Sunday, February 27, 2011

Gempa di Christchurch mungkin terburuk di NZ

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand, Encik John Key, semalam berkata gempa bumi di Christchurch mungkin menjadi bencana alam paling teruk dialami negara itu.
Ini sedang para pegawai New Zealand mendedahkan bahawa perangkaan kematian menyusuli gempa itu semalam meningkat kepada 145 orang, dengan lebih 200 dilaporkan masih hilang.Para jurutera dan perancang bandar berkata kawasan pusat bandar yang musnah itu mungkin sukar dipulihkan buat berbulan-bulan lamanya.Sekurang-kurangnya sepertiga bangunan perlu dirobohkan dan dibina semula selepas mengalami gempa sekuat 6.3 pada skala Richter, Selasa lalu.Sementara itu, di bahagian luar daerah pusat itu, Encik Brent Smith hanya dapat melihat dengan linangan air mata sedang para pekerja merobohkan bangunan era 1850-an, tempat beliau tinggal.Di sana juga beliau mengendalikan perniagaan motelnya dan menjual jag-jag antiknya, manakala katil era Victoria berharga AS$6,000 ($7,695) beliau kini menjadi abu.Sementara itu, Encik Key berkata pemerintah New Zealand akan mengumumkan satu pakej bantuan untuk 50,000 penduduk yang tidak akan bekerja berbulan lamanya akibat penutupan bandar Christchurch.Semalam, beliau menemui keluarga-keluarga yang kehilangan anggota tersayang dan menggesa diadakan dua minit masa berkabung lusa.'Ini mungkin satu peristiwa paling tragik di New Zealand,' kata Encik Key.Perangkaan kematian meningkat kepada 145 orang selepas beberapa lagi mayat dikeluarkan daripada runtuhan, kata Superintenden polis, Encik David Cliff. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Hidup dan mati di Libya




TRIPOLI - Keluarga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menegaskan akan terus berada di negara itu dan tidak akan membenarkan 'sekumpulan pengganas' mengambil alih tampuk pemerintahan.

Anak lelaki Gaddafi, Saif Al-Islam berkata, bapa dan keluarganya akan hidup dan mati di negara itu walaupun berhadapan dengan pergolakan yang semakin meruncing.

"Kami mempunyai tiga rancangan (untuk menghadapi protes). Ketiga-tiganya adalah untuk hidup dan mati di Libya," katanya, kelmarin.

Kedudukan Gaddafi semakin terancam apabila penunjuk perasaan antikerajaan dilaporkan berjaya merampas beberapa wilayah di Libya dalam protes menentang pemerintahannya selama 42 tahun.

Gaddafi muncul di Dataran Hijau, Tripoli malam kelmarin bagi menyampaikan ucapan kepada penyokongnya dan menuntut mereka bertempur dengan aktivis prodemokrasi yang menentangnya.

Lebih 1,000 penunjuk perasaan di Libya dilaporkan terbunuh sejak protes bermula, 16 Februari lalu, iaitu angka korban tertinggi setakat ini dalam revolusi Timur Tengah.
SH

Berat mata memandang




MERSING - Sukar menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh seorang ibu apabila anaknya mengalami kesukaran untuk minum setelah disahkan mengalami sumbing.

Kunjungan Sinar Harian ke rumah suri rumah berkenaan mendapati, bayi malang berkenaan terpaksa menggunakan botol meskipun masih terlalu awal untuk menggunakannya demi mengisi perut.

Siti Jumanah Marjuki, 41, berkata, anak lelakinya, Mohamad Faiz Irfan Rozali disahkan mengalami sumbing sejak kelahiran kira-kira dua minggu lalu dan agak terkejut apabila diberitahu doktor bahawa bayi lelakinya sumbing di beberapa bahagian iaitu hidung, mulut dan gusi.

