Thursday, April 21, 2011

Aziz Bari berhak mengeluarkan pandangan beliau - Nik Aziz



(Harakah)

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS.

Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?

Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

49 remaja hamil dapat manfaat daripada Sekolah Harapan



JASIN: Sejak dibuka pada September lalu, Sekolah Harapan sudah memberi penempatan kepada 49 remaja hamil, kata Pengarahnya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim. 


Beliau berkata, buat masa ini terdapat 35 remaja di rumah terbabit dengan sebahagiannya sudah melahirkan anak, sementara yang lain sedang menunggu masa untuk bersalin.
"Sejak sekolah ini dibuka, seramai 28 bayi dilahirkan dan kesemua bayi tersebut diambil oleh keluarga kepada ibu bayi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian sekolah itu oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman. 


Rosmah yang dalam lawatan sehari ke Melaka, tiba di sini jam 11 pagi dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk mendengar taklimat serta melawat pelajar di sekolah itu yang idea penubuhannya dicetuskan oleh Mohd Ali. 


Ab Rahaman berkata, remaja terbabit yang berusia antara 14 dan 18 tahun, datang dari Johor (14 orang), Melaka (8), Pahang (8), Negeri Sembilan (5), Kelantan (5), Terengganu (3), Kuala Lumpur (2), dan masing-masing seorang dari Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. 


Beliau berkata, remaja terbabit ditempatkan di sekolah itu sehingga habis tempoh berpantang sebelum kembali kepada keluarga masing-masing. 
Ab Rahaman berkata, pihaknya juga berusaha dengan kerjasama keluarga masing-masing untuk menikahkan remaja terbabit dengan pasangan masing-masing dan setakat ini dua daripada 49 remaja itu sudah berkahwin. 


"Pada tahun lalu, seramai lima orang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan dua daripadanya mendapat keputusan 3A dan seorang memperoleh 2A," katanya menambah seramai 14 orang akan menduduki peperiksaan SPM dan dua Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. 


Beliau berkata, kesemua remaja terbabit dijaga dengan baik termasuk pemantauan daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 


"Suka saya maklumkan di sini, bahawa remaja di sini dijaga dengan baik dari segi kesihatan, makan minum dan rehat yang mencukupi, kita bawa balik mereka ke pangkuan agama, kita beri kaunseling, ajar mereka bersembahyang, membaca al-Quran, kita beri kemahiran sebagai seorang ibu untuk mereka menjaga bayi nanti dan kemahiran sebagai seorang isteri," katanya. 


Katanya, pada tahun ini kos mengurus dan pembangunan dijangka kira-kira RM1.1 juta berbanding RM547,171 pada tahun lalu. 


Beliau juga berkata, sekalipun kapasiti 35 orang sudah dicapai, pihaknya menimbang kemungkinan meningkatkannya kepada 50 orang memandangkan terdapat 15 lagi remaja hamil memohon untuk masuk ke sekolah itu. 


Selain itu kata beliau, isteri Perdana Menteri ketika lawatannya turut menyumbang idea bagi menambahbaik sekolah berkenaan seperti usaha untuk menikahkan remaja terbabit dengan pasangan masing-masing, memberi input agama yang mencukupi dan memulihkan semangat mereka agar kembali menjadi warganegara yang baik. - BERNAMA 

‘Kami sudah melarang’

JOHOR BAHRU: “Pada awalnya, kami menyangka Zaidi bergurau dan bersembunyi di dalam air, tetapi mula bimbang selepas dia tidak timbul,” kata Mohd Khairul Ashraf Hasni, 11, rakan kepada Mohd Zaidi Sariffudin, 12, ditemui lemas dalam kolam takungan air berhampiran Bakar Batu di sini, jam 9.22 malam, kelmarin.

Difahamkan, anak pemandu lori berkenaan yang bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Bakar Batu di sini itu bermain di kolam berkenaan bersama dua rakannya, Khairul dan Mohd Ihsan Zulkifli, 13, pada jam 4 petang kelmarin.


Operasi mencari mayat mangsa itu dijalankan anggota unit selam skuba Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Khairul berkata, kejadian berlaku dalam tempoh kurang sejam ketika dia dan rakannya bermain sambil mandi di kolam berkenaan. Menurutnya, mereka tidak menyangka keseronokan bermain di kolam yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka mengundang padah.


“Ketika itu, saya dan Zaidi bermain sementara Ihsan naik ke atas dan menunggu kami. Sebaik Zaidi hilang di dalam kolam berkenaan, kami terus berlari ke arah jalan raya meminta bantuan malangnya tiada sesiapa di situ.


