Showing posts with label larang. Show all posts
Showing posts with label larang. Show all posts

Monday, December 12, 2011

Sultan Selangor larang ahli politik ceramah di masjid

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkata beliau melarang ahli-ahli politik daripada memberi ceramah di masjid-masjid di negeri itu.
Menurutnya, ada ahli politik yang menggunakan majlis seperti itu bagi mengetengahkann fahaman politiknya dan bukan untuk tujuan keagamaan.Sultan Selangor itu berkata demikian semasa diwawancara oleh akhbar Mingguan Malaysia yang dikeluarkan semalam.Beliau berkata masjid-masjid harus dijadikan 'titik tumpuan bagi penyatuan'.'Kami tidak membenarkan ahli-ahli politik menyampaikan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau, tidak kira apa parti mereka kerana ada sesetengah daripada mereka yang mengutuk satu sama lain dalam ceramah-ceramah itu. Ia menyakitkan telinga.'Mengapa tidak masjid-masjid sebaliknya menjadi titik fokus penyatuan daripada mencetuskan persengketaan?' kata ketua ehwal agama negeri yang ditadbirkan oleh Pakatan Rakyat itu.Parti Islam SeMalaysia (PAS) Selangor, pada September lalu, telah menuduh pihak berkuasa agama negeri itu melancarkan satu serangan politik terhadap kepimpinannya selepas bukti kelayakan agama Dr Rani Osman dilucutkan oleh pihak berkuasa agama Selangor.Ketua PAS negeri itu berkata para pemimpin lain daripada cawangan parti Islam di Selangor itu juga telah melihat bukti kelayakan agamanya, yang membolehkan mereka menyampaikan khutbah secara bebas di negeri paling kaya di semenanjung Malaysia itu, turut dilucutkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).Jais juga pernah mendakwa timbalan ketua PAS Selangor, Encik Khalid Samad, kerana menyampaikan ceramah agama tanpa izin pihaknya terdahulu.Namun, ketua Majlis Agama Islam Selangor (Mais), yang bertanggungjawab ke atas ehwal Jais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, menafikan dakwaan itu.PAS dan Jais terbabit dalam pertikaian sejak badan penguatkuasa agama itu dituduh menceroboh masuk di pekarangan sebuah gereja apabila ia bertindak atas satu aduan bahawa sekumpulan anggota masyarakat Islam di Selangor telah dimurtadkan pada satu acara yang dihos oleh gereja berkenaan pada Ogos lalu.Sultan Sharafuddin berkata, 'jika ahli politik itu pakar bercakap mengenai ehwal agama, sudah tentu kami akan memberikan mereka bukti kelayakan itu'.'Tetapi jika ada niat tersembunyi, bercakap mengenai agama selama lima minit kemudian bercakap mengenai politik, itu tidak jujur,' kata beliau, sambil mempertahankan sistem mengeluarkan bukti kelayakan yang menurutnya berupaya mengawal daripada ajaran sesat dan pergunakan agama bagi tujuan politik. -- Agensi.Cyberita Online Luar Negara:

Tuesday, September 6, 2011

Manila larang bekerja di negara anggota GCC

MANAMA: Filipina dilaporkan merancang untuk melaksanakan larangan menghantar pembantu rumah ke Qatar dan dua lagi negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kerana menuduh negara terbabit tidak mempunyai undang-undang sewajarnya untuk melindungi hak pekerja terbabit.

Kelulusan daripada lembaga pentadbir Pentadbiran Pengambilan Pekerja Luar Negara Filipina (POEA) dinanti untuk membolehkan larangan terbabit dilaksanakan, lapor akhbar harian Qatar, The Peninsula, kelmarin.
Qatar memiliki 26,000 pekerja pembantu rumah Filipina. Permintaan mendapat lebih ramai pembantu rumah Filipina adalah disebabkan tingkah laku mereka, tahap celik huruf dan standard latihan yang baik.
The Peninsula melaporkan, kedutaan Filipina di Doha memutuskan untuk tidak memberi sebarang ulasan mengenai kemungkinan larangan itu sehingga resolusi diluluskan.