“Selepas melahirkannya, jururawat datang dan menunjukkan Mohamad Faiz Irfan kepada saya, namun disebabkan terlalu terkejut, saya pengsan. Bagaimanapun, selang tiga hari, hati saya tenang kerana dapat menerimanya dan menyusukannya.

“Pada mulanya, memang agak sukar saya untuk menerima semua ini, namun semua adalah suratan Ilahi, kami menerimanya dengan hati redha,” katanya yang ditemani suaminya, Rozali Abdul Rahman, 54.

Siti Jumanah berkata, sepanjang mengandungkan Mohamad Faiz Irfan dan setiap pemeriksaan kandu­ngan, doktor memberitahu tiada sebarang masalah kepada bayi berkenaan.

Katanya, bayi lelakinya yang berusia hampir dua minggu itu kini terpaksa bergantung kepada botol susu kerana tidak dapat menyusu secara normal seperti bayi lain.

“Mohamad Faiz Irfan terpaksa diberi susu dengan berhati-hati kerana jikalau tidak diberi susu dengan baik, dia akan tersedak kerana salur pernafasannya agak sempit dan tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehingga kini, Mohamad Faiz Irfan terpaksa menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Kuantan dan terpaksa dibawa ke hospital seminggu sekali untuk pemeriksaan.

Menurut Siti Jumanah, mungkin bayi lelakinya itu terpaksa dibedah, namun tarikh tepat masih belum diketahui.

“Doktor ada memberitahu, pembedahan bagi merawat kecacatan sumbing sudah tercatat dalam sejarah kejayaannya dan saya juga berharap agar pembedahan anak nanti akan turut berjaya.

“Saya turut mengakui bimbang dengan masa depan Mohamad Faiz Irfan sean­dainya tidak dibedah dan juga berharap agar ada pihak tampil untuk memberi sumbangan bagi menampung kos peru­batan anaknya itu.

“Melihat anak lelaki saya, kadang-kadang terfikir nasib anak lelaki ini apabila mungkin berdepan risiko pembedahan yang kemungkinan pekak dan percakapan tidak jelas.

“Bagaimana nak menang­gung kos pembedahan dan rawatan susulan sedangkan saya tidak bekerja. Jika sebelum ini, saya ada bekerja di kantin sekolah, namun disebabkan keadaan anak yang mahu penjagaan rapi, saya tidak dapat lagi bekerja,” katanya sayu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat dan sumbangan, boleh menghubungi keluarga ini di talian 017-7040341 atau di alamat 204 Blok J, Skim Perumahan Kos Rendah (SPKR) Felda Endau, 86900, Mersing.
SH

Khabar sedih ketika kempen





2011/02/27

pix_gal0
SENTUL: Luluh hati seorang suami apabila isterinya, Ong Ean Lee, 33, dan anak perempuan tunggalnya, Artina Lake Xin Yu, 2, (atas) ditemui mati di dalam sebuah bilik dipercayai sesak nafas akibat kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Taman Sri Sinar, di sini, pagi semalam.

Calven Loke Wai, 30-an, yang ketika itu sibuk berkempen dalam pilihan raya kecil di Merlimau, Melaka mendapat berita menyayatkan hati itu daripada jirannya yang membuat panggilan pada jam 6.30 pagi.
"Saya yang berada di Merlimau terus bergegas pulang dan sampai kira-kira jam 8 pagi," katanya yang kali terakhir bertemu isteri dan anaknya dalam jam 8 pagi, kelmarin sebelum keluar bekerja. Mayat isterinya ditemui di atas katil, manakala anaknya ditemui di tepi katil dalam bilik yang sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang dikatakan tinggal bersama anaknya sedang tidur, manakala, Calven yang juga Pengerusi sukarelawan bomba di Jinjang dan Setiausaha Pemuda parti Gerakan Rakyat Malaysia Kuala Lumpur, berada di Merlimau.

