Showing posts with label Galas. Show all posts
Showing posts with label Galas. Show all posts

Friday, November 5, 2010

BN rampas semula kerusi Galas





DARI kiri: Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Ng Yen Yen, Abdul Aziz Yusoff, Mustapa Mohamed dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin meraikan kemenangan Barisan Nasional selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Dewan Sivik, Gua Musang, semalam.


GUA MUSANG 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.
Calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi manakala calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi.
Ini merupakan kekalahan ketiga bagi Dr. Zulkefli yang sebelum ini sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum iaitu pada 2004 dan 2008 kepada Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang.
Peratusan keluar mengundi juga meningkat iaitu 83 peratus berbanding 81.1 peratus pada 2008, manakala sebanyak 132 undi rosak.
Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid di Pusat Sivik, di sini pada pukul 8.55 malam.
Selain faktor kepimpinan dan pengaruh Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas, kejayaan BN juga didorong oleh kerja keras jentera parti itu dalam tempoh 48 jam sebelum kempen berakhir.
Ia termasuk tindakan jentera BN menggempur kawasan yang dianggap kubu kuat Pas seperti Bandar Bharu, Kampung Baru dan Sungai Terah pada hari terakhir kempen.
Walaupun Pas dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba memainkan isu-isu nasional namun ia tidak mendatangkan hasil, sebaliknya Pas yang jentera partinya diketuai oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman terpaksa berhadapan pelbagai isu membabitkan pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan.
DUN Galas yang dianggap kubu kuat BN dirampas oleh Pas melalui Allahyarham Chek Hashim Sulaima pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti tipis 646 undi. Dua lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Gua Musang adalah Paloh dan Nenggiri yang kedua-duanya milik BN.

Tuesday, November 2, 2010

DUN Galas: Jambatan konkrit ganti titi gantung





2010/11/02

 Pelajar  di Kampung Batu Papan  terpaksa menyeberangi jambatan gantung  yang uzur setiap hari.
Pelajar di Kampung Batu Papan terpaksa menyeberangi jambatan gantung yang uzur setiap hari.
GUA MUSANG: Saban hari, Abdul Hadi Mansor, 47, dari Kampung Batu Papan, di sini menggunakan laluan alternatif jambatan gantung merentasi Sungai Galas untuk menghantar anaknya ke sekolah sejak lapan tahun lalu. 

Penoreh getah itu mengakui laluan alternatif berkenaan menjimatkan masanya untuk membawa lima anaknya dengan motosikal ke tiga sekolah berhampiran, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Putra 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wangi 1 dan SK Seri Wangi 2, sejak berpindah ke kampung itu.
Jambatan gantung sepanjang 35 meter berusia 15 tahun itu menjadi nadi laluan kepada 1,500 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Batu Papan 1, Kampung Batu Papan 2 dan Kampung Batu Papan Kundur.
Setiap pagi kelihatan hampir 150 penunggang motosikal menggunakan laluan itu untuk ke sekolah berkenaan. Walaupun kelihatan uzur dan usang, penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan jambatan gantung yang hanya boleh dilalui pejalan kaki dan penunggang motosikal kerana ia menjimatkan masa terutama bagi mereka yang memiliki anak ramai. 

Tinjauan mendapati, hampir semua penunggang motosikal membawa dua atau lebih pembonceng sama ada diletakkan di depan atau belakang penunggang dan mereka yang berada di laluan bertentangan perlu menunggu sehingga semua kenderaan selesai melalui jambatan itu. 

Bagi Abdul Hadi yang dikurniakan 12 anak berusia satu hingga 23 tahun, setiap hari dia akan membawa lima anaknya berusia tujuh hingga 16 tahun ke sekolah berhampiran kerana hanya satu daripada dua motosikalnya memiliki insurans, manakala satu lagi hanya digunakan untuk laluan kampung. 

Bagi perjalanan pertama, Abdul Hadi membawa dua anak lelakinya berusia 16 dan 10 tahun sebelum kembali ke rumah untuk mengambil tiga lagi anaknya berusia tujuh, 11 dan 12 tahun. 
"Kami gembira jika jambatan gantung diganti jambatan konkrit kerana setiap pagi terutama hari hujan, laluan akan menjadi licin dan menyukarkan penunggang untuk mengawal motosikal,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang berkunjung ke kampung itu memberi jaminan akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk membina jambatan konkrit.

