamah mesti dipulangkan semula.

"Saman yang dikeluarkan mesti dibatalkan dan membuat penarikan semula," katanya.

Tuesday, November 27, 2012

Itu la... skrg baru hang tau... nanti pangkahlah lagi BN

Semalam pergi jemputan di kampung...
Bersembanglah pasal AES...
Tiba2 seorang guru mengadu...
G: Abg, saya dah kena 2 saman AES... RM600 pulak tu...
MK : Habis tu hang nak bayar?
G: Terpaksalah bayar... kalo tak nanti black-list...
MK: Jgn bayar dulu... pegi je mahkamah... PAS ada sediakan khidmat peguam percuma. Nanti aku bagi kat hang no hp nya...
G: Okay bang tp memang saya geram betul kali ni
MK: Itu la... skrg baru hang tau... nanti pangkahlah lagi BN
G: Sorry la bang... ini kali mesti tukar. Memang celaka BN ni.
 

Sunday, November 25, 2012

Kamera AES & Peluru Berpandu...



Harga sebuah Roket Al-Qassam Hamas: USD 800 (RM 2,500)
Harga sebuah Peluru Berpandu Penangkis (Iron Dome) milik Yahudi Zionis: USD 50,000 (RM 160,000)

Hari pertama Hamas balas serangan Yahudi Zionis, sebanyak 225 buah Roket Al-Qassam dilancarkan & hanya 90 buah SAHAJA Roket Al-Qassam berjaya ditangkis oleh Iron Dome sehinggakan para Yahudi Zionis di Tel Aviv terpaksa menyembunyikan diri mereka dibawah tanah selama seminggu.

X de la hebat sangat pun Yahudi Zionis ni...

*Kerajaan Malaysia lagi hebat... Beli "kamera AES" dengan harga yang JAUH LEBIH MAHAL dari Iron Dome...

"Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar memberitahu, kamera Laser Digicam itu dibeli dengan harga RM173,385 seunit manakala bagi kamera model Laser Truecam pula dibeli dengan harga RM223,500 seunit".

Hebat kan...???
 

Wednesday, October 31, 2012

Selangor: Pemasangan AES tidak sah



AES
Laporan muka depan Sinar Harian semalam.
SHAH ALAM – Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Selangor didakwa dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata, maklumat itu diperolehi daripada Yang Dipertua PBT di seluruh negeri yang mendedahkan bahawa pemasangan kamera AES itu dibuat tanpa keizinan pihak mereka.

“Ini (pasang kamera AES tanpa kebenaran merancang) adalah salah di sisi undangundang. Bagi saya, kalau tiada kebenaran merancang, ia dianggap illegal (tidak sah). Sesiapa pun yang kena (saman), mereka tidak payah bayar sebab (pemasangan kamera AES dibuat) tanpa kelulusan,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan menangguhkan pelaksanaan AES bagi empat negeri bawah pentadbirannya iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menurut Guan Eng, penangguhan itu dibuat sehingga kajian mendalam dijalankan dan maklum balas daripada rakyat diperoleh.

Mengulas mengenai penangguhan itu, Ronnie berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengumumkan perkara tersebut selepas berbincang dengan wakil Kementerian Pengangkutan esok.

“Tentang penangguhan AES, itu kena tunggu sampai Khamis ini. MB akan buat pengumuman selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Khamis ini.

“Sekarang, beliau sedang menunggu penjelasan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan (mengenai perkara ini). Sepatutnya perbincangan diadakan minggu lalu namun disebabkan masalah tertentu, ia ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Kerajaan Negeri akan membangkitkan isu kebenaran merancang, had laju dan lokasi pemasangan kamera AES munasabah selain mempersoalkan harga kamera berkenaan yang dikatakan terlalu tinggi.

“Saya kurang pasti berapa kamera AES hendak dipasang di Selangor. Namun perbincangan ini hanya melibatkan jalan bawah kerajaan tempatan (PBT) saja,” katanya.

Monday, October 29, 2012

4 negeri Pakatan tangguh AES




29 Oktober 2012
AES
Sistem AES
KUALA LUMPUR - Empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. - Bernama

AES Dipulang Kepada Kerajaan Selepas Lima Tahun, Siapa Untung, Soal Guan Eng



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Sistem Kamera Automatik (AES) akan dikembalikan kepada Kerajaan Pusat selepas lima tahun.

Guan Eng mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang disiarkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew hari ini.

“Kalau ada kebaikan selepas lima tahun dipulangkan kepada Kerajaan Pusat, saya nak tanya kamera 1Malaysia (AES) dipulangkan?

