Showing posts with label kebakaran. Show all posts
Showing posts with label kebakaran. Show all posts

Wednesday, December 26, 2012

Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'


Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Rumah banglo di Assam Kumbang, Taiping yang terbakar pada 13 November lalu.
Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Jenazah mangsa ditemui dalam keadaan rentung
Tragedi 3 sekeluarga rentung: 'Pelukan terakhir saya dapat berikan'
Zubair Puteh
SEORANG akauntan di Royal Bank of Scotland, Mohd Hakimi Zubair, 40, isterinya, pakar teknologi maklumat, Leila Sahak, 40, anak bongsu pasangan ini, Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah warga Indonesia, Rizki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah banglo di Assam Kumbang, Taiping tanggal 13 November 2012 lalu.

Kejadian menyayat hati ini terjadi apabila mereka sekeluarga pulang bercuti ke kampung halaman dan dikatakan Allahyarham menyambung cutinya lagi sehari hanya kerana mahu menikmati kuetiau Kombat,  namun tidak dapat menikmati makanan tersebut kerana kedai berkenaan tutup.

Di ruangan Di Sebalik Tragedi berkongsi kisah sedih ini bersama bapa Allahyarham, Zubair Puteh, 73, antara yang terselamat dalam tragedi kebakaran ini kerana tidur di bilik bawah banglo berkenaan. Jelasnya, anaknya itu adalah seorang anak yang baik namun takdir menentukan segala-galanya dan beliau redha dengan setiap ujian ALLAh SWT.

“Buat masa ini, pihak keluarga sudah berbincang tetapi belum dimuktamadkan lagi. Anak sulung Allahyarham, Lokman Hafiz, 13 yang akan memasuki tingkatan dua tahun depan akan kekal di sekolahnya, Sekolah Menengah Sains Selangor. Manakala dua lagi, Ain Najwa, 11 dan adiknya, Aizad Fahmi, 8 tahun, besar kemungkinan akan duduk bersama nenek mereka, Hadijah Mongin di Kampung Jambatan Duyong, Melaka.

“Ada juga beberapa pilihan di mana kalau cucu-cucu saya bersetuju, mereka akan tinggal bersama bapa saudara mereka, seorang konsultan perubatan yang tinggal berdekatan rumah mereka sebelum ini (Alam Damai, Cheras).

Saya turut mendengar, emak saudara menantu saya akan tinggal bersama cucu-cucu saya di rumah mereka. Kalau budak-budak itu bersetuju, mereka tidak akan berpindah ke mana-mana. Rumah yang dibeli oleh Allahyarham ketika hayat itu tidak akan dijual, sebaliknya akan diletakkan anak-anaknya sebagai penama. Kami semua akan membantu dan menjenguk mereka selalu.

“Soal kewangan tidak timbul. Insya-ALLAH anak-anak saya akan membantu keperluan cucu-cucu saya ini sehingga mereka dewasa. Apa yang mereka perlukan sekarang adalah sokongan moral kerana kehilangan ibu dan bapa serentak dalam kebakaran itu. Apa pun saya serahkan kepada mereka untuk membuat pilihan di mana mereka mahu tinggal. Ini kerana masa mereka masih panjang,” demikian kata Zubair Puteh, 73 ketika dihubungi.

Kisah sedih pak cik Zubair turut merentap semangat penulis.  Di sebalik raut wajahnya yang tenang, sesekali dia meraut air mata. Sewaktu penulis menelefonnya, pak cik Zubair memberitahu, mereka sekeluarga baru saja berbincang mengenai masa depan cucu-cucu kesayangannya itu.

Ketika diminta berkongsi kisah sedih yang meragut nyawa anak ketiganya, Mohd Hakimi, 40, menantunya, Leila Sahak, 40, cucunya, Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah dalam kebakaran banglo miliknya, 13 November lalu, tangisan tidak dapat dihindarinya.

“Sebaik pihak bomba dapat memadamkan kebakaran dan mengeluarkan jenazah anak menantu dan cucu, biarpun dalam keadaannya rentung, saya terus menerpa, memeluk dan mencium mereka.

Saya sudah tidak kisah pada keadaannya, tapi saya tahu itu adalah pelukan terakhir yang saya dapat berikan kepada mereka,” katanya yang terus menangis ketika bercerita. Namun begitu, segera pak cik Zubair beristighfar.

Ketika diminta bercerita tentang apa yang terjadi, jelas pakcik Zubair, hari raya lalu Hakimi sekeluarga sempat berhari raya bersamanya. Malah dia begitu menikmati setiap hidangan yang disediakan.

“Raya haji lalu, allahyarham balik ke Melaka bersama keluarganya dan cuti Deepavali ini Hakimi gunakan untuk ke rumah saya pula. Saya menyiapkan pelbagai hidangan untuk dinikmati bersama-sama iaitu ketupat, lemang, serunding dan sebagainya.

“Mereka sampai di rumah kira-kira jam 12 tengah malam. Saya menyuruh mereka makan tetapi masing-masing sudah kenyang kerana singgah makan di hentian Rawang. Esok paginya, Hakimi bangun bersembahyang Subuh di masjid berdekatan dan dia membelikan roti canai sebagai sarapan.

Hari itu kami sekeluarga makan di tepi tasik dan memesan makanan kegemarannya. Sayang sekali, makanan kegemaran yang pesan itu tidak dapat dinikmati kerana pekedai salah mengambil pesanan. Hakimi nampak terkilan dan memberitahu, dia tidak mahu lagi datang ke kedai itu. Saya hanya diam.

