Sunday, October 31, 2010

Amalan berpantang

HIDUP BARU... Maizawati menunggu kelahiran anak ketujuh.
HIDUP BARU... Maizawati menunggu kelahiran anak ketujuh.

KUALA LUMPUR: Kegebuan dan kemampuannya memiliki ramai anak mungkin dicemburui wanita lain, tapi semua itu tidak datang bergolek.
Sebaliknya, Maizawati Zainal, 35, yang namanya tersohor dek kontroversi dengan bekas suaminya, Akhil Hayy, mengamalkan enam petua bagi melengkapkan impiannya menjadi wanita ‘sempurna’ di mata lelaki.

Menurut Maizawati atau lebih mesra disapa Maiza, petua utama adalah berpantang selepas melahirkan anak kerana percaya proses berkenaan dapat memulihkan tenaga dan memelihara kecantikan.


“Saya cuma mengamalkan berpantang. Saya yakin dengan kebaikan amalan tradisional itu selepas mendengarnya daripada ibu saudara. Proses berpantang membuang darah kotor dan wanita yang melahirkan anak beruntung kerana susah hendak diserang penyakit kronik.

“Ketika berpantang, saya memakan makanan yang boleh memanaskan badan dan makan jamu serbuk kerana percaya kesan pemulihan lepas bersalin lebih cepat. Sepanjang berpantang, saya banyakkan minum air akar kayu walaupun ia pahit. Saya berpantang selama setahun tidak minum ais dan minuman berkarbonat,” katanya.

Dia yang kini menjalankan perniagaan Madu Herba Maiza — produk kesihatan dengan campuran habbatussauda — turut memasukkan madu sebagai amalan pemakanan harian.

“Saya turut amalkan meminum madu setiap pagi dan malam bagi membantu meningkatkan antibodi tubuh dan awet muda,” katanya yang berminat menceburi bidang lakonan jika tiada aral.

Model sambilan itu memaklumkan, dia dinasihatkan doktor supaya banyak berehat dan mengurangkan aktiviti harian bagi menjaga kehamilan disebabkan terlalu aktif dan banyak berdiri.

“Selepas disahkan hamil dan berlaku pendarahan, saya perlu mengurangkan aktiviti harian dan banyak berehat seperti dinasihatkan doktor. Alhamdulillah saya tidak mabuk, cuma berlaku pendarahan kerana terlalu aktif. Selepas ujian imbasan dilakukan, bayi dalam rahim aktif,” katanya.

Ternyata Maiza yang kini meniti hari bahagia bersama suami baru, Mohd Yassin Ben @ Abd Rahim, 23, bertuah kerana tidak perlu menunggu lama selepas akad nikah, sebaliknya ‘bunting pelamin’ dan dijangka menyambut kelahiran anak terbaru, Mei depan.

‘Kesuburannya’ yang bakal menimang cahaya mata ketujuh pada usia 35 tahun — sesuatu yang jarang dialami wanita moden hari ini — turut membuatkan ramai wanita di luar sana mengagumi dan tertanya-tanya rahsia awet mudanya.

“Tiada rahsia besar memiliki ramai anak. Tambahan pula, keluarga ibu mempunyai ramai adik beradik. Saya bersyukur kerana disahkan hamil dan menganggapnya sebagai rezeki Allah. Tidak sangka hamil dalam waktu terdekat ini kerana kami tidak merancang apa-apa,” katanya.

Menurutnya, dia mengesyaki dirinya hamil apabila lewat datang bulan sebelum melakukan ujian kehamilan di rumah.

Selepas ujian itu menunjukkan tanda positif, Maiza mendapatkan pengesahan doktor dan disahkan hamil dua bulan.

“Sebenarnya kalau difikirkan, saya takut hendak mengandung. Proses mengandung dan melahirkan anak masih segar di ingatan. Suami gembira dengan berita itu dan meminta saya banyak berehat. Dia mengambil berat makan minum serta melarang saya melakukan kerja berat,” katanya.

Maiza mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Akhil Hayy iaitu Siti Nur Maisarah, 13; Mohd Syarif Idayatullah, 12; Mohd Syakir Idayatullah, 9, dan Mohd Syatiri Idayatullah, 3. Manakala dua lagi anak, Dania Sofea, 17, dan Danial Arif, 16, adalah hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya.

Model sambilan itu sebelum ini dikenali berikutan kesnya ditinggalkan bekas suami, bercerai dan kemudian dicemuh kerana berpasangan dengan lelaki lebih muda 12 tahun daripadanya.

Biarpun perkahwinan barunya mengundang pelbagai persepsi, Maiza berkata, dia tidak bimbang perbezaan usia kerana yakin Mohd Yassin mampu menjadi suami dan ayah kepada anaknya serta menjadi pelindung keluarga.

PETUA MAIZAWATI
1. Amalkan berpantang
2. Amalkan makan makanan panas
3. Makan jamu serbuk
4. Minum air akar kayu
5. Elakkan minum ais dan minuman berkarbonat selama setahun
6. Minum madu setiap pagi dan malam

Jenazah tiba

BALING: Suasana pekarangan Masjid Al-Falah Kampung Setol, di sini, hiba sebaik tujuh jenazah yang terkorban dalam kemalangan selepas bas persiaran yang dinaiki hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan di Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam kelmarin memasuki pekarangan masjid berkenaan, kira-kira jam 2 petang, semalam.
Lebih 5,000 termasuk saudara mara, sahabat handai serta penduduk kampung yang mula berkumpul sejak jam 11 pagi tidak dapat menahan sebak apabila ketujuh-tujuh jenazah berkenaan sampai di situ.

