Monday, May 7, 2012

Pas: Bersih tugas 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar'

Pas: Bersih tugas 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar' - Nasional - Sinar Harian:

Datuk Harun Taib
Datuk Harun Taib
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat menasihatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tidak mengeluarkan pandangan melibatkan demonstrasi semata-mata, sebaliknya wajar menyatakan pendirian melibatkan kepincangan pilihan raya yang menjadi punca kepada perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar yang dituntut oleh Islam.
"Demonstrasi Bersih 3.0 bertujuan menuntut lapan perkara melibatkan penambahbaikan pilihan raya negara yang dilihat pincang.
"Ia merupakan sebahagian tugas Amar Ma'ruf Nahi Mungkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam," kata beliau mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung demonstrasi Bersih 3.0 yang dikeluarkan semalam.
Menurut Harun, tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu, demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara.
Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali pula menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tidak harus menyempitkan pandangannya melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja tetapi perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, amalan rasuah yang berleluasa, pengkhianatan pemberian ic kepada bukan warganegara, pemberian warganegara dengan tujuan politik jahat, rasuah politik kepada pengundi, pengunaan dana kerajaan oleh parti yang bertanding dalam pilihan raya dan kepincangan pengurusan pilihan raya.
"Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara Amar Ma'ruf Nahi Mungkar mewakili rakyat," kata beliau

Jimmy Shanley dakwa isteri akui mengandung anak luar nikah

Jimmy Shanley dakwa isteri akui mengandung anak luar nikah - Semasa - Sinar Harian:


Pengacara Jimmy Shanley
Pengacara Jimmy Shanley
SHAH ALAM - Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah hari ini bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pada prosiding hari ini, Jimmy mengemukakan lima alasan utama kenapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

Menurutnya, Nursuhaila mungkir janji sebelum bernikah iaitu berjudi semula; menghilangkan diri selama 16 hari; bercuti di China tanpa izinnya; mendakwa anak yang dikandungkannya sebagai luar nikah dan mengugut mahu menggugurkan kandungan jika mengandungkan anaknya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Bersih 3.0: Polis kesan 25 lagi individu - Nasional - Sinar Harian

Bersih 3.0: Polis kesan 25 lagi individu - Nasional - Sinar Harian:SHAH ALAM - Polis mengenal pasti 25 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan selepas perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengingkari perintah mahkamah dan merusuh.

"Gambar individu yang disenaraikan itu adalah hasil penelitian terhadap gambar-gambar yang dirakam oleh media dan polis semasa perhimpunan di sekitar ibu negara dan Dataran Merdeka," katanya hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Mohmad berkata orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Azmi Aziz di talian 019-2602344 dan 019-3872344 atau e-melazmiazizi@rmp.gov.my.

Dalam perkembangan sama, Mohmad berkata, setakat ini hanya tiga individu ditahan selepas polis mengeluarkan 91 gambar termasuk seorang wanita berhubung kejadian tersebut.

"Tiga individu itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan selepas proses siasatan terhadap mereka selesai," katanya.

Mohmad berkata, beliau berpuas hati dengan respons orang ramai yang membantu polis menyalurkan maklumat sehingga tiga individu tersebut ditahan.

"Kita masih menerima maklumat yang menggalakkan daripada orang awam.

Pada peringkat ini, maklumat itu sedang dianalisa untuk tujuan pengesahan sebelum tangkapan dilaksanakan," katanya.
Bersih 3.0: Polis kesan 25 lagi individu
25 individu yang dicari (Set 1)
Bersih 3.0: Polis kesan 25 lagi individu
25 lagi individu yang dicari (Set 2)
Bersih 3.0: Polis kesan 25 lagi individu
25 lagi individu yang dicari (Set 3)

Parlimen dibubar selepas sambutan 66 tahun Umno?