“Selesai makan mereka sekeluarga ke Bukit Merah untuk menghabiskan cuti. Sebelum pulang ke ibu kota, allahyarham bermalam di rumah saya semalam lagi. Sepatutnya allahyarham perlu balik kerana ada mesyuarat, tapi menangguhkannya kerana mahu berada lama di kampung.

Malamnya, Hakimi berkata, dia begitu berhajat untuk makan kuetiau kombat yang menjadi kegemaran kami sekeluarga, malah allahyarham menambah satu hari cutinya kerana mahu menikmati kuetiau itu.

“Malangnya kedai kuetiau itu tutup pada malam tersebut. Untuk tidak menghampa allahyarham saya membeli kuetiau di kedai lain. Allahyarham hanya menjamah sedikit kuetiau itu dan meminta saya menyimpan selebihnya dalam peti sejuk untuk dimakan semula keesokan harinya.

“Malamnya saya ke hospital melawat anak dan membawa sama tiga orang cucu-cucu, manakala Hakimi pula keluar. Saya tidak tahu ke mana dia pergi. Dalam jam 10 malam, saya sampai ke rumah tetapi Hakimi masih belum balik lagi. Saya masuk tidur di bilik bawah, manakala cucu-cucu saya tidur di ruang tamu. Saya terjaga ketika Hakimi pulang tetapi pula sempat berbual,” ujar pak cik Zubair.


Hasrat tidak tercapai

Pak cik Zubair juga sukar melupakan kenangan terakhir bersama menantunya. Katanya, malam itu menantunya itu merancang untuk membuat cucur pisang untuk sarapan pagi esoknya untuk mereka.

Dia tahu menantunya sukakan cucur pisang kerana itu, dia sanggup ke kedai membelikan tepung. Namun hasrat menantunya itu tidak kesampaian apabila tengah malam tersebut dia menemui ajal bersama suami dan anak bongsunya.

“Kira-kira jam 12.15 tengah malam saya terdengar suara cucu menjerit api dan sedang marak membakar rumah. Apabila keluar dari bilik, saya lihat bumbung rumah dan kayu-kayu mula jatuh. Kami berlari keluar rumah dan apa yang terlintas di fikiran ialah menelefon pihak bomba. Ketika itu saya memikirkan semua ahli keluarga saya sudah selamat berlari keluar rumah.

“Tapi malangnya selepas pihak bomba datang kira-kira 15 minit kemudian dan api berjaya dipadamkan, saya terpaksa menerima hakikat, anak, menantu dan cucu saya rentung terbakar,” kata bapa kepada lapan anak ini dalam nada sebak. 

Jelasnya ketika ditemui, Leila dalam keadaan memeluk anaknya, Ahmad Faris, manakala Hakimi berada di balkoni rumah. Mungkin dia sedang sedaya upaya mahu meminta pertolongan. Pembantu rumah mereka tinggal di bilik sebelah juga ditemui rentung,” katanya.


Sepatutnya ke Ireland

Jelas Zubair yang kematian isteri lapan tahun lalu, dia mendiami rumah tersebut bersama anak bongsunya, Rozita, 31, yang juga seorang guru. Jelasnya, sepatutnya anaknya Hakimi akan ke Ireland untuk menghadiri mesyuarat syarikatnya.

“Hakimi memberitahu saya akan bertemu adiknya di London dan menginap di rumah adiknya itu sehari dua sebelum ke mesyuarat tersebut. Tapi malangnya, Allahyarham tiada kesempatan melakukannya, kerana dia ditakdirkan menemui ALLAH dengan awal daripada itu,” katanya mengakui kelapan-lapan anaknya berjaya dalam pelajaran. Anak sulungnya seorang jurutera, kedua dan ketiga (termasuk Hakimi) seorang akauntan, anak keempatnya seorang kaunselor pakar perubatan, kelima (meninggal ketika kecil), keenam seorang pensyarah universiti, manakala ketujuh, seorang pegawai bank dan yang bongsu, seorang guru.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan ibu allahyarham Leila, Hadijah Mongin, 62 berkata, dia redha dan pasrah dengan kejadian menimpa anak, menantu dan cucunya malah sempat bertemu mereka pada sambutan Aidiladha lalu.

“Kami semua bergegas ke Taiping apabila dihubungi pada jam 2.30 pagi. Saya juga berharap dapat menjaga cucu-cucu saya kerana mereka rapat dengan saya sebelum ini,” katanya mengakui anaknya itu adalah anak sulung dari enam beradik dan begitu bertanggungjawab dengan adik-adiknya. Malah dia tidak menyangka apa yang berlaku kepada anak sulungnya itu.


Hanya ada masa empat minit

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Tuan Mohd Sani Harul, 46, berkata, mangsa kebakaran biasanya hanya mempunyai empat minit untuk menyelamatkan diri atau terpaksa berhadapan dengan risiko lain sekiranya tidak dapat melepaskan diri dari rumah saat api marak. Menurutnya, selepas empat minit keadaan akan lebih berisiko di mana kita akan mudah terhidu asap beracun.

“Dalam keadaan normal khususnya ketika tidur, manusia memerlukan 21 peratus oksigen untuk bernafas dengan sempurna. Namun apabila berlaku kebakaran dan asap mula menebal, paras oksigen akan turun menjadi 17 peratus sahaja.

Ketika ini, kita akan mula sukar bernafas, pemikiran sedikit terjejas dan adakalanya otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Bagi orang yang tidur lena, biasanya mereka tidak akan sedar bahaya ini, namun apabila paras oksigen menurun kepada 12 hingga 10 peratus biasanya orang yang terhidu asap tebal akan pengsan dan besar kemungkinan mereka tidak dapat melarikan diri dari api yang mula marak,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Tuan Mohd Sani lagi, empat hingga enam minit adalah saat paling kritikal bergantung kepada jenis kebakaran.