Bagaimanapun, laporan media dari Manila menyebut bahawa kerajaan Filipina akan meluluskan resolusi terbabit untuk melarang penghantaran pembantu rumah ke Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Manila mengemukakan bantahan serius kerana Qatar tidak mempunyai undang-undang buruh melindungi pembantu rumah dan ketiadaan undang-undang seperti itu menyebabkan pekerja terbabit tidak mempunyai hak perlindungan asas, seperti cuti sehari seminggu dan waktu kerja yang ditetapkan.

Setiausaha Buruh Filipina, Rosalinda Baldoz dipetik berkata Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) sudah membuat cadangan itu yang mendapati tiga negara Teluk berkenaan tidak beri jaminan perlindungan kepada pekerja pembantu rumah terbabit.
POEA dilaporkan belum membuat sebarang keputusan.

Menurut Pejabat Buruh Luar Negara Filipina di Doha, Qatar adalah negara ketiga terbesar memiliki pembantu rumah Filipina selepas Arab Saudi dan Hong Kong yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.

Qatar baru-baru ini mengumumkan merancang untuk membenarkan agensi buruh tempatan merekrut pembantu rumah dari negara baru termasuk Myanmar, Nepal, Kenya dan Tanzania.

Agensi buruh di Doha menyalahkan kerajaan Filipina kerana mengenakan syarat ketat termasuk menetapkan gaji yang tinggi kepada pembantu rumah terbabit.
Berikutan itu sesebuah agensi mengenakan bayaran sehingga QR10,000 (RM8,176) untuk membekalkan pembantu rumah kepada sesebuah isi rumah. – Agensi 

Tuesday, August 2, 2011

Tiga wakil rakyat Jepun dilarang ke Seoul

SEOUL, Korea Selatan - Pentadbiran Korea Selatan melarang tiga wakil rakyat Jepun daripada memasuki negara berkenaan.
Larangan itu dikenakan selepas mereka tiba di sebuah lapangan terbang di sini dalam percubaan untuk berkunjung ke sebuah lokasi berhampiran beberapa buah pulau yang dituntut oleh kedua-dua negara.
Kementerian Luar Korea Selatan semalam memberitahu, ketiga-tiga wakil rakyat dari Parti Liberal Demokratik Jepun itu disekat apabila mereka cuba meninggalkan Lapangan Terbang Gimpo di sini.
Mereka merancang untuk melawat sebuah pulau yang terletak berhampiran gugusan pulau Dokdo yang dituntut oleh Korea Selatan dan Jepun.
Menurut kementerian berkenaan, larangan itu berdasarkan undang-undang Korea Selatan yang melarang kemasukan individu yang boleh menjejaskan kepentingan negara. - AP

Monday, August 1, 2011

China kenakan larang liputan nahas kereta api

HONG KONG 31 Julai - China menguatkuasakan larangan sepenuhnya kepada media daripada membuat liputan nahas mengenai kereta api berkelajuan tinggi minggu lalu, memaksa akhbar-akhbar menghentikan penyiaran berita mengenainya.
Akhbar Sunday Morning Post melaporkan, pihak berkuasa penerangan China mengeluarkan larangan itu lewat Jumaat lalu, sekali gus mengharamkan semua liputan berkaitan nahas kecuali 'berita berbentuk positif atau maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa sahaja'.
Larangan itu dikuatkuasakan selepas media rasmi negara menyiarkan kritikan terhadap kerajaan yang jarang-jarang dibuat berhubung respons kepada nahas 23 Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penumpang serta mencederakan lebih 200 yang lain.
Media-media turut mempersoalkan keselamatan sistem jaringan pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi di China.
"Selepas nahas ngeri pada 23 Julai lalu, pandangan umum asing dan dalam negara menjadikannya lebih rumit.
"Semua media tempatan termasuk akhbar, majalah dan laman web perlu meredakan laporan berhubung insiden berkenaan. Syarikat-syarikat media juga tidak dibenar menyiarkan sebarang laporan atau ulasan kecuali yang positif atau maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa," jelas arahan berkenaan.
Larangan tersebut merupakan yang kedua sejak nahas berkenaan selepas pihak berkuasa penerangan China melarang wartawan tempatan dari mewawancara pegawai perkhidmatan kereta api. - AFP
http://www.utusan.com.my

Wednesday, May 11, 2011

Utusan tak boleh masuk sidang DUN


GEORGETOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, semalam, meluluskan usul melarang wartawan Utusan Malaysia daripada menghadiri dan membuat liputan sidang DUN pada masa depan. 