Parlimen dibubar selepas sambutan 66 tahun Umno?:

Khairil Abdul Rahim,07 Mei 2012
TEMERLOH, 7 Mei:Ahli jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen secara mengejut sejurus selepas sambutan ulang tahun Umno ke 66 minggu hadapan.


Katanya, beliau mendapat maklumat Najib tidak akan menangguhkan lagi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada bulan Jun ini juga berdasarkan perkembangan semasa.

“Kes skandal rasuah kapal selam Scorpene RM3 bilion yang dikaitkan dengan Najib yang sedang dibicarakan di Peranchis akan memberi kesan jika PRU diadakan lebih lewat.

“Kita jangkakan kerajaan juga sudah menghadapi masalah kewangan setelah pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih banyak menimbulkan kontroversi kerana ada yang tidak puas hati tak dapat,” katanya.

Jelasnya, isu himpunan Bersih 3.0 yang diramalkan memberi kesan negatif kepada kerajaan kerana keganasan polis terpaksa dilupakan Najib berikutan beberapa isu mendesak itu menyebabkan tekanan supaya PRU terpaksa diadakan dalam masa terdekat.

Idris menjelaskan demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Kali Ke-30 di Darul Amin, Sungai Gau dekat sini, semalam.

Tambah Idris, Umno akan mengadakan perhimpunan raksasa di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei bagi menunjukkan kekuatan parti itu kepada umum dan kemungkinan parlimen dibubar 14 Mei.

“Jadi dalam masa terdekat ini kita mesti menggembelengkan segenap peluang yang ada untuk menarik sokongan orang Melayu dan kita terangkan bagaimana kita boleh menjaga Melayu lebih daripada Umno,” tegasnya.

Mengenai Pemuda, Idris berkata pentingnya sayap tersebut kepada parti pada masa ini ialah kerana fikrah yang jelas, menguasai teknologi bermaklumat, masih bertenaga untuk dimanfaatkan parti dari segi fizikal dan masih kurang beban untuk komited dengan program.

Jelasnya lagi, menurut kajian majoriti golongan muda pada masa ini bersama Pakatan Rakyat dan ini dibuktikan jumlah yang besar menghadiri himpunan Bersih baru-baru ini.

Sementara itu Idris berkata pengguna facebook di negara ini menjangkau 9 juta orang dan beliau menjangkakan kuasa tersebut mampu mengalahkan BN dalam PRU akan datang sebagaimana kuasa blog menghukum parti itu pada PRU 2008 dulu.

Katanya, dapat diperhatikan dengan jelas laman facebook dapat menyaingi isu-isu yang menjadi propaganda Umno dan kerajaan melalui media tradisional kerana maklumat disampaikan lebih pantas.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz yang berucap sebelum itu mengarahkan pemuda bersiap siaga menjaga bendera-bendera PAS kerana beliau menerima maklumat bendera yang tergantung di temapat strategik sekitar Jengka akan diturunkan sempena lawatan Najib ke Jengka 8 pada 8 Mei ini untuk mengumumkan durian runtuh kepada peneroka-peneroka Felda.

Dalam majlis yang sama selepas itu, Pemuda PAS Pahang memberi anugerah kepada tokoh Pemuda Amal, pengusaha Pasti yang berjaya dan guru-guru Pasti yang cemerlang di negeri ini.

PAS satu kerusi lebih baik daripada 11 Umno

PAS satu kerusi lebih baik daripada 11 Umno:


Mohd Sabri Said,07 Mei 2012
PULAU PINANG, 7 Mei: Walaupun PAS mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang namun berjaya meningkatkan syariat Islam.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar), ini berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi gagal berbuat demikian ketika berada dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).


Beliau menyatakan demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan kononnya PAS tidak berperanan dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
PAS jelasnya, berjaya memikat hati Lim sewaktu Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menjadi Adun Permatang Pasir lagi tetapi ketika itu Allahyarham berada dalam keadaan uzur dan sukar menumpukan kerja-kerja lain dalam pentadbiran.