“Saya tidak nampak kebaikan. Dia nak pulangkan semula kerana sudah mengaut keuntungan yang cukup.

“Saya tidak tahu dia (Cho Ha) nampak apa kebaikan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Tambah Guan Eng, kerajaan perlu mengkaji semula kadar kelajuan sedia ada yang disifatkan tidak praktikal.

Berdasarkan statistik, 831 buah kamera yang akan dipasang diseluruh Malaysia dengan 331 buah kamera tersebut diletakkan di negeri Pakatan Rakyat (PR).

Tambahnya lagi, semua negeri yang ditadbir PR mengambil langkah menangguhkan pemasangan AES bagi memperincikan segala maklumat penting mengenai perkara ini.

Beliau turut membangkitkan mengenai surat saman yang sehingga kini belum dikirimkan kepada pengguna jalan raya.

“Bila surat saman akan dikirmkan kepada pengguna yang ditangkap (kamera AES)?

“Saya nak tahu bila? Apakah selepas PRU-13 ia akan dihantar?” soalnya lagi.

Sistem AES dipasang di seluruh negara, melibatkan syarikat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dengan jumlah pelaburan bernilai RM717 juta.
 —

Thursday, October 25, 2012

Pengesan kamera AES



http://biaqpila.blogspot.com/,25 Okt 2012

DEY MACHA!!!
HARI NI RAMAI YANG AKAN BALIK KAMPUNG
SAMADA GUNA LEBUHRAYA ATAU PUN JALANRAYA
JANGAN JADI HANTU RAYA
HARAP BERDISIPLIN SENTIASA
KAH! KAH! KAH!

INI ADA SATU APLIKASI
UNTUK SMARTPHONE ANDROID
NAMANYA AES DETECTOR
GUA DAH UJI APLIKASI NI
TENGOK SCREEN CAPTURE KAT ATAS TU
MEMANG BAGUIH SEBAB DIA BAGI ALARM
KALAU ADA KAMERA SEKITAR 1 KM
DARI KENDERAAN KITA
JADI SEMPAT LA KITA SLOW DOWN
IKUT HAD LAJU YANG HALAL
SELAMAT LA DARI KENA SAMAN
KAH! KAH! KAH!

APLIKASI NI BUKAN SAJA BOLEH GUNA KAT LEBUHRAYA
KAT JALAN LAMA,JALAN BANDAR SEMUA BOLEH
CUMA SIAP SEDIA DENGAQ ALARM SAJA
KAH! KAH! KAH!

UNTUK DAPATKAN APLIKASI TERSEBUT SILA KE SINI

KALAU GUNA HP SILA KE GOOGLE PLAYSTORE,KEMUDIAN SEARCH AES DETECTOR
KLIK KAT IKON MACAM KAT BAWAH NI:

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KE BLOG AES DETECTOR

Wednesday, October 24, 2012

Kelantan juga tangguh pemasangan AES

Mohd Nor Yahya,
24 Okt 2012

KOTA BHARU: Bersama-sama negeri Pakatan Rakyat yang lain, Kerajaan Negeri Kelantan juga hari ini memutuskan untuk menangguhkan penggunaan sistem Penguatkuasaan Automatik AES di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata sehingga kini pihak kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat dari pemegang konsesi pemasangan Kamera AES tersebut.

“Kita sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa maklumat berkaitan dengan pemasangan Kamera AES ini dan mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mempunyai hak ke atas jalanraya negeri.

"Oleh itu kita bercadang untuk menangguhkan terlebih dahulu pemasangan kamera tersebut,” ujar beliau.

Takiyuddin berkata demikian selepas mesyuarat Exco hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini.

Kerajaan negeri juga ujarnya telah mengarahkan Setiusaha Kerajaan Negeri untuk memanggil pihak dari Kementerian Pengangkutan bagi memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dalam hal pemasangan kamera AES tersebut.

Beliau juga berharap pihak konsesi alatan tersebut dapat memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri agar ia tidak menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat.

“ Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pilihan untuk menjaga keselamatan rakyat, namun dengan penggunaan AES ini ia boleh menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

"Kita difahamkan alat ini akan dipasang di kawasan 30km/j hingga 70km/j dan kebanyakkannya melibatkan jalan kerajaan negeri” katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak menentang pemasangan kamera AES ini tetapi ia mestilah mempunyai mekanisma terbaik terlebih dahulu dan tidak bersifat menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, selain Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah juga membuat pendirian serupa iaitu menangguhkan dahulu pemasangan AES di negeri masing-masing sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.

Sunday, October 7, 2012

JPJ sasar pasang 831 kamera AES dalam 18 bulan

PEKAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan pemasangan 831 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad hari ini.
 