Usul itu turut melarang wartawan Utusan Malaysia untuk berada di pekarangan dan memasuki bangunan DUN.
Usul itu dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Yang Keempat DUN Ke-12.
Ia adalah cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang selepas siasatan mendapati laporan Utusan Malaysia yang bertarikh 11 November 2010 mengenai kos kerja pembaikan banglo kediaman Guan Eng berjumlah RM1.5 juta adalah tidak tepat. 

Guan Eng berkata, selain laporan kos pembaikan banglonya tidak tepat, berita muka depan akhbar itu bertajuk 'Malaysia Negara Kristian? beberapa hari lalu turut menjadi faktor usul berkenaan dibawa ke DUN. 

Pada 11 November 2010, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya di DUN bahawa kos kerja pembaikan banglo yang didiami Guan Eng mencecah RM1.5 juta. 

Laporan media itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan negeri dan sebanyak dua mesyuarat diadakan untuk membincangkan hasil siasatannya. 

Tuesday, May 10, 2011

Pengantin baru dilarang berborak panjang di telefon


NEW DELHI: Sebuah kerajaan negeri mengarahkan pengantin wanita mengurangkan berbual di telefon bimbit dalam tempoh dua tahun pertama perkahwinan bagi mengelak rasa cemburu pasangan masing-masing.
Suruhanjaya Wanita Punjab mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara itu minggu lalu dan menggesa pengantin wanita memberi fokus kepada hal rumah tangga berbanding berborak di telefon bimbit.

Ketua suruhanjaya itu, Gurdev Kaur Sangha, berkata arahan itu boleh mengelakkan rasa curiga di antara pengantin baru sementara mereka menyesuaikan diri sebagai suami isteri.

“Saya dapati hampir 40 peratus wanita menuntut cerai apabila suami dan keluarga mentua mereka kurang senang dengan perbuatan mereka berborak panjang di telefon bimbit,” katanya.

Di kalangan suami pula, kata Gurdev, mereka bimbang jika isteri berhubung dengan bekas kekasih masing-masing. - AFP

Tuesday, May 3, 2011

Islam larang kebumi jenazah dalam air – Al-Azhar


KAHERAH 3 Mei – Islam menentang pengkebumian di dalam laut selepas pegawai Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kenyataan pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden dikebumikan di dalam air, kata jurucakap Universiti Al-Azhar kepada AFP.

"Jika benar mayat itu (Osama) telah dicampak ke dalam air, maka Islam menentang sepenuhnya perkara itu," kata Mahmud Azab yang juga merupakan penasihat Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb.
Katanya, setiap mayat jika menjadi mangsa bunuh atau mati secara semulajadi mesti dihormati. Mayat penganut agama atau tidak, Islam atau Kristian, mesti dihormati.
"Islam hanya membenarkan pengkebumian di dalam tanah kecuali kes yang tidak boleh dielakkan seperti mati lemas," tambahnya.-AFP

Tuesday, April 26, 2011

15 jenis makanan larangan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyenaraikan 15 jenis makanan dan minuman yang dilarang untuk dijual di kantin sekolah bagi menjamin kesihatan murid selain mengelakkan berlakunya masalah obesiti di kalangan mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara makanan termasuk dalam kategori itu adalah mee segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan ringan yang berperisa dan mempunyai pewarna tiruan serta makanan yang diproses seperti daging burger, sosej dan nuget.

“Pada Mei nanti, kita akan berkongsi garis panduan ini dengan orang ramai dan mengedarkan kepada pengusaha kantin selepas mendapat pengesahan kerana ia masih di peringkat cadangan oleh kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama Persatuan Pegawai Sains Kementerian Kesihatan (Asomh).

