Showing posts with label Debat. Show all posts
Showing posts with label Debat. Show all posts

Friday, October 5, 2012

Pengerusi Anak cabar Ahmad Maslan debat



Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
KUALA LUMPUR - Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan supaya berdebat dengan beliau berhubung status saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).
Pagi tadi, Ahmad menggesa Mazlan menghentikan tohmahan dan fitnah ke atas Felda dan jika tidak, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Menurutnya, beliau mencabar timbalan menteri itu untuk berdebat secara terbuka dengannya bagi membuktikan status sebenar pegangan saham FGVH yang selama ini didakwa diselubungi kontroversi.
"Saya mahu berdebat dengannya, jika beliau sudi, saya juga sudi mendedahkan status sebenar kedudukan Anak sama ada persatuan yang berdaftar atau tidak," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, mendesak Mazlan supaya menghentikan fitnah tidak bermoral kerana boleh menjejaskan kredibiliti Felda dan dikhuatiri fitnah ini dianggap benar oleh rakyat negara ini.
Ahmad turut mendedahkan Anak sebuah pertubuhan haram.
"Kalau selama ini kita diamkan saja perbuatan beliau, tapi lama-kelamaan apabila terlalu banyak fitnah yang didedahkan, kita sendiri tidak boleh mendiamkan diri lagi," tegasnya.
Sebelum ini, banyak tohmahan dinyatakan oleh Mazlan seperti dalam Harakah pada 10 September lalu bertajuk "400 juta unit saham FGVH dimiliki Genting".
Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, jika benar saham Felda cukup kukuh untuk disenaraikan, mengapa ia tidak melonjak naik seperti yang digambarkan sebelum ini dan perlu menggunakan dana awam.
"Saya tegaskan di sini, Ahmad Maslan tak perlu nak takutkan saya dengan cara ugutan ini, saya tidak akan ambil pusing," tegasnya.
Tambah beliau, segala pendedahan yang dibuat selama ini berasaskan bukti sahih.
"Saya ada senarai kumpulan penasihat ekonomi undang-undang dan ekonomi sendiri dan kami boleh buktikan yang pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah benar," katanya.
Katanya lagi, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah jika Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
"Ahmad Maslan hanya menggunakan isu basi ini sejak Anak ditubuhkan lagi, jadi marilah kita berdebat atau sekurang-kurangnya berdialog supaya saya boleh mendedahkan status sebenar Anak dan beliau juga boleh dedahkan berapa banyak pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Felda.
"Saya tidak mahu komen lebih mengenai status Anak, tetapi mahu memberi amaran kepada Ahmad Maslan jika mahu menuduh saya, sila muhasabah diri terlebih dahulu," katanya.

Romney menang debat dengan Obama


ROMNEY (kiri) berdebat dengan Obama di Universiti
Denver, Colorado kelmarin. -AFP

DENVER, Colorado (AS) - Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada parti Republikan, Mitt Romney tampil dengan gaya yang meyakinkan semasa berdebat dengan Barack Obama di Universiti Denver di sini kelmarin.
Menurut laporan agensi berita AFP, Obama yang juga Presiden AS kadangkala kelihatan gementar dan tidak bersedia untuk berdebat dengan Romney.
Debat pusingan pertama itu diadakan selama 90 minit menjelang pilihan raya presiden AS yang dijadualkan berlangsung pada 6 November depan.
"Romney menang. Kejutan terbesar ialah kemenangannya amat jelas," kata seorang profesor sains politik di Universiti Negeri Youngstown, Paul Scracic.
Menurut agensi berita Reuters, tinjauan pendapat saluran televisyen CNN mendapati kira-kira 67 peratus orang memilih Romney sebagai pemenang.
Pengarah Pusat Politik dan Hal Ehwal Awam di Kolej Franklin dan Marshall, G. Terry Madonna turut menyatakan Romney menjadi pemenang.
"Saya tidak berpendapat terdapat sebarang keraguan bahawa Romney menang," katanya yang memantau pilihan raya presiden AS sejak 1960.
Obama, 51, bertanding buat kali kedua bagi mempertahankan jawatannya.
Romney, 65, yang merupakan bekas gabenor Massachusetts dan seorang jutawan menyelar Obama berhubung isu defisit AS, kadar pengangguran, pengurangan beberapa cukai, dasar ekonomi dan kesihatan.
"Jika presiden dipilih semula (Obama), anda akan menyaksikan golongan pertengahan tertekan," kata Romney.
Obama menyerang balas dengan mendakwa Romney tidak mempunyai sebarang rancangan terperinci untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
"Anda tahu, empat tahun lalu, saya menyatakan bahawa saya bukannya seorang lelaki yang sempurna dan saya tidak akan menjadi presiden yang sempurna. Ia mungkin janji yang difikirkan Romney akan saya teruskan," kata Obama daripada parti Demokrat.
Pusingan kedua dan ketiga debat calon presiden itu akan diadakan pada 16 dan 22 Oktober depan. - Agensi