Beliau berkata setakat ini 14 kamera AES telah dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak sejak 23 September lalu.
 
"Lokasi pemasangan AES ini dipilih berdasarkan kadar kemalangan atau kesalahan jalan raya (di tempat berkenaan) setelah kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), JPJ, Jabatan Kerja Raya dan polis," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ)' di sini.
 
Ismail berkata AES akan turut dipasang di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.
 
"Bagi negeri Pahang, AES akan dipasang di 52 kawasan perangkap laju dan tujuh di lampu isyarat," katanya.
 
Program SKSJ memudahkan orang ramai khususnya di luar bandar memiliki lesen motosikal dengan lebih mudah dan cepat. - Bernama

Saturday, October 6, 2012

AES: Apa Sistem Penguatkuasaan Automatik

Zulhazmi Shariff
Automated Enforcement System – AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik)
a) Apa AES

AES ialah suatu sistem penguatkuasaan yang dijalankan secara automatik 24 jam tanpa henti.

b) Bagaimana AES berfungsi?

i) Kamera akan dipasang di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti (hot spot) dan beroperasi 24 jam tanpa henti.

ii) Kamera disambungkan ke pengkalan data JPJ.

iii) Apabila sesebuah kenderaan melalui kawasan tersebut, jika melebihi had laju yang ditetapkan, maka gambar kenderaan akan diambil dan dihantar ke pusat pemprosesan gambar serta pengkalan data JPJ.

iv) Jika disahkan melakukan kesalahan, maka saman akan terus dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

c) Siapa mengendalikan Kamera AES? Kamera AES akan dikendalikan oleh dua (2) Syarikat swasta iaitu:

i) Beta Tegap Sdn Bhd. yang menggunakan sistem Redflex daripada Australai; dan

ii) ATES Sdn Bhd. yang menggunakan sistem Jenoptik Robot daripada Jerman

d) Pendapatan daripada AES. Kadar pendapatan telah dipersetujui sejak 22/4/2009 dan telah dibentangkan kepada Kabinet pada 16/9/2009. Suatu Model Kewangan Tiga Langkah telah dipersetujui iaitu:

i) Setiap syarikat layak mengambil RM16 daripada bilangan set saman sah yang dikeluarkan daripada hasil bayaran saman yang telah dijelaskan tertakluk kepada 5 juta saman.

ii) Setiap syarikat mengambil 50% baki hasil bayaran yang telah dijelaskan (selepas ditolak jumlah di bawah langkah i) tetapi terhad kepada RM270 juta setahun. Kerajan ambil jumlah yang sama.

iii) Setiap syarikat mengambil 7.5% baki bayaran saman yang telah dijelaskan selepas tolak langkah (i) dan (ii). Kerajaan juga sama.

e) Peruntukkan dalam Akta berkaitan AES

i) Seksyen 2 – memasukkan takrif “imej yang dirakam”,

ii) Seksyen 2 – memasukkan takrif”kesalahan berjadual”

iii) Seksyen 2 – memasukkan takrif “kesalahan yang dirakam melalui kamera”

iv) Seksyen 53 (1A) – Saman dianggap serah walaupun enggan terima

v) Seksyen 53A – Notis Kesalahan yang dirakam melalui kamera vi) Seksyen 53B – Kewajipan mengemukakan nama dan alamat

vii) Seksyen 53C – Kewajipan untuk tidak memberikan, menyiarkan atau mendedahkan maklumat mengenai kesalahan yang dirakam melalui kamera.

viii) Seksyen 117 (11) – imej yang dirakam boleh diterima sebagai keterangan prima facie

ix) Seksyen 46 – Jadual Kesalahan

Jadual Pertama

(i) Memandu melebihi hadlaju
(ii) Tidak mematuhi isyarat lalu
(iii) Memotong garisan berkembar
(iv)Memandu di lorong kecemasan
(v) Memotong & menghalang daripada memotong
(vi) Memotong barisan
(vii)Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

Jadual Kedua – Kesalahan yang dirakam melalui kamera

(I) Memandu di lorong bas
(ii) Memandu melebihi hadlaju
(iii) Tidak mematuhi lampu isyarat


Penulis ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

-Harakah

Saturday, August 4, 2012

Meh kita baca betul2, fahamkan betul2 pas tu kita undi Barisan Nasional, okay tak? - Apek


Utusan Malaysia Online bertarikh 31/07/2012 menyiarkan laporan bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan Sitem Penguatkuasaan Automatik [AES] kini sedang dalam fasa ujian dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 12/08/2012 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengesan kesalahan memandu melebihi hadlaju dan melanggar isyarat lalulintas.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] mengalu-alukan perlaksanaan apa saja bentuk penguatkuasaan undang-undang lalulintas yang bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalanraya keseluruhannya. Walau bagaimana pun KASE menegaskan bahawa apa jua bentuk penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalulintas, tujuan utamanya ialah untuk keselamatan pengguna dan bukannya berasaskan keuntungan kewangan yang akhirnya akan terus memberikan masalah kepada pengguna jalanraya dan seterusnya membebankan mereka dari segi ekonomi dan sebagainya.