“Kami tidak sangka kegembiraan mandi di kolam takungan berakhir tragedi,” katanya ketika ditemui dan masih trauma dengan kejadian berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Amira, 19, berkata, keluarganya terkejut menerima panggilan daripada pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, keluarganya pernah melarang anak ketiga daripada enam beradik itu bermain di kolam takungan air berkenaan sebelum ini.

“Pada hari kejadian, adik sulung lelaki turut menasihat dan melarangnya keluar rumah yang terletak di Blok S, Flat Taman Sri Stulang, tetapi adik (Zaidi) berdegil.


“Zaidi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan apatah lagi dia sememangnya seorang yang periang dan suka bersiar-siar bersama rakan-rakan.


“Dia seperti biasa, tiada sebarang kelakuan ganjil yang dibuatnya,” katanya.


Amira berkata, bapanya, Sariffudin Othman, 42 dan ibu, Maznah Md Said, 40, masih bersedih dan terkejut.


“Selepas ini kami semua pasti akan merindui sikapnya yang periang dan gemar menyakat ahli keluarga,” katanya.


Jenazah Mohd Zaidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dagang, Kebun Teh di sini, pagi semalam.

myMetro | ‘Kami sudah melarang’

Jeneral dilucut jawatan gagal ujian kesetiaan


TAIPEI: Seorang jeneral Taiwan menjadi pegawai kerajaan pertama kehilangan jawatan selepas gagal dalam ujian kesetiaan yang diperkenalkan selepas pulau itu mengalami kes perisikan paling teruk sejak 50 tahun lalu, kata media dan pegawai rasmi semalam. 


Seperti beberapa lagi pegawai berpangkat, Leftenan Jeneral yang namanya tidak didedahkan itu turut tertakluk kepada ujian pengesanan tipu, tetapi hanya seorang yang tidak lulus sebelum ini, kata akhbar berpangkalan di Taipei, China Times.
Jurucakap pertahanan, David Lo enggan mengulas jenis soalan dikemukakan dan tidak memberikan maklumat mengenai ujian itu kerana ia rahsia sulit kerajaan.
Keputusan itu masih belum diputuskan dan pegawai tertinggi itu dibenarkan mengambil semula ujian pada tarikh lain, kata Lo. – AFP
Berita Harian Online | Jeneral dilucut jawatan gagal ujian kesetiaan

Pesta Songkran tercemar




SEBAHAGIAN remaja bermain tembak air sempena pesta  Songkran, di pusat beli-belah di Bangkok, Rabu lalu.
SEBAHAGIAN remaja bermain tembak air sempena pesta Songkran, di pusat beli-belah di Bangkok, Rabu lalu.

Tiga wanita menari separuh bogel cetus kemarahan ramai


BANGKOK: Tiga wanita muda Thailand mencetuskan kemarahan dan perdebatan apabila dikatakan menanggalkan pakaian dan menari dalam keadaan hampir bogel pada pesta Songkran di Jalan Silom, Bangkok yang penuh sesak Jumaat lalu.
Agensi berita tempatan MCOT melaporkan, perbuatan ketiga-tiga wanita terbabit, menimbulkan persoalan sama ada kawalan lebih ketat perlu dikuatkuasakan bagi memastikan pesta sempena sambutan tahun baru itu tidak dicemari perbuatan tidak senonoh dan aktiviti menyalahi undang-undang.
Menteri Kebudayaan, Nipit Intarasombat, berkata perbuatan wanita terbabit ‘sangat tidak sopan dan tidak boleh diterima.


“Saya meminta masyarakat mengkritik perbuatan mereka secara terbuka,” katanya semalam.


Bagaimanapun seorang penduduk tempatan berkata kelakuan tidak senonoh termasuk tarian separuh bogel dipersembahkan di kebanyakan bar dan tidak jauh dari lokasi pesta Songkran diadakan.


Ketiga-tiga wanita terbabit sudah ditahan dan didenda 500 baht (RM49.87) kerana berkelakuan tidak senonoh.
Pegawai daerah, Surakiat Limcharoen memberi amaran, mereka yang didapati menyebarkan rakaman video aksi tiga wanita itu di internet boleh dihukum hingga lima tahun penjara dan denda sehingga 100,000 baht (RM10,076).


MCOT melaporkan, video klip penari terbabit dianggap mencemarkan reputasi Thailand sebagai sebagai pusat kebudayaan dan pelancongan terkenal.


“Kementerian kebudayaan biasanya campur tangan dan memberi pelbagai cadangan untuk meningkatkan reputasi negara itu,” kata MCOT.


