2010/11/24
PHNOM PENH: Kemboja semalam menyiasat punca kejadian rempuhan pada satu pesta di ibu negaranya lewat kelmarin yang mengorbankan sekurang-kurangnya 378 orang di atas jambatan gantung dan menyebabkan beratus-ratus mangsa selamat tersepit berjam-jam di celah mayat sebelum dibawa keluar. Kerajaan melancarkan siasatan bagi mengetahui punca pengunjung pesta itu, kebanyakannya remaja tiba-tiba panik di atas jambatan pejalan kaki berkenaan yang menghubungkan Phnom Penh ke Pulau Koh Pich di tengah Sungai Bassac.
Mangsa terselamat menceritakan bagaimana mereka berasa lemas apabila beribu-ribu orang mula menjerit dan berasak-asak melarikan diri dari jambatan itu.Beberapa saksi berkata mereka mendengar jeritan ada orang terkena kejutan elektrik, manakala saksi lain berkata ada yang menjerit jambatan hendak roboh.
Perdana Menteri Hun Sen mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung di seluruh negara manakala bendera kebangsaan akan dikibarkan separuh tiang.
Saksi berkata, rempuhan berlaku apabila beribu-ribu pengunjung festival air Bon Om Touk, perayaan tamat musim hujan, tiba-tiba panik di atas jambatan dan mula berasak-asak menyebabkan ramai terpijak atau terjatuh dan lemas.
Keadaan semakin kelam kabut apabila orang ramai saling tolak menolak untuk menyelamatkan diri dan memijak mangsa yang terjatuh.
Mayat mangsa bergelimpangan dan ramai antara mereka tertindih satu sama lain selepas tragedi itu ketika pasukan petugas meneruskan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa hingga hari ini.
Punca menyebabkan rempuhan itu belum jelas sehingga kini. Penasihat Khas Perdana Menteri, Om Yentieng, menafikan keadaan panik berpunca daripada salah seorang pengunjung terkena kejutan elektrik daripada sebatang kabel disambar petir atau kerana terlalu ramai pengunjung mengalami keracunan makanan.
Polis dan saksi menyatakan jambatan terlalu sempit adalah punca sebenar berikutan jumlah pengunjung terlalu ramai dan keadaan amat sesak.
Sementara itu, ambulans kelihatan berulang-alik dari pulau itu dan hospital selama beberapa jam selepas kejadian.