Tuesday, August 19, 2014

Pakistan tahan 147 di Punjab berikutan bantahan di Islamabad

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 4:10 PM
Ulama terkenal, Tahirul Qadri menyatakan sesuatu kepada penyokongnya pada hari keempat bantahan terhadap kerajaan di Islamabad.
 
Bekas pemain kriket, Imran Khan turut menyampaikan ucapan pada perhimpunan di Islamabad semalam.- Foto AP
MULTAN, Pakistan: Polis menahan kira-kira 150 penyokong dua kumpulan penunjuk perasaan pada hari kelima bantahan itu hari ini bagi menghalang mereka daripada terus mara ke ibu negara, Islamabad.

Pemimpin pembangkang, Imran Khan dan ulama terkenal, Tahir ul-Qadri mengetuai puluhan ribu penyokong mereka di Punjab hingga ke Islamabad dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang dituduh melakukan penipuan dalam pilihan raya dan mengamalkan rasuah.

Inspektor Rana Hussain berkata polis di Punjab menahan 147 penyokong Khan dan Qadri malam tadi bagi menghalang mereka daripada menyertai bantahan di Islamabad.

Khan, bekas bintang kriket antarabangsa, semalam berkata beliau akan mengetuai penunjuk perasaan ke 'Zon Merah', kawasan di mana terletaknya kedutaan Barat dan pejabat utama kerajaan, hari ini.

Kerajaan sebelum ini menegaskan penunjuk perasaan tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan. Ia dikawal oleh polis dan tentera suka rela, yang menutupnya dengan kontena kapal dan kawat berduri.

Khan juga sebelum ini berkata partinya, yang ketiga terbesar di Pakistan, akan meletakkan jawatan daripada semua 34 kerusi di Parlimen dan semua wilayah yang dikuasainya. - AP

MH17: Jenazah 28 warga Malaysia dikenal pasti


  • Hishammuddin Tun Hussein. - Foto BernamaHishammuddin Tun Hussein. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua puluh lapan daripada 43 mangsa nahas pesawat MH17 warga Malaysia telah dikenal pasti setakat hari ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 merupakan penumpang manakala 13 yang lain adalah anak kapal.
  
Jumlah 28 jenazah ini melibatkan 14 orang Islam dan 14 lagi bukan Islam, katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada editor kanan media berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
  
"Untuk Jumaat ini, saya boleh sahkan jenazah yang terlibat adalah 15 (warga Malaysia) campur satu (warga Netherlands) akan dibawa pulang (ke Malaysia). Tetapi ada kemungkinan bertambah dan ini akan dapat disahkan esok," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata istiadat pada Jumaat ini merupakan istiadat pengebumian pertama yang dikelolakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan jenazah orang awam.

Beliau menjelaskan istiadat penghormatan seumpama itu biasanya diberikan hanya kepada pemimpin dan perwira negara.

"Istiadat ini memperlihatkan peranan ATM buat julung kalinya terlibat secara langsung dalam memberi penghormatan kepada rakyat biasa. Saya percaya kami dapat melakukan yang terbaik. Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat," katanya.

Hishammuddin berkata orang ramai boleh mengambil bahagian dalam memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas MH17 secara bertafakur selama seminit.   

Beliau menjangkakan waktu bertafakur dapat dilakukan antara 10.30 dan 11.30 pagi tetapi bergantung kepada kelancaran istiadat dan jumlah jenazah yang dibawa balik.

Hishammuddin berkata pihak ATM akan mengadakan satu taklimat khas kepada Jemaah Menteri esok berhubung istiadat penghormatan jenazah itu yang dijadual berlangsung sejurus jenazah mangsa tragedi itu tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Netherlands.

Beliau akan mempengerusikan sekali lagi mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 pada Khamis untuk persiapan dan persediaan terakhir sebelum istiadat sebenar berlangsung pada Jumaat.

Mengenai taklimat hari ini, Hishammuddin berkata ia membincangkan secara terperinci beberapa aspek penting berkaitan media termasuk liputan langsung, kedudukan dan pergerakan wakil-wakil media ketika membuat liputan serta susun atur majlis istiadat dari mula sehingga akhir.

"Taklimat ini penting bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan pihak media khususnya mengenai perjalanan istiadat, keperluan dan permintaan pihak media semasa membuat liputan serta perkara lain yang patut dilakukan semasa istiadat itu berlangsung.

"Pandangan pihak media amat diperlukan untuk menjamin kelancaran istiadat yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri," jelasnya.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.  

Pesawat Boeing 777 dengan 298 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan ditembak jatuh, namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - Bernama

Kisah makan berlebihan dan obesiti


  • Gambar HiasanGambar Hiasan

KUALA LUMPUR -  "Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa", apatah lagi bila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan kesan baik dan buruk.

Tabiat mengambil banyak makanan yang berkalori tinggi akan menjurus kepada obesiti sebelum ia menjadi pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Malaysia adalah negara yang tidak terlepas daripada masalah obesiti akibat perubahan gaya hidup masyarakat serta amalan pemakanan yang tidak sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan obesiti sebagai suatu keadaan yang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pengambilan makanan (tenaga) dan penggunaan tenaga (aktiviti fizikal).

Isu obesiti bukan lagi suatu isu baru dan hakikatnya ia dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun sekaligus turut menjadi pembunuh utama bagi golongan yang mengalami masalah itu.  

OBESITI MASA KINI 

Cabaran dalam menangani masalah obesiti di Malaysia kini adalah dari segi mengubah corak pemakanan dan menjelaskan kepentingan gaya hidup aktif yang dapat membantu  mengatasi masalah itu dalam kalangan masyarakat.

Peringkat awal obesiti boleh berlaku ke atas kanak-kanak dari sekolah rendah lagi, yang mana pengambilan makanan tidak sihat diambil akibat daripada pihak pengusaha kantin yang  kurang menitikberatkan kepentingan pengambilan makanan berzat kepada pembesaran pelajar.

Sirap, minuman berkarbonat, nugget segera, keropok dan gula-gula adalah menjadi makanan rutin kepada setiap pelajar sekolah rendah terutama yang hanya makan di kantin sekolah tanpa membawa bekal makanan dari rumah.

Kesedaran seharusnya timbul dalam kalangan ibu bapa dalam melatih anak untuk mengamalkan pengambilan pemakanan sihat setiap hari seperti menyediakan air kosong, mengurangkan kandungan gula dalam minuman, menyajikan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran serta melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

PENYEBAB OBESITI   

Ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga menyebabkan tenaga berlebihan yang disimpan bertukar menjadi lemak yang memudaratkan tubuh badan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata dimensi umum kepada terjadinya  obesiti adalah dilihat hasil daripada pengambilan makanan berkalori tinggi seperti makanan segera dan minuman berkarbonat.

Berikutan corak kehidupan yang sibuk dan kesuntukan masa untuk menyediakan makanan menyebabkan rakyat Malaysia seperti mana rakyat di negara maju akan memilih makanan segera yang mengandungi kalori tinggi.  

"Strategi pemasaran kreatif adalah penyebab bagi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja terpengaruh untuk membeli makanan segera", katanya.

"Lebih teruk, tabiat pengambilan makanan secara berlebihan menjadi budaya hidup kebanyakan orang dan garis panduan pemakanan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diabaikan", jelasnya lagi.

Namun masalah berkenaan tidak berakhir di situ sahaja, kerana rata-rata masyarakat Malaysia kini mengamalkan cara hidup moden dan gaya hidup yang kurang aktif.
  
Bagi sesetengah pula beranggapan, "makan sahaja apa yang terasa hendak dimakan, esok lusa amalkan gaya hidup sihat semula, bukan salah pun".

Hakikatnya, sikap sedemikian hanya membawa padah kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan diri sendiri.

PEMAKANAN SIHAT

Paling utama, apa yang dimakan dalam setiap hidangan harian adalah penentu kesihatan bagi setiap individu yang berlainan.

Berbaloikah untuk merisikokan tubuh badan yang kita miliki cuma kerana ingin memuaskan nafsu makan yang tiada kesudahannya?

Persoalan ini wajar diteliti dengan berbalik kepada panduan anjuran tatacara pemakanan dan kesihatan menurut pandangan Islam, kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Norkumala Awang.
Lazimnya, elemen kesihatan fizikal, mental dan emosi, spiritual dan persekitaran sosial bersifat saling berkaitan antara satu sama lain sebagai sistem bersepadu yang menyumbang kepada kesihatan seseorang.