Antaranya termasuk menolak lirik provokatif oleh bintang pop Tata Young pada 2004, menasihati wanita agar tidak memakai baju tanpa lengan atau berpakaian nipis hingga menampakkan bentuk tubuh. – Agensi Berita Harian Online | Pesta Songkran tercemar

Buat Duit Di Facebook

Oleh
Yohanna Abdullah


PERNAHKAH anda dengar nama Chic Momma's, Bahiya Boutiquee, Etnur Mohd, Sue Tariq, Lil Pea Closet By Azizah Syed Haron, Plus Fashion Divaz dan Bella Collectionz?Ini adalah antara lebih daripada 50 butik pakaian Muslimah di laman sosial Facebook (FB) kendalian ibu-ibu Melayu di sini.Mereka mahir menggunakan FB untuk menjalankan bisnes dari rumah di samping mengurus keluarga dan rumah tangga.Ada juga yang mengimbangi bisnes dan tugasan rumah dengan pekerjaan sepenuh masa.Pendapatan yang mereka raih antara $1,500 dengan $3,000 sebulan dan bisnes ini juga membawa mereka menjelajah ke negara-negara jiran dan Asia untuk mendapatkan pembekal yang sesuai.Saya sempat berbual-bual dengan mereka dan ingin berkongsi maklumat dengan pembaca semua.
Suraya Abdul Malik - Sue Tariq
Sue Tariq ialah jenama popular dalam kalangan Muslimah di FB.Pemiliknya, Cik Suraya Abdul Malik, 31 tahun, ialah ibu tiga anak berusia lapan, lima dan empat tahun dan kini hamil anak keempat.Menurutnya, beliau menubuhkan Sue Tariq menerusi FB enam tahun lalu.'Konsep butik saya adalah untuk Muslimah sama ada yang memakai tudung ataupun tidak,' kata Cik Suraya, yang memulakan perniagaannya di Multipy.Beliau mendapatkan pakaian butiknya dari negara-negara Asia termasuk Korea.Sambutan yang diterima amat menggalakkan, apatah lagi barangan yang dijualnya berharga serendah $1 untuk kerongsang dan $155 untuk gamis eksklusif.Dengan kegigihannya itu, Cik Suraya, yang walaupun begitu sibuk menguruskan keluarga, tetap dapat menambah pendapatan keluarga dan meraih antara $1,500 dengan $2,000 sebulan.
Fadilah Mohd Aliman - Chic Momma's
Chic Momma's, butik FB milik Cik Fadilah Mohd Aliman, sama usianya dengan satu-satunya anaknya, Muhd Ryan Anaqi, empat tahun.Walaupun sibuk sebagai setiausaha di sebuah hospital, Cik Fadilah tetap dapat mengimbangi tugasnya sebagai ibu dan pengusaha butik di FB yang mampu meraih pendapatan sehingga $3,000 pada bulan-bulan yang baik.Beliau mula menjual pakaian bayi berjenama di Multiply dan pada 2008 mula menjual tudung.Beliau kemudian menjual pakaian Muslimah dan menghasilkan sendiri 'anak tudung' yang dinamakan jamilla underscarf.Cik Fadilah kemudian melancarkan produk-produk baru setiap dua minggu dan selalunya memilih sendiri koleksinya yang datang dari negara jiran.Pelanggan juga berpeluang memilih barangan daripada katalog yang menunjukkan produk dari Korea, Jepun dan China.Hanya terdapat 20 desain yang ditawarkan dan kerana itu ia cepat laris.Kata Cik Fadilah, kini bisnesnya sudah menjadi bisnes keluarga dengan suaminya turut memberi sokongan padu.Anaknya, Muhd Ryan, pula membawa tudung ke sekolah untuk dijual kepada gurugurunya.Setiap tiga bulan, Cik Fadilah akan mengadakan Rumah Terbuka untuk jualan kepada lebih 4,000 pelanggan yang sedia ada dalam ruang FB-nya.Beliau menjual tudung dan pakaian dan menjemput peniaga baru untuk menjual kerongsang dan sebagainya.Wanita yang gigih berniaga ini berharap mengeluarkan jenama pakaiannya tidak lama lagi.Apa nasihatnya kepada orang yang ingin memasuki bidang perniagaan sepertinya?'Minat paling penting. Jika ada minat mendalam, apa pun cabaran akan dapat diatasi,' tambahnya.
Etty Nurbaiti - Etnur Mohd
Sebagai suri rumah dan ibu dua anak lelaki berusia lapan dan 10 tahun, Cik Etty Nurbaiti kadangkala berasa bosan setelah anak-anaknya pergi ke sekolah.'Saya memang teringin meraih pendapatan sendiri. Jadi, saya mulakan bisnes ini pada November tahun lalu.'Produk saya bermacam-macam, daripada perlengkapan Muslimah dan produk kesihatan hinggalah berkat perkahwinan. Semua produk saya dapatkan dari luar negara,' kata Cik Etty.Pelanggannya merupakan rakan-rakannya di FB dan mereka menyambut baik penjualan stok baru dan lama.Cik Etty menyifatkan bisnes ini mudah dan menyeronokkan. Beliau belum begitu sibuk kerana bisnesnya masih pada tahap awal.'Pendapatan saya masih kecil kerana modalnya pun kecil.'Insya-Allah, kalau ada modal lebih besar mungkin pendapatannya pun boleh meningkat,' katanya yang bercita-cita menjadikan bisnes di FB sebagai titik permulaan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Azizah Bibi Syed Haron Shah - Lil Pea Closet By Azizah Syed Haron
Suri rumah berusia 35 tahun ini yang mengendalikan Lil Pea Closet By Azizah Syed Haron bermula dengan jualan baju kanakkanak yang dijahitnya sendiri.Ibu tiga anak berumur enam dan empat tahun serta 15 bulan itu mengambil tempahan khas, kemudian menyediakan pakaian sepadan ibu dan anak.Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada ibu-ibu berusia dari 25 hingga 34 tahun.Dengan perniagaannya itu, Cik Azizah meraih antara $700 dengan $1,500 sebulan.'Saya berasa sangat puas melihat hasil kerja tangan saya disenangi dan mendapat pujian daripada pelanggan yang puas hati,' katanya, yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang penjualan dan layanan pelanggan itu.
Noraini Rahmat - Bahiya Boutiquee
Berusia 28 tahun, Cik Noraini merupakan seorang pembantu pentadbiran. Beliau sedang hamil anak sulung dan menubuhkan Bahiya Boutiquee tahun lalu.Menerusi penjualan baju Muslimah dalam ruang FB, Cik Noraini dapat meraih pendapatan tambahan.Beliau, yang bercita-cita membuka kedai bagi meluaskan lagi penjualannya, berkata:'Jika anda memang berhasrat menceburi bidang bisnes, teruskanlah.'Jangan biarkan perkara negatif menjadi penghalang. Jangan mudah putus asa.'
Nota: Penulis ketua editor majalah 'Singapore Muslim A-Z Guide' dan pengasas Writers' HavenCyberita Online Ekstra!