Difahamkan, bomba sukar memasuki kawasan berkenaan apabila palang besi di taman terbabit dalam keadaan berkunci. Malah, turut menjadi tanda tanya apabila pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang dipertanggungjawabkan memegang kunci palang besi berkenaan dikatakan menghilangkan diri.

Calven juga berkata sebaik urusan pengebumian selesai, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak keselamatan taman berkenaan yang mengakibatkan bomba gagal memadam kebakaran dengan cepat.

Kebakaran dikatakan bermula dari ruang tamu rumah teres terbabit sebelum merebak di bahagian dapur dan bilik menyebabkan mangsa dua beranak yang berada dalam sebuah bilik utama terperangkap dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri.
Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai A Anantha, 34, berkata beliau yang sedang tidur kira-kira jam 6 pagi itu terdengar satu letupan kuat, namun tidak mengendahkannya.

"Bagaimanapun, 10 minit kemudian, saya terhidu bau asap dan bergegas keluar dari rumah untuk memeriksa sebelum melihat kepulan asap dan api di rumah jirannya.

"Saya kemudian menghubungi bomba untuk bantuan, namun api yang marak terlalu cepat menyebabkan penduduk gagal menyelamatkan dua beranak itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Othman Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.05 minit pagi sebelum mengerahkan dua jentera dan 27 anggota dari balai Jinjang dan Kepong ke lokasi kejadian.

"Mayat dua beranak itu ditemui berada di dalam bilik utama sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Operasi memadam kebakaran mengambil masa selama 30 minit dan hampir 80 peratus kediaman dua tingkat itu musnah dijilat api. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Berita Harian Online

Bakal Ratu Cantik Amerika diusir






DENVER, Amerika Syarikat (AS) 26 Feb. - Calon Miss USA mempunyai cerita sedih tersendiri walaupun dia baru sahaja donobatkan sebagai Ratu Colorado.
Blair Griffith (gambar) kehilangan rumah tempat berteduh hanya beberapa bulan selepas dia dimahkotakan sebagai Ratu Colorado.
Griffith, 23, yang dijadual menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA pada 19 Jun ini, diusir bersama-sama ibunya dari rumah mereka pada November lepas.
Dua beranak itu kini menumpang di rumah seorang sahabat keluarga.
Gadis itu juga dijadual kehilangan pekerjaannya di Saks Fifth Avenue apabila cawangan tempat dia bekerja ditutup terus pada bulan depan.
Walaupun dianugerahi kecantikan, Griffith kerap ditimpa kesusahan dalam kehidupannya, termasuk kematian bapanya akibat kanser semasa dia masih kanak-kanak, dan serangan sakit jantung yang dialami oleh ibunya beberapa tahun lalu.
"Kos pembedahan telah banyak menjejaskan kewangan keluarga," jelas gadis itu dalam satu wawancara, baru-baru ini.
Griffith berkata, dia melihat nasib malang yang menimpanya sebagai satu ujian untuk melihat sama ada dia dapat menangani dan mengatasinya.
Sejak beberapa bulan lalu, dia telah membincangkan keadaan hidupnya secara terbuka apabila berucap di sekolah dan acara tertentu.
Pagi semalam, Griffith muncul pada rancangan NBC, Today dan menjelaskan dia tidak menyedari dia dan ibunya akan diusir sehinggalah polis mengetuk pintu rumah mereka.
"Saya tidak ada tempat untuk mengadu mengenai segala perkara yang berlaku dalam kehidupan saya.
"Begitu ramai orang lain yang mengharungi situasi serupa dan saya berharap untuk menjadi inspirasi kepada mereka," katanya kepada Denver 9News. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Keluarga pelajar hidap leukemia mohon bantuan




KAMALIA Kamaruzzaman (tengah) diberikan kata-kata semangat oleh Siti Mahfuzah Mohd. Bakin dan Kamaruzzaman Sulaiman di rumah mereka di Sungai Tiang Darat, Bagan Datoh, Perak, semalam. - mingguan/Ainsafre Bidin