"Makan secara sederhana sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, kerana perut kita ini ada hadnya, selain itu sifat sederhana dan tidak berlebihan dalam hal ehwal makan dapat mengelakkan datangnya gangguan kesihatan kepada tubuh badan," katanya pada Seminar Daripada Malnutrisi Kepada Obesiti: Menelusuri Tabiat Makan Umat Islam di Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pemakanan sihat boleh diamalkan dengan mengambil pelbagai makanan dan seimbang dalam status pengambilannya di samping mementingkan unsur keberkatan dalam makanan  yang dimakan.

Kurang pengetahuan membuatkan ramai yang seringkali salah dalam mengurus kualiti dan kuantiti makanan yang diambil dalam seharian.

MAKANAN SUNNAH DAN KESIHATAN

Sikap peduli, prihatin dan ambil berat membawa seseorang kepada meneliti dengan lebih bagi setiap makanan yang diambil sebagai tenaga harian.
  
Makanan yang halal dan baik adalah diharuskan kerana ia sesuatu yang diperoleh kelazatan dan kebaikan darinya selain merangkumi keberkatan bagi dunia dan akhirat.
  
Pemakanan sunnah merujuk kepada makanan yang dikategorikan sebagai halal dan baik yang mana juga ditunjukkan galakan oleh Rasullulah S.A.W. untuk kita memakannya.

"Dalam soal makanan, apa yang penting dan mesti diingati adalah perintah al-Quran agar memastikan ia halal dan baik, kerana penentuan baik buruk makanan ini termasuk dalam bidang kajian ilmu nutrisi, yang kian berkembang pesat dan membawa faedah kepada manusia," jelas Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Asham Ahmad. - Bernama

Jangan jadi seperti di Timur Tengah


19 Ogos 2014

KANGAR - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini bertitah bahawa baginda tidak mahu melihat pergolakan seperti berlaku di Timur Tengah dan lain-lain negara menimpa rakyat negeri ini.
   
Baginda menyatakan dukacita kerana terdapat segelintir rakyat Perlis yang tidak bertanggungjawab menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.
   
Kelompok tersebut tidak prihatin hingga ungkapan dan perbuatan mereka boleh menghalang suasana harmoni dan perpecahan kaum, ujar baginda.
   
"Kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada masalah ini agar tidak menjadi barah," tegas baginda.
   
"Pendekatan yang wajar adalah melalui program-program yang dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat," titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Perlis di sini.
   
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
   
Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahir dan merakamkan perasaan amat dukacita dan terharu dengan tragedi pesawat MAS MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pada 17 Julai lepas.
   
"Beta mengucapkan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada seluruh anggota keluarga, rakan taulan dan kenalan mangsa. Diharapkan mereka terus cekal dan tabah menempuh dugaan yang amat berat lagi mencabar ini.
   
"Jangan lupa tragedi MH370....Beta harap tragedi ini mengajar kita tentang makna kehilangan, perpaduan dan kesabaran," titah baginda.
   
Mengenai pembangunan, baginda gembira kerana Perlis memenuhi sebahagian besar indikator utama berasaskan piawaian antarabangsa untuk diiktiraf sebagai negeri maju.
   
"Dalam hubungan ini beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam yang bekerja keras dan ikhlas membantu menjayakan cita-cita ini dan berharap agar usaha ini dipertingkatkan bagi memastikan Visi Perlis Maju 2015 tercapai," titah baginda.
 
Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan agar program-program pembangunan yang dirancang disiapkan mengikut jadual.
   
Baginda mahu konsep persyarikatan Malaysia dilaksanakan secara lebih bersepadu untuk pembangunan ekonomi yang lebih mapan.
 
Kerajaan negeri juga harus berusaha lebih gigih menarik pelaburan asing dan swasta untuk melabur dan menjadi pemangkin pembangunan Perlis, titah baginda.
   
Baginda meyambut baik perancangan kerajaan negeri untuk mengubah landskap ekonominya termasuk pembukaan kawasan pertumbuhan baru di Lembah Chuping, bandar maritim Kuala Perlis serta pembangunan semula Sungai Perlis dan produk-produk pelancongan di negeri ini.
   
Baginda juga menyarankan agar kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap penggunaan teknoloji hijau dalam usaha memelihara alam sekitar dan sebagai contoh menggunakan teknologi solar di bangunan-bangunan baru milik kerajaan.
   
Dalam sektor pelancongan, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kerajaan negeri wajar menggalakkan pelancongan berasaskan sukan seperti mini marathon, sukan air dan basikal lasak sebagai acara tahunan untuk meningkatkan industri tersebut.  - Bernama

Teguran Tun M tak semesti dipersetujui


19 Ogos 2014

KUALA LUMPUR - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhak untuk menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak semestinya pandangan itu dipersetujui.
   
Menegaskan demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Dr Mahathir dikenali sebagai seorang yang mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri serta tidak lokek dalam memberi teguran kepada kepimpinan negara.
   
Hishammuddin bagaimanapun secara peribadi berpendapat teguran itu seharusnya dinilai dengan melihat prestasi dan cara Najib melaksanakan tanggungjawabnya.
   
"Sebagai contoh, jika kita mengambil kira apa yang dilakukan Najib dalam insiden MH17, saya tahu tidak ramai pemimpin di luar sana yang mampu lakukan apa yang telah Najib lakukan.
   
"Sekiranya Najib tidak mengambil pendirian yang berani untuk berdepan dengan pihak pemisah hari itu, tidak mungkin saya dapat berdiri di sini untuk menguruskan jenazah kembali ke tanah air," katanya.
 
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat kepada editor kanan berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di sini, hari ini.
   
Hishammuddin berkata adalah sesuatu yang menyedihkan jika usaha yang dilakukan Najib dalam memastikan keadilan kepada mangsa dan anggota keluarga pesawat MH17 itu gagal dinilai orang ramai.  
   
Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
   
Mayat mangsa diambil oleh puak pemisah dan Najib mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kumpulan itu yang kemudiannya bersetuju untuk memulangkan mayat kepada kerajaan Belanda.  
   
Hishammuddin seterusnya menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengaibkan pandangan Dr Mahathir.
 
Semalam, Dr Mahathir membuat kenyataan menarik balik sokongan kepada Najib kerana mendakwa prestasinya lebih buruk daripada perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
   
Perkara itu dinyatakan di blognya www.chedet.cc dan Dr Mahathir berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menegur kepimpinan negara, kerana sayang kepada bangsa dan negara. - Bernama

Adun diminta jaga tingkah laku


MOHD IDROS MOHD ALI, MOHAMD FAKHRI MOHD ALI
19 Ogos 2014


KANGAR - Adun perlu menjaga apa jua tindakan dan perlakuan kerana ia akan sentiasa menarik perhatian umum.

Oleh itu, mereka seharusnya mengamalkan nilai murni dalam setiap tindakan dan perlakuan agar menjadi contoh kepada masyarakat.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah ia penting agar mereka dapat  memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri.

"Sebagai ahli dewan negeri yang mulia ini, yang berhormat hendaklah mematuhi peraturan tetap dewan negeri semasa bersidang supaya ia berjalan dengan teratur dan sempurna.

"Ia juga dapat memupuk penuh rasa hormat menghormati antara satu sama lain," titahnya ketika merasmikan penggal kedua Dun Perlis di sini, hari ini.

Turut hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang menjalankan amanah rakyat dan mentadbir negeri ini dengan baik sepanjang tempoh satu tahun yang lalu.

"Beta berharap semua yang berhormat dapat terus bekerjasama dengan kepimpinan negeri.

"Semua wakil rakyat perlu menggandakan lagi usaha dan inisiatif demi faedah dan kesejahteraan rakyat," tittahnya. 

Abdul Khalid jadi tumpuan media


  • Abdul Khalid IbrahimAbdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menjadi tumpuan media setelah dua hari tidak kelihatan memasuki pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu sejak awal pagi di lobi bangunan itu.

Menteri besar itu bagaimanapun meluangkan masa menghadiri program persidangan integriti anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Abdul Khalid sempat memohon maaf kepada peserta persidangan yang turut terkena 'tempias' perhatian pihak media kepada beliau.

