Saturday, December 18, 2010

"Saya disepak, dikurung tanpa belas"




KUALA TERENGGANU - “Sejak bercinta lagi, suami sudah menunjukkan sikap barannya. Pantang ada yang tidak kena, saya pasti akan dipukul, disepak dan diterajang tanpa belas kasihan, malah saya pernah dikurung di bawah rumahnya selama seminggu tanpa diberi makan dan minum.

“Tetapi, disebabkan ketika itu saya mengandung, jadi, saya terpaksa mengambil keputusan untuk meneruskan perhubungan ini dan berkahwin dengannya walaupun ‘hati sudah tawar’,” demikian pengakuan mangsa keganasan rumah tangga yang hanya mahu dikenal sebagai Siti, 19.

Menurut ibu muda ini, dia tidak pernah sesekali merasai kebahagian menjadi seorang isteri sepanjang tiga tahun usia perkahwinannya bersama suaminya, 24, yang kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah syarikat swasta di bandar raya ini.

“Sepanjang perkahwinan ini, dia tidak pernah sesekali menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa dengan baik.

IPT perlu bertindak tegas terhadap penyebar Syiah: Khaled





2010/12/18

JOHOR BHARU: Pentadbir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pensyarah atau pelajar yang terbabit dalam ajaran Syiah, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata, ini kerana fahaman Syiah bercanggah dengan ajaran Islam di negara ini.
Katanya, kerajaan bimbang dengan pembabitan pensyarah kerana perawakan mereka boleh membantu mengumpul ramai penyokong fahaman itu.
"Saya mahu pihak pentadbir universiti menumpukan kepada pensyarah kerana mereka mampu mempengaruhi orang lain terutamanya pelajar bagi menyekat ajaran ini daripada berleluasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di Taman Johor Jaya di sini hari ini. 

Mohamed Khaled diminta mengulas penahanan 200 pengikut Syiah di Selangor, termasuk pensyarah dan penuntut institusi pendidikan tinggi Khamis lalu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu serbuan di tingkat empat sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves. 

Anggota kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka Hauzah Ar-Ridha Alaihissalam terdiri daripada pensyarah, pelajar institusi pendidikan tinggi, peguam dan pegawai kerajaan. 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled kata kementerian belum menerima laporan daripada polis mengenai pembabitan pelajar IPT dalam protes haram terhadap kenaikan tarif air di Shah Alam dan Kuala Lumpur baru-baru ini. - BERNAMA

Sah Tasik Kenyir tidak dicemari E-Coli



18/12/2010 6:02pm

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa Tasik Kenyir, Terengganu, tidak dicemari dengan bakteria Escherichia coli (E-Coli) sebagaimana didakwa beberapa akhbar awal bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, tinjauan serta siasatan terhadap tahap pemcemaran tasik itu dibuat pada hari Ahad lepas dan air mentahnya didapati berada dalam julat yang biasa.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu mengambil sampel air mentah dari tujuh 'Houseboat' dan dua pusat peranginan di kawasan itu, dan ia dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri untuk dianalisis.
"Keputusan dua hari lepas mendapati tahap pencemaran E-Coli adalah pada tahap 2 hingga 920 MPN/100ml, di mana ia adalah jauh di bawah tahap maksimum kesesuaian sebagai air mentah iaitu pada 5000 MPN/100ml berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, penemuan bakteria E-Coli adalah satu kelaziman di dalam permukaan seperti tasik dan sungai kerana ia tersebar luas. - Bernama

Anwar bidas dan tuduh Umno salah guna kuasa

TUNJUK BANTAHAN: Ahli Parlimen pembangkang Malaysia menunjukkan pelekat di lobi Dewan Rakyat kelmarin selepas Datuk Seri Anwar dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada sidang Parlimen selama enam bulan. -- Foto AFP


PENGGANTUNGAN EMPAT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG
Ahli Parlimen Permatang Pauh dakwa penggantungannya satu pencabulan kuasa secara terang-terangan


KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi membidas Umno yang didakwanya menyalahgunakan kuasa dengan menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
'Saya lihat tidak ada sebab untuk tergesa-gesa menggantung saya. Ini adalah pencabulan kuasa secara terang-terangan.'Saya rasa mereka tidak sabar lagi untuk menjawab isu yang ditimbulkan,' katanya, yang dipetik oleh laporan laman berita Malaysiakini semalam.Pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya pagi semalam, Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh itu berkata dakwaan ke atasnya itu adalah satu 'hiprokrasi Umno'.'Saya ulangi, 12 tahun lalu sampai sekarang saya dituduh ejen Yahudi. Umno guna kempen ini di kampung-kampung. Tapi saya buktikan mereka guna bukan sahaja syarikat Yahudi, malah syarikat yang berpangkalan di Israel,' kata Datuk Seri Anwar.'Saya buktikan dalam jawapan kepada mereka, Apco Worldwide ditubuhkan sebelum Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) jadi Perdana Menteri, maka soal '1Malaysia', 'One Israel' tidak berbangkit,' tambahnya dengan nada marah.Menurut Datuk Seri Anwar lagi, AP PKR bagi Gombak, Encik Azmin Ali, pula dihukum semata-mata kerana menyentuh mengenai surat Apco.'Dia tidak menyiarkannya pun. Apa Apco ini? Dewata Raya ke? Bahkan, Apco tidak ditegur kerana tidak dapat sertai jawatankuasa.'Mengapa Apco terlibat dalam politik negara? Apco jangan bersekongkol dengan Umno. Mereka harus jawab, harus bertanggungjawab kerana sebab merekalah empat ahli parlimen digantung tanpa proses yang wajar,' tambahnya.Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul menggantung Datuk Seri Anwar daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep '1Malaysia' dengan 'One Israel'.Turut digantung ialah Encik Karpal Singh, AP Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Bukit Gelugor; Encik R. Sivarasa, AP PKR bagi Subang; dan Encik Azmin atas beberapa kesalahan.Encik Karpal dan Encik Sivarasa didakwa melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85, yang menetapkan bahawa apa sahaja keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya, tidak boleh disiarkan oleh sesiapa pun sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).Encik Azmin pula, melalui pemberitahuan bersurat bertarikh 6 Disember 2010, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), didakwa menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember lalu.

Jenazah ADUN Tenang selamat dikebumi





2010/12/18





NORAINI bersama anaknya menyiram air mawar selepas jenazah Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Merah, Segamat, semalam.
NORAINI bersama anaknya menyiram air mawar selepas jenazah Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Merah, Segamat, semalam.

SEGAMAT: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Datuk Sulaiman Taha, 59, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Merah, Labis, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar Ampang Puteri di Kuala Lumpur pada jam 1.10 pagi semalam, meninggalkan seorang isteri, Datin Noraini Yaakop, 34, dan tujuh anaknya berusia antara lapan tahun hingga 33 tahun.
Allahyarham meninggal dunia selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.
Noraini berkata, beliau bersama semua anak berada di sisi ketika suaminya menghembus nafas terakhir.

“Allahyarham meninggal dunia dalam keadaan tenang dan rahmat baginya apabila hembus nafas terakhir pada hari Jumaat iaitu hari yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Turut melawat jenazah ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamed Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Yusoff dan Timbalan Speaker yang juga ADUN Buloh Kasap, Datuk Othman Jais.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil; ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; ADUN Bukit Serampang, Tahir Taat dan Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Labis untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke rumahnya di Labis Park, dekat sini, kira-kira jam 5 pagi.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Segamat pada 24 November lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri keesokannya kerana masalah kencing manis serta jangkitan kuman dalam darah. Keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Noraini berkata, walaupun Allahyarham seorang yang tegas, beliau bersikap penyayang terutama kepada anggota keluarga serta sentiasa mengambil berat perkembangan di sekeliling selain melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Isu APCO didakwa punca empat digantung 6 bulan





2010/12/18

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa isu APCO Worldwide (APCO) sebagai punca beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan mulai kelmarin. 

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata sebagai badan perunding profesional, APCO seperti satu entiti kebal di Malaysia sehingga tidak boleh ‘disentuh’ mana-mana pihak.
“Apakah APCO ini... dia ‘dewata dari kayangan’ ke sehingga kita tidak boleh langsung hendak soal dia. Kita menuntut penjelasan APCO dalam kes ini (penggantungan empat Ahli Parlimen).
“Kerana APCO, empat Ahli Parlimen kita (pembangkang) digantung (menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan) tanpa mengikut peraturan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara, semalam. 

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan dua Ahli Parlimen yang turut digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PKR-Subang Jaya). Seorang lagi Ahli Parlimen yang digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak). 