ROMNEY (kiri) berdebat dengan Obama di Universiti
Denver, Colorado kelmarin. -AFP



Thursday, October 4, 2012

Bancian: Romney atasi Obama debat pertama



Bancian: Romney atasi Obama debat pertama
Mitt Romney (kanani) dan Barack Obama muncul dalam debat pertama di University of Denver, Denver, Colorado, Amerika Syarikat. - Foto EPA
DENVER - Bancian kendalian CNNmenunjukkan Mitt Romney dari parti Republikan mengatasi Presiden Barack Obama dalam debat pertama pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) yang diadakan pagi ini (waktu Malaysia).
Seramai 67 peratus pengundi berdaftar, yang menyaksikan debatitu, yang berlangsung dari jam 9 hingga 10.30 pagi itu, memilih Romney sebagai pemenang.
Sementara 25 peratus pula menyatakan Obama, yang mahu mempertahankan jawatannya, mengungguli debat pertama itu.
Terdapat dua lagi debat membabitkan kedua-dua calon menjelang pemilihan awal bulan depan.
Obama dan Romney masing-masing menyentuh isu peluang pekerjaan, urus tadbir defisit, perumahan dan lain-lain.
Dalam bancian ini, seramai 430 penonton dewasa AS yang menyaksikan debat berkenaan telah ditemu ramah melalui telefon.
Bagaimanapun menurut CNN, keputusan bancian yang dilakukannya itu tidak dan tidak boleh mencerminkan pandangan keseluruhan rakyat AS.
Ia hanya mewakili mereka yang menonton debat berkenaan sahaja.Undian yang dijalankan CNN sebelum berlangsungnya debat menyaksikan Obama mendahului Romney satu peratus dalam kelebihan mengendalikan ekonomi.
Obama mendapat undian sebanyak 49 peratus undi.
Obama dan Romney akan mucul dalam debat 16 dan 22 Oktoberini.
Romney sebelum ini dikatakan berhadapan dengan jalan sukar untuk meyakinkan pengundi dan perlu menyerlah dalam debat tersebut bagi membuktikan kemampuannya untuk mentadbir AS.

Friday, March 23, 2012

RPK sedia debat Najib, Anwar tapi tentang Islam



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012
logo najib-raja petra-anwar
SHAH ALAM - Raja Petra Kamarudin bersedia untuk berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, di bawah kendalian pengasas Wikileaks, dengan fokus pada isu Islam.

"Ya, saya sudah pasti akan bersetuju untuk berdebat dengan kedua-dua Najib dan Anwar.