Beliau berkata:"Bagi saya, ia (perhatian pihak media) tidak mengapa kerana saya telah memutuskan untuk menjadi seorang ahli politik. Jadi, saya terpaksa menerimanya.

"Bagi anda, saya minta maaf kerana turut menerima tempias perhatian (oleh pihak media). Ini juga kita boleh katakan harga sebuah integriti," katanya. 

Dalam ucapannya itu, Abdul Khalid menyentuh pentingnya sebuah kerajaan negeri menjaga amanah dan kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan memetik sebuah hadis yang berkaitan.

Kandungan ucapan itu seolah-olah menggambarkan situasi yang dihadapi beliau dengan pemecatannya daripada PKR kerana enggan mematuhi arahan parti supaya memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya.

Abdul Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, tampil dalam program itu selepas dilihat tidak menghadiri sebarang program sejak Khamis lepas.

Tindakan beliau yang turut enggan menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media di akhir acara juga dilihat seakan akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta beliau tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman sehingga baginda pulang ke tanah air pada 27 Ogos. - Bernama

Dua anggota polis dua dipenggal, dicacatkan


  • mahkamah

KOTA KINABALU - Enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac tahun lepas ditemui dalam keadaan mengerikan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
  
Pegawai Penyiasat Inspektor Jamirin Kintai, antara anggota pasukan yang bertanggungjawab mengeluarkan mayat anggota polis berkenaan dari Kampung Simunul, Semporna pada  6.45 petang pada 3 Mac tahun lepas, berkata dua daripada mangsa telah dipenggal dan dicacatkan.
  
"Sarjan Baharin Hamid dicacatkan dengan otak dan mata kanan hilang daripada tengkorak dan terdapat kelaran pada mukanya.
  
"Leher Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran pula telah dipenggal dan terdapat luka pada badan, kulit dan dagingnya. Mukanya telah dikoyakkan dan hanya kelihatan tulang muka," katanya.
  
Jamirin juga memberitahu mahkamah bahawa leher Lans Koperal Salam Togiran "hampir putus dengan kepalanya hanya melekat pada tubuhnya oleh beberapa inci kulit pada lehernya."

Kesan kelaran terdapat pada kepala dan badan Sarjan Abdul Aziz Sakiran dan Superintenden Ibrahim Lebar, manakala ASP Michael Padel mengalami kecederaan pada bahu dan dada, katanya.

Semasa pemeriksaan balas, Jamirin berkata beliau mendapati insiden melibatkan enam anggota polis itu ada kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari tahun lepas.

Sementara itu, Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil memberitahu mahkamah bahawa tiga daripada tertuduh telah dinamakan dalam pintasan komunikasi dilakukan di Bukit Aman dari 14-17 Feb tahun lepas berhubung pencerobohan di Lahad Datu.

Beliau mengenal pasti tertuduh berkenaan sebagai Salib Akhmad Emali, Julham Rashid dan Al Wazir Osman alias Abdul.   

Katanya lapan nombor telefon bimbit telah dipintas, dengan tiga nombor iaitu 019-5398122 digunakan Salib Akhmad; 012-8384472 digunakan Julham dan 014-6774272 digunakan individu dikenali sebagai 'Imam Tua' dan kemudiannya dikenal pasti sebagai Al Wazir, adalah paling aktif berkomunikasi dengan satu lagi nombor 014-2847213, digunakan oleh seseorang dikenali Raja Muda Agbimuddin.

"Bagaimana anda tahu nama-nama individu ini?" soal Timbalan Pendakwa Raya  Datuk Abdul Wahab Mohamed.   

Mohamad Hasnal: "Kami telah memantau komunikasi pengguna nombor berkenaan dan nama mereka disebut."

Pegawai Cawangan Khas itu memberitahu mahkamah beliau telah diarahkan oleh Allahyarham Ibrahim untuk terbang ke Lahad Datu pada 18 Febuari tahun lepas untuk menjalankan tugas pengawasan terhadap tiga individu itu selama seminggu bermula 19 Febuari.

Katanya pada 25 Feb tahun lepas, beliau memberi taklimat kepada pegawai polis Asisten Superintendan Noraidin Awang Maidin, di Balai Polis Tungku di Lahad Datu untuk  menahan Salib Akhmad di Ladang Kelapa Sawit Abadi Emas di Tungku.

Pada 1 Mac tahun lepas, katanya beliau memberikan maklumat berkaitan di Balai Polis Semporna untuk menahan Julham di Kampung Pangkalan Badai, Kunak dan Al Wazir di Semporna.

Salib Akhmad, Julham dan Al Wazir menghadapi pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.

Salib Akhmad juga menghadapi pertuduhan merekrut anggota untuk kumpulan pengganas.

Mereka merupakan antara 30 tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan bagi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Febuari dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - Bernama

Pancaroba

Subhanallah.. Kuasa Allah, Ikan gergasi terdampar di KG Forest, Sandakan, Sabah.

100 Tahun Dihidupkan Kembali: Kisah Nabi Uzair a.s


Nabi Uzair a.s, adalah seorang Nabi yang pernah Allah matikan selama 100 tahun dan kemudian menghidupkannya kembali. Nabi Uzair a.s telah keluar daripada kampungnya pada umur 40 tahun kemudian dalam perjalanan bersama keldainya dia telah berehat di bawah sepohon pokok berdekatan dengan tanah perkuburan. Dia terlalu asyik berfikir berkenaan dengan bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang yang telah mati.

Lalu, Allah SWT memerintahkan kepada malaikat maut agar mencabut rohnya sedangkan keldai itu masih terikat di situ sehingga mati kelaparan. Dia dimatikan selama 100 tahun. Ramai kaum kerabat dan orang-orang kampung yang mencarinya namun mereka berputus asa, isterinya menangis dengan sangat lama akan kehilangannya.
Kemudian, pada 100 tahun selepasnya, Nabi Uzair a.s dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Apabila dia terjaga daripada tidurnya, dia hanya merasakan bahawa dia tertidur sejak waktu zohor sehingga waktu hendak masuk maghrib. Lalu Allah SWT mengutuskan malaikat. Malaikat yang diutuskan bertanya kepada Nabi Uzair a.s “Berapa lama kamu tidur di sini?
Nabi Uzair menjawab; “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Kemudian malaikat bersuara “Sebenarnya engkau tinggal di sini selama seratus tahun lamanya.” Nabi Uzair a.s merasa sangat hairan dan semakin bertambahlah imannya kepada Allah SWT.
Kemudian malaikat menunjukkannya kepada makanan yang telah dia bawa bersama sebelum ini. Makanan itu juga masih sama berada di keadaannya. Kemudian Nabi Uzair a.s melihat kepada keldainya yang telah mati. Seterusnya, Nabi Uzair a.s memerhatikan kepada keldai itu. Keldai tersebut dihidupkan oleh Allah SWT kembali dengan proses pengembalian otot-otot saraf daging kepada tulang belulangnya kemudian terbentuklah tulang dan rambut.
Setelah itu, roh keldai itu diperintahkan oleh malaikat agar kembali kepada keldai tersebut dan kemudian keldai tersebut bangun berdiri. Nabi Uzair a.s menyaksikan sendiri kejadian itu lalu dia telah mengetahui bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang-orang yang mati yang telah menjadi tulang belulang dan tanah. Setelah melihat kejadian tersebut Nabi Uzair berkata “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Nabi Uzair a.s kemudiannya menunggangi keldainya dan kembali semula ke kampungnya. Namun dia melihatkan suasana yang sangat berbeza daripada keadaan kampung yang telah ditinggalkannya sebelumnya. Rumah-rumah banyak telah berubah dan manusia banyak yang tidak dikenali dan tidak pula ada yang mengenalinya. Kemudian, dia mencari seorang lelaki dan perempuan yang telah tua yang berkemungkinan mengenalinya.
Setelah mencari, dia bertemu dengan seorang perempuan tua yang telah uzur, dia bertanya sama ada perempuan itu mengenal Uzair. Kemudian perempuan itu menangis dan mengatakan bahawa Uzair telah pergi hilang selama 100 tahun yang lalu. Kemudian Nabi Uzair a.s mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi Uzair. Maka, wanita itu mengatakan kepadanya bahawa jika benarlah dia adalah Nabi Uzair maka berdoalah kepada Tuhan agar memulihkan penglihatan matanya dan sihatkan dia agar dia dapat mengenali Nabi Uzair.
Maka Nabi Uzair a.s memohon kepada Allah SWT. Lalu Allah SWT memperkenankannya dan wanita itu sihat dan mengenali Nabi Uzair a.s sehinggakan dia berlari keluar dengan memberitahu semua orang bahawa Nabi Uzair telah kembali sehingga masyarakat di situ menganggapnya gila.
Setelah itu, diadakan pertemuan di antara para alim ulama. Majlis itu turut dihadiri oleh cucu kepada Nabi Uzair a.s yang telah berumur 70 tahun sedangkan Nabi Uzair a.s tetap berumur 40 tahun sama seperti dia keluar daripada kampungnya dahulu.
Daripada perbincangan yang dijalankan ada seorang yang pandai bertanya bahawa dia mendengar daripada mereka-mereka yang hidup terlebih dahulu bahawa Nabi Uzair a.s adalah seorang Nabi yang menghafal kitab Taurat. Mereka telah kehilangan kitab tersebut sewaktu peperangan Bukhtunnashr.
Dalam peperangan tersebut, pihak musuh telah membakar dan membunuh para ulama yang menghafal kitab suci itu. Kemudian dia berkata, “Seandainya engkau menghafal taurat. Maka kami akan percaya engkau adalah Uzair.”