"Bohong saya katakan PAS tidak berperanan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaliknya walaupun satu kerusi kita berjaya membuka ruang untuk syariat Islam berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi tidak banyak mengubah lanskap politik umat Islam termasuk mendapatkan penambahan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau  Pinang (Maipp)," tegasnya.


Katanya, semasa Umno berkuasa Maipp hanya mampu memperolehi RM12 juta berbanding 2009 dinaikkan RM20 juta dan 2010 pula sebanyak RM24.3 juta, pada 2011 sebanyak RM33.3 juta dan 2012 RM64 juta.


Jewlasnya, urusan hal ehwal Islam menerusi Exco Agama Negeri, Abdul Malek Abul Kasim menyerlah kerana berjaya memperluaskan peranan institusi agama yang selama ini beku ekoran ketidakprihatinan Umno dan BN dalam meningkatkan
pembangunan Islam di negeri ini.


Terbaru, ujarnya pembinaan sebuah surau di Padang Kota Lama dengan kos RM200 ribu yang selama ini Umno tidak pernah terfikir untuk mewujudkan surau khas kepada umat Islam yang bersiar-siar di situ.

Begitu juga dengan Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat akan dibina di Jalan Scotland dengan kos RM5 juta yang mana kerajaan negeri menyediakan tanah 49 ekar bagi tujuan tersebut.
"Sebab itu sampai kini Umno dan konco-konconya terus mainkan isu PAS tidak boleh buat apa walaupun menang satu atau dua kerusi.  Mereka tak tahu kalau PAS menang banyak bermakna Umno kurang kerusi dan ini akan memberikan lagi kekuatan PAS di Pulau Pinang khususnya terhadap kerjasama dengan exco agama dan Ketua Menteri," jelas beliau yang juga Adun Permatang Pasir.

Saleh juga menafikan pandangan yang mengatakan Lim bersikap anti Melayu dan Islam kerana sepanjang mengetuai kerajaan negeri banyak peruntukan dan mengiktiraf para huffaz yang selama ini tidak diberikan perhatian oleh Umno dan BN.


Begitu juga, katanya Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan para gurunya tidak pernah kerajaan negeri sekarang pinggirkan berbanding Umno dan BN sanggup membatalkan bantuan perkapita terhadap SAR yang menjadi nadi generasi muda Islam mendapatkan ilmu pengetahuan.


"PAS berusaha sekadar yang termampu dan ia disambut baik oleh Ketua Menteri walaupun beliau bukan beragama Islam namun mudah dibawa berbincang berkaitan hal ehwal Islam.

“Apa yang didakwa oleh segelintir golongan bahawa Lim hanya berlakon untuk mendapatkan pengaruh undi Melayu hanyalah tekaan mereka (Umno) sahaja," katanya lagi.

Menurutnya, Umno sekarang seolah-olah baru tersedar dari mimpi dengan melakukan fitnah kepada PAS dan kerajaan negeri yang tiada berkesudahan.

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis:
Muhammad Faizal,07 Mei 2012
SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Amal PAS, Mohd Fahmi Mohd Noor mendakwa beliau dipukul ketika ditahan pihak polis dan sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka sebelum dibawa menaiki trak polis.

Fahmi mendakwa beliau ditahan kira-kira jam 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut ketika sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 beredar dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menaikkan kemarahan pihak polis.

Menurut Fahmi, beliau ketika itu dalam posisi membelakangi polis menyebabkan beliau tidak sedar bahawa polis sudah menghampiri beliau menyebabkan beliau ditangkap walaupun pada waktu itu beliau sedang mengarahkan peserta bertenang serta beredar.

"Saya sedang mengarahkan agar peserta tidak melakukan provokasi saya pula ditangkap.