“Asap beracun ini kita boleh bahagikan kepada empat jenis iaitu karbon monoksida di mana ia akan mengurangkan oksigen di dalam darah dengan kadar yang cepat.

Keduanya, Hidrogen Sinida iaitu sejenis gas beracun  yang melibatkan kebakaran seperti nylon, sutera dan jenis-jenis plastik. Gas ketiga ialah gas Hidrogen Klorida  yang akan mengakibatkan gatal pada mata dan tekak, dan mata menjadi kabur. Terakhir ialah gas Karbon Dioksida  yang mana apabila asap terlalu banyak ia akan masuk ke paru-paru apabila kita mula terhidu atau menarik nafas.

“Jenis-jenis gas beracun ini ada kalanya adalah barangan yang kita simpan di dalam rumah. Sebaiknya jika menyedari berlaku kebakaran, kita harus keluar dari rumah seberapa segera dan jika kebakaran berlaku pada waktu malam kita sedang lena tidur, masa yang ada untuk menyelamatkan diri hanyalah 4 minit sahaja dan sekiranya terlewat, banyak risiko lain mengundang,” jelasnya sambil menambah, apabila seseorang terhidu gas beracun dengan kadar yang banyak ia akan menjejaskan daya fikir.

Menjawab satu soalan, Tuan Sani menjelaskan terdapat dua punca  kematian dalam kebakaran iaitu  mati akibat terbakar/melecur dan keduanya melibatkan terhidu asap gas dalam kuantiti yang banyak.

Tiga perempat kes yang biasa dikendalikan biasanya  melibatkan terhidu asap gas beracun.

Dalam pada itu, Tuan Sani menjelaskan punca kebakaran  terbahagi kepada tiga iaitu penggunaan lilin, keduanya peralatan elektrik yang digunakan mungkin sudah lama dan ketiganya penggunaan elektrik yang berlebihan (litar pintas).

“Ada beberapa jenis kategori  rumah iaitu jenis A (rumah teres, batu, mengikut piawaian pemaju), jenis B setengah batu dan setengah kayu dan jenis C rumah kayu sepenuhnya. Biasanya jabatan Bomba dan Penyelamat sudah mengambil kira semua aspek dan kita akan mengikut standard yang telah ditetapkan ketika operasi.


* Artikel dipetik dari majalah Mingguan Wanita

Tuesday, November 27, 2012

5 terbunuh di set penggambaran




27 November 2012
Terbunuh di set
Polis ketika melakukan siasatan di tempat kejadian.
HYDERABAD - Lima terbunuh, manakala tiga yang lain cedera selepas bangsal didirikan untuk set penggambaran terbakar sehingga merebak ke bangunan bersebelahan, di pinggir ibu kota di Poppalaguda, daerah Ranga Reddy.

Jurucakap polis berkata, kebakaran tercetus apabila set penggambaran filem itu tiba-tiba terbakar lalu merebak ke pangsapuri empat tingkat terletak bersebelahan dengan lokasi penggambaran itu.

“Lima orang termasuk dua wanita dan seorang bayi tujuh bulan antara maut di tempat kejadian,” katanya. Menurutnya, anggota penyelamat terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran tersebut.

“Litar pintas dipercayai punca kebakaran,” katanya. - AP

Tuesday, October 2, 2012

Kebakaran awal pagi musnahkan rumah panjang

SIBU 2 Okt. - Satu kebakaran awal pagi memusnahkan rumah panjang 10 pintu, Rh.Nyantau anak Sandah, di Tamin, Km53 Jalan Sibu-Selangau, dekat sini hari ini.
Ketua Stesen Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Masidi Taha berkata tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tersebut.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pukul 5.27 pagi dan mengerahkan tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera penyelamat ke tempat kebakaran dan berjaya mengawal api dalam masa satu jam selepas tiba di situ. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121002/je_08/Kebakaran-awal-pagi-musnahkan-rumah-panjang#ixzz289g2mycu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, August 8, 2012

Rumah ADUN AJIL Hangus Terbakar!

(GEMPAR] Rumah ADUN AJIL Hangus Terbakar!

Malam tadi selepas waktu berbuka puasa, rumah ADUN AJIL, Dato' Hj Rosol Wahid terbakar.

Dipercayai habis ranap rumahnya..

Syukur Alhamdulillah, semua kaum keluarganya selamat.

Ucapkan semoga YB Dato' tabah menghadapi suasana begini. -omakkau

Saturday, March 10, 2012

Rebus kerang punca rumah hangus

Kosmo! Online - Negara:

SEORANG anggota bomba memadamkan sisa kebakaran yang memusnahkan rumah seorang peniaga pasar malam di Kampung Pasar Kedai Manir, Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga pasar malam terpaksa berputih mata apabila rumah yang didiaminya sejak 50 tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Pasar Kedai Manir dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM230,000 termasuk wang tunai RM300 yang merupakan modal untuk berniaga.
Mangsa, Abdul Aziz (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, dia merebus kerang di dapur untuk dijual di pasar malam di Pulau Duyong dekat sini.
Katanya, api daripada dapur tersebut tiba-tiba menyambar minyak petrol di dalam sebuah penjana elektrik yang terletak berhampiran dan menyebabkan kebakaran.
“Saya cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan pantas. Saya kemudian menyuruh anak-anak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

'via Blog this'

Saturday, August 27, 2011

Kebakaran paling tinggi



TAIPING – Sepanjang bulan Ramadan ini, Balai Bomba dan Penyelamat Taiping telah menerima sebanyak 37 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes bermula 1 hingga 22 Ogos lalu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, bagaimanapun panggilan kecemasan melibatkan kebakaran adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 22 kes. 