Pengumuman mengejut perlaksanaan AES oleh Timbalan Menteri Pengangkutan semalam masih tidak menjawab beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh KASE mahupun oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Ahli Parlimen samada di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara. Justeru KASE mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan berkaitan beberapa isu yang masih tidak dijawab secara telus dan terbuka.

Pertama : Siapakah pengendali kamera AES?

Tinjauan di dalam laman sesawang (website) Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] mendapati terdapat penerangan berbentuk “Soalan Lazim [FAQ]” telah dimuatnaik. Soalan nombor 7 – Agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap perlaksanaan AES? Jawapan yang diberikan ialah Kementerian Pengangkutan sebagai tuanpunya manakala JPJ bertanggungjawab melaksanakan secara langsung dan merupakan “end user” kepada sistem AES. Miros bertanggungjawab dalam menentukan lokasi kamera manakala JKJR bertanggungjawab dalam advokasi dan kempen kesedaran.

Jawapan soalan 7 ini menyembunyikan beberapa perkara yang perlu diperjelaskan. Kenapa pihak Kementerian tidak menyebutkan dua (2) syarikat yang terlibat menyediakan perkhidmatan AES ini? Timbalan Menteri Pengangkutan semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 di Dewan Negara pada 17/07/2012 yang lalu menyatakan bahawa dua (2) syarikat iaitu Beta Tegap Sdn Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. telah diberikan hak oleh Kerajaan untuk memasang dan menyediakan perkhidmatan AES kepada Kerajaan. Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd akan menggunakan teknologi RedFlex buatan Australia manakala ATES Sdn Bhd menggunakan teknologi Genoptik Robot dari Jerman. Persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Kerajaan ialah berapakah nilai kontrak yang diperolehi oleh kedua-dua syarikat ini?

Melalui suatu kenyataan kepada Bursa Saham Australia bertarikh 19/12/2011, Redflex Traffic Systems Pty Ltd telah mengumumkan bahawa mereka telah memeterai suatu perjanjian untuk menyediakan 450 unit kamera statik, 140 kamera bergerak dan perkhidmatan susulan kepada Beta Tegap Sdn Bhd yang keseluruhannya bernilai $50 juta. Kontrak antara Redflex Traffic Systems Pty Ltd dengan Beta Tegap Sdn Bhd bernilai $50 juta, berapa pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan Beta Tegap Sdn Bhd? Bagaimana pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan ATES Sdn Bhd. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini.

Perlu diambil perhatian bahawa kedua-dua syarikat ini akan mendapat pulangan hasil daripada kutipan saman yang dikeluarkan melalui AES. Pada September 2009 sebelum AES dimaktubkan di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, kedua-dua syarikat ini telah bersetuju dengan Kerajaan melalui suatu Modul Kewangan yang memperincikan kadar keuntungan yang akan mereka perolehi hasil perkhidmatan AES yang mereka sediakan. KASE berpendapat bahawa hasil Modul Kewangan inilah yang menjadi faktor utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda pada sesi Parlimen yang lepas dengan menetapkan kadar minima denda tidak kurang RM300 bagi kesalahan lalulintas. KASE sekali lagi memohon penjelasan pihak Kerajaan berkaitan perkara ini.

Kedua : Berapakah bilangan kamera yang terlibat di dalam AES dan di mana lokasi kamera dipasang?

AES melibatkan penggunaan kamera samada statik, bergerak (mobile) dan juga statik bergerak. Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 pada 17/07/2012 yang lalu berkata sejumlah 1,093 unit kamera terdapat di dalam AES. Walau bagaimana pun melalui Soalan Lazim di nombor 10 yang dimuatnaik di laman JPJ menyatakan bahawa jumlah kamera ialah sebanyak 1,081 di mana 566 kamera untuk mengesan hadlaju, 265 kamera untuk lampu isyarat manakala 250 ialah kamera mudah alih. KASE memohon Kementerian perjelaskan perbezaan jawapan ini.