Nak pilihanraya....minta apa saja


RM23.5j naik taraf peralatan Hospital Gua Musang


2010/11/02

  CALON  BN, Ab Aziz Yusoff mencuba peralatan kesihatan  sambil diperhatikan   Rosnah   (dua dari kiri)   pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Klinik Desa RPT Sungai Terah, Gua Musang, semalam.
CALON BN, Ab Aziz Yusoff mencuba peralatan kesihatan sambil diperhatikan Rosnah (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Klinik Desa RPT Sungai Terah, Gua Musang, semalam.
GUA MUSANG: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM23.5 juta untuk menaik taraf peralatan perubatan, termasuk pembelian 24 ambulans bernilai RM7.04 juta bagi Kelantan tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan sebanyak RM231 juta untuk pembangunan fizikal yang diberikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
"Kelantan mempunyai 121 ambulans yang mana pembeliannya dibuat secara kontrak dan hari ini kita menyerahkan tujuh ambulans baru manakala 17 lagi akan menyusul selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan perubatan terdiri daripada 10 mesin thermal fog, tiga motosikal dan sebuah mesin ultrasound, yang keseluruhannya bernilai RM90,000 kepada Jabatan Kesihatan negeri di Hospital Gua Musang di sini, semalam. 

Rosnah berkata, kementeriannya turut menyerahkan satu unit mesin hemodialisis kepada Hospital Gua Musang, sekali gus mengurangkan bilangan pesakit menunggu untuk rawatan. 

"Kerajaan memang sedar mengenai kekurangan pusat hemodialisis dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa kerana kementerian sedar rakyat terutama golongan kurang mampu amat memerlukannya. 

"Kos setiap kali sesi rawatan hemodialisis membabitkan perbelanjaan ratusan ringgit, tetapi bagi pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan kita hanya mengenakan caj RM13 setiap kali sesi rawatan," katanya. 
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah jemu melaksanakan pelbagai usaha memastikan setiap lapisan rakyat terus menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik. 

Sementara itu, Rosnah berkata, Kelantan menjadi antara tiga negeri yang mencatat jumlah kes denggi yang tinggi di negara ini selain Selangor dan Sarawak dengan 3,258 kes direkod sehingga 24 Oktober lalu. 

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 2,332 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Tuesday, October 26, 2010

PRK DUN Galas: Satu lawan satu


CALON Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff bersama calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad mengangkat tangan selepas diumumkan layak bertanding pada hari penamaan calon Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Pejabat Tanah Jajahan, Gua Musang, sebentar tadi. - Foto Izhari Ariffin.

26/10/2010 11:43am

GUA MUSANG 26 Okt. - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bakal menyaksikan pertarungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad.
Pengumuman perkara itu dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Galas, Wan Mustapha Wan Hamid pukul 11.30 pagi di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Pilihan Raya Kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini. - Utusan

Sunday, October 17, 2010

Galas: Pas akan umum calon lebih awal


KOTA BHARU 16 Okt. – Pas dijangka mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas lebih awal iaitu pada 19 Oktober ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, pengumuman tersebut mungkin dilakukan serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya Pas pada tarikh yang sama.
"Pada mulanya kita rancang umum 22 Oktober tetapi mungkin ia dibuat lebih awal serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya kita di sana nanti," katanya ketika ditemui di kediaman Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka di sini hari ini.
Abdul Fatah berkata, beliau hari ini memberi taklimat kepada Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengenai perkembangan dan persiapan Pas Kelantan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu.
Sementara itu katanya, Nik Abdul Aziz akan melakukan pertemuan dengan nama-nama yang disenarai pendek sebagai calon parti itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan salah seorang daripada mereka untuk bertanding.
Katanya, pertemuan tersebut dibuat untuk memudahkan beliau menyampaikan amanat dan mengenali mereka dengan lebih rapat.
Pilihan Raya Kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, kerana barah usus pada 27 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon dan 4 November ini sebagai hari pembuangan undi.