Menurutnya, lain-lain kes yang diterima adalah melibatkan bencana alam (4), operasi mencari dan menyelamat (1), kemalangan (3) dan khidmat-khidmat khas sebanyak 7 kes. 

“Sepanjang Ramadan, kita banyak menerima panggilan untuk khidmat khas iaitu tujuh panggilan, kes bencana alam sebanyak empat panggilan, tiga panggilan melibatkan kemalangan dan satu panggilan melibatkan operasi mencari dan menyelamat. 

“Panggilan berhubung kes kebakaran banyak melibatkan kebakaran bangunan kediaman, dapur masak, lalang dan lain-lain kebakaran.” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar orang ramai lebih peka dengan keadaan ini serta mengambil langkah berhati-hati dalam kesibukan membuat persiapan hari raya dan balik kampung. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar memastikan semua suis elektrik ditutup, serta berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah masing-masing. 

“Dari sudut keselamatan kebakaran, kaum ibu dinasihatkan agar memastikan gas ditutup selepas memasak dan jangan sesekali meninggalkan dapur dengan api yang masih terpasang atau menyala,” katanya. 

Katanya, orang ramai juga perlu memastikan semua suis atau plag dicabut sebelum meninggalkan rumah masing-masing, bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Belaiu juga tidak lupa menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan masing-masing untuk mengelak kesesakan dan mengurangkan risiko berlaku kemalangan. 

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mengikut jadual yang disediakan pihak pengurusan lebuhraya utara-selatan dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bila letih dan mengantuk, serta merancang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi.

Friday, August 26, 2011

Lelaki kurang siuman nyaris maut



KOTA BHARU- Seorang lelaki kurang siuman nyaris maut selepas terperangkap dalam tandas sebuah rumah yang tidak berpenghuni dipercayai dibakarnya di Pintu Geng, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dikatakan membakar rumah kosong terbabit sebelum bersembunyi di dalam tandas rumah berkenaan.

Difahamkan sebelum kejadian, lelaki tersebut cuba membakar sebuah rumah lain bagaimanapun ia disedari penghuninya dan berjaya mencegah perlakuan lelaki itu.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusoff berkata, anggotanya telah mendengar jeritan lelaki terbabit yang meminta air ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Selepas mendengar jeritan itu, anggota bomba dapat mengesan lelaki tersebut dalam tandas, ketika itu asap telah memenuhi seluruh ruang tandas tersebut. Dia kemudian berjaya dikeluarkan walaupun dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, seramai 21 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba Kota Darulnaim dan Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 7.59 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

“Api berjaya dapat dikawal kira-kira seminit selepas itu dan lima minit kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya. Pihak kami dapat kawal api dengan pantas kerana tekanan air yang baik di kawasan itu,” katanya. Beliau memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM500,000.

Saturday, August 20, 2011

Tak sempat tengok anak jadi doktor



Oleh Haika Khazi dan Mohd Fakhrurrazi Usuldin
bhnews@bharian.com.my
2011/08/20

RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya sambil disaksikan Zulkifli (kiri) di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Danial.
RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya sambil disaksikan Zulkifli (kiri) di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Danial.
Anak kedua Timbalan Ketua Pengarah JPN rentung dalam kemalangan jalan raya 

PUTRAJAYA: Ayah dan ibu terkilan kerana tidak sempat melihat anak keduanya bergelar doktor kerana rentung dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Simpang Empat, Kangar malam kelmarin.
Bapa mangsa, Zulkifli Rahmat, 54, yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, berkata beliau dan isteri, Rusnah Othman, 56, sedih tetapi reda dengan pemergian anak mereka yang sepatutnya menghabiskan latihan amali selama tiga tahun dan dijangka berakhir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Katanya, kehilangan Muhammad Danial, 24, terasa begitu cepat selepas kali terakhir bertemu ketika anaknya itu balik rumah mereka di Presint 9 di sini, menyambut awal Ramadan kira-kira dua minggu lalu. 

Zulkifli berkata beliau juga hairan Muhammad Danial kerap pulang ke rumah mereka sejak kebelakangan ini terutama jika tiada kelas pada hujung minggu. 

“Kali terakhir ibunya menelefon pada Selasa lalu untuk bertanya khabar dan dia hanya berkata akan balik untuk sambut Aidilfitri tetapi tidak tahu lagi tarikhnya,” katanya yang amat sugul dengan kejadian itu. 

Mangsa mempunyai seorang kakak yang bertugas di Telekom Malaysia dan adik yang masih belajar di sebuah universiti swasta di Melaka. 
Zulkifli dan isterinya, juga tidak sanggup menatap jenazah anaknya itu yang rentung akibat kemalangan itu. 

Katanya, beliau difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Danial, dalam perjalanan pulang dari Alor Setar ke rumah sewanya di Kangar, apabila kereta Perodua Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain. 

“Kawannya maklumkan dia keluar untuk membeli makanan berbuka puasa di Alor Setar. Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, Muhammad Danial mengubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar, sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya selepas pengebumian mangsa di Taman Selatan, Presint 20, di sini, kelmarin. 

Muhammad Danial dijangka menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini. Beliau adalah pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dalam program berkembar dengan Universiti Sumatera Utara, Indonesia. 

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, berkata pihaknya hanya mampu mengesan identiti mangsa berdasarkan kepada nombor plat kenderaan yang didaftarkan atas nama bapanya, Zulkifli di Putrajaya. 

"Bagaimanapun, keadaan mayat yang rentung sepenuhnya menyukarkan pihak keluarga untuk mengenal pasti identiti mangsa. 