"Dan, oleh kerana saya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan bahawa saya telah menghina Islam, dan diugut dengan (kemungkinan) penahanan kali ketiga, yang memaksa saya meninggalkan negara, saya mahu berdebat mengenai Islam," kata Raja Petra dalam entri blognya, menjawab respons Anwar petang semalam.
Semalam, Anwar berkata, beliau bersetuju untuk berdebat dengan Najib dan Raja Petra, yang kini berada di luar negara.
Menurut Anwar, pengasas Wikileaks, Julian Assange menyatakan bersetuju untuk menganjurkan debat tersebut.
"Saya telah menyatakan persetujuan kepada beliau, kini terpulang kepada Perdana Menteri dan Raja Petra sama ada mereka bersetuju ataupun tidak.
"Ia boleh diadakan di mana-mana saja secara sidang video tanpa bertemu antara satu sama lain, saya menyerahkan kepada mereka bila perlu diadakan. Saya sentiasa bersedia," katanya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Twitter kelmarin, Wikileaks mempelawa Najib untuk mengadakan debat dengan Anwar dan Raja Petra sama ada secara bersama atau secara berasingan.
Menurut Wikileaks, kenyataan akhbar itu dikeluarkan sebagai respons kepada kontroversi baru-baru ini berkenaan Anwar dan Raja Petra serta kenyataan Najib yang menyusul.
Wikileaks berkata, jika Najib menerima jemputan itu, debat itu akan difilemkan dan akan diikuti oleh lebih 600 juta pengikut laman web kontroversi itu.
Menurut Raja Petra lagi, beliau berada dalam 'buangan kendiri' sebab dikatakan telah menghina Islam.
"Saya mahu berdebat mengenai Islam, jadi kita boleh berhujah sama ada saya telah atau tidak menghina Islam," katanya lagi.
Raja Petra juga berkata: "Anda tidak boleh menghina sesuatu yang tidak wujud."
"Jadi, Najib dan Anwar masing-masing boleh mempertahankan versi atau tafsiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengenai Islam," kata Raja Petra.

Saturday, September 10, 2011

Debat : PAS mahu siaran langsung, di stadium

PAS mahu debat yang dicadangkan antara Timbalan Presidennya Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu Mat Indera dan sejarah perjuangan kemerdekaan diadakan di stadium dan secara langsung di televisyen.

NONEKetua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, "demi keadilan" kepada semua, debat itu dicadangkan disiarkan di RTM atau televisyen swasta dan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam.

"Bagaimanapun pihak PAS bersetuju sekiranya pihak YAB Tan Sri Muhyiddin mencadangkan tempat lain yang lebih sesuai dan boleh dihadiri oleh sebahagian rakyat di negara ini," kata Tuan Ibrahim (kiri).

PAS sebelum ini mengutarakan cadangan itu selepas Mohamad diserang hebat bermula 27 Ogos apabila dilaporkan berkata Mat Indera dan penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukannya "polis British".

Muhyiddin setakat belum menyatakan sama ada bersetuju atau menolak cabaran itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim mengulangi keperluan debat itu menjadi kenyataan kerana ia penting merungkai polemik hangat dan menjawab semua persoalan berbangkit.

mat indera 060911"Debat ini diharap dapat membuka minda rakyat secara terbuka untuk rakyat menilai sendiri ketepatan hujah yang dikemukakan nanti, dan diharap isu ini tidak menjadi polemik yang berpanjangan," katanya.

Penceramah terkenal itu berkata, PAS juga bersedia menerima mana-mana NGO, persatuan akademik atau institusi pengajian tinggi yang bersedia bekerjasama menjayakan cadangan itu.

"Pihak PAS mohon pertimbangan wajar daripada pihak Tan Sri Muhyiddin agar menyahut cabaran dan cadangan ini demi kebaikan kepada semua pihak," kata Tuan Ibrahim lagi.

Wednesday, September 7, 2011

Mat Sabu sedia debat dengan Muhyiddin




KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sedia berdebat dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu pejuang kemerdekaan, khususnya peristiwa Bukit Kepong.

Beliau berkata, selepas isu kontroversi ucapannya di Tasek Gelugor, 27 Ogos lalu, Muhyiddin banyak ‘menyerang’ beliau dalam ucapannya termasuk meminta supaya ‘bertaubat dan bertakwa’.

“Jadi eloklah saya bertemu dengan beliau sendiri. Tidak kiralah sama ada mahu berdebat, berdialog, atau berbincang, terpulang,” katanya pada sidang media, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu naib presiden, Sala­huddin Ayub, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali dan ketua penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, walaupun Khairy Jamaluddin mencabar beliau berdebat tetapi Ketua Pemuda Umno itu tidak banyak mengecamnya, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh, yang mana kawasan itu berdekatan dengan Bukit Kepong.

“Saya pun mahu tanya dia (Muhyiddin) juga, di mana unsur saya perlu bertaubat. Sebab saya nak belajar juga dari tokoh ulama macam Muhyiddin Yassin,” sindir Mohamad.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata beliau akan menghantar surat jemputan berdebat kepada Muhyiddin pada minggu ini juga.