*Sumber dari inan-naurah.blogspot.com

Berapakah Gaji Khalifah Islam?


Ketika diangkat sebagai khalifah, sehari selepas Abu Bakar ra dilihat berangkat ke pasar dengan barang dagangannya. Umar kebetulan bertemu dengannya di jalan dan mengingatkan bahawa di tangan Abu Bakar sekarang terpikul beban negara yang berat. "Mengapa kau masih pergi ke pasar untuk menguruskan perniagaan? Sedangkan negara mempunyai begitu banyak permasalahan yang harus diselesaikan ... "kata Umar. 
Mendengar kata Umar itu, Abu Bakar tersenyum. "Untuk mempertahankan hidup keluarga," ujarnya ringkas. "Maka aku harus bekerja." 
Kejadian itu membuat Umar berfikir. Maka dia bersama sahabat yang lain berunding dan mengira perbelanjaan rumah khalifah seharian. Kemudian mereka menetapkan gaji tahunan 2500 dirham untuk Abu Bakar dan secara beransur-ansur ditambah menjadi 500 dirham sebulan. Jika ditukar pada ringgit, maka gaji Khalifah Abu Bakar hanya lebih kurang RM 2000 dalam setahun .Sekadar maklumat, nilai dirham tidak pernah berubah. 
Walaupun gaji khalifah sebesar itu, Abu Bakar tidak pernah mengambil seluruhnya gajinya. Pada suatu hari isterinya berkata kepada Abu bakar, "Aku ingin membeli sedikit manisan." 
Abu Bakar menyahut, "Aku tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya." 
Isterinya berkata, "Jika engkau izinkan, aku akan cuba untuk menjimatkan wang belanja kita sehari-hari, sehingga aku dapat membeli manisan itu." 
Abu Bakar menyetujuinya. 
Maka mulai saat itu istri Abu Bakar menabung sedikit demi sedikit, mengasingkan wang belanja mereka setiap hari. Beberapa hari kemudian wang itu berjaya dikumpulkan untuk membeli makanan yang diinginkan oleh isterinya. Selepas wang itu dikumpul, isterinya menyerahkan wang itu kepada suaminya untuk membelikan bahan makanan tersebut. 
Namun Abu Bakar berkata, "Nampaknya dari pengumpulan ini, jelas wang faedah yang kita peroleh dari Baitul Mal itu melebihi keperluan kita." Lalu Abu Bakar mengembalikan lagi wang yang sudah dikumpulkan oleh isterinya itu ke Baitul Mal. Dan sejak hari itu, wang faedah beliau telah dikurangkan sejumlah wang yang dapat dihemat oleh isterinya. 
Ketika wafatnya Abu Bakar hanya mempunyai sebuah cadar usang dan seekor unta yang merupakan harta negara. Ini pun dikembalikannya kepada penggantinya, Umar bin Khattab. Umar pernah berkata, "Aku tidak pernah mengalahkan Abu Bakar dalam beramal soleh."
*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

MAS dalam program ‘bellyup' dan 'bailout' raksasa


DR DZULKEFLY AHMAD | .
Akhirnya apa yang diwawarkan sedkit waktu dahulu  tentang MAS akan berlaku ..satu proses pemikiliknegaraan atau 'Renationalisation' sebelum dilakukan 'Penstrukturan Semula' dalam satu execise “Penyelamatan” atau “Bailout” yang raksasa.

Pemilik utamanya Khazanah Nasional Berhad yang memegang 69% sahamnya, tekad membuat 'Tawaran Awam' di Bursa bagi membeli selebihnya saham MAS yakni 31% itu dengan harga tawaran 27 sen sesaham berjumlah RM1.4 bilion. Harga pasaran kini, dengan nilai asset semasa, dikatakan dalam anggran 25 sen satu saham.

Dengan itu Khazanah bersedia membawa MAS keluar Bursa dan kembali sebagai entiti yang dimiliknegerakan.

Tawaran ini adalah dianggap baik bagi pelabur jangka pendek yang sempat membeli sahamnya selepas tragedi MH370 pd harga 15 sen. Bagi ‘stakeholders’ atau pelabur ‘jangka panjang’ mereka mengalami kerugian besar pastinya.

Harga saham MAS pernah mencecah RM8 sesaham sebelum penswastaan 20 tahun yg lalu. Gurauannya, anda perlu 7 saham MAS untuk membayar secawan nescafe tarik.

Setelah dinyahsenarai MAS (nyahsenarai), Khazanah berdepan dengan tuntutan kos operasi yg tinggi. Khazanah pastinya perlu menyuntik dana baru untuk meneruskan khidmat MAS sebelum langkah 'penstrukturan' dapat dijayakan.

Seperkara lagi adalah tentang kos pinjaman. MAS tidak akan lagi dapat meminjam dengan penarafan Khazanah.Peningkatan kos akan dipindahkan kpd pelanggan.Sekaligis akan mengurangkan daya saing MAS.

Pastinya juga Khazanah memerlukan 'rakan baru' bukan sahaja utk membayar hutang MAS berjumlah RM10 bilion kpd bank-bank tempatan dan RM2.5bilion dlm bentuk sukuk kpd KWAP atau Kumpulan Wang Amanah Pencen.

Disamping itu MAS telah menjalankan tiga kali suntikan dana samada dari ‘stakeholders’ utamanya yakn Khazanah atau menerbitkan ‘right issue’ sekaligus mengurangkan ‘earning per share’ setiap pemegang saham MAS ini. Sejumlah RM7.25 bilion dijana dalam 7 tahun lalu, dalam pelbagai langkah penjanaan dana ini, terakhir pada Mei tahun lalu (RM3.25 bilion).

Siapa bakal jadi rakan strategik MAS masih tinggal tandatanya. Tidak mudah mencari rakan yang benar-benar memilikki kekuatan sinergi; keupayaan dana, kepakaran teknikal dan strategi bisnes serta pengalaman dan cakupan pengaruh yang luas dan berkesan.Ini adalah antara faktor kritikal kejayaan bagi program pemulihan MAS yang pernah menggondol pelbagai anugerah dan pingat kecemerlangan pekhidmatan antarabangsa.

Yang pastinya pihak kreditor yang menagih hutang berdepan hakikat mereka akan diminta mengambil "hair-cut" atau diskaun. Mereka juga mungkin terpaksa menerima bayaran hutang dalam bentuk pertukaran saham  atau ‘debt-equity swap’.

Umum telah mengetahui akan kerugian MAS diantara 2011 dan 2013 sebanyak RM5 bilion dan RM443 bilion pada suku pertama tahun 2014 ini dan para analyst hanya memberikan 6 bulan utk beroperasi dengan jumlah tunai semasa yang ada. Lebih mudah, mengikut telahan para ‘analysts’, seperti pernah juga saya tuliskan, supaya MAS dizinkan ‘belly-up’ atau mudahnya, ‘dibankrapkan’ bagi memulakan satu era baru. Mungkin ia pelik bunyinya, namun langkah tersebut bukanlah satu yang anih dalam dunia korporat.