"Apa pun, pengenalan diri positif diperoleh selepas salah seorang rakan mangsa mengenali pen berlampu yang ditemui di tempat kejadian, yang disahkan kepunyaan Mohd Danial," katanya. 

Mengulas insiden berkenaan, Rosli berkata mangsa dikatakan cuba melakukan pusingan U di lokasi kejadian, sebelum kereta dipandu Lim Tai Eng, 58, dari Jalan Raja Syed Alwi, yang berada di belakangnya gagal mengelak dan terus merempuh bahagian sisi belakang sebelah kanan Myvi milik Muhammad Danial. 

Beliau berkata, pihaknya percaya rempuhan terbabit mengenai bahagian tangki minyak kenderaan mangsa, sehingga mencetuskan kebakaran. 

"Pemandu Toyota Corolla SEG terbabit yang patah tangan bagaimanapun sempat keluar dan menyelamatkan diri. Bagaimanapun, Danial gagal berbuat demikian sebelum terbakar bersama kedua-dua kereta terbabit. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa kemudian dituntut bapa saudaranya, sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Presint 9 Putrajaya," katanya. -bharian

Sunday, August 14, 2011

Lelaki ditemui rentung ketika waktu sahur

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Seorang lelaki rentung dalam kebakaran yang berlaku ketika penduduk Islam di Kampung Tebrau Bakar Batu di sini, baru selesai bersahur awal pagi ini.
Kebakaran pukul 5.25 pagi itu dipercayai bermula dari rumah mangsa, Sabtu Hussin, 57, sebelum ia merebak ke rumah bersebelahan yang didiami anak saudaranya sekeluarga.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan berjaya menyelamatkan diri.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, berkata, dia yang tinggal tidak jauh dari rumah adiknya itu dimaklumkan kebakaran tersebut oleh anak perempuannya.
"Ketika kejadian, saya baru habis bersahur dan sejurus saya sampai di tempat kejadian, rumah pusaka keluarga itu sudah hangus terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurut Ramlah, Sabtu yang merupakan anak kelima daripada 12 beradik itu tinggal seorang diri sejak bercerai dengan isterinya, beberapa tahun lalu.
Ujarnya lagi, adiknya itu bekerja sebagai pemandu teksi tetapi terpaksa berhenti kerja akibat penyakit tulang belakang.
"Meskipun sedih dengan kematian adik saya, namun saya bersyukur kerana Sapiah, menantu dan dua cucu saya selamat. Sapiah ada beritahu saya duit RM1,000 yang akan digunakan untuk persiapan raya Aidilfitri turut hangus terbakar," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Johor Bahru, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Raja Saiful Iswandy Raja Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.28 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi.
"Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian ruang utama rumah sebelum ia merebak ke bahagian lain. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil biliknya dan punca sebenar kebakaran masih disiasat," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Friday, August 12, 2011

Dugaan Ramadan

KOTA TINGGI – Gara-gara terlupa hendak mematikan api dapur gas ketika menjerang air selepas keluar rumah, nyaris menyebabkan seluruh rumah hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di Felda Air Tawar 2, di sini, semalam.

Namun, kepantasan pihak bomba dan jiran tetangga membantu memadamkan api dapat menyelamatkan keadaan seterusnya mencegah kebakaran besar berlaku.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Fatimah Jaafar, 65, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah hari itu ketika dia sedang berehat di rumah sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun dari arah rumah jirannya itu.

“Setelah mendengarnya, saya keluar rumah dan melihat api dari arah dapur rumah jiran sedang marak menjulang tinggi ke langit. Saya yang panik segera ke rumah jiran berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Ada jiran yang cuba membantu memadamkan api namun api yang semakin marak menyebabkan usaha mereka terbantut sehinggalah pihak bomba datang kurang 10 minit dan berjaya memadamkan api," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Mohd Ismail Abdul Latif mengesahkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada api dapur yang tidak dimatikan penghuni ketika keluar dari rumah.

“Siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku berpunca daripada penghuni yang menjerang air tidak mematikan api dapur gas sebelum meninggalkan rumah untuk ke bandar.

“Setelah menerima laporan daripada penduduk, anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian dan kebetulan juga ketika kejadian berlaku, anggota kami terlibat dengan aktiviti gotong-royong di kawasan ini serta merta ke rumah mangsa dan berjaya memadamkan api dalam masa dua minit," katanya.

Katanya, anggaran kerugian masih disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kita berharap orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan dengan memastikan dapur gas serta peralatan elektrik yang lainnya dimatikan sebelum keluar rumah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Mereka perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu terutama menjelang musim perayaan ini,” katanya.-SH

Sunday, May 22, 2011

15 rentung ketika kumpul petrol dari lori tangki Nato

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 15 terbunuh apabila lori tangki milik Nato terbakar dan meletup ketika orang ramai leka mengumpul petrol yang tertumpah dari kenderaan terkena bom itu, semalam.
Pegawai pentadbir tempatan, Shafeerullah Wazir, berkata sembilan daripada mangsa adalah satu keluarga yang tinggal berhampiran Landi Kotal, Khyber.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Taliban mengebom konvoi konsulat AS yang dalam perjalanan ke Peshawar, kelmarin.

Shafeerullah berkata, lori tangki itu terbakar selepas meletup akibat bom kecil menjelang subuh.

“Pada peringkat awal, kebakaran di lori itu berjaya dipadamkan sebelum ramai penduduk kampung bergegas ke situ untuk mengumpul petrol yang berbaki.


“Tiba-tiba api menyambar sekali lagi dan sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk lima budak lelaki, hangus,” katanya.

Minyak petrol itu dikumpul penduduk kampung untuk dijual semula di pasaran terbuka pada harga RM3.60 seliter.

