Showing posts with label sesak. Show all posts
Showing posts with label sesak. Show all posts

Friday, October 5, 2012

10 tahun jalan sesak

10 tahun jalan sesak“KALAU sakit hati melalui jalan sesak, hendak marah kepada siapa pun tidak tahu,” luah Lee Kim Hong, 71, pengguna tegar jalan besar Seri Kembangan yang terpaksa ditempuhi puluhan ribu pengguna setiap hari.

Kata Kim Hong,  selain sesak banyak kenderaan, sikap individu  yang meletakkan kenderaan di salah satu laluan dua lorong untuk ke gerai berhampiran juga antara punca.

Katanya, kadangkala dia terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk perjalanan hanya sejauh tiga kilometer kerana kesesakan terlalu serius terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, jika laluan tidak sesak, dia boleh sampai ke The Mines hanya dalam masa 10 minit.  Tetapi, apabila menggunakan jalan besar Seri Kembangan, dia akur banyak masa berharganya terbuang di atas jalan raya.

Dia yang mempunyai rutin menghantar dua cucu ke sekolah setiap hari mendakwa, kesesakan bukan sahaja berlaku pada hari bekerja tetapi keadaan lebih teruk setiap hujung minggu.

“Saya sudah 62 tahun tinggal di Seri Kembangan, sejak 10 tahun lalu jalan di sini menjadi semakin sesak, berkemungkinan jumlah kereta yang bertambah.

“Saya memang minta sangat pihak berkenaan membantu selesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wong Fah Song, 48, berkata, dia yang menggunakan laluan itu hampir tiga kali sehari untuk urusan perniagaan ‘letih’ memikirkan isu kesesakan yang seolah-olah tiada kesudahan.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila terkejar-kejar menepati temu janji bersama pelanggan.

"Pasti berlaku kelewatan akibat terpaksa menempuh masalah terbabit.

“Bukan jalan tidak cukup besar, tetapi lampu isyarat terlalu banyak, kita bukan sesak kerana lampu isyarat merah tetapi lampu bertukar hijau pun kenderaan tidak bergerak.

“Kalau keadaan berterusan begini, memang kami dibebani pembaziran petrol, masa malah kaki penat memandu dalam kesesakan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kesesakan trafik bukan sahaja isu serius membebani penduduk dan pengguna jalan raya di Seri Kembangan malah, masalah sama juga dikatakan menjadi punca perkembangan ekonomi dan menjejaskan rutin seharian penduduk.

Keadaan itu dikukuhkan lagi apabila melihat keadaan laluan lama yang hampir 30  tahun digunakan itu masih berada dalam kategori sama dan hampir setiap jam mengalami kesesakan seolah-olah berada di pusat bandar raya yang sibuk.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, beliau sedia maklum masalah tersebut semakin paling serius.

Katanya, wujud beberapa faktor menjadi penyumbang termasuk kewujudan lapan persimpangan lampu isyarat di jalan sepanjang 9.4 kilometer dari Bandar Putra Permai ke Seri Kembangan.

Beliau berkata, ada beberapa perancangan telah dibuat kerajaan melalui kementerian bagi mengatasi masalah itu selepas isu dibangkitkan di Parlimen.

Katanya, rakyat kini  menunggu Kementerian Kerja Raya melaksanakan beberapa projek dijanjikan termasuk rancangan menaik taraf Jalan Persekutuan 3215, membina lampu isyarat di Jalan SR 6/1, Serdang Raya dan persimpangan bertingkat dari Seri Kembangan ke Lebuhraya Mex (Lebuhraya KL-Putrajaya).

Nie Ching berkata, kementerian berjanji persimpangan lampu isyarat di Serdang Raya yang menelan kos sebanyak RM200,000 dijangka siap penghujung tahun ini.

Katanya, persimpangan bertingkat di Lebuhraya Mex yang menelan belanja hampir RM90 juta pula dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan kini difahamkan masih dalam proses pengambilalihan tanah.

“Mengikut perangkaan, lebih 30,000 kenderaan melalui laluan dari Bandar Putra Permai hingga ke Jalan Besar Seri Kembangan setiap hari. Untuk mengatasi masalah kementerian bercadang laksanakan projek membina empat persimpangan bertingkat dengan kos RM60 juta.

