KUALA LUMPUR: Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) pada Isnin membuat laporan polis berhubung kenyataan di Twitter yang didakwa menganggu keharmonian kaum di negara ini.
Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis selepas menerima paparan skrin kenyataan di Twitter yang seolah-olah 'menghalau orang Melayu' di Pulau Pinang.
Kenyataan itu dimuat naik oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai @pretty_preyana dengan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengatakan: "Orang Melayu dan Umno tiada tempat di Pulau Pinang. Ini tanah kami."
Pengguna itu turut berterima kasih kepada Lim dan menulis: "Kita halau semua Umno dari Pulau Pinang!"
Abdul Rani berkata, beliau menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan tegas sekiranya benar Lim berkata demikian.
"Jika tidak, saya gesa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk menyiasat perkara ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak benar ini ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis Dang Wangi.
Mengulas mengenai kenyataan di Twitter itu, Abdul Rani berkata, rakyat seharusnya mengelakkan diri daripada membuat kenyataan yang tidak wajar.
"Jangan biadap. Kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum. Kenyataan sebegini boleh mencetuskan ketegangan kaum.
"Kita tidak mahu rusuhan berlaku hanya disebabkan perkara sebegini," katanya.
Beliau turut menggesa supaya rakyat bertenang.
"Biarkan pihak berkuasa membuat siasatan terlebih dahulu. Kita tidak sama ada Lim berkata demikian atau tidak.
"Apapun, jangan bertindak melulu," katanya.
Berdasarkan semakan The Star mendapati akaun Twitter itu telah dinyahaktifkan.