“Perlu ikut taraf, Timbalan Presiden Umno lawan Timbalan Presiden Pas. Jemputan itu akan diberikan dalam masa terdekat ini dan akan diserahkan kepada Ketua Penerangan Umno,” katanya.

Mengulas hasrat Kelantan untuk menganjurkan debat dengan Khairy, Mohamad berkata, beliau setakat ini belum menerima sebarang makluman

Monday, September 5, 2011

Isu pejuang merdeka: KJ sedia debat dengan PAS





2011/09/05

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyahut cabaran PAS untuk berdebat secara terbuka mengenai isu siapa yang layak digelar pejuang kemerdekaan negara. 

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sudah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mencetuskan kontroversi berkenaan.
"Saya dah terima jemputan...untuk berdebat dengan Mat Sabu di Balai Islam Lundang Kota Bharu.
"Saya akan berada di sana," katanya menerusi mesej Twitter semalam dan berkata beliau tidak gentar walaupun terpaksa bertandang ke kubu kuat parti itu. 

Khairy berkata, walaupun di gelanggang lawan, sama ada Mohamad Sabu atau Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) beliau tetap akan hadir. 

"Masa lawan Husam dulu tiga ribu penyokong PAS dok sorak. Its OK. 

"Tak payah cari gelanggang neutral," katanya. 
Semalam, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengsyorkan debat PAS-UMNO berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan isu siapa pejuang kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat sendiri membuat penilaian. - BERNAMA 

Monday, February 7, 2011

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Depan Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 05 Februari 2011


Kenyataan Rasmi Pejabat Menteri Besar Kelantan

Penjelasan Terhadap Laporan Muka Depan
Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 05 Februari 2011
  1. Saya dengan ini merujuk kepada laporan muka depan akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan pada 05 Februari 2011 yang memaparkan tajuk berita “NIK AZIZ SETUJU DEBAT : Sahut Cabaran Ulama UMNO Isu Kenyataan Jejas Akidah.”
  2. Di bawah tajuk tersebut dipaparkan laporan berkenaan persetujuan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk berdebat dengan ulama UMNO, Mohd Nor Deris berkenaan dengan kenyataan YAB Tuan Guru yang didakwa boleh menjejaskan akidah.
  3. Sukalah diperjelaskan bahawa tajuk dan laporan berita tersebut sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku ialah YAB Tuan Guru ditanya berkenaan desakan Mohd Nor Deris agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kenyataan beliau yang di dakwa menjejaskan akidah. Menjawab pertanyaan tersebut, YAB Tuan Guru bersetuju agar kenyataannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persetujuan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan antara beliau dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
  4. Tidak timbul isu berdebat dengan Mohd Nor Deris yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan sebagai penggubal dasar. Secara logiknya, individu yang layak berdebat dengan Menteri Besar Kelantan yang juga al-Mursyidul Am PAS tentulah tokoh yang mempunyai jawatan berpengaruh di dalam kerajaan atau parti.
  5. Laporan di dalam akhbar Berita Harian yang merujuk kepada kenyataan yang sama lebih berkredibiliti dan menepati maksud sebenar YAB Tuan Guru. Justeru, laporan yang tidak tepat seperti yang tersiar di dalam akhbar SInar Harian Edisi Kelantan tersebut amatlah dikesali.
Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 05 Februari 2011


Sunday, February 6, 2011

Nik Aziz mahu debat individu berkuasa



KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau hanya menyahut cabaran untuk berdebat dengan individu yang mempunyai kuasa dan berprinsip.

Menteri Besar Kelantan itu mengakui, debat cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan, namun ia harus disertai orang yang ada kuasa bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

Menurutnya, beliau tidak akan terikut-ikut dengan rentak Ulama UMNO, Profesor Madya Mohd Noor Deris untuk berdebat dengannya kerana individu itu tidak mempunyai dasar yang jelas dalam perjuangan.

“Saya tidak akan terima (cabaran Profesor Mohd Noor), dia ni sekali Pas, sekali UMNO, sekali kebangsa­an, tiada dasar (prinsip) dalam perjuangan,” katanya ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Nik Aziz mengulas kenyataannya, kelmarin, yang bersedia untuk berdebat dengan Mohd Noor berhubung dakwaan beliau membuat kenyataan yang merosakkan akidah selain memecah-belah umat Islam.