"Dalam perjalanan ke Dataran Merdeka ketika melalui kaki lima saya telah dipukul oleh pihak polis termasuk ditendang malah terdapat di antara mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menceritakan insiden itu lebih lanjut, Fahmi berkata, ketika ditahan beliau sempat bertanya kepada polis samada beliau sedang melakukan provokasi ataupun mengawal keadaan.

Namun salah seorang anggota polis itu ada mengatakan memang tiada provokasi dilakukan oleh beliau tetapi beliau harus juga ditangkap.

Beliau kemudian dibawa ke Dataran Merdeka bersama kumpulan lain yang lebih awal ditangkap.

"Jarak perjalanan agak jauh dan saya sendiri tidak pasti berapa kali dipukul, malah ketika sudah hampir di Kelab Di Raja Selangor saya sekali lagi dipukul oleh empat orang polis, disepak dan menyebabkan saya jatuh," ceritanya lagi.

Fahmi memberitahu setelah dipukul, beliau diletakkan bersama-sama dengan tahanan yang lain termasuk dengan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdul Aziz Bari.

"Ketika saya duduk bersama-sama tahanan yang lain, terdapat seorang anggota polis menjerit dan mengatakan saya telah memukul anggota polis, tindakan tersebut menyebabkan saya sekali lagi ditarik dan dibawa ke belakang trak polis sebelum dibelasah teruk oleh sembilan orang anggota polis.

"Ketika itu saya dipukul dengan teruk termasuk dipijak di perut, ditendang di bahagian dada dan belakang. Saya telah ditumbuk menyebabkan cermin mata saya telah jatuh.

"Dalam keadaan samar akibat kehilangan cermin mata saya cuba mengambil semula cermin mata tersebut tetapi salah seorang anggota polis telah memijak cermin mata saya sehingga pecah, saya dipukul dengan teruk tanpa ada belas kasihan langsung oleh pihak polis," sambung beliau lagi.

Sewaktu dipukul, beliau juga mendakwa ada mendengar Aziz Bari merayu meminta polis berhenti memukul beliau.

Akibat dibelasah beramai-ramai itu, Fahmi mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan belakang.

Tidak lama kemudian, beliau bersama tahanan yang lain dibawa ke Pulapol untuk diambil keterangan.

Ketika memberi keterangan pula, Fahmi mendakwa  polis hanya mengambil maklumat peribadi sahaja tanpa bertanya apa yang berlaku terhadapnya sebenarnya.

Beliau yang baru enam bulan menyertai Unit Amal Shah Alam itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari Isnin 30 April sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga pada hari yang sama.

"Biarlah apa yang polis lakukan terhadap saya itu diadili oleh Allah dan saya tidak mempunyai apa-apa dendam dengan mereka.

"Cuma yang paling menyentuh perasaan saya ketika saya diarahkan menanggalkan beret yang dipakai oleh saya dan saya sendiri tidak mengetahui apa alasan sebenarnya polis suruh saya tanggalkan beret tersebut," katanya.

Tuan Guru Nik Aziz, hero saya - Tan Sri Kadir

Tuan Guru Nik Aziz, hero saya - Tan Sri Kadir:

Salmah Mat Husain, Foto: Rizal Tahir,07 Mei 2012
KOTA BHARU: Bekas menteri Kabinet yang juga veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, hari ini mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mengambil waktu lebih sejam beramah mesra dengan Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar bermula 11.25 pagi tadi.

Turut bersamanya, Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Kadir dilihat begitu gembira dapat bertemu dengan Tuan Guru, malah sebaik sahaja bersalam dengan Tuan Guru terus bertanya; “Apa khabar Tuan Guru…hero saya ni,” ujarnya sambil menoleh kepada media.

Kadir ketika ditemui selepas itu memberitahu setiap pemimpin di negara ini perlu menghormati mana-mana pemimpin negeri yang mereka hadiri.

