Showing posts with label DNA. Show all posts
Showing posts with label DNA. Show all posts

Tuesday, April 26, 2011

DNA Male Y sah milik Anwar




KERATAN Kosmo! 8 Ogos 2008.


KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa profil DNA Male Y yang ditemui pada dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan adalah milik Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, DNA Male Y itu disahkan sepadan dengan DNA yang diambil daripada tiga sampel milik Anwar selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahan semalaman dalam lokap Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008.
Pakar kimia Makmal Forensik DNA Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon sebelum ini mengesahkan tiga barang tersebut iaitu sebatang berus gigi, sehelai tuala Good Morning dan sebotol air mineral kosong sepadan dengan DNA Male Y pada dubur Mohd. Saiful.
Dr. Seah Lay Hong dari Jabatan Kimia dalam keterangan sebelum itu telah menamakan satu DNA lelaki asing sebagai DNA Male Y yang ditemui bersama-sama DNA Mohd. Saiful pada dubur dan dua helai seluar dalam milik pengadu berkenaan.
Kata Mohd. Yusof, Anwar adalah tahanan tunggal yang ditahan di lokap pada 16 Julai 2008 sehingga 17 Julai 2008.
“Sampel-sampel yang diperoleh bagi tujuan analisis DNA tidak tercemar dan bukti DNA Male Y juga tidak dibantah oleh pihak pembelaan semasa perbicaraan,” kata beliau.

Friday, September 17, 2010

DNA bantu kenal pasti mangsa


KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dalam sebarang proses siasatan jenayah terutamanya yang membabitkan kes rogol dan pembunuhan, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah asid deoksiribonukleik (DNA) menggunakan kaedah siasatan forensik.
Siasatan forensik yang menggunakan ujian ke atas DNA mangsa merupakan kaedah untuk mengesan identiti suspek penjenayah dengan tepat melalui ujian terhadap darah, air mani, kulit, air liur atau rambut mangsa yang dipadankan dengan ahli keluarga mereka.
Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah.
Pensyarah Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia, Dr. Zafarina Zainuddin dilaporkan berkata, DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian boleh terjejas jika terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti lembap atau panas melampau.
Zafarina yang juga pakar perunding DNA bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profilnya bagi setiap individu adalah unik dan berbeza melainkan suspek tersebut mempunyai kembar seiras.
Dalam usaha memperluaskan ilmu sains forensik, PDRM telah menubuhkan sebuah makmal forensik bernilai RM45 juta di Maktab PDRM Cheras pada April 2002 yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi.
Bidang forensik di negara ini dipertanggungjawabkan di bawah bidang tugas Jabatan Kimia yang menerima sampel-sampel daripada agensi penguatkuasaan.
Pada 30 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama peguam, pegawai bank dan pemandunya. Sosilawati, 47, dikatakan mati dibunuh tetapi mayatnya di bakar dan abunya dibuang ke sungai.
Bagaimanapun, polis menemui serpihan tulang-tulang dipercayai milik mangsa dan ujian DNA kini sedang dijalankan bagi mengesahkan ia milik mangsa pembunuhan kejam tersebut.