“Rancangan itu dimaklumkan dimasukkan dalam ‘Rolling Plan’ ke-3 Rancangan Malaysia ke-10 antara tahun 2013 hingga 2014 tetapi tertakluk kepada peruntukan,” katanya.

Nie Ching berkata, walaupun bukan penyelesaian masalah, projek tersebut dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan


Terowong RM30 juta tinggal janji

Akibat janji pembinaan terowong bernilai RM30 juta di Bangi tidak dilaksanakan lebih 3,000 penduduk dari Taman Kajang Utama dan Kajang Sentral terpaksa membazirkan masa, wang dan minyak petrol mereka setiap hari.

Difahamkan, terowong berkenaan dijanjikan oleh Menteri Kerja Raya ketika majlis perasmian Lebuhraya Silk pada tahun 2004.

Bagaimanapun, selepas lapan tahun menanti, janji masih tidak dilaksanakan dan penduduk terpaksa membayar tol atau membuat pusingan U untuk ke Pekan Kajang.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, perkara itu menyebabkan kegiatan ekonomi lumpuh di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan terowong berkenaan tidak dapat dibina kerana masalah bajet,” katanya.

Sementara itu, katanya, lebih 7,000 penduduk di Taman Bukit Mewah turut terbeban dengan masalah apabila tiada jalan masuk dari lebuh raya ke kawasan perumahan mereka.

Nie Ching berkata, hanya ada jalan keluar ke lebuh raya namun jalan masuk yang siap dibina ditutup dan pengguna dari lebuh raya terpaksa melakukan pusingan antara lima hingga tujuh kilometer untuk pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, penduduk yang tinggal di Taman Bukit Mewah perlu melalui Taman Kajang Prima dan Taman Jasmin sebelum sampai ke rumah mereka selain terpaksa melalui jalan bertol.

Kepayahan itu, jelas Nie Ching mendorong sesetengah pengguna yang sanggup menggadaikan nyawa masuk ke kawasan perumahan dengan melalui jalan keluar yang bertentangan

“Apa yang saya tahu, jalan masuk tidak dibuka dengan alasan pihak konsesi tidak bersetuju kerana menyebabkan ‘kebocoran’ tol serta kerugian RM150 juta setahun kepada mereka sehingga tempoh konsesi tamat.

“Kita harap kementerian beri keutamaan kepada penduduk, mengenai isu ini,” katanya.


Tekanan air rendah

Isu air paling kritikal di beberapa kawasan di Balakang seperti Taman Cheras Jaya, Taman Bukit Belimbing, Balakong Jaya, Puncak Utama adalah masalah tekanan air rendah.

Masalah tersebut dikatakan membelenggu rakyat didakwa berpunca kebocoran paip menyebabkan bekalan air tidak stabil disalurkan ke rumah penduduk.

Bukan sahaja penduduk, malah pengusaha kawasan industri mengalami kerugian apabila paip-paip sudah terlalu lama dan uzur tidak dibaik pulih.

Nie Ching ketika dirujuk masalah itu berkata, pihaknya dimaklumkan paip sepanjang empat kilometer di Cheras Jaya perlu ditukar baru bagi mengatasi masalah itu.

“Masalah beri kesan kepada ribuan orang, sebab itu kita harap Kerajaan Negeri dapat ambil alih syarikat konsesi air secepat mungkin,” katanya.-SH

Friday, September 2, 2011

Kesesakan kritikal



KOTA BHARU - Untuk perjalanan sejauh lima kilometer anda memerlukan masa tidak kurang dari setengah jam! Sama ada percaya atau tidak, itu senario yang berlaku di jalan-jalan utama di Kelantan apabila tiba musim perayaan.

Senario ini sudah menjadi kebiasaan, namun sejak kebelakangan ini, peningkatan mendadak jumlah masuk kenderaan luar ke negeri ini menyebabkan ‘orang kampung” sendiri mula rimas.

Tidak kira jalan kampung mahupun jalan persekutuan, keadaan sesak dengan deretan kenderaan mula menerjah kampung.

Paling teruk, kesesakan berlaku beberapa tempat sepajang jalan Kota Bharu- Kuala Krai khususnya di persimpangan Ketereh.