Monday, October 11, 2010

Kemarahan peneroka ladang rakyat antara isu di Galas


GUA MUSANG - Pembukaan "Ladang Rakyat" di Hulu Kelantan dijangka menjadi isu besar untuk ditangani oleh kerajaan PAS negeri Kelantan menjelang pilihan raya kecil Galas 4 Nov ini kerana tanah yang terlibat didakwa diambil daripada penerokanya oleh kerajaan negeri untuk diusahakan oleh swasta.

Malahan isu berkenaan sudahpun menjadi topik utama perbualan di kedai-kedai kopi di sini walaupun penamaan bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan itu adalah pada 26 Okt ini.

Seorang peneroka, Harun Che Anal, 61, berkata, tindakan kerajaan negeri mengambil tanah itu dan diberi kepada syarikat swasta luar Kelantan bagi membangunkannya sebagai "Ladang Rakyat" telah menjejaskan masa depan penduduk setempat yang telah mengusahakan pelbagai tanaman di situ lebih dari dua dekad.

Beliau berkata, tanah yang telah ditanam dengan getah dan kelapa sawit itu sudah lama mengeluarkan hasil, tetapi tanagh itu diambil oleh kerajaan negeri, walaupun ada peneroka yang telah membayar deposit bagi mendapatkan hak milik tanah itu.

"Ada pihak cuba melengah-lengahkan pemberian hak milik itu, mungkin sebagai muslihat untuk merampas tanah ini. Kami akan cuba halang daripada tanah kami dirampas," katanya kepada Bernama.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Mat Yusof Abdul Ghani berkata, beliau yakin PAS akan dihukum oleh pengundi pada pilihan raya kecil itu kerana tidak berlaku adil kepada rakyat. 

Mat Yusof, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nenggiri, berkata, kerajaan negeri telah mengabaikan nasib penduduk yang kehilangan tempat untuk mencari rezeki.

"Terdapat ketidakadilan dalam pembahagian semula keuntungan tanah ini, sebahagian diberi (tanah) dan sebahagian tidak, walaupun rakyat telah duduk dan bercucuk tanam di situ untuk mencari rezeki sejak bertahun-tahun.

"Sudahlah hilang pendapatan, hilang pula tanah. Orang Gua Musang suka membuka tanah dan menanam getah, kelapa sawit dan buah-buahan, sepatutnya mereka diberikan geran," katanya.

Mat Yusuf berkata, kerajaan negeri telah mengambil tanah tersebut dengan alasan untuk membangunkan Ladang Rakyat dan memulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk dividen serta pembangunan untuk menghapuskan kemiskinan sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata, bahawa tindakan kerajaan negeri meluluskan tanah untuk projek perladangan swasta boleh menjejaskan penduduk Orang Asli di Gua Musang.

Sunday, October 3, 2010

Pas sudah ada calon terbaik



MARANG - Pas sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan. 

Pengarah PRK Pas DUN Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti hari ini. 

“Senarai nama sudah ada, beberapa nama juga telah kita kenal pasti, yang mana ia adalah campuran senarai tenaga pemuda dan profesional,” katanya selepas majlis perasmian Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila, di sini, semalam. 

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan diberi keutamaan untuk dipilih sebagai calon bertanding di kawasan itu. 

“Kali ini faktor calon penting dan keutamaan diberi kepada anak tempatan. Pas tidak kisah siapa calon yang dipilih Barisan nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekalipun bertanding di kawasan itu,” katanya. 

Tuan Ibrahim berkata, jika Tengku Razaleigh yang menjadi taruhan BN bermakna UMNO berniat menjatuhkan reputasi serta membunuh karier politik pemimpin veteran yang disegani itu. 

Beliau turut menyifatkan tindakan BN meletakkan tokoh politik veteran itu sebagai calon adalah satu kesilapan besar. 

“Saya tidak fikir Tengku Razaleigh akan menerima bulat-bulat cadangan itu kerana Ku Li adalah pemimpin berpengalaman dalam sepak terajang politik UMNO,” katanya. 