Malah, katanya sebagai seorang tetamu mereka perlu bertemu dengan pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Menteri Besar sebelum ini terhadap pemimpin pusat termasuk menteri kabinet yang tidak mengunjungi Pejabat Menteri Besar ketika membuat program di negeri ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru dan memang itu yang sepatutnya. Saya sebelum ini lebih tiga kali bertemu Tuan Guru datang ke pejabatnya, makan nasi tengahari lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap menteri-menteri dan timbalannya yang datang ke negeri ini tetapi tidak pernah mengunjungi pejabat beliau.

Katanya, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalannya mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengulas aktiviti politiknya kini, Kadir turut memberitahu jadualnya begitu padat sekarang kerana mendapat jemputan ceramah oleh pimpinan PAS hampir seluruh negara.
Kadir yang juga bekas menteri penerangan kini kembali aktif dalam politik bersama pembangkang selepas mengumumkan keluar dari Umno awal April lalu.

“Ada di antaranya saya tidak dapat nak penuhi sebab jadual saya begitu penuh,”ujarnya sambil ketawa.

Malam ini beliau dijangka menyampaikan ceramahnya bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di Pejabat PAS Kawasan Bachok.

5,422 pengundi tak ikut kod kelahiran

5,422 pengundi tak ikut kod kelahiran:



Anis Nazri,07 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mei:Berdasarkan daftar pemilih bagi suku pertama 2012 yang dipamerkan, PAS mengenalpasti 5,422 pengundi yang kad pengenalannya tidak mengikut kod kelahiran yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata hasil penelitian dari daftar pemilih yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga jam satu pagi, semalam, pihaknya mendapati kod kelahiran pada sejumlah nama itu tidak sama seperti ditetapkan di JPN.

Beliau berkata, JPN mempunyai kod-kod kelahiran khusus membabitkan negeri seperti 14 bagi Wilayah Persekutuan, dan kod-kod lain bagi negeri lain, sedangkan beliau menemukan kod kelahiran seperti 70, 76, 74, 62, 66, 85 dan lain-lain.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberikan beberapa contoh, seperti kad pengenalan yang bernombor 890327665045 yang dimiliki Lim Jain Zao.

"Kod 66 itu tidak terdapat dalam kod kelahiran yang tersenarai atau ditetapkan JPN.  Persoalannya, di negeri manakah pemegang IC ini lahir?" soal beliau, sambil mendakwa kemungkinan mereka merupakan warga asing yang didaftarkan SPR sebagai 'pendaftaran baru'.

Mahfuz menambah, biarpun nama-nama terbabit terdapat dalam sistem JPN, SPR sebagai sebuah badan bebas sewajarnya mempersoalkan kod kelahiran yang janggal itu kepada JPN.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan senarai daftar pemilih yang dikatakan mempunyai 'senarai pemilih yang tidak perlu hadir', yang bermaksud tidak hadir pada hari pengundian.

Senarai tersebut, difahamkan merupakan pengundi pos yang akan mengundi awal dan diletakkan di lokaliti tentera.

Jelas Mahfuz, sejumlah 113 nama diletakkan di lokaliti tentera, yang kod lokalitinya 400 ke atas dan dinamakan sebagai Palapes.

"Apa yang saya faham, mereka ini merupakan mahasiswa yang terlibat dengan Palapes.  Kenapa mereka didaftarkan dalam lokaliti tentera, sedangkan mereka belum berkhidmat dalam tentera?" soal beliau.

Tambah beliau, sebahagian daripada Palapes itu mempunyai kad pengenalan tentera, manakala kebanyakannya mempunyai IC awam yang sepatutnya diletakkan di lokaliti biasa.

Ekoran itu, Mahfuz menyifatkan perkara ini sebagai penyelewengan SPR dan satu rangka 'task force' yang beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang didakwa beliau sebelum ini.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak JPN dan SPR segera menjelaskan keraguan berhubung kedua-dua perkara yang dibangkitkan beliau bagi mengelakkan tanggapan buruk orang ramai terhadap dua agensi kerajaan terbabit.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum nanti.