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan usul penggantungan empat Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Anwar berikutan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mendapati beliau membuat kenyataan tidak benar apabila cuba mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel. 

Karpal, Sivarasa dan Mohamad Azmin pula didapati menghina dewan yang juga bersabit dengan isu Anwar dan APCO.
Sementara itu, Karpal berkata, pembangkang akan mengheret Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah berhubung keputusannya menggantung empat Ahli Parlimen pembangkang, termasuk dirinya. 

Katanya, mereka akan mengemukakan saman secepat mungkin. Beliau turut menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa keputusan Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah. 

Mahfuz pula berkata, beliau akan merujuk dan melaporkan keputusan Dewan Rakyat itu kepada Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) dan Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU).

Taib nafi sudah kahwin



Oleh M Hifzuddin Ikhsan

2010/12/18

Pengumuman lanjut akan dibuat

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menafikan khabar angin mendakwa beliau sudah berkahwin, tetapi pada masa sama meminta semua pihak bersabar menunggu pengumuman lanjut mengenainya. 

Taib yang menghadiri sesi dialog bersama Dewan Perniagaan Cina Sarawak, di sebuah hotel di sini, semalam, sebelum itu kelihatan ceria malah dilihat bersemangat memberi ucapannya. Terdahulu pihak media cuba mendapatkan reaksi beliau mengenai gembar gembur perkahwinannya namun Ketua Menteri yang berpakaian kasual meminta wartawan menunggu majlis selesai.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, termasuk berhubung satu majlis yang dijadual diadakan di kediaman rasminya, petang ini.
“Belum lagi.. belum lagi,” kata Taib, merujuk kepada khabar mengenai perkahwinannya yang sedang bertiup kencang ketika ini, tetapi sumber rapat kepada Ketua Menteri kemudian menjelaskan pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat. 

“Kami hanya dimaklumkan isterinya berusia lewat 20-an, berasal dari Syria atau Lubnan. Kami juga tidak berapa tahu perkara ini. Majlis esok (petang ini) cuma kenduri doa selamat... resepsi perkahwinan beliau mungkin diadakan pada Januari depan,” kata sumber terbabit kepada Berita Harian. 

Usaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkahwinan berkenaan bagaimanapun gagal, namun difahamkan Taib ada bertemu dengan pilihan hatinya itu ketika menunaikan fardu haji, baru-baru ini. 

ADUN Tenang meninggal dunia semalam












SEGAMAT - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Datuk Sulaiman Taha, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 25 November lalu berikutan penyakit kencing manis, meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi hospital itu pada jam 1.10 pagi semalam selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini, sekitar jam 12 tengah hari, semalam.

Jenazah yang dibawa menggunakan van jenazah Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kemelah tiba di kediaman keluarga Allahyarham di Jalan Melati, Labis Park, di sini, pada jam 8 pagi sebelum disembahyangkan.

Kemudian, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Labis untuk disembahyangkan kali kedua.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Noraini Yaakop dan enam anak perempuan iaitu Marsila, Marliza, Marina, Miza Liyana Taha, Miza Qamarina dan Miza Husna serta seorang anak lelaki, Aiman Azri Taha.

Turut hadir menziarah jenazah ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan; Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharom Mohamed; Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong; ADUN Buloh Kasap, Datuk Othman Jais; ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; ADUN Jementah, Datuk Dr Lee Hong Tee; Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin; Setiausaha Majlis Daerah Segamat (MDS), Mustaffa Kamal Shamsuddin dan rakan-rakan lain.

Sulaiman menjadi ADUN Tenang selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan berjaya mengekalkan kerusi itu pada PRU 2008 selepas menewaskan calon Pas, Md Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi:.

Allahyarham juga Ketua Bahagian UMNO Labis sejak 2001 dan pernah menjadi Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor (1994-1997) serta Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia (1987-1993).

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2008, Tenang mempunyai 14,511 pengundi, di mana 49.66 peratus pengundi Melayu, 38.13 peratus Cina, 12.11 peratus India dan kaum-kaum lain 0.10 peratus.

Krisdayanti bakal berkahwin minggu depan




RAUL Lemmos dan Krisdayanti.