Isu ini timbul apabila Nik Aziz pada sidang media semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, baru-baru ini, mendakwa mereka yang tidak mengundi Pas adalah jahiliah.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menunggu keadaan menjadi lebih keruh dan huru-hara, berikutan kenyataan Nik Aziz yang dikatakan menimbulkan kontroversi.

Ditanya adakah Mohd Noor bukan lawan sebenar beliau untuk berdebat, Nik Aziz berkata, soal taraf tidak berbangkit, tetapi yang penting individu berkenaan ada dasar yang teguh.

“Saya boleh berdebat, orang tengahnya al-Quran, tetapi ia harus dengan individu yang betul, bukan seperti beliau (Mohd Noor),” katanya.

-sinarharian

Thursday, January 20, 2011

Anwar tegas mahu berdebat dengan PM

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ‘Pelan 100 Hari’ pembangkang, menurut jurucakap Anwar malam tadi.

Berikut adalah kenyataan Anwar “Saya tegaskan di sini saya sedikit pun tidak berganjak daripada kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa Yang (Amat) Berhormat Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya,” menurut jurucakap itu kepada Bernama di sini malam ini.
Jurucakap itu mengulas mengenai laporan berita terdahulu yang mengatakan bahawa Anwar tidak pernah mengajak Najib untuk berdebat mengenai pelan tersebut sebaliknya hanya mahu berbincang.
Pada satu majlis di Alor Setar, Kedah hari ini, Anwar berkata kepada pemberita bahawa ia adalah perbincangan terbuka secara baik melibatkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili pakatan pembangkang. — Bernama

Wednesday, January 19, 2011

Nak seribu daya, tak nak seribu dalih

'Jangan debat, nanti demam'

Najib Tun Razak beramah mesra dengan warga Felda Tenang dalam lawatan sehari di Labis Segamat, Johor semalam.


LABIS 18 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mendesaknya untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu 'demam' jika dibongkarkan ketika berdebat.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak gentar berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berkenaan hanya membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.
"Sudah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.
"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Rakyat dan merasmikan Dewan Semai Bakti serta Gelanggang Futsal di Padang Awam Felda Tenang, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad. Majlis itu dihadiri lebih 2,000 orang dan hadirin dihidangkan dengan nasi ambeng, makanan tradisi masyarakat Jawa.
Perdana Menteri menambah, 'Pelan 100 Hari' pembangkang juga merupakan perancangan yang songsang dan tidak betul dan diperkenalkan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.
"Saya tengok pelan itu hanya nak belanja sahaja. Ia tak ambil kira dari mana punca pendapatan. Kalau kita tak ada punca pendapatan, macam mana kita nak cari dana untuk belanja. Saya berharap rakyat jangan terpedaya dengan janji pembangkang ini," katanya.
Tambah beliau, Anwar sepatutnya membereskan janji seperti menubuhkan kerajaan baru 16 September dan masalah 'peribadinya' ekoran kes liwat yang dihadapinya daripada asyik mencabar dirinya berdebat mengenai 'Pelan 100 Hari' pembangkang.
"Nak tubuh kerajaan pada 16 September, tak tubuh lagi. Ini dah 2011. Kita tunggu sehari demi sehari tak jadi, dia kata 30 anggota Parlimen dari Barisan Nasional nak seberang masuk pembangkang. Kita tengok-tengok, belek-belek mana dia 30, rupanya lima anggota Parlimen dia (pembangkang) yang keluar jadi anggota Bebas.
"Tak payahlah debat, banyak hal lagi tak selesai. Bukan kerajaan yang bawa dia ke mahkamah, yang buat laporan polis ni Saiful (bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan)," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini semakin bercelaru kerana semakin ramai pemimpinnya keluar parti.
Menurutnya, belum pernah terjadi parti politik seperti PKR yang pemimpinnya daripada Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan hingga ke peringkat bawahan keluar parti.
Beliau berkata, bekas pemimpin tersebut semuanya menyatakan hilang kepercayaan terhadap PKR yang semakin goyah.
Sementara itu, beliau menegaskan, Felda yang diwujudkan lebih 50 tahun lalu kini berjaya membawa perubahan besar kepada golongan peneroka dan ahli keluarga mereka termasuk generasi kedua dan ketiga.
Malah, menurut Perdana Menteri, Felda kini bukan lagi jaguh kampung, tetapi berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Kini Felda sudah berjaya membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan Kanada. Felda kini bukan lagi jaguh kampung tetapi sudah menjadi pemain di peringkat global. Malah banyak negara kini mencontohi Felda.
"Ada beberapa negara di Afrika seperti Sierra Leone dan beberapa negara lain turut menjadikan Felda contoh kerana mereka yakin Felda berjaya mengubah nasib rakyat. Ini bukan kita yang cakap, tetapi orang luar yang cakap," katanya.
Terdahulu, semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan penduduk di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Chemplak, Najib mendedahkan, beliau pernah berhasrat melepaskan jawatan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda ketika baru menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, niat tersebut terpaksa dilupakan kerana masyarakat Felda mendesaknya untuk tidak melepaskan jawatan itu.
"Saya jadi menteri yang jaga Felda sejak 2004 yang dilantik oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) sampai sekarang.
''Pada peringkat awal jadi Perdana Menteri saya nak lepaskan jawatan menteri yang jaga Felda tapi tak jadi setelah didesak masyarakat Felda," katanya yang disambut tepuk gemuruh kira-kira 10,000 masyarakat Felda.
Beliau berkata, walaupun keadaan para peneroka mengecapi hidup yang lebih baik tetapi mereka tetap tidak melupakan jasa Felda.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan tapak lot rumah generasi kedua Felda Chemplak yang berdekatan sekolah tersebut.