Pengumuman oleh Redflex Traffic Systems Pty Ltd bahawa mereka menyediakan 590 unit kamera kepada Beta Tegap Sdn Bhd justeru dapat disimpulkan bahawa kamera yang akan digunakan oleh ATES Sdn Bhd yang menggunakan teknologi Genoptik Robot ialah sebanyak samada 491 unit atau 601 unit. Jawapan Timbalan Menteri semasa di Dewan Negara ialah Beta Tegap Sdn Bhd akan memberikan perkhidmatan AES di zon selatan iaitu antara Kuala Lumpur ke Johor Bharu manakala Ates Sdn Bhd bagi zon utara daripada Kuala lumpur ke Perlis.

KASE mohon Kementerian menjelaskan kenapakah dua (2) syarikat ini perlu menggunakan dua (2) sistem yang berbeza dan kenapa Kerajaan tidak terus memasuki perjanjian dengan pembekal perkhidmatan tersebut tetapi melalui Beta Tegap Sdn bhd dan ATES Sdn Bhd?.

Seterusnya KASE memohon pihak Kementerian supaya menyiarkan lokasi di mana kamera-kamera tersebut dipasang di seluruh negara. Kerajaan menyatakan bahawa lokasi kamera bukan rahsia kerana akan diletakkan papan tanda amaran, justeru KASE mendesak Kerajaan supaya menyiarkan di dalam Akhbar Perdana samada Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, The New Straits Times dan akhbar-akhbar lain di manakah lokasi setiap kamera dipasang. Penyiaran lokasi kamera ini perlu dibuat sebelum penguatkuasaan AES dilaksanakan pada 12/08/2012 nanti sebagai amaran kepada pengguna jalanraya supaya lebih berhati-hati sesuai dengan pendapat Kerajaan bahawa perlaksanaan AES ini adalah untuk meningkatkan perasaan “perception of being caught”.

Ketiga : Apakah peranan PDRM di dalam AES.

Soalan Lazim nombor 8 menjawab bahawa PDRM akan menggunakan AES untuk mengesan jenayah dan tugas-tugas trafik malah kamera bergerak AES juga akan dikendalikan oleh PDRM dan juga JPJ. Persoalan yang timbul di sini ialah apakah status kamera-kamera yang dimiliki oleh Polis Cawangan Trafik yang kerapkali digunakan di dalam operasi hadlaju? Adakah semua kamera yang dimilik oleh PDRM tersebut tidak akan digunakan, dilupuskan atau diserap ke dalam AES? Adakah PDRM masih akan terus menggunakan kamera milik mereka dan jika perkara tersebut masih berlaku, adakah saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM masih sah sedangkan kesalahan lalulintas untuk memandu laju dan melanggar isyarat lampu isyarat tertakluk di bawah AES.

Keempat : Penerangan berkaitan peraturan dan undang-undang lalulintas.

Kementerian Pengangkutan meletakkan tanggungjawab khusus kepada Jabatan Keselamatan Jalanraya [JKJR] untuk advokasi dan kempen bagi memastikan pemahaman dan penerimaan rakyat. KASE mendesak Kementerian menyatakan sehingga pengumuman AES akan dilaksanakan pada 12/08/2012 berapa kalikah JKJR mengadakan siri kempen penerangan berkaitan AES kepada masyarakat khususnya pengguna jalanraya. Kementerian sendiri pula berapa kali telah diadakan siri ceramah penerangan atau hebahan di media berkaitan AES ini untuk makluman awam? Jika jawapannya negatif, KASE memohon supaya perlaksanaan AES ini ditangguhkan terlebih dahulu sehinggalah seluruh pengguna jalanraya diberikan maklumat yang berkaitan. Maklumat-maklumat ini juga sepatutnya dimasukkan di dalam sukatan pembelajaran di sekolah-sekolah memandu bagi menimbulkan kesedaran pengguna berkaitan pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya.

KASE tidak menolak setiap perlaksanaan peraturan dan undang-undang bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang awam tetapi menyimpan hak untuk tidak bersetuju dengan beberapa perkara dan tindakan kerajaan dalam proses perlaksanaan peraturan dan undang-undang tersebut. Perlaksanaan peraturan dan undang-undang secara semberono demi keuntungan pihak-pihak tertentu adalah dikesali malah akan ditentang sehingga prinsip keadilan sejagat dipertahankan. Setiap orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Adakah janji untuk menyediakan perkhidmatan AES telah ditepati dan sekarang masa Kerajaan membalas budi? Tepuk Dada Tanya Akal. Pandu Cermat Jiwa Selamat. Saman Kurang Kroni Kecundang.

YB DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Pengerusi
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]
01/08/2012 / 11 Ramadhan 1433H
 —