Bagaimanapun, kementeri katanya tidak menafikan selepas mengeluarkan larangan jualan makanan ini, kemungkinan pengusaha kantin akan membantah, tetapi apa yang perlu diberi penekanan adalah kesihatan kanak-kanak berbanding keuntungan yang dikaut.

Beliau berkata, senarai yang dilarang itu hanya tertumpu kepada jualan di kantin sekolah dan tidak meliputi jualan oleh penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah.

Namun katanya, garis panduan kepada penjaja makanan ringan di luar pagar sekolah juga akan dicadangkan dalam masa terdekat.


Menurut Rosnah, jenis minuman yang dilarang pula adalah minuman yang mengandungi alkohol, teh dan kopi, minuman berkarbonat, minuman yang mempunyai bahan pewarna serta minuman berperisa kecuali susu berperisa.

“Walaupun isu nasi lemak hangat diperkatakan, namun di dalam garis panduan yang bakal dilancarkan bulan depan, nasi lemak termasuk dalam 60 menu makanan yang boleh diambil, namun perlu disediakan dengan cara yang lebih sihat seperti mengurangkan santan dalam nasi dan minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan bilis,” katanya.
Lima lagi yang dilarang adalah makanan ringan yang berupa mainan, semua makanan yang disertakan dengan permainan, makanan jeruk, makanan dan minuman yang melepasi tarikh luput serta semua jenis makanan dan minuman yang melanggar Peraturan Makanan 1985.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Rosnah turut menyatakan untuk menuju ke arah menjayakan inovasi baru dan melahirkan paten yang canggih berkaitan perubatan dan kesihatan, insentif sebanyak RM15,500 akan diberikan kepada penyelidik sains yang berjaya menghasilkan paten dan akan dibayar royalti sebanyak 80 peratus.

Tuesday, April 19, 2011

Mahkamah India larang kanak-kanak jadi pekerja sarkas


NEW DELHI: Mahkamah Agung India mengharamkan mana-mana kumpulan sarkas menggaji kanak-kanak serta mengarahkan kerajaan menjalankan pemeriksaan mengejut bagi menangani isu berkenaan.
Keputusan mahkamah itu dibuat hasil petisyen dikemukakan sebuah pertubuhan hak asasi yang mendesak pelaksanaan menyeluruh undang-undang buruh kanak-kanak yang sering dilanggar kumpulan sarkas.

Biasanya kanak-kanak dilatih untuk mengadakan persembahan akrobatik di atas wayar tinggi serta pelbagai aksi berbahaya untuk menarik perhatian orang ramai.

Mereka biasanya dibawa mengikut kumpulan berkenaan yang bergerak dari satu bandar ke bandar lain sepanjang tahun.

Peguam Pergerakan Selamatkan Kanak-kanak, Colin Gonsalves, berkata mahkamah mengarahkan kerajaan menyelamatkan semua kanak-kanak di bawah usia 14 tahun yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Mahkamah turut memerintahkan kerajaan merangka satu dasar pemulihan untuk mereka,” katanya. - AFP

Saturday, December 25, 2010

Sekolah larang gambar Azizan



ALOR SETAR - Tindakan pengharaman gambar Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak daripada dipamerkan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran tidak pernah dibangkitkan Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kedah, berkata, tiada perubahan berlaku selama hampir tiga tahun Pakatan Rakyat diterajui Pas mentadbir Kedah.

“Perkara itu tidak dibangkitkan atau dipersoalkan Kerajaan Negeri meskipun jelas menunjukkan tindakan itu bermula daripada Kerajaan Pusat.

“Saya berasa kesal kerana hampir tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, gambar Menteri Besar tidak dibenarkan dipaparkan di sekolah-sekolah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Pusat hanya bersuara apabila Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia.

“Menteri Besar adalah ketua kerajaan dan tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dipaparkan di sekolah-sekolah kerana ia tidak bermaksud Kerajaan Negeri ingin berpolitik di sekolah.

“Jika gambar Menteri Besar dihalang daripada dipamerkan di sekolah, kesannya pelajar sekolah tidak akan mengenali siapa Menteri Besar mereka,” katanya.

Sementara itu, Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul turut mengakui situasi terbabit.