BAGAN DATOH 26 Feb. - Keluarga Kamalia Kamaruzzaman, 16, yang menderita penyakit leukemia sejak tahun lalu, merayu bantuan orang ramai untuk menanggung kos rawatannya.
Menurut bapa Kamalia, Kamaruzzaman Sulaiman, 44, sejak menghidap penyakit itu, seluruh anggota badan anaknya lemah.
"Rambut Kamalia sering gugur dan hidung serta mulutnya juga kerap berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Tiang Darat, Selekoh dekat sini, hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, dia memerlukan RM700 sebulan untuk perbelanjaan rawatan ubat anaknya.
"Saya orang susah dengan berniaga menjual nasi campur di gerai tepi jalan dan pendapatan RM600 sebulan.
"Hasil pendapatan itu digunakan untuk menanggung tujuh orang anak masih bersekolah dan ia tidak mencukupi," katanya sambil menambah sejak anaknya sakit, pendapatannya terjejas kerana tidak dapat berniaga.
Beliau pernah mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih belum mendapat jawapan.
Sehubungan itu, Kamaruzzaman berkata, dia merayu mana-mana pihak untuk membantu meringankan bebannya mengubati penyakit leukemia yang dihadapi anaknya.
Ibu Kamalia, Siti Mahfuzah Mohd. Bakin, 40, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memerlukan perhatian dan bantuan bagi merawat penyakitnya itu.
"Saya sedih apabila melihat Kamalia sering menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya," ujarnya.
Sementara itu, Kamalia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Razak, Selekoh berkata, setiap hari dia menangis kerana tidak mampu menahan kesakitan.
"Saya menangis kerana tidak mahu mati sebaliknya mahu terus menolong ibu bapa saya.
"Saya sering berdoa memohon supaya Allah dapat menyembuhkan penyakit saya bagi membolehkan saya berbakti kepada orang tua saya," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Gaji 32 pramugari belum dibayar



Oleh Nadia Hamid
nnadia@bharian.com,my
2011/02/27

Syarikat penerbangan Alwafeer Air masih gagal bayar tuntutan empat bulan

KUALA LUMPUR: Kumpulan 32 pramugari Malaysia yang terkandas di Jeddah menunggu bayaran tunggakan gaji oleh majikan mereka, syarikat penerbangan berpangkalan di Arab Saudi, Alwafeer Air dijangka pulang ke tanah air selewat-lewatnya akhir minggu depan.
Mereka masih belum menerima sebarang bayaran tunggakan gaji selama empat bulan selepas pemberian sagu hati 1,500 riyal (RM1,200), Januari lalu.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata kumpulan pramugari berkenaan terdesak untuk kembali ke Malaysia berikutan sudah muak dengan janji syarikat yang mahu membayar gaji mereka selain tiada duit untuk berbelanja.

“Sebelum ini syarikat itu berjanji membayar sekurang-kurangnya separuh daripada gaji tertunggak sebanyak 10,000 Riyal (RM8,077) kepada setiap pramugari itu, tetapi tidak menepatinya.

“Kami faham situasi mereka yang mengalami masalah kewangan kritikal, namun akan terus berbincang dan mendesak syarikat penerbangan berkenaan menanggung kos penghantaran pulang kumpulan pramugari ini serta membayar tuntutan penuh gaji dan elaun sebanyak 20,000 riyal (RM16,154),” katanya kepada Berita Minggu.

Seorang pramugari, Lenny Fariha Hazree, 24, memberitahu serik dan tidak mahu lagi bekerja dengan syarikat di luar negara sebaliknya akan mencari pekerjaan bersesuaian kelulusannya di tanah air.
Ibunya, Rosmawati Ahmad memberitahu Lenny Fariha ada menghubunginya, baru-baru ini dan memaklumkan bakal pulang ke tanah air selewat-lewatnya dalam minggu depan.