JAKARTA - Penduduk di kawasan tempat tinggal penyanyi Krisdayanti, 35, di Radio Dalam, Jakarta Selatan heboh mengatakan bahawa penyanyi itu bakal berkahwin pada minggu depan, lapor sebuah akhbar semalam.
"Undangannya sudah disebar. Mungkin hanya untuk orang-orang tertentu, selebihnya anda semak sendiri," kata satu sumber.
Sumber itu turut memberitahu bahawa, majlis itu bakal diadakan di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta.
Sebelum ini, Krisdayanti pernah menyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Timor Leste, Raul Lemmos.
Raul dikatakan sudah menghantar surat untuk bercerai dengan isterinya, Silvalay Noor Athalia di Timor Leste.
Menurut Silvalay, keputusan mahkamah mengenai status perceraian mereka bakal diketahui pada 21 Disember ini.
Dalam perkembangan sama, akhbar Tribunnews.com melaporkan bahawa bekas suami Krisdayanti, Anang Hermansyah, 41, merestui perkahwinan bekas isterinya itu.
"Kalau memang itu sudah menjadi keputusan yang baik buat Yanti (Krisdayanti) dan baik untuk jangka panjangnya, bagi aku itu keputusan yang tepat," kata Anang yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Krisdayanti. - Agensi

Derita sakit saraf



ZULKIFLEE (dua dari kanan) menunjukkan peralatan pelapik khas kepada Ghazali (kanan) dan Muhammad Fitri di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Penderitaan anak bongsu bekas anggota tentera Rejimen Renjer Diraja (RRD), Ghazali Yahya, 58, selama 11 tahun menghidap penyakit saraf berakhir apabila mendapat bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
Ayah kepada 11 orang anak yang menyewa di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak di sini sejak 25 tahun lalu terharu dengan sumbangan bernilai RM5,850 kepada anaknya, Muhammad Fitri.
Bantuan berupa kos bagi peralatan alat bantuan dan perubatan seperti peralatan pelapik khas atau standing frame untuk kerusi roda dan peralatan fisioterapi serta kos perubatan lain disampaikan oleh Ketua Pengarah JHEV, Mej. Jen. Datuk Zulkiflee Mazlan.

Ulama berdakwah guna rangkaian sembang sosial


Ahmad Mustofa Bisri mempamerkan bahan yang dihantar kepada pengikutnya melalui iPad miliknya di Jakarta, semalam. - AFP


JAKARTA 17 Dis. - Seorang ulama berpengaruh daripada Nahdlatul Ulama (NU), sebuah pertubuhan Islam terbesar di negara ini Ahmad Mustofa Bisri menggunakan rangkaian sembang sosial Twitter dan telefon bistari untuk berdakwah dan mendekatkan diri dengan orang ramai.
Ulama berusia 66 tahun itu dikenali sebagai 'Kyai Gaul' atau 'ulama yang mengikut perkembangan zaman' kerana beliau sering mengemas kini ucapannya berunsur Islam melalui iPad atau Blackberry miliknya.
Ahmad Mustofa merupakan antara ketua agama konservatif dan liberal di republik ini yang menggunakan saluran Internet bagi menarik minat penganut Islam di negara yang merupakan majoriti penduduk di negara ini.
"Saya mewujudkan akaun Twitter bulan lalu kerana saya suka berkawan dengan sesiapa. Saya tidak menganggap diri saya sebagai ulama atau ketua agama. Saya suka berkongsi apa yang saya tahu.
"Adalah penting bagi sesiapa yang memahami kepercayaan ini untuk berdakwah. Mereka yang tidak tahu tetapi mengakui tahu, boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai," katanya yang juga dikenali sebagai 'Gus Mus'.
Ahmad Mustofa kini mempunyai 7,000 pengikutnya di Twitter.
Selain mendekati penganut Islam menerusi Twitter, ulama itu turut mempunyai akaun Facebook yang kini mempunyai 2,600 rakan dan 62,000 peminat.
Pertubuhan Islam di Indonesia termasuk Hizbut Tahrir dan Barisan Pembela Islam (FPI) turut mempunyai laman web yang digunakan bagi menyatakan pendirian mereka dalam menyokong hukuman Syariah seperti merejam pesalah yang berzina dengan batu.
Indonesia kini muncul sebagai salah sebuah negara yang mempunyai bilangan pengguna Twitter paling ramai, jelas firma penyelidikan dalam talian comScore.
Menurut comScore, daripada 41 negara, Indonesia mencatat peratus tertinggi pengguna Internet di rumah dan pejabat yang mengakses Twitter pada Jun tahun ini atau lebih 20 peratus daripada 45 juta pengguna dalam talian. - AFP