Tuan Ibrahim berkata, jika Tengku Razaleigh yang menjadi pilihan BN bermakna UMNO sudah ketandusan pemimpin berwibawa dan bayangkan jika calon BN yang dipilih itu mengalami kekalahan. 

“Pas tidak kisah siapa saja calon BN, termasuk kalau (Datuk Seri) Najib atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sekalipun calonnya, Pas akan tetap lawan,” katanya. 

Beliau juga yakin Pas mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pilihan raya umum lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan Pas selama hampir 20 tahun. 

“Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini berdasarkan kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kami yakin rakyat akan bagi mandat kepada Pas,” katanya. 

Menurutnya, kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas(DHPP) juga dapat membantu Pas untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu. 

“Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan DHPP dan kami akan beri ruang kepada mereka untuk menyusun strategi dan pendekatan bersama dengan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Lawan tetap lawan

Lawan jika ‘anak jantan’ 
SHAH ALAM - Pas tidak perlu mempertikaikan strategi UMNO meletakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya Kecil dan dipilih sebagai calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan. 

Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, persoalan yang ditimbulkan oleh parti itu adalah disebabkan mereka berasa gusar akan mengalami kekalahan dalam pilihan raya kecil kawasan itu. 

“UMNO bersifat dinamik. Kita mengatur strategi bagi setiap pilihan raya kecil mengikut kes dan keperluan setempat. Soal pelantikan pengarah pilihan raya tidak begitu penting. Apa yang penting adalah calon yang akan ditentukan kemudian,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, datuk Nik Abdul Aziz Nik mat yang m,endakwa pemilihan Tengku Razaleigh sebagai calon Barisan Nasional (BN) digalas sebagai merendahkan martabat pemimpin veteran itu. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, pelantikan Tengku Razalegh itu itu menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti yang praktikal. 

“Di sini tidak timbul persoalan siapa yang jadi pengarah bagi pilihan raya. Asas kepada persoalan yang diajukan sekarang adalah kerana kegusaran Pas yang hanya menang tipis 646 majoriti di kawasan itu. 

“Kita sedia maklum, Ku Li adalah tokoh yang berpengaruh. Oleh itu, Pas tidak perlu berasa gusar dan perlu meneruskan perjuangan mereka,” katanya. 

Sementara itu Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi berkata, Pas tidak sepatutnya mempertikaikan apa yang dilakukan oleh UMNO kerana ia adalah urusan parti itu. 

“Apa motif Pas mahu mempertikaikan keputusan UMNO? Sebarang keputusan UMNO adalah berasaskan peluang untuk menang dan dalam hal ini Tengku Razaleigh paling sesuai, itu adalah strategi UMNO. 

“Tak perlu jadikan hal ini sebagai isu dan tak perlu mempertikaikan strategi UMNO kerana strategi UMNO sentiasa berubah-ubah. Kalau benar-benar anak jantan, lawan sahajalah,” katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, keputusan UMNO itu berdasarkan kepada keputusan pucuk pimpinan dan semua pihak termasuk perhubungan Kelantan menyokong keputusan itu. 

“Realitinya, Pas kini berada dipihak yang tertekan dan mereka cuba memecahbelahkan UMNO Kelantan terutama di pihak Ku Li. Bagaimanapun, saya harap mereka dapat bertanding secara gentleman di Galas, buktikan bahawa mereka dapat sokongan rakyat,” katanya.

Pas pilih calon tidak merokok di DUN Galas



KOTA BHARU - Pas akan memilih calon di kalangan mereka yang tidak merokok untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas nanti.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kriteria tersebut merupakan antara syarat bagi mereka yang berminat ingin menjadi calon Pas pada pilihan raya kecil itu.
"Kalau merokok saya memang tidak boleh terima untuk jadi calon. Itu kena bagi tahu awal-awal kerana merokok ini boleh merosakkan segala-galanya dan tidak ada doktor baik Islam atau kafir mengatakan rokok ini baik," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di sini semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kriteria lain untuk dipilih sebagai calon ialah tidak meninggalkan solat dan tidak pernah berpoya-poya dengan perempuan.