“Ina (Lenny) sudah mencari kerja di Malaysia menerusi sistem online dan akan pulang menjalani hidup seperti sedia kala. Tiada apa lagi yang mahu ditunggu di sana (Jeddah) selain mengerjakan umrah,” katanya.

Bapa kepada seorang lagi pramugari, Mohd Nawi Hamzah bersetuju anaknya, Nor Amira, 25, dibawa pulang ke Malaysia dengan segera untuk bekerja di negara sendiri.
Berita Harian Online | Gaji 32 pramugari belum dibayar

Sudah lama berminat


DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.
DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.


KUALA LUMPUR: “Jangan salah sangka kerana saya tidak memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki Melayu. Saya sudah lama terdedah kepada agama ini dan kerana keindahannya, saya tertarik untuk menjadi seorang Muslimah,” kata pelakon dan personaliti terkenal, Daphne Eleanor Iking.
Sebelum ini, gosip mengenai bintang filem Belukar berusia 32 tahun itu memeluk Islam menjadi tajuk hangat di laman web hiburan tempatan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Daphne menjelaskan kepada media, dia memeluk Islam awal bulan lalu selepas mempelajari selok- belok agama itu, Disember lalu.

“Selepas memeluk agama Islam, saya membuat keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan hati, iaitu Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe. Majlis resepsi dilakukan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah 8 Januari lalu.

“Majlis perkahwinan itu hanya dilakukan kecil-kecilan. Bagi saya, tidak perlu mengadakan majlis besar- besaran kerana yang penting adalah keutuhan rumah tangga berkenaan dan bukan majlis perkahwinan,” katanya, semalam.

Menurut Daphne, dia dan Joe adalah rakan kongsi dalam perniagaan.


Katanya, sejak mengenali hati budi masing-masing, mereka tertarik antara satu sama lain dan membuat keputusan menamatkan hubungan yang terjalin ke jenjang pelamin.

“Suami saya bersikap rendah diri dan tidak mahu terlalu menonjol di khalayak ramai mahupun media. Malah, saya mencintainya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang,” katanya.myMetroSudah lama berminat

BN berentap lawan Pas di Kerdau, Merlimau




ROSLAN (kanan) dan Yuhaizad selepas penamaan calon di Merlimau semalam.


KUALA LUMPUR - Seperti yang dijangka, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau di Pahang dan DUN Merlimau di Melaka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu akan diadakan serentak pada 6 Mac ini.
Bagi DUN Kerdau, BN diwakili oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala Pas diwakili oleh Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim, 43.
Bagi DUN Merlimau, BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, manakala Pas pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38.
Pegawai pengurus pilihan raya kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan calon yang akan bertanding di Dewan Tun Razak Majlis Perbandaran Temerloh kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut Tarif, terdapat satu bantahan diterima tetapi telah ditolak.
DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lalu.
Di Merlimau, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Eusoff mengumumkan nama kedua-dua calon yang bertanding pada pukul 11.28 pagi selepas setengah jam tempoh bantahan.
Roslan menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.07 pagi manakala Yuhaizad menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi.
Kosmo! Online - Negara

Siti Sarah-Shuib Sepah selamat diijabkabul



SITI SARAH dan Shuib bergambar selepas 
diijabkabulkan di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas bertunang secara diam-diam pada 16 November tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisudin, 27, dan pelawak kumpulan Sepah, Shahmira Mohamed, 27, atau Shuib akhirnya selamat diijabkabulkan semalam.
Siti Sarah dinikahkan sendiri oleh bapanya Raisudin Hamzah sambil disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir.
Pasangan itu yang ditemui sejurus majlis akad nikah selesai tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur untuk menjalani kehidupan berumahtangga selepas lebih setahun bercinta.
"Saya bersyukur apabila bertemu dengan lelaki yang benar-benar memahami diri saya dan bertanggungjawab. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi isteri yang terbaik.
-kosmo