Terdahulu, 11 kenderaan membawa bekalan untuk Nato - kebanyakannya lori tangki minyak - musnah terbakar berhampiran bandar Torkham. - AFP
myMetro15 rentung ketika kumpul petrol dari lori tangki Nato

Sunday, May 8, 2011

Rumah Tengku Adnan nyaris musnah terbakar


KUALA LUMPUR: Rumah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Taman Duta di sini nyaris musnah apabila tingkat atas rumah banglo empat tingkat itu terbakar awal pagi tadi. 


Tengku Adnan berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari bilik anak lelakinya, Tengku Mohd Hafiz, 15, apabila pendingin hawa di bilik tersebut mengalami kerosakan sehingga mengeluarkan percikan api.
"Ketika kejadian kira-kira 5.30 pagi itu anak saya sedang tidur tetapi terjaga setelah terkena percikan api dari pendingin hawa berkenaan.
"Kemudian anak saya terus berlari ke bilik saya yang berada di tingkat yang sama bagi memaklumkan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. 

Tengku Adnan berkata, sejurus selepas itu, beliau terus mengejutkan semua 15 orang penghuni di dalam rumah tersebut termasuk anggota keluarga dan pembantu rumah supaya keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

"Semua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sentul, Halim Mustafa berkata enam jentera dengan 46 anggota dari balai Hang Tuah, Sentul, Sri Hartamas, Jinjang memgambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran. 
Halim berkata, bagaimanapun hanya bumbung dan tingkat empat sahaja yang musnah manakala tingkat satu hingga tiga tidak terjejas. 

"Api di bumbung dan tingkat empat banglo yang berusia hampir 25 tahun itu merebak dengan cepat kerana strukturnya yang diperbuat dengan kayu namun tingkat bawahnya sempat diselamatkan. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA 

Tak sempat beri kad ucapan


KOTA BHARU: Sebelum ini, Rashidah Illiana Zamri, 7, bersama dua adiknya akan menyerahkan kad yang dihasilkan sendiri bagi meluahkan perasaan kasih sayang sempena Hari Ibu, namun semalam detik manis itu hanya tinggal kenangan, malah diselubungi suasana pilu selepas ibu mereka Rafidah Ismail, 36, maut dalam kebakaran di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari kelmarin.
Bapa kanak-kanak itu, Zamri Hamat, 38, berkata menjadi kebiasaan setiap kali Hari Ibu, Rashidah dan dua adiknya Zaim Shahrul, 6, dan Zaim Iqbal, 2, menyediakan kad untuk ibu mereka bagi meluahkan perasaan kasih sayang.

“Sebelum ini, ada kad yang dia (Rashidah) buat di sekolah, dan ada juga disiapkan di rumah bersama adiknya, malah saya turut membantunya menyediakan kad itu.

“Kad itu akan diserahkan kepada ibu mereka sebagai tanda kasih sayang dan kami sekeluarga meraikan Hari Ibu bersama-sama. Bagaimanapun, kini semua detik manis itu hanya tinggal kenangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Rafidah menyelamatkan tiga anaknya daripada kebakaran di rumah mereka, namun dia sendiri terperangkap selepas gagal membuka jeriji pintu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, Rafidah sempat mengeluarkan anaknya menerusi tingkap, namun gagal keluar kerana ruang antara besi yang dibengkokkan hanya muat untuk kanak-kanak.


Difahamkan, selepas menyelamatkan anaknya, Rafidah cuba keluar menerusi pintu utama, tetapi ketika membuka jeriji pintu berkenaan kunci tiba-tiba terjatuh, menyebabkan mangsa panik dan lemas akibat asap tebal.

Selepas api dipadamkan bomba, mayat Rafidah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui rentung berhampiran pintu utama rumahnya.
Zamri berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu dan mendoakan semoga roh arwah isterinya dicucuri rahmat.

Katanya, dia sebak melihat keadaan tiga anaknya yang buat pertama kali tidur tanpa ditemani ibu mereka.

“Sebak apabila melihat anak malam tadi (malam kelmarin), anak bongsu (Zaim Iqbal) asyik menangis dan hanya tidur pada jam 4 pagi. Biasanya dia tidur dengan mamanya, tetapi keadaan sekarang berubah.

“Anak sulung (Rashidah) dan kedua (Zaim Shahrul) lebih banyak mendiamkan diri, mungkin masih terkejut dengan apa yang berlaku semalam (kelmarin),” katanya.-mymetro

Saturday, May 7, 2011

Korban ibu


Foto
SAUDARA mara dan penduduk kampung hadir di tanah perkuburan Islam Kampung Kenor untuk melihat jenazah Rafidah disemadikan, malam tadi.
Foto
ZAMRI Hamat bersama dua anaknya, Rashidah Ilina dan Zaim Shahrul.
Wanita rentung selepas selamatkan tiga anak

KUALA KRAI: Sehari menjelang sambutan Hari Ibu, seorang ibu berkorban nyawa bagi menyelamatkan tiga anaknya daripada api yang marak membakar rumah mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari semalam.
Sebelum ditemui rentung, Rafidah Ismail, 36, terpaksa membengkokkan besi tingkap rumah untuk mengeluarkan anakanaknya bagi disambut jiran.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, tiga anaknya, Rashidah Iliana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, selamat, bagaimanapun Rafidah terperangkap di dalam rumah dipercayai gagal membuka jeriji pintu.

Mayat mangsa yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui dekat pintu utama rumah berkenaan.

Namun bagi bapa mangsa, Ismail Husin, 63, yang masih terkejut dengan kejadian itu, jeritan meminta tolong anak sulungnya akan menghantuinya sepanjang hayat.