Friday, January 14, 2011

Debat dengan saya dulu – Ummi Hafilda


UMMI Hafilda Ali menunjukkan antara dokumen yang akan dijadikan bukti dalam kes saman yang akan difailkan di mahkamah pada sidang akhbar di USJ, Subang Jaya, Selangor, semalam. – utusan/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 13 Jan. – Ummi Hafilda Ali mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengannya terlebih dahulu berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau sebelum mencabar pihak lain.
Katanya, Anwar tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pelan 100 Hari yang dicadangkan pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah.
“Saya cabar Anwar berdebat dengan saya. Saya juga cabar Azmin Ali untuk berdebat dengan saya sebelum berdebat dengan Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah penasihat undang-undang Ummi Hafilda, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz.
Ummi Hafilda yang pernah menjadi saksi penting kes liwat Anwar pada 1998 turut mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Azmin melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam segala kes salah laku seks yang didedahkannya ketika itu
“Saya juga mencabar Anwar masuk ke mana-mana masjid bagi membuat sumpah laknat untuk menafikan segala dakwaan yang dikemukakan saya sebelum ini jika betul dia tidak terbabit dengan perbuatan itu,” katanya.
Ummi Hafilda juga dalam pada itu bersumpah dia tidak pernah menerima sebarang bayaran atau upah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau kerajaan ekoran pendedahan tentang salah laku Anwar ketika itu.
“Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak pernah menerima walau satu sen pun upah ketika itu. Jika saya berbohong maka saya akan dilaknat.
“Semua ini saya lakukan atas dasar perjuangan terhadap anak bangsa saya sendiri. Kerajaan tidak pernah membayar satu sen pun atau apa-apa pampasan kepada saya. Niat saya jelas mahu menyelamatkan agama dan bangsa saya daripada orang yang bernama Anwar Ibrahim,” katanya.
Ummi Hafilda berkata, dia akan mengemukakan semua bukti penting berhubung perilaku Anwar dan yang lain di mahkamah melalui saman yang akan difailkan nanti.
Sebelum ini, Ummi Hafilda menyatakan akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin, Wan Azizah, peguam Karpal Singh dan parti Pas kerana salah laku mereka terhadapnya pada 1997.
Daripada jumlah itu, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu berhubung skandal seks.
Selain itu, Ummi Hafilda bakal memfailkan saman berjumlah RM200 juta terhadap Karpal, RM100 juta terhadap Wan Azizah dan RM100 juta lagi terhadap Pas.
Dalam pada itu, dia juga bercadang menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat berhubung salah laku Anwar dan konco-konconya.
“Tidak ada sebab untuk saya takut. Malah saya tahu Anwar memang takut kepada saya sebab itu dia tidak menyaman apabila saya menulis dalam blog mengenai segala yang dia buat,” katanya.