Jenazah kemudian disembahyangkan di masjid berkenaan kira-kira jam 2.30 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, kira-kira jam 3 petang.


Semua jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di kampung berkenaan.

Mereka yang maut adalah Mohammad Yusof Akhit, 16; Mohamad Khairy Mohamad Marzuki, 14; Mohamad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husain, 17; Mohd Fahimi Abdul Mustafa, 17; Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, dan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28.

Semua mangsa meninggal dunia akibat tersepit dan tercampak daripada bas.

Dua beradik melecur diseterika




MUHAMMAD AL-HAKIM (kanan) menunjukkan kecederaan pada lengan adiknya, 
Muhammad Fairuz akibat diseterika guru mereka ketika ditemui di Kampung Anak Keranji, Slow Machang, Kelantan semalam.


PASIR MAS - Dua beradik antara 11 pelajar yang melecur akibat tindakan melampau seorang guru menggunakan seterika panas bagi mengejutkan mereka supaya menunaikan solat Subuh baru-baru ini.
Kejadian berlaku di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dekat sini pada 12 Oktober lalu ketika Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, nyenyak tidur.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, kedua-dua mereka melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru tersebut yang juga warden asrama menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.
Turut mengalami nasib yang sama ialah sembilan lagi pelajar lain.
Menurut Muhammad Al-Hakim, biasanya mereka akan bangun pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.
Bagaimanapun, pada hari tersebut, sebahagian besar pelajar di dalam dom asrama itu nyenyak tidur.
"Ketika nyenyak tidur, saya terkejut apabila terasa panas pada kaki.
"Apabila tersedar, saya nampak cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas yang digunakan untuk mengejutkan kami.
"Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat daripada dikenakan tindakan oleh cikgu tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Keranji, Slow Machang dekat sini semalam.

Gesa polis siasat kes kereta mekanik



BAKAR ARANG - Pasukan Kead:ilan Kedah Tengah meminta polis segera menyiasat kes seorang mekanik, Mohd Nafirdaus Mohd Hassan, 24, yang didakwa hampir terkena tembakan yang dilepaskan ke arah keretanya ketika dikejar kereta polis peronda pada 5 Oktober lalu. 

Ketua pasukan itu, Joe Teoh Pak Tee berkata, Mohd Nafirdaus tidak melakukan kesalahan besar. 

“Nasib baik enam das tembakan kena kereta Mohd Nafirdaus dan tidak mengenainya atau rakannya. Jika tidak, ia akan jadi seperti kes Aminulrasyid," katanya. 

“Harap polis siasat dengan terperinci bagi membela nasib Mohd Nafirdaus yang masih trauma dengan kejadian itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, di sini, kelmarin. 

Pak Tee berkata, pihaknya akan berbincang dengan keluarga Mohd Nafirdaus mengenai tindakan lanjut yang akan diambil bagi membela nasib mereka. 

Menurutnya, pasukannya juga akan mendapatkan nasihat daripada peguam pasukannya, Teoh Tai Eak, dari segi undang-undang berkaitan kes itu.

Nak pilihanraya baru nak ganti


Jambatan gantung akan diganti

AWANG Adek Hussin bersama penduduk kampung melawat jambatan gantung Kampung Batu Papan di Gua Musang, semalam.


GUA MUSANG 30 Okt. - Kesukaran kira-kira 1,500 penduduk Batu Papan 1 dan Batu Papan 2 di sini yang terpaksa menggunakan dua jambatan sempit termasuk satu jambatan gantung mendapat perhatian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Awang Adek yang berjalan kaki melalui jambatan gantung yang terletak berhampiran pusat rekreasi Gua Madu mengakui jambatan itu perlu ditukar dan diluaskan untuk menjamin keselamatan penggunanya termasuk lebih 150 pelajar sekolah.
Sehubungan itu, beliau berjanji akan membuat satu laporan dan surat rasmi untuk memberi cadangan kepada kerajaan pusat agar mengeluarkan peruntukan bagi membina jambatan baru.
"Saya dapati jambatan gantung ini perlu diutamakan kerana ia tidak selamat walaupun ada wayar besi di kiri dan kanan tetapi setiap kali melaluinya ia akan bergoyang," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan itu di sini hari ini.
Jambatan gantung sepanjang kira-kira 35 meter dan setinggi 10 meter itu menghubungkan Kampung Batu Papan 1 dan Kampung Batu Papan 2 yang dipisahkan oleh Sungai Galas.
Sebuah lagi jambatan batu sepanjang kira-kira 30 meter yang berada di Kampung Batu Papan 1 turut mendapat permintaan penduduk kampung untuk diluaskan atau diganti baru kerana saiznya terlalu sempit.
Selain kegunaan harian penduduk termasuk Kampung Kundur, jambatan itu akan dilalui saban hari oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Putra 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wangi 1 dan SK Seri Wangi 2.