“Masih terngiang-ngiang suaranya meminta tolong ketika api marak tapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya sebak.
Suami mangsa, Zamri Hamat, 38, tentera di Kem Sri Banding Grik, Perak, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada bapa mentuanya, kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat.

“Bapa mentua minta saya bertenang ketika memberitahu rumah saya terbakar dan isteri terperangkap di dalam rumah,” katanya yang tiba di Kuala Krai jam 5.45 petang.

Katanya, kejadian itu memberi tamparan hebat baginya sekeluarga terutama anak sulung mereka Rashidah Ilyana yang masih terkejut dengan peristiwa yang menimpa ibunya.

“Anak sulung saya hanya mendiamkan diri bila ditanya kerana benar-benar terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya,” katanya. 

Wednesday, April 13, 2011

Bakal pengantin pasrah bala bertimpa



KUALA TERENGGANU - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang terpaksa dilalui bakal pengantin, Noor Akma Edayu Othman, 26, apabila terpaksa menanggung musibah berganda dalam masa seminggu.

Pada 4 April lalu, rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jaml 8.45 pagi, menyebabkan dia bersama enam lagi anggota keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Berikutan tragedi itu, segala persiapan perkahwi-nannya termasuk barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dan mereka kini terpaksa tinggal menumpang di rumah jiran.

Belum sempat kesedihan itu hilang, dia sekeluarga sekali lagi diuji apabila kehilangan bapa tersayang, Othman Said, 56, yang meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

Noor Akma Edayu, anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui berkata, walaupun hiba dengan dua ujian yang menimpanya itu, namun dia tetap reda dengan keten-tuan Ilahi malah percaya ada hikmah di sebaliknya.

Dia yang juga kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di bawah Skim Latihan Graduan (SLG) itu mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 April ini.

“Pada tengah hari semalam (kelmarin), arwah meminta saya supaya segera mengadakan majlis perkahwinan hari ini juga (Selasa), seolah-olah dia tahu dia akan `pergi’ tinggalkan kami.

“Beberapa jam selepas dia cakap begitu, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di kampung Mengabang Tengah Masjid, selepas menerima kunjungan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di sini kelmarin.

Akma berkata, bapanya, seorang pengawal keselamatan di bengkel Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Chendering mula dikesan menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu dan semakin serius sejak beberapa bulan belakangan ini.

Katanya, majlis pernikahannya tetap akan diteruskan pada 22 April ini dan segala persiapan sudah dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan.

Sementara itu, dia dan keluarganya mengucapkan setinggi terima kasih kepada jirannya di atas kesudian menerima mereka menumpang teduh, sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan Kerajaan Negeri.

Difahamkan, Kerajaan Negeri bersetuju membina kediaman baru Allahyarham Osman melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu meringankan beban keluarga terbabit dan perbinca-ngan perlu dilakukan antara keluarga mangsa dan Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu.

Sunday, March 6, 2011

Rumah pelakon Slumdog Millionaire musnah terbakar




Rubina Ali (kanan) termenung bersama ahli keluarganya di tapak rumahnya yang musnah terbakar di kawasan setinggan Gharib Nagar di Mumbai, India, semalam. - REUTERS


MUMBAI 5 Mac - Rumah pelakon kanak-kanak Slumdog Millionaire, Rubina Ali musnah dalam kejadian kebakaran di kawasan setinggan di Mumbai, semalam.
Kebakaran yang berlaku lewat malam semalam itu turut memusnahkan beratus lagi rumah pangsa yang terletak berhampiran landasan kereta api.
Pelakon kanak-kanak terkenal itu terus menetap di kawasan tersebut walaupun filem lakonannya itu telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Tiada kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Rubina, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi peranannya dalam filem Slumdog Millionaire yang meraih anugerah Oscar 2008 arahan Danny Boyle mengatakan dia kehilangan sebahagian besar barang miliknya termasuk gambar-gambar berharga yang diambil semasa perjalanannya ke Los Angeles untuk menghadiri anugerah Oscar.
"Kami hanya memiliki pakaian terbuang, kami berusaha keras untuk menyelamatkan apa saja yang boleh sebelum api merebak.
"Gambar saya ketika hadir anugerah Oscar, segala kenangan, semuanya musnah," ujar Rubina.
Rubina berusia lapan tahun ketika memegang watak sebagai seorang kanak-kanak bernama Latika dalam filem yang memenangi anugerah Oscar itu mendapat perhatian meluas dalam perjalanannya dari kampung menuju ke pentas Oscar. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Friday, March 4, 2011

Tunai RM15,000 hangus

SH


PASIR MAS – Sepasang suami isteri warga emas terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan wang simpanan bernilai RM15,000 yang disimpan di beberapa tempat di dalam rumah, apabila berlaku kebakaran di Kampung Kolam di sini, jam 1 petang, semalam.

Tindakan menyimpan wang di beberapa tempat di kawasan rumahnya juga mengakibatkan mereka kerugian lebih RM15,000, barangan kemas bernilai RM10,000 dan barangan kelengkapan rumahnya bersama anak-anak, yang mencecah hampir RM50,000.

Mangsa, Pak Tam Awang Hamat, 82, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah setelah pulang dari kebun, tidak jauh daripada tempat kejadian.

“Pakcik hanya mampu melihat api marak sehingga membakar sebahagian besar daripada rumah, tetapi pakcik bersyukur kerana isteri, anak serta dua cucu terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran tersebut,” katanya.

Pak Tam berkata, dia risau mengenangkan isterinya, yang mengalami masalah penglihatan kerana ia mungkin menghalangnya daripada menyelamatkan diri.