Beliau juga bertindak menyerahkan memorandum kepada pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung isu tersebut bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong.

Najib tidak tengok dirinya punca rakyat marah

Najib tidak tengok dirinya punca rakyat marah:


Harakahdaily,07 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melihat dirinya menjadi punca kemarahan rakyat kerana tidak berusaha mereformasi sistem pilihan raya.


Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Najib yang terus menyerang perhimpunan Bersih 3.0, dengan dakwaan pembangkang menolak perhimpunan di dalam stadium serta mahu menggugat keamanan dan keselamatan negara.

“DPPM melihat Datuk Seri Najib keliru dengan kenyataannya yang mungkin kerana tekanan yang begitu kuat diterima oleh beliau oleh rakyat yang bangkit menentang beliau,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Beliau berkata, mungkin Najib bercakap dalam keadaan panik kerana suasana yang tidak memihak kepada beliau, lalu terpaksa mancari isu untuk dikambinghitamkan.

“Dalam hal ini, PM sepatutnya menyedari apakah tuntutan Bersih 2.0 dan mengapa pula Bersih 2.0 memilih perhimpunan aman,” ujarnya dalam satu kenyatan.

Jelasnya, perhimpunan aman diadakan setelah hampir semua proses rundingan bagi mencari penyelesaian tidak dilaksanakan.

Katanya, oleh kerana pelbagai desakan telah dibuat, daripada pertemuan, mesyuarat, serahan memorandum, dialog, bantahan umum, pendedahan di media, akhirnya Bersih 2.0 memilih perhimpunan bagi menyampaikan isi hati mereka.

Menurutnya, perhimpunan 3.0 sebenarnya adalah opsyen terakhir bagi rakyat bagi menyelamatkan PRU ke-13 daripada dicemari oleh penipuan terancang secara beras-besaran.

Beliau menambah, ia pula diadakan secara aman dan tenteram dengan tema ‘duduk bantah’ bagi menggambarkan rakyat hadir secara rileks dan tenang.

“Bersih 2.0 pula telah memilih lokasi Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunannya.

“DPPM tidak menganggap Dataran Merdeka sebagai kawasan haram dan berbahaya bagi rakyat kerana sudah berpuluh tahun ia di situ dan telah bermacam aktiviti diadakan di sana,” ujarnya lagi.

Katanya, jika alasan kesesakan jalan raya dijadikan punca, kerajaan boleh mengeluarkan notis penutupan jalan serta melencongkan jalan kepada pengguna trafik, sama seperti aktiviti lain yang diadakan di situ.

DPPM, ujarnya merasa hairan, mengapa PM tidak bersedia menghormati keputusan dan kehendak Bersih 2.0 untuk adakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, ujarnya lagi kerajaan pula memberikan opsyen di stadium yang tidak digemari oleh Bersih 2.0.

Katanya, PM merasa marah kepada Perhimpunan Bersih 3.0 kerana tidak memilih stadium, sebaliknya duduk di tempat awam di Dataran Merdeka.

“Tetapi PM tidak pernah melihat dirinya menjadi punca kemarahan rakyat kerana tidak berusaha mereformasi sistem pilihan raya.

“Samalah juga seperti kerajaan menolak syor dan cadangan Bersih 2.0, serta tidak melaksanakan tuntutan rakyat. Sedangkan Bersih 2.0 telah memberikan kerajaan pelbagai option supaya memperbaiki sistem pilihan raya,” katanya.

Justeru, kata Riduan DPPM meminta PM untuk melihat ke cermin bagi menilik diri beliau sendiri.

“Jika PM tidak lagi mahu rakyat turun ke perhimpunan aman di jalan raya, hanya satu option yang beliau boleh lakukan, iaitu perbaiki segera sistem pilihan raya sebelum PRU 13.