MAS dan bersih sebagai satu ‘clean solution’ dan kesemua ‘kontrak dan komitmen lama’ yang tempang dan berat sebelah akan berakhir. MAS akan bebas dari menanggung ‘baggages’ atau ‘legasi buruk dan beban lama’.

MAS mesti dibankrap dahulubsebeljm dibawa keluar Bursa.ii mengekalkan ketelusannpenjialan aset dsbnya. Kemudian MAS bermula seolah-olah sebagai entiti bisnes baru dan mengorak langkah baru, meneruskan legasi baiknya namun terhindar dari memikul biawak-biawak dalam amalan ‘kronime and nepotisme’ yang merosakkan sistem penerbangan negara yang penah dibanggai semua rakyat!

Tragedi MH370 dan terkini MH17 yang berlaku senggang 4 bulan tidak pernah berlaku dalam sejarah avionik moden di dunia.Dampak kewangannya buman kepalang. Memulih keyakinan dan sentimen pelanggan tentunya memakan tahun.

Sedikit pengamatan penulis, untuk terus survive and menjadi satu entiti bisnes yang punya daya saing, MAS perlu mengambil perhitungan dan tindakan berikut:

Menjalankan satu review yg komprehensif dan mendalam bagi menangani aspek-aspek polisi, dasar dan strategi perniagaan dan struktur organisasi. Lebih khusus lagi:

A. Mengatasi permasalahan pengurusan yg tidak cekap dan berkesan di segi ‘Menajamkan Akumen Strategi Bisnes bagi menangani cabaran persaingan sengit perkhidmatan ‘routes’ serta kawalan kewangan dan pelaburan-perolehan supaya produktif dan berpulangan tinggi.

B. Menghentikan campurtangan politik yang menyiksa pengurusan..’Political Interference’ yg menganggu kelancaran pengurusan di segi pengambilan, perlantikan dan kenaikan pangkat serta khususnya di segi pemberian kontrak servis dan perbekalan yang 'berat sebelah' serta membebankan kewangan dan mengungtungkan kroni.

C.Mengimbangi peranan dan tekanan kesatuan sekerja yg ditanggapi terlalu kuat dan tidak membantu pencapaian prestasi dan keefisienan sistem pengurusan. Peranan mereka mesti diolah dan ditala bagi memperkukuhkan MAS dan tidak sebaliknya.

* Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Najib bakal berdepan pertempuran dalaman Umno


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja gagal memecahkan hubungan PAS dan PKR terutama dalam konflik di Selangor tetapi turut berhadapan dengan perpecahan dalaman parti beliau sendiri, Umno.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuktikan pentadbiran Najib kini berhadapan dengan masalah dalaman yang amat serius.

"Dalam banyak pertempuran dalaman Umno yang melibatkan Dr Mahathir, biasanya kemenangan akan memihak kepada bekas Perdana Menteri itu.

"Ini jelas memberi gambaran pentadbiran Najib bukan sahaja ada perpecahan dalaman tetapi turut berdepan masa depan yang agak suram," katanya.

Ujar beliau, Najib mengharapkan kejatuhan Pakatan Rakyat di Selangor dalam isu membabitkan jawatan Menteri Besar.

Namun, katanya lagi percaturan terbaik dilakukan Pakatan Rakyat, khususnya PAS dalam membuat keputusan menjadikan Pakatan Rakyat lebih kuat dan sefahaman berbanding sebelum ini.

"Kita di dalam Pakatan Rakyat bertambah kuat, tetapi Najib kini berada dalam keadaan serba salah sama ada ingin mengikut kata Dr Mahathir atau meneruskan dasar tranformasinya," sambung beliau.

Suhaizan turut meminta agar Pakatan Rakyat mengambil peluang di sebalik perpecahan di dalam Umno sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

"Masa tiga tahun cukup singkat untuk Najib, pasti Dr Mahathir akan meneruskan serangan lagi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan lagi menjadi umpan untuk rakyat.

"Ini belum lagi kemarahan rakyat yang terpaksa menghadapi kenaikan harga barang dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Peluang ini harus diambil Pakatan Rakyat untuk kita hadapi PRU14 nanti dan menafikan Barisan Nasional di Putrajaya sebagai usaha kita mengembalikan hak rakyat," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 19/8/2014

Mahathir 'pukul' Najib tapi sindir MT Umno


NAZRI ABDULLAH | .
KUALA LUMPUR: Kritikan terbuka Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya bukan sahaja kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, tetapi juga Majlis Tertinggi (MT) Umno secara keseluruhan.

Setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin, berkata seluruh MT Umno sewajarnya memahami bahawa kritikan tersebut sebenarnya ditujukan kepada mereka selaku pemutus dasar parti.

Ini kerana katanya, amalan dan dasar yang dipakai adalah 'parti menguasai kerajaan' dan MT Umno adalah badan penasihat kepada Najib.

"Dr Mahathir tak nak cakap (terus terang) sahaja sebenarnya. Kalau ikutkan, dia nak cakap suruh MT Umno berhenti sahaja lah.

"MT tidak berfungsi. Najib tak pernah ditegur oleh MT. Ramai orang berkepentingan di dalamnya dan takut untuk menegur Najib," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Mahathir terhadap Najib melalui blognya semalam.

Dalam tulisan itu Mahathir menyatakan beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga berkata, terpaksa terus menegur Najib kerana tidak ada pemimpin yang berani menegur Perdana Menteri itu.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima," kata beliau dalam blognya chedet.cc.

Feudal dalam Umno

Mengulas lanjut, Zaharin yang pernah dipecat keahlian dua kali dari Umno berkata, budaya feudal masih kuat dalam Umno dan ianya menjadi faktor mengapa orang bawah takut untuk menegur pemimpin atasan.

"Ini budaya dalam Umno, tak boleh lawan bos. Kalau tegur, kena tulah jadi derhaka, tak dapat projek.

"Ini mentaliti feudal bersubsidi yang bukan sahaja sebati malah sudah berdaki dalam Umno.

"Saya berusaha untuk buang tapi tidak berjaya. Dua kali saya buat (tegur), hasilnya saya dipecat," katanya.

Beliau pernah dipecat pada 1996 ketika zaman Mahathir yang kemudian diterima semula pada 1998.

Ketika Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau sekali lagi dipecat pada tahun 2006 dan kemudian diterima semula pada 2009 selepas Najib menjadi Presiden Umno.

Beliau juga aktif menulis isu politik tanah air, dan mengkritik pedas dasar kerajaan di blog beliau zaharinmy.blogspot.com dengan nama pena 'Sang Kelembai'.

- HARAKAHDAILY 19/8/2014

Mahathir tegur, bagaimana jika Najib tak mahu berubah


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Jika diperhalusi apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamnad ialah beliau hanya mahukan Datuk Seri Najib Razak berubah.

Beliau tidak mungkin ada maksud lain kerana tiada apa-apa lagi yang kurang dalam hidupnya, tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, walaupun semua musuh-musuh politik Mahathir sebelum ini berakhir dengan penyingkiran atau perletakan jawatan, dalam usia mencecah 90 tahun ini beliau barangkali juga sudah letih dengan agenda menamatkan karier seseorang yang tidak sehaluan dengannya.

"Agenda beliau kali ini hanyalah mahukan Najib berubah, keadaan negara menjadi lebih baik dan BN terus memerintah negara ini.

"Soalnya, mahukah Najib berubah?" tanya beliau.

Tulisan penuh seperti di bawah.

Tulisan Mahathir di blognya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak dan mengumumkan penarikan balik sokongan yang diberikannya selama ini, pasti akan mencetuskan krisis baru dalam UMNO. Setelah PR berjaya menyelesaikan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor baru-baru ini, virus perpecahan nampaknya merebak kepada UMNO pula.

Susulan pendirian terbarunya itu, Mahathir malam tadi menjelaskan, apa yang dilakukannya kini bukanlah bertujuan mahu memaksa Najib meletakkan jawatan, sebaliknya hanya kerana tidak bersetuju dengan beberapa polisi kerajaan yang tidak menguntungkan negara yang dilakukan Perdana Menteri.

"Ini juga bukan isu peribadi. Apa yang dilakukan Najib tidak memanfatkan negara...ketegangan kaum dan agama meningkat dan orang tidak lagi hormat kepada Perlembagaan negara.