Ibu tunggal miskin rayu simpati


KULAIJAYA 17 Dis. - Tiada apa yang diharapkan oleh seorang ibu tunggal, Jumiyam Ahmad, 50, dari Kampung Batu 36, dekat sini untuk mengubah kehidupannya yang serba miskin selain mengharapkan kecemerlangan pelajaran anak-anak.
Bagaimanapun, dia hanya mampu merenung nasib dan menyerah kepada takdir kerana anak-anaknya yang tergolong sebagai pelajar pintar tidak menerima sebarang biasiswa.
Dia yang lebih lapan tahun menjanda memberitahu, dua daripada enam anaknya sebelum ini gagal melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atas faktor kemiskinan.
Kini Jumiyam menaruh harapan terhadap anak kelimanya, Siti Nordiana Kifri, 12, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu, dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.
"Siti Nordiana mendapat tawaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor dan perlu mendaftar 2 Januari ini tetapi disebabkan kos kemasukan tinggi dan tidak mendapat biasiswa, mungkin hasrat itu terpaksa dilupakan.
"Saya berharap dia akan diberi biasiswa kerana saya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berdekatan dengan gaji RM20 sehari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jumiyam berkata, dengan pendapatan itu dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, dia terpaksa menanggung dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
Menurutnya, anak ketiganya pernah ditawar melanjutkan pelajaran di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu tetapi ditolak kerana tidak mampu.
"Anak keempat yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bersekolah di Sekolah Menengah Bandar Tenggara, Kota Tinggi selama dua tahun sebelum ini terpaksa bertukar ke sekolah lain kerana saya tidak mampu menampung perbelanjaannya," katanya.
Dia berkata, mereka kini hidup menumpang di rumah abangnya yang usang dengan atap bocor dan dinding papan telah reput.
Menurutnya, apabila hujan lebat, air akan masuk ke lantai rumahnya disebabkan kedudukan kediaman tersebut yang berada di bawah bukit.
"Saya pernah mohon kepada Baitulmal Kulaijaya untuk bantuan membaiki atap-atap bocor pada awal tahun ini tetapi hingga kini tidak menerima sebarang jawapan," katanya.
Jumiyam berkata, dia juga tidak pernah mendapat bantuan Hari Raya Aidilfitri termasuk nafkah daripada bekas suaminya.
Sementara itu, Siti Nordiana menaruh harapan tinggi untuk masuk ke sekolah tersebut kerana mahu mendapatkan pendidikan lebih baik dan bersaing dengan pelajar cemerlang lain.
Dia yang bercita-cita menjadi pensyarah, berazam mahu mengubah nasib keluarganya dan percaya kecemerlangan dalam pelajaran merupakan tiket untuk berjaya dalam kehidupan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun bank RHB Jumiyam di nombor 10131600049620.

Taib Mahmud nikah wanita Arab?


KUCHING 17 Dis. – Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 74, dikatakan telah bernikah dengan seorang wanita Arab dipercayai dari Lebanon berusia 30-an di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup itu disempurnakan oleh Mufti Sarawak, Kipli Yassin.
Majlis resepsi perkahwinan tersebut dikatakan akan berlangsung esok (Sabtu).
Perkahwinan itu sekali gus menamatkan zaman duda Ketua Menteri itu selepas kematian isteri, Allahyarham Puan Sri Laila Taib akibat kanser pada April tahun lalu.
Beliau yang berkahwin dengan Allahyarham pada 1959 dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 cucu.
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan Abdul Taib berkahwin dengan anak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Dian P. Ramlee memandangkan minat mendalam beliau pada lagu-lagu Seniman Negara itu.
Bagaimanapun, dramatis tersebut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut menyebabkan berita tersebut tenggelam begitu sahaja.
Usaha wartawan Utusan untuk mendapatkan pengesahan berita perkahwinan terbaru Abdul Taib dengan wanita Arab daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman menemui kegagalan.
Abdul Taib yang diminta mengulas berita pernikahannya ketika ditemui wartawan selepas menghadiri Majlis Dialog dan Makan Malam Bersama Persatuan-Persatuan Cina di sebuah hotel di sini, sekadar menjawab: “Belum lagi.”
Difahamkan beliau mempunyai program di Kapit, esok.