Dikatakan sebelum ini, kira-kira 60,000 anak Kelantan yang berada di luar negeri pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan namun dijangka pada kali ia meningkat kepada 80,000.

Dalam masa yang sama, lebih 20,000 kenderaan memasuki Kelantan melalui pintu utama ke negeri dan ia tidak termasuk kenderaan yang sedia.

Malah, perkara ini diakui sendiri oleh Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohammad yang mengesahkan beliau sendiri terpaksa mengambil masa tiga jam berkereta dari Bachok ke Jeli.

Persoalannya apakah persediaan pihak berwajib dalam menangani isu ini,? Adakah kita hanya mampu melihat dan berseronok melihat kebanjiran luar biasa kenderaan ke Kelantan tanpa kawalan.

Mungkin sekarang kita mampu lagi menerima kesesakan itu, tetapi bayangkan apa yang berlaku 10 tahun akan datang jika langkah segera tidak diambil. Saban tahun peningkatan kenderaan luar dan berlaku, lebih-lebih lagi rata-rata dari masyarakat mampu memiliki kenderaan sendiri.

Langkah Kerajaan Negeri yang mahu membina Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu sepertimana yang diumumkan oleh Exconya, Datuk Husam Musa baru-baru ini seharusnya dipuji, namun ia bukan satu-satu langkah yang boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Banyak lagi jalan di negeri ini yang perlu dinaik taraf dan diperbesarkan, bukan sahaja untuk kegunaan semasa musim perayaan bahkan di waktu hari kebiasaan.

Tidak perlu menuding jari siapa yang bertanggungjawab sama ada negeri ataupun pusat, jika kedua-dua pihak merasakan ia keperluan atau kewajipan pihak masing-masing, ia mesti dilaksanakan kerana rakyat Kelantan juga pembayar cukai jalan!!SH

Wednesday, November 24, 2010

Punca 378 maut sesak belum jelas





2010/11/24

PHNOM PENH: Kemboja semalam menyiasat punca kejadian rempuhan pada satu pesta di ibu negaranya lewat kelmarin yang mengorbankan sekurang-kurangnya 378 orang di atas jambatan gantung dan menyebabkan beratus-ratus mangsa selamat tersepit berjam-jam di celah mayat sebelum dibawa keluar. 

Kerajaan melancarkan siasatan bagi mengetahui punca pengunjung pesta itu, kebanyakannya remaja tiba-tiba panik di atas jambatan pejalan kaki berkenaan yang menghubungkan Phnom Penh ke Pulau Koh Pich di tengah Sungai Bassac.
Mangsa terselamat menceritakan bagaimana mereka berasa lemas apabila beribu-ribu orang mula menjerit dan berasak-asak melarikan diri dari jambatan itu.
Beberapa saksi berkata mereka mendengar jeritan ada orang terkena kejutan elektrik, manakala saksi lain berkata ada yang menjerit jambatan hendak roboh. 
Perdana Menteri Hun Sen mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung di seluruh negara manakala bendera kebangsaan akan dikibarkan separuh tiang. 

Saksi berkata, rempuhan berlaku apabila beribu-ribu pengunjung festival air Bon Om Touk, perayaan tamat musim hujan, tiba-tiba panik di atas jambatan dan mula berasak-asak menyebabkan ramai terpijak atau terjatuh dan lemas. 

Keadaan semakin kelam kabut apabila orang ramai saling tolak menolak untuk menyelamatkan diri dan memijak mangsa yang terjatuh. 
Mayat mangsa bergelimpangan dan ramai antara mereka tertindih satu sama lain selepas tragedi itu ketika pasukan petugas meneruskan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa hingga hari ini. 

Punca menyebabkan rempuhan itu belum jelas sehingga kini. Penasihat Khas Perdana Menteri, Om Yentieng, menafikan keadaan panik berpunca daripada salah seorang pengunjung terkena kejutan elektrik daripada sebatang kabel disambar petir atau kerana terlalu ramai pengunjung mengalami keracunan makanan. 

Polis dan saksi menyatakan jambatan terlalu sempit adalah punca sebenar berikutan jumlah pengunjung terlalu ramai dan keadaan amat sesak. 

Sementara itu, ambulans kelihatan berulang-alik dari pulau itu dan hospital selama beberapa jam selepas kejadian.