"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respons, senyap...ada masalah tapi tidak mengambil tindakan," demikian Mahathir menghuraikan pendiriannya.

Jika diperhalusi apa yang dilakukan Mahathir ini ialah beliau hanya mahukan Najib berubah. Beliau tidak mungkin ada maksud lain kerana tiada apa-apa lagi yang kurang dalam hidupnya. Walaupun semua musuh-musuh politiknya sebelum ini berakhir dengan penyingkiran atau perletakan jawatan, dalam usia mencecah 90 tahun ini beliau barangkali juga sudah letih dengan agenda menamatkan karier seseorang yang tidak sehaluan dengannya.

Agenda beliau kali ini hanyalah mahukan Najib berubah, keadaan negara menjadi lebih baik dan BN terus memerintah negara ini.

Soalnya, mahukah Najib berubah?

Dan bagaimana pula kalau Najib tidak mahu berubah?

Sejak dari awal mengambil alih tampuk kerajaan pada 2009, perkataan berubah adalah sering menjadi basahan mulut Najib. Beliau selalu memperingatkan agar semua peringkat UMNO segera berubah, jika tidak mahu rebah. Malangnya dalam banyak tindakan yang dilakukannya, perubahan yang diharapkan terlalu minima. Malah Najib juga banyak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh Abdullah Badawi.

Meskipun keputusan pilihanraya 2013 menyaksikan reputasi BN lebih teruk daripada 2008, Najib terlihat kukuh dalam persada UMNO berikutan beliau pandai menjaga Ketua-Ketua UMNO bahagian seramai 191 orang dengan tawaran jawatan, kedudukan dan projek. Sebab itu, tidak hairan Najib mempunyai kabinet paling besar, puluhan penasihat bertaraf menteri daripada kalangan pimpinan UMNO, manakala selebihnya diberikan kedudukan dalam agensi, GLC dan sebagainya.

Teguran kepada Najib pada umumnya boleh didengar di mana-mana selain daripada kelompok pemegang jawatan utama dalam UMNO bahagian-bahagian. Mahathir, Daim dan lain-lain bekas pimpinan juga turut banyak memberi teguran tetapi oleh kerana Najib beranggapan semua teguran itu tidak mampu menggugat kedudukannya yang sudah dibentengi oleh lebih 80 peratus daripada 191 Ketua-Ketua UMNO bahagian itu, semua teguran itu tidak pernah dipedulikannya.

Barangkali bagi Najib, tegur dan kritiklah sebanyak mana pun, selagi majoriti Ketua-Ketua UMNO bahagian tidak berpaling tadah, beliau akan terus kekal berpejabat di Perdana Putra serta tidur lena di Seri Perdana.

Lantaran itu, kebarangkalian untuk Najib berubah sangat tipis sebenarnya. Najib lebih mementingkan idea-idea daripada puluhan penasihat, pegawai dan konsultan yang mengelilinginya daripada mendengar suara akar umbi yang mengkritik dan menjerit mengenai perubahan ke telinganya.

Banyak kali juga, atas kepercayaan yang sama, teguran, pandangan serta krtikan daripada Mahathir yang menyayanginya selama ini turut tidak diendahkan. Beliau hanya senyap, tiada respons dan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Sebenarnya, inilah masalah Najib.

Dengan keadaan ini dan Mahathir pula sudah mengumumkan akan terus menegur dan bersuara walaupun sehingga akhirnya beliau tinggal keseorangan, Najib akan berhadapan dengan dua musuh yang nyata ialah PR yang masih bernafsu tinggi untuk menumbangkan UMNO dan BN serta kumpulan Mahathir yang mungkin semakin membesar daripada masa ke semasa.

Jika hambatan PR terpaksa dihadapi secara politik dalam pilihanraya, cabaran Mahathir hanya boleh dilenturkan jika Najib sedia membuat pengakuan untuk berubah, tidak lagi lembut, cepat respons, pantas bertindak bila ada masalah dan yang tidak kurang pentingnya ialah lebih mendengar pandangan daripada bekas Perdana Menteri itu.

Kalau tidak, Najib terpaksa menahan hati dan telinga daripada mendengar teguran dan kritikan Mahathir dengan lebih kerap lagi. Meskipun Mahathir mengatakan tegurannya bukan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, tetapi kekerapan dan kelantangannya bersuara secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada Anwar dan PR dalam pilihanraya umum yang tidak sampai empat tahun daripada sekarang.

Andainya BN tewas dalam, tentulah yang lebih dipersalahkan ialah Najib kerana enggan untuk berubah walaupun sering diperingatkan untuk berbuat demikian.

Sebagaimana Mahathir tidak pernah tewas dalam menumbangkan musuh-musuh politiknya sebelum ini, kali ini pula beliau meletakkan beban yang lebih berat kepada Najib.

Najib tidak boleh diam lagi kali ini.

CEO MRT letak jawatan serta-merta


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Berikutan insiden kemalangan di tapak pembinaan yang meragut tiga nyawa semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid hari ini mengumumkan meletakkan jawatan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat pada satu sidang media di Sungai Buloh hari ini.

"Sebagai ketua MRT Corp, saya mengambil tanggungjawab peribadi dan ini adalah perkara yang seharusnya dilakukan.

"Saya telah memaklumkan kepada Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai keputusan saya itu," katanya sambil menyatakan kekesalan di atas apa yang berlaku.

Azhar dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif MRT Corp pada 1 September 2011.

Dalam insiden malam tadi, tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Kota Damansara.

- HARAKAHDAILY 19/8/2014

Pancaroba

Gua rock, tapi sokong ulama


http://buanadunia.blogspot.com | .
Saya hanya seorang hamba Allah yang daif di sisi-Nya. Hamba Allah yang banyak dosa, tidak pantas untuk memberi nasihat pada teman-teman. Namun, justeru sayangkan kalian dan apa yang diperjuangkan, izinkan saya berkata-kata.
 
Sabarlah dan beristiqamahlah, teman-teman pimpinan PAS di semua peringkat. Jangan mundur walau apa sahaja mehnah yang menerjang. Usah gentar dengan segala taburan fitnah dan adu domba. Bukankah Rasulullah SAW memberi ingatan: "Bersabarlah, menang atau syahid."?
 
Janji-Nya Maha Benar. Manusia bukan penentu dan redha manusia itu hantu. Nyawa PAS bukan di tangan manusia. Bukan pada banyak atau sikit kerusi di Dun dan Parlimen. Hanya Allah penentu segala. Usaha dan bergerak menuju matlamat tetap wajib diteruskan.
 
Saya? Ya, saya Web Sutera yang mengenali erti sebuah perjuangan dan hasrat molek untuk memartabatkan Islam di persada Malaysia. Saya, lelaki yang dilahirkan dengan didikan agama oleh bonda dan ayahanda, mereka memberi makna bahawa PAS bukan sekadar nama. Nama apa pun, ia sekadar wahana. Paling utama Islam.
 
Apa yang digembar-gembur sebagai 'perselisihan ulama dan profesional’ hanyalah doktrin musuh-musuh. Mengapa harus terperangkap, wahai pejuang? Semua Islam. Maju terus! 
 
Saya mantan Mat Metal dan hard rocker. Saya tetap sokong ulama, walaupun saya rock!
 
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.

Bukankah Najib pernah mengaku jumpa Saiful?


http://greenboc.blogspot.com | .
 
 
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Laluan Bukit Putus, Hasan Malek perlu bertindak


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Negeri Sembilan meminta Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek selaku wakil rakyat bertaraf menteri memanjangkan masalah kesesakan laluan Bukit Putus ke Parlimen.

Ketuanya, Nor Azman Mohamad berkata ini memandangkan bidang kuasa menaik taraf jalan itu di bawah pemantauan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada tajuk utama Sinar Harian bertarikh hari ini "Sosak Sampai Bilo?" berhubung isu jalan raya utama Seremban-Kuala Pilah melalui Bukit Putus yang merupakan isu kebajikan rakyat dan ramai pengguna yang terlibat menggunakan laluan itu yang sewajarnya ia dipandang serius dan diambil tindakan.