“Rakyat sudah semakin cerdik dan tidak rela harungi PRU ke-13 dengan siri pemipuan sekali lagi,” ujarnya.

Tempat tinggal daif, tiada tandas, bilik tidur

Tempat tinggal daif, tiada tandas, bilik tidur - Pahang - Sinar Harian:

Tempat tinggal daif, tiada tandas, bilik tidur
Antara rumah yang masih digunakan di perkampungan Orang Asli.
BERA - Masyarakat Orang Asli di Kampung Lubuk Perah, dekat sini, merayu kerajaan supaya tidak mengabaikan aspek pembangunan di kampung itu memandangkan mereka masih belum menikmati kehidupan yang selesa.

Seorang penduduk, Datang Johor, 55, berkata, walaupun tinggal jauh dari bandar, namun berharap kebajikan mereka tidak dipinggirkan.

Menurutnya, kebanyakan tempat tinggal masyarakat Orang Asli di beberapa kampung, dekat sini, tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bilik tidur dan tandas.

“Bilangan ahli keluarga kami semakin bertambah, malah anak-anak yang sudah berkahwin juga masih tinggal bersama ibu bapa.

“Justeru, kami ingin memiliki tempat tinggal yang selamat dan selesa seperti orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Datang berkata, masyarakat di situ berharap menerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) demi keselesaan anak dan cucu mereka.
Sementara itu, Sudin Minggu, 40, berkata, penduduk memerlukan bantuan perumahan kerana mereka tidak berkemampuan mengeluarkan modal sendiri untuk membina rumah.

Katanya, ada penduduk terpaksa tinggal di rumah yang sangat daif dan boleh diumpamakan seperti pondok.

“Kediaman masyarakat Orang Asli di Kampung Penchorong, dekat sini, dibina tinggi bagi mengelakkan serangan binatang buas.

“Walaupun ia dibina daripada jenis kayu yang kukuh, namun pada hakikatnya, struktur binaan itu belum sempurna kerana tiada ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Sudin berkata, bukannya mereka merungut, tetapi mahu perkara itu diberi perhatian sewajarnya demi keselamatan dan keselesaan masyarakat di situ.

Nik Aziz jawab Najib: ‘Kerajaan BN sah?

Nik Aziz jawab Najib: ‘Kerajaan BN sah? - Politik - Sinar Harian:


Nik Aziz Nik Mat
Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang minggu lalu menegaskan perhimpunan Bersih 3.0 satu cubaan untuk menggulingkan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di bandar I-City di sini malam, semalam.
“Bila timbul persoalan Bersih yang disebut oleh ketua kerajaan yang pergi Kelantan itu, bahawa Bersih ini nak guling kerajaan yang sah, sah sungguh Kerajaan (Pusat) ini?” soal beliau ketika menyampaikan ucapan dalam majlis itu.
Nik Aziz menjelaskan tindakan mengadakan perhimpunan 28 April lalu bukan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menuntut sistem pilihan raya yang telus dan adil.
Beliau yang sebelum ini menggalakkan penyertaan dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan turut mengakui membiaya beberapa peserta menggunakan wang sendiri berkata, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam 12 pilihan raya umum lalu.
Ketika berucap di Gua Musang Jumaat lalu, Najib berkata, perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

"Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.  Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya.
Sehubungan itu, Nik Aziz juga menyentuh soal pengundi hantu dan daftar pemilih, yang turut dipertikaikan oleh pembangkang.
“Datuk Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebut berkali-kali kekalahan kerajaan Pas Terengganu pada pilihan raya dulu (2004) kerana dibawa masuk pengundi luar…
“Bila pengundi luar dimasuk dalam  pilihan raya masa itu, adakah itu sah? Di dunia sah tapi di akhirat masuk neraka,” katanya.
Pada majlis sama turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Majlis anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan adalah untuk mengutip dana bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.