Katanya, pengharaman itu dibuat sejak PR diterajui Pas mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini.

“Memang sekolah bawah Kementerian Pelajaran, tidak dibenarkan mempamerkan gambar Menteri Besar Kedah.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti ia arahan daripada siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad ketika diajukan mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut.

Friday, December 3, 2010

Kaji larangan motosikal masuk bandar

Bendung jenayah jalanan berleluasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji cadangan menguatkuasakan larangan motosikal persendirian memasuki bandar raya ini sebagai usaha terbaru membendung kegiatan jenayah jalanan, termasuk masalah sosial daripada terus berleluasa.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata cadangan itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan bandar raya ini sebuah metropolitan yang selamat dan sejahtera melalui pelaksanaan Pelan Greater Kuala Lumpur.

Konsep Kuala Lumpur Bebas Motosikal harus dikaji, seterusnya dipertimbangkan untuk dilaksanakan kerana potensinya dalam membantu usaha kita memerangi jenayah jalanan, terutama membabitkan kes samun dan ragut sekitar bandar raya.
Ini sekali gus menyumbang kepada penurunan indeks jenayah di Kuala Lumpur pada masa depan seperti dicapai sepanjang tahun ini yang lebih baik daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditetapkan kerajaan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas majlis serah tugas Ketua Polis Kuala Lumpur kepada penggantinya, Datuk Zulkifli Abdullah sambil disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Difahamkan, pendekatan sama turut diamalkan di China, Syria dan beberapa negara Timur Tengah ketika ini khusus bagi membanteras penjenayah bermotosikal.

Bagaimanapun, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kesesuaian cadangan itu termasuk mengambil kira faktor ekonomi kerana motosikal masih menjadi pengangkutan utama di kalangan rakyat negara ini, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana.
Muhammad Sabtu yang kini memegang portfolio Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, berkata kertas kerja mengenai cadangan itu sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan untuk diteliti

Tuesday, November 23, 2010

JAIS tidak benar Nizar beri ceramah agama



SHAH ALAM 22 Nov. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah meminta pentadbir Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini membatalkan program ceramah agama oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin malam esok kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, sehubungan itu pihak berkenaan diminta mengubah lokasi ke tempat lain yang tidak terikat dengan syarat-syarat tauliah ditetapkan oleh jabatan berkenaan sekiranya masih mahu meneruskan program ceramah tersebut.
''Saya telah arahkan Kadi Kuala Selangor, Hashim Muhamad yang kemudiannya telah memaklumkan kepada nazir masjid di bawah pemantauan masjid tersebut, Aziz Safri tentang keputusan JAIS itu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, JAIS memang tidak membenarkan Mohamad Nizar memberi ceramah agama di Selangor kerana dia tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.
''Tetapi kita tidak boleh menghalang orang luar daripada memberi ceramah politik di tempat lain seperti dewan atau sebagainya," ujarnya.
Mohammed Khusrin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pentadbir Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh yang menjemput Mohamad Nizar untuk memberi ceramah agama yang dikhuatiri akan bertukar menjadi ceramah politik di masjid tersebut malam esok.
Masjid tersebut yang dipercayai 'dikuasai' oleh sebuah parti pembangkang sebelum ini telah banyak kali menjemput penceramah daripada parti itu untuk menyampaikan kuliah dan ceramah agama atas nama kuliah maghrib, isyak atau subuh.

