Saturday, November 14, 2015

Nilai lebih lanjut pelaburan 1MDB: Zeti

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai lebih lanjut pelaburan luar negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik semua maklumat yang diminta diperoleh dan disahkan, kata Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Selain itu, katanya, pelan penyusunan semula syarikat itu yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini juga akan diambil kira, sambil menambah sebarang penilaian yang dibuat sebelum itu dianggap sebagai terlalu awal.
"Jadi, BNM kini menilai maklum balas 1MDB kepada arahan pentadbiran ini, dan 1MDB sudah menyatakan secara umum bahawa dana bagi penebusan pelaburan luar negara ini sudah digunakan dan juga diperuntukkan bagi pertukaran hutang-bagi-aset sebagai sebahagian pelan penyusunan semula mereka.
"Jadi bank pusat sedang mengesahkan ini sekarang... dan akan mengambil kira sebarang komitmen terikat yang dibuat 1MDB di bawah pelannya yang akan membantu mengurangkan bebanan hutangnya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga negara di Bank Negara di sini, hari ini.
Zeti berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai bila bank pusat akan meneruskan siasatannya terhadap kegagalan 1MDB untuk menghantar pulang US$1.83 bilion pelaburan luar negaranya.
Bulan lalu, bank pusat mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada syarikat itu untuk menghantar pulang dana berkenaan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:31 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92881#sthash.O8DREBvw.dpuf

1MDB Jamin Beban Hutang Dikurangkan Secara Mendadak


Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 10:24 AM

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi jaminan beban hutang yang ditanggung syarikat itu akan dikurangkan secara mendadak.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion akan dikurangkan melalui pelan rasionalisasi yang dijangka siap pada 31 Disember tahun ini.
"Pada Februari 2015 kita telah menyiapkan hasil kajian strategik... selepas ini hutang 1MDB akan dikurangkan secara mendadak melalui pelan rasionalisasi 1MDB.
"Selain mengurangkan hutang secara mendadak, ia akan meninggalkan begitu banyak aset dalam 1MDB sendiri dan Kementerian Kewangan," katanya ketika menyampaikan penerangan pada Majlis Penerangan 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 di sini, Sabtu.
Majlis ini diadakan terbuka dan dihadiri oleh wakil daripada pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan pihak media dan dianggarkan ia telah mendapat perhatian seramai lebih 1,000 orang.
Arul Kanda berkata melalui pelan rasionalisasi 1MDB, syarikat itu masih mempunyai nilai aset berjumlah RM10 bilion hingga RM12 bilion walaupun beberapa aset perlu dijual.
Di Malaysia katanya, 1MDB masih mempunyai nilai aset RM4 hingga RM5 bilion - Tun Razak Exchange RM5 hingga RM6 bilion, Ayer Itam RM1 bilion dan Pulau Indah RM300 juta.

Lebuhraya Karak-KL Dibuka Semula


Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 2:44 PM

BENTONG: Lebuhraya Karak dibuka secara berperingkat kepada pengguna bermula pukul 2 petang Sabtu, kata Kementerian Kerja Raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lebuh raya berkenaan dibuka secara berperingkat dengan pembukaan satu lorong untuk kenderaan ke Pantai Timur dan Kuala Lumpur.
Katanya, laluan kontra itu bermula dari KM52.4 sehingga KM50.
“Pembukaan sepenuhnya lorong bagi kedua-dua hala dijangka pada Ahad bermula pukul 2 petang,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Fadillah berkata, kelewatan pembukaan semula jalan berkenaan itu kerana pihak konsesi perlu membaikpulih permulaan jalan yang rosak kerana kejadian itu.
Katanya, pihak konsesi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memantau lokasi kejadian setiap masa bagi keselamatan pengguna.
“Pengguna akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan pembukaan laluan ini,” katanya.