Sementara itu, isterinya, Bunga Ali, 90, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya Rafeah Pak Tam, 50, bersama dua cucunya yang berusia tiga dan empat tahun sedang berehat di rumah.

“Tiba-tiba makcik terhidu asap tebal yang memenuhi ruang tamu rumah lalu makcik terus keluar menyelamatkan diri.

“Hampir separuh jalan, makcik teringatkan anak serta dua cucu sedang nyenyak tidur dan berpatah balik untuk menyelamatkan mereka.

“Namun makcik dihalang Rafeah kerana dia akan menyelamatkan kedua-dua cucunya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Ab Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.09 petang dan menuju ke tempat kejadian dengan kekuatan sebuah jentera dan enam anggota.

“Kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api sepenuhnya daripada merebak ke rumah anaknya bersebelahan tempat kejadian. Kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000, kerana hampir 100 peratus rumah hangus terbakar,” katanya.

Sunday, February 27, 2011

Khabar sedih ketika kempen





2011/02/27

pix_gal0
SENTUL: Luluh hati seorang suami apabila isterinya, Ong Ean Lee, 33, dan anak perempuan tunggalnya, Artina Lake Xin Yu, 2, (atas) ditemui mati di dalam sebuah bilik dipercayai sesak nafas akibat kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Taman Sri Sinar, di sini, pagi semalam.

Calven Loke Wai, 30-an, yang ketika itu sibuk berkempen dalam pilihan raya kecil di Merlimau, Melaka mendapat berita menyayatkan hati itu daripada jirannya yang membuat panggilan pada jam 6.30 pagi.
"Saya yang berada di Merlimau terus bergegas pulang dan sampai kira-kira jam 8 pagi," katanya yang kali terakhir bertemu isteri dan anaknya dalam jam 8 pagi, kelmarin sebelum keluar bekerja. Mayat isterinya ditemui di atas katil, manakala anaknya ditemui di tepi katil dalam bilik yang sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang dikatakan tinggal bersama anaknya sedang tidur, manakala, Calven yang juga Pengerusi sukarelawan bomba di Jinjang dan Setiausaha Pemuda parti Gerakan Rakyat Malaysia Kuala Lumpur, berada di Merlimau.

Difahamkan, bomba sukar memasuki kawasan berkenaan apabila palang besi di taman terbabit dalam keadaan berkunci. Malah, turut menjadi tanda tanya apabila pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang dipertanggungjawabkan memegang kunci palang besi berkenaan dikatakan menghilangkan diri.

Calven juga berkata sebaik urusan pengebumian selesai, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak keselamatan taman berkenaan yang mengakibatkan bomba gagal memadam kebakaran dengan cepat.

Kebakaran dikatakan bermula dari ruang tamu rumah teres terbabit sebelum merebak di bahagian dapur dan bilik menyebabkan mangsa dua beranak yang berada dalam sebuah bilik utama terperangkap dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri.
Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai A Anantha, 34, berkata beliau yang sedang tidur kira-kira jam 6 pagi itu terdengar satu letupan kuat, namun tidak mengendahkannya.

"Bagaimanapun, 10 minit kemudian, saya terhidu bau asap dan bergegas keluar dari rumah untuk memeriksa sebelum melihat kepulan asap dan api di rumah jirannya.

"Saya kemudian menghubungi bomba untuk bantuan, namun api yang marak terlalu cepat menyebabkan penduduk gagal menyelamatkan dua beranak itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Othman Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.05 minit pagi sebelum mengerahkan dua jentera dan 27 anggota dari balai Jinjang dan Kepong ke lokasi kejadian.

"Mayat dua beranak itu ditemui berada di dalam bilik utama sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Operasi memadam kebakaran mengambil masa selama 30 minit dan hampir 80 peratus kediaman dua tingkat itu musnah dijilat api. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Berita Harian Online

Friday, December 3, 2010

Gambar - Gambar : 40 Yahudi RENTUNG terbakar..



GRAPHIC CONTENT!


MEGADIM, Israel: Berpuluh pengawal Israel yang cuba menyelamatkan tahanan yang diancam kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negara itu mati selepas bas yang mereka naiki terperangkap dalam kebakaran itu.



Ketika pengawal terbabit bergegas ke penjara yang kebanyakkan banduan adalah rakyat Palestin, sebatang pokok tumbang merintangi jalan dan menghalang laluan mereka.



Tanpa jalan keluar, sebilang besar daripada mereka terbakar hidup-hidup dalam bas itu manakala sebilangan lagi rentung ketika cuba melarikan diri dari kawasan kebakaran itu yang disemarakkan lagi oleh belukar kering.





Apabila api padam, sekurang-kurangnya 36 didapati maut.

“Bencana ini amat besar," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kebakaran itu memaksa 12,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan memusnahkan sebuah perkampungan serta mengancam kemusnahan kekal beberapa kawasan hutan di Israel.



Api masih marak di luar kawalan sehingga tengah malam tadi.

Turki mengenepikan ketengangan baru-baru ini dengan menawarkan bantuan dan Pejabat Netanyahu menyatakan Greece, Sepanyol dan Cyprus bersetuju menghantar helikopter melawan kebakaran.



Bantuan tambahan juga akan dihantar Britain, Russia, Mesir, Azerbaijan, Romania, Jordan dan Bulgaria.

Penyiasat mengandaikan kebakaran itu mungkin bermula secara tidak sengaja atau disengajakan. Namun mereka menolak kemungkinan ia serangan kumpulan Palestin. - AP




PHOTOS : AFP PHOTO/JACK GUEZ(Photo credit should read JACK GUEZ/AFP/Getty Images)

More photos 
HERE