Tuesday, October 12, 2010

Undang-undang larang remaja perempuan bekerja di hotel, rumah penginapan


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Larangan terhadap remaja perempuan daripada bekerja di hotel, bar, restoran, rumah penginapan dan kelab akan dikuatkuasakan apabila Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 diwartakan kelak.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, penguatkuasaan dikecualikan terhadap remaja berkenaan yang bekerja di premis yang dimiliki oleh keluarga sendiri.
Menurut beliau, sekiranya kanak-kanak dan anak muda itu mahu bekerja selain daripada dalam lingkungan pekerjaan yang ditetapkan, mereka perlulah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.
"Ia bertujuan mengelak mereka daripada dieksploitasi sehingga mengganggu keperluan pendidikan, kesihatan dan keselamatan," katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Subramaniam berkata, melalui pindaan akta itu, hukuman penjara dicadang untuk dinaikkan daripada enam bulan kepada setahun dan denda pula daripada RM2,000 kepada RM5,000 bagi kesalahan pertama.
Katanya, bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman penjara dinaikkan daripada dua tahun kepada tiga tahun dan denda dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.
"Mengikut akta asal, kanak-kanak iaitu yang berusia di bawah 14 tahun dan orang muda di bawah 16 tahun hanya dibenarkan untuk bekerja dalam sektor tertentu sahaja.
Sementara itu, semasa sesi penggulungan, Subramaniam berkata, kerajaan sedia menimbangkan cadangan mengiklankan secara meluas di media mengenai hukuman yang boleh dikenakan kepada majikan yang mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Katanya, iklan yang akan turut menyediakan platform kepada orang ramai melaporkan mengenai penyelewengan itu diharap dapat mengelaknya daripada terus berlaku secara berleluasa, sekali gus memudahkan kerja-kerja penguatkuasaan.
Beliau mengakui antara kekangan utama dihadapi oleh agensi penguatkuasaan kementerian ialah tidak mendapat aduan daripada orang ramai.
"Kita akui ia memang berlaku, masalahnya kementerian tidak menerima aduan, pemantauan secara konsisten dilakukan tetapi sukar untuk mengesan atau mengambil tindakan kerana tiada maklumat.
"Jika ada aduan jaminan kita ia akan disiasat dan diambil tindakan. Jadi saya harap Ahli-Ahli Parlimen bantulah kita menyalurkan maklumat dan membuat aduan," katanya.
Sebelum itu, Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) mencadangkan supaya kerajaan membuat publisiti besar-besaran terhadap rang undang-undang itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, ibu bapa dan majikan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Dalam iklan itu juga boleh dinyatakan hukuman berat yang bakal dikenakan jika melanggar rang undang-undang ini jika diwartakan kelak, menteri tidak bolehlah hanya mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen sahaja untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Thursday, August 12, 2010

MPP akur larangan mahasiswa berpolitik


PUTRAJAYA 11 Ogos - Jemaah Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam menghormati dan menyambut baik keputusan kerajaan yang melarang mahasiswa menyertai parti politik.
Presidennya, Ahmad Wafi Sahedan berkata, beliau yakin kerajaan telah membuat penelitian dan pertimbangan menyeluruh sebelum membuat keputusan tersebut.
Bagaimanapun beliau meminta kerajaan memperkasakan saluran sedia ada supaya suara mahasiswa boleh diambil kira dalam pembangunan negara.
''Kami memohon kerajaan untuk memperkasakan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kerana ia merupakan pentas yang amat penting untuk mahasiswa bersuara.
''Diharapkan juga kerajaan lebih terbuka dalam menerima pandangan atau kritikan daripada pemimpin mahasiswa kerana kita juga ingin terlibat sama dalam memajukan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Ahmad Wafi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa larangan mahasiswa melibatkan diri dalam kancah politik kepartian adalah kekal.
Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan, larangan itu tidak bermakna mahasiswa dilarang terus daripada membicarakan hal ehwal politik semasa yang berlaku di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Wafi berkata, mahasiswa perlu mempunyai idealisme, pendirian dan identiti tersendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
''Mahasiswa perlu bebas untuk berdiskusi secara ilmiah mengenai pelbagai isu termasuk isu politik.
''Mahasiswa harus melontarkan pandangan atau mengkritik secara membina kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang," katanya.
Beliau menjelaskan, isu untuk membenarkan mahasiswa menyertai parti politik sebenarnya masih dalam peringkat perbincangan di kalangan Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.
''Perkara ini perlu dilihat dan dikaji secara serius kerana ia melibatkan pelbagai implikasi jangka pendek dan jangka panjang.
''Kami yakin dan percaya pandangan pelbagai pihak termasuk mahasiswa, pensyarah dan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi perlu diambil kira kerana mereka juga mempunyai hak untuk melontarkan pandangan dan cadangan tentang perkara ini," katanya.