Ribuan bidas akaun 'e-mel 1Malaysia' sebagai satu pembaziran

KUALA LUMPUR: Beribu penduduk Malaysia membidas rancangan kerajaan bernilai RM50 juta  untuk memberi akaun e-mel peribadi kepada setiap rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.
E-mel itu bertujuan membolehkan 16 juta rakyat Malaysia menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam mulai Julai ini.Namun, selang 24 jam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan rancangan itu, lebih 23,000 orang telah menyertai kumpulan Facebook bagi menentang projek itu.

Rata-rata mereka berpendapat projek itu satu pembaziran memandangkan ramai pengguna Internet sudah pun mempunyai akaun e-mel percuma di laman Google, Yahoo dan Hotmail.'Tolong gunakan wang ini untuk bantu rakyat miskin. Mereka perlukan makanan berbanding dengan akaun e-mel,' tulis seorang anggota kumpulan Facebook itu, Encik Yap Fook Sin.Perkhidmatan e-mel 1Malaysia itu adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi Datuk Seri Najib untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.Datuk Seri Najib bagaimanapun menjelaskan bahawa projek e-mel 1Malaysia yang diumumkan kelmarin merupakan inisiatif sukarela sektor swasta dan tidak membabitkan wang awam.'Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa E-Mel 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Ia tidak membabitkan wang awam dan keseluruhannya adalah sukarela,' kata Datuk Seri Najib dalam Twitternya awal semalam.Ketua Eksekutif Tricubes Bhd, Encik Khairun Zainal Mokhtar, berkata syarikat berkenaan akan melabur RM50 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan sistem e-mel berkenaan dan dijangka menyumbang RM39 juta kepada pendapatan negara kasar menjelang 2020.Ini merupakan kali kedua sejak beberapa bulan lalu, projek besar yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib mendapat tentangan rakyat.Pada Oktober lalu, beliau terpaksa mempertahankan rancangan kerajaan untuk membina bangunan 100 tingkat bernilai AS$1.6 bilion , yang didakwa penting bagi pembangunan jangka panjang Kuala Lumpur. -- Agensi.Cyberita Online Luar Negara