Katanya, seperti yang sedia maklum, jalan baru Bukit Putus sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009 dengan harapan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di laluan lama Seremban-Kuala Pilah sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ia siap sempurna pada tahun tersebut, projek berharga RM109.5 juta dengan peruntukan khas Persekutuan itu yang terkenal dengan nama jolokan 'Laluan Sutera' ini juga pernah terbengkalai hampir dua dekad lamanya.

"Kami sedikit ragu dengan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu ini kerana kelewatan untuk menyiapkannya telah terbukti.

"Walaupun kita lihat pembukaan jalan raya baru secara rasionalnya dapat menjimatkan masa perjalanan dan menambahkan keselesaan tetapi sekarang yang berlaku sebaliknya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, jumlah pertambahan kenderaan dari masa ke semasa merumitkan keadaan terutama pada waktu kemuncak cuti hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

Oleh yang demikian, ujarnya menyedari bahawa isu ini berkait rapat dengan keselesaan pengguna dan kebajikan rakyat, pihaknya menegaskan agar pihak berwajib dapat mengambil inisiatif segera.

Di samping Ahli Parlimen Kuala Pilah itu, katanya Pemuda PAS negeri juga menyarankan agar pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil maklum balas pengguna jalan itu dengan menyempurnakan fasa kedua pembinaan dan penyambungan laluan ini (bermula dari kaki Bukit Putus hingga ke Terachi) dan menyegerakan fasa berikutnya iaitu perlebaran jalan dari Terachi menuju ke Kuala Pilah sepertimana yang pernah dimaklumkan sewaktu perasmiannya dahulu.

Tambahnya, walaupun menyedari bahawa fasa ini sedikit sebanyak telah bermula, pihaknya mendesak agar ia dipercepatkan bagi mengelakkan kesesakan terus berlarutan.

"DPPNS yakin sekiranya ia dapat diselesaikan dengan baik, kita akan dapat menyaksikan kawasan bahagian timur Negeri Sembilan membangun dengan pesat dan memberi peluang kepada pelabur serta orang ramai berurusan di bahagian timur Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah, Bahau dan Jempol kerana di kawasan berkenaan masih banyak lagi tanah yang belum dibangunkan," ujarnya lagi.

Tambahan pula, katanya jalan ini juga merupakan laluan penting untuk ke negeri Pantai Timur dan selatan Semenanjung seperti Pahang, Terengganu serta Johor. - HARAKAHDAILY 19/8/2014

Jadilah batu bata yang mengukuhkan


SITI ZAILAH MOHD YUSOF | .
Segala puji-pujian hanya  kepada Allah, Dewan Muslimat PAS Malaysia bersyukur  berakhirnya kemelut yang melanda apabila Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat telah membuat keputusan  mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat yang bersejarah itu sebulat suara bersetuju mencadangkan dua calon iaitu Dato'Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Yb Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, sekaligus menamatkan  spekulasi dan menjawab segala persoalan rakyat di semua peringkat.

Jentera muslimat berdiri teguh serta wala' dan taat menerima setiap keputusan yang kami yakin berasaskan kebijaksanaan, musyawarah dan istikharah kepimpinan.

Tuan Guru Presiden pernah menyebutkan, islam ini besar dan luas. Masing-masing ada penjuru, pastikan islam itu menang dipenjuru masing-masing. Bahtera kita besar dan pelbagai penumpang yang ada. Uruskan perbezaan dengan hikmah. Banyakkan muhasabah diri dan teruskan bergerak kehadapan mengajak masyarakat kembali kepada Allah s.w.t.

Kepada semua pimpinan PAS, PKR dan DAP disemua peringkat renungilah kata-kata Dato'Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

"Bila disebut Kelantan bukan negerinya tapi rakyatnya. Tumpuan utama pentadbiran ialah qalbu (hati) manusia. Kita mesti jaga qalbu (hati) manusia, kerana qalbu (hati) ini sengaja Allah s.w.t. ciptakan untuk diisi dengan yang buruk dan baik. Dengan kita jaga qalbu (hati) manusia, automatik terjaga habis, ekonomi manusia, sosial manusia, budaya manuia dan aqidah manusia...."

Semoga kita istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebajikan dalam platform demokrasi ini dan menjadi batu bata yang saling mengukuhkan.

Mesej khas kepada masyarakat, marilah kita sama- sama melihat  konflik ini dari pandangan yang positif. Ianya berlaku  untuk memilih kepimpinan berintegriti dan mampu memberi khidmat yang terbaik. Alhamdulillah, setakat ini Kerajaan Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah banyak membawa manfaat yang besar kepada rakyat.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

Artikel menghasut: Surendran mengaku tidak bersalah


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Padang Serai, N. Surendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerbitkan artikel menghasut berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
Surendran, 48, didakwa menerbitkan artikel bertajuk "Press Release: Court of Appeal's Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable" di pejabat Malaysiakini.com di No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, di sini pada jam 3.40 petang, 18 April lalu.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun ata kedua-duanya jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kemudian boleh dipenjara sehingga lima tahun.
  
Pada 7 Mac lepas, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
  
Panel tiga Hakim yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan itu.
  
Surendran, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebelum membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain berkata: "Tuduhan ini tidak berasas dan berunsur politik".
  
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes itu melibatkan kepentingan awam dan tertuduh juga merupakan seorang anggota Parlimen.
  
Peguam M. Puravelan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah jaminan yang munasabah iaitu RM3,000.
  
Mahkamah membenarkan Surendran dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Sept untuk pengurusan kes.
  
Surendran, membayar jaminan itu.
  
Semalam, Surendran hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk melaporkan diri selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya berhubung penerbitan artikel itu. - Bernama

Perlukah Najib lepas jawatan kerana teguran Mahathir?


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan yang beliau tidak menyuruh Datuk Seri Najib Razak berhenti, hanya tidak bersetuju dengan dasar-dasar Najib yang tidak memberikan keuntungan dan kebaikan kepada negara.

Justeru, bagi Aspan Alias semalam beliau menulis tentang kelemahan tindakan Mahathir sambil menyatakan yang jika Najib diberhentikan, siapa yang ada untuk menggantikan Najib dalam pemikiran dan pandangan bekas Perdana Menteri itu.

"Saya juga menulis yang selama ini semua pilihan Dr Mahathir itu akan akhirnya dipersalahkan oleh beliau sendiri," tulis beliau di dalam blognya hari ini.

Menurutnya, beliau menyebut itu kerana itu adalah hakikatnya, tetapi kenyataan yang Mahathir buat untuk menarik balik sokongan terhadap Najib itu tidak pula salah dan sememangnya Najib bertanggungjawab kerana beliau adalah failed leader kepada rakyat yang berbilang kaum ini.

"Saya menyebut itu dengan tujuan untuk kita memahami kenapa kita sentiasa disuakan dengan pemimpin yang tidak betul dan kena kepada kehendak rakyat dan negara.

"Hanya setelah kita memahaminya barulah kita mungkin dapat mencari penyelesaiannya yang baik supaya keadaan menyalahkan pilihan kita sendiri itu berulang lagi," tulisnya lagi.

Nasib MB baharu di tangan rakyat


  • Nasib MB baharu di tangan rakyat
 1 / 1 
WALAUPUN krisis kemelut jawatan menteri besar dilihat hampir ke penghujungnya, namun masalah ini belum tentu dapat diselesaikan dengan mudah.

Jika benar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu ditukar dan PR termasuk Pas setuju berhubung pertukaran ini, masih ada perkara yang akan menjadi penghalang.

Pertama, PR perlu menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempersembahkan sokongan majoriti dan memohon perkenan Sultan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor.

PR perlu mendapat persetujuan sultan terlebih dahulu sebelum melantik Wan Azizah sebagai pengganti Abdul Khalid.

Jika sultan tidak perkenan nama tersebut, PR perlu mencari pengganti yang dipersetujui sultan untuk menjadi menteri besar sama ada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ataupun pemimpin PR yang lain.

Bagaimanapun,  jika sokongan majoriti Adun Selangor lebih kepada Wan Azizah, adalah sukar untuk sultan menolak, tambahan pula tiada nama kedua dikemukakan oleh PR.

Jika Wan Azizah berjaya menggantikan Abdul Khalid, ini bermakna PR telah membuka satu episod baru dalam pentadbiran negeri di Malaysia, di mana, seorang menteri besar wanita pertama telah dilantik.

Lantik Wan Azizah selesaikah masalah? Belum tentu tidak, kerana PR perlu berdepan dengan persepsi rakyat yang menaruh harapan tinggi dalam pentadbiran baru ini. Rakyat akan meletakkan standard yang tinggi kepada Wan Azizah untuk terus memajukan Negeri Selangor dan mengekalkan kemakmuran ini dalam tempoh lebih lama.

Lebih-lebih lagi dalam meneruskan beberapa projek penting yang melibatkan kepentingan rakyat seperti perjanjian air dengan kerajaan pusat.


Tekanan untuk Wan Azizah

Disebabkan Selangor maju pada zaman pentadbiran Abdul Khalid sehingga mampu memperoleh wang rizab lebih RM3 bilion, pastinya menerusi pentadbiran Wan Azizah rakyat mahukan kemajuan seperti ini.

Wan Azizah akan menghadapi masalah jika gagal memenuhi pencapaian cemerlang Abdul Khalid dalam pengurusan kewangan.

Walaupun Wan Azizah mempunyai beberapa pemimpin PKR yang mampu menolongnya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ini belum tentu dapat mencapai prestasi cemerlang Abdul Khalid yang lebih bijak dalam menyimpan wang hasil negeri.

Malah, peralihan jawatan menteri besar yang dibuat semasa kerajaan negeri tidak stabil juga akan menjadi kesan utama kepada keberkesanan pentadbiran Wan Azizah dalam tempoh 100 hari pentadbiran Wan Azizah dan mungkin berlanjutan sehingga awal tahun 2015.

Jika Wan Azizah gagal untuk mentadbir dengan baik, tidak mustahil rakyat akan mendesak beliau untuk berundur dan digantikan dengan calon yang baru.

Rakyat Selangor juga akan terus mendesak beliau melakukan sesuatu bagi terus mengekalkan kemajuan negeri termasuk mengurangkan penggunaan wang negeri dalam urusan parti.

Ini kerana, semua sedia maklum, antara sebab utama Abdul Khalid ditukarkan adalah kerana keengganannya untuk menyalurkan wang rakyat ke dalam parti dan PR. Abdul Khalid juga tidak mudah memberikan wang rakyat untuk digunakan wakil rakyat walaupun bagi tujuan program di kawasan Dun masing-masing.

Namun, apa yang kita jangka semua ini akan berubah dalam pentadbiran Wan Azizah kelak.


Siapa selain Wan Azizah?

Jika rakyat tidak mahu Wan Azizah, siapa lagi lebih layak dan dipersetujui PR? Adakah Azmin lebih layak? ataupun lebih wajar Selangor diperintah oleh Pas?

Azmin seperti semua tahu sememangnya merupakan pemimpin senior di Selangor yang berkebolehan berhujah dan berpengalaman luas dalam arena politik negara.

Walaupun pada peringkat awal Azmin dilihat orang yang disebut-sebut akan menggantikan Abdul Khalid namun, namanya ditukar dengan Wan Azizah menerusi ‘Kajang Move’.

Kelmarin, Azmin menjelaskan bahawa beliau tidak akan menjadi menteri besar dan akan menyokong keputusan PKR untuk mencalonkan Presidennya, Wan Azizah sebagai pemimpin nombor satu Selangor.

Bagaimana pula jika Pas mencalonkan pemimpin mereka sebagai menteri besar? Siapa yang dilihat wajar ditonjolkan? Antara nama yang sering disebut-sebut adalah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad, seorang Exco Kerajaan Negeri yang berpengalaman luas dalam mengurus hal-hal pentadbiran negeri.

Beliau antara empat Exco di bawah pentadbiran Abdul Khalid yang senior dan berkebolehan memimpin.

Walaupun Iskandar tidak lantang namun beliau seorang pemimpin yang dipercayai rakyat Selangor. Selain Iskandar, Exco Selangor, Ahmad Yunus Hairi juga dilihat berpotensi.

Namun, PR masih terikat dengan perjanjian bahawa pentadbiran Selangor adalah hak PKR dan bukannya Pas dan DAP. Perjanjian inilah yang akan menghalang Pas dari mengemukakan sebarang nama untuk menjadi menteri besar kerana Pas telah mentadbir Kelantan dan DAP mentadbir Pulau Pinang, walaupun Pas mempunyai 15 kerusi dalam Dun.


Nasib di tangan rakyat

Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian Sinar Harian, rakyat Selangor yang tidak memihak mana-mana parti politik masih mahukan Abdul Khalid menjadi menteri besar.

Hujah mereka sangat mudah, mengapa perlu Abdul Khalid ditukar kalau beliau cemerlang dalam mentadbir Selangor? Pandangan ini juga dipersetujui oleh penyokong Pas dan BN yang rata-rata masih hairan dengan pertukaran menteri besar ini.

Namun, bagi penyokong PKR dan DAP, pertukaran ini penting demi survival PR di masa akan datang terutama dalam melawan asakkan BN yang masih berazam merampas kembali Selangor dari PR.

Persoalannya, jika Abdul Khalid digantikan dengan Wan Azizah, adakah PR pasti akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Mampukah Wan Azizah meyakinkan rakyat Selangor bahawa beliau mampu membawa perubahan kepada Negeri Selangor dalam pentadbirannya dan mampukah beliau mendahulukan kepentingan rakyat dari perkara-perkara lain termasuk kepentingan parti sendiri?

Jika pertukaran ini berjaya dilakukan PR, kini bermulalah episod penilaian rakyat terhadap menteri besar mereka yang baharu.

Sama ada mereka akan setuju dalam setiap keputusan yang akan dibuat ataupun membantah kerana tidak menepati kehendak rakyat Selangor. Sama-sama kita nantikan.

Terpulang kepada PR sama ada ingin meneruskan pertukaran ini ataupun tidak kerana cabaran besar akan menanti siapa juga yang akan menggalas tugas berat sebagai Menteri Besar Selangor.

Derita Batrisyia dapat perhatian


  • Beginilah keadaan Tuan Nur Batrisyia yang menghidap hydrocephalus.Beginilah keadaan Tuan Nur Batrisyia yang menghidap hydrocephalus.

KUALA NERUS – Penderitaan  Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir yang menanggung penyakit hydrocephalus yang mengakibatkan kepalanya membesar tiga kali ganda mendapat perhatian ramai setelah kisahnya mendapat liputan meluas pihak media.

Tuan Nur Batrisyia yang berusia enam bulan merupakan anak kepada pasangan Tuan Nasir Tuan Dalam, 30 dan Nor Suriati Mokhtar, 34, yang kini menetap di Kampung Duyong Wan Su, di sini.

Atas kesedaran itu juga, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pulau Duyong turut terpanggil untuk melancarkan Tabung Kecemasan Khas yang diadakan serentak dengan Majlis Hari Raya yang berlangsung di Dewan Sivik Pulau Duyong di sini, semalam.

Kutipan kilat yang dibuat dalam tempoh kira-kira tiga jam itu telah berjaya mengumpul sumbangan yang agak luar biasa dengan harapan mampu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga kanak-kanak berkenaan.

Menurut pengerusinya, Azadi Abdullah, kerjasama dan sokongan yang diberikan semua ahli begitu membanggakan sebaik hasrat untuk mewujudkan derma kilat bagi membantu anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Kita harap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan sedikit bebanan keluarga dan kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil menderma untuk Tuan Nur Batrisyia.

“Selaras dengan penubuhan kelab yang bukan sahaja tertumpu pada aktiviti kesukanan, kita berharap program berbentuk kebajikan sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, sekali gus menambahkan sikap prihatin dalam kalangan ahli,” katanya.

Sementara itu, Tuan Nasir mengakui terharu dengan sumbangan yang diberikan kelab berkenaan dan juga pihak lain yang telah menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga sebelum ini.

“Saya hanya mampu ucapkan terima kasih dan syukur dengan bantuan yang diterima ini kerana sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung khususnya membabitkan keperluan Tuan Nur Batrisyia.

“Malah, kami sekeluarga reda dengan nasib Batrisyia kerana kami sedar penyakit ini sukar diubati, namun sebagai ibu bapa kami akan jaganya sebaik mungkin,” katanya yang mengakui penyakit anaknya itu dikesan sejak dalam kandungan lagi.

Tuan Nasir yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM1,000 sebulan mengakui, separuh daripada gajinya digunakan untuk perubatan dan